Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Nov 28, 2018

Episod.




Salam.

I'm giving up.

Aku berfikir tentang putus asa hampir setiap hari, hampir setiap masa.
Namun aku sentiasa cari sesuatu untuk lawan pemikiran aku itu.

Selalunya aku gunakan asbab keluarga, agama, dan masa depan untuk aku ketepikan perasaan itu, tapi kali ini aku dapat rasakan sesuatu yang gelap mula muncul dari dalam diri aku.

Aku berasa benci kepada segalanya.
Sekecil-kecil perkara, sehinggalah ke sebesar-besar perkara,
semuanya membuatkan aku rasa meluat.

Perasaan ini memakan aku dari dalam selagi aku menafikannya.

Aku rasa,
aku tidak lagi boleh jadikan keluarga, agama, dan masa depan sebagai senjata untuk aku lawan perasaan ini, kerana aku takut akan tiba masanya pula aku akan bencikan keluarga, agama, dan masa depan.

Aku tidak mahu bencikan keluarga, agama, dan masa depan.

Aku tidak mahu begitu.

Maka,
kali ini, aku terpaksa beranikan diri untuk biarkan perasaan ini bermaharajalela.

Kali ini,
aku akan berputus asa.

Aku akan letakkan noktah ke atas segalanya.

Thank you,
but i'm giving up.

Sekian.



.

Nov 21, 2018

Kisah Hero.



Salam.

Suatu hari, aku berkesempatan untuk duduk berbual dengan seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun. Kerana umurnya sebaya dengan umur anak buah aku, maka aku tiada masalah untuk melayaninya.

Soalan biasa yang ditanya orang dewasa kepada budak sekolah, juga ditanya oleh aku;
Bagaimana sekolah?
Apa mata pelajaran kegemaran?
Apa cita-cita bila besar nanti?
Ada awek tak di sekolah?

Dan kesemua jawapan yang diberikan kanak-kanak tersebut (mulai sekarang aku gelar dia sebagai Alif - bukan nama sebenar) adalah jawapan yang aku boleh agak. Jawapan yang biasa akan diberi oleh seorang murid darjah dua. Jawapan untuk soalan keempat agak mengejutkan, namun aku simpan ceritanya di kemudian hari.

Kemudian aku bertanya lagi,
"Siapa hero kegemaran Alif?"

"Nabi Muhammad SAW." jawabnya.

Jawapannya ini membawa aku mengimbas memori ke zaman sekolah rendah aku, berpuluh-puluh tahun dahulu...





Dalam sesi pengenalan di awal tahun, mungkin ketika aku di darjah dua, cikgu kelas bertanyakan soalan yang sama;
"Siapa hero kegemaran kamu?"

Sudah tentu, pada zaman itu mana ada lagi era filem superhero yang begitu sarat di pawagam seperti di ketika ini, maka langsung tiada jawapan seperti 'Superman', 'Batman', 'Iron Man', dan segala jenis -man yang ada. Malah, kebanyakan kami langsung tiada jawapan untuk soalan itu. Budak darjah dua, mana mungkin berfikiran jauh sejauh untuk menjadikan satu entiti sebagai simbol hero kegemaran.

Namun ada juga yang mampu memberikan jawapan.

Seorang murid perempuan, yang juga merupakan penolong ketua kelas yang dilantik, menjawab;
"Hero kegemaran saya ialah bapa saya."

"Kenapa bapa awak merupakan hero kegemaran awak?" tanya cikgu. Aku tidak pasti, tapi rasanya nada soalan cikgu itu bercampur baur dengan perasaan terkejut. Mungkin dia sangka muridnya akan beri nama adiwira sebagai hero kegemaran, bukannya manusia biasa.

"Sebab bila hujung minggu, jika kami tidak keluar bersiar-siar sekeluarga, bapa saya akan bawa pulang ayam KFC untuk dimakan bersama-sama."

Walaupun satu kelas menyambut jawapan itu dengan gelak ketawa, tapi itu adalah satu jawapan yang boleh diterima. Budak berumur lapan tahun sudah tentu akan menganggap seseorang yang mampu bawa pulang makanan kegemarannya setiap hujung minggu adalah seorang hero yang patut dikaguminya.

"Hero kegemaran saya ialah pegawai bank," jawab seorang lain murid apabila ditanya.

Mungkin dia salah sangka antara frasa 'hero kegemaran' dengan frasa 'cita-cita', namun sudah menjadi tanggungjawab si cikgu untuk melayan semua jawapan anak muridnya dan kemudian si cikgu bertanyakan kenapa.

"Sebab pegawai bank ada banyak duit. Saya suka bila ada banyak duit."
Kapitalis dalam buatan.

Tidak kira apa pun jawapan para murid untuk soalan itu, semuanya pasti ada sebab kenapa mereka label seseorang sebagai 'hero kegemaran' mereka.



Kembali kita ke Alif dan hero kegemarannya, Rasulullah SAW.

Jawapan Alif menjadikan Rasulullah SAW sebagai hero kegemarannya amat mengejutkan aku. Aku (seperti cikgu aku ketika di darjah dua dahulu) menyangka nama yang akan keluar mungkin 'Captain America', 'Black Panther', atau 'Wonder Woman', namun sebaliknya terkeluar nama pemimpin paling agung untuk seluruh masyarakat Islam, Nabi Muhammad SAW.

Dan juga seperti cikgu aku ketika di darjah dua dahulu, aku bertanya;
"Kenapa pilih Nabi Muhammad SAW sebagai hero kegemaran?"

Alif terdiam.

Aku sangka dia tidak jelas dengan soalan aku, jadi aku olah ayat soalan;
"Apa yang Nabi Muhammad SAW buat yang membuatkan Alif mengaguminya?"

Alif masih terdiam.

Aku jadi keliru. Ada apa-apa yang sudah aku tersalah cakapkah?

"Nabi Muhammad SAW itu siapa, Alif?" tanya aku, lagi.

Alif pun mula membuka mulutnya, namun masih kelihatan ragu-ragu.

"Nabi Muhammad SAW itu Nabi kita."

"Jadi, apa yang buatkan Alif kata Nabi Muhammad SAW itu hero kegemaran Alif?" Suara aku kedengaran mendesak. Maaf. Aku tidak tahu macam mana nak tangani budak kecil dalam situasi sebegini.

"Daddy kata, semua orang Islam kena jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dan hero. Tak baik kalau jadikan orang lain sebagai hero."

Daripada jawapan Alif, aku sedar satu perkara. Aku mungkin salah, tapi aku juga yakin inilah situasinya.

