Tahu tak apa yang membuatkan seseorang terus ke hadapan selain kaki?
Motivasi.
Alkisah semasa aku di kolej,
aku kenal seseorang yang belajar main gitar dari kosong,
tidak tahu apa-apa kepada mampu memainkan lagu dengan hanya mendengar
hanya dengan belajar sendiri dalam masa enam bulan.
Amazing, kan?
Mula-mula aku ingat dia takkan mampu buat
sebab dia ada 'sense of music' yang teruk.
Bayangkan, humming pun dia boleh hilang tempo,
apatah lagi nak main gitar.
Enam bulan kemudian,
dia sudah boleh gubah lagu sendiri.
Dek kerana mahu sepertinya, aku pun mencuba.
Lima tahun dah berlalu, aku hanya mampu ingat dua not sahaja.
Jadi,
apa yang membezakan aku dan dia?
Apa yang membuatkan kawan aku tu boleh berjaya sedangkan aku tidak walaupun 10 kali ganda masa sudah berlalu?
YA.
MOTIVASI.
Kata akar bagi motivasi adalah motif,
bermaksud tujuan, sasaran atau panduan.
Seperti seorang murid yang ke kelas kerana mahu skor A,
atau sekadar mahu bertemu teman seperjuangan menghabiskan saat terindah bersama.
Seperti seorang guru cekal mengajar anak murid kerana risaukan masa depan mereka,
atau sekadar mahu cemerlang dalam penilaian kenaikan pangkat.
Seperti artis yang berkarya sebagai satu tanda penghargaan kepada peminat,
atau sekadar mahu menjadi terkenal dan berduit banyak.
Seperti si musafir merentas benua mencari ilmu,
atau sekadar tiada arah untuk dituju.
Dan motivasi kepada kawan aku itu
untuk menjadi hebat bermain gitar dengan belajar sendiri dalam masa enam bulan
hanyalah supaya dia menyanyikan lagu romantis
sempena hari jadi si kekasih hati dalam masa enam bulan.
Walaupun kedengaran remeh,
tapi kuasa motivasi diri amatlah kuat.
Tiada yang kecil dalam motivasi.
Seremeh mana sekalipun, motivasi adalah kuasa.
Seperti respon beberapa teman dalam
twitter bila aku bertanya
"Apa yang memotivasikan diri untuk terus ke depan?"
Ada yang menjawab 'keluarga'.
Ada yang menjawab 'rasa tanggungjawab'.
Ada yang menjawab 'kepuasan diri'.
Dan sudah tentu, tiada jawapan yang salah untuk soalan ini.
Kenapa aku tiba-tiba cetuskan persoalan tentang motivasi?
Sebenarnya,
aku terpengaruh dengan satu cerita yang sedang aku layan ni.
Semangatnya kuat untuk mengejar cita-cita hanya kerana benda remeh.
Benda remeh itulah yang menjadi motivasi dirinya
sehinggalah dia berjaya dapat apa yang dia nak.
Lalu, terdetik dalam diri aku.
Apa motivasi diri aku?
Apa yang membuatkan aku terus ke depan?
Jawabnya,
AKU TIADA MOTIVASI.
Patutlah sekarang aku masih berada di takuk yang sama.
Jadi, aku berkeputusan untuk mencari,
berusaha mencari motivasi diri.
Itu yang membuatkan aku bergerak ke depan dalam apa yang aku buat.
Itulah motivasi diri aku.
YA.
Motivasi aku untuk terus ke depan ialah
'Mencari motivasi untuk terus ke depan'
Aku akan cuba mencari apa motivasi diri aku dengan mencuba pelbagai perkara.
Sampai aku jumpa apa motivasi diri aku itu,
maka aku akan beralih ke motivasi itu.
Susah untuk dicerna?
Baca baik-baik, kalian akan faham.
Sekarang,
beritahu aku
APA MOTIVASI DIRI KORANG UNTUK TERUS KE HADAPAN?
.