Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

May 29, 2019

Kisah Mata: Hari Kosong.


Salam.




Sebelum ini:
Kisah Mata: 16 Hari.
Kisah Mata: 11 Haribulan.
Kisah Mata: 14 Hari Lagi.
Kisah Mata: 13 Hari Nanti.


Jika entri ini dibaca pada hari ia diterbitkan, hari Rabu 29 Mei 2019, maka semalam 28 Mei aku sudahpun jalani pembedahan mata membetulkan masalah penglihatan yang sedang aku alami.

Aku kemungkinan sekarang sedang berkemas untuk pulang ke rumah, atau masih lagi di bawah pemantauan pihak hospital di dalam wad.

Post ini adalah sebuah 'scheduled post' yang aku tulis lebih awal (lebih tepat pada Ahad 26 Mei), maka aku tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Tetapi apa pun yang berlaku, aku yakin satu:

AKU TIDAK LAGI MENJADI SEPERTI AKU YANG SEBELUM INI.



Ini bukan pembedahan mata pertama aku, tetapi entah kenapa aku sangat berasa gementar dengan pembedahan kali ini. Mungkin kerana ia berlaku tanpa diduga, dan berlaku pada 'timing' yang tidak sesuai. Aku tidak bersedia dari segi fizikal, mental, kewangan, berlaku di dalam bulan puasa bulan Ramadan, malah ia berlaku berturut-turut dengan satu lagi perkara besar yang berlaku kepada aku.

Jika diikutkan, pembedahan kali ini sepatutnya lebih lancar kerana aku (bakal) dibedah di bawah bius penuh (aku tidak sedar sepanjang pembedahan) sedangkan pembedahan sebelum ini aku dibedah di bawah bius setempat (aku sedar sepanjang proses mata aku dipotong).

Dari pengalaman, biar aku beritahu, sedar diri ketika mata kita dipotong bukanlah satu pengalaman yang menyenangkan.

Tapi, entahlah...



Cuma banyak yang aku belajar daripada pengalaman kali ini.

1. Walaupun aku terang-terang (dalam blog ini) beritahu aku benci manusia, tapi aku tidak boleh nafikan memang masih terdapat manusia yang baik hati di sekeliling aku. Aku patut lebih menghargai mereka.

2. Namun manusia yang aku sangka dengan pasti akan membantu aku, akhirnya langsung tidak berbuat apa-apa pun dan ini sangat-sangatlah mengejutkan aku. Sedikit mengecewakan. Tapi untuk bersangka baik, mungkin mereka sendiri pun ada masalah yang aku tidak tahu atau tidak diberitahu maka aku patut lepaskan sahajalah.

3. Tapi sungguh aku tidak sangka, ramai lagi yang walaupun aku tidak jangka akan membantu namun mereka sedaya upaya mahu membantu. Ada yang sanggup berkorban apa yang mereka ada semata-mata mahu membantu. Ini cukup buatkan aku terharu.

Kalau aku boleh menangis, aku mesti akan menangis terharu.

4. Bercakap tentang menangis, atas sebab-sebab tertentu, aku langsung tidak boleh memangis. Aku tidak pasti ia berpunca dari sudut fisiologi ataupun psikologi, tapi ada ketika aku sangat tertekan dan menangis sepatutnya dapat meredakannya, malangnya berapa lama pun aku cuba dan aku tunggu langsung tiada air mata yang keluar, tiada walaupun sekadar bergenang.

Aku harap aku dapat pulihkan bahagian itu. Walaupun kedengaran pelik, namun aku mahu kebolehan boleh menangis itu kembali. Aku mahu boleh menangis. Aku mahu menangis ketika aku mahu menangis.

5. Apa yang pasti, sekarang aku sudah ada senarai panjang mereka-mereka yang aku terhutang budi. Dan aku berjanji pada diri aku sendiri yang mereka ini tidak akan pernah terkeluar daripada senarai tersebut. Aku akan berhutang budi dengan mereka sampai mati. Mereka akan sentiasa berada di fikiran aku ketika aku menadah tangan memohon doa.



Apa-apapun,
doakan aku 'ada' minggu depan untuk terbitkan post sempena Hari Raya Aidilfitri.



Sekian.




  




.

May 22, 2019

Kisah Mata: 13 Hari Nanti.


Salam.




Sebelum ini:
Kisah Mata: 16 Hari.
Kisah Mata: 11 Haribulan.
Kisah Mata: 14 Hari Lagi.


Pada 23 Mac lepas,
tuba-tiba pandangan mata aku menjadi kabur. Imej menjadi berganda. Tidur semalaman tidak menghilangkannya.
Beberapa hari kemudian, aku ke klinik mata sebuah hospital universiti untuk diperiksa.

Aku disahkan mengalami satu keadaan dipanggil 'subluxated lens', di mana kanta di dalam bola mata aku 'jatuh' mengakibatkan imej menjadi berganda.

Hanya pembedahan mata boleh membaikinya.


14 Mei.

Tarikh ini sepatutnya menjadi hari di mana aku dibedah, namun disebabkan beberapa masalah teknikal hospital, terpaksa ditangguh ke 28 Mei. Bermakna aku terpaksa menahan 13 hari lagi untuk segala kesengsaraan yang sedang aku alami.


Seseorang bertanya,
"Apa sebenarnya yang kau alami bila kanta mata 'jatuh'?"

Aku tahu ini bukannya satu sakit kronik, malah langsung tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana sakit yang biasa kita dengar. Namun aku dapat pastikan, sakit ini bukan sahaja beri kesan fizikal kepada aku (imej pandangan menjadi berganda), namun turut juga memberikan kesan psikologi yang tidak dapat aku gambarkan secara lahiriah.


Bayangkan,
perasaan apabila kita baru sahaja keluar daripada kolam renang di mana masih terdapat sisa air kolam yang berada di dalam mata. Pada ketika saat air bergenang itu, pandangan mata menjadi berganda dan bertindih, namun sejurus selepas kita pejamkan mata, dikerdipkan berberapa kali, mata pandangan mata menjadi normal...

...kecuali dalam kes aku, berapa banyak kali dikerdipkan pun mata ini, ia tetap sebegitu.


Bayangkan,
perasaan apabila kita cuba pakai cermin mata berkanta milik orang lain yang kuasa kantanya lebih tinggi. Pada saat kita memakainya, serta merta kita diserang sakit kepala, namun sejurus selepas kita tanggalkannya, sakit kepala itu hilang dan menjadi normal...

...kecuali dalam kes aku, sakit kepala itu menyerang sepanjang masa dan hanya beransur sedikit hilang ketika tidur di malam hari, namun akan kembali di saat aku bangun daripada tidur.


Bayangkan,
ketika memandu malam tiba-tiba disuluh lampu hidrogen, lampu putih daripada sebuah kereta yang berada bertentangan, serta merta mata menjadi silau dan pedih, namun sejurus selepas lampu itu pergi kita menjadi normal...

...kecuali dalam kes aku, silau dan pedih itu tidak hilang malam berpanjangan, dan semakin teruk apabila cahaya yang dilihat itu adalah cahaya buatan daripada lampu, skrin komputer, mahupun skrin telefon bimbit.


Dan semua ini aku tanggung sejak dari tarikh 23 Mac sehinggalah ke hari ini, hampir dua bulan lengkap.

Ya,
sakit aku bukanlah sakit kronik, bukanlah kritikal, malah ia umpama kita tercucuk jarum sahaja berbanding sakit-sakit kronik yang lain...

...cuma bayangkan kita dicucuk jarum secara perlahan-lahan dan semakin lama semakin dalam selama dua bulan, dan tiada ubat diberikan untuk menanggung sakit 'kecil' ini untuk jangka masa tersebut.

Begitulah bagaimana ia berbekas di dalam kepala aku.
Malah, aku tidak boleh langsung menangis untuk menahan segala sengsara ini.

Dan aku berharap segalanya akan tamat pada 13 hari nanti.



Normal, pada aku, sudah semakin jauh.



Seterusnya: Kisah Mata: Hari Kosong.




  




.

May 15, 2019






  




.

May 8, 2019

Kisah Mata: 14 Hari Lagi.

Salam.




Sebelum ini:
Kisah Mata: 16 Hari.
Kisah Mata: 11 Haribulan.


29 April.

Hari ini adalah hari penilaian pra-pembedahan, namun aku masih tiada sebarang perkembangan berkenaan pencarian dana pembedahan. Aku ada fikir beberapa jalan, namun kesemua jalan itu mustahil untuk diselesaikan dalam masa 14 hari ini.

Ya.
Semasa perbincangan dengan doktor pakar yang mengendalikan kes aku, tarikh pembedahan sudah ditetapkan pada 14 Mei, bermakna aku akan masuk ke wad pada hari sebelumnya, 13 Mei.

Amat susah untuk berlakon normal sedangkan penglihatan mata aku sangat jauh daripada normal. Imej berganda membuatkan kepala aku berada di keadaan pening hampir sepanjang masa. Satu-satunya waktu di mana aku 'bebas' pening adalah sewaktu tidur, dan apabila aku buka mata kembali di awal hari, pening datang bersarang kembali.

Pening dengan penglihatan. Pening dengan kos pembedahan.

Tentang kos pembedahan, satu-satunya jalan yang aku fikir adalah dengan meminjam dahulu daripada sesiapa dan kemudian membayarnya kembali dalam satu tempoh masa yang lebih panjang.

Pinjam.
Walaupun semudah 6 huruf satu perkataan, namun susah untuk dilaksanakan.

Atas sebab-sebab peribadi, aku tidak boleh meminjam daripada keluarga.
Ia berkaitan aib, maka aku harap tiada siapa akan bertanya.

Malangnya,
aku juga tiada insuran kesihatan yang boleh diharap.
Memang niat untuk memiliki insuran kesihatan dalam masa terdekat, tetapi perkara ini berlaku dahulu sebelum aku sempat merancang.

Meminjam dari pihak ketiga adalah satu cara yang aku nampak.

Namun, musim perayaan yang baru tiba ini membuatkan pinjaman langsung tidak menjadi lebih mudah. Kenapa mereka perlu risaukan aku sedangkan mereka ada diri sendiri untuk dirisaukan.

It's hard. It's really hard.


6 Mei.

Satu panggilan mengubah keadaan.

"Kami terpaksa tunda tarikh pembedahan kepada 28hb Mei kerana ketiadaan doktor bius pada tarikh 14hb."

Aku tidak pasti ini berita baik atau sebaliknya.
Tunda 14 hari bermakna aku ada lebih masa untuk cari dana.
Namun, itu juga bermakna aku terpaksa hidup dalam penderitaan untuk tambahan 14 hari lagi.
14 hari adalah satu tempoh yang panjang untuk menderita.



Aku takut aku tak mampu...



Seterusnya: Kisah Mata: 13 Hari Nanti.




  




.

May 1, 2019

Kisah Mata: 11 Haribulan.


Salam.




Sebelum ini: Kisah Mata: 16 Hari.


11 April.

Seperti yang aku jangka, aku tidak mampu menyediakan X-ribu kos pembedahan sebelum tarikh 11 April. Aku pergi temujanji dengan rancangan mahu menangguh pembedahan, namun 16 hari hidup dengan pandangan mata berganda sebegini amat menyeksakan.

Aku terpaksa menahan pening kepala yang berpanjangan kerana pandangan mata berganda membuatkan otak aku keliru. Aku pening hampir sepanjang waktu. Tidur juga tidak selesa kerana dapat rasa kanta mata yang 'terjatuh' itu seperti bergerak-gerak di dalam mata tidak dipegang.

Penglihatan berganda membuatkan aku tidak boleh memandu dan menunggang motosikal dengan selamat, namun disebabkan hanya aku sahaja (di kalangan orang keliling aku dan keluarga) yang tahu, aku 'berlakon' untuk terus hidup seperti biasa.

Jika kita ada sesuatu yang indah untuk dilihat, baik sama ada wajah yang tersayang, pemandangan, ataupun lukisan kegemaran, mesti kita fikir dapat melihat sesuatu itu secara berganda adalah menyenangkan, TAPI ITU SILAP.

Melihat wajah orang yang tersayang secara berganda adalah sangat menakutkan dan menyeramkan. 24 jam sehari aku majoritinya adalah kegelapan kerana aku lebih banyak pejam mata. Kerana jika aku buka mata, imej yang aku dapat adalah berganda dan membebankan otak aku.

Dan aku terpaksa hidup dalam keadaan ini selama sudah 16 hari.

Hanya 16 hari, namun berat badan aku menurun banyak dan wajah aku jelas menunjukkan aku terganggu.

Aku amat mahu menjalankan pembedahan secepat mungkin, namun satu-satunya perkara yang menghalang sekarang adalah kewangan. Aku tidak mampu menyediakan X-ribu dalam masa sesingkat 16 hari.



Setelah diteliti doktor pakar, keadaan mata aku dikenali sebagai 'subluxated intraocular lens' dan keadaan aku sebenarnya lebih teruk daripada apa yang doktor sebelum ini bayangkan.

Kanta mata aku dikatakan 'tidak dipegang' dan mendatangkan risiko kebocoran cecair mata ke tempat yang tidak septutnya. Dengan kata lain, adalah dinasihatkan bahawa aku perlu dibedah secepat mungkin sebelum mudarat lebih teruk tidak berlaku.

Tarikh pembedahan diputuskan pada tengah bulan Mei nanti. Tarikhnya dipanjangkan walaupun dikatakan perlu disegerakan kerana terdapat peperiksaan akhir untuk pelajar perubatan (klinik mata ini berada di dalam hospital mengajar, a teaching hospital).

Bermakna, aku ada lebih kurang tambahan sebulan lagi untuk menyediakan kos pembedahan itu.

Pada aku, itu mungkin cukup masa untuk aku.



Tapi aku gembira terlalu awal.

Disebabkan keadaan mata aku lebih teruk daripada yang mereka jangka sebelum ini, maka pembedahan ini menjadi lebih rumit dan memerlukan pelbagai alatan lain yang sebelum ini tidak termasuk di dalam perancangan.

Doktor pakar memberitahu kos pembedahan kini menjadi Y-ribu Ringgit, iaitu DUA KALI GANDA X-ribu Ringgit sebelum ini.

Temujanji seterusnya, merangkap penilaian pra-pembedahan (pre-operation assessment) ditetapkan pada 29 April.



Aku sudah tidak tahan memiliki penglihatan berganda.
Aku mahu semuanya diselesaikan segera.

Walaupun masa dipanjangkan, namun kos juga berganda.
Persoalannya, sempatkah aku?
Mampukah aku bertahan?
Atau sampai satu waktu aku sendiri yang tamatkannya?



Dugaan jenis apa lagi yang perlu aku hadapi sekarang ini...




Seterusnya: Kisah Mata: 14 Hari Lagi.




  




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: