Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label isu. Show all posts
Showing posts with label isu. Show all posts

Jul 11, 2018

"Aku suka yang cerah..."





Salam.

Di satu majlis makan-makan,
aku berkesempatan duduk semeja bersama-sama beberapa orang.
Lelaki ada, perempuan ada.
Ada antara mereka bertaraf kawan, ada antara mereka hanya kenalan.
Namun, kami semeja ada satu persamaan; KAMI SEMUA MASIH BUJANG.

Jadi,
bila orang bujang duduk semeja, perkara yang dibualkan tidak seperti perbualan orang sudah berkahwin.

Entah bagaimana, perbualan kami sudah masuk ke topik 'ciri-ciri pilihan'.
Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada (bakal) pasangan nanti.

"Aku nak yang kaya. Senang hidup!" Semua orang ketawa.
"Aku suka yang hitam manis," kata seorang ini.
"Aku lebih suka yang pandai memasak. Air tangan itu penting," kata seorang lagi.
"Aku tak suka sangat yang badan sado-sado ni. Geli~~!"

Kalau ikutkan, aku memang ada beberapa ciri yang menjadi pilihan aku.
Tapi bila sampai giliran aku, aku sudah tahu apa aku nak cakap.

Aku kata, "Aku suka yang cerah..."

"HAAH, ITULAH DIA! LELAKI!"
Tiba-tiba kata-kata aku dipotong oleh salah seorang ahli perbualan yang berlainan jantina.

"ASALKAN NAK PASANGAN, MESTI CARI YANG KULIT PUTIH, KULIT CERAH.
DAH KENAPA? JIJIK SANGAT KE YANG KULIT GELAP NI?"

Entah kenapa cik akak ni triggered.
Aku belum sempat habiskan ayat lagi, sudah kena hentam.

"SEBABKAN JENIS LELAKI MACAM NI LAH RAMAI PEREMPUAN LUAR SANA OBSES NAK PUTIHKAN KULIT. BELI SEGALA JENIS PRODUK PEMUTIH YANG ENTAH SELAMAT ENTAH TIDAK. BILA KULIT DAH JADI MAKIN TERUK, NAK MENYESAL PUN TAK GUNA! DAH TERLAMBAT!"

Sengaja aku guna HURUF BESAR untuk dialog dia.
Sebab nada percakapannya memang tinggi.
Walaupun gaya cakap dia seperti tuju ke semua lelaki yang berada di situ,
tapi sebab aku yang petik isu 'cerah' ni maka aku rasakan segalanya ditujukan kepada aku.

"KULIT PUTIH MELEPAK NI BUKANNYA BAIK SANGAT. BILA KULIT PUTIH, MAKNANYA MELANIN DALAM KULIT JADI KURANG. MELANIN BERFUNGSI MENGHALANG KITA DARIPADA KENA KANSER KULIT. NAK PUTIH SANGAT, NANTI DAPAT KANSER BARU PADAN MUKA."

Cik kak ni bersyarah cerita kanser kulit pula.
Dude, aku graduan biologi kot. Aku tahu semua itu.

"JANGAN NAK PANDANG SANGAT DEKAT WARNA KULIT. CANTIK TAK SEMESTINYA HATI BAIK. MUKA CANTIK TUA NANTI BERKEDUT JUGA. HATI BUSUK KALAU LAMA-LAMA JADI SEBATI TAK TENTERAM JIWA. NANTI SI LELAKI NI BARU NAK MENYESAL SANA SINI."

"TERIMALAH PEREMPUAN SEADANYA. JANGAN NAK LETAK SYARAT WARNA KULIT SANGATLAH!"

Kalian rasa jengkel tak aku taip guna huruf besar?
Macam itulah perasaan jengkelnya aku bila dengar dia melatah tak tentu pasal.
Bukan aku sahaja, kawan perempuan yang duduk kiri kanan dia pun sudah bertukar muka, mempersoal kenapa perlu beremosi ekstrem.
Aku kurang kenal si dia yang menyerang ini,
tapi aku dapat rasakan ini lebih kepada isu peribadi.
Aku langsung tidak diberi kesempatan mempertahankan diri.



YA.
Antara ciri-ciri pasangan pilihan aku untuk dijadikan isteri ialah berkulit cerah.
Tapi tidak ada kena mengena dengan isu rasis ke, isu keturunan ke, isu melanin dalam kulit ke, ini semua hanyalah satu pilihan.
It's only a matter of preference.

Ada orang suka yang hitam manis, itu tidak salah.
Maka, yang suka kulit cerah pun bukan satu kesalahan.

Ada orang suka yang pandai masak, itu pilihan dia.
Tiada pula orang lain nak melenting mempertahankan golongan yang tidak pandai masak.

Ada yang tidak suka berbadan sado. Tak mengapa.
Perlukah orang yang berbadan sado jadi beremosi dan hentam setiap individu yang tidak menjadikan mereka sebagai pilihan?

Sama juga seperti aku.
Aku suka yang berkulit cerah dan itu adalah pilihan aku.
Itu hanya satu preference.



Bagi mempertahankan diri,
biar aku ceritakan pengalaman aku suatu masa dahulu.

Semasa di sekolah rendah, aku menjadi salah seorang daripada hanya dua wakil darjah 4 untuk mewakili sekolah dalam acara olahraga peringkat zon (wakil lain semua pelajar darjah 5 dan darjah 6), maka aku terpaksa berlatih lari di padang hampir setiap hari.

Akibatnya,
kulit aku yang sedia ada gelap ini menjadi semakin gelap.
Darjah 4, mana mungkin aku tahu kepentingan pakai krim sunblock apa semua tu.

Disebabkan kulit terbakar dek selar matahari,
orang keliling aku ejek sebagai 'kicap', 'pak tam', 'k*ling' dan macam-macam lagi.
Kena ejek beramai-ramai, bertubi-tubi, berhari-hari.
Darjah 4, umur 10 tahun, dan aku diejek sedemikian rupa.
Rasa-rasa apa perasaan aku ketika itu?

Sudah tentu aku sedih. Aku malu.

Tapi oleh sebab aku sedar aku memang sedia ada berkulit gelap,
dan aku tidak ada kemampuan untuk mengubah fakta itu,
maka aku reda dan bertahan menahan segala kutukan.

Budak sekolah rendah ni, kalau mereka mengejek dan kita buat tak endah,
lama kelamaan mereka akan senyap (atau cari mangsa lain untuk diejek).
Itulah yang aku buat.
Aku diamkan mereka yang mengejek itu dengan kejayaan aku di bidang sukan DAN bidang akademik.

Tapi ejekan yang aku terima pada waktu itu cukup terkesan,
berparut di dalam hati aku.
Sampai ke hari ini.

Maka, aku berjanji pada diri sendiri.
Aku tidak mahu anak aku, zuriat aku,
melalui perkara yang sama dengan apa yang pernah aku alami.

Dan macam aku cakap, aku graduan biologi.
Jadi aku tahu kalau aku mahukan anak yang berkulit cerah,
aku perlu cari bakal ibunya yang juga berkulit cerah.
Sebab aku tahu, kalau ibunya berkulit gelap,
dan aku pun berkulit gelap,
maka anak yang lahir juga akan berkulit gelap
seterusnya menjadi mangsa ejekan anak orang lain apabila dia semakin besar kelak.

Dengan kata lain,
aku mencari pasangan yang berkulit cerah adalah kerana aku tidak mahu anak aku lalui pedihnya diejek berkulit gelap.

Sama macam orang yang suka kulit hitam manis kerana dia ada kenangan manis dengan orang yang berkulit hitam manis. Juga sama macam orang yang memilih yang pandai masak kerana dia tahu air tangan orang yang tersayang adalah yang terbaik. Sama juga dengan orang yang tidak sukakan yang berbadan sasa kerana pada pendapat dia, susuk tubuh sebegitu menggelikan.

It's just a matter of preference. Nothing more.
Semua ada pilihan masing-masing. Tiada isu pun sebenarnya.



Isu warna kulit selalu disensasikan kerana manusia langsung tidak menghormati pilihan orang lain.

Orang yang memperjuangkan kulit gelap disanjung tinggi, manakala yang memilih kulit cerah dikutuk dikatakan menindas. Manusia terlalu terikat dengan sejarah orang kulit hitam yang pernah dijadikan manusia kelas bawahan pada satu waktu dahulu sedangkan isu memilih pasangan hidup langsung tiada kaitan dengan isu perkauman, rasisme dan asal keturunan.

Aku tahu aku mungkin akan dibenci kerana keluarkan kenyataan sebegini,
tapi pada aku, mereka yang senang triggered bila petik isu warna kulit inilah sebenarnya yang ada masalah.
Kalau betul kita menilai manusia melepasi warna kulit,
maka tiada masalahpun kalau sesiapa nak pilih apa jenis warna kulit sekalipun sebagai pilihan, kan?



Berbalik kepada cerita cik akak yang triggered tadi,
oleh sebab aku bukanlah rapat manapun dengan dia,
jadi aku buat keputusan untuk berdiam diri dan langsung tidak pertahankan diri.
Kalau ikutkan, boleh bergaduh jadinya kalau aku bantah balik apa dia kata.
Isu kecil pun nak terasa sampai hentam orang begitu sekali.

Dan sebenarnya, apa yang aku nak kata (yang tidak habis tadi) ialah,
"Aku suka yang cerah, paling tidak dia kena lebih cerah daripada kulit aku."

Dan kepada yang pernah jumpa aku in real life, kalian akan tahu,
nak cari yang lebih cerah daripada kulit aku bukannya susah.
Majoriti perempuan adalah berkulit cerah daripada kulit aku sebab sudah sedia maklum KULIT AKU MEMANG GELAP.

Sekian.






.

Jun 6, 2018

Sembang Ramadan: AZAM!



Salam.

Hey, you're still reading this blog, huh?
Terima kasih sebab masih tak jemu membaca blog ini.
Aku sedar alam blogging semakin kurang relevan,
tapi itulah, niat aku tulis blog pun bukannya nak ikut trend pun.
Lebih kepada medium meluahkan perasaan diri.

Minggu ini kita (aku) akan berbincang tentang satu perkara;
AZAM.





Kalau kalian baca blog aku, atau kenal aku secara peribadi,
kalian akan tahu aku ni jenis yang mission-oriented.
Aku suka tetapkan misi untuk sesuatu yang aku buat, supaya pada akhir nanti aku boleh nilai adakah perkara itu memberi kesan kepada aku.
Bebudak zaman sekarang suka guna istilah goal-digger (word spin daripada gold-digger) tapi entahlah, aku kurang berminat dengan istilah tu. Dengar macam rempit sangat.

Tidak terkecuali untuk bulan Ramadan.
Sejak daripada dulu lagi aku selalu letakkan 'misi', atau lagi mudah aku panggil 'azam', bila masuk bulan Ramadan.

Kenapa 'azam' dan bukan 'misi'?
Kerana 'misi' boleh dinilai, manakala 'azam' kedengaran lebih subjektif.
Logiklah. Kalau kita berazam nak tambah pahala, macam mana kita nak nilai pahala tu sedangkan sama ada pahala itu dapat ke tidak bukannya kerja kita sebagai umat, kan?

Atas sebab-sebab tertentu, aku tidak boleh berkongsi secara terperinci semua azam Ramadan aku tahun ini.
Bila melibatkan hubungan dengan Tuhan, kita kena berhati-hati berkongsi kerana takut jatuh hukum riak dan takabbur.

Namun apa yang aku boleh kongsikan adalah satu cerita ini yang telah aku alami awal Ramadan lalu.

Antara azam Ramadan aku tahun ini (secara umumnya) ialah mahu LEBIH MEMBERI.
'Memberi' ini luas skopnya, banyak definisinya.
Antara yang paling mudah untuk kita kata ialah bersedekah.
Dan cerita aku pun ada kaitannya dengan bersedekah.

Satu petang sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah, aku singgah di sebuah masjid untuk solat Asar. Sedikit terlewat, aku terlepas jemaah. Namun nasib ada jemaah kecil baru jadi dapat juga aku pahala berjemaah.

Selepas selesai solat, aku ambil keputusan untuk berehat sebentar di satu sudut masjid dengan bermain telefon bimbit. Cuaca di luar sedikit renyai, jadi aku rasa adalah baik untuk aku tunggu hujan reda sebelum sambung bergerak ke rumah.

Tiba-tiba, ada seorang lelaki menghampiri aku. Diberinya salam. Aku menjawab salam sampai menekan butang padam di telefon. Aku tidak mahu dia melihat apa yang aku buat di telefon aku, sekaligus aku memberikan dia perhatian yang dia pinta.

Lelaki itu menghulurkan satu bekas makanan berbentuk segi empat tepat dan lutsinar. Kelihatan berisi pulut kuning di satu bahagian, dan lauk rendang ayam di satu bahagian yang lain.

"Maaf ganggu, bang. Ini ada sedikit juadah untuk berbuka nanti," katanya.

Aku menyambut huluran itu dan berterima kasih. Tanpa penerangan lanjut, lelaki itu terus minta izin untuk beredar. Dari jauh aku ikut gerak geri lelaki itu. Rupanya dia mengedarkan juadah berbuka itu daripada satu kotak besar yang dibawanya daripada kereta dia sendiri, sendirian.

Pada aku ketika itu, lelaki itu adalah antara yang benar-benar gigih mahu menimba pahala sebanyak mungkin di bulan Ramadan. Memang niat dia mahu berbuat kebaikan. Tiada aksi gambar selfie untuk dipertontonkan. Tiada melobi nama atau syarikat untuk tujuan promosi. Dia beri, dan dia pergi. Dia jelas tiada niat mahu ganjaran duniawi.

Aku kagum. Lelaki itu mengingatkan aku tentang azam Ramadan yang aku tanam sedari awal puasa hari itu. Aku juga mahu lebih memberi. Tapi aku manusia biasa, aku selalu lupa apa yang aku azamkan.

Hujan sudah reda.

Aku ambil keputusan untuk gerak pulang ke rumah, berbuka di sana. Tapi sebelum beredar, aku berdiri di depan tabung masjid dan memegang dompet. Aku mahu memberi. Aku pun mahukan pahala seperti lelaki tadi mahukan pahala.

Aku buka dompet. Di bahagian duit kertas hanya ada dua keping not. Satu warna biru (RM 1), satu lagi warna merah (RM 10).

Memori tiba-tiba bawa aku ke satu masa dahulu di mana ustaz pernah berkata,
"Kalau nak bersedekah, pilihlah untuk bersedekah nilai yang lebih besar. Lagi sayang kita dengan benda itu, lagi tinggi nilai dia di sisi Allah SWT ketika disedekahkan."

Pilihan aku hanya dua; duit kertas biru atau duit kertas merah.

Aku bercadang mahu isi minyak motosikal sebelum sampai ke rumah nanti, jadi aku kena simpan duit kertas merah. Tapi kalau nak hulur yang kertas biru, nilainya terlalu rendah.

Hampir seminit aku berdiri di depan tabung dan berfikir, akhirnya aku buat keputusan berat untuk hulur yang biru dan simpan yang merah. Seharian aku terasa ralat.



Hari itu aku dapat satu pengajaran;
MEMBERI tidak semudah yang kita fikirkan, apatah lagi untuk orang yang kurang benda untuk DIBERI.





.

May 30, 2018

Sembang Ramadan: NAFSU!



Salam.

Berdasarkan tajuk entri hari ini,
kalian mesti tahu apa topik yang aku nak ajak bersembang kali ini.
Ya, kita akan bercerita tentang sesuatu yang jarang disentuh di sini.
Malah, isu ni pun jarang disentuh orang lain sempena Ramadan.

Kita akan berbincang mengenai NAFSU.




Pada aku, nafsu ini mudah.

Orang ramai fikir nafsu adalah sesuatu yang 'on' dan 'off' serupa suis.
Nampak orang pakai seksi sikit, nafsu ON.
Buat amal ibadah sikit, nafsu OFF.

Aku kurang bersetuju.

Bayangkan sinki di bilik air.
Jika paip air dibuka, air akan bertakung di sinki.
Jika lubang air disekat, air akan terus bertakung.
Selagi ada air yang masuk, sinki akan semakin penuh.
Sampai satu tahap, jika tidak dibuat apa-apa, air yang penuh akan melimpah dan berlaku pembaziran.

Begitu juga nafsu.

Nafsu bukan sekali datang terus tercetus.
Ia berperingkat dan bertambah sedikit demi sedikit.

Contohnya nafsu makan.
Kita bukannya nampak satu makanan sudah datang nafsu makan secara tiba-tiba.
Nafsu makan dicetus sedikit demi sedikit seperti contoh;
iklan di TV, papan rentang di jalanraya, imej di majalah, gambar dari media sosial, visual semasa melihat orang lain makan di kedai makan dan sebagainya.
Sedikit demi sedikit nafsu itu meningkat dan akhirnya,
apabila sampai satu tahap atau 'threshold', nafsu makan itu tidak dapat dibendung lagi.

Sama juga dengan nafsu seks.

Kita bukannya nampak seorang berpakaian seksi dan menggoda terus datang nafsu serakah secara tiba-tiba.
Nafsu itu dicetus sedikit demi sedikit seperti contoh;
iklan di TV, papan rentang di jalanraya, imej di majalah, gambar dari media sosial, visual semasa melihat orang lain berpakaian tidak senonoh di khalayak awam dan sebagainya.
Sedikit demi sedikit nafsu itu meningkat dan akhirnya,
apabila sampai satu tahap atau 'threshold', nafsu serakah itu tidak dapat dibendung lagi.

Sebab itu wujudnya mangsa rogol daripada golongan kanak-kanak, wanita bertudung dan berpurdah.
Memang bukan mereka yang menayang bentuk badan dan aurat,
tapi mereka mendapat kesan daripada orang lain yang tidak segan silu berpakaian 'inviting' dari semasa ke semasa.

Tapi ini adalah pendapat aku.
My unpopular opinion.

Kalau kita ke media sosial, terutamanya Twitter,
kita akan dapati bahawa para netizen menganggap 'orang pakai seksi tidak salah langsung'.
Alasan mereka, mangsa rogol bukan sahaja daripada golongan yang berpakaian seksi,
tapi juga daripada golongan kanak-kanak, wanita bertudung dan malah berpurdah.
Mereka (netizen) meletakkan 100% kesalahan ke atas lelaki yang dilabel 'gagal' mengawal nafsu sendiri.

Sampaikan bila ada orang tegur pakaian orang lain, mereka dilabel sampah.
Sampai satu tahap, kita akan hidup dalam masyarakat yang TIDAK BOLEH DITEGUR.

Ya, memang cara sebahagian daripada mereka yang menegur itu salah.
Contohnya seperti Azrul yang menegur pakaian YB Nurul Izzah di live radio.
Secara tiba-tiba semua perempuan nak bercerita tentang 'Azrul' mereka sendiri.
Semuanya salah kepada orang yang menegur, sedangkan mereka terus menerus memikirkan mereka tidak menyumbang kepada masalah itu.

It's not that simple.
Masalah nafsu serakah dan 'urge to rape' bukan datang dari hanya satu faktor.

Aku rasa semua orang tahu itu tentang nafsu,
sebab semua orang ada nafsu sendiri.
Kita tak perlu mendengar cerita daripada perogol baru nak tahu bagaimana nafsu berfungsi.

Tapi semua orang sedang cuba nak salahkan satu faktor sahaja,
dan biarkan faktor-faktor penyumbang yang lain terus menerus dilakukan.

Macam yang aku katakan awal tadi, nafsu ini umpama air di sinki.
Lelaki yang tidak menjaga pandangan hanyalah sebahagian daripada air.
Banyak lagi air (faktor) lain seperti direct visual, media sosial, TV, imej cetak dan lain-lain.

Aku tahu ada yang tidak akan bersetuju dengan aku.
Aku tidak perlu persetujuan kalian tapi aku tahu jauh di sudut akal kalian sudah tahu, masalah ini bukan datang dari satu pihak sahaja.
Dan menyalahkan satu pihak sahaja, pada aku, langsung tidak menyumbang kepada penyelesaian.

But hey, that's me.
You all are entitled to your own opinion, right?
Just as much as I entitled to my own opinion.

Betapa banyak kalian nafikan pun, nafsu sendiri, sendiri juga yang tahu, kan?






.

Nov 8, 2017

Hujan, Cuaca dan Kita.



Salam.



So, how's your day?
Adakah tempat kalian sama macam tempat aku; selalu hujan?
Aku yang menggunakan motosikal sebagai mod transportasi utama memang terkesan sangat bila masuk musim hujan.
Tiap-tiap hari basah.
Bilik aku penuh dengan baju lembab,
menyebabkan kelembapan udara di dalam bilik menjadi tinggi
dan meninggikan kebarangkalian aku nak diserang demam.

Adakah kalian terlibat dengan banjir yang sedang melanda beberapa negeri tanah air?
Kalau ada, bertabahlah.
Aku tiada pengalaman menghadapi banjir,
jadi aku sangat tak tahu apa yang orang pernah hadapi akan rasa.
Harap-harap semuanya selamat.

Alang-alang sudah masuk topik hujan,
tahukah anda cuaca adalah perkara kedua paling susah nak diramal manusia?

Ya,
manusia kini boleh rancang plan jajah Marikh menjelang tahun 2020
tapi kita langsung tak mampu nak teka tepat cuaca untuk esok hari.
Sebab itu setiap berita cuaca disebut sebagai 'ramalan kaji cuaca'
sebab kita hanya boleh 'ramal' cuaca,
namun tiada kepastian 100% ketepatannya.

Ramalan kaji cuaca mungkin kata esok hujan lebat di Kuala Lumpur.
Jenuh kita sediakan payung besar, bak Adiff memayung Syahnaz,
tapi rupanya esok hari panas terik diselar mentari.

Jadi pernah kalian fikir kenapa susah sangat nak ramal cuaca?



BUMI ITU LUAS


Aku tak pasti bagaimana kalian 'pandang' Bumi
tapi faktanya, Bumi sangat luas.
Ya, planet kita mungkin bukan antara planet terbesar dalam sistem suria
tapi sebab relatifnya manusia itu kerdil,
maka Bumi, secara relatifnya juga, sangat luas.

Berkenaan cuaca,
cuaca di sesebuah lokasi berubah berdasarkan beberapa faktor
seperti pergerakan angin, kelembapan udara, tekanan udara,
dan macam-macam lagi faktor kecil yang menyumbang.
Dan lagi memeningkan kepala,
kita tak boleh hanya tengok faktor-faktor ini di satu tempat.
Contohnya, nak tahu cuaca di Kuala Lumpur tidak bermakna kita perlu tengok segala faktor yang aku katakan di atas hanya di kawasan Kuala Lumpur, tapi kita perlu tengok lebih luas, mungkin seluruh dunia.

Dan seperti mana yang aku kata tadi,
Bumi sangat luas.
Kita tak ada daya nak kaji setiap titik kawasan di permukaan Bumi.
Tapi kalau ada daya sekalipun,
dengan data yang tersangat banyak itu, kita tiada model yang sempurna untuk meramal cuaca sesebuah kawasan dengan tepat.

Sebab itu untuk zaman sekarang,
kita mampu meramal cuaca hanya tiga hari lebih awal sebelum hari kejadian
berbanding 20 tahun dahulu yang hanya mampu meramal cuaca dalam jarak sehari sebelum sahaja.
Itu pun sampai sekarang tiada yang 100% tepat.



BUTTERFLY EFFECT


Pernah dengar tak orang kata;
satu kibasan sayap rama-rama mampu menyebabkan taufan di sebelah lain dunia?
Ya,
itu merujuk kepada konsep 'butterfly effect', metafora kepada konsep di mana
perkara kecil mampu memberi impak kepada satu perkara yang besar.

