Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label In Loving Memories. Show all posts
Showing posts with label In Loving Memories. Show all posts

May 4, 2016

Aku dan 3 Anak Kucing.


Salam.

4 Januari 2016 yang lepas,
kucing aku melahirkan 3 anak kucing yang comel kiut miut rasa nak picit.





Ibu kucing yang melahirkan itu sebenarnya berbadan kecil,
jadi sedikit merisaukan bila dapat tahu dia mengandung dulu.
Ye laa,
badan kecil, dibuatnya melekat 4-5 anak tak ke sengsara nak mengusung perut?

Tapi kekuatan kehidupan,
dia berjaya melahirkan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi.

Tiga anak kucing.
Seekor berbulu hitam penuh, dua lagi sama pattern dengan emaknya, berbulu campur warna hitam putih dan jingga.
Yang hitam jantan, dua lagi betina.

Kami namakan mereka Blacku (disebut black-ku), Tim dan Tip.


Aku tak pasti naluri keibubapaan aku makin melonjak akibat faktor usia,
ataupun memang semua kucing dilahirkan begitu,
tapi yang pasti, anak kcuing sangat comel.

Aku ikuti perkembangan mereka bertiga daripada bulu masih jarang berbadan pink,
mula mengiau meminta susu badan ibu mereka,
mula berjalan terketar-ketar menjelajah keliling sangkar,
mula membeliakkan mata melihat alam sekeliling,
mula bergomol bergurau sesama mereka...

..aduh.
Melihat anak kucing seperti satu penghilang stres yang amat berkesan,
tambahan pula awal tahun ini banyak dugaan yang berhadapan.

Aku ingat lagi kali pertama mereka bertiga dibawa keluar menjejakkan kaki ke tanah di luar rumah.
Masing-masing muka tercangak-bangak macam bertukar dimensi.
Tapi beberapa saat kemudian,
naluri pemburu dalam gen mereka membuak-buak,
terus seronok bermain di celahan rumput yang tidak meninggi.
Walaupun langit panas terik disinar mentari, aku tak peduli.
Itu adalah saat yang aku perlu ada dan lalui untuk diperhati.

Blacku, selaku satu-satunya jantan, lebih suka bersendiri dan memerhati.
Dia seperti ninja.
Bila dicari tak jumpa. Sedar-sedar sedang berdiri tegak di tengah laman.
Namun sekali sekala dia juga bersama adik-beradiknya yang lain bermain.

Tim dan Tip seperti kembar. Sama. Sebiji. Copy paste.
Tidur bersama. Bermain bersama.
Tapi Tim lebih kepada mangsa bulian si Tip.
Tip lebih agresif dan suka bergurau kasar.

Semakin membesar, mereka suka memanjat.
Panjat meja, habis semua barang ditolak mereka.
Panjat sofa, mereka sudah mula pandai mengasah kuku bercakar.
Panjat langsir umpama ahli bomba memanjat tali.
Waktu paling aman adalah ketika mereka tidur.

Aku selalu perhati gelagat mereka tidur.
Selalunya, hidung terkemut-kemut.
Telinga bergoyang-goyang.
Tangan tergedik-gedik secara tiba-tiba.
Entahlah. Mimpi rasanya.
Bila mereka mula sedar aku sedang memerhati, tetiba terus dipusingkan badan ala-ala manja.
Kucing, kalau dia tunjukkan perut mereka, tandanya mereka percaya.


Namun,
ibu mereka bukanlah dari baka yang elok.
Nenek moyang mereka adalah kucing yang kami kutip dari pasar, kelaparan.
Dibawa ke rumah, dibela sampailah bertukar generasi.
Baka domestik liar, sudah tentu ada masalahnya.

Hasil dari pemerhatian aku beberapa generasi ini,
pada awal 3-4 bulan pertama selepas dilahirkan,
anak kucing aku akan melalui fasa kritikal.
Mereka akan mudah diserang penyakit,
sama ada selesema, sakit mata atau kecacingan.
Banyak yang kecundang pada usia seawal 2-3 bulan, tapi yang mana dapat lepasi tempoh 3-4 bulan itu akan membesar dengan sihat dan gagah.



Bila mula masuk bulan April, aku jadi risau.
Blacku dan Tim mula menunjukkan perubahan sikap.

Blacku, dia makan paling banyak, tapi badannya tetap kecil.
Tak pasti pergi mana makanan dia, tapi bila dipegang badannya,
terasa tulang belulang yang ada.
Dia terlalu kurus untuk seekor kucing yang makan banyak.

Tim pula, walaupun selalu jadi mangsa buli Tip,
tapi kebelakangan ni dia selalu sangat tidur.
Kucing seusia dia patut keluar bermain dan menjelajah.
Tapi Tim lebih suka bergulung dan tidur.
Bila makan, jenuh dipanggil baru sampai.



25 April lalu, Blacku mati dalam tidurnya di dalam sangkar.
Tiada lagi ninja.
Tiada lagi si kuat makan.
Aku tidak pasti apa sakitnya, tapi kalau perlu deduksi, rasanya kecacingan.
Makanan yang masuk tidak sampai ke badan, hanya sampai ke parasit di dalam badan.

30 April seterusnya, Tim pula pergi.
Badannya terlampau kurus dan tidak bermaya sebelum hilang kesedaran.
Sebelum ini, dia tidak makan, tidak minum, hanya tidur.
Sepanjang minggu aku risau, tapi nampaknya risau sahaja tidak mengubah apa-apa.

Maka, kini, sehingga entri ini ditulis,
tinggallah Tip seorang diri.
Tunggal.
Tiada adik-beradik.
Tiada teman sepermainan.














Entahlah.
Aku jadi sangat cepat sayu apabila melalui fasa kehilangan kucing peliharaan.
Tambahan pula jika peristiwa kehilangan itu berturutan seperti ini.





.

Nov 1, 2015

Adieu, Kembang!


Salam.




28 Oktober 2015, kucing aku mati. Seekor lagi.

Namanya Kem. Dia ibu kepada Gem yang mati tiga hari sebelumnya.
Juga seekor kucing betina domestik baka biasa.
Nama Kem adalah singkatan bagi 'Kembang'
dan ya, nama itu datang dari bulu dia yang kembang macam bulu kucing mahal.

Tapi Kembang bukanlah satu-satunya namanya.
Mengikut tahap kemanjaan, kami sering tukar-tukar nama.
Dari Kembang jadi Kembong, Kembiang, Embang, Embong.
Once, out of nowhere, kami panggil dia Embang Maembong.

Kembang sudah tua.
Tak ingat berapa umurnya tapi dia lagi tua dari anak buah aku.
Anak buah aku sekarang umur 6 tahun
jadi kalian pandai-pandailah kira.

Walaupun tua, tapi dia sangat sihat dan 'sihat' (berisi)
Dialah ibu kepada lagi empat kucing kami (kini tinggal tiga).
Masa mudanya begitu ceria dan suka berlari-lari,
tapi apabila meningkat usia, beranak pinak,
kebanyakan masanya dihabiskan dengan tidur.

Kembang sangat rapat dengan Gem.
Bukan setakat rapat, malah disebabkan bulu mereka sama warna
selalu orang anggap mereka adik-beradik, bukannya emak-anak.
Makan bersama. Tidur bersama.
Jelas Kembang sayangkan Gem sangat-sangat.



Segalanya berubah setelah Gem mati pada 25 Oktober.
Dia kelihatan termenung di bawah pokok pandan luar rumah kami.
Dia jarang berada di luar rumah.
Tapi sekali sekala berada di luar tidaklah merisaukan.

Namun,
apabila dipanggil untuk makan, dia tidak pulang.
Masih berada di bawah pokok pandan. Berbaring.
Kami terpaksa angkat dia bawa pulang ke rumah.

Setelah diangkat dan diletakkan di lantai,
kami sedar ada sedikit kelainan pada Kembang.

Dia tak mampu berjalan lurus.
Jalan dia terhuyung-hayang dan asyik berpusing-pusing di tempat yang sama.
Badannya kelihatan layu dan lemah.

Itu bukanlah satu yang mengejutkan kerana anaknya yang paling rapat baru sahaja mati dilanggar.

Kami faham keadaannya,
maka kami angkat dia ke pinggan makanan.
Dia tidak makan. Tiada selera mungkin.
Jadi, kami suap makanan ke mulutnya.
Walaupun jamah hanya sedikit, tapi syukurlah.
Paling tidak dia makan.

Namun keadaan begitu berlarutan selama beberapa hari.
Jika ini berpanjangan, kami risau dia akan jatuh sakit.

Kami memantau keadaan dia sepanjang masa.
Dia kelihatan murung.
Dia hanya suka berbaring,
dan hanya kadang-kadang sahaja beralih tempat.
Untuk memudahkan pergerakannya,
kami benarkan dia berbaring di sebelah pinggan makan
dengan niat kalau dia lapar, tidak jauh untuk dia cari makanan.
Kami sediakan air untuk minum.
Kami juga kadang kala sapukan air ke belakang badannya bertujuan untuk memberi kelegaan.

Namun keadaannya tidak berubah juga.
Kembang tetap murung.



Kami bertanyakan jiran sekeliling.
Ada jiran menceritakan pada pagi hari kejadian Gem dilanggar,
ada yang terlihat Kembang dan Gem sedang tidur bersama-sama di bawah satu kereta.

Dari situ kami beranggapan bahawa
kejadian Gem dilanggar sehingga mati itu kemungkinan besar berlaku di hadapan mata Kembang.

Seorang ibu melihat kejadian ngeri kematian anaknya di depan mata,
ibu mana yang tidak murung, kan?
Hati mana yang tidak robek, kan?
Parents shouldn't outlive their children. Not otherwise.



Kami beranggapan Kembang dalam keadaan terkejut dan trauma.
Dan dari apa yang aku belajar
haiwan terhoyong-hayang dan berpusing-pusing di tempat yang sama
adalah petanda kepada kerosakan pada saraf telinga.
After all, fungsi telinga selain mendengar ialah untuk keseimbangan badan.

Walaupun tiada fakta yang kukuh,
tapi aku rasa kejutan dari kematian anaknya membuatkan Kembang trauma dan mengganggu emosi seterusnya fungsi badan dia.
Anggaplah seperti orang yang terkejut,
ada antara kita akan memilih pengsan sebagai defense mechanism
dan dalam kes Kembang,
trauma itu mengganggu sistem badan dia yang sudahpun tua itu.
Fungsi badan yang selama ini kuat disebabkan adanya keluarga.
Kini anaknya sudah tiada, kekuatan itu pun hilang.

Itu cuma rumusan aku.
Aku tak tahu apa yang berlaku sebenarnya
tapi keadaan Kembang merosot mendadak selepas kematian Gem.
Itu sahaja rumusan logik yang mampu aku buat.



Selepas tiga hari, 28 Oktober,
Kembang pergi semasa di dalam pembaringan.

Kami tanam bersebelahan dengan tempat kami tanam Gem.
Dalam hidup mereka tidur bersama,
biarlah dalam mati juga mereka turut bersama.



Aku?
Senang kata, Oktober tamat dengan sayu.
Satu rumah berada suram dan muram.

Dua kematian kucing dalam kurang empat hari.
Aku rasa aku tak mampu nak tanggung lagi keadaan macam ni.
Walaupun aku gelar diri kuat,
tapi aku sedikit sensitif tentang perkara seperti ini.

Tapi kali ini aku tidak menangis.
Down, yes. Tapi tak menangis.
Sebab aku dapat pengajaran yang berharga.
Aku kagum dengan kasih sayang yang Kembang tunjukkan.
Kasih sayanglah yang jadi penguat kepadanya selama ini.
Fizikal dan mental.

Seorang ibu sangat sayangkan anaknya tidak kira apa.
Baik manusia, baik haiwan, mahupun kucing.







.

Oct 26, 2015

Gem The Gem.


Salam.




25 Oktober 2015, kucing aku mati.

Namanya Gem.
Seekor kucing betina domestik biasa tapi berbulu agak lebat dan kembang.
Nama Gem datang dari perkataan 'Gemuk' kerana masa dia kecil,
dia gemuk berbanding adik-beradik sebayanya.

Tapi semakin besar, badan dia semakin kurus.
Muka dia pun kelihatan bosan dan tidak bermotivasi.
Jadi dari 'gemuk', kami tukar nama jadi Gem yang juga boleh datang dari perkataan 'Gembira', dengan harapan supaya kehidupan dia lebih ceria.

Tiap kali panggil makan, Gem yang pertama akan datang.
Tak padan dengan kurus, tapi dia makan banyak.
Sebab makan banyak, dia juga berak banyak.
Memang fakta kucing betina domestik hanya suka duduk dalam rumah
jadi tempat berak kegemaran dia adalah bilik air rumah.

Nasib baik pandai berak dalam tandas.
Kalau berak atas kusyen, kan susah...

Gem ada sedikit kesukaran dalam hidup dia.
Dia seperti tak pandai kawal pundi kencing.
Tempat yang dia selalu lepak selalunya akan dibasahi air kencing yang keluar tanpa dikawal.
Walaupun bukanlah cabaran besar bagi kami manusia,
tapi siapa suka bila karpet yang dibentang menjadi basah dengan kencing.

Ini menjadikan Gem sebagai kucing yang paling kurang kami minati.
Tapi sebab sudah jadi sebahagian dari keluarga,
tak pernah terniat kami mahu hantar ke mana-mana.
Kami jaga sedaya kami walaupun ada ketika kesabaran tercabar dan tercalar.

Tiada keraguan adik-beradik Gem yang lain dapat layanan lebih mesra dari dia.




Pada pagi 25 Oktober lepas, pintu rumah aku diketuk jiran.
Kata jiran, ada kucing berdarah di bawah kereta dia.
Jiran aku itu juga membela kucing yang hampir sama warna
tapi dia takut nak melihat lebih teliti kucing itu kucing siapa.

Kami tak pernah duga itu Gem kerana Gem selalunya hanya berada di rumah.
Dia jarang keluar.
Untuk dilanggar di luar, kami lebih risaukan kucing jantan kami yang lain.
Tapi bukan Gem.

Selepas memberanikan diri,
kami lihat di bawah kereta yang disebutkan tadi.
Tidak salah, itu memang Gem.
Gem yang kuat makan dan tak dapat kawal kencing.
Gem kami.

Terlintas memori semalamnya,
aku memarahi Gem sebab dia kencing atas alat penimbang berat.
Aku hambat dia dengan penyapu,
walaupun tak kena (yang disengajakan) tapi jelas wajah Gem ketakutan.

Aku mengaku,
waktu itu aku dibayangi nafsu amarah.
Selepas beberapa ketika aku rasa kesal dengan kelakuan aku itu
namun ego aku menyatakan bahawa aku tidak berbuat apa salah
jadi ianya perkara kecil yang harus aku lupakan.

Namun setelah melihat Gem dalam keadaan rahangnya lari, berdarah
membuatkan hati aku tersentap kuat.
Jelas ianya luka dilanggar.
Mungkin sipi kereta. Mungkin juga motosikal.

Yang pasti Gem sudah pergi.
Menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Kaku keras di hadapan mata aku.

Gem ditanam.
Adik-beradik Gem yang lain juga berada di sekitar tempat kami menanam Gem
mungkin juga memberi penghormatan mereka yang terakhir.




Sesalan menerjah masuk ke dalam hati aku.
Bayangkan interaksi terakhir aku dengan Gem adalah menghambat dia dengan penyapu.
Ekspresi mukanya pada aku yang terakhir adalah wajah ketakutannya.

Kini Gem sudah tiada.
Tiada lagi untuk berak di bilik air.
Tiada lagi kencing di atas karpet.
Tiada peluang lagi aku nak minta maaf atas kekasaran aku menghambatnya dengan penyapu.

Jantung aku berdegup kencang.
Hati aku tak tenteram.
Aku lari masuk bilik dan duduk di sudut menekup muka.
Air mata tidak berlinang, tapi aku yakin ianya bergenang.

Lagi menyakitkan hati aku ialah
jauh sudut hati, aku rasa lega Gem sudah tiada.
Tiada lagi aroma busuk yang menusuk hidung bila dia berak di bilik air.
Tiada lagi kesusahan membasuk karpet akibat kencing Gem.
Tidak perlu lagi jerit lolong memarahi perangai pelik Gem.

Jahatnya aku. Aku berasa lega dengan kematian Gem?
Waktu tu aku tidak peduli,
egokah, jantankah, aku tidak peduli...
Aku menangis sunyi di dalam bilik. Sendiri.

Menangis sebahagiannya kerana sudah tiada lagi Gem dalam hidup aku.
Tapi selebihnya kerana keburukan aku yang berasa lega kerana Gem tiada.

Aku rasa aku amat jahat.
Aku rasa aku tak layak membela haiwan.
Aku perasan diri aku sebagai pencinta haiwan hanya kerana aku bela tiga empat ekor kucing.
Tapi adakah mereka benar-benar selesa dengan aku?
Adakah mereka selamat dengan aku?
Mesra dengan aku?
Cintakan aku?

Jelas Gem perlukan perhatian lebih memandangkan dia mempunyai kesukaran.
Tapi apa yang aku buat adalah memarahinya.
Baikkah aku? Layakkah aku digelar manusia?



Kematian Gem sangat terkesan kepada aku.
Gem buat aku berasa mahu reevaluate,
menilai semula semua tindakan aku sebelum ini.
Perangai aku.
Perbuatan aku.
Impian aku. Cita-cita aku.
Masa depan aku.
Siapa aku sayang, siapa aku benci.
Siapa aku patut sayang, siapa patut aku tidak benci.
Semuanya...

Aku berkeputusan untuk hidup tanpa kebencian lagi.
Kalau ada yang patut dibenci, itu adalah diri aku sendiri.
Aku akan hapuskan semua senarai benci aku
dan cari permulaan baru.

Thanks to Gem,
aku tahu aku bukanlah sebaik yang aku sangkakan
dan langkah pertama untuk berubah ialah mahukan perubahan.

Gem,
you are my gem.
Thank you, Gem. Thank you.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License