Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 26, 2020

Misteri yang Tidak Perlu Dibongkari.


Salam.




Begini.

Baru-baru ini aku ada kemas external hard disk aku yang semakin penuh.
External hard disk ini boleh penuh kerana terisi dengan data dari laptop yang aku terpaksa jual semasa struggle nak cari duit untuk pembedahan tahun lepas. Sudah hampir setahun aku abaikannya, maka pada hemat aku sudah masanya untuk aku kemas isi kandungannya.

Mengejutkan aku, terdapat beberapa folder (yang aku percaya datang dari laptop itu) berisi hasil lukisan digital yang tak pernah aku ingat aku pernah lukiskannya.

Aku jarang lupa pernah lukis sesuatu, sebab macam yang aku pernah ceritakan melukis adalah satu proses aku meluahkan. Prosesnya lebih penting daripada lukisan, jadi kalau aku lupa lukisan paling tidak aku akan ingat prosesnya, walau sedikit.

Tapi untuk lukisan di dalam folder ini, aku langsung tiada memori 100% mengenainya. Sama ada lukisan ataupun prosesnya, langsung tiada memori.

Adakah itu lukisan orang lain yang lukis? TIDAK.
Kerana aku sangat yakin itu stroke aku. Betapa 'tidak sempurna'nya lukisan itu membuatkan aku yakin itu lukisan aku.

Tapi,
bagaimana aku boleh tiada memori mengenainya?

Nasib baik aku ada bentuk satu habit yang sedikit membantu;
aku akan letak tarikh pada nama lukisan aku, menjadikannya seperti diari masa.

Ya, tarikh dalam 'properties' mungkin membantu, tapi sesetengah fail akan hilang properties asli apabila disalin (copy), maka letak tarikh pada nama tajuk adalah cara kedua aku untuk simpan data masa tersebut.

Daripada tarikh itu, aku selak planner aku untuk lihat apa yang berlaku pada tarikh berkenaan.
Sejak tahun 2015, aku sentiasa tulis planner sebagai ganti diari dan sebagai satu cara untuk merekod diri.

Malangnya,
untuk tarikh yang tertera pada lukisan itu, entri di dalam planner itu kosong. Yang menarik, kesemua tarikh pada lukisan 'misteri' itu mesti menjurus kepada entri planner yang kosong.

Selalunya entri planner kosong bermakna tiada perkara menarik berlaku pada hari tersebut. Tapi jika aku melukis pada hari tersebut, paling tidak mesti ada sesuatu berlaku pada hari itu dan planner sepatutnya tidak kosong.

Maka, misteri lukisan-lukisan ini masih tiada jawapan.

Bagaimana boleh wujud lukisan yang aku tiada memori mengenainya?
Kenapa setiap tarikh pada lukisan tersebut menjurus kepada entri planner yang kosong.

Aku suka misteri.
Tapi untuk misteri ini, aku buat keputusan untuk tidak mahu bongkarinya.

Pada aku, ada sebab kenapa sesetengah memori dalam kepala aku tidak dibangkitkan. Sesetengah memori ditekan dan disimpan oleh otak atas sebab-sebab tertentu, maka aku ambil keputusan untuk langsung tidak mencuba untuk bangkitkannya.

Ada sebab kenapa aku pada masa silam menekan memori tersebut dalam-dalam supaya tidak dibangkitkan semula.

Sesetengah misteri tidak perlu dibongkari.



Sekian.



  




.

Feb 19, 2020

Kenapa Aku Perlu Ada Sampai DUA Akaun Instagram Untuk Melukis?


Salam.




"Kenapa kau perlu ada sampai dua akaun Instagram untuk melukis?"

Tidak.
Tiada siapa pernah tanya aku soalan di atas,
paling tidak tiada siapa yang berani bertanya berdepan.

Tapi soalan di atas adalah satu soalan yang sering kali aku tanya diri sendiri.

Kepada yang tidak tahu, aku ada dua akaun Instagram untuk melukis;
@cerolian dan @planetcero.
Untuk kendali satu akaun pun sudah buat aku lemas dan rimas,
tapi akhirnya aku ada sampai dua.
Persoalannya, kenapa?

Bila berbicara tentang melukis, aku sentiasa ada konflik dalaman.

Aku sedar sejak dari dulu lagi kemahiran melukis aku belum cukup baik.
Aku jadi cemburu melihat mereka-mereka yang lain dapat lukis lebih baik, dapat hasilkan karya lukisan (komik atau ilustrasi) yang jauh lebih tinggi kualitinya berbanding aku.
Jadi aku tekad untuk jadi lebih baik.
Paling tidak lebih baik daripada aku yang semalam.
Nak mencapai tahap tinggi mungkin jauh lagi, tapi aku mahu setiap kali aku hasilkan sesuatu, adanya peningkatan mutu.
Perkembangan sedikit demi sedikit inilah yang aku kejar.

Jadi,
untuk berkembang, aku kena banyak berlatih.
Banyak berlatih bermakna melukis sebanyak yang mungkin,
sebab itulah antara azam aku tahun ini (dan tahun lepas) adalah melukis 1000 lukisan dalam setahun.

TAPI...

Aku dapat ketenangan melalui proses melukis itu sendiri.
Melukis adalah hobi aku, menjadi 'escape route' aku apabila aku penat dengan kehidupan seharian.
Dengan lukisan, aku dapat ekpreskan diri aku yang mungkin tidak boleh aku luahkan dengan mulut dan kata-kata.

Dengan kata lain, aku mahu melukis apa yang aku mahu lukis,
secara bebas, bila-bila masa aku mahu,
di mana sahaja aku mahu.

Ini bercanggah dengan perkara pertama tadi di mana aku perlukan latihan berterusan untuk terus berkembang.

Sebahagian daripada kalian mungkin tidak nampak konfliknya di sini.
Aku mudahkan.

Separuh daripada aku mahu berkembang, bererti melukis sebanyak yang boleh.
Separuh lagi mahukan ketenangan, melukis bila mahu melukis.

Disebabkan konflik inilah, wujud DUA akaun Instagram aku untuk melukis.



@planetcero aku khususkan untuk proses perkembangan, di mana aku tetapkan jadual untuk diri sendiri dan muat naik karya (komik) dalam jadual yang aku sediakan.

Di situ, aku mengkaji apa yang membuatkan orang lain (yang aku cemburui) lebih berjaya dan aku aplikasikan di dalam hasil lukisan aku. Di situ juga di mana aku kejar azam lukis 1000 lukisan setahun tadi memandangkan komik empat panel bererti empat lukisan dalam satu karya. Di situ juga tempat aku untuk mengasah kreativiti dalam kemahiran menyampaikan mesej di mana aku belajar sedikit demi sedikit cara penyampaian mesej yang (lebih) berkesan.

Sebab itu, jika kalian ikuti aku di @planetcero, kalian akan dapati cara penyampaian aku sentiasa berubah kerana aku bereksperimentasi dengan segala benda.

@planetcero adalah tempat aku untuk berkembang.

Manakala,
akaun @cerolian pula adalah tempat di mana aku bebas untuk berkarya. Tiada peraturan tetap, tiada tema khusus, tiada jadual untuk muat naik. Di sini aku bebas untuk melukis apa sahaja yang aku mahu tanpa perlu tekanan mengejar tarikh masa.

Di sini juga aku bereksperimentasi, tetapi dalam bentuk yang lebih memuaskan hati sendiri berbanding mengejar bilangan 'likes'. Aku mendapat kepuasan pada proses penghasilan, bukan pada hasilnya. Apa yang aku kongsikan di @cerolian ini hanya sebahagian kecil kerana kebanyakan karya aku berhenti selepas ia siap tanpa perlu aku muat naik di mana-mana media sosial.

Subjek lukisan pun tiada konsep. Aku lukis apa yang aku mahu lukis. Sebab itu jika kalian ikuti aku di sini, kalian perasan yang aku suka lukis 'entah siapa-siapa entah' sebab kadang-kadang bila terlihat sesuatu (atau gambar seseorang) aku ada perasaan "ahh, nak lukis laa dia ni.."

Semuanya random di @cerolian.



Jadi, bila timbul persoalan
"Kenapa kau perlu ada sampai dua akaun Instagram untuk melukis?"
aku akan mengingatkan diri sendiri dengan tujuan kenapa dua akaun ini wujud.
Walaupun secara amnya miliki dua akaun tidak selesaikan konflik yang bercanggah di dalam diri, tapi paling tidak aku menyebelahi kedua-dua belah kerana pada aku, dua-dua konflik itulah yang membuatkan diri aku sebagai aku.

After all, why be yourself if you can be better,right?



Sekian.



  




.

Feb 12, 2020

Manusia Kurang, Manusia Juang.


Salam.




Minggu lepas,
sesuatu perkara kecil berlaku dan entah kenapa ia begitu terkesan dekat aku dari segi emosi. Bila emosi terkesan, mental juga ikut terkesan dan seterusnya fizikal juga turut terkesan. Sepanjang minggu lepas aku penat dari segi perasaan, pemikiran, dan juga badan.

Pada masa itu, aku bencikan manusia. Semua manusia. Kemampuan manusia untuk menyakitkan hati manusia lain tanpa sebab kukuh membuatkan aku meluat dengan manusia.

Hari Jumaat tiba.

Walaupun aku bencikan manusia, badan secara autopilot bergerak ke masjid (yang dipenuhi manusia) untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat. Hati masih panas melihat manusia yang bertopengkan kulit tetapi dalaman busuk bak umpama daging yang mereput. Namun aku tetap duduk bersama-sama manusia lain mendengar khutbah yang sepatutnya menjadi peringatan kepada manusia untuk menjauhi sifat durjana.

Separuh khutbah ke udara, nampak dari jauh seorang tua baru sampai ke masjid. Berjalan perlahan mengatur langkah satu demi satu menuju tangga masjid. Sampai ke pangkal tangga, langkah dia terhenti. Lama dia cuba mahu melangkah naik tetapi entah kenapa kakinya gagal diangkat, hanya terketar-ketar tidak mengikut arahan.

Si tua itu terasa susah mahu naik tangga dek kerana kudrat tuanya menghalang.

Tiba-tiba salah seorang jemaah yang sedang duduk berhampiran bangun dari tempat duduknya menuju ke arah pakcik tua itu. Remaja, mungkin akhir belasan atau awal dua puluhan, terus laju menerpa ke arah pakcik tadi dan membantunya naik tangga. Dipeluknya pakcik itu di pinggang dengan lengan pakcik itu menggulung bahu dia, perlahan-lahan dibantu pakcik itu untuk menjejak kaki satu persatu untuk setiap anak tangga.

Tidak. Remaja itu tidak mendukung pakcik itu naik tangga (walaupun itu cara lebih mudah untuk menolong), tetapi membantu pakcik itu menapak satu persatu memijak anak tangga yang ada sampailah naik ke dalam masjid.

Sampai ke dalam masjid, remaja itu membantu pakcik itu untuk duduk dengan memeluknya dari belakang dan dengan perlahan melabuhkan punggung pakcik itu ke lantai. Itu gerakan yang diajar melalui pengalaman. Dengan kata lain, itu bukan kali pertama remaja itu menolong orang tua untuk duduk.

Dan remaja itu kemudian kembali ke tempat duduknya tadi (yang entah kenapa tiada siapa merampas daripadanya walaupun masih banyak jemaah lain berdiri) menunggu khutbah habis dibacakan. Dari situ aku tahu, remaja itu tidak ada kaitan langsung dengan pakcik tua tadi, tapi masih mahu membantunya.

Semuanya hanya berlaku dalam kurang lima minit.


Dari situ aku belajar sesuatu.
Manusia penuh dengan kekurangan yang boleh membuatkan perasaan benci itu timbul. Namun manusia juga penuh dengan keajaiban yang boleh membuatkan perasaan benci tadi hilang.

Di kala aku hilang rasa percaya kepada manusia, datang petunjuk Yang Maha Esa melalui manusia juga memberitahu bahawa manusia masih lagi penuh dengan kemanusiaan.

Lagipun,
bila aku lihat di cermin, aku juga manusia.



Sekian.



  




.

Feb 5, 2020

#KomikcEro Sepanjang Januari 2020.


Salam.

Komik cEro sepanjang Januari 2020.










Untuk kalian lihat hasil-hasil lukisan aku, singgah ke Instagram aku @cerolian dan untuk komik #KomikcEro seperti ini di @planetcero

Bersusah payah kalian buka blog ini, lagi mudah kalau follow aku di media sosial. Tak rugi pun :)



Sekian.



  




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: