Salam.
Minggu lepas,
sesuatu perkara kecil berlaku dan entah kenapa ia begitu terkesan dekat aku dari segi emosi. Bila emosi terkesan, mental juga ikut terkesan dan seterusnya fizikal juga turut terkesan. Sepanjang minggu lepas aku penat dari segi perasaan, pemikiran, dan juga badan.
Pada masa itu, aku bencikan manusia. Semua manusia. Kemampuan manusia untuk menyakitkan hati manusia lain tanpa sebab kukuh membuatkan aku meluat dengan manusia.
Hari Jumaat tiba.
Walaupun aku bencikan manusia, badan secara autopilot bergerak ke masjid (yang dipenuhi manusia) untuk menunaikan kewajipan solat Jumaat. Hati masih panas melihat manusia yang bertopengkan kulit tetapi dalaman busuk bak umpama daging yang mereput. Namun aku tetap duduk bersama-sama manusia lain mendengar khutbah yang sepatutnya menjadi peringatan kepada manusia untuk menjauhi sifat durjana.
Separuh khutbah ke udara, nampak dari jauh seorang tua baru sampai ke masjid. Berjalan perlahan mengatur langkah satu demi satu menuju tangga masjid. Sampai ke pangkal tangga, langkah dia terhenti. Lama dia cuba mahu melangkah naik tetapi entah kenapa kakinya gagal diangkat, hanya terketar-ketar tidak mengikut arahan.
Si tua itu terasa susah mahu naik tangga dek kerana kudrat tuanya menghalang.
Tiba-tiba salah seorang jemaah yang sedang duduk berhampiran bangun dari tempat duduknya menuju ke arah pakcik tua itu. Remaja, mungkin akhir belasan atau awal dua puluhan, terus laju menerpa ke arah pakcik tadi dan membantunya naik tangga. Dipeluknya pakcik itu di pinggang dengan lengan pakcik itu menggulung bahu dia, perlahan-lahan dibantu pakcik itu untuk menjejak kaki satu persatu untuk setiap anak tangga.
Tidak. Remaja itu tidak mendukung pakcik itu naik tangga (walaupun itu cara lebih mudah untuk menolong), tetapi membantu pakcik itu menapak satu persatu memijak anak tangga yang ada sampailah naik ke dalam masjid.
Sampai ke dalam masjid, remaja itu membantu pakcik itu untuk duduk dengan memeluknya dari belakang dan dengan perlahan melabuhkan punggung pakcik itu ke lantai. Itu gerakan yang diajar melalui pengalaman. Dengan kata lain, itu bukan kali pertama remaja itu menolong orang tua untuk duduk.
Dan remaja itu kemudian kembali ke tempat duduknya tadi (yang entah kenapa tiada siapa merampas daripadanya walaupun masih banyak jemaah lain berdiri) menunggu khutbah habis dibacakan. Dari situ aku tahu, remaja itu tidak ada kaitan langsung dengan pakcik tua tadi, tapi masih mahu membantunya.
Semuanya hanya berlaku dalam kurang lima minit.
Dari situ aku belajar sesuatu.
Manusia penuh dengan kekurangan yang boleh membuatkan perasaan benci itu timbul. Namun manusia juga penuh dengan keajaiban yang boleh membuatkan perasaan benci tadi hilang.
Di kala aku hilang rasa percaya kepada manusia, datang petunjuk Yang Maha Esa melalui manusia juga memberitahu bahawa manusia masih lagi penuh dengan kemanusiaan.
Lagipun,
bila aku lihat di cermin, aku juga manusia.
Sekian.
.
dunia masih ada orang baik.
ReplyDeleteBukan semua manusia itu jahat begitu jugalah sebaliknya.
ReplyDeleteNumpang promo ya gan
ReplyDeletekami dari agen judi terpercaya, 100% tanpa robot, dengan bonus rollingan 0.3% dan refferal 10% segera di coba keberuntungan agan bersama dengan kami
ditunggu ya di dewapk^^^ ;) ;) :*
Hello nice bllog
ReplyDelete