Tapi dalam meramal cuaca,
konsep itu boleh diambil secara bulat-bulat.
Disebabkan arah gerakan angin sangat memainkan peranan terhadap cuaca,
maka sedikit perubahan angin (kibasan sayap rama-rama yang lemah)
mampu menyebabkan perubahan yang besar (arah tiupan angin taufan yang kuat).

Konsep ini tidak menyatakan yang kibasan sayap rama-rama itu bersifat memusnah,
tapi hasil kesan dan akibat perubahan pergerakan angin itu sendiri mungkin menyebabkan kesan yang lain yang lama kelamaan akan bertambah dan terus bertambah sehingga meningkatkan kemungkinan berlakunya taufan.

Bila dilihat dari sudut itu,
aku kentut senyap-senyap di depan kedai burger semalam pun
mungkin menyumbang kepada angin ribut yang melanda hari ini.
Siapa sangka kentut aku mempunyai kuasa pemusnah sedemikan.



CUACA VS MANUSIA


Ketidaktentuan inilah yang membuatkan manusia takut dengan cuaca.
Bencana alam adalah antara bencana yang paling menakutkan manusia.
Bukan hanya disebabkan kuasa pemusnahnya,
sebab kalau nak diikutkan, bom atom punya kuasa pemusnah yang lebih besar.
Tapi bencana alam ditakuti kerana kuasa pemusnahnya DAN JUGA ketidaktentuannya.
Ia boleh datang bila-bila masa tanpa ada sesiapapun perlu tekan suis.

Kalau kalian berkesempatan tontonlah filem Geostorm.
Pada masa aku taip entri ini, filem itu masih ditayangkan di pawagam
walaupun sudah masuk fasa terakhir tayangan.

Filem Geostorm ini menceritakan tentang kerakusan manusia (dalam kes cerita ini: Amerika) untuk mengawal cuaca.
Kononnya mereka telah berjaya sempurnakan teknologi untuk mengawal cuaca
supaya dapat mengawal (atau membatalkan) bencana alam yang bakal mendatang.
Tapi bak kata Uncle Ben,
"With great power comes great responsibility."
Idea nak punya kuasa kawal cuaca akhirnya bawa malapetaka,
bukan hanya kepada Amerika, tapi ke seluruh dunia.

Kuasa sebesar itu semestinya tak mungkin boleh dikawal,
apatah lagi oleh makhluk picisan macam manusia.

[Untuk rekod, aku tak tengok (lagi) filem Geostorm ni. Aku tengok trailer je haahahha]

Oh, kalau kalian peminat komik Marvel, lebih tepat lagi X-Men,
mesti kenal dengan satu watak nama Storm.
Storm adalah seorang mutan dengan kuasa mampu kawal cuaca.
Dia mampu keluarkan kilat, angin, hujan, ribut,
malah kalau dia nak, dia mampu tenggelamkan daratan hanya dengan menyeru air dari lautan.
Disebabkan kuasa dia, dia dipuja sebagai dewi di dalam komik itu.

Kedua-dua contoh (tidak formal) ini adalah bukti walaupun dalam dunia fiksyen,
cuaca adalah bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng oleh manusia.
Dalam keadaan cuaca melawan manusia,
manusia akan senang-senang kalah.



KESIMPULAN


Bila hujan turun, kita merungut, kita marah.
Tapi kita marah dekat siapa?

Sempena musim hujan sebegini, bertabahlah.
Apa pun dugaan, walau bagaimanapun hujan menyusahkan,
bersabarlah.

Hujan yang sama membawa bencana banjir dan air bah,
adalah hujan yang sama memberi rahmat kepada segenap makhluk-Nya.
Kecil-kecil hujan dipanggil gerimis,
besar-besar hujan dipanggil bencana.

Muhasabah diri tentang betapa kecilnya diri kita sebagai manusia.
Kita selalu berjalan dengan langkah bongkah, mendongak di bumi yang luas.
Tapi bila hujan turun, semua menunduk juga.



Jadi, kalau kalian baca dengan tepat,
aku ada kata cuaca adalah perkara KEDUA paling susah nak diramal.
Apakah perkara PERTAMA?

Jawapannya, HATI PEREMPUAN.






.

Nov 1, 2017

Comot, Populasi, dan Anak Bakal Tunjang Negara.





Salam.

Sedang aku membelek balik gambar dalam galeri telefon aku,
terjumpa satu gambar anak kucing yang comel.
Warnanya putih tapi tidak putih, ada sedikit calit gelap sana dan sini.
Kami namakan dia Comot.

Baru-baru ini, aku jumpa balik kucing itu di rumah ibu bapa aku.
Comot sudah dewasa. Dipanggil Abang Comot sebab dia kini seorang abang.
Walaupun yakin bahawa gambar di telefon aku dan Abang Comot yang dilihat di depan mata itu adalah kucing yang sama, tapi perbezaannya begitu ketara.
Comot kelihatan lebih comot daripada semasa dia kecil.
Bulu comotnya lebih banyak daripada semasa dia kecil.

Berpindah kepada cerita lain yang akan dikaitkan kemudian,
semasa aku dan seorang kawan minum di kedai mamak,
terkeluar satu penyataan dari mulut kawan aku itu.
Katanya,
"Kenapa sekarang senang jumpa dengan orang yang suka buat kerja bodoh ye?"
merujuk kepada satu video tular seorang artis yang 'sepatutnya' bertudung berjoget-joget depan live video menunjukkan underboob-nya, satu masa lalu.
(Kepada yang tidak tahu apa itu underboob, ia adalah bahagian buah dada bawah kepada areola yang bersifat semi-sfera. And yes, for purposes, I've watched that video.)

Dan berpindah kembali ke cerita yang juga akan dikaitkan kemudian,
Perdana Menteri baru sahaja membentangkan Bajet untuk tahun 2018.
(Dahulu Bajet dikenali sebagai Belanjawan, aku tak tahu kenapa nak diubah kepada Bajet sedangkan Belanjawan kedengaran lebih gah dan berprestij)
Walaupun banyak hasil pembentangan yang dijadikan isu perbincangan orang ramai,
tapi aku lebih tertarik apabila PM Najib menyebut frasa,
"...membawa kesenangan kepada seluruh 32 juta rakyat Malaysia"

YA.
Populasi penduduk di Malaysia sudah mencapai 32 juta.

Lebih tepat lagi,
Google beritahu penduduk Malaysia ialah 31,760,854 orang pada 29 Oktober 2017.

Pada zaman aku sekolah dahulu,
Malaysia hanya ada 23 juta penduduk.
Aku ingat sangat sebab aku berangan kalau setiap orang dalam Malaysia beri aku satu ringgit, aku akan jadi lebih kaya RM 22,999,999.00.
(Satu ringgit kurang sebab aku beri diri sendiri RM 1 akan menjadikannya terhapus, kosong)

Inilah topik aku hari ini.
Dan inilah sebenarnya masalah utama manusia.
Pada aku, manusia sudah terlalu banyak.
We are overpopulated.



Limpahan Populasi.


Bila aku cakap overpopulated,
aku kedengaran macam orang jahat dalam filem aksi tipikal Amerika.
"Oh, manusia terlalu banyak, bumi jadi padat,
kita kena letupkan bandar utama dunia dengan bom pew-pew-pew!"
Walaupun tidaklah sampai tahap aku nak letupkan bandar,
tapi aku rasa manusia memang terlalu banyak.
Terutamanya di Malaysia.

Untuk rekod, kita (Malaysia) ada 32 juta penduduk pada tahun ini 2017,
sedangkan pada masa yang sama, Australia hanya ada 24 juta penduduk sahaja
sedangkan Australia itu besarnya satu benua, dapat dilihat jelas di peta dunia
sedangkan Malaysia hanya sebesar satu beras bila dilihat pada glob di perpustakaan.
(banyaknya 'sedangkan')

Inilah sebab kenapa kita asyik nampak orang buat perkara bodoh di Malaysia.
Sebab populasi kita ramai. Kita padat dengan manusia.
Kalaulah (contoh, bukan fakta tepat) peratusan orang yang suka buat perkara bodoh macam berjoget separuh bogel depan live video adalah 1%, maka satu peratus kepada 32 juta manusia ialah 320 000.
320 000 tu masih banyak, tahu?
Ditambah pula dengan penggunaan media sosial secara tidak bijak,
angka 320 000 itu senang-senang sahaja dapat dilihat semua orang.
Sebab itulah zaman sekarang senang nak jumpa orang yang suka buat perkara bodoh.

Bermakna, di luar sana mungkin ada 320 000 video perempuan Malaysia joget depan live camera dan direkod, walaupun yang menjadi tular adalah video artis bertudung berkenaan.

Maka benarlah kata Will Smith semasa ditemubual mengenai anaknya yang suka buat perkara-perkara kurang bijak.
Katanya,
"Budak zaman dulu dengan budak zaman sekarang sama je tidak bijaknya.
Cuma zaman dulu, budak jadi tidak bijak senyap-senyap.
Zaman sekarang, budak jadi tidak bijak terang-terangan (merujuk kepada kewujudan media sosial)."



Jumlah VS Peratus.


Sama keadaannya dengan bulu kucing Comot aku itu.
Katakanlah hanya 10% bulunya berwarna comot, bukan warna putih.
Semasa dia kecil, 10% bulu comot memang susah nak nampak sebab badannya kecil.
Jumlah bulunya kecil disebabkan luas permukaan badan yang rendah.
Tapi apabila dia sudah dewasa, permukaan badan makin besar, bulu makin banyak,
maka 10% bulu comot itu lebih jelas kelihatan.
Sebab itu Comot nampak lebih comot bila dia besar berbanding semasa dia kecil.
Sebenarnya, bulu dia tetap sama, 10% sahaja bahagian yang comot.

Untuk contoh lebih mudah faham,
bayangkan dalam satu kotak ada 10 biji bola ping-pong.
9 berwarna putih, 1 berwarna oren.
Maka peratusan untuk dapat warna oren ialah 10%.
Jika kita mahu dapatkan bola oren, maka kita ada 10% peluang.
Tapi ini juga bermakna kita kena cari HANYA SATU bola dalam 10.

Cuba pula kotak yang sama tadi diisi dengan 100 bola ping-pong.
'Penduduk' kotak itu semakin banyak.
Bagi mengekalkan 10% peluang mendapat bola oren,
maka perlu ada 10 bola oren di dalam kotak itu
dan selebih 90 bola adalah warna putih.
Kini, walaupun kebarangkalian nak dapat bola oren masih sama 10%,
tapi kita ada peluang untuk ambil 10 bola oren daripada 100 bola,
berbanding tadi hanya satu daripada 10.
Bola oren lebih mudah untuk didapati.



Peratusan Bersifat Relatif.


Itu sebabnya kenapa orang ekonomi dan orang politik suka guna peratusan.
Sebab kalau letak peratus, kita nampak 3% lebih rendah daripada 4%.
Sedangkan kita lupa, peratus itu bersifat relatif, perlu dikaitkan dengan sesuatu.

Kadar pengangguran Malaysia di tahap 3.3%.
3.3% adalah peratus secara keseluruhan penduduk.
Jika dibuat perbandingan dengan jumlah penduduk boleh bekerja (ditolak anak kecil, murid sekolah, pelajar IPT dan warga tua), maka peratusan itu pastinya lebih tinggi.

Kerajaan kata kadar pengangguran kekal pada tahap purata 3.3% setiap tahun.
Tapi secara matematiknya,
3.3% pada tahun penduduk hanya 23 juta orang dahulu ialah 0.759 juta.
sedangkan 3.3% pada penduduk 32 juta orang sekarang ialah 1.056 juta.
Dengan kata lain, walaupun kadar pengangguran kekal,
tapi jumlahnya terus meningkat selagi populasi penduduk meningkat.
Jadi, adakah itu sesuatu yang patut dibanggakan?

Seharusnya masalah pengangguran diselesaikan dengan melihat angka,
bukan peratusan.
Kalau tahun lepas 1 000 000 orang, tahun ini pula 990 000 orang,
maka nampak penurunan, tidak kira berapa banyak pun jumlah penduduk.

Kalau boleh, bantu tiap individu secara peribadi, satu persatu.
Tubuh satu badan khas untuk bina plan kurangkan masalah ketidakpasaran graduan.
Mansuh atau kecilkan program universiti yang lemah pasaran kerjayanya.
Besarkan program yang lebih membantu graduan selepas keluar universiti nanti.

Juga bantu mereka yang menganggur yang juga bukan graduan,
mereka-mereka seperti mangsa down-sizing, orang yang 'in-between jobs', orang dewasa yang tiada pendidikan dan mereka yang berhenti kerja atas dasar-dasar tertentu.
Pada aku, pihak berwajib terlalu asyik nak bantu graduan menganggur sampai lupa wujudnya kelompok penganggur dari kalangan bukan graduan.



Penyelesaian(?)


Meletupkan bandar mungkin satu cara untuk menyelesaikan isu overpopulation,
tapi sudah tentu aku melarang keras perbuatan seperti itu di dalam blog ini.
Lagipun perbuatan tersebut bersifat sementara.
Walaupun tidak membiak selaju tikus, tapi manusia juga tidak kurang hebatnya.
Hilang satu bandar hari ini, 10 tahun kemudian, akan wujud bandar baru yang lebih padat daripada bandar tadi.

Sebaiknya, gunakan isu overpopulation ini sebaik mungkin.
Jika setiap 32 juta orang penduduk itu berbakti kepada negara walaupun sedikit,
maka hasilnya tentu mantap.
Kalau 1% penduduk adalah mereka yang suka buat perkara bodoh di media sosial,
bantu mereka yang 1% ini supaya celik dan tidak buat perkara bodoh lagi.
Kalau 3.3% adalah penganggur,
pastikan (kalau boleh) yang turun itu adalah angka, bukannya peratusan.

Ini bukan blog ilmiah untuk aku bincangkan caranya secara mendalam.
Cukuplah kalian tahu yang negara kita semakin padat dengan penduduk.
Maka, pastikan yang padat itu adalah mereka yang membantu, bukannya mereka yang merosakkan.



Kesimpulan.


Aku terfikir isu ini adalah sebabkan satu peristiwa.
Beberapa hari lepas aku ternampak sepasang ibubapa yang buat tak tahu sahaja apabila anaknya mengamuk buat hal ketika ziarah ke rumah orang lain.
Aku tahu, salah satu cara ibu bapa mendidik anak adalah dengan tidak mengendahkan si anak bila anak mula buat tantrum, tapi kalau dah tantrum-nya itu menyebabkan kerosakan kepada harta benda orang lain, hentak-hentak lantai, tarik-tarik karpet, baling barang ke televisyen sampai televisyen itu hampir jatuh, adakah itu masih layak digelar 'mendidik'?

Semasa lihat kejadian itu di depan mata aku, aku terfikir...
"Orang lain nak kahwin, kau nak kahwin juga.
Orang lain nak ada anak, kau nak ada anak juga.
Bila anak buat hal, kau pula sibuk skrol media sosial buat endah tak endah.
Anak kau tu bakal menjadi tunjang negara satu masa kelak.
Kau nak penuhkan negara ini dengan rakyat yang degil dan tak dengar kata ke?
WTF, man. WTF?"

Sekian.





.

Oct 25, 2017

Dari Gastly ke Manusia Gagal.





Salam.

Jadi, kalau kalian follow aku di twitter dan instagram (@cerolian),
ataupun sudah cukup lama baca blog ini,
maka kalian akan tahu bahawasanya aku adalah pemain game Pokemon GO yang aktif.
Aku nak guna perkataan 'tegar', tapi 'aktif' lebih sesuai sebab aku ada jumpa ramai manusia yang lebih tegar daripada aku.

Pada yang tidak tahu, di dalam game Pokemon GO,
ada satu feature yang dinamakan 'buddy system'.
Buddy system ialah menjadikan satu pokemon pilihan sendiri sebagai 'teman pendamping', dan selepas berjalan beberapa kilometer yang ditetapkan, maka akan dapat 1 (satu) Pokemon Candy.
Candy ini boleh diguna untuk tingkatkan kuasa Pokemon tersebut
ataupun untuk mengevolusi Pokemon tersebut ke Pokemon evolusi yang seterusnya.

(Fuuuuhhh! It's really hard to explain just a feature in Pokemon GO to a non-player)

Buddy yang aku gunakan sekarang adalah Gastly.
Gastly adalah Pokemon jenis hantu.
Aku suka Pokemon hantu, mungkin sebab perangai aku macam hantu
ataupun bela Pokemon hantu membuatkan aku rasa diri lebih 'misteri'.

Gastly susah nak dijumpai di kawasan keliaran,
jadi aku jadikannya sebagai buddy kerana aku mahu evolusikan Gastly ini ke evolusi seterusnya iaitu Haunter dan seterusnya evolusi ke Gengar.
Gengar adalah antara Pokemon hantu yang (boleh dikatakan) kuat.

Juga,
dalam Pokemon GO selalu diadakan acara istimewa sempena sesuatu keraian.
Bermula 20 Oktober lepas sehingga 2 November ini, Pokemon GO meraikan Halloween.
Jadi sempena Halloween, Pokemon GO melepaskan 5 Pokemon hantu baru dari generasi ketiga Pokemon, dan juga meningkatkan kemunculan Pokemon jenis hantu lain di kawasan liar.

Sudah tentu aku suka.
Banyak Pokemon jenis hantu dapat aku tangkap
dan juga dapat miliki 5 Pokemon hantu baru dari generasi ketiga yang belum dilepaskan.

But I think I like it. Actually, I'm not.

Peningkatan kemunculan Pokemon jenis hantu bermakna peningkatan kemunculan Gastly, Pokemon yang menjadi buddy kepada aku.
Pada mulanya, Gastly yang muncul secara banyak membuatkan aku gembira.
Namun, terlalu banyak Gastly membuatkan aku jadi semakin tidak seronok.

Itulah tajuk isu aku hari ini:
TERLALU BANYAK SESUATU MENJADIKAN IA SEMAKIN TIDAK SERONOK.



LESS IS MORE, MORE IS LESS


Sebelum acara sempena Halloween ini,
aku sangat teruja bila Gastly buddy aku dapat kutip satu candy.
Dia akan dapat satu candy setiap 3 kilometer berjalan kaki.
Aku perlu kumpul 125 candy jika mahu evolusi sehingga ke Gengar.
Aku sudah ada 60 candy, jadi hanya perlu kumpul 65 candy lagi.
Dikira-kirakan, aku perlu berjalan 195 kilometer untuk mencapai tujuan itu.
Sebab itu setiap kali jumlah candy aku bertambah satu persatu,
aku jadi begitu teruja. Aku jadi seronok.
Aku jadi bersemangat mahu berjalan lagi.

Tapi, semasa acara Halloween ini,
hanya selepas 3 hari berlalu, aku sudah kumpul 400++ candy Gastly.
Semua disebabkan aku dapat tangkap Gastly di mana-mana sahaja.
Gastly muncul begitu banyak sehinggakan keseronokan dapat hanya SATU candy dari buddy aku tadi sudah tidak dapat aku rasai.
(Nota: setiap kali aku berjaya tangkap satu Gastly, aku akan dapat 3 candy, dan sempena Halloween, candy digandakan dua jadi akan dapat 6 candy untuk satu Gastly)

Aku patut gembira sebab sekarang aku sudah mampu evolusikan Gastly tadi ke Gengar,
tapi aku langsung tak gembira.

Untuk contoh yang lebih mesra umum,
bayangkan kalian di kedai baju.
Satu baju ini kelihatan sangat menarik,
malah hanya ada satu sahaja di ruangan pameran.
Pasti diri kita akan rasa mahu memilikinya, kan?
Tapi cuba bayangkan pula baju yang sama
tapi ada lebih 10 baju itu tersangkut di ruangan pameran,
pasti kita akan rasa 'alaaa, tak menariklah baju ini'.

Taktik sebegini yang selalu pemilik kedai gunakan.
Hanya satu baju dipamer, tapi kalau kita nak, kita akan ditanya saiz dan pekerjanya akan cari baju itu di tempat lain yang disimpan.
Sebab orang kedai itu tahu kalau dia tayang semua baju yang ada
mesti sambutannya kurang berbanding hanya tayang satu.

Kalian ada contoh lain yang bersifat sebegini?
Bila sedikit jadi menarik, bila banyak jadi kurang menarik?



SCARCITY EFFECT


Untuk satu keadaan yang sebaliknya tapi masih di bawah fenomena yang sama,
pernah tak kalian pergi ke pasaraya dan tertarik dengan perkataan seperti:
'Penghabisan stok!'
'Promosi Hanya Dua Hari'
'Hari Terakhir Promosi'
Bila nampak penyataan sebegini, tetiba rasa nak tengok apa yang dijual.
Kadang-kadang jual gayung plastik je,
tapi hati ini rasa nak beli je padahal dekat rumah mandi pakai shower.

Itu, dalam psikologi sosial dipanggil 'scarcity effect'.
(Tidak pasti apa namanya dalam bahasa, kalau ada yang tahu bolehlah berkongsi.)

Scarcity effect ini ialah meletakkan nilai lebih tinggi kepada barang yang kurang (scarce) dan meletakkan nilai yang rendah kepada barang yang banyak (abundant).

Dalam kes Gastly dan Pokemon GO aku tadi,
bila Gastly susah didapati (scarce), jadi aku rasa seronok memilikinya.
Bila Gastly berlambak dan senang nak dapat (abundant), aku sudah jadi tidak seronok.

Sama macam kes baju di ruangan pameran tadi.
Baju yang banyak tidak semenarik dengan baju yang hanya ada satu.

Ingat lagi McFlurry Durian yang pernah dikeluarkan McDonalds sedikit waktu lalu?
Walaupun harganya hampir dua kali ganda harga McFlurry biasa,
tapi sebab katanya ia promosi terhad,
maka McFlurry itu habis stok hanya selepas 3 hari dipasarkan.
(Cuba teka siapa yang tak sempat rasa? Yours truly)

Contoh yang sedikit di luar kebiasaan ialah telefon pintar.
Kenapa kalian fikir ada jenama yang keluarkan telefon pintar dengan harga beribu-ribu ringgit walaupun feature asas seperti bluetooth dan radio pun tiada di dalamnya?
Kerana bila letak harga mahal, jadi tidak ramai yang mampu milikinya,
sekaligus menjadikannya sukar didapati (scarce) dan nilai jika memilikinya tinggi.
Dengan kata lain, pengeluar telefon pintar itu bukan jual telefon semata-mata,
mereka jual 'keseronokan memiliki sesuatu yang orang lain tidak mampu miliki'.



MANUSIA DAN SCARCITY


Pernah satu ketika dahulu aku berbual dengan seorang lelaki pelajar kejuruteraan.
Katanya, dalam kelas dia yang seramai 20 orang, hanya ada 2 orang perempuan,
membuatkan 2 orang ini menjadi rebutan ramai walaupun pada dasarnya mereka itu hanyalah biasa-biasa sahaja.

Scarcity effect tidak hanya berlaku kepada barangan,
tapi boleh berlaku kepada manusia.

Kita selalu dengar tentang 'cabaran menjadi tunangan orang', kan?
Selalunya dikatakan ketika dalam tempoh bertunang,
akan ada pihak ketiga yang akan mengganggu hubungan itu.
Kalau lemah menempuh cabaran, maka hubungan tunangan boleh terganggu dan lebih teruk putus di tengah jalan.
Ini juga contoh 'scarcity effect' kepada manusia.

Bila seseorang menjadi tunangan (atau pasangan) seseorang,
sekaligus membuatkan diri dia sukar untuk didapati (scarce) dan nilainya meningkat.
Dia yang pada sebelumnya tidaklah semenarik mana,
terus menjadi sangat menarik selepas menjadi milik orang lain.

Tapi, menjadi milik orang bukanlah satu-satunya cara untuk manusia menjadi 'scarce'.

Seorang artis perempuan N dahulunya tidak bertudung dan sangat seksi.
Pada ketika itu dia sudah dikira menarik.
Tapi kini dia sudah bertudung sopan dan tidak seksi lagi,
serta merta dia menjadi idaman kebanyakan lelaki di luar sana.
Ini kerana sesuatu yang bernilai kepadanya kini tidak lagi ditayang
menjadikannya 'scarce' dan meningkatkan nilai dirinya.

Kita juga pernah dengar orang kata 'jangan jual murah sangat'
merujuk kepada hubungan sosial sesama manusia, kan?
Maksudnya, untuk menarik hati seseorang,
jangan terlalu mudah untuk luahkan perasaan suka walaupun sebenarnya kita memang suka.
Perlu ada jual mahal sedikit supaya sampai masa kita akan lebih dihargai.
Kalau kita terlalu senang untuk didapati,
maka kita tidak akan lebih dihargai.



KESIMPULAN


Aku sudah tulis panjang lebar tentang 'scarcity effect' dan contoh-contohnya.
At this point you will wonder what exactly is my point, kan?
Selalunya dalam post-post aku sebelum ini,
walaupun isunya besar dan umum,
aku akan jadikannya isu personal dan kaitkan dengan diri aku sendiri.
Sudah tentulah kali ini juga aku akan kaitkan dengan diri sendiri,
ini blog aku, mestilah aku akan bercerita tentang diri aku.

My point is,
semua isi di atas adalah contoh perkara yang akan aku fikirkan dalam kepala.
Bila kita nampak sesuatu perkara yang kita tahu, bukankah ia sangat mengujakan?
Aku berminat melihat perkara sebegini berlaku.
Dan aku juga berminat untuk bualkan perkara seperti ini dengan orang lain.
Daripada bercerita tentang cuaca hari ini ataupun gosip artis ataupun isu politik yang tidak habis-habis, pada aku, hal seperti di atas berlipat kali ganda lebih menarik untuk dibualkan.

Ceritanya,
suatu hari aku duduk di bangku rehat sebuah taman.
Tiba-tiba aku didatangi seorang perempuan, mungkin sebaya mungkin lebih muda.
Dia duduk di sebelah aku dan hadiahkan aku senyuman.
Aku balas senyuman, kemudian dia mulakan bualan.
Dia memuji cuaca yang baik dan langit yang cerah.
Aku iyakan sahaja kerana semuanya memang fakta.
Dia tanya tentang harga petrol terkini sama ada naik atau turun.
Aku kata aku tidak tahu dan tidak ambil tahu.

Suasana menjadi janggal.
Kedua-dua kami diam.
Aku terus belek telefon, tangkap Gastly dalam Pokemon GO.
Dia pula terus diam, dan kemudiannya berlalu tanpa suara.

Inilah salah satu sebab kenapa aku masih bujang sehingga sekarang.
Aku tahu 'scarcity effect' dan beberapa perkara lain dalam sains sosial,
tapi aku sendiri tidak tahu cara untuk bersosial.
Aku tidak tahu cara untuk membalas perbualan manusia.
Aku tahu apa yang menjadikan manusia menarik,
tapi aku sendiri tidak jadikan diri aku sendiri menarik.

Aku seorang yang gagal.




.

Aug 2, 2017

Kenapa Sesetengah Manusia Menganggap Menamatkan Riwayat Sendiri adalah Pilihan yang Bernas?

Salam.

Kepada yang sedang membaca,
aku harap dapat baca hasil tulisan aku ini sampai habis.
Sebab kalau kalian baca separuh sahaja, kalian boleh tersalah anggap tulisan ini berbentuk negatif.

Dalam sains, tujuan mutlak makhluk bernyawa hidup adalah untuk kelangsungan spesies. Dengan kata lain, spesies yang dapat hidup lama dengan membiak berganti generasi adalah lebih hebat daripada spesies yang pupus di tengah jalan.

Dalam agama juga mengharuskan manusia meramaikan umat. Kahwin dan memiliki zuriat adalah dituntut. Tapi, aku bukan ahli agama untuk membicarakan tentang aspek ini dengan lebih mendalam.

Jika kedua-dua sains dan agama sangat menyarankan kehidupan, kenapa ada sesetengah manusia yang menganggap menamatkan riwayat sendiri adalah satu pilihan yang bernas?




Richard Dawkins pada 1976 telah menerbitkan satu buku bertajuk 'The Selfish Gene'. Buku tersebut membicarakan tentang bagaimana makhluk hidup (termasuk manusia) sudah dimaktubkan dalam gen dan DNA untuk memilih strategi evolusi yang mengelak daripada kepupusan (bukannya 'selfish gene' yang membawa erti setiap manusia sudah memiliki sifat selfish tertulis dalam diri sendiri).

Tahu kan bagaimana bila jari kita tersentuh objek panas, tangan akan tertarik ke arah berlawanan dengan sendiri secara refleks, tidak perlukan organ otak untuk mentafsir bahaya? Itulah 'selfish gene'. Evolusi dengan sendiri memilih manusia yang refleks terhadap kebahayaan. Jika kita tiada refleks itu, maka manusia akan mudah musnah dan pupus.

Tapi kalau kita sedar objek itu panas dan masih mahu menyentuhnya, sebagai contoh kita memegang cerek yang panas untuk dialih tempat, kita mampu 'batalkan' refleks itu. Namun, akibatnya kulit jari tangan kita akan merah dan mungkin melecur.

Dengan kata lain, walaupun kita ada 'selfish gene', tapi kita juga mampu membatalkannya walaupun tahu akibat yang bakal kita hadapi.

Jadi, kenapa ada orang memilih untuk membunuh diri sendiri walaupun tahu mati itu menyakitkan? Kenapa ada yang sanggup 'batalkan' refleks elak bahaya walaupun tahu akibatnya?


-------------------------------


Naluri semulajadi manusia adalah suka untuk berada dalam kawalan sendiri. We like to be in control. Namun, sifat alami semua perkara yang berlaku dalam kehidupan ada dua; (1) ada perkara yang boleh kita kawal dan (2) ada perkara yang tidak boleh kita kawal.

Bayangkan kita sedang bersiap ke tempat kerja pada waktu pagi. Kita buka almari dan pilih baru kita. Hari ini hari rabu, jadi kita memilih untuk pakai baju merah atas sebab-sebab tertentu. Maka itu pilihan kita. Kita boleh sahaja pakai baju hijau, tapi kita tetap pilih merah sebab kita mahukannya. Kita dalam kawalan. Ini adalah contoh perkara yang boleh kita kawal.

Bayangkan pula kita ke tempat kerja setiap pagi. Kita akan lalui beberapa lampu isyarat. Ada masa kita akan lalui lampu isyarat merah, ada masa akan lalui lampu isyarat hijau. Kalau boleh, kita mahukan lampu-lampu isyarat itu sentiasa hijau supaya perjalanan kita lancar. Namun, lampu isyarat itu bukan dalam kawalan kita. Yang merah kita tak boleh hijaukan, kecuali dengan menunggu. Ini adalah contoh perkara tidak boleh kita kawal.

Kehidupan yang harmoni adalah dapat imbangkan kedua-dua aspek tadi. Perkara yang tidak boleh dikawal akan diimbang dengan perkara yang boleh dikawal. Terlampau banyak mengawal akan membebankan, begitu juga terlalu banyak perkara tidak terkawal.

Bayangkan pula seseorang ini, hilang majoriti kawalannya. Segala perkara perlu dilakukan mengikut kehendak orang lain, bukan kehendaknya. Dia mahu pakai baju merah di hari rabu tapi atas sebab-sebab lain, dia kena pakai baju warna hijau bukan kegemarannya. Ke tempat kerja, ada kemalangan di persimpangan lampu isyarat menyebabkan dia lambat sampai. Sampai sahaja di pejabat, dia dimarahi bos kerana lambat. Dimarahi pula di depan rakan sekerja lain sehingga malu dan dipandang serong. Tengahari tidak boleh keluar berehat kerana perlu selesaikan tugasan yang patut diselesaikan pagi tadi (yang lewat). Masuk petang perut lapar sebab tidak rehat di tengahari. Dipaksa pula pulang lewat tanpa gaji kerana pagi sudah sampai lambat. Balik malam penat, hendak berehat di rumah tapi apabila dibaca notifikasi group whatsapp yang bertubi-tubi, rupanya group rakan sekerja tentang bercerita perihal si dia yang datang lambat. Diperlekeh. Dicemuh. Dijadikan bahan jenaka.

Beritahu aku, siapa tidak tertekan jika berada di dalam keadaan di atas.

Beritahu aku juga, siapa dapat bertahan jika keadaan di atas berulang hampir setiap hari.

Segala-galanya dianggap tidak terkawal, tidak dalam kawalan dan tidak boleh dikawal.
Dia hilang keseimbangan aspek kawalan yang kita bincangkan di atas tadi.

Untuk mendapatkan kembali kawalan yang disangka hilang, dia buat keputusan atas tekanan. Dalam kehidupan yang tidak dalam kawalannya, dia mahu sesuatu yang dapat dikawal. Dia mahu sesuatu yang besar. Apa lagi besar dalam kehidupan selain menentukan bagaimana penamatnya, kan?

Jadi, untuk kesekian kalinya, dia buat keputusan untuk menamatkan segala-galanya, termasuk nyawanya, dan pilihan itu adalah pilihannya sendiri. Dia 'kawal' keputusan akhir dalam dirinya. Pada dia, paling tidak keputusan besar itu adalah keputusan dia sendiri, bukan sesuatu yang orang lain putuskan untuk dia.

Sebab itu, pada sesetengah manusia, menamatkan riwayat sendiri adalah satu pilihan yang 'bernas'.


-------------------------------


Dari perspektif orang yang mahu menamatkan riwayat sendiri, itu adalah penamat segala-galanya. Namun itu tidak benar. Dia tidak fikir jauh dari sudut yang lebih luas.

Yang hanya tamat adalah penderitaan dia dan nyawa dia. Namun banyak lagi yang akan berlaku selepas itu.

Contoh, bagaimana dengan keluarga dia? Akan ada orang yang bersedih dan terkesan dengan tindakannya. Akan ada orang yang rasa sedih dengan pemergiannya. Keluarga, ibubapa yang membesarkannya, pasangan, anak-anak, kawan-kawan, semua itu akan mendapat kesan daripada tindakannya tadi.

Apabila riwayat dia tamat, maka dia perlukan orang lain untuk menguruskannya. Tiada mayat yang boleh turun sendiri dari tali gantung dan masuk sendiri ke dalam kubur. Selepas kematian, dia akan susahkan orang di sekeliling, dan kebanyakan orang sekeliling ini adalah orang-orang yang rapat yang terkesan dengan tindakannya tadi.

Bagaimana dengan kerja? Terbengkalai. Bagaimana dengan tanggungjawab lain? Nafkah keluarga? Hutang piutang? Pinjaman kewangan siapa perlu langsaikan? Adakah masalah benar-benar selesai selepas dia tiada? Adakah yang tadi mencemuh, memperlekeh dia akan berhenti memperlekeh? Mungkin bukan perlekeh dia, tapi akan perlekehkan orang lain pula.

Jika kalian yang baca ini ada memikirkan menamatkan riwayat sendiri untuk lari daripada masalah, fikirkan semula. Perkara tidak tamat hanya kerana nyawa kita tamat.


-------------------------------


Beberapa tahun lalu ada satu kes seorang pelajar universiti yang menggantung diri di dalam bilik hostelnya kerana tekanan belajar. Aku ikut secara rapat kes tersebut. Aku tidak mahu menjelaskannya lebih terperinci tapi ketahuilah, walaupun sudah beberapa tahun berlalu, keluarga pelajar tersebut masih lagi bersedih dan hidup tertekan dalam cemuhan masyarakat.

Ya. Keluarga orang yang bunuh diri akan dipandang rendah masyarakat walaupun itu bukan salah mereka. Sampai sudah mereka akan dilabel memiliki ahli keluarga yang membunuh diri. Ibubapa akan dikatakan tidak pandai mendidik anak. Dilabel juga kurang didikan agama. Adik beradik akan dikenali sebagai 'keluarga yang ada ahlinya bunuh diri'.

Keperitan tidak hilang selepas hanya satu nyawa hilang. Malah akan lebih teruk daripada sebelumnya.


-------------------------------


Entri ini bukan untuk mengecam mereka yang mengalami tekanan perasaan dan mereka yang ada memikirkan untuk menamatkan riwayat sendiri. Entri ini adalah untuk memberitahu bahawa tindakan itu BUKAN SATU PILIHAN kerana kesan dan akibatnya lebih teruk daripada yang kita fikirkan.

Sekali lagi aku ulang,
MENAMATKAN RIWAYAT SENDIRI BUKAN SATU PILIHAN.

Jika ada yang membaca entri ini terfikir untuk menamatkan riwayat sendiri, nasihat aku, fikirkannya semula. Mintalah bantuan. Banyak saluran bantuan kaunseling yang ada. Kalau kalian mampu buka blog ini untuk baca entri ini, maka kalian juga mampu mencari saluran bantuan yang ada tersedia.

Walau bagaimana teruk sekalipun tekanan yang kalian hadapi, hadapi dengan sabar.
Remember, the thing about being at the bottom is the only way to go is UP.
Asalkan jangan putus asa, segala-galanya ada jalannya.


Dear friend, if you're reading this, I'm with you. Please be strong and don't give up.





.

Jun 7, 2017

Nama, Puji, dan 'Apa Yang Sudah Aku Buat Selama Ini?'



Salam.

Tiada komik juga kali ini.
Kalau ada yang berminat nak baca komik aku,
bolehlah ke Instagram @ceromono.
Di sana aku update komik secara berjadual.
Followlah sekali kalau berminat :)


Yang kenal aku tahu aku bukan muda lagi.
Jadi, bila aku dapat belajar perkara baru, aku sangat teruja.
Kenapa teruja?
Sebab aku baca kalau kita belajar benda baru,
kita dikira masih muda (fisiologi dan psikologi) sebab tanda-tanda seorang itu tua ialah dia tidak berminat nak belajar perkara baru.

Kalian ada contoh seorang tua seperti itu di dalam hidup kalian sendiri, kan?

Baru-baru ini aku ada belajar satu perkara baru:
Dalam masyarakat kita, kalau seseorang itu puji nama seseorang yang lain (selalunya berlainan jantina) itu tanda dia sedang cuba nak mengayat seorang lagi itu.

Ya. Aku tahu ramai yang tak setuju.
Ini bukan satu ajaran dari dalam buku atau mana-mana kitab.
Ini adalah 'unspoken law' yang akan terdetik sendiri dalam diri kita.
Masalahnya, hal ini hanya berlaku di kalangan masyarakat kita orang Malaysia.

Kalian mungkin tidak tahu nama aku,
tapi cukuplah aku sebut yang nama aku bukan nama biasa.
Jadi memang dari kecil lagi aku sangat suka dengar nama orang lain.
Dan kemudian aku akan banding nama seseorang itu dengan pemiliknya.
Jika aku rasa nama itu padan, aku akan puji.
Jika tidak, atau biasa-biasa, aku pun buat biasa je, tak laa sampai mengutuk.

Sebab dari kecil lagi aku sudah hardwired untuk memuji nama orang lain,
jadi perangai itu sudah sebati dengan aku.

Bila pergi kedai serbaneka yang memerlukan pekerjanya pakai tag nama,
aku suka baca nama mereka.
Kalau rasa terlebih mesra, aku akan berterima kasih dengan nama mereka.
"Terima kasih, Abu."
"Jumpa lagi, Siti."

Tapi kalau aku teruja lepas baca nama di tag nama mereka,
ayat yang akan keluar lain sikit.
"Terima kasih, Suraya. Oh, sedap nama tu!"
"Jumpa lagi. Shah, you should proud of your name!"

Mungkin sesetengah daripada kalian pernah dipuji namanya oleh aku.

Disebabkan aku sangat sangat tak ingat muka,
jadi pada aku nama adalah sangat penting supaya identiti kalian lekat di kepala aku.
Sebab itu sesetengah orang yang aku kenal via online,
aku akan assign nama lain, mostly codename huruf atau satu suku kata.
Aku even bagi diri sendiri codename 'C' bila bercakap tentang diri sendiri walaupun dalam nama aku tiada langsung huruf C.
I cannot give more examples, you just have to know yourself.

Berbalik kepada cerita puji nama tadi.

Satu hari aku berurusan dengan seseorang bernama Sarah.
Sarah is a very good name (for me).
Aku sangat suka nama Sarah, sampaikan kalau aku tidak kahwin dengan seorang Sarah,
aku mungkin akan berikan Sarah sebagai nama anak perempuan aku.

Setelah habis berurusan, sebagai penutup,
aku pun puji nama si Sarah tadi.

"Saya suka nama Sarah. Nama Sarah memang sesuai dengan puan."

Sarah tadi terdiam.
Mulut dia terbuka tutup macam nak bercakap sesuatu tapi tak keluar.
Aku pun tanya kenapa, dia jawab,
"Awak tahu saya sudah kahwin, kan?"

Aku pula terkedu.
Alamak. Aku sudah disalah anggap mengorat isteri orang.

Mungkin si Sarah ni nampak aku menggelabah walaupun beriya aku cover,
jadi dia pun sambung cakap,
"Awak memang selalu suka puji nama orang ke?"

Aku angguk. Aku terangkan segalanya.
Aku juga terangkan tiada niat lain selain hanya memuji nama dia.
Dia faham, tapi dia nasihatkan aku. Kata dia,
"Orang boleh salah faham kalau awak selalu puji orang.
Terutamanya kalau awak lelaki puji perempuan.
Walaupun sekadar memuji perkara kecil seperti nama, perempuan ni sensitif dan senang berfikiran melencong."

(Ayat di atas ayat dia selaku perempuan, bukan ayat aku ya, harap para perempuan yang baca tak kecam aku.)

Urusan kami pun berakhir di situ,
berakhir dengan aku disekolahkan Sarah sebab puji nama sesuka hati.

Tapi aku tidak puas hati macam itu sahaja.
Inginkan kepastian, aku tanya beberapa orang kawan aku yang lain,
lebih tepat lagi 4 lelaki dan 4 perempuan.

Hasilnya, dua orang lelaki kata puji nama itu perkara biasa,
tapi dua lagi kata kalau salah puji nanti orang anggap lain.
Dan mengejutkan, kesemua 4 perempuan yang aku tanya bersetuju dengan Puan Sarah tadi.

Selepas itu aku terduduk terfikir apa yang sudah aku buat selama ini.
Agaknya berapa ramai dah anggap aku mengorat mereka bila aku puji nama mereka.
Cashier kedai 7-11 yang selalu aku singgah tu.
Receptionist dekat pejabat yang selalu aku singgah tu.
Anak perempuan makcik jual apam balik selekoh simpang empat tu.
That one (or two, maybe three, four) person(s) yang aku puji namanya dalam chat.
Adakah mereka semua salah anggap pujian aku?

Kalian kena tahu.
Bila aku memuji, aku betul-betul memuji, tak ada niat lain.
Orang dengan muka macam aku ni tak layak mengorat,
sebab tahu hasilnya akan kena reject 100%.



Jadi, apa pendapat kalian?
Adakah memuji nama seseorang boleh dianggap sebagai flirting?
Dalam konteks macam mana baru seseorang itu akan salah faham dengan pujian aku?
Sekarang, macam mana aku nak buang perangai suka puji nama orang yang sudah sebati lama dalam diri aku sejak kecil ni?





.

Sep 16, 2015

Debu Jerebu Rabu.


Salam.

Jerebu di langit nampak asapnya.
Jerebu di hati siapa yang peduli...
**ewah**

Disebabkan ini post yang sudah dijadualkan lebih awal,
aku tak pasti bagaimana keadaan jerebu ketika post ini diterbitkan.
Tapi pada masa aku tulis entri ini,
jerebu di tempat aku sangat teruk sampai tahap asap jerebu masuk dalam rumah.

Aku nasihatkan kurangkan aktiviti luar
dan banyakkan minum air kosong.

Anda mampu mengubahnya.
**tetiba**







Biar aku tekankan di sini,
aku tiada masalah dengan penghisap vape macam mana aku tak ada masalah dengan penghisap rokok.
Malah ramai antara kawan-kawan aku juga hisap vape.
Tapi aku ADA masalah dengan mereka ni yang tak reti nak tengok keadaan sekeliling.

Maksud aku,
kalau lepak kedai mamak nak hisap vape berkepul-kepul
pergilah dekat meja luar sana tu, open air.
Ni kau pergi lepak indoor, dalam kedai,
lepas tu huhahuha berkepul asap serupa naga bawah kipas.
Maka mee goreng mamak aku pun habis berperisa strawberi.

Sendiri mahu ingatlah.
Perlu ke aku tunjuk atuk tua yang makan nasi selang dua meja kau tu?
Atau budak kecil minum air bandung dekat meja sebelah sana tu?
Bayangkan mereka itu adalah bapa dan anak kau,
suka ke kau biarkan mereka jamah asap kau sekalipun berperisa strawberi?

Sekali lagi aku tekankan,
aku tiada masalah dengan penghisap vape.
Jadi jangan jadikan diri anda pencetus masalah.

Bertimbang rasalah.
Hormat-menghormati itu kunci.
Merdeka 58 tahun bukan hanya untuk anda seorang sahaja,
tapi untuk seluruh warga.

Selamat Hari Malaysia.

Siapa lagi pernah hadapi perangai mereka-mereka yang tidak bertimbang rasa ini?
Cuba cerita sikit...







.

Mar 4, 2015

Sains Di Sebalik Baju Putih/Emas Biru/Hitam #TheDress



Bagi yang perasan, aku jarang berbicara tentang isu semasa.
Ini disebabkan pemilik blog ini (aku) bersifat narsistik,
hampir setiap tempat di dalam blog ini ada muka cEro.

Tidak.
Bukan itu sebabnya.
Sebab utama aku jarang berbincang tentang isu semasa adalah kerana kebanyakan entri dalam blog ini sudah dijadualkan lebih awal dari waktu ia diterbitkan.
Dengan kata lain, kalau aku tulis isu semasa dan jadualkannya untuk diterbitkan rabu dua minggu lagi, itu namanya sudah tidak jadi isu SEMASA.
Lagipun blog Buasir Otak lagi bagus dalam membincangkan isu semasa.

Tapi kali ini lain...
Biar aku berbicara tentang isu yang hangat minggu lepas.
Isu mengenai The Dress,
satu baju yang dikatakan berjaya memecah-belahkan internet dan memutuskan banyak talian persahabatan sesama kawan.



The Dress.


Ceritanya bermula apabila seorang pengguna Tumblr bernama swiked memuatnaik satu gambar baju perempuan ke dalam laman Tumblr-nya dan bertanyakan,
"guys please help me - is this dress white and gold, or blue and black?
Me and my friends can’t agree and we are freaking the f*ck out"

Terima kasih kepada internet,
gambar itu menjadi viral ke seluruh dunia di mana secara tiba-tiba manusia terbahagi kepada dua kumpulan;
Team White/Gold dan Team Blue/Black.
Satu kumpulan nampak baju itu sebagai baju putih dengan belang emas,
manakala satu lagi melihatnya sebagai baju biru belang hitam.
Fenomena berbeza pendapat ini digelar sebagai The Dress.

Internet sangat pelik. Isu macam ini pun boleh jadi viral.

Menurut undian dari satu laman web terkenal BuzzFeed, lebih 2 juta pengguna mengundi mereka nampak baju itu sebagai 'putih belang emas' sebagai majoriti.
Malangnya, majoriti bukanlah realiti.
Baju itu sudah dipastikan melalui gambar lain sebagai baju biru belang hitam.

Bagaimana perkara ini boleh terjadi?
Bagaimana kita selaku manusia boleh melihat gambar yang sama,
tapi nampak warna yang berbeza?

Ini sangat menarik minat aku untuk kaji,
jadi ini adalah artikel 'isu semasa' yang aku rumuskan dari penjelajahan aku mencari jawapan di dalam alam maya.

Kalau rajin google, banyak laman web di luar sana sudah menceritakan secara terperinci mengapa perbezaan ini berlaku.
Tapi kebanyakan artikel tersebut tidak tepat (pada aku) dan berbahasa inggeris.
Jadi aku akan cuba terangkan dalam Bahasa Malaysia seringkas dan setepat yang boleh mudah difahami.

Beza kumpulan Biru/Hitam dengan kumpulan Putih/Emas bukannya terletak kepada beza retina mata,
ataupun betapa sensitifnya mata kita,
ataupun setting di dalam telefon bimbit kita,
ataupun berapa lama mata kita terdedah kepada matahari seperti yang dibincangkan oleh sesetengah pihak.
Semua sebenarnya hanyalah satu isu bagaimana otak kita mentafsir maklumat yang dihantar dari mata.

Ya, otak.
Bila sebut tentang otak, aku jadi super-teruja.
Aku peminat nombor satu otak.


White Balance dan Tafsiran Otak.


Untuk memahami isu ini lebih lanjut,
kita kena faham satu lagi konsep iaitu 'keseimbangan putih' atau dalam bahasa lebih dikenali, white balance.

White balance adalah satu proses di mana para jurugambar and juruvideo (atau mereka-mereka yang mengiktiraf diri mereka sendiri dengan gelaran seperti itu) gunakan untuk menghilangkan pengaruh pencahayaan sekitar terhadap objek yang mahu ditampilkan di dalam gambar supaya objek putih di luar gambar akan kelihatan putih di dalam gambar. Bila putih di gambar sama seperti di luar gambar, maka warna lain akan turut kelihatan semulajadi tanpa perlu pedulikan pencahayaan sekitar.

Alaaa, mudah cerita, kalau kulit kita sawo matang, tak kisah sama ada tangkap gambar di dalam bilik malap atau di bawah cahaya matahari, dengan adanya white balance ini, kulit kita akan tetap nampak sawo matang.



Kalau warna pada baju itu dikeluarkan satu persatu,
kita akan dapati warnanya bukanlah biru atau hitam atau putih atau emas.
Ianya lebih kelihatan seperti kelabu dan ungu gelap dan jingga gelap.

Tapi kenapa tiada yang kata baju itu warna ungu dan jingga?

Otak kita SANGAT HEBAT dalam mentafsir gambar terutamanya warna pada gambar supaya ianya kelihatan masuk akal.
Sebab itu kita tahu baju yang dipakai Hassan di dalam filem Sarjan Hassan lakonan P. Ramlee dan rumput yang dipijaknya berwarna hijau walaupun wayangnya hanya hitam putih.
Siapa tahu, mungkin semasa penggambaran filem tersebut, P.Ramlee pakai baju warna pink dan rumput pula berwarna jingga.

Sebagai contoh,
lihat imej di bawah ini:

Sumber: Vsauce video 'This Is Only Red'

Walaupun gambar di atas kelihatan mempunyai pelbagai warna,
tapi percayalah semua warna di dalam gambar di atas adalah MERAH.
Ada lebih dari 50 shades of merah (see what I did there?) dalam gambar tersebut tetapi disebabkan otak kita terlalu hebat mentafsir gambar, kita akan nampak seperti wujudnya hijau, kuning, biru, jingga dan banyak lagi warna selain merah di dalam gambar ini.

Kalau kita belajar tentang warna, kita akan tahu bahawa WARNA SENTIASA BERUBAH.
Bergantung kepada sumber cahaya,
warna putih boleh kelihatan biru, jingga mahupun kelabu.
Sebab itu kita celup baju sekolah putih kita dengan warna nila biru,
supaya di bawah cahaya matahari terik, baju biru kita kelihatan putih bersih sedangkan warna sebenarnya ialah putih yang sudah dicelup nila biru.

Otak kita sangat hebat mentafsir warna sebenar disebalik warna yang ditonjolkan oleh objek.
Tanpa kebolehan menafsir ini, otak kita akan jadi keliru kerana warna objek di sekeliling kita sentiasa berubah bergantung kepada sumber cahaya.


Gambar dan Kamera.


Tidak seperti mata dan otak kita yang super-hebat,
kamera perlu menentukan warna putih menggunakan input di dalam gambar yang bakal diambil dan kemudian akan ditafsirkan menggunakan konsep white balance supaya warna lain seperti biru, merah dan hijau adalah tepat dengan warna sebenar di luar gambar.

Disebabkan warna putih sentiasa ada di dalam mana-mana imej dan gambar, maka ianya bukan satu masalah besar bagi kebanyakan gambar.

Tetapi, dalam kes gambar The Dress ini,
kamera yang digunakan sangat teruk (atau mungkin bernasib baik) dalam mentafsir warna putih dan white balance.
Kamera tersebut telah meletakan warna putih yang ditafsirnya di titik sempadan beza antara dua kemungkinan bagaimana seseorang mentafsir gambar menggunakan otak seperti yang telah kita bincangkan tadi.
Sesetengah otak mentafsir bahawa putih adalah cahaya terang di dalam gambar dan menjadikan belang gelap itu berwarna emas manakala sesetengah otak lagi melihat warna putih di belakang gambar sebagai titik menafsiran menjadikan baju itu berwarna biru berbelang hitam.



Tiada orang yang boleh nampak kedua-dua gabungan warna (Putih/Emas dan Biru/Hitam) secara serentak, jadi mana satu yang otak kita tafsir dan selesa menerimanya, maka itulah warna yang JELAS kita nampak pada baju tersebut.

Semuanya berkaitan dengan menafsiran mengenai apa yang kita nampak.
Kita akan nampak apa yang kita mahu nampak.
Dalam istilah sains, ini dipanggil 'perception' atau persepsi.

Seperti entri itik dan arnab yang pernah aku buat dulu.

Otak kita melakukan banyak keputusan di bawah sedar seperti ini setiap hari,
namun kebiasaannya setiap dari kita membuat keputusan tentang tafsiran yang sama.
Bila minda bawah sedar kata 'cEro pakai baju kuning',
orang lain juga akan tafsir perkara yang sama sebab kesemua kita nampak cEro pakai baju kuning.

Cuma dalam kes gambar The Dress ini,
ianya mampu membuatkan kita manusia menafsir dua gambaran nyata yang berbeza mengenai warnanya.


Kenapa Berbeza?


Kenapa ada yang lihat warna tertentu dan yang lain pula melihat warna yang berbeza sedangkan gambar yang sama?
Jawapannya terletak kepada permulaan kita menafsir data yang diterima mata ke otak.

Dari awal kita sudah diberi dua pilihan, Putih/Emas dan Biru/Hitam.
Dan dari awal kita sudah meletakan diri di pihak mana.
Inilah yang kita panggil 'perception' (atau persepsi) dan kalau ditanya mana-mana ahli psikologi, 'perception' penuh dengan sifat berat sebelah, atau dalam bahasa mudah difahami, 'bias'.

Bias atau sifat berat sebelah ini boleh ditentukan oleh banyak faktor.
Antaranya ialah jangkaan (expectation).
Jika pertama kali kita melihat gambar The Dress ini di twitter kawan-kawan, dan tweet yang ditulisnya berbunyi
'Aku tak faham kenapa ada yang tak nampak baju ni warna putih dan emas..',
maka kita sudah meletakan jangkaan di dalam minda bawah sedar kita bahawa baju itu berwarna putih dan emas.
Maka apa yang kita akan nampak adalah baju warna putih berbelang emas.

Dan kita sudah tentu akan terima sifat berat sebelah kita.
Maka kalau kita nampak baju ini sebagai putih dan emas pada awalnya,
sudah jadi susah untuk kita TIDAK nampaknya sebagai putih dan emas.
What you've seen cannot be unseen.

Tapi realiti tidak semestinya sama dengan apa yang kita nampak.




Otak kita sangat hebat dalam menafsir persekitaran,
dan itulah antara ciri-ciri yang membolehkan kita terus hidup sebagai makhluk yang berada di puncak siratan makanan.

Namun,
otak kita bukanlah sempurna.
Kita harus menerima hakikat bahawa lain orang lain yang dia nampak.
Kalau kita boleh terima hakikat itu, maka apa yang orang lain nampak adalah sama benarnya dengan apa yang kita nampak walaupun realitinya berbeza.

Jadi,
pergi jumpa balik kawan kalian yang terputus persahabatan dek kerana masing-masing nampak baju itu dalam warna yang berbeza.
Berbaiklah semula.
Dari konteks persepsi, dia tidak salah, anda pun tidak sepenuhnya benar.
Menghormati tafsiran otak dan akal orang lain adalah lebih penting daripada menegakkan siapa yang benar dan siapa yang salah walaupun realitinya jelas dan berbeza.

Gunakanlah organ jeli di dalam plat kranium yang kita junjung setiap masa itu.
Jangan disebabkan baju yang bukan pun kita punya, kita kehilangan insan bernama kawan.

...and by the way,
aku team Biru/Hitam.




.

Dec 17, 2014

Angin Bayu Membawa Diriku...


Tajuk tak ada kena mengena.

Ahad lepas sudah diterbitkan jAwapan untuk tEka-tEki #21.
Kali ini, izinkan aku merungut tentang sesuatu...



Biar aku beritahu,
air lopak hujan rasa masin.
Dan lepas kau tertelannya, kau akan sakit perut.



Aku suka menunggang motosikal. Suka sangat.
Dua perkara yang aku rasa aku tak akan tinggalkan walaupun pada ketika itu aku sudah ada anak lapan sekalipun ialah membaca komik dan menunggang motosikal.
Kalau bakal isteri aku boleh terima dua perkara tu,
rasanya dia dah cukup terima aku seadanya.

Menunggang motosikal (bawa moto) ni banyak kelebihannya.
Minyak isi penuh satu tangki pun murah.
Tak stres sampai botak bila musim harga minyak naik.
Dalam trafik pun lancar. Kalau ada sesak boleh selit-selit.
Belum cerita harga nak maintain. Bengkel moto berlambak.
Road tax murah. Insuran murah.
Kalau difikirkan, banyak syoknya bawa moto ni...

Tapi yang aku paling best sekali ialah perasaan angin meniup pipi.
Bunyi siulan bila angin lalu celah helmet.
Bunyi deruan enjin empat lejang yang mengancam.
Feeling tu mahal sekali, tak akan sama jika pandu kereta.

Tapi semua itu ada kontranya tersendiri.

Pada aku, kita tak akan kenal erti diskriminasi sebenar dalam masyarakat membangun selagi tidak menjadi penunggang motosikal.

Pengguna jalanraya yang lain semua langsung tak mahu hormat penunggang motosikal.
Bak kata cikgu kelas memandu aku,
"Semua orang benci moto di jalanraya. Even pejalan kaki pun benci mereka."

Sebagai contoh,
kalau bawak moto di lorong kanan, kita akan dihon oleh kereta laju.
Kalau bawak moto di lorong kiri, kita berkongsi lorong dengan lori.
Tahu tak, kadang-kadang naik ngeri bila tayar lori sama besar dengan satu moto kita.

Bila kemalangan yang melibatkan kereta dan moto,
MESTI si moto yang akan dipersalahkan. MESTI.
Sekali lagi aku ulang, MESTI!
Tak ada siapa tanya, "Okey tak?"
Orang lain peduli apa kau tangan patah ke, kepala calar ke, kau akan tetap dipersalahkan.
Alasan kuatnya, "REMPIT!"

Bila masuk kawasan komersil,
bila ada moto parking dalam lot kereta, akan kena maki.
Alasannya "Itu tempat parking kereta, moto parking tempat lain.."
Padahal satu kotak parking kereta boleh muat dekat enam motosikal.
Kadang-kadang bukan nak parking lama pun, nak tekan duit di ATM je.
Memanglah ada tempat parking moto, tapi selalunya terletak di hujung bangunan, berkongsi tempat dengan rumah sampah dan ada anjing liar mencari makan.

Tapi
bila ada pula kereta masuk dalam kotak parking moto,
dan bila penunggang moto tegur, akan dibalasnya
"Suka hatilah. Kami bayar cukai lagi mahal tau..."
Padahal dia tak tahu satu kereta dia tutup habis hampir 10 kotak parking motosikal.

Bangsat ke tak bangsat?

Belum cerita kisah awek dan bakal mak mertua yang mensyaratkan 'memiliki kereta' sebelum boleh masuk meminang.

Entahlah,
selagi isu diskriminasi penunggang motosikal ini dipandang enteng,
selagi itu jangan mimpi nakkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

On that note,
aku rasa aku patut jadi Perdana Menteri dan hapuskan diskriminasi terhadap penunggang motosikal.

Kalau pejuang hak kesaksamaan wanita dipanggil feminist,
agak-agak pejuang anti-diskriminasi penunggang motosikal dipanggil apa ek?

Motorist? Motocyclist? Bikist?




.

Nov 6, 2013

"...MACAM CANTIK JER! ...MACAM COMEL JER!" katanya.


"Hai!~
cEro nak bagitahu yang cEro suka sangat penumbuk cEro..!"








Negara dimeriahkan lagi dengan rakaman video dari seorang gadis yang dipanggil Awek Legoland.
Dan seperti biasa, makin laju rakyat Malaysia membalas dengan parodi.

Yang menarik minat aku bukanlah awek dalam video tu yang hanya boleh menggugat iman si pedo di luar sana.
Yang menarik minat aku adalah orang di sekeliling dia...
Agaknya, apa yang aku akan respon kalau aku lihat kelakuan orang lain merakam video sendiri di depan mata aku sebegitu rupa?
Agaknya apa perasaan ibu abah dia bila anak mereka menjadi internet sensation yang sementara?

Oh, katanya awek ni bukan pekerja Legoland.
Dia pakai baju Legoland sebab ikut famili bercuti ke sana.

Aku pun nak pergi Legoland juga.



Oct 27, 2013

#throwback



Bila kali pertama aku terbaca hashtag 'throwback',
imej pertama yang menjelma dalam kepala otak aku adalah perempuan yang makan pisang dan membuang kulit pisang ke belakang dan mengakibatkan lelaki belakangnya tergelincir jatuh.



Ya.
Otak kita lebih gemar informasi berbentuk imej bergambar daripada perkataan yang terbina dengan huruf.
Itu fakta.
Bagaimana apabila disebut gajah berwarna pink, sekaligus terbentuk imej gajah berwarna pink walaupun gajah berwarna pink tak pernah wujud secara realiti.

Jadi,
aku sendiri tak pasti bagaimana perkataan #throwback yang kerap kali menjadi trending dalam twitter dan media sosial lain boleh diimejkan otak.
Mungkin kerana ada perkataan 'throw' dan 'back', maka otak aku memprosesnya sebagai perlakuan membuang sesuatu ke belakang.
Tapi, lain orang, lain otak, lain imejnya.

Dan satu lagi sifat otak adalah sensasi.
Otak ada kebolehan mensensasikan keadaan.
Daripada aku hanya perlu membayangkan perlakuan 'buang ke belakang' untuk #throwback,
aku tambahkan (sensasikan) lagi dengan detail lain seperti:

  1. Perempuan makan pisang.
  2. Kulit pisang dibuang ke belakang.
  3. Lelaki di belakang tergelincir jatuh.


Antara contoh kebolehan mensensasikan keadaan yang dilakukan otak kita adalah seperti
bagaimana kita di dalam gelap akan nampak timbunan baju kotor yang malas untuk dibasuh membentuk susuk momok yang sedang merangkak perlahan-lahan menuju ke katil.
Atau bayang kucing dari lampu jalan kelihatan seperti harimau yang kelaparan.

Itu semua kerja otak kita yang gila sensasi.

Juga,
kebolehan mensensasikan keadaan oleh otak juga berubah mengikut masa.

Pernah main telefon buruk?
Permainan di mana mesej disampaikan dari seorang kepada orang lain dan kepada orang seterusnya sehinggalah ke akhir barisan?
Perasan tak bagaimana mesej mudah seperti
'Apabila dewasa, Abu berangan untuk menjadi seorang pakar sains neuro dan mengkaji bagaimana kesan sensasi kepada otak manusia'
mungkin akan menjadi

'Abu seorang pesakit jiwa yang tiada masa depan dan hanya berharapkan takdir membawanya ke mana sahaja dia dibawa'
Maklumat yang disampaikan disensasikan seorang demi seorang.
Jika bilangan orang yang perlu disampaikan mesej tersebut cukup panjang,
jangan terkejut jika mesej terakhir tak sama 100% dari mesej asal.

Contoh terbaik adalah mengenai bajet yang diumumkan baru-baru ini.
Jika kalian dengar dan baca bajet itu dari sumber pertama seperti pembentangan oleh PM atau buku rasmi yang diedarkan,
kalian mungkin akan dapat intipatinya dengan tepat.
Tapi kalau sekadar baca tweet kawan, tweet orang-orang tertentu dan dengar borak pakcik gigi sumbing dekat warung kopi,
alamatnya maklumat yang nak disampaikan mungkin sekali jauh tersasar dari hal sebenar.



Dalam konteks perkataan '#throwback' yang mula-mula aku ceritakan,
imej perkataan tersebut sudah menjadi semakin sensasi.
Daripada imej kulit pisang dibuang ke belakang,
kini, apabila terdengar dan terpandang perkataan #throwback,
aku akan terbayang pemain ragbi yang sedang membuat passing di atas padang dalam keadaan genting di mana baki masa perlawanan hanya 10 saat.



Terlebih sensasi, kan?

Bila ditanya kepada kawan yang selalu gunakan hashtag-throwback ni tentang apakah maksudnya yang sebenar,
dia kata
"Hashtag-throwback ni macam hashtag yang mengingat dan mengimbau kenangan lalu gitu."
Masalahnya,
bukankah semua ingatan adalah kenangan lalu?
Dan bagaimanakah peristiwa makan pizza yang baru berlalu DUA JAM LALU sudah perlu diimbau menjadi kenangan lalu?
Lama sangatkah dua jam?
Kenangan sangatkah makan pizza?

Therefore, in my opinion,
hashtag-throwback is the most overly-abused word after 'awesome'.
Sikit-sikit sudahlah #throwback. Ni semua benda kau nak bantai #throwback.




Jadi, beritahu aku,
apakah imej pertama yang terbayang oleh otak kalian bila pertama kali ternampak/ terdengar/ terbaca perkataan #throwback?





Cue-Card #003:

Entri seperti di atas adalah sejenis entri yang paling aku suka. Jenis yang aku hanya perlu taip laju-laju sebab isinya sudah terlekat kuat dalam kepala otak. Otak aku mungkin ada masalah sikit sebab suka kaitkan beberapa perkara yang secara relatif tidak berkaitan, tapi percayalah, jika kalian baca elok-elok, kalian akan dapati beberapa perkara yang tidak diduga. Pada aku, entri sebegini adalah salinan pertama apa yang terkandung dalam otak aku ke atas media bertulis. Oleh sebab itu, segala isi di dalamnya adalah pandangan mentah tentang apa yang berlegar dalam kepala aku. Ianya seperti makan kuih raya pertama yang dibawa keluar selepas dibakar di dalam oven. Fresh. Panas. Sedap. Oh, juga, belakangan ini aku dapati ayat yang aku bina kadang-kadang tak dikonstruk dengan lengkap. Alaa, macam subjek dan prediket yang lemah, ataupun ayat yang tergantung tiada kata hubung, ataupun ayat yang tak habis dibincang ataupun menda yang tak habis dise.......


Oct 2, 2013

Titisan Air yang Berlumba-Lumba di Cermin Tingkap Semasa Hujan.


Tahu tak kenapa bila kita bersin, mata mesti tertutup?
Sebab tekanan dari bersin yang berkelajuan hampir 180km/j mampu membuatkan biji mata tersembul kalau mata terbuka.



By the way,
entri kali ni tak ada kena mengena dengan bersin.
Yeah, i am just one trivia freak!





Jamban.
Tempat manusia memikirkan persoalan besar kehidupan.
Tempat otak memproses idea dengan jayanya.






Sejak dari kecil lagi,
bila aku mencangkung untuk membuang tinja (dibaca: berak)
pasti idea datang mencurah-curah dalam otak.
Aku rasa bukan aku saja.
Kalian pun mesti pernah merasa pengalaman sedemikian, kan?

Dulu aku ingatkan semuanya disebabkan aktiviti berak itu sendiri.
Tapi rupanya bukan.
Aku juga dapat idea dan inspirasi semasa mandi, basuh baju, basuh moto, dan beberapa aktiviti kehidupan yang lain.
Ada nampak tak persamaan antara aktiviti yang aku senaraikan tu?
Apakah dia?
Apakah persamaannya?

Jawapannya....
AIR.

Aku pernah baca satu artikel dulu-dulu yang mengatakan bahawa air (dihidrogen oksida) merupakan agen penyimpan memori.
Air akan menyimpan memori yang berlaku disekitarnya dan akan memancarnya dengan kadar tertentu.
Sebab tu bila kita berada berdekatan dengan tempat berair
(cth: jamban, bilik air, longkang, sungai)
kita akan terangsang dengan memori yang tersimpan di dalam air dan menjadilebih berinspirasi dan penuh dengan idea.
Sebenarnya, ianya bukan idea,
mungkin lebih kepada otak yang aktif mentafsir maklumat yang diterima.

But they say water memory is a hoax.

Aku tak pasti kebenarannya. I'm no scientist.
Aku lupa aku baca mana. Dah lama sangat dah rasanya.
Dari zaman sekolah lagi aku baca. Tak simpan pun sumber.
Bila aku try google balik pun tak jumpa artikel yang sebenar.
Jadi kalian boleh kata ianya cuma sekadar hipotesis yang belum pembuktian.
Masih tak layak digelar teori.

Dan jikalau kalian pernah baca hal yang sama,
boleh kongsi dengan aku?
Aku sangat nak tahu lebih lanjut tentang assumption ini.

Tapi aku rasa ada benarnya andaian di atas.
Perasan tak kita akan jadi lebih sentimental bila melihat hujan?
Atau semasa duduk di dalam bas di tepi tingkap melihat titisan air hujan yang berlumba-lumba di cermin tingkap?
Atau ketika duduk di atas batu di jeram bertemankan bunyi air yang mengalir?
Atau suasana di tepi pantai dengan permandangan ufuk berhias laut?
Atau semasa tangan menyapu muka yang dihujani air pancur dalam bilik mandi?

Beritahu aku,
sewaktu bila otak kalian paling aktif mendapat idea?
Adakah terdapat air berdekatan?





cue-card:
Kalian mungkin mendapati tajuk, komik dan isi yang aku nak sampaikan agak kurang serasi antara satu sama lain. Actually, aku pun perasan. Sebenarnya, jauh di lubuk hati aku aku merasakan yang kebolehan aku untuk menulis satu entri blog yang menarik dah hilang. Berkali-kali aku beritahu diri sendiri supaya mencari 'kick' yang sudah tiada itu, tapi aku tak jumpa. Lebih kepada tak tahu bentuk sebenar 'kick' itu. Jauh di sudut hati aku, aku rasa saat untuk aku meninggalkan dunia blog semakin hampir. Faktor usia, mungkin. Tapi aku sedang sedaya upaya bergelut dengan diri sendiri memandangkan ini merupakan satu-satunya cara berkesan kepada aku untuk meluahkan apa yang aku rasa. Semuanya disebabkan oleh kewujudan manusia di sekeliling aku yang suka melabel, menghukum dan menilai sesuka hati. Hitam kulit disinar matahari, hitam hati dibakar benci. Kalau ada peluang kalian bertemu aku face-to-face, katakan pada aku kata-kata semangat seperti "You can do it?", "Don't give up.", "Emma Stone loves you."
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License