Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Oct 27, 2013

#throwback



Bila kali pertama aku terbaca hashtag 'throwback',
imej pertama yang menjelma dalam kepala otak aku adalah perempuan yang makan pisang dan membuang kulit pisang ke belakang dan mengakibatkan lelaki belakangnya tergelincir jatuh.



Ya.
Otak kita lebih gemar informasi berbentuk imej bergambar daripada perkataan yang terbina dengan huruf.
Itu fakta.
Bagaimana apabila disebut gajah berwarna pink, sekaligus terbentuk imej gajah berwarna pink walaupun gajah berwarna pink tak pernah wujud secara realiti.

Jadi,
aku sendiri tak pasti bagaimana perkataan #throwback yang kerap kali menjadi trending dalam twitter dan media sosial lain boleh diimejkan otak.
Mungkin kerana ada perkataan 'throw' dan 'back', maka otak aku memprosesnya sebagai perlakuan membuang sesuatu ke belakang.
Tapi, lain orang, lain otak, lain imejnya.

Dan satu lagi sifat otak adalah sensasi.
Otak ada kebolehan mensensasikan keadaan.
Daripada aku hanya perlu membayangkan perlakuan 'buang ke belakang' untuk #throwback,
aku tambahkan (sensasikan) lagi dengan detail lain seperti:

  1. Perempuan makan pisang.
  2. Kulit pisang dibuang ke belakang.
  3. Lelaki di belakang tergelincir jatuh.


Antara contoh kebolehan mensensasikan keadaan yang dilakukan otak kita adalah seperti
bagaimana kita di dalam gelap akan nampak timbunan baju kotor yang malas untuk dibasuh membentuk susuk momok yang sedang merangkak perlahan-lahan menuju ke katil.
Atau bayang kucing dari lampu jalan kelihatan seperti harimau yang kelaparan.

Itu semua kerja otak kita yang gila sensasi.

Juga,
kebolehan mensensasikan keadaan oleh otak juga berubah mengikut masa.

Pernah main telefon buruk?
Permainan di mana mesej disampaikan dari seorang kepada orang lain dan kepada orang seterusnya sehinggalah ke akhir barisan?
Perasan tak bagaimana mesej mudah seperti
'Apabila dewasa, Abu berangan untuk menjadi seorang pakar sains neuro dan mengkaji bagaimana kesan sensasi kepada otak manusia'
mungkin akan menjadi

'Abu seorang pesakit jiwa yang tiada masa depan dan hanya berharapkan takdir membawanya ke mana sahaja dia dibawa'
Maklumat yang disampaikan disensasikan seorang demi seorang.
Jika bilangan orang yang perlu disampaikan mesej tersebut cukup panjang,
jangan terkejut jika mesej terakhir tak sama 100% dari mesej asal.

Contoh terbaik adalah mengenai bajet yang diumumkan baru-baru ini.
Jika kalian dengar dan baca bajet itu dari sumber pertama seperti pembentangan oleh PM atau buku rasmi yang diedarkan,
kalian mungkin akan dapat intipatinya dengan tepat.
Tapi kalau sekadar baca tweet kawan, tweet orang-orang tertentu dan dengar borak pakcik gigi sumbing dekat warung kopi,
alamatnya maklumat yang nak disampaikan mungkin sekali jauh tersasar dari hal sebenar.



Dalam konteks perkataan '#throwback' yang mula-mula aku ceritakan,
imej perkataan tersebut sudah menjadi semakin sensasi.
Daripada imej kulit pisang dibuang ke belakang,
kini, apabila terdengar dan terpandang perkataan #throwback,
aku akan terbayang pemain ragbi yang sedang membuat passing di atas padang dalam keadaan genting di mana baki masa perlawanan hanya 10 saat.



Terlebih sensasi, kan?

Bila ditanya kepada kawan yang selalu gunakan hashtag-throwback ni tentang apakah maksudnya yang sebenar,
dia kata
"Hashtag-throwback ni macam hashtag yang mengingat dan mengimbau kenangan lalu gitu."
Masalahnya,
bukankah semua ingatan adalah kenangan lalu?
Dan bagaimanakah peristiwa makan pizza yang baru berlalu DUA JAM LALU sudah perlu diimbau menjadi kenangan lalu?
Lama sangatkah dua jam?
Kenangan sangatkah makan pizza?

Therefore, in my opinion,
hashtag-throwback is the most overly-abused word after 'awesome'.
Sikit-sikit sudahlah #throwback. Ni semua benda kau nak bantai #throwback.




Jadi, beritahu aku,
apakah imej pertama yang terbayang oleh otak kalian bila pertama kali ternampak/ terdengar/ terbaca perkataan #throwback?





Cue-Card #003:

Entri seperti di atas adalah sejenis entri yang paling aku suka. Jenis yang aku hanya perlu taip laju-laju sebab isinya sudah terlekat kuat dalam kepala otak. Otak aku mungkin ada masalah sikit sebab suka kaitkan beberapa perkara yang secara relatif tidak berkaitan, tapi percayalah, jika kalian baca elok-elok, kalian akan dapati beberapa perkara yang tidak diduga. Pada aku, entri sebegini adalah salinan pertama apa yang terkandung dalam otak aku ke atas media bertulis. Oleh sebab itu, segala isi di dalamnya adalah pandangan mentah tentang apa yang berlegar dalam kepala aku. Ianya seperti makan kuih raya pertama yang dibawa keluar selepas dibakar di dalam oven. Fresh. Panas. Sedap. Oh, juga, belakangan ini aku dapati ayat yang aku bina kadang-kadang tak dikonstruk dengan lengkap. Alaa, macam subjek dan prediket yang lemah, ataupun ayat yang tergantung tiada kata hubung, ataupun ayat yang tak habis dibincang ataupun menda yang tak habis dise.......


Oct 18, 2013

Cermin. Bunga. Air. Bulan.



Pada akhir bulan Oktober tahun lalu,
aku pernah bercerita tentang saat dikejutkan dengan berita pertunangan seorang pencuri hati.
Perkataan 'dikejutkan' tidak mungkin dapat menggambarkan perasaan aku.
Dan jauh di sudut hati, aku tahu perkara tersebut akan berlaku.
Cuma masa dan suasananya tidak aku jangka.

Berita tersebut aku dapat semasa aku terbaring di dalam sebuah hospital.
Suasananya? Aku dapat berita tersebut melalui panggilan telefon,
bukan dari empunya diri.

Adakah aku kecewa?
Ya.
Adakah aku bergenang semasa dalam air pancuran bilik mandi?
Ya, hanya untuk seminggu pertama.
Adakah aku boleh kembali tersenyum dengan berteman keikhlasan?
Ya, selepas bulan berikutnya.

Dan adakah aku redha?
Itu persoalan yang bukan aku yang mampu jawab.

Sejak panggilan tersebut,
aku tiada lagi interaksi bersama si dia.
Setahun telah berlalu,
aku jangka mungkin dia sudah diijabkabulkan.
Namun, aku juga berharap sebaliknya.

Dan setahun kemudian, beberapa hari lalu,
aku menerima satu lagi berita yang membuatkan jantung aku melompat satu ritma.
Seseorang yang aku label 'longtime crush' juga sudah selamat bertunang.
Kenapa 'longtime'? Simple.
Aku ada crush dekat dia sejak kali pertama aku pandang dia, tahun 1999.

Apa persamaan dua entiti yang bertunang sama waktu tapi berbeza tahun ini?
Pertama, kedua-dua mereka ada nama yang sama.
Kedua, kedua-dua mereka mungkin adalah Robin Scherbatsky aku,
di mana tidak kira apa perasaan di dalam hati, aku tidak mungkin mampu bayangkan saat bersama berdua di masa hadapan.
Tapi, sudah tentu salah satu dari mereka lebih memberi kesan terhadap diri aku berbanding seorang lagi.

Umpama menatap susuk bunga melalui cermin.
Ibarat menikmati bulan di pantulan air.
Nampak, tapi tidak tercapaikan.

Aku sudah masuk ke dalam generasi susur masa muka buku dipenuhi gambar bayi.
Mereka bermegah dengan bukti cinta dua hati.

Aku?
Masih di takuk lama.
Seolah-seolah seorang Theodore yang menunggu seluruh alam untuk memberikannya petanda kepada kebahagiaan masa depan.
Masalahnya, aku bukan Ted. Paling tidak, Ted ada empat cahaya sehati sejiwa.
Aku?
Aku keseorangan menentang perjuangan sebagai seorang pengembara hidup yang ingin terus bergerak tanpa sauh membeban.



Kemudian,
satu suara timbul.
"Kau boleh MOVE ON?"
NOPE. Itu jawapan aku.
At least not now.
I have so much to deal with.
Aku tak ada masa nak hirau rasa hati.
Hati aku mungkin sedang tenat, tapi belum mati.

Dan kemudian, soalan kedua muncul.
"Siapa yang kau cari?"
Jawapan aku pasti.
"Si dia bukanlah dari kalangan pembaca blog ini."
Aku sudah terlalu banyak ceritakan tentang perasaan hati di dalam blog ini.
Aku pasti, ramai yang mengetahui.
Aku tak mungkin dapat bertentang mata dan menyedari bahawa insan depan aku mungkin tahu segalanya tentang diri aku, mungkin lebih dari diri aku sendiri.
Terlalu banyak yang aku sudah bongkar, pada aku dan kamu, kita tiada rahsia.

Kepada yang sedang membaca, ketahuilah.
Jika kita bertemu muka ke muka, mata ke mata,
jangan sesekali panggil aku dengan alter ego cEro.
Dan jangan sesekali timbulkan apa-apa tentang L.

Sesungguhnya, aku cuba untuk berlayar ke depan,
mengheret sauh yang kuat menahan.
Dan aku perlukan kalian untuk membantu aku mendayung.
Biar putus rantai yang mengikat dasar.
Biar tinggal laut yang tidak beriak.
Menuju ke dunia baru berbekal sejuta kenangan.

Aku dan Si Pencuri Hati.






.

Oct 13, 2013

Kini, Semua Orang Mampu Menyimpan Duit LIKE A BOSS!


Tahu tak apa antara perkara yang paling senang tapi tak ramai boleh selesaikan?
Penuhkan tabung.



Kita dari kecil diajar menabung.
Mungkin ada yang tidak diajar, tapi paling kurang perkataan 'mari menabung' mesti pernah kedengaran paling kurang sekali seumur hidup.
Tapi, adakah menabung dengan memasukan duit syiling ke dalam bekas duit betul-betul bermanfaat?
Sudah pasti ada pro dan kon dalam menabung, bukan?

Jadi, di sini aku nak kongsi beberapa tips menabung yang aku dapat dari pengalaman.
Aku bukanlah penabung yang setia, juga bukanlah penabung yang berjaya,
tapi apa salahnya kongsi idea, kan?

Pertama,
daripada menabung duit syiling, simpanlah duit kertas.

Dari pengalaman aku, menabung duit syiling sangat menyusahkan.
Pernah sekali menabung duit syiling, punyalah berat sampaikan bila angkat tabung,
tabung itu retak dan pecah.
Berterabur habis duit syiling, jenuh nak kutip.
Satu lagi, sangat menyusahkan kalau nak usung duit syiling yang berat tu ke bank untuk di'bank-in'kan.
Lebih lagi, sesetengah bank akan potong jumlah tabungan sebagai bayaran khidmat pengiraan duit syiling.
Dude, kalau syiling sepuluh sen ada 1000 keping, baru cecah RM100,
pastu kena potong lagi? Bila nak kaya?



Kedua,
kalau nak menyimpan duit kertas, simpanlah duit RM20.



Kenapa RM20?
Duit kertas RM20 yang warna oren tu sangatlah awesome pada aku.
Nilainya boleh dikatakan tak banyak, dan dalam masa sama, tak sikit.
Bayangkan, hanya 5 keping RM20 sudah berjumlah RM100.
Kalau nak menyimpan duit kertas RM1, ada 100 keping baru capai RM100.
Pernah pegang duit kertas 100 keping? Banyak tu...
Pening kepala nak simpan mana nanti.

Lagipun, duit kertas RM20 pada aku, adalah rare.
Dalam transaksi seharian, kita tak selalu jumpa.
Jadi, bila jumpa, bolehlah kita simpan.
Dan bila kita simpan, ianya tak akan jadi selalu dan tak menyusahkan.
Cuba kalau kita simpan not RM1. Takkan setiap kali jumpa RM1 nak simpan kot, kan?
Not RM20 ni macam sedang-sedang elok.
Kalau not RM50 dan not RM100 macam besar sangat, tak makan pula kita nanti.

Not RM20 juga kebanyakkannya masih belum boleh ditelan oleh mesin-mesin transaksi macam mesin bayar parking atau mesin beli air tin.
Tapi mesin cash deposit bank boleh.
Disebabkan itulah, adalah lebih baik untuk simpan not RM20 daripada not-not ringgit yang lain.





Ketiga, dan terakhir.
Simpan dan lupakan.

Masalah dengan menyimpan duit adalah
bila kita sesak, kadang-kadang tak sesak pun, kita akan ada tendency untuk korek wang simpanan.
Cuba simpan dan cuba lupakan.
Bukan suruh lupa terus, tak ada maknalah menyimpan macam tu.
Maksud aku, kalau tak darurat, jangan langsung korek simpanan.
kalau perlu berlapar satu malam untuk tunggu esok hari masuk gaji,
tak apa, tahan je dulu.
Duit ni memang puaka sikit,
bila boleh ambil, akan datang jadi senang je nak ambil.

Bila sampai masa tertentu, atau tempat simpan duit dah penuh,
sila bank-in ke dalam bank yang dipercayai.
Aku ada beberapa bank yang aku rasa tak boleh dipercayai.
Masalah tidak, niat hati nak simpan duit biar jadi bertambah-tambah disebabkan faedah.
Check-check balik, makin kurang sebab kena potong bayaran kad tahunan lah, kena potong sebab insuran kewangan lah.
Sapa tak sakit hati woi...

Kalau pandai melabur, pergilah melabur.
Aku tak pandai, jadi aku simpan biasa je.
Sebab tu tak kaya-kaya.


Sebagai penamat,
amalan menyimpan dan menabung tak semestinya hanya untuk orang bergaji bulanan.
Yang masih sekolah dan belajar pun boleh juga...
Kalau tak ada duit kertas untuk disimpan, simpan duit syiling 50sen.
Daripada syiling 10sen yang ada sepuluh baru jadi RM1,
kalau syiling 50sen, ada 10 dah jadi RM5.
Kan best camtu, kan?
Menyimpanlah. Tak suruh selalu. Tapi kena istiqamah dan berterusan.



Apa idea korang tentang menabung dan menyimpan?
Kongsilah dengan aku.




C-Card #002:
Kepada