Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 25, 2013

Terlentang Aku Dengan Tangan Mendepa Kepuasan.




Kalian masih ingat apa antara perkara yang memberi kepuasan hati yang pernah aku beritahu minggu lepas?
Kepuasan mengumpul.



Alhamdulillah.
Aku sudah selesai kumpul semua set Doraemon and Friends 3D Puzzle dari Select Shell.
Cerita bagaimana koleksi ini boleh selesai dikumpul menyedarkan aku bahawa kasih sayang Allah SWT ada di mana-mana, tidak kira apa.

Dalam entri minggu lepas,
aku tinggal satu lagi untuk cukupkan 8 set Doraemon dan rakan-rakan.
Aku ketiadaan Doraemon selaku watak utama,
sedangkan watak-watak lain aku sudah selesai kumpul.

Merasakan kebarangkalian 1/8 untuk dapat watak yang tepat untuk pembelian seterusnya adalah menghampiri mustahil,
aku decided untuk berhenti mencuba, dan mencuba dengan cara lain yang beih selamat (sistem barter).

Keesokannya selepas entri itu diterbitkan,
Abah dan Emak aku balik dari kampung.
Mereka bawakan aku satu hadiah.
Aku ingatkan kopiah dari Baling yang aku pesan,
rupanya sebuah kotak berwarna kuning yang sangat familiar.
Ianya berisi puzzle 3d berwarna biru.



Aku seronok, bercampur terharu, bercampur rasa nak menjerit macam pondan.

Kata Abah,
"Abah pergi isi minyak, nampak Doraemon, terus beli satu untuk hang."
Allah memang nak tolong aku. Bersyukur sangat.

Dengan adanya Doraemon selaku watak terakhir dalam misi pengumpulan aku,
maka selesai sudah permainan kebarangkalian yang aku sertai.
Alhamdulillah...

Tapi selesai kumpul 8 set tak bererti lengkap.
Koleksi aku dilengkapkan lagi dengan speaker dari set yang sama merangkap landskap diorama yang menunjukkan lokasi popular dalam siri animasi Doraemon iaitu tanah lapang.



Maka, lengkaplah sudah koleksi Doraemon and Friends 3D Puzzle aku.
Terlentang aku dengan tangan mendepa kepuasan.
Seminggu aku tidur tersenyum.

Oh, bagi yang turut mengumpul,
Shell ada buat satu tour promotion di mana para peminat boleh berkumpul dan saling bertukar mana-mana set yang extra di lokasi-lokasi tertentu di seluruh tanah air.
Untuk lebih lanjut, klik sini dan sini.
Dengar kata, siap ada 'Dokodemo Door' a.k.a 'Pintu Suka Hati' saiz sebenar.
Aku pun nak pergi juga. (^_^)







.

Aug 18, 2013

Game of Luck [Doraemon & Friends 3D Puzzle]




Kalian tahu apa antara perkara yang memberi kepuasan hati?
Kepuasan mengumpul.







Bagi yang pernah isi minyak di Shell,
pasti ada terlihat poster besar Doraemon terpampang di merata-rata ceruk Shell.

Select di Shell sedang menjalankan promosi Doraemon & Friends dengan menjual puzzle 3D berdasarkan watak-watak dalam siri Doraemon.
Promosi ini berlangsung dari 1 Ogos lepas sehingga 30 September.
3D puzzle adalah puzzle yang memberi bentuk solid berbanding puzzle klasik biasa yang hanya plane.
Bagi 3D puzzle Doraemon ini, puzzlenya membentuk kepala para watak.



Ada 8 watak semuanya;
Doraemon, Nobita, Shizuka, Suneo, Giant, Jaiko (adik Giant), Dorami (adik Doraemon) dan Genzō Doraemon (Genzō = development, merujuk kepada warna asal Doraemon selepas dicipta iaitu kuning)

Aku bukanlah peminat Doraemon yang hardcore.
Tapi aku sedar, aku membesar dengan Doraemon.
Manga Doraemon merupakan komik pertama aku baca semasa kecil.
Aku sentiasa akan menonton anime Doraemon yang disiarkan setiap sabtu 7pm jika ada kesempatan.
Aku dapat nampak Nobita dalam diri aku semasa aku kecil; seseorang yang pemalas dan sentiasa mahu bergantung kepada orang lain tanpa mahu berusaha.
Disebabkan itu, aku tekad nak kumpul semua watak untuk koleksi ini.

Nak dijadikan drama,
aku beli kotak yang pertama pada hari raya pertama.
Ketika itu, aku tahu satu 'ugly truth' tentang koleksi ini.
Setiap satu diisi di dalam kotak yang sama tanpa sebarang pengenalan.
Ini dikenali sebagai blind box/ blind pack.
Pembeli tidak tahu apa watak Doraemon dalam kotak yang dibeli.
Semuanya bergantung kepada nasib, dan sedikit kebijaksanaan.

Belian pertama aku, aku dapat Nobita.



Aku gembira. Tapi tak lama. Aku tiba-tiba menjadi analytical.
Ayat-ayat seterusnya adalah hanya tafsiran matematik aku yang ditukar kepada bentuk ayat,
ianya mungkin akan membosankan,
maka kepada sesiapa yang alah dengan matematik,
aku suggest korang skip ke perenggan selepas gambar seterusnya.

Dengan beranggapan pengeluaran untuk setiap jenis watak adalah sama dan susunan bagi pengedaran adalah secara rawak,
maka kebarangkalian untuk mendapat mana-mana watak pada sekali pembelian adalah 1/8 (12.5%).

Aku menganggap dengan mendapat watak yang berbeza adalah sebagai 'berjaya'
dan mendapat watak yang sama dan pernah aku dapat adalah 'gagal'.
Setiap yang 'gagal' tidak akan dimasuk kira
dan setiap yang berjaya akan meningkatkan peratusan gagal sebanyak 12.5%.

Maka, belian pertama aku (Nobita) adalah 100% berjaya.
Tetapi, untuk belian kedua aku, kebarangkalian berjaya menurun menjadi 7/8 (87.5%).

Aku buat keputusan, untuk belian kedua aku, aku akan beli dua kotak.
Maka, aku berpotensi mengalami 21/32 (65.625%) berjaya kedua-dua kotak (dua-dua kotak ada watak berbeza),
1/64 (1.5625%) untuk gagal dalam kedua-dua kotak (dua-dua kotak dapat Nobita),
dan 21/64 (32.8125%) berjaya satu kotak dan gagal satu kotak.

Hasilnya, aku dapat satu Giant (berjaya) dan lagi satu Nobita (gagal).
Aku tergolong dalam 32.8125%.
Aku sedikit bernasib malang.

Beberapa hari selepas itu, aku beli lagi dua kotak,
menjadikan ianya sebagai belian ketiga aku.

Kali ini, kebarangkali berjaya dalam kedua-dua kotak menurun menjadi 15/32 (46.875%),
kebarangkalian untuk satu kotak berjaya dan datu kotak gagal juga adalah 15/32 (46.875%)
dan selebihnya 1/16 (6.25%) adalah untuk gagal kedua-duanya.

Fair play, aku berjaya kedua-duanya.
Aku dapat Shizuka dan Suneo, menjadikan koleksi aku melonjak kepada empat daripada lapan.
Aku sudah berada di pertengahan permainan kebarangkalian yang kejam.

Dengan berjaya mengumpul 4 daripada 8,
maka kotak seterusnya menjadikan aku berpeluang sama 50% antara berjaya dan gagal.

Belian keempat aku hanya satu kotak,
sebab aku nak melihat di mana akan aku jatuh.
Sama ada dalam kelompok 50% berjaya atau 50% gagal.

Syukur,
aku berada di dalam 50% berjaya apabila watak yang aku dapat semasa aku membuka kotak tersebut adalah Jaiko, adik perempuan kesayangan Giant.

Jadi, permainan ini akan bertambah rumit dan susah.

Untuk belian kelima, aku beli dua kotak,
meletakkan diri aku di dalam potensi untuk berjaya dalam kedua-dua kotak hanya 3/32 (9.375%)
dan satu kotak berjaya satu kotak gagal 33/64 (51.5625%)
dan gagal dalam kedua-dua kotak menjadi 25/64 (39.0625%)

Hasilnya, aku dapat satu Dorami (berjaya) dan satu lagi Jaiko (gagal).
Ini menjadikan aku berjaya mengumpul 6 watak daripada lapan dan mempunyai lebihan Nobita dan Jaiko.

Permainan semakin sengit, aku masih lagi mahu mencuba nasib.
Belian keenam aku adalah sebanyak dua kotak, dengan
hanya 1/32 (3.125%) untuk berjaya dalam kedua-dua kotak,
dan 13/32 (40.625%) untuk satu berjaya satu gagal,
dan 9/16 (56.25%) untuk gagal kedua-duanya.
Bermakna, aku mempunyai lebih 96% untuk bertemu dengan kegagalan.
Permainan ini menjadi semakin kejam.

Alhamdulillah,
satu kotak berisi Genzō Doraemon (berjaya) dan satu lagi Suneo (gagal)
Ini menjadikan permainan kebarangkalian aku berada di 7 koleksi daripada 8 patut dikumpul.
Satu lagi yang belum ada adalah Doraemon.
Si watak utama.



Sehingga entri ini ditaip,
aku sudah membeli 10 kotak dengan 3 daripadanya adalah gagal (berulang).
Aku mempunyai extra untuk watak Nobita, Jaiko dan Suneo.
Tapi aku tidak mempunyai watak utamanya, Doraemon sendiri.

10 kotak sudah terlalu banyak.
Aku sudah sampai tahap tidak mahu membeli lagi.
Bukan hanya disebabkan faktor kewangan, akan tetapi aku merasakan untuk mendapat peluan 12.5% mencari Doraemon dalam setiap belian aku, ianya menghampiri kemustahilan.
Aku mungkin berjaya dalam satu belian,
aku juga mungkin gagal dalam 100 belian seterusnya.
Permainan ini sudah menjadi terlalu kejam terhadap dompet (baru) aku.

Di sini,
aku ingin membuka peluang untuk sesiapa yang ingin memiliki watak extra yang aku dapat.
Nobita, Suneo dan Jaiko.
Adalah lebih baik jika kalian mahu bertukar dengan Doraemon yang aku cari melalui sistem barter.
Kita boleh berbincang cara-cara untuk bertukar.

Sesetengah dari kalian akan kata ianya hanyalah satu obsesi gila,
membeli mainan kanak-kanak tanpa mengetahui isinya.
Aku tidak menafikannya, tapi aku ingin cuba membuatkan kalian faham
ini bukan hanya satu obsesi, tetapi lebih kepada sifat seorang pengumpul.
Koleksi yang tidak lengkap adalah satu kecacatan, kan?

Akhir kata,
kepada sesiapa yang ingin bertukar Doraemon dengan mana-mana Nobita, Jaiko ataupun Suneo, atau mana-mana dua dari watak yang disebut,
boleh menghubungi aku di twitter @cerolian (DM kalau segan),
atau message di inbox facebook Empire State of cEro,
atau tinggalkan emel di ruangan komen entri ini.

Please help me finish my collection
and help me rip away the obsession that, bit by bit, chows down my heart.
Please.

Setiap kotak berharga RM 8.90 di Select Shell dengan pembelian barangan promosi ataupun belanja RM6 ke atas.
Info lebih lanjut mengenainya di sini.





.

Aug 14, 2013

Perseid, Percy Jackson dan Purse Aku.




Kalian tahu tak apa yang sudah bertambah?
Berat badan aku.

Tapi bertambahnya berat badan aku tidaklah mengecewakan.
Apa yang lagi mengecewakan adalah tak dapat melihat hujan meteor Perseid.



Beriya keluar media sana sini yang fenomena pancuran hujan meteor Perseid daripada buruj Perseus yang dijangka dapat dilihat di ruang angkasa Malaysia pada Isnin lepas (12 Ogos 2013) sehingga Subuh esoknya (Selasa, 13 Ogos 2013).
Akulah antara yang paling bersemangat.

Antara hobi aku dulu adalah merenung langit malam.
Kadang-kadang, kena waktu yang gila sikit, aku siap cakap sorang-sorang lagi masa merenung langit malam.
Tapi langit malam dekat KL apalah sangat.
Paling kuat pun dapat nampak bulan dan bintang sebiji dua.
Sebab tu bila dengar ada hujan meteor dapat dilihat jelas dengan mata kasar,
aku jadi super eksaited.

Nak dijadikan cerita,
aku pergi laa ke port aku selalu pergi merenung langit malam.
Hentian bas depan sekolah aku dulu.
Since sekolah aku berada atas bukit, jadi permandangan malam memang clear.

Sunyi, separa gelap dan tiada orang.
Port ni pernah jadi sarang couple-couple durjana yang tak cukup bajet nak sewa hotel murah untuk melempias nafsu.
Majoritinya budak-budak muda yang spender pun mak basuhkan.
Buat rosak tempat betul spesies macam tu.

Tapi malam nak melihat hujan meteor Perseid ni, aku seorang saja dekat port tu.
Tak pasti orang lain tak seteruja aku, ataupun aku terlebih teruja datang awal.
Tapi aku peduli apa.

Berita kata start pukul 11 dah boleh nampak.
Tapi aku pukul 10.30 dah tercegat kat situ.
Aku pun menunggu.
Tetiba aku sedar sesuatu, suasana dah lain. Dah berubah.
Dulu cantik langit dari sini.
Sekarang, terlalu banyak pencemaran cahaya.
Gedung jualan perabot yang dekat sebatu sana dengan gigih memancar lampu berwarna-warni ke langit dengan tujuan menarik pelanggan.
Pukul 11 sapa nak beli perabot oi!!
Dah macam lampu nak panggil Batman dah aku tengok.

Hasilnya,
langit tak secantik dulu.
Bintang terang biasa pun susah nak nampak.
Inikan pula hujan meteor Perseid yang katanya hanya boleh nampak setiap 133 tahun.
Waktu ni, aku amat berharap aku berada di kawasan pedalaman.
Biar clear habis langit, sure cantik yang amat.

Aku pun balik hampa.
Sepuluh minit lepas aku balik, hujan turun.
Dalam hati aku bersyukur sebab kalau aku terus menunggu,
sudah tentu aku tengah kesejukan terperangkap dalam hujan.

Esoknya, hek eleh...
Tak ramai pun yang dapat tengok hujan meteor tu..
Yang pakai teropong segala pun dapat nampak secalit je.





Masa jalan dekat shopping mall, aku ternampak poster wayang.
'NOW SHOWING! Percy Jackson: Sea of Monsters'
Aku suka Percy Jackson. Yang 1st dulu aku layan best gila.
Jadi niat hati nak laa layan yang sequel ni.

Tapi, sejak kebelakangan ni aku ada prinsip pelik yang aku pegang.
'AKU TAKKAN TENGOK WAYANG SEORANG DIRI LAGI'
Dalam usaha aku nak memelihara memori indah lama,
aku decide takkan tengok wayang sorang lagi.
Selalunya kalau nak tengok, aku ajak member atau famili.

Famili aku semua sibuk.
Kawan-kawan pula, yang sudah kahwin semua terputus contact.
Bila diajak lepak, semua kasi alasan komitmen keluarga.
Macamlah bila dah berkeluarga tu, kawan kena buang jauh-jauh.
Yang belum kahwin, sibuk dengan awek masing-masing.
Yang tiada awek, sibuk nak ke rumah terbuka, nak jual diri cari awek.
Maka, aku keseorangan.

Nak tengok wayang, kena ada teman.
Nak cari teman, semua ada hal.
Maka, pulanglah aku ke rumah diiringi kesedihan.
Percy Jackson, nanti aku download je laa...





Raya baru-baru ni,
aku reward diri aku dengan beli dompet baru.
Dompet jenis yang panjang, sebab aku tak gemar sangat duit berlipat.

Ceritanya,
dompet lama aku dekat 4 tahun aku pakai.
Bila beli dompet baru, nak pindah-pindah isinya mengambil masa.
Masa memunggah keluar isi dari dompet lama,
macam-macam aku jumpa.
Semuanya menggamit kenangan.

Keratan tiket wayang, resit makan di restoran, duit kertas terkoyak.
Semuanya hampir tiga tahun berkulat dalam dompet lama.
Semuanya membuatkan aku terkenang memori lepas.
Aku tersenyum.
Lepas tu, aku berkerut muka.
Akhirnya, aku mengeluh panjang.
Memori. Yang indah dirindui. Yang pahit diingati.

******

Ketiga-tiga event di atas membuatkan aku terfikirkan sesuatu.
Memori lepas bersama seorang insan begitu terkesan kepada aku,
sampaikan hingga saat ini, aku tak berminat nak cari pengganti.
Sampai tahap aku pernah dituduh gay.

Bagaimana dengan tekad aku mahu ke sana?
Adakah masih ada kuat?
Ya, ada. Masih tebal.
Tetapi, sama ada aku ke sana atas tujuan apa, aku masih belum pasti lagi.
Sehingga aku betul-betul pasti tujuan aku,
barulah aku akan ke sana dengan langkah berani.

Ya.
Memori indah membuatkan aku merindu.
Agaknya, apa khabar kamu di sana?






.

Aug 8, 2013

Raya! Raya! Raya!!


Salam.
Tahukah kalian apa yang baru bagi aku raya tahun ni?
Tak ada apa-apa.



Tahun ni aku berkeputusan untuk ambil langkah bersederhana.
Semua guna semula. Mix and match.

Ramadhan yang berlalu agak membuatkan aku sayu.
Harap tahun depan dapat bertemu kembali, insyaAllah.

Dengan ini aku minta ampun sepuluh jari andai ada terkasar bahasa terluka hati sesiapa.
Kalau boleh, halalkan apa sahaja yang kalian beri kepada aku.
Kalau tak boleh halal, kalian boleh tuntut dengan aku, insyaAllah.

Oh ya,
kalau ada korang yang nak buat rumah terbuka dan nak jemput aku *batuk batuk*
aku sangat berbesar hati.
Kalau dekat, aku pergi (insyaAllah)

Terima kasih kerana terus menyokong aku dalam blog ini.
Walau ada kala aku hilang, tapi korang tetap ada.

Oh, dan kalau korang baca entri ni pada hari raya pertama, kedua, dan ketiga,
aku suggest korang tutup browser dan shut down computer lepas habis baca.
Hari raya, biarlah kita bergembira di alam nyata juga...
Jangan laa asyik nak duduk depan computer saja..

Akhir kata,
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 1434h
Maaf zahir batin.



.

Aug 5, 2013

Diari Ramadhan Aku : Kad Raya



Kalian tahu apa antara yang menyedihkan tentang raya kini?
Tradisi bertukar kad raya sudah semakin pupus...










Tahun ni,
aku dapat satu saja kad raya.
Datang dari YB merangkap pemenang saingan pilihanraya baru-baru ini di kawasan parlimen tempat aku tinggal.
Aku tak pangkah pun dia hari itu, tapi dia menang juga.
Apa boleh buat.

Yang lain?
Adakah aku sudah semakin kurang kawan?
ataupun sebab aku yang tak mulakan dulu hantar kad?
Tapi, kalau aku yang hantar kad, kawan-kawan aku nak ke balas?
Mereka ada masalah lebih besar dari susahkan diri nak balas kad aku.

Nampaknya,
tradisi berbalas kad raya memang semakin pupus...

Berapa korang dapat kad raya tahun ni?




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: