5 hari sudah berlalu. Cabaran tidak minum minuman pra-campuran 3-in-1 dan minuman bersusu sudah sampai ke garisan penghujung.
Seperti yang dijanjikan (kepada semua dan diri sendiri),
selepas 5 hari aku bertahan dari anasir itu (air 3-in-1 dan air bersusu)
aku akan minum segelas dan perhatikan apa yang berlaku kepada diri aku.
Ke dapur, ambil gelas.
Ambil pek 3-in-1 Milk Tea, bancuh.
Kacau, hidu, hirup.
Dunia aku terhenti seketika.
Segalanya bermula (seperti yang disebut dalam Hari #0 Control your Drink) apabila selepas aku habiskan secawan air Teh dari pek 3-in-1, aku sudah tidak merasa kesedapan yang sama seperti saat aku pertama kali meminumnya. Dek hampa dengan kemampuan lidah yang mengecewakan, aku berkeputusan mahu berhenti minum air pra-campuran 3-in-1 dan bersusu selama 5 hari.
Hari pertama, dek kerana bersarapan tanpa segelas air manis bersusu, aku jadi cepat penat. Tak sampai tengahari, badan aku macam sudah diperah tenaganya sama seperti lepas merentas desa. Dari situ aku belajar, walaupun tidak mengambil susu di pagi hari, aku perlu gantikan sumber gula dengan yang lain, seperti contoh, air teh-o (walaupun pada masa itu aku decide untuk ambil 2 bungkusan gula-gula)
Hari kedua mencabar aku untuk lebih berdisiplin. Oleh kerana sudah biasa beli air tin nescafe ais di kedai serbaguna, aku hampir meminumnya. Nasib aku sedar tentang cabaran aku, lalu tukarkannya kepada air alternatif lain (air soya). Aku boleh je minum air nescafe ais tu dan kata kepada semua yang aku tidak meminumnya, namun kalau aku menipu, itu termasuk juga aku menipu diri sendiri. Di akhir hari, aku rasa lebih puas dan kuat hanya kerana aku berjaya disiplinkan diri.
Namun, kadang-kadang nasib bukan di tangan kita. Hari ketiga menunjukkan aku perlu membuat keputusan genting. Tuan rumah kepada sebuah keluarga yang aku ziarah menghidangkan secawan kopi, dan aku dalam dilema sama ada mahu minum sebagai tanda hormat, atau tetap pendirian untuk bertahan. Hasilnya, aku teruskan cabaran dan dengan kesopanan, menolak minuman yang dihidangkan. Aku bersyukur, dapat mempelajari adab menolak dari guru terbaik dunia, iaitu PENGALAMAN.
Hari seterusnya, aku lebih santai dengan membincangkan perihal perlakuan manusia duduk di warung-warung untuk santapan teh. Siapa tahu perkara yang selalu diambil mudah semua orang seperti perlakuan 'ngeteh' terkandung isi yang sangat bermakna. Aku dapat belajar 'ngeteh' adalah bahasa Jawa dari selatan Tanah Air dan maksudnya tiada kena mengena dengan teh. Maka, perkataan 'ngemilo', 'ngopi', atau 'ngeteh-o' TAK PERNAH WUJUD!
Hari terakhir, pada aku paling berharga. Aku belajar ilmu yang aku tak pernah fikir mahu belajar; ilmu membancuh teh-o..Sebab waktu tu rumah aku hanya ada uncang teh strawberry, maka percubaan pertama aku adalah teh-o strawberi yang wangi! Namun, buat teh-o YANG SEDAP buakn semudah koyak pek 3-in-1 dan bancuh dengan air panas. Jumlah dan suhu air panas yang tepat, waktu rendaman uncang yang sesuai, bilangan sudu gula dan penyediaan adalah amat penting. Percaya tak, semalam aku berangan nak bancuh teh-o kepada bakal isteri aku. Bunyi macam sangat cool.
Tak sangka saat ini sudah sampai.
Air bancuhan teh 3-in-1 yang aku minum itu adalah TERBAIK yang pernah aku minum.
Bukan kerana rasanya, bukan kerana aromanya,
tapi kerana usaha aku untuk sampai ke hari itu.
Aku sungguh tak sangka aku mampu bertahan (walaupun selama hanya 5 hari)
Sangat terharu.
Namun,
selepas beberapa ketika, perut aku memulas.
Perasaan yang sama seperti bila aku minum kopi.
Nampak gaya, badan aku sudah menolak sebarang air pra-campuran 3-in-1.
Aku cirit selama 5 minit.

postquam-scriptum:
Maka, aku berkeputusan untuk mengurangkan jumlah pengambilan minuman 3-in-1 dan bersusu. Mungkin seminggu dua gelas, dan jika di kedai mamak atau warung minuman, aku akan berusaha memesan air buah (bukan kordial). Menuju ke arah kehidupan yang lebih sihat.
postquam-subscriptum:
Seorang kawan pernah beritahu,
"Kalau kita pulang dari Raub ke KL, apa yang penting adalah sama ada kita sampai ke destinasi atau tidak. Namun, yang lebih berharga adalah apa yang kita dapat sepanjang menempuh perjalanan 1 jam setengah itu."
"It’s about the journey, not the destination"










