Daddy kepada si Alif ini mengajar anaknya supaya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan, hero, dan idola. Tapi aku rasa si Daddy ini langsung tidak pernah ceritakan kenapa patut Alif jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan, hero, dan idola.

Memang kita akan rasa terkejut dan terharu bila kita tanya budak kecil siapa hero mereka dan mereka jawab "Nabi Muhammad SAW". Mungkin itulah yang nak ditunjukkan oleh si Daddy ketika mengajar Alif tentang Nabi Muhammad SAW.

Namun,
seperti penolong ketua kelas aku yang menjadikan bapanya sebagai hero kerana bawa pulang ayam goreng kegemaran, dan juga seperti kawan sekelas aku yang menjadikan pegawai bank sebagai hero kerana punyai banyak duit, si Daddy juga perlu jelaskan kenapa Alif perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai heronya.

Alif perlukan sebab kenapa Nabi Muhammad SAW harus dilihatnya sebagai hero.

Supaya bila ditanya orang seperti aku tentang kenapa menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai hero, Alif mampu bercerita tentang sebabnya.

Dan si Daddy Alif tadi perlu menceritakan riwayat Rasulullah SAW kepada Alif supaya dia boleh tahu kenapa Nabi Muhammad SAW patut dijadikannya sebagai hero kegemaran.



Dengan hanya menyuruh anaknya menyebut nama Rasulullah SAW sebagai hero tanpa menceritakan sebab kenapa dengan jelas dan nyata, mungkin akan tidak memberikan kesan baik kepada si anak. Lagi teruk, akan mendatangkan kesan lebih buruk kerana pada satu waktu di mana si anak terjumpa 'hero' yang lain dan bersamanya dia tahu sebab 'hero' itu perlu diangkat, dan ;hero' itu bukan Nabi Muhammad SAW, maka segala pemahamannya mengenai Nabi Muhammad SAW akan bertukar dan berubah.

Aku bukan ustaz, juga bukan seorang pendidik, apatah lagi seorang bapa, tapi aku rasa jalan terbaik supaya generasi muda (anak-anak) menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan mereka adalah dengan bercerita tentang riwayatnya, bukan sekadar menyuruh anak-anak menyebutnya.

Malah aku rasa, jika ditanya kebanyakan orang dewasa tentang 'role model' mereka, pasti ramai yang akan jawab Rasulullah SAW.

Tapi seberapa banyak daripada mereka benar-benar memaksudkannya?



Pengajaran juga untuk aku sendiri,
aku rasa, jika ada anak kecil yang bertanya kepada aku tentang Rasulullah SAW tentang kenapa baginda diangkat sebagai pemimpin nombor satu umat Islam, aku pun tidak mampu memberi jawapan yang jitu.

Aku sedar aku pernah belajar mengenai Rasulullah SAW dan seluruh riwayat hidupnya. Berkali-kali sudah aku dengar tazkirah, ceramah kisah sirah, dan bacaan buku-buku riwayat Nabi SAW, namun tiada yang benar-benar tersemat di otak untuk dikenang dan sentiasa diingati.

Aku jadi malu dengan diri sendiri. Konon gelar Nabi Muhammad SAW sebagai idola contoh teladan, namun hanya manis di mulut dan tidak dimaksudkan.



Apa kata mulai sekarang, kita (aku, si Daddy, dan seluruh umat Islam yang sedang membaca) penuhi diri kita dengan ilmu melalui cerita riwayat Nabi SAW. Belajar balik segala ilmu yang pernah masuk tapi sudah tercicir itu. Betul-betul fahami keperibadian Nabi Muhammad SAW supaya baginda betul-betul menjadi idola kita, contoh teladan kita, hero kegemaran kita.

Supaya apabila ada si kecil yang bertanya tentang junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kita boleh menceritakan dengan penuh rasa kasih dan sekaligus menyemai benih kasih sayang terhadap Nabi SAW di dalam sanubari si anak kecil tadi.



Allahumma solli aala saidina muhammad waala alihi wasohbihi wasalim.

Salam Maulidur Rasul 1440h.


Karya Dayang Deno
Twitter @Dayunk
Instagram @dayangdeno








.

Nov 14, 2018

Kenapa Kita Susah Untuk Suka Kembali Orang Yang Suka Kita?



Salam.

"Kenapa kita susah nak suka balik orang yang suka kita?"
tanya E (bukan nama sebenar). Di pejabat, ada seorang rakan telahpun meluahkan perasaan kepada E.

"Dia bukanlah seorang yang teruk. Dia baik. Dia menawan. Dia juga selalu ambil berat tentang aku. Tapi entahlah, aku langsung tiada rasa mahu membalas perasaannya."

Walaupun pengakuan kawan E itu mengejutkannya, apa yang lagi mengejutkan adalah kesudian dia untuk berkongsi 'masalah' dia itu dengan aku. Malah, dia hanya membuka cerita apabila kami duduk berdua, bukan ketika banyak lagi kawan berada di sekeliling.

'Masalah' yang E alami ini sudah lama aku fikirkan, lebih tepat, sejak aku berumur 10 tahun lagi.





Pada suatu hari di waktu aku berada di darjah 4, seorang kawan sekelas menghampiri aku. Secara lisan FH (mungkin bukan nama sebenar) berkata;

"Aku sukakan kau, C!"

Itu kali pertama ada seseorang luahkan perasaan dia terhadap aku. Malah, rasanya kali pertama dan juga terakhir dilakukan secara lisan dan berdepan.

Pada usia 10 tahun, kawan-kawan sebaya yang ingin meluahkan rasa 'suka' mereka kepada seseorang selalunya dilakukan melalui surat. Tulis luahan hati, letak setepuk dua bedak wangi (optional), lipat, dan kirimkan kepada si dia melalui perantara lain (yang digelar posmen). Itu biasanya permulaan kepada satu cinta monyet.

Namun, keberanian FH untuk meluahkannya secara berdepan melalui medium mulut dan di kelilingi oleh beberapa orang rakan sekelas yang lain sangat berlainan dengan norma cinta monyet budak berumur 10 tahun.

FH bukan budak sebarangan. Dia anak cikgu. Berkulit putih gebu. Walaupun sedikit 'ting-tong' tetapi bagi sesetengah orang, itu kelihatan comel. Aku tahu paling kurang ada dua orang dari kelas yang sama yang sukakan FH.

Walaupun logik untuk budak 10 tahun untuk menerimanya, manakan tidak, seorang pelajar idaman ramai (aku anggap dua orang sebagai ramai) memilih untuk sukakan aku, dan juga disebabkan pada saat itu penuh dengan kisah kawan sebaya yang berpasang-pasangan (aka couple), peer pressure, namun aku memilih untuk tidak beri apa-apa jawapan.

Bagaimana aku boleh nak terima dia sedangkan aku langsung tiada hati dekat dia? Kalau aku terima, seolah-olah aku tipu diri sendiri (dan juga diri dia), namun kalau aku menolak pula seperti aku sudah lukakan hati dia.

Aku sedar pada waktu itu walaupun aku seorang pengawas, tapi aku seorang yang comot, berkulit gelap, rambut aku berkilat dengan minyak rambut Brylcreem yang berlebihan, badan aku sentiasa berpeluh hapak kerana aku sibuk bertugas sebagai pengawas (menjadi kuli kepada cikgu). Bagaimana seorang anak cikgu yang ada rupa boleh suka dengan seseorang...seperti aku?

Untuk budak berumur 10 tahun, aku rasa pemikiran aku pada waktu itu sedikit ke depan. Terima kasih untuk drama cina waktu petang yang mengajar aku berfikir sedikit seperti orang dewasa.



Itulah permulaannya.

FH mungkin yang pertama meluahkan perasaannya terhadap aku, tapi dia bukanlah yang terakhir. Semasa di sekolah menengah juga ada (dalam dua, tiga orang), semasa di kolej pun ada seorang, semasa belajar di universiti juga ada (mungkin dua orang), dan sehingga sekarang juga ada beberapa orang. Selain FH, yang selebihnya meluahkan perasaan melalui medium lain (SMS, orang ketiga, media sosial, dan sebagainya).

Namun, ultimatum, aku tidak dapat lari daripada satu persoalan yang menghantui aku sejak dari FH lagi, iaitu:
KENAPA ORANG BOLEH SUKA SESEORANG SEPERTI AKU?

Jujurnya, aku sendiri pun tidak suka diri aku sendiri. Bagaimana orang lain boleh suka?

Perkara inilah yang membuatkan aku langsung tidak pernah terima dan balas balik mana-mana luahan perasaan orang. Ya, aku pernah berpasangan dengan (beberapa) orang tetapi kesemua mereka bermula dengan AKU yang luahkan perasaan. Mereka hanya terima. Aku tidak pernah terikat dengan hubungan di mana orang lain yang luahkan perasaan dahulu dan aku terima. Tidak pernah.



Ini menjadikan persoalan E pada awal tadi JUGA menjadi persoalan kepada diri aku sendiri:
"KENAPA KITA SUSAH NAK SUKA BALIK ORANG YANG SUKA KITA?"



Setelah menggali, mengkaji, dan membaca sejumlah artikel mengenai topik yang sama, walaupun tiada jawapan yang konklusif, namun aku dapat satu penerangan yang logik untuk persoalan itu.

Secara asasnya, semua daripada kita mahukan perasaan 'suka' itu. Tetapi sebenarnya apa yang susah adalah kemampuan kita untuk 'memegang' perasaan itu bukan daripada diri kita tetapi daripada orang lain. Kita mahu, tapi kita tidak tahu bagaimana kita mahukannya.

Mungkin cara dibesarkan, mungkin juga dari sudut psikologi, tetapi kita menganggap orang yang tawarkan kita perasaan 'suka' itu seperti seorang yang lemah, silap, terdesak, sangap (maaf, sedikit keterlaluan), atau mungkin tidak berapa normal. Ini kerana pada asasnya kita kenal diri kita sendiri. Kita tahu apa keburukan kita, kesilapan kita, perangai kita, sikap kita, dan kita tahu semuanya yang baik dan terutamanya yang buruk tentang diri kita sendiri, jadi MANUSIA NORMAL MANA YANG MAHUKAN SESEORANG SEPERTI KITA?

Dengan kata lain, orang yang 'suka'kan kita, kita anggap sama ada dia tidak normal ataupun dia tidak kenal lagi siapa kita. Perlukah kita balas perasaan orang yang tidak normal, ataupun perlukan kita percaya kata-kata orang yang tidak kenal siapa kita?

(Dua perenggan di atas sepenuhnya tafsiran peribadi aku, tidak mewakili sesiapa. Kalian mungkin berpendapat berbeza dan tiada yang betul dan tiada yang salah dalam pendapat kita.)

Sebab itu, kita susah untuk suka balik orang yang suka kita.



Lebih mudah untuk berada di pihak orang yang 'memberi suka' daripada 'menerima suka'. Kerana berada di pihak tersebut lebih meyakinkan, kerana kita tahu apa yang kita mahu. Kalau perasaan kita diterima, itu satu keuntungan. Namun jika perasaan kita tidak diterima, kita tahu apa sebabnya; sebabnya kita tidak cukup bagus untuk diterima.

Berbeza dengan berada di pihak yang 'menerima suka'. Kita berada di pihak yang 'tidak tahu'. Kita tidak yakin adakah perasaan suka yang ditunjukkan pihak satu lagi benar-benar ikhlas, ataupun sekadar tangkap muat. Kita tidak tahu apa akibat jika kita terima, tetapi kita tahu apa akibat jika kita tidak terima. Akibatnya masih lagi sama, kita masih lagi kita.

Perasaan 'suka' yang ditonjolkan orang lain terhadap kita kelihatan seperti 'suspicious, incomprehensible, and a little bit repulsive' (aku tidak tahu mahu terangkan tiga sifat ini di dalam bahasa, namun itulah dia). Segala sebab yang mereka berikan kedengaran tidak sama dengan pandangan kita terhadap diri kita. Mana boleh mereka kata mereka suka kita kerana kita baik, tetapi kita tahu kita tidaklah sebaik yang mereka sangkakan. Jika kita iyakan apa yang mereka kata, itu seperti kita menipu diri sendiri (dan menipu mereka juga)!

Sebab itu, kita susah untuk suka balik orang yang suka kita.



Namun, aku suka satu ayat daripada satu artikel yang aku pernah baca ini:
'Love can be hard to receive when we're not fundamentally convinced of our own lovability.'

Semua isu yang kita bincangkan di atas bergantung kepada satu perkara dan satu perkara itu malar dalam setiap isu, iaitu PENILAIAN KITA TERHADAP DIRI SENDIRI.

Sebenarnya, orang seperti aku, dan E, dan mungkin juga sebahagian besar daripada pembaca (yang pernah rasa diri tidak layak disukai) ini tidak sepenuhnya memahami asas sebenar perasaan sayang dan suka.

Kita, sekali sekala, kena benarkan perasaan itu masuk walaupun kita rasa kita tidak layak.

Mungkin perasaan 'suka' yang ditonjolkan orang lain terhadap kita itu bukannya satu bentuk kelemahan ataupun kesalahan ataupun dilihat seperti mereka tiada pilihan. Mungkin perasaan 'suka' itu datang kerana mereka melihat sesuatu yang berharga di dalam diri kita di mana kita sendiri (sebagai pemilik kepada tubuh dan jiwa ini) langsung tidak pernah nampak, tidak pernah sedar akan kewujudan perkara 'berharga' tersebut.

Kita kena benarkan diri kita untuk dihargai, walaupun melalui pengalaman lepas kita mungkin langsung tidak pernah rasa begitu.

Mungkin kita perlu percayakan orang lain (yang sukakan kita) lebih daripada kita percayakan diri sendiri. Kadangkala, walaupun kita pemilik tubuh dan jiwa kita, namun ada perkara yang kita sendiri tidak nampak pada diri kita sendiri.

Lagipun, kita hanya mampu melihat diri sendiri melalui cermin, kan? Kita secara lahiriahnya tidak pernah (dan tidak akan pernah) nampak diri sendiri secara terus dan penuh. Hanya orang lain yang mampu menilai diri kita sepenuhnya, bukannya kita.

Sekali sekala, apa kata benarkan diri untuk disukai.
(Nasihat untuk diri sendiri.)



Kadangkala,
aku mahu sahaja tanya balik orang yang pernah sukakan aku satu soalan:
"APA SEBENARNYA YANG ADA PADA SAYA INI YANG BUATKAN AWAK SUKA?"

Malangnya, soalan itu bukanlah satu soalan normal untuk ditanya.


Sekian.




Nota kaki:
Aku guna perkataan 'suka' dan bukannya 'cinta' kerana suka lebih menyeluruh, sedangkan cinta mempunyai definisi yang terlalu dalam untuk dilihat sepenuhnya. Suka seperti padang rumput yang luas, sedangkan cinta lebih kepada lubang air selebar depa yang dalam dan tiada dasar.





.

Nov 12, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Cencurut Api.



Salam.

Pada 10 November 2018, Hari Komuniti dengan penuh kesabaran.

Ini adalah entri untuk Hari Komuniti Pokémon GO untuk bulan November.


Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanan ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 10 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO yang mula diperkenalkan dari awal tahun 2018 ini di mana setiap edisi Hari Komuniti akan menampilkan Pokémon istimewa bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Berikut adalah senarai 10 Hari Komuniti yang sudah dilalui aku:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'
Mei - 'Episod Si Naga Hitam.'
Jun - 'Episod Dinosaur Batu.'
Julai - 'Episod Kura-Kura Biru.'
Ogos - 'Episod Eevee.'
September - 'Episod Timun Berkaki.'
Oktober - 'Episod CCTV Terbang.'


Dan seperti biasa, pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

Untuk bulan November, Pokémon istimewa yang ditampilkan ialah CYNDAQUIL.

Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)



CYNDAQUIL

Cyndaquil adalah salah satu daripada tiga Pokémon pemula untuk generasi kedua, iaitu dari Wilayah Johto. Cyndaquil merupakan Pokémon pemula daripada jenis api, selain Chikorita (jenis rumput) dan Totodile (jenis air). Bentuk badan Cyndaquil kelihatan seperti cencurut rumah (Asian House Shrew, Suncus murinus) mempunyai badan berwarna kebiruan di bahagian atas dan berwarna putih kuning di bahagian bawah badan.

Pokédex untuk Pokémon GO menerangkan Cyndaquil sebagai:

'Fire Mouse Pokémon:
Cyndaquil protects itself by flaring up the flames on its back. The flames are vigorous if the Pokémon is angry. However, if it is tired, the flames splutter fitfully with incomplete combustion.
'

Cyndaquil boleh dievolusi kepada Quilava dengan menggunakan 25 candy dan seterusnya Quilava boleh dievolusi kepada bentuk seterusnya Typhlosion menggunakan 100 candy.

Cyndaquil (dan evolusinya) walaupun merupakan Pokémon pemula tetapi bukanlah antara Pokémon meta yang relevan di dalam Pokémon GO. Typhlosion, walaupun merupakan Pokémon jenis api tulen (jenis tunggal) masih lagi lemah berbanding Charizard.



PENGUMUMAN RASMI.

Pengumuman rasmi pertama Cyndaquil sebagai watak utama Hari Komuniti untuk bulan November adalah pada 25 Oktober lalu, namun maklumat lanjut mengenai Hari Komuniti itu telah diumumkan Niantic, Inc selaku pembangun aplikasi permainan Pokémon GO pada tarikh 5 November 2018 di dalam bahagian berita di dalam permainan dan di seluruh platform media sosial yang ada.





Di dalam pengumuman tersebut ada disertakan beberapa maklumat mengenai Hari Komuniti bulan November termasuklah:

- Cyndaquil sebagai watak utama.
- Waktu Hari Komuniti: 12:00 pm hingga 3:00 pm JST (11:00 pg hingga 2:00 pm waktu Malaysia)
- Bonus 2x XP untuk setiap tangkapan sepanjang tempoh Hari Komuniti.
- Bonus 2x Stardust juga untuk setiap tangkapan sepanjang tempoh Hari Komuniti.
- Quilava yang dievolusi kepada Typhlosion akan dapat gerakan serangan istimewa, Blast Burn.

Blast Burn adalah serangan jenis besi yang kuat. Typhlosion dengan serangan Blast Burn menjadikan Pokémon tersebut akan menjadi lebih kuat daripada Typhlosion biasa sebelum ini.

Dan sudah tentu, walaupun tidak diumumkan, perkara yang ditunggu-tunggu pemain Pokémon GO setiap kali menjelang Hari Komuniti adalah kemunculan Pokémon dalam varian shiny-nya. Dan itulah yang aku tunggu hampir setiap kali Hari Komuniti.



PERSEDIAAN AWAL.

Kebetulan, Hari Komuniti Cyndaquil ini berlangsung di dalam tempoh masa acara Stardust Blast. Stardust Blast adalah satu acara yang diadakan Niantic dengan memberi dua kali ganda ganjaran Stardust untuk setiap tangkapan dan tetasan telur. Acara ini berlangsung selama seminggu bermula Rabu 7 November jam 4 am waktu Malaysia sehingga Rabu 14 November jam 4 am waktu Malaysia.

Bermakna, semasa Hari Komuniti, dengan bonus 2x Stardust untuk tangkapan yang diberikan dan serentak dengan bonus acara Stardust Blast, maka Stardust yang boleh dikutip untuk setiap tangkapan adalah 4 KALI GANDA. Malah, jika pemain menggunakan Star Piece, bonus yang akan diterima akan mencecah 6 KALI GANDA.

Dengan kata lain, Hari Komuniti ini adalah waktu terbaik untuk kumpul Stardust.

Maka, aku memang berniat untuk gunakan Star Piece yang aku ada tidak terpakai di dalam simpanan pada hari tersebut.

Juga, sekali lagi,
Hari Komuniti kali ini menjadi Hari Komuniti ketiga (selepas Hari Komuniti Chikorita dan Beldum sebelum ini) di mana aku tiada powerbank. Telefon bimbit aku perlu berada pada tahap optimum 100% untuk 3 jam bermain Pokémon GO tanpa henti, maka aku perlu rancang penggunaan tenaga bateri aku pada hari tersebut.

Dan dengan menggunakan alasan sekarang musim hujan di waktu petang, maka sekali lagi aku buat keputusan untuk menggunakan pengangkutan awam untuk ke destinasi yang dituju.



MISI.

Kelancaran melalui Hari Komuniti bergantung kepada apa misi aku pada hari tersebut.
Antara misi yang sudah aku tetapkan termasuklah:

1. Tangkap sebanyak mungkin Cyndaquil.
2. Tangkap paling kurang 3 shiny Cyndaquil.
3. Dapatkan satu Typhlosion dengan serangan api Blast Burn, dan satu shiny Typhlosion dengan serangan api Blast Burn.
4. Lawan paling kurang satu level 5 boss raid, Giratina.
5. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.


Misi di atas adalah olahan sama daripada misi untuk Hari Komuniti Beldum sebelum ini. Tapi hakikatnya aku hanya menyertai Hari Komuniti kerana peluang untuk dapatkan varian shiny lebih tinggi berbanding hari-hari biasa yang lain.

Level 5 boss sekarang dihuni oleh Giratina, Pokémon lagenda daripada generasi 4 (Sinnoh) jenis Hantu dan Naga. Jujurnya, Pokémon ini tidaklah relavan dari segi meta kerana banyak lagi Pokémon Hantu dan Naga yang jauh lebih hebat daripada Giratina, tapi niat asal aku mencari raid level 5 adalah untuk XP-nya (10,000 XP)

Aku juga berniat untuk menyertai raid boss di mana-mana EX RAID GYM yang ada supaya berpeluang untuk dijemput menentang Deoxys, Pokémon lagenda terbaru yang menjadi EX raid boss.

Dan lokasi aku pada Hari Komuniti bulan November ini, tidak lain tidak bukan, masih lagi kawasan kegemaran yang mempunyai kunjungan para pemain Pokémon GO paling tinggi di seluruh Malaysia, Taman KLCC, Kuala Lumpur.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.



HARI KEJADIAN, HARI KOMUNITI.

Kali ini, aku akan lebih teliti dalam memceritakan dari segi masa dan harga (pengangkutan awam) atas tujuan simpanan rekod, supaya aku boleh rujuk di kemudian hari.

Aku keluar dari tempat tinggal aku menaiki motosikal untuk ke stesen MRT berdekatan pada jam 9:00 pagi. Namun, akibat berlakunya 'drama' kehidupan di sebuah stesen minyak tempat aku singgah, aku hanya sampai ke stesen MRT itu pada jam 9:42 pagi.

Di stesen MRT Sungai Buloh, aku parkir motosikal di sebuah tempat letak motosikal dengan bayaran RM 1.10. Dengan menggunakan kad Touch 'n Go yang berbaki RM 6.21, aku masuk ke dalam terminal menunggu stesen. Pada jam 9:52 pagi, tren datang dan membawa aku menuju destinasi.

Destinasi aku, Stesen MRT Bukit Bintang.

Sampai Stesen MRT Bukit Bintang pada jam 10:35 pagi. Semasa keluar, kad Touch 'n Go aku menunjukkan nilai perjalanan yang dibayar aku ialah RM 3.40, dan kad berbaki RM 2.81, tidak cukup untuk digunakan semasa perjalanan pulang. Daripada stesen itu, aku perlu berjalan kaki menuju ke Pavilion dan seterusnya menuju ke KLCC menggunakan laluan pejalan kaki berhawa dingin.

Akhirnya aku sampai ke Taman KLCC pada jam 10:54 pagi, 6 minit sebelum bermulanya Hari Komuniti.

Tepat jam 11, aku baru buka aplikasi Pokémon GO (demi menjimatkan bateri). Permainan gagal dimasuki. Beberapa 'error' muncul di skrin telefon. Orang keliling yang juga aku teka bermain Pokémon GO mula kedengaran merungut. Aku juga merungut.

Beberapa minit berlalu, aplikasi Pokémon GO masih juga belum boleh dibuka dan dimasuki. Permainan tidak boleh dimain. Mulanya aku syak masalah capaian internet (sebab Celcom selalu menghampakan aku) tapi aku silap. Apabila aku buka Twitter rasmi Pokémon GO (@PokémonGOApp), ramai pemain mengutarakan kekecewaan yang dihadapi mereka di ruangan reply. Aplikasi tidak boleh diakses kerana terdapat masalah server yang sedang menerima trafik yang banyak.

Jam baru menunjukkan 18 minit selepas pukul 11, tapi bateri aku sudah susut daripada 100% kepada 90%. Aku kaget. Aku risau. Takut pada saat aplikasi boleh diakses, bateri aku sudahpun berada di tahap kritikal.

Aplikasi masih lagi tidak boleh diakses selepas 40 minit Hari Komuniti berlalu. Bateri semakin susut ke angka 70-an. Aku jadi hampa. Akhirnya aku buat keputusan untuk ke Surau Suria KLCC dan menggunakan charger yang aku bawa dari rumah dan cas telefon aku. Di sana, aku termenung sehingga jam 12:15 sambil mengecas telefon. Apabila capai bateri 85%, aku kembali keluar ke Taman KLCC untuk cuba membuka aplikasi. Masih lagi gagal.

Kesabaran aku berbaloi apabila pada 12:30 tengahari, aplikasi berjaya diakses. Akhirnya!

Pengembaraan aku untuk memburu Cyndaquil BERMULA.


Cyndaquil shiny pertama aku diperoleh pada jam 13:10.


Perbandingan antara Cyndaquil biasa (kiri) dengan Cyndaquil shiny.



Sehingga jam 2 (14:00), aku berjaya tangkap 5 Cyndaquil shiny.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 13:10 CP 363, jam 13:14 CP 624, jam 13:19 CP 296


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 13:20 CP 10, jam 13:23 CP 385


Pada jam 13:38, aku evolusikan satu Cyndaquil biasa kepada Quilava dan seterusnya Typhlosion untuk mendapatkan serangan eksklusif Blast Burn sebagai kenangan. Aku juga evolusikan satu Cyndaquil shiny kepada Quilava shiny dan seterusnya Thphlosion shiny.

Maka, aku sudahpun mempunyai satu keluarga lengkap Cyndaquil shiny.





Sebelum jam 14:00, aku berjaya sertai raid Level 1 Shinx dengan harapan akan dapat Shinx shiny. Namun nasib aku tidaklah sebegitu baik. [Shinx adalah satu Pokémon daripada generasi 4 Sinnoh yang baru diperkenalkan dan menjadi boss raid untuk level 1 dan mempunyai varian shiny yang sudah dilepaskan.]


Jam menunjukkan jam 2 (14:00), namun Cyndaquil masih lagi muncul di sekitaran. Apabila aku buka Twitter, Niantic mengumumkan akan melanjutkan waktu Hari Komuniti dengan ekstra 2 jam sebagai pampasan kepada masalah teknikal di awal waktu tadi.

Maka, aku berniat untuk meneruskan pemburuan Cyndaquil sehingga ke jam 3.

Sehingga jam 3 (15:00), aku berjaya tangkap tambahan 3 lagi Cyndaquil shiny.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 14:09 CP 217, jam 14:23 CP 445, jam 14:47 CP 148.


Pada saat Cyndaquil shiny kelapan (terakhir) aku ditangkap, bateri sudahpun menunjukkan tinggal 20% sahaja. Pada jam 3, walaupun masih ada satu jam lagi 'masa tambahan' untuk Hari Komuniti, aku buat keputusan untuk tutup aplikasi.

Adalah bijak bagi seseorang untuk tahu di waktu bila dia patut berhenti melakukan sesuatu.

Selepas solat Zohor di Surau KLCC dan mengambil sedikit kesempatan masa untuk mengecas telefon, aku pun buat keputusan untuk pulang (bererti aku perlu berjalan semula ke Pavilion dan seterusnya ke MRT Bukit Bintang).

Disebabkan bateri sudahpun dicas sedikit, aku berasa adalah rugi untuk aku berjalan sejauh itu dan tidak buka aplikasi Pokémon GO dan mendapatkan kilometer untuk buddy dan telur. Maka aku pun buka aplikasi. Dan apabila menghampiri Pavilion, aku dapati salah sebuah PokéGym di situ sedang menanti telur level 5 untuk menetas.

Tepat sahaja aku sampai ke perkarangan Pavilion, telur level 5 pun menetas. Giratina menonjolkan diri. Lalu, aku bersama-sama dengan 13 pemain Pokémon GO yang lain (yang semuanya tidak aku kenali) pun menyertai raid itu dan akhirnya berjaya aku tangkap Giratina pada CP 1903 (Giratina IV 100% berada pada CP 1931 level 20)

Seterusnya, aku terus menuju ke MRT Bukit Bintang untuk pulang. Disebabkan kad Touch 'n Go aku hanya tinggal RM 2.81, maka aku terpaksa beli token untuk pulang. Walaupun destinasinya sama, namun token untuk ke MRT Sungai Buloh berharga RM 3.90 (berbanding menggunakan Touch 'n Go, RM 3.40 : Jimat 50 sen)

Aku memasuki stesen MRT Bukit Bintang pada jam 16:40. Tren ke Sungai Buloh tiba pada jam 16:44. Aku sampai di stesen MRT Sungai Buloh pada jam 17:27 dan seterusnya menaiki motosikal dan sampai ke kawasan perumahan pada jam 18:00 dan seterusnya singgah di masjid untuk solat Asar (yang lewat) sebelum pulang ke rumah.

Hari Komuniti Cyndaquil, TAMAT.




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Cyndaquil.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti, aku pernah tangkap 104 Cyndaquil. Selepas Hari Komuniti pula, data menunjukkan aku sudah tangkap Cyndaquil sejumlah 168. Ini bermakna, sepanjang Hari Komuniti, aku berjaya tangkap [168-104=] 64 Cyndaquil.
Angka ini boleh dianggap rendah memandangkan motivasi aku merudum teruk apabila Hari Komuniti ini bermula dengan 'server errors' selama hampir 1 jam setengah. Dengan baki masa yang ada, aku hanya berusaha untuk tangkap seberapa shiny yang boleh, bukannya seberapa banyak Cyndaquil yang mampu.


2. Tangkap paling kurang 3 Cyndaquil shiny.

Daripada 64 Cyndaquil yang aku tangkap sepanjang tempoh Hari Komuniti ini, 8 daripadanya adalah shiny.


3. Dapatkan satu Typhlosion dengan serangan api Blast Burn, dan satu shiny Typhlosion dengan serangan api Blast Burn.

Aku berjaya evolusikan satu Quilava kepada Typhlosion dengan serangan Blast Burn, dan juga satu Quilava shiny kepada Typhlosion shiny dengan serangan Blast Burn.


4. Lawan paling kurang satu level 5 boss raid, Giratina.

Satu Giratina berjaya ditangkap walaupun perkara itu berlaku selepas tamatnya tempoh Hari Komuniti.


5. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.

Berlaku ketidakpastian dalam menentukan tenaga bateri sebenar untuk keseluruhan aktiviti kerana kehadiran masalah teknikal di pihak Niantic dan Pokémon GO.


Kesimpulannya,
Hari Komuniti ini boleh dikira berjaya walaupun bermula dengan kehampaan. Highlight utama hari ini adalah shiny Cyndaquil (dan seluruh evolusinya).

Aku juga langsung tidak menggunakan Star Piece dan mengambil peluang bonus berganda untuk Stardust. Aku langsung tidak ingat tentang Star Piece kerana terlalu dibawa-bawa dengan masalah gagal akses masuk. Satu kerugian di situ.

Sepanjang tempoh Hari Komuniti ini juga, aku berjaya tingkatkan XP aku daripada 832,105 XP (level 39) kepada hanya 875,220 XP pada level yang sama. Peningkatan hanya 43,115 XP semuanya disebabkan kurangnya aktiviti aku menangkap Cyndaquil. Level 39 memerlukan aku capai 5,000,000 sebelum boleh naik ke level terakhir, level 40.

Jauh lagi perjalanan.





HARI KOMUNITI SETERUSNYA.

Terlalu awal untuk pengumuman rasmi Hari Komuniti bulan Disember nanti.

Tekaan aku, Pokémon yang akan dipilih sebagai watak utama untuk Hari Komuniti itu mestilah mempunyai 2 evolusi, masih tidak dilepaskan varian shiny-nya, dan berbaloi untuk para pemain menangkapnya.

Tekaan aku, PIDGEY! (Senyum senget!)

Tarikh Hari Komuniti untuk bulan depan bulan Disember pun belum diumumkan. Kemungkinan besar akan mengelak daripada menghampiri cuti Krismas dan cuti tahun baru. Mungkin akan jatuh pada 8/9 Disember atau 15/16 Disember. Aku harap jatuh pada 8 Disember.



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Bertemu lagi di episod bulan Disember yang bakal menyusul kemudian.

Buh-bye!
*berlalu pergi sambil terbang di belakang Pidgey*



Oh, Bonus!
Pada jam 14:17, di PokéGym berhampiran, munculnya satu telur yang eksotik dan berbentuk pelik. Aku tahu ini hanyalah glitch yang berlaku di dalam aplikasi hanya di dalam telefon aku, tapi kelakar gila tengok telur bentuk lonjong begitu. HAAHAHAHAAH!





.

Nov 7, 2018

Mesej Tersembunyi [LEVEL 3]


Salam.

Selamat datang ke entri Mesej Tersembunyi LEVEL 3.





Level pertama: 'Mesej Tersembunyi'
Level kedua: 'Mesej Tersembunyi #2'


Untuk siri 'Mesej Tersembunyi' ini, aku ada sorok kata rahsia di satu tempat di dalam entri ini. Di mana aku sorok, bagaimana cara nak dapatkannya akan berbeza tiap kali siri. Apa yang kalian perlu buat adalah cari kata rahsia itu dan tinggalkan di ruangan komen.

Siapa paling awal tinggalkan komen 'kata rahsia' dikira pemenang utama. Yang berjaya jumpa kata rahsia dan tinggalkan di ruangan komen juga dikira pemenang walaupun bukan yang pertama.

Buat masa sekarang aku tidak terniat untuk beri hadiah kepada pemenang kerana pada level ini, kata rahsia yang tersorok amat senang untuk ditemui. Namun aku ada perancangan untuk tingkatkan kesusahan di masa akan dan kemungkinan sesiapa yang boleh selesaikannya akan diberi hadiah.

Dan cabaran entri Mesej Tersembunyi ini akan meningkat mengikut level. Kepada yang rasa tidak tahu mana nak mula, boleh cuba dahulu cari mesej yang aku sembunyikan di level-level sebelum ini.

Ini baru level ketiga, jadi jangan risau. Ia langsung tidak susah.


Tujuan.

Entri ini tiada tujuan khusus. Aku buat sekadar suka-suka. Aku suka cabaran puzzle macam ni, jenis yang buat gear dalam otak berpusing bekerja. Otak kita ni macam mesin. Kalau lama tidak bekerja, boleh berkarat.

Salah satu sebab aku buat entri ini juga adalah untuk kongsi gambar yang ada dalam galeri telefon bimbit aku. Entahlah, bila aku skrol galeri dalam telefon aku ini, banyak rupanya gambar yang (pada aku) menarik tapi entah kenapa aku langsung tak kongsi di media sosial. Jadi melalui entri ini, paling tidak, gambar-gambar itu akan berguna juga tidaklah terperap di dalam kad memori menunggu untuk hilang disebabkan korup.




Jadi apa lagi yang ditunggu?
Bolehkah kalian cari di mana kata rahsia yang aku sorokkan?

Macam mana nak tahu itu kata rahsia? You'll know it just by looking at it.

Good luck!




.

Nov 5, 2018

PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Kelongsong Serangga Berpuaka.



Salam.

Wow! It's November already.
Sedar tak sedar ada kurang dua bulan sahaja untuk tahun 2018.

Moving on!

Bulan baru bermakna episod baru di dalam siri Penyelidikan Lapangan. Untuk November, watak utama penyelidikan adalah satu misteri kerana trio lagenda binatang sudahpun selesai diberikan pada setiap bulan sejak tiga bulan yang lepas.


Sumber: Niantic, Inc. (Instagram: @PokemonGOApp)



Selamat datang ke episod baru Penyelidikan Lapangan.

Jika kalian baru sahaja tahu tentang siri ini, kalian agak lewat.

Sila baca episod sebelum ini:
1 - Episod Burung Api Lagenda.
2 - Episod Burung Elektrik Lagenda.
3 - Episod Burung Ais Lagenda.
4 - Episod Raksasa Tidur.
5 - Episod Kucing Besar Elektrik Lagenda.
6 - Episod Singa Api Lagenda.
7 - Episod Serigala Air Lagenda.

Dan seperti biasa, pemberitahuan:
Ini adalah entri yang sarat dengan istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.

FIELD RESEARCH (Penyelidikan Lapangan) adalah salah satu feature di dalam Pokémon GO seperti pengembaraan di mana apabila pemain pergi ke satu lokasi dan memusing cakera gambar di PokéStop, pemain akan diberikan tugasan untuk diselesaikan. Setiap tugasan ada ganjarannya sendiri, dan apabila tugasan pertama untuk hari itu dapat diselesaikan, pemain akan diberi cop tarikh. Cop tarikh hanya diberi satu setiap hari dan apabila berjaya mengumpul 7 cop tarikh, maka ada ganjaran yang lebih besar akan diberi.

Sejak Penyelidikan Lapangan diperkenalkan bermula bulan April, tiga bulan pertama akan memberikan trio Pokémon lagenda burung; Moltres, Zapdos, dan Articuno. Pada bulan lepas bulan Julai, ganjarannya adalah Pokémon Snorlax dengan serangan legasi 'Body Slam'. Bulan Ogos pula menyaksikan permulaan kepada trio 'legendary beast' sebagai ganjaran, dimulakan dengan 'legendary beast' Raikou, Entei pada bulan September, dan Suicune menutup tirai trio pada bulan Oktober.

Pada 26 Oktober lalu, satu pengumuman muncul di slot 'News' (Berita) di dalam Pokémon GO. Pokémon yang akan menjadi ganjaran kepada Penyelidikan Lapangan pada bulan November ini ialah sejenis Pokémon yang buat pertama kalinya akan dilepaskan di dalam permainan Pokémon GO ini, iaitu Shendinja.






Shedinja menjadi pilihan sesuai kerana Pokémon ini adalah Pokémon daripada jenis Serangga dan jenis Hantu. Pokémon GO baru sahaja selesai melangsungkan acara seminggu sempena Halloween (31 Oktober) dengan melepaskan Pokémon jenis Hantu secara banyak di keliaran. Juga, bulan November dipilih sebagai bulan yang meraikan jenis Serangga, menjadikan pemilihan Shedinja sangat tepat dengan kedua-dua tema ini.

Shedinja adalah Pokémon daripada Hoenn (Generasi ketiga) dan menghuni indeks nombor #292 di dalam Pokédex Pokémon GO. Shedinja adalah evolusi kepada satu Pokémon lain, Nincada (bernombor indeks #290) dan proses evolusinya dianggap istimewa.

Di dalam permainan utama Pokémon (bukan Pokémon GO), Nincada yang berevolusi di level ke-20 akan berubah menjadi Ninjask, dan jika di dalam bahagian simpanan Pokémon (yang berenam itu) ada satu lagi ruang kosong, maka Shedinja akan diberikan. Proses evolusi ini dianggap istimewa, namun di dalam Pokémon GO adalah amat susah untuk diolah membuatkan Shedinja diberikan sebagai ganjaran mingguan untuk Field Research.

Ini merupakan kali pertama Shedinja diperkenalkan di dalam Pokémon GO, maka para pemain akan berebut untuk mendapatkannya supaya Pokémon tersebut dapat didaftar (registered) di dalam Pokédex.

Tanpa berlengah masa, pengembaraan aku untuk menangkap Shedinja pun BERMULA!


------------------------- ------------


Shedinja hanya boleh didapati sebagai ganjaran untuk Research Breakthrough bermula 1 November 2018 jam 1 petang PDT, dan jika ditukar ke waktu Malaysia, bermula 2 November 2018 jam 4 pagi.

Berkat kegigihan, aku masih lagi tidak langsung pernah tertinggal satu pun cop tarikh untuk Field Research setiap hari bermula daripada feature Field Research mula diperkenalkan. Untuk kali ini aku perlu berhati-hati kerana 2 November jatuh pada hari Jumaat, hari aku untuk terima ganjaran Field Research.

Untuk dapatkan Shedinja (bukan Suicune), aku kena pastikan aku buka ganjaran itu selepas dari jam 4 pagi 2 November. Jika aku buka awal daripada itu, aku akan dapat Suicune dan perlu tunggu tujuh hari lagi untuk dapatkan Shedinja.











Selepas seminggu selesaikan tugasan dengan penuh kegigihan, pada tarikh 2 November, pagi selepas daripada jam 4, aku berpeluang bertemu semula dengan si Professor yang obses dengan Pokémon ini.





Dan seterusnya memberikan aku kotak terkandung ganjaran daripada hasil kumpul cop setem bertarikh setiap hari.





Selepas kotak itu ditekan, beberapa ganjaran lain juga muncul seperti:
- +2000 Stardust
- +3000 XP
- +5 Pinap Berries,

dan seterusnya aku berpeluang untuk menangkap hasil ganjaran untuk bulan ini.







Muncullah Shedinja pada level 15 dengan CP 155. Diberikan Pokémon itu dengan Pinap Berry untuk menggandakan candy Shedinja dua kali ganda (2x3 = 6) kerana Shedinja sebagai ganjaran ini TIDAK AKAN MELARIKAN DIRI. Selepas hanya satu kali balingan, Shedinja berjaya ditangkap!





Dan Shedinja pun menyertai beratus Pokémon lain dengan didaftarkan di dalam Pokédex aku buat pertama kalinya.

Di dalam Pokédex, Shedinja diterangkan sebagai:
'Shed Pokémon
Shedinja's hard bodu doesn't move - not even a twitch. In fact, its body appears to be merely a hollow shell. It is believed that this Pokémon will steal the spirit of anyone peering into its hollow body from its back.
'

Shedinja pertama sebagai ganjaran Field Research Breakthrough yang aku tangkap ini selepas dikira berada di pada 84% untuk IV (individual value). 100% IV Shedinja pada level 15 mempunyai CP 180, bermakna semakin hampir CP Shedinja yang ditangkap dengan angka itu, maka IV-nya semakin bagus.

Setelah dikira, kalau aku mampu kekalkan setiap hari satu cop tarikh, aku mampu dapat maksimum 5 Shedinja (termasuk yang pertama ini) sepanjang bulan November. Aku buka ganjaran untuk Field Research setiap hari Jumaat dengan tarikh Jumaat terakhir bulan ini ialah pada 30 November.



Ulasan.

Shedinja di dalam permainan Pokémon yang utama adalah Pokémon yang istimewa, namun disebabkan Pokémon GO adalah versi ringkas untuk permainan itu (sebab dijadikan aplikasi telefon bimbit), maka keistimewaannya sedikit rumit untuk diolah. Namun, tindakan Niantic menjadikan Shedinja sebagai Pokémon istimewa yang hanya boleh didapati melalui Field Research juga menjadikan Shedinja ini sedikit istimewa berbanding Pokémon lain.

Tapi Shedinja pada level 15 memerlukan banyak candy jika mahu ditingkatkan. Malah, Shedinja bukanlah sejenis Pokémon yang relevan dan boleh digunakan di dalam pertarungan mahupun dijadikan Pokémon pertahanan di dalam PokéGym.

Bersama-sama Shedinja sebagai ganjaran Field Research dan bulan November yang bertemakan Pokémon jenis Serangga, Nincada (dan evolusinya, Ninjask) juga mula dilepaskan. Nincada boleh diperoleh melalui tugasan Field Research 'Catch 5 Bug-Type Pokémon' dan evolusinya Ninjask pula memerlukan 50 Nincada candy..

Secara peribadi, aku sukakan Shedinja dijadikan Pokémon ganjaran untuk Field Research. Tidaklah kita selalu sangat disogokkan dengan Pokémon lagenda sahaja sehingga terlalu banyak dan dirasakan kurang bernilai.

Untuk bulan depan bulan Disember, kalau perlu diteka, kemungkinan ganjaran untuk Field Research akan kembali menjadi Pokémon lagenda. Jika ikutkan 'trend', trio burung dari generasi pertama sudah, trio binatang dari generasi kedua pun sudah, maka mungkin tiba masa untuk trio titan dari generasi ketiga pula akan mengambil alih (Regice, Registeel, dan Regirock)

Aku teka trio titan itu akan dimulakan dengan Regice kerana bertepatan dengan tema ais dan salji untuk musim salju bulan Disember.

Apa-apapun, itu cuma tekaan. Sama ada betul Regice akan menjadi ganjaran Field Research, semuanya hanya akan terjawab pada hujung bulan ini.

Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Lapangan di bulan hadapan.
Selamat menjalankan penyelidikan!





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License