Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jul 17, 2019

Aku Tidak Pandai Pilih Hadiah.



Salam.


Satu fakta kurang menarik mengenai aku;
aku sangat tak pandai nak pilih hadiah untuk seseorang.

Aku ingat lagi semasa di sekolah menengah, aku pernah hadiahkan pasu bunga kepada seseorang yang aku suka. Bukan bunga, tapi pasu bunga. Tak ada bunga pun di pasu bunga itu.

Aku juga pernah hadiahkan benda yang sumbat lubang jack dekat handphone tu sebagai hadiah hari jadi seorang perempuan.

Kalau perlu disenaraikan, aku rasa senarai hadiah yang pernah aku berikan kepada orang juga layak digelar sebagai senarai paling tak logik pernah aku buat.

Siapa yang normal di dalam dunia ini yang hadiahkan pasu bunga kepada perempuan yang dia suka?


Jadi,
baru-baru ini aku perlu sediakan hadiah untuk seseorang.
Aku buat satu senarai apakah hadiah yang (pada aku) menarik untuk diberikan.
Dan kalau kalian tak percaya betapa teruknya pilihan aku, salah satu yang tertulis di dalam senarai itu adalah Kamus Dewan Edisi Keempat which is bila aku fikir balik nak sahaja aku naik mesin masa dan datang ke masa aku sedang tulis senarai itu dan starlit dahi aku pada waktu itu.

Siapa yang normal nak hadiahkan Kamus Dewan Edisi Keempat kepada seorang perempuan?


Jadi,
aku pilih pilihan yang paling bawah di dalam senarai itu, pilihan paling selamat.

Aku pilih untuk hadiahkan Teddy Bear.




Aku beli Teddy Bear ini di sebuah pasaraya besar, dan di rak pameran itu masih terdapat 5 Teddy Bear yang sama.
Jika masih wujud 5 lagi Teddy Bear yang sama, bukankah hadiah aku ini boleh dianggap 'tidak istimewa'?

Maka, di bilik,
aku sediakan tali, cebisan kain, aku keluarkan alatan menjahit (yang sudah lama aku tidak pakai), gunting, gam, dan aku perah sedikit kreativiti secukup rasa untuk letakkan sedikit 'perasa peribadi' pada Teddy Bear berkenaan dan hasilnya...



TAAADAAAAA!!!!


Teddy Bear kini sudah memakai eye patch!

Ya,
aku tahu ini bukanlah satu pencapaian yang 'wow'
tapi secara peribadi aku sudah letakkan kegigihan ke atas Bear ini
dan kini Bear ini sudah bertukar menjadi istimewa
dan tiada yang sama sepertinya di dunia ini.
Inilah satu-satunya Bear yang sebegini di atas muka bumi ini.

Itu satu pencapaian yang besar untuk diri aku.
Aku berubah daripada seseorang yang teruk dalam memilih hadiah kepada seseorang yang improvise hadiah untuk jadikannya istimewa.
Dan aku bangga dengannya.

Tidak sangka aku sanggup bersusah payah menjahit sana-sini semata-mata untuk satu hadiah kepada seseorang.
Lama aku tidak rasa perasaan sebegini.

Teddy Bear ini akan menjadi milik orang lain dan aku harap dia akan manghargai hadiah aku ini sepenuh hati dia.



Selamat tinggal Teddy Bear yang tidak bernama.
Semoga kau bahagia menjadi milik si dia.



Post scriptum:
Kalau kalian dapat hadiah sebegini, apa nama yang akan kalian bagi untuk Bear ini?







  




.

Jul 10, 2019

Mari Overthinking!



Salam.



Aku selalu merungut kenapa walaupun makan banyak, berat badan aku susah nak naik. Sebenarnya, selaku pelajar biologi, aku tahu kenapa. Jawapannya, metabolisme aku tinggi. Sel aku gigih jana tenaga walaupun pada saat aku tidak memerlukannya. Aku tak aktif bersukan. Maka, semua tenaga ekstra itu pergi mana? Jawapannya, ke otak. Aku sangat aktif berfikir. Otak aku sentiasa ligat memikirkan sesuatu walaupun pada saat aku sepatutnya berehat. Kadang-kadang (selalu) aku terlebih fikir. Itu yang kita semua sebut 'overthinking'.

Panjang mukadimah. Tapi tak habis lagi...

Disebabkan aku tidak boleh lari daripada overthinking, maka aku buat keputusan apa kata kita jadikan overthinking sebagai sesuatu yang lebih produktif. Kita jadikannya topik bersiri di dalam blog ini.

Jadi,
mari kita mulakan dengan bincangkan tentang satu situasi ini.

Situasinya;
pada suatu hari, aku buka Instagram di telefon bimbit dan saksikan satu 'story' milik seorang perempuan yang aku follow. Story dia, si perempuan ini sedang merakam gelagat seorang lelaki yang sedang duduk mencangkung di depannya, mengikat tali kasut yang sedang dipakai perempuan tersebut. Rakaman selama beberapa saat, kemudian tamat.

Sesi overthinking bermula...


Pada aku, secara peribadi,
hanya terdapat dua jenis sahaja lelaki yang sanggup duduk dan ikatkan tali kasut yang dipakai oleh seseorang perempuan;

1) Seorang ayah yang mengikat tali kasut anak perempuannya, atau

2) Seorang lelaki yang ada perasaan terhadap perempuan itu.

Dan hanya ada tiga jenis perempuan sahaja yang akan membenarkan seorang lelaki duduk dihadapannya mengikat tali kasutnya;

1) Seorang anak perempuan yang disayangi ayahnya, atau

2) Seorang perempuan yang langsung tidak tahu bagaimana cara mengikat tali kasut, atau

3) Seorang perempuan yang tahu lelaki itu ada perasaan terhadapnya.


Look,
logiknya, kalau aku sedang bersama dengan seorang kawan perempuan (yang aku tiada perasaan terhadapnya), dan tali kasutnya tertanggal dan disedari aku, aku hanya akan tegur dia 'hey, tali kasut kau tercabut' dan si perempuan itu yang akan mengikatnya sendiri, kecuali kalau si perempuan itu tidak tahu cara ikat kasut dan minta tolong aku barulah aku akan duduk dan ikatkan untuk dia, tapi persoalannya kalau dia tidak tahu cara ikat tali kasut, kenapa dia perlu beli dan pakai kasut bertali?

Dan sudah tentu, seorang ayah yang sayangkan anak perempuannya akan tolong ikatkan tali kasut anaknya yang tertanggal. Itu tiada debat dan bantahan.


Dan daripada video 'story' yang kita sentuh di bahagian situasi tadi, aku dengan jelas tahu perempuan itu tahu ikat tali kasut sendiri (sebab banyak kali dah lihat dia pakai kasut bertali) dan jelas serta nyata sekali lelaki tersebut BUKAN ayah kepada perempuan itu (kecuali kalau ayahnya itu sangat awet muda sehingga nampak sebaya dengan anak perempuan sendiri), maka kesimpulan yang boleh kita buat daripada video beberapa saat itu adalah...

...lelaki itu ada perasaan kepada perempuan tersebut, dan si perempuan itu menyedarinya.

Perempuan itu, yang setakat aku tahu masih seorang bujang tiada teman, memuat naik video seorang lelaki ikatkan tali kasutnya ke dalam Instagram menunjukkan bahawa dia okey dengan semua itu. She's okay with that.

Bermakna, video yang sedang aku saksikan itu sama ada adalah bibit-bibit awal dua hati sedang berputik, atau perempuan itu seorang narsis yang sukakan dirinya dipuja.

Mana satu pun (antara dua di atas) yang benar tentang video 'story' itu, kedua-duanya memberitahukan sesuatu kepada aku.


Jujurnya,
aku sendiri sebenarnya ada simpan perasaan terhadap perempuan itu. Salah satu sebab aku follow dia di Instagram adalah untuk mengetahui perkembangan diri dia sambil melihat mana-mana peluang yang aku boleh dapat untuk lebih rapat dengan dirinya.

Maka,
melihat adanya video seorang lelaki sanggup melutut dan tolong ikat tali kasut dia, dan dia seronok merakamnya dan memuat naik menjadi 'story', sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap diri aku.

TIDAK.
Aku tidak patah hati. Aku tidak kecewa. Mungkin sebab walaupun aku ada perasaan terhadap perempuan itu, tapi aku langsung tidak pernah berusaha untuk merapatinya. Jadi sedikit sebanyak video ini seperti satu tepekan 'PADAN MUKA' kepada aku kerana lambat bertindak.

Mungkin video ini (pada aku) adalah satu penutup, 'closure' supaya berhenti berharap.

Lagipun aku dapat tahu perempuan itu tidak sukakan kucing. Aku suka kucing, so we may never be able to be on the same plane of existence rasanya.

Maka, move on adalah jalan yang paling bernas tidak kira apa pun outcome yang aku dapat daripada video 'story' beberapa saat perempuan itu. Aku kena terus percaya bahawa ada seseorang di luar sana yang tercipta khas untuk melengkapi diri aku...

...atau tidak.



Terima kasih kerana sudi membaca siri terbaru 'Overthinking' di blog ini. Jumpa lagi di episod akan datang.







  




.

Jul 3, 2019

Bebelan Hujung Syawal.



Salam.



Jadi,
bulan Syawal pun sudah berada di penghujungnya.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, ramai kenalan seperti saudara mara, rakan lama, dan jiran tetangga yang dapat bertemu semasa rumah terbuka, kenduri, mahupun kunjungan ke rumah akan bertanyakan soalan yang sama;

"Kau bila nak kahwin?"

Sudah tentu mereka tidak bertanya seperti itu. Mereka sekarang semakin kreatif, maka soalan yang sama diubah frasa menjadi lebih segar dan menyegarkan, seperti;

"Sampai bila nak datang seorang ni?"
"Isteri mana? Tak ikut?"
"Anak sudah berapa?"

...dan yang semaksud dengannya.

Seperti biasa,
aku sudahpun sediakan satu set jawapan untuk soalan sedemikian. Jawapan nombor dua paling kerap aku gunakan tahun ini ialah;

"Jodoh belum sampai lagi..."
sambil ketawa kecil dan tersenyum basi.

Perkataan 'jodoh' itu sedikit sebanyak membuatkan si yang bertanya akan berusaha untuk tidak memanjangkan soalan kerana tanyalah siapapun orang Islam, mereka akan tahu bahawa jodoh adalah antara perkara yang tidak berada di dalam tangan manusia. Kebanyakan yang bertanya akan terus tukar topik bila aku sentuh soal jodoh.

Dan aku gunakan perkataan 'kebanyakan' di dalam perenggan di atas disebabkan masih ada segelintir daripada mereka yang bertanya akan memanjangkan isu dengan berkata,

"Kau memilih sangat ni..."

dan meletakkan aku di kandang mereka yang patut dipersalahkan.

Kalau kalian kenal aku, dan aku rasa kalian tidak, sebenarnya aku langsung bukan seorang yang memilih dalam soal jodoh berpotensi. Malah, syarat utama aku cukup mudah; bakal jodoh aku perlu sukakan aku kerana aku, dan bukan sukakan aku disebabkan mereka sukakan seseorang yang mereka anggap sebagai aku.

Dengar mudah, bukan?

Sudah tentu orang yang sukakan kita itu sukakan diri kita. Kalau mereka sukakan orang lain, kenapa mereka kata mereka suka kita, kan?

Tapi dalam isu aku, ia tidak semudah membina ayat dengan 12 patah perkataan seperti di atas.

Kebanyakan mereka yang 'pernah' kata mereka suka aku sebenarnya sukakan persona yang aku tonjolkan di medium lain. Mereka sukakan alter ego aku. Mereka langsung tidak kenal siapa aku. Malah, mereka tidak mahu kenal pun siapa diri aku yang sebenar. Mereka fikir, hanya kerana mereka sudah baca satu dua perkara tentang aku di medium-medium itu, maka mereka sudah kenal aku. Sedangkan mereka tidak tahu pun satu perkara tentang aku. Nama aku, pekerjaan aku, warna kegemaran aku, makanan kegemaran aku. Langsung mereka tidak ingin tahu.

Kalau kalian fikir aku suka warna kuning, kalian salah sama sekali.

Inilah salah satu sebab utama kenapa aku asingkan kehidupan realiti aku dan alter ego aku sebagai cEro.



Tipulah kalau aku kata aku tidak langsung risau soal jodoh. Anak-anak buah aku pun sudah semakin membesar dan semakin bertambah setiap tahun. Kawan-kawan sebaya pun lebih banyak bercerita tentang 'prosedur kemasukan murid darjah satu/ tingkatan satu di sekolah kerajaan' di dalam group WhatsApp berbanding dengan rancangan nak lepak kedai mamak mana malam nanti.

Tahu kan satu group WhatsApp kawan-kawan satu sekolah yang penuh dengan gambar keluarga kecil masing-masing berpakaian sedondon dan letak wordart di bahagian atas gambar yang tertulis 'Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir Batin daripada kami sekeluarga' tu? Jujurnya, aku pun nak buat gambar macam tu.

Tipulah kalau aku tidak risau. Aku risau.

Jadi bila saudara mara, rakan lama, dan jiran tetangga selalu sangat bertanyakan keberadaan status aku yang seorang ini, sekaligus mengingatkan aku kepada kerisauan yang sentiasa membelenggu diri di waktu sepatutnya aku makan hidangan yang sedap di atas meja di depan dan bergembira, kalian rasa apa patut aku rasa?



Nak tahu apa jawapan pertama paling kerap diberikan aku apabila ditanya soalan sedemikian?

"Diri sendiri pun sudah nak jaga, macam mana nak jaga anak orang pula nanti?"

Itulah jawapan paling jujur aku pernah beritahu. Di dalam jawapan itu terkandung segala perkara yang boleh sesiapapun bahaskan. Jawapan itu mengandungi penjelasan mengenai status ekonomi aku, status kesihatan aku (mental dan fizikal), kesediaan diri aku sendiri, kesediaan pihak satu lagi, perancangan masa hadapan, dan tanggungjawab berkeluarga.



Aku ni, nak bedah mata sendiri pun kena minta belas ihsan orang beri sumbangan.
Kau fikir aku mampu nak jadi ketua keluarga?







  




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: