Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

May 13, 2020

Baju Raya Saya Tahun Ini! [GIF Game]


Salam.




Di atas adalah satu hasil karya aku untuk Twitter, sebuah komik ringkas dalam bentuk fail GIF mengenai baju raya untuk Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Terbitan jenis ini di Twitter digelar sebagai 'GIF game'.

GIF game adalah satu 'permainan' semi interaktif dengan para pengguna internet. Orang lain akan screenshot komik GIF itu dan akan beritakan hasil dapatan di ruangan komen/reply.

GIF game bukan baru, tapi baru-baru ini dipopularkan oleh akaun Twitter @mindblowon, pelukis komik Tahi Lalats dan trendnya diikuti ramai orang lain. Keseronokan mendapat keputusan screenshot yang menarik dan kadang kala tidak masuk akal menjadi penarik kepada permainan ini.

Jadi kenapa aku pun buat GIF game?
Adakah mahu mengejar populariti di internet?

Yang mana kenal aku dari dulu tahu bahawa populariti bukanlah sesuatu yang aku kejar.

Tujuan utama aku buat GIF game ini ada dua.
Salah satunya adalah untuk sendiri merasai bagaimana untuk menghasilkan fail GIF.

Dan menghasilkan GIF menggunakan lukisan sendiri bukannya mudah.

Fail GIF merupakan fail imej yang terdiri daripada susunan beberapa imej yang dipapar berubah mengikut rangka masa yang ditetapkan. Ia seperti fail video, tapi bukan video.

Idea menghasilkan komik GIF bertemakan baju raya seperti di atas adalah atas dasar mahu memeriahkan suasana kerana disebabkan pandemik COVID-19 sekarang, kebanyakan orang tiada peluang untuk beli baju raya baru. Idea di dalam GIF ini adalah untuk 'rembat sahaja apa baju yang ada' untuk hari raya.

Namun, menghasilkan satu komik GIF seperti ini bukannya mudah. Untuk komik di atas, aku kena menghasilkan 40 lukisan 'baju raya' dan idea untuk kesemua 40 baju itu tentulah kena berbeza. Malah aku perlu juga memasukkan elemen kelakar, elemen 'entah apa-apa entah', dan juga sudah tentu elemen normal di dalam 40 lukisan itu.

Namun kesemua 40 pakaian itu perlu diikat pada satu watak yang malar. Watak si pemakai itu aku perlu lukis sebagai manusia yang tiada bias jantina kerana aku tahu para 'pemain' nanti tidak hanya tergolong dalam satu jantina sahaja. Juga watak itu tidak boleh mewakili hanya satu warna kulit, maka aku lukis dia memiliki warna kulit putih kosong, satu warna yang tiada manusia pun memilikinya.

Idea tambahan juga perlu ada perubahan dalam teks dan ekspresi muka bergantung kepada pakaian mereka. Takkanlah aku nak letak teks 'cantik tak' dan ekspresi muka senyum untuk lukisan bogel, kan?

Namun untuk datang dengan 40 idea lukisan bukannya senang. Menjana idea senang, tapi banyak faktor lain perlu aku fikirkan sebelum memilih idea tersebut sebagai satu daripada 40 lukisan ini. Contohnya, watak itu perlu dikenali ramai. Kalau aku lukis dia memakai pakaian Jiraiya, mesti ada pemain yang tidak kenal siapa Jiraiya.

Dalam 40 lukisan itu juga perlu ada pakaian 'normal' (baju kurung, baju melayu) bagi mewakili pemain itu sebagai menang (sudah tentu pakai baju melayu/kurung di hari raya adalah kemenangan, kan?)

Namun,
banyak perkara baru yang aku belajar dalam menghasilkan GIF ini.

Sebagai contoh, warna untuk seluruhan lukisan perlulah sedap mata memandang dan tidak terlalu striking. Ini sedikit susah kerana selalunya warna yang aku pilih ketika melukis di komputer akan sedikit berbeza dengan di telefon bimbit. Ini berlaku kerana perbezaan jenis skrin yang ada. Selalunya, warna di telefon bimbit akan jadi lebih menyerlah berbanding di komputer.

Saiz lukisan juga penting. Menurut internet, GIF yang bagus berada pada saiz kurang 1 MB. Aku lukis di atas kanvas 1000x1000 piksel. Tapi sebelum digabung menjadi GIF, aku ubah kepada hanya 500x500 piksel. Ini hasilkan GIF dengan saiz 1.18 MB. Kalau aku mahu kurangkan saiz itu, aku perlu kecilkan lagi kanvas tadi. Tapi kecilkan kanvas hanya akan menurunkan kualiti lukisan. Maka aku buat keputusan untuk kekal dengan 500x500.

Juga, selang masa untuk satu lukisan juga memainkan peranan. Terlalu laju akan merosakkan transisi gambar, tapi terlalu perlahan pula tidak seronok. Untuk GIF di atas, aku letak 0.04 saat untuk satu gambar. Aku telah cuba 0.05 saat tapi merasakan ia terlalu lambat. 0.03 saat pula terlalu laju.

Maka, 40 lukisan dengan 0.04 saat satu lukisan hanya menghasilkan 1.6 saat. Bayangkan lukis susah-susah 40 lukisan hanya untuk hiburan sepanjang hanya 1.6 saat.



Ok, biar aku berterus terang.
Walaupun benar GIF di atas terdiri daripada 40 frame lukisan dengan selang masa 0.04 saat/lukisan, namun aku hanya lukis 39 lukisan. Sebenarnya dalam perancangan memang ada 40 idea lukisan, namun bila sudah habis baru aku perasaan aku tertinggal satu lukisan. Sepatutnya ada watak dalam suit Batman di dalam GIF ini.

Tapi sebab kurang satu untuk jadikan 40, maka aku ambil salah satu daripada 39 lukisan tadi dan copy menjadikan jumlahnya 40. Aku berniat nak buat satu permainan selingan dengan menyuruh pemain meneka lukisan mana berulang dua kali dalam 40 lukisan tersebut, tapi aku sedar adalah mustahil untuk pemain dapat teka kecuali dengan menguraikan kesemua 40 frame dalam GIF itu satu persatu.


Oh, kalian tanya apa satu lagi tujuan aku buat GIF game ini?

Jawapannya,
aku ada azam untuk melukis 1000 lukisan dalam tahun 2020 ini. Maka dengan menghasilkan GIF ini, aku sudah boleh tambah lagi 39 lukisan di dalam rekod aku.



Jadi,
apa baju raya yang kalian dapat selepas screenshot GIF di atas?



Sekian.



  




.

Jun 13, 2018

Sembang Ramadan: SAYANG & BENCI!



Salam.

Bertemu lagi kita dalam slot Sembang Ramadan,
slot di mana aku bersembang dengan kalian dengan menggunakan blog sebagai medium.
Ini adalah edisi terakhir untuk Ramadan 1439h dan insyaAllah kalau umur panjang tahun depan kita bersua kembali.

Minggu ini kita (aku) akan sentuh satu isu yang dekat dengan aku;
SAYANG & BENCI.




Lelaki lawannya perempuan.
Hitam lawannya putih.
Siang lawannya perempuan.
Langit lawannya bumi.
Sayang lawannya benci.

Tapi, bolehkah kedua-dua entiti berlawanan ini berada bersama?


Beberapa minggu lepas, aku bergaduh dengan seseorang yang dilabel keluarga.
Walaupun aku kata 'gaduh', tapi sebenarnya ia berlaku sebelah pihak sahaja.
Aku dimarah, diherdik, dihina, dicerca oleh si dia ini,
dan atas dasar hormat, aku langsung tidak melawan.
Bukan hormat kepada si dia, tapi hormat kepada ahli keluarga aku yang lain kerana peristiwa memalukan itu berlaku di hadapan ahli keluarga yang lain.
Ketika berlaku, aku perlahan-lahan melarikan diri ke bilik,
namun selepas aku masuk ke bilik pun aku masih lagi dikutuk, dihina, dimaki, dimarahi.

Itu adalah titik paling menyakitkan dalam hidup aku;
dihina dan dimalukan di hadapan keluarga sendiri, OLEH keluarga sendiri.

Disebabkan kejadian itu,
aku jadi benci dengan si dia ini.
Kalau boleh, aku langsung tidak mahu bersua muka dengan dia.
Aku rasa jijik dapat bernafas satu udara dengan dia.
Aku langsung tidak mahu tahu keberadaan dia.
Bagi aku, dia kini adalah orang asing.

Tapi, macam mana aku benci sekalipun,
dia masih keluarga. Dan aku sayang ahli keluarga aku.

Bertitik-tolak daripada peristiwa itu aku sedar satu perkara.
'Sayang' dan 'Benci', walaupun sering dilabel sebagai dua entiti yang berlawanan,
namun masih mampu wujud untuk satu orang dalam satu masa.

Aku benci dia.
Tapi kalau berlaku sesuatu terhadap dia, aku sanggup jadi galang ganti
kerana aku sayang dia.

Bila berbincang dengan ahli keluarga yang lain,
mereka cadangkan kepada aku supaya aku minta maaf kepada dia tu.
Tapi aku tak boleh.
Bukan ego, cuma yang dihina adalah aku,
yang dimaki adalah aku,
yang dituduh macam-macam adalah aku,
pada hari kejadian itu, satu perkataan pun langsung aku tak keluarkan kepada dia,
jadi atas premis apa perlu aku minta maaf?

Bayangkan,
si A hina si B, tapi kenapa si B perlu meminta maaf kepada si A?
Bukankah si A yang patut meminta maaf?

Pada aku, kalau dia nak minta maaf,
aku dengan seikhlas hati boleh memaafkan.
Aku ni, walaupun pendendam, tapi juga cepat hilang dendam.

Tapi, aku tahu.
Tidak akan mungkin si dia akan datang kepada aku dan meminta maaf.
Maklumlah, dia berstatus lebih atas.
Berpangkat lebih tinggi.
Daripada perangai dia yang aku kenal sejak dari kecil,
aku tahu, dia tidak akan mungkin meminta maaf.

Aku?
Seperti yang aku katakan tadi,
tiada keperluan untuk aku yang meminta maaf.
Yang disakiti itu, aku.
Yang menyakiti itu, dia.
Langsung tak logik untuk aku yang perlu meminta maaf.
Aku langsung tak buat salah dekat dia.

Tapi untuk hari raya yang bakal tiba satu dua hari lagi ini,
di kala semua ahli keluarga berkumpul untuk merayakannya,
aku berharap pada hari itu segalanya akan selesai.

Bagaimana itu aku tak pasti.
Adakah dia akan merendahkan egonya untuk meminta maaf kepada aku yang lebih rendah ini?
Ataupun aku akan reda dan anggap segala-galanya seperti tidak pernah berlaku?
Ataupun ada sesiapa yang mahu jadi orang tengah kepada kami berdua?
Aku tak pasti.

Yang aku pasti adalah
dalam diri aku ada perasaan benci dan sayang kepada dia itu.
Aku benci dia kerana dia hina aku seperti aku tiada maruah.
Tapi aku sayang dia kerana dia adalah keluarga.

Walaupun lelaki lawannya perempuan, tapi masih wujudnya khunsa di antaranya.
Walaupun hitam lawannya putih, tapi masih wujud kelabu di antaranya.
Walaupun siang lawannya malam, tapi masih wujud senja dan subuh di antaranya.
Walaupun langit lawannya bumi, tapi masih wujud udara di antaranya.

Walaupun sayang lawannya benci, tapi kedua-duanya ada di dalam hati ini.









Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir Batin.





.

Jun 6, 2018

Sembang Ramadan: AZAM!



Salam.

Hey, you're still reading this blog, huh?
Terima kasih sebab masih tak jemu membaca blog ini.
Aku sedar alam blogging semakin kurang relevan,
tapi itulah, niat aku tulis blog pun bukannya nak ikut trend pun.
Lebih kepada medium meluahkan perasaan diri.

Minggu ini kita (aku) akan berbincang tentang satu perkara;
AZAM.





Kalau kalian baca blog aku, atau kenal aku secara peribadi,
kalian akan tahu aku ni jenis yang mission-oriented.
Aku suka tetapkan misi untuk sesuatu yang aku buat, supaya pada akhir nanti aku boleh nilai adakah perkara itu memberi kesan kepada aku.
Bebudak zaman sekarang suka guna istilah goal-digger (word spin daripada gold-digger) tapi entahlah, aku kurang berminat dengan istilah tu. Dengar macam rempit sangat.

Tidak terkecuali untuk bulan Ramadan.
Sejak daripada dulu lagi aku selalu letakkan 'misi', atau lagi mudah aku panggil 'azam', bila masuk bulan Ramadan.

Kenapa 'azam' dan bukan 'misi'?
Kerana 'misi' boleh dinilai, manakala 'azam' kedengaran lebih subjektif.
Logiklah. Kalau kita berazam nak tambah pahala, macam mana kita nak nilai pahala tu sedangkan sama ada pahala itu dapat ke tidak bukannya kerja kita sebagai umat, kan?

Atas sebab-sebab tertentu, aku tidak boleh berkongsi secara terperinci semua azam Ramadan aku tahun ini.
Bila melibatkan hubungan dengan Tuhan, kita kena berhati-hati berkongsi kerana takut jatuh hukum riak dan takabbur.

Namun apa yang aku boleh kongsikan adalah satu cerita ini yang telah aku alami awal Ramadan lalu.

Antara azam Ramadan aku tahun ini (secara umumnya) ialah mahu LEBIH MEMBERI.
'Memberi' ini luas skopnya, banyak definisinya.
Antara yang paling mudah untuk kita kata ialah bersedekah.
Dan cerita aku pun ada kaitannya dengan bersedekah.

Satu petang sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, aku singgah di sebuah masjid untuk solat Asar. Sedikit terlewat, aku terlepas jemaah. Namun nasib ada jemaah kecil baru jadi dapat juga aku pahala berjemaah.

Selepas selesai solat, aku ambil keputusan untuk berehat sebentar di satu sudut masjid dengan bermain telefon bimbit. Cuaca di luar sedikit renyai, jadi aku rasa adalah baik untuk aku tunggu hujan reda sebelum sambung bergerak ke rumah.

Tiba-tiba, ada seorang lelaki menghampiri aku. Diberinya salam. Aku menjawab salam sampai menekan butang padam di telefon. Aku tidak mahu dia melihat apa yang aku buat di telefon aku, sekaligus aku memberikan dia perhatian yang dia pinta.

Lelaki itu menghulurkan satu bekas makanan berbentuk segi empat tepat dan lutsinar. Kelihatan berisi pulut kuning di satu bahagian, dan lauk rendang ayam di satu bahagian yang lain.

"Maaf ganggu, bang. Ini ada sedikit juadah untuk berbuka nanti," katanya.

Aku menyambut huluran itu dan berterima kasih. Tanpa penerangan lanjut, lelaki itu terus minta izin untuk beredar. Dari jauh aku ikut gerak geri lelaki itu. Rupanya dia mengedarkan juadah berbuka itu daripada satu kotak besar yang dibawanya daripada kereta dia sendiri, sendirian.

Pada aku ketika itu, lelaki itu adalah antara yang benar-benar gigih mahu menimba pahala sebanyak mungkin di bulan Ramadan. Memang niat dia mahu berbuat kebaikan. Tiada aksi gambar selfie untuk dipertontonkan. Tiada melobi nama atau syarikat untuk tujuan promosi. Dia beri, dan dia pergi. Dia jelas tiada niat mahu ganjaran duniawi.

Aku kagum. Lelaki itu mengingatkan aku tentang azam Ramadan yang aku tanam sedari awal puasa hari itu. Aku juga mahu lebih memberi. Tapi aku manusia biasa, aku selalu lupa apa yang aku azamkan.

Hujan sudah reda.

Aku ambil keputusan untuk gerak pulang ke rumah, berbuka di sana. Tapi sebelum beredar, aku berdiri di depan tabung masjid dan memegang dompet. Aku mahu memberi. Aku pun mahukan pahala seperti lelaki tadi mahukan pahala.

Aku buka dompet. Di bahagian duit kertas hanya ada dua keping not. Satu warna biru (RM 1), satu lagi warna merah (RM 10).

Memori tiba-tiba bawa aku ke satu masa dahulu di mana ustaz pernah berkata,
"Kalau nak bersedekah, pilihlah untuk bersedekah nilai yang lebih besar. Lagi sayang kita dengan benda itu, lagi tinggi nilai dia di sisi Allah SWT ketika disedekahkan."

Pilihan aku hanya dua; duit kertas biru atau duit kertas merah.

Aku bercadang mahu isi minyak motosikal sebelum sampai ke rumah nanti, jadi aku kena simpan duit kertas merah. Tapi kalau nak hulur yang kertas biru, nilainya terlalu rendah.

Hampir seminit aku berdiri di depan tabung dan berfikir, akhirnya aku buat keputusan berat untuk hulur yang biru dan simpan yang merah. Seharian aku terasa ralat.



Hari itu aku dapat satu pengajaran;
MEMBERI tidak semudah yang kita fikirkan, apatah lagi untuk orang yang kurang benda untuk DIBERI.





.

May 30, 2018

Sembang Ramadan: NAFSU!



Salam.

Berdasarkan tajuk entri hari ini,
kalian mesti tahu apa topik yang aku nak ajak bersembang kali ini.
Ya, kita akan bercerita tentang sesuatu yang jarang disentuh di sini.
Malah, isu ni pun jarang disentuh orang lain sempena Ramadan.

Kita akan berbincang mengenai NAFSU.




Pada aku, nafsu ini mudah.

Orang ramai fikir nafsu adalah sesuatu yang 'on' dan 'off' serupa suis.
Nampak orang pakai seksi sikit, nafsu ON.
Buat amal ibadah sikit, nafsu OFF.

Aku kurang bersetuju.

Bayangkan sinki di bilik air.
Jika paip air dibuka, air akan bertakung di sinki.
Jika lubang air disekat, air akan terus bertakung.
Selagi ada air yang masuk, sinki akan semakin penuh.
Sampai satu tahap, jika tidak dibuat apa-apa, air yang penuh akan melimpah dan berlaku pembaziran.

Begitu juga nafsu.

Nafsu bukan sekali datang terus tercetus.
Ia berperingkat dan bertambah sedikit demi sedikit.

Contohnya nafsu makan.
Kita bukannya nampak satu makanan sudah datang nafsu makan secara tiba-tiba.
Nafsu makan dicetus sedikit demi sedikit seperti contoh;
iklan di TV, papan rentang di jalanraya, imej di majalah, gambar dari media sosial, visual semasa melihat orang lain makan di kedai makan dan sebagainya.
Sedikit demi sedikit nafsu itu meningkat dan akhirnya,
apabila sampai satu tahap atau 'threshold', nafsu makan itu tidak dapat dibendung lagi.

Sama juga dengan nafsu seks.

Kita bukannya nampak seorang berpakaian seksi dan menggoda terus datang nafsu serakah secara tiba-tiba.
Nafsu itu dicetus sedikit demi sedikit seperti contoh;
iklan di TV, papan rentang di jalanraya, imej di majalah, gambar dari media sosial, visual semasa melihat orang lain berpakaian tidak senonoh di khalayak awam dan sebagainya.
Sedikit demi sedikit nafsu itu meningkat dan akhirnya,
apabila sampai satu tahap atau 'threshold', nafsu serakah itu tidak dapat dibendung lagi.

Sebab itu wujudnya mangsa rogol daripada golongan kanak-kanak, wanita bertudung dan berpurdah.
Memang bukan mereka yang menayang bentuk badan dan aurat,
tapi mereka mendapat kesan daripada orang lain yang tidak segan silu berpakaian 'inviting' dari semasa ke semasa.

Tapi ini adalah pendapat aku.
My unpopular opinion.

Kalau kita ke media sosial, terutamanya Twitter,
kita akan dapati bahawa para netizen menganggap 'orang pakai seksi tidak salah langsung'.
Alasan mereka, mangsa rogol bukan sahaja daripada golongan yang berpakaian seksi,
tapi juga daripada golongan kanak-kanak, wanita bertudung dan malah berpurdah.
Mereka (netizen) meletakkan 100% kesalahan ke atas lelaki yang dilabel 'gagal' mengawal nafsu sendiri.

Sampaikan bila ada orang tegur pakaian orang lain, mereka dilabel sampah.
Sampai satu tahap, kita akan hidup dalam masyarakat yang TIDAK BOLEH DITEGUR.

Ya, memang cara sebahagian daripada mereka yang menegur itu salah.
Contohnya seperti Azrul yang menegur pakaian YB Nurul Izzah di live radio.
Secara tiba-tiba semua perempuan nak bercerita tentang 'Azrul' mereka sendiri.
Semuanya salah kepada orang yang menegur, sedangkan mereka terus menerus memikirkan mereka tidak menyumbang kepada masalah itu.

It's not that simple.
Masalah nafsu serakah dan 'urge to rape' bukan datang dari hanya satu faktor.

Aku rasa semua orang tahu itu tentang nafsu,
sebab semua orang ada nafsu sendiri.
Kita tak perlu mendengar cerita daripada perogol baru nak tahu bagaimana nafsu berfungsi.

Tapi semua orang sedang cuba nak salahkan satu faktor sahaja,
dan biarkan faktor-faktor penyumbang yang lain terus menerus dilakukan.

Macam yang aku katakan awal tadi, nafsu ini umpama air di sinki.
Lelaki yang tidak menjaga pandangan hanyalah sebahagian daripada air.
Banyak lagi air (faktor) lain seperti direct visual, media sosial, TV, imej cetak dan lain-lain.

Aku tahu ada yang tidak akan bersetuju dengan aku.
Aku tidak perlu persetujuan kalian tapi aku tahu jauh di sudut akal kalian sudah tahu, masalah ini bukan datang dari satu pihak sahaja.
Dan menyalahkan satu pihak sahaja, pada aku, langsung tidak menyumbang kepada penyelesaian.

But hey, that's me.
You all are entitled to your own opinion, right?
Just as much as I entitled to my own opinion.

Betapa banyak kalian nafikan pun, nafsu sendiri, sendiri juga yang tahu, kan?






.

May 23, 2018

Sembang Ramadan: MELEPASKAN!



Salam.

Hari ini hari Rabu pertama untuk Ramadan 2018 (1439h).
Aku tidak ada lukis komik khusus untuk Ramadan.
Aku juga tidak sertai #inkRAMADAN seperti yang pernah aku buat bulan puasa tahun lepas.
Tahun ini, aku rasa cukup sekadar kita sembang-sembang hari Rabu sempena bulan Ramadan.




Ini adalah komik sempena bulan Ramadan yang pernah aku lukis.
Kemunculan awalnya adalah pada 8 Julai 2015,
di blog ini untuk entri bertajuk 'Diari Ramadhan Aku : Tahu'
Pada tahun 2016 pula, aku post di instagram @cerolian pada tarikh 12 Jun 2016.
Di Facebook Empire State of cEro dan Twitter @cerolian juga sudah berkali-kali aku kongsi.
Pendek kata, komik sempena bulan Ramadan ini ada merata, di mana-mana.

Tahun ini 2018, tahun keempat bulan Ramadan komik ini wujud, masih lagi ramai orang di luar sana kongsi komik ini. Post di Facebook peribadi mahupun page dan mendapat jumlah Like dan Share yang tinggi, bukan sekadar ratusan malah mencapai tahap puluh ribuan. Tweet di Twitter dan dapat RT beribu-ribu. Share di Instagram dapat Like juga beribu-ribu.

Semua itu berlaku menggunakan karya lukisan aku TANPA kebenaran aku.

Aku dapat rasakan warga netizen tidak akan pernah faham bagaimana komik pendek, lukisan dan hasil seni orang lain adalah hak milik mutlak pemilik itu sendiri. Sebarang usaha untuk repost, RT, Share dan sebagainya TIDAK boleh dilakukan TANPA kebenaran pemilik.

Remuk hati aku bila aku selaku pemilik komik Tahu ini post di Twitter hanya dapat 4 RT sedangkan orang lain yang entah siapa-siapa, ambil dan post di tweet miliknya dan dapat beribu-ribu RT.

Bayangkan, RT dan Favorite itu milik siapa sebenarnya? Mereka guna karya aku untuk kepentingan peribadi sendiri dan memuaskan keinginan untuk peroleh RT.

Aku bukan batak RT.
Macam yang pernah aku ceritakan di entri 'Pengalaman Berharga 18k', aku sudah masuk satu fasa tidak berminat dengan 'internet fame' dan kemahsyuran sementara seperti itu. Namun itu tidak menghalalkan orang lain untuk guna karya aku dan post seolah-olah itu hak milik mereka di mana-mana media sosial yang ada.

Lagi menyakitkan hati, mereka ini crop tajuk, nama pelukis dan watermark yang sepatutnya menjadi tanda itu karya aku punya. Aku tidak faham dengan fahaman golongan begini. Kenapa perlu bertindak sejauh itu hanya untuk menidakkan hak milik sesebuah karya seni?

"Eleh, komik je pun. Semua orang boleh lukis.."

Habis tu, kenapa ambil komik aku dan buat macam komik sendiri? Kalau itu sekadar 'komik je pun', kenapa kau tak lukis sendiri? Kenapa perlu rompak, crop, dan post?



Aku sudahpun nampak ini akan menjadi satu pattern, satu corak yang berulang. Dari tahun 2015, 2016, 2017 dan kini 2018 isunya tetap sama; orang ambil komik aku, buat tanda dagangan yang aku tinggalkan, nafikan hak aku sebagai pemilik dengan crop segala apa yang boleh di-crop dan kemudian post di media sosial untuk kepuasan sementara.

Percayalah, tahun depan 2019 pun akan berlaku perkara yang sama.
Mungkin akan dilakukan oleh orang yang sama ataupun dilakukan oleh orang lain yang semuanya masih tidak faham erti hak milik.

Jadi,
untuk menjaga hati aku yang sakit ini, dan untuk menjamin perkara seperti ini tidak sekali lagi menyakitkan hati aku di masa akan datang, aku sudah buat keputusan untuk LEPASKAN KOMIK INI.

Bermula saat ini, dan sehingga ke saat utopia seluruh umat manusia dapat berubah untuk lebih menghargai, maka komik puasa bertajuk TAHU ini akan aku lepaskan hak miliknya. Bermakna, sesiapa sahaja boleh post, repost, share dan sebagainya ke mana-mana media sosial yang ada TANPA perlu minta kebenaran daripada aku.

Jika itu dapat buatkan hidup mereka bahagia, aku rasa komik ini berbaloi untuk dilepaskan.

Di Instagram dan Twitter juga aku ada buat pengumuman yang sama, malah aku letakkan 2 syarat;
1. Mesti tag aku, dan
2. JANGAN CROP!

...tapi aku tahu, tiada siapa pun turuti syarat aku itu. Manusia luar sana akan terus rakus mengejar kemahsyuran sementara dengan merompak hasil karya orang lain tanpa bertanya.



Aku sudah lama kecewa dengan umat manusia. Kita boleh ubah satu orang hari ini, tapi esok akan datang 1000 lagi orang yang seperti ini. Jadi kali ini, biar aku selamatkan satu-satunya perkara yang boleh aku selamatkan, iaitu perasaan dan hati aku sendiri.

It's sad, but it's necessary.

For now, so long komik TAHU.
Harap kau akan terus dapat menarik minat manusia di alam maya dengan isi kau yang relatable. Dan aku pasti, kita akan berjumpa lagi di bulan-bulan puasa Ramadan yang mendatang.

Sudahlah miskin. Komik lama dengan lukisan buruk pun orang nak rompak dari aku. Dugaan betul hidup ni.








.

Jun 21, 2017

Jawab Tapi Tidak Menjawab.



Salam.

Entri ini dijadualkan untuk diterbitkan pada 21 Jun 2017 jam 9 pagi.
Tarikh itu adalah rabu terakhir bulan Ramadan 1438h
jadi itu adalah tarikh terakhir untuk aku post komik puasa
sebab rabu minggu depan sudah Syawal :)


Ini adalah komik yang aku share di IG @ceromono
Maaf kalau ada yang sudah baca di sana dan rasa macam berulang.
Dijemput follow aku di @ceromono dan juga @cerolian.
Kalau rasa nak aku follow back, just DM je bagitau kalian pembaca blog aku.
Aku cuma follow orang yang aku nak follow, tapi kalau pembaca blog, aku akan follow tanpa bertanya panjang :)

Begitulah betapa aku sayangnya blog ini dan kalian semua :)





Untuk komik bertajuk BATAL! di atas,
sahaja aku tinggalkan caption di Instagram bertanyakan soalan.
"Adakah korek hidung batal puasa?"
Aku tahu jawapannya, tapi aku nak lihat apa jawapan orang lain.
Soalan ini, aku nampak, akan keluar tiap-tiap tahun bila bulan puasa.
Tapi tidak semua sepakat tentang jawapannya.

Pernah aku bertanya satu kenalan ini, seorang ustaz, soalan yang sama,
jawapan dia,
"Kenapa diberatkan perkara remeh seperti korek hidung sedangkan banyak lagi perkara lain perlu diberatkan?"

Walaupun kedengaran sangat tepat dan professional,
tapi jawapan sebeginilah yang paling aku tidak suka.
Pertama,
dia TIDAK menjawab soalan.
Seolah-olah soalan matematik tanya 1+1 sama dengan berapa
tapi kita jawapan 'kenapa tanya soalan mudah, tanyalah soalan fungsi kuadaratik dalam graf bentuk parabola'

Aku tidak pasti sama ada 'skil' ini diajar di mana-mana,
tapi kebanyakan ustaz dan penceramah motivasi dan orang-orang yang bekerja dengan bercakap ni ada kemahiran begini, kemahiran yang aku panggil 'jawab tapi tidak menjawab'.

Pada aku,
perkara seremeh korek hidunglah perlu dikukuhkan fahaman supaya perkara yang lebih besar boleh difahami mudah.
Kalau 1+1 pun tak boleh jawab, rasanya boleh ke nak jawab soalan fungsi kuadratik dalam graf parabola?

Jawapan yang aku ada untuk soalan 'korek hidung batal ke tidak' ialah
kalau memasukkan sesuatu ke dalam hidung menyebabkan kita kenyang, maka BATAL.
Kalau masuk jari korek tahi hidung dan kemudian jari keluar dan tak kenyang, maka TIDAK BATAL.
Kalau masuk paip plastik kecil dan salurkan air susu melalui hidung, maka BATAL.
Jawapan ini apa yang aku dapat dari ustaz yang betul-betul nak menjawab.

Jawapan di Instagram yang aku dapat banyak bercerita tentang rongga dan anatomi.
Kecuali ada ditegaskan secara definisi dan disepakatkan semua orang bahawa takat mana adalah 'rongga' dan takat mana yang bukan rongga, maka pada aku tak apa kalau nak bercerita tentang rongga.
Kalau si fulan ni kata rongga itu takat tulang soket hidung tengkorak,
ada si fulan ni kata kemasukan satu inci ke dalam,
ada si fulan ni pula kata sampai rasa isi dalam hidung,
itu semua tidak menjawab soalan.

Satu lagi jenis jawapan yang aku minat ialah
jawab dengan jenaka.
"Korek hidung batal kalau sambil korek sambil makan kuaci."
Jujur, bagitahu aku,
rasanya jawapan di atas menjawab ke tidak?

Sesetengah orang sangat minat dengan ustaz jenis seperti ini
tapi pada aku (secara peribadi, bukan wakil kepada mana-mana kumpulan) jawapan seperti itu akan buatkan orang lagi tertanya-tanya.
Bagus kalau lepas berjenaka, ustaz tadi terus ke jawapan sebenar
tapi kebanyakan ustaz dan penceramah lagi suka skip ke persoalan seterusnya tanpa menerangkan secara terperinci tentang 'jenaka' dia tadi.

Sekali lagi aku ulang, ini pendapat peribadi.
Kalian berhak untuk tidak setuju dengan aku.

Aku tidaklah tinggi ilmu agama.
Tapi sebab tidak tinggilah, aku amat mahukan jawapan yang jitu daripada mereka-mereka yang tinggi ilmu.
Memperlekehkan soalan orang lain,
atau menjawab soalan dengan jenaka tak bertempat,
atau tidak menjawab langsung kerana berasakan itu soalan 'remeh'
sangatlah tidak membantu orang yang rendah ilmu agama seperti aku untuk belajar.

Bayangkan daripada kecil aku dimomokkan dengan fakta 'korek hidung batal puasa' tapi tetiba bila dah tua bangka ni baru dengar yang korek hidung tidak batal, agaknya macam mana penerimaan aku?

Contohnya,
kita dari kecil tahu pelangi ada 7 warna.
Siap ada mnemonik lagi nak ingat susunan warna,
'Mat Jenin ke hulu beli ikan udang'
bila kelas pendidikan seni, cikgu siap marah lagi kenapa pelangi tak cukup 7 warna,
tapi bila besar purba ni
kita dapat tahu pelangi BUKAN 7 warna
bolehkan kita terima fakta itu bulat-bulat?

YA.
PELANGI BUKAN 7 WARNA.
Siapa nak argue dengan aku silakan. Hehe.

=========================


Next post sudah masuk Syawal,
jadi dengan ini aku nak ambil kesempatan untuk memohon maaf kepada kalian semua yang masih sudi baca blog ini.
Maaf kalau ada yang hantar kad raya tahun lepas aku tak balas.
Aku sangat nak balas tapi aku sibuk ya amat tahun ni.
Nanti aku bagi kad lain, boleh?
Kad kahwin maybe? #eh

Maafkan segala salah silap aku selama kita kenal di sini.
Aku tidak mahu kosong-kosong.
Aku nak kita berkomunikasi dua hala, korang maafkan aku, aku maafkan korang.
Aku juga mahu minta maaf kepada sesiapa yang sudah aku lukakan hatinya.
Ada yang dari kawan sudah anggap aku stranger sekarang, juga aku minta maaf.
Kalian datang blog aku tapi aku tak balas kunjungan, juga aku minta maaf.

Kalau kalian ada terasa buat salah dekat aku, bagitahu aku.
Contact aku dalam pelbagai media yang aku ada. Kita berkomunikasi.
InsyaAllah, kalau segalanya baik, segalanya akan kembali jernih.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.
MAAF ZAHIR BATIN SALAH SILAP KHILAF PERBUATAN.




.

Jun 14, 2017

Harga Kuih Mahal!



Salam.

Entri ini dijadualkan untuk terbit pada 14 Jun 2017 tepat jam 9 pagi.
Jika kalian baca entri ini pada waktu ia diterbitkan, maka kemungkinan besar
aku sedang berada di tempat yang kebanyakan orang tidak suka,
bakal melalui satu pengalaman yang aku tak suka,
supaya aku dapat balik sesuatu yang satu masa dulu merupakan sebahagian daripada perkara yang aku suka.

Doakan aku selamat.


I was not prepared for the post of this week,
jadi aku kongsi komik yang aku lukis untuk akaun IG @ceromono
Kepada yang tak follow lagi, jemput follow.
Kalau rasa nak aku follow back, just DM
insyaAllah kalau korang pembaca blog aku, aku akan follow.



Color pallete ini aku pakai sebab warna ni print-friendly.
Maksud aku,
kalau akan datang aku decide nak print komik ini (mungkin untuk zine)
hasil printnya tidaklah secomot kalau aku guna komik banyak warna.

Kalian suka tak color-pallete ni?
Tiga warna je, dark purple, light purple dan putih.

Jadi,
macam mana puasa kalian?
Aku susah sikit laa nak bertarawih, sebab ada hal mengganggu.
Harap Ramadan kalian berlangsung dengan harmoninya sampai ke hari ini.

Okay, bye.
Wish me well.




.

May 31, 2017

Gagal Ujian di Pertama Ramadan.



Salam.

Tiada komik minggu ini. Penat puasa.
Wahahahahaha (alasan paling busuk yang aku ada)


Untuk lebih lanjut tahu kesan cerita ini terhadap aku,
biar aku bawa kalian mengimbau kenangan aku beberapa tahun lalu.

Beberapa tahun lalu,
semasa aku dalam perjalan balik dari kerja,
duduk atas motosikal bertongkat kaki sedang menunggu lampu isyarat simpang empat,
satu peristiwa yang bakal terpahat kuat di kepala aku berlaku di depan mata.

Seekor nak kucing, sangat muda lagi, aku syak belum putus susu,
melintas serong simpang empat yang sibuk itu.
Lampu isyarat jalan sebelah kiri bertukar hijau,
dan kereta mula bergerak deras.
Anak kucing tadi berada di tengah simpang, dan...

Satu.
Dua.
Tiga.
Tiga kereta melintasi kucing itu, tapi dia masih selamat.
Namun nasib kucing itu tidak sebaik itu untuk kereta keempat.
Separuh badan kucing itu digilis tayar kereta.
Bunyi 'kraaak' jelas kedengaran.

Namun kucing itu tidak terus mati.
Dengan kudarat yang tinggal separuh, dia masih mengesot.
Mengesot hendak ke seberang.
Namun, kereta kelima dan keenam mengulangi tindakan kereta keempat tadi.

Kraak!
Kraak!

Bila jalan itu berlampu merah, dan jalan di hadapan pula berlampu hijau,
seorang penunggang motosikal berhenti di tengah jalan
dan mengutip apa yang masih ada dan dibawanya ke kawasan bertanah di sudut simpang.

Segala kejadian itu berlaku pantas,
tiada siapa mampu halang dan banteras.

Dan semua itu, audio dan visual, semuanya berlaku depan aku.

Bunyi 'krak' masih kedengaran di telinga aku tiap kali aku mengimbau kenangan itu.


-------------------------------------------------------


Melompat ke hari Sabtu lepas, selaku hari pertama Ramadan,
aku bergerak ke rumah famili untuk berbuka puasa bersama.

Semasa memasuki satu jalanraya ni,
aku ternampak anak kucing melintas jalan.
Berwarna putih dengan belang kelabu.
Memori hitam terbangkit kembali.

Aku berhentikan motosikal dan bergegas mengambil si kecil itu.
Dia mengiau di atas tangan aku.
Mesra walaupun tidak pernah kenal siapa aku.
Aku bawa dia ke tepi jalan.
Syukur jalan tidak sesibuk mana, satu dua sahaja kereta yang ada dan memperlahankan pemanduan.

Aku selamatkan nyawa seekor anak kucing.
Kalau aku tidak segera ambil dia di tengah jalan,
mungkin sekarang dia sudah menjadi mangsa tayar kereta jalanan.

Tapi ia tidak tamat di situ.

Kepala aku ligat menaakul.
Anak kucing sekecil ini sepatutnya bersama ibu kucing.
Mana ibu dia?
Aku jenguk sekitar kawasan, tiada tanda kucing mahupun bangkai kucing.
Langsung tiada tanda ada sarang kucing di sini.
Jadi dari mana kucing ini datang?

Kawasan kedai terdekat adalah 1 km di belakang.
Adakah kucing ini berjalan sejauh itu ke arah yang tiada halatuju?
Walaupun kawasan kedai di belakang, tapi untuk aku patah balik ke sana memerlukan aku untuk pusing satu pusingan besar, jadi aku batalkan niat untuk bawa anak kucing itu ke sana.

Jalan ke depan hanya menuju ke kawasan kilang.
Kawasan kilang penuh dengan anjing, jadi letakkan kucing itu ke sana seolah-olah menjadikan dia lauk dan mainan kepada si kaki salak di sana.

Masa semakin suntuk, langit semakin gelap.
Aku tak boleh buang masa.
aku juga masih tidak boleh buat keputusan.

Terfikir juga mahu dibawa sahaja kucing ini ke rumah dan dibela,
namun di rumah keluarga aku sudah ada 4 ekor kucing,
dan si ibu itu sungguh 'protective' terhadap anaknya,
jadi bawa masuk anak kucing liar luar lain bukan satu pilihan bijak.

Masa makin suntuk.
Aku masih tiada keputusan.

Akhirnya aku buat keputusan,
aku tinggalkan sahaja anak kucing itu di tepi jalan tadi.
Aku pujuk diri sendiri dengan kata ibunya ada di celah semak samun dan akan datang mengambil anaknya ke sisi.

Aku berlalu balik ke rumah,
meninggalkan si kecil yang terus mengiau memanggil.

Malam itu,
hati aku sangat tidak tenang.
Aku terfikir,
aku patut bawa si kecil itu ke tempat yang selamat tidak kiralah nak gelap ke, jauh ke.
Berkali-kali aku terfikir apa nasib anak kucing itu.
Hidupkah? Matikah?
Selamatkah? Kena lenyek juga kah?

Malam itu aku tak boleh tidur sebab terkenangkan apa yang aku sudah buat.
Bunyi 'kraak' terngiang-ngiang di benak kepala.

Esoknya aku terlewat bangun sahur.

Kalau ini dikatakan ujian di bulan Ramadan,
aku gagal dengan jayanya.





.

Jun 22, 2016

5 Minit! 5 Minit!



Salam.

Salam Ramadhan.
Ramadhan ke berapa aku tak pasti dah sebab sudah lost count. Hehe
Tapi aku tahu,
setakat ni tak ada lagi antara kalian yang order delivery McD waktu tengahari, kan?
Hehehe





Entahlah.

Setiap Ramadhan mesti aku akan ada pengalaman terlajak sahur.
Set alarm baik punya, setiap 10 minit akan berdering.
Tapi rasanya sebab terlalu banyak alarm, jadi telinga dah lali.
Sebab tu kekadang terlajak terlepas waktu imsak.

Secara teknikalnya,
Imsak adalah 10 minit sebelum Subuh.
Kita berpuasa bermula pada waktu Subuh.

Pada waktu entri ini ditulis,
Imsak di Kuala Lumpur dan kawasan yang sama waktu dengannya ialah 5:32 pagi.
Logiknya,
aku set alarm dalam pukul 4:45 supaya ada buffer time sebelum betul-betul bangun.
Tapi buffer time pun,
kalau janji kata 5 minit buffer tup tap tup tap terlajak jadi 90 minit tak jadi juga, kan?

Jenis macam aku, tak suka makan dalam keadaan tergesa-gesa.
Makan tergesa-gesa tak sedap, tak nikmat.
Jadi bila sudah terlajak imsak, dalam masa 10 minit nak masuk Subuh tu, aku kira skip je sahur.
Berlaparlah kau seharian sambil dinding perut kena hakis dengan asid.

Padahal kalau ikutkan dua tiga minit sempat je kalau nak tibai 2 biji kurma dan segelas air kosong.


Kalian pula bagaimana?
Pernah terlepas alarm sahur?
Pernah tak buka mata dah azan subuh?
Kalau macam tu kira macam mana ek?
Boleh lagi ke nak telan kurma dan segelas air padahal sudah azan Subuh?

Cuba bagitahu sikit...





.

Jun 15, 2016

Misteri Jiran Rumah Atas: The Sequel


Salam.

Kalau kalian semua ingat lagi, aku pernah tulis satu entri berkenaan rumah kosong atas rumah. Untuk ringkasan, disebabkan aku tinggal di rumah kuarters empat tingkat di tingkat paling bawah, maka bermacam-macam bunyi dari rumah atas aku dapat aku dengar. Bunyi bola bergolek, guli bertaburan, bunyi barang berat jatuh, malah terdapat juga bunyi hentakkan kaki secara kuat. Pada mulanya aku ingat jiran atas rumah aku seorang yang aktif, tapi selepas dijelaskan oleh teman sebilik a.k.a roommate, rupanya rumah atas aku kosong tidak berpenghuni, menjadi tanda tanya kepada aku berkenaan dari mana datangnya bunyi-bunyi tersebut.


Itu ringkasan. Kini ada pula kesinambungannya.



Walaupun gangguan bunyi itu tidak pernah berhenti, tapi bukanlah selalu. Walaupun bukan selalu, tapi bila berlaku, aku tidak boleh buat tidak tahu. Aku mesti perasan. Bayangkan, sedang khusyuk baca komik Lawak Kampus sambil sekali sekala berdekah-dekah ketawa seorang diri, tiba-tiba datang bunyi berdentam seolah-olah ada bola boling jatuh menghempas. Sedang sedap korek hidung sambil layan siri Doctor Who tiba-tiba kedengaran bunyi guli-gli bertaburan. Siapa tidak perasan, kan?

Tapi sebab gangguan ni sudah berlaku lebih setahun, aku sudah tidak kisah. Malah bila berlaku, aku tersenyum saja.

Namun, gangguan ini kedengaran semakin kerap berlaku sejak beberapa minggu sebelum masuk bulan Ramadhan, malah tidak berhenti apabila Ramadhan menjelma. Risau juga aku.

Alkisah bermula apabila aku sendirian di satu malam Ramadhan baru-baru ini. Roommate tiada, orang lain pun tiada. Maka satu rumah adalah milik aku seorang. Niat hati nak pasang filem dekat TV lalu naikkan volume ke paras tinggi biar bergegar dinding rumah, tapi memikirkan jiran sebelah Makcik Nab yang ada bayi kecil cucu keduanya, aku batalkan niat orang bujang aku itu.

Angin di luar bertiup kencang tapi tiada hujan. Sekali sekala dengar bunyi daun kering berterbangan menghempas ke kaca tingkap. Suasananya seperti satu senario malam petanda sesuatu buruk bakal berlaku yang selalu dimainkan di dalam drama dan filem seram. Manalah tahu, ada psikopat pecah masuk rumah sambil bawa sabit dengan pemegang panjang berniat nak suka-suka cantas kepala penghuni rumah. Nauzubillah.

Sedang seronok membaca surat khabar sendirian di ruang tamu, keseorangan, tiba-tiba bunyi pintu diketuk.

Tok! Tok! Tok!

Jam di dinding tegak menunjukkan jam 11 malam, dan angin di luar masih begitu kencang. Kemalasan untuk bangun dari kusyen empuk ini membuatkan aku rasa patut diabaikan sahaja ketukan pintu itu. Lagipun kalau ia sesuatu yang penting, mesti nada ketukannya berbeza.

Tok! Tok! Tok!

Sekali lagi kedengaran ketukan. Tidak kuat, tidak gopoh, malah tidak bermaya. Siapa yang gigih mengetuk pintu rumah orang lain tengah malam sebegini? Nak kata teman serumah yang lain, masing-masing ada kunci sendiri. Kalau kunci hilang sekalipun, WhatsApp-lah beritahu.

Tok! Tok! Tok!

Ketukan kali ini buat aku tidak senang duduk. Gigih dia masih ketuk walaupun sudah aku abaikan. Kau ketuk sekali lagi, baru aku bangun pergi melayan.

Tok! Tok! Tok!

Cis!
Kata itu kota. Sebab sudah janji dengan diri sendiri, aku pun mengangkat punggung bergerak menuju ke pintu yang diketuk tadi. Tatkala tangan kau ingin membuka pintu, terasa sejuk sahaja tombolnya. Sejuknya meresap sampai ke otot. Seram pula rasa. Siapa di luar ya?

Tok! Tok! Tok!

“Siapa tu?” aku bertanya tanpa membuka pintu. Jantung sudah berdegup kencang seperti baru lepas tersentuh tangan dan bertentang mata dengan crush semasa mahu tolong dia angkat buku yang terjatuh di lantai, cuma bukan hormon serotonin dan oxytocin yang merembes, tapi hormon epinephrine dan cortisol yang memainkan peranan. Rasa seram menjalar seluruh badan dalam persediaan untuk ‘fight or flight’, walaupun rasanya respon yang aku akan lakukan hanyalah ‘flight’ sahaja.

“Siapa tu?” tanya aku sekali lagi, manalah tahu suara aku tadi tidak jelas kedengaran.

“Jiran.”
Kedengaran suara dari luar menjawab.

“Jiran mana?” tanya aku kembali.
“Jiran rumah atas.”

Kepala otak kau.
Atas rumah aku tu rumah kosong, mana ada orang tinggal. Bukankah bulan Ramadhan ni semua syaitan kena ikat tambat? Kenapa ada terlepas seekor menunggu aku buka pintu ni? Tak cukup ke kacau aku dengan baling guli dan golek bola boling?

Ketakutan sudah meresap ke seluruh sel saraf. Kalau orang lain yang kena, lama dah aku nasihatkan suruh baca apa-apa ayat Al-Quran yang patut. Ayat Kursi ke, Ayat Seribu Dinar ke, Al-Fatihah ke. Tapi sebab aku sendiri yang terkena, terkelu lidah terbeku otak. Aku ‘flight’. Aku lari ke dalam bilik selepas mencapai telefon bimbit aku di ruang tamu. Pantas, aku mencari nama roommate di dalam senarai ‘contact’ telefon aku. Jari sedang menggeletar, gigih aku skrol atas bawah senarai tersebut.

“Mana dia? Mana dia? Haaa, jumpa pun.”
Lalu aku tekan punat hijau, menunggu panggilan diangkat di hujung talian.

“Hello?” Suara roommate di hujung talian kedengaran.
“Hello bro! Balik cepat, bro! Aku duduk rumah sorang ni. Balik cepat, bro! Please!”
“Kenapa ni? Aku dah on the way, tapi ada laa setengah jam lagi. Kenapa?”
“Ada benda ketuk pintu tadi… Lepas tu… Lepas tu…”
“Lepas tu apa? Neves pula aku tunggu kau tergagap-gagap ni.”
“Lepas tu… Lepas tu…”
“Kau sebut lepas tu lagi, aku letak fon. LEPAS TU APA, BANGANG!”
“Lepas tu, dia claim yang dia tu jiran atas rumah kita. Atas rumah kita mana ada orang tinggal, kan? Habis tu dia siapa? Baliklah cepat. Please!”

Hujung talian senyap seketika. Beberapa saat kemudian, talian terputus. Lebih kepada diputuskan.

Berbakul aku mencarut. Tak guna punya roommate. Ingatkan sahabat sehati sejiwa sangat, rupanya meninggalkan aku di kala aku betul-betul memerlukan.

Entah macam mana, aku end up terlena di atas katil sendiri dengan telefon bimbit di tangan.
.
.
.
.
.
.
.

Bila aku tersedar kembali, ternampak kelibat roommate sedang duduk di atas katilnya, memerhatikan aku.

“Kau dah balik? Apa sudah jadi?” tanya aku.

“C, aku nak kata kau bangang, tapi aku tak sampai hati. Tapi rasanya kau memang bangang tak boleh dibendung lagi ni…” Roommate bercakap dengan nada yang tenang tetapi sinis.

“Sudah 2 bulan rumah atas kita ni diduduki orang. Tadi, jiran kita tu ketuk pintu sebab nak minta ambilkan baju dia yang terjatuh ke balkoni rumah kita sebab kena tiup angin kuat malam tadi.”

“Eh? Ye ke?”

“Lain kali, cubalah hidup dalam harmoni sikit dengan mengambil tahu jiran sekeliling. Jiran masuk rumah dua bulan pun kau tak ambil tahu. Apa punya masyarakat daa…”

Aku pun tergaru-garu kepala yang tidak gatal sambil tersenyum serupa kerang busuk.


Nota kaki:
Cerita ditokok tambah untuk menghasilkan suasana lebih dramatik.







.

Jun 8, 2016

Ada Apa Dengan Anak Bulan!



Salam.

Jadi ini adalah entri pertama untuk Ramadhan 1437H.
Rasanya belum terlambat lagi nak ucapkan
SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN & SELAMAT BERPUASA.
Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik perubahan kepada kehidupan ke arah yang lebih baik.

Amin.





Ada beberapa perkara (dan istilah) yang aku dapati bila tiba Ramadhan, akan kedengaran dicanang berulang kali.

Minggu lepas aku bercerita tentang 'persediaan' Ramadhan di mana,
secara peribadinya aku kurang faham apa sebenarnya yang perlu kita sedia untuk mengharungi Ramadhan.
Aku tahu,
kalau kita sebut 'persediaan Syawal', kita tidak boleh lari dari memikirkan persiapan hari raya, mostly berkaitan dengan pembelanjaan kewangan (untuk balik kampung, baju raya, duit raya dan lain-lain).
Tapi ia tak sama dengan 'persediaan Ramadhan'.

Tapi terima kasih kepada kalian yang tinggalkan komen,
aku kini sudahpun faham apa itu persediaan Ramadhan.
mungkin aku boleh praktikkan ketika menjelang Ramadhan tahun depan, insyaAllah, kalau usia masih panjang.

Tapi ada lagi satu istilah yang pernah menjadi persoalan kepada aku ketika kecil dulu;
ANAK BULAN.

Semua tahu anak adalah kelahiran kecil daripada sesuatu yang besar.
Jadi, basically anak bulan adalah anak kepada bulan.
Or at least itu yang aku fikirkan semasa umur 5 tahun.

Dan seperti budak 5 tahun yang lain ketika berasa ingin tahu,
aku bertanyakan perihal anak bulan dekat Abah aku.
Abah aku seorang polis misai tebal yang serius.
Dia jarang nak melayan kerenah anaknya,
sebab dia tahu kalau start layan nanti dari satu soalan jadi dua soalan jadi tiga soalan jadi empat soalan sampai dia nak baca surat khabar pun tak boleh.

So,
masa aku bertanyakan soalan itu,
Abah aku menjawab dengan semberono.
Tapi aku tahu Abah tak berniat untuk misleading anak dia.
Mungkin dia nak aku kekal menjadi budak-budak dan mengelak daripada menjawab soalan yang (rasanya) orang dewasa pun tak boleh jawab dengan bagus.

Jadi,
apa itu sebenarnya ANAK BULAN?

Secara ringkasnya,
anak bulan adalah fasa bagi sesebuah bulan,
lebih tepat lagi adalah bulan sabit pertama selepas bulan gelap.
(bukannya bulan tu terberanak anak baru)

Disebabkan kalendar takwim Hijrah dikira menggunakan fasa bulan
(bukan menggunakan matahari seperti kalendar Gregori biasa),
maka perubahan antara fasa bulan gelap ke fasa bulan sabit awal (anak bulan) bermakna pertukaran bulan baru.

Kita melihat munculnya anak bulan sebagai tanda masuknya bulan Ramadhan dan bermulanya bulan puasa. Sebab itu melihat anak bulan adalah sangat penting bagi menetapkan tarikh mula puasa (dan raya).

Kalau nak diikutkan, tiap-tiap waktu nak masuk bulan baru, anak bulan akan kelihatan.
Bukannya untuk bulan Ramadhan dan Syawal sahaja.
10 bulan yang lain pun ada anak bulan masing-masing.
Tapi kita tak ambil kisah tentang 10 bulan yang lain sebab tak ada puasa dan raya.

So, there you go.
Next time anak kecil kalian bertanyakan apakah itu anak bulan,
kalian ada dua pilihan:
1) beritahu perihal sebenar anak bulan berdasarkan kiraan fasa bulan, ataupun
2) biarkan imaginasi mereka menerewang seperti kanak-kanak normal dan pastikan mereka dapat didikan yang baik di kemudian hari supaya segala persoalan mereka dapat dijawab dengan ilmu.


Jadi,
macam mana puasa kalian?
Seronok puasa?
Ada yang dulu berpuasa solo, kini berdua.
Dulu berdua kini bertiga.
Aku je kekal solo buka puasa dengan semut di meja **lap air mata**


Tak ada siapa nak bagi kad raya dekat aku ke? **tetiba**






.

Jun 1, 2016

Jangan Takutkan Langit yang Gelap.


Salam.

Ramadhan tiba, Ramadhan tiba, Ramadhan tiba!
Marhaban ya Ramadhan, Marhaban ya Ramadhan
*nyanyi guna suara Opick*





Sekali lagi, tajuk tiada kaitan dengan isi entri.

Okay.

Ketika entri ini diterbit,
rasanya ada kurang seminggu lagi nak masuk Ramadhan.

Dalam seminggu sebelum entri ini ditulis,
ada beberapa kali (lebih tepat, 3 kali) aku dengar peringatan seperti ini:
"Sudahkah anda bersedia untuk menghadapi bulan puasa?"
"Apakah persediaan anda untuk Ramadhan kali ini?"
"Tinggal seminggu lagi, dah ready?"

Secara jujur aku nyatakan,
aku tak pasti dan tak faham apa yang dimaksudkan dengan 'sedia'.
Maksud aku,
apa yang perlu kita sediakan?
Sedia ke, tak sedia ke, Ramadan tetap akan datang.
Bukannya Ramadhan datang awal untuk yang bersedia
dan dapat ditangguh untuk yang masih belum sedia.


Apa sebernarnya yang perlu kita lakukan untuk 'bersedia'?
Adakah bersedia bermaksud pasang alarm awal pagi untuk sahur?
Atau meregangkan badan untuk menempuh terawih 20 rakaat?
Atau semak balik bacaan niat puasa dalam Bahasa Arab?
Atau riki bazar Ramadhan yang berdekatan dengan rumah supaya senang nak beli juadah berbuka nanti?

Ini adalah satu soalan jujur yang aku harap kalian dapat jawab sebelum Ramadhan masuk.

Apakah maksud 'bersedia' dalam menanti kedatangan Ramadhan?


Nota kaki:
Untuk penulisan Bahasa Malaysia, ejaan bulan puasa ialah bulan Ramadan (tanpa h).
Tapi aku lagi suka eja Ramadhan (dengan h) sebab feeling dia lagi sampai. Huhuhu




.

Jul 15, 2015

Diari Ramadhan Aku : Baju Baru


Salam.
Dah tahu dekat-dekat nak raya ni trafik blog agak lengang,
yang pergi publish entri dengan 4 komik dah kenapa?

Apakan daya, idea datang mencurah pada masa yang tak sesuai.

Kadang-kadang aku rasa aku ni agak kurang bijak...









The thing is
aku tahu manusia sebaya aku banyak yang tak kisah dah tentang baju raya.
Sesetengahnya tak peduli ada baju baru atau sekadar pakai baju tahun lepas.
Keterujaan berbaju baru tak sehebat semasa zaman kanak-kanak dulu.

Tapi bukan aku.

Pada aku,
antara yang paling tertunggu menjelang raya ialah membeli baju baru.
Sebab aku bukan jenis yang selalu beli baju.
Setahun tak raya, rasanya tak ada langsung aku beli baju baru.

Jadi bila menjelang raya,
aku rasa ada keperluan untuk aku update wardrobe aku.
Maka pergilah memburu baju-baju baru yang aku berkenan.
Kebanyakannya aku ambil yang jenis evergreen, malar hijau
tak tertelan dek perubahan fesyen bak kata orang.
Kemeja, kemeja-T, kemeja-T berkolar.
Kalau rasa perlu, aku tambah seluar dan kasut.

Tapi oleh sebab aku jarang beli baju,
aku tak berapa pandai bab memilih baju dan saiz.
Aku juga tak tahu prosedur nak masuk fitting room.
So untuk selamat, aku decide aku tak perlu ke fitting room untuk mencuba baju baru.

Akibatnya,
beberapa baju yang aku beli ada yang terlalu besar untuk badan aku
dan ada yang aku terbeli saiz kecil sendat sado.

Seperti yang aku cakap awal-awal tadi...
Kadang-kadang aku rasa aku ni agak kurang bijak...

Maybe dah tiba masa aku fikirkan jodoh sebagai penasihat fesyen aku kot.
#EH


Kalian pula?
Ada beli baju baru tak raya tahun ni?
Ke pakai tahun lepas punya je?

Just nak inform yang baju melayu raya aku warna BIRU.
#TeamBajuRayaBiru




.

Jul 8, 2015

Diari Ramadhan Aku : Tahu







Salam,
berbuka puasa adalah seperti berhari raya kecil.
Ianya dirai atas kejayaan berpuasa seharian.
Maka berbuka puasa seorang diri samalah seperti beraya seorang diri.
Kita rai seorang diri. Tiada teman. Tiada kawan.

Maaf kalau sedikit melankolik.
Aku pertama kali berbuka puasa seorang diri pada usia 19 tahun.
Sehingga sekarang,
walau sudah berkali-kali aku berbuka puasa seorang diri,
tapi sampai sekarang diri aku masih belum boleh suaikan diri.

Perasaannya lebih sayu
bila kita tahu kita bakal berbuka puasa seorang diri 6 jam prior.
6 jam berendam di dalam kesayuan.

Jika ada kawan kalian yang mahu ajak berbuka puasa bersama kerana dia akan berbuka seorang diri, tolonglah jangan menolak.
Or at least ajaklah dia berbuka bersama kalian juga.


Kalian ada pengalaman berbuka puasa seorang diri yang sayu?


Selamat berhari raya kecil.


.

Jul 1, 2015

Cerita Ramadhan Minggu Lepas.



Salam.
Entri ini panjang. Sila bertahan membacanya.

Ramadhan boleh menjadi penyebab untuk (mini) reunion bersama kawan-kawan lama.
Kalau nak diharapkan waktu lain, bila diajak berjumpa catch-up cerita,
masing-masing sibuk dengan alasan 'ada komitmen', sibuk dan ada janji lain.
Jadi bila Ramadhan, ajak berbuka puasa bersama,
yang bujang kebanyakannya mesti setuju.
Yalah. Sebelum ini selalu buka seorang, bila ajak bersama siapa nak tolak.
Yang dah kahwin, aku malas nak ulas.

Cukup mukadimah, masuk poin utama.

Alkisah minggu lepas aku sempat berbuka puasa dengan dua orang kawan lama.
Seorang bakal mendirikan masjid dalam masa beberapa bulan,
manakala dua lagi (termasuk akulah tu) masjid pun liat nak jumpa.

Ceritanya bermula apabila kawan aku yang bakal mendirikan masjid ini (aku beri nama Ali) bertanyakan kepada kawan yang masih bujang trang-tang-tang seorang lagi (aku beri nama Abu).

"Abu. Kau kerja apa sekarang?"
Liat Abu nak jawab. Tapi dari raut wajah dia aku tahu jawapan dia.

"Aku menganggur, bro. Dah 6 bulan dah."
Suasana jadi awkward sebentar kerana semua tak tahu macam mana nak proceed.

"Belum rezekilah tu. Sabar ya." Aku cuba menjadi pakar motivasi.

"Kau ada minta kerja lain tak?" Ali bingkas bertanya lanjut.

"Ada. Banyak kali dah pergi interview. Tapi masalah datang bila orang lain yang datang interview lebih berkelayakan."



Okey.
Biar aku berhenti cerita itu seketika untuk menerangkan situasi.

Tiada rahsia lagi yang aku pemegang degree major in biologi.
Abu juga sama dengan aku, cuma dia dari universiti yang berbeza.
Tiada masalah dengan kursus biologi kami.
Malah, disebabkan kursusnya biologi,
kami perlu belajar semua perkara yang berkaitan tentang biologi.
Kursus itu ada biophysics, biochemistry, biostatistics, bio-informatic dan macam-macam lagi.
Semua subjek itu memerlukan asas yang kuat,
maka kami perlu belajar segalanya dari asas.

Dengan kata lain, walaupun kami degree dalam biologi,
kami juga perlu belajar fizik, kimia, matematik, statistik dan lain-lain.
Dan dalam kes aku,
aku perlu belajar programming C++ dan benda alah yang seangkatan dengannya.
(Setakat nak buat program mudah kira BMI tu bolehlah buat)
Itu belum masuh subjek wajib universiti seperti philosophy dan languanges lagi.

Begitu juga dengan subjek biologi.
Subjek untuk course genetics dan physiology ada kursus tiga tahun tersendiri,
tapi kami perlu belajar semuanya hanya dalam satu subjek, satu semester.
Dan ikutkan pensyarah, dia akan compile semuanya membuatkan apa yang diajar sangat tepu dan padat.

Pendek kata,
kami tahu semua
we are jacks of all trades...



...but masters of none.


Masalah timbul bila habis belajar dan mahu masuk alam pekerjaan.
Jika seorang dari kami pergi interview untuk jawatan pegawai sains,
para interviewer akan lagi suka memilih mereka yang ada pengkhususan.
Untuk pegawai sains bahagian kimia, mereka akan memilih lepasan ijazah kimia daripada biologi (logik lah tu).
Begitu juga untuk bahagian fizik dan matematik.
Majikan mana nak ambil pekerja untuk jawatan matematik tapi pilih budak biologi?

Tapi masalah lebih berat bila memilih untuk jawatan pegawai sains bahagian biologi.
Bergantung kepada kerja, majikan lagi suka pilih budak biologi pengkhususan daripada biologi tulen.
Contohnya budak biochemistry lagi laris daripada budak biologi itu sendiri.
Seolah-olah bila dekat resume tertulis 'sains biologi', mereka akan terus tolak ke tepi.

Market untuk kami budak biologi sangat sempit.

Nilai tambah ada untuk aku sebab aku ada minor selain major dalam biologi.
Tapi untuk kawan aku (Abu) tu yang tiada minor? Bagaimana?

Sebab itu kebanyakan kawan course aku, bila lepas graduate degree,
sama ada mereka sambung ke master dan target nak jadi pengajar akademia,
ataupun terus keluar bidang sains biologi dan kerja dalam bidang lain.
Tak terkejut aku bila ada kawan aku yang kerja bank.

Bayangkan, 3 tahun bertungkus-lumus perah otak jawab biologi.
Stay up malam dekat bilik study 24jam memahami apa yang dipelajari.
Keluar universiti kerja bank yang tak pakai langsung ilmu biologi tadi.
Keluar universiti kerja pejabat tulis paper work yang tak sentuh langsung ilmu tiga tahun mengaji.
Tidakkah itu tahi?
Tapi bagi yang tiada pilihan, apakan daya...



Sambung cerita kawan aku, si Abu tadi,

"Banyak kali dah pergi interview, tapi tak dapat.
Bukan memilih kerja, tapi kerja yang tak pilih aku. Dari kerja makmal sampai ke kerja admin, semua aku apply. Tapi..."

Suasana jadi sangat suram. Aku rasa mata Abu tu dah bergenang dah.
Tapi selaku lelaki di hadapan lelaki, sedut balik kolam di mata itu.

Melihat nasib Abu, aku rasa sangat bersyukur.
Walaupun aku tidak memiliki kerjaya idaman,
tapi paling tidak aku ada kerja. Dapat duit. Dapat hidup.

"Sabarlah Bu. Belum rezeki. InsyaAllah nanti adalah tu..."

"Oh, aku pernah baca satu tweet ni dia kata
zaman sekarang nak kahwin kena ada harta,
tapi dalam Islam kalau kahwin akan tambah rezeki.
Apa kata kau kahwin?"

Dalam hati aku nak juga siku muka si Ali ni.
Ayat dia tak boleh blah...

"Itu persoalannya.
Anak-anak gadis zaman sekarang nak ke bersuamikan seorang penganggur?
Para bakal mak mertua sekarang redha ke bermenantukan orang tiada kerja?"

Aku tamatkan cerita Ramadhan minggu lepas ini dengan persoalan dari si Abu itu.
Apa pendapat kalian?





.

Jun 24, 2015

Diari Ramadhan Aku : TV


Salam.

Waktu kecil dulu kalau puasa, selalu kira berapa hari dah puasa.
Dah tua bangka berjanggut ni tak terasa pula nak mengira hari...
Jap, hari ni dah berapa haribulan Ramadhan ya?

Bila awak nak berbuka dengan saya?






Sudah tiga empat tahun aku perasan,
bila masuk bulan Ramadhan, mesti berlipat ganda jumlah rancangan memasak dekat TV.
Aku agak, rating untuk rancangan memasak di bulan Ramadhan memang tinggi disebabkan para ibu yang nak cari idea nak masak apa untuk berbuka memang banyak masa untuk duduk dan menonton TV.

Tapi,
adakah perlu sampai empat rancangan memasak setiap hari.
Ya. EMPAT SEHARI. Dan itu baru aku kira satu saluran saja,
belum kira secara jumlah lagi untuk saluran-saluran TV yang lain.

Sudahlah memasak pun laju nak mamp...
Tunjuk bahan, campak-campak, siap.
Cara-caranya hanya tunjuk sebagai preview untuk 2 saat masa di skrin.
Minit-minit lain sibuk nak berceloteh laa, bersketsa laa, tanya khabar artis jemputan laa.
Apakah?
Kesian para ibu yang bersemangat tercongok sediakan buku dan pen
semata-mata untuk menulis cara memasak di depan kaca TV.
Sempat tulis bahan satu dua saja.

Bila berkesempatan nak tonton TV,
nak juga aku layan rancangan-rancangan Islamik
memandangkan hati isi belum cukup terisi dengan pengisian sebegitu rupa.
Tapi bila buka TV, berturut-turut rancangan memasak.
Dah laa masak sedap pula tu.
Perut tengah lapar, dia pergi tunjuk cara memasak nasi beriani kambing
siap tabur kismis dan bawang goreng lagi,
siap ada air sirap bandung soda lagi,
mana tak tergugat iman yang nipis bak kertas ni...

On the other note,
Jejak Rasul hanya tayang Jumaat Sabtu Ahad je.
Macam dulu tiap-tiap hari Ramadhan ada Jejak Rasul.
Bajet ciput lettew...Bajet banyak pergi dekat rancangan memasak lettew.

Last-last aku masuk bilik layan anime je. Lagi produktif.
Gah gah gah!






.

Jun 17, 2015

Diari Ramadhan Aku : Lapuk


Salam,

Kalau kalian baca entri ini bukan pada hari rabu,
aku mahu menyucapkan selamat menyambut Ramadhan 1436h.
Puasa tak?
Jangan terhabis dua bungkus nasi lemak pula nanti...hehehe

Seperti tahun-tahun sudah,
semasa Ramadhan, aku sediakan pengalaman Ramadhan aku.
So, enjoy!





Komik di atas adalah exact parody daripada entri asal blog ComicStriper di entri ini.
Kalau kalian buka link itu dan baca,
komik tersebut diterbit pada tahun 2012,
bermakna sudah EMPAT kali Ramadhan kita lalui.
Namun, masih ada juga yang jadikan lawak bisik Yusof Taiyoob sebagai lawak Ramadhan tahun ni.

Entahlah, pada aku, macam roti, yogurt dan penantian,
lawak juga ada tarikh expired dia.
Empat tahun tu rasanya macam dah lama sangat dah lawak ni diguna-pakai.
Tak pasti aku nak gelak sebab lawak itu ke,
ataupun nak gelak sebab kesian tak mampu nak buat lawak lain.

Tapi aku cukup kagum dengan masyarakat Malaysia kita ni.
Saban tahun ada saja lawak yang menjadi 'in' di kalangan kita.

Tapi lately lawak Ramadhan agak kurang menyerlah sangat.
Paling power pun aku rasa yang Thor punya pickup line tu.
Mungkin Ramadhan belum panas lagi kot...




Jadi,
lawak Ramadhan mana yang kalian rasa kelakar hingga gelak sampai keras perut kalian?
Cuba kongsi sikit...


Lari topik sikit dari Ramadhan,
tapi sampai laa ni aku tak faham lawak 'Mak kau hijau' tu.
Sesiapa boleh terangkan secara ringkas dari mana origin dan penggunaan lawak tersebut?






.

Jul 23, 2014

Diari Ramadhan Aku : Hampir Tiba













Salam.

Macam aku,
aku dapat rasa kebahangan syawal yang hampir tiba bila ada tiga petunjuk ini:
  1. Pelbagai lagu raya heavily rotating dekat corong-corong radio dan speaker (dan mulut) tidak kira di mana aku berada.

  2. Facebook dihujani dengan notifications daripada kawan-kawan yang tag aku dekat photo ucapan raya yang kononnya pengganti kad raya dan diri mereka.

  3. Anak-anak muda bangsa di kawasan kejiranan aku giat bertempur siapa punya mercun yang lagi kuat berdentum tanpa kira siang mahupun malam.


Antara ketiga-tiga petunjuk itu,
yang no.3 paling mencabar iman dan menggugat amarah aku.
Bising laa wey, aku nak berehat!



Ustaz di surau aku ada bagi tazkirah yang buat aku sentap.
Katanya,
"Menjelang penghujung Ramadhan, akan ada dua jenis manusia.
Pertama, yang berkata 'hampir tiba' (merujuk kepada bulan Syawal).
Kedua, yang berkata 'hampir tamat' (merujuk kepada bulan Ramadhan).
Mana satukah kita?"


Selamat penghujung Ramadhan.




.

Jul 16, 2014

Diari Ramadhan Aku : Nafsu Makan











Bukan nafsu satu lagi tu sahaja yang perlu kita kawal,
nafsu makan pun kena kawal juga...

Selamat terus berpuasa.




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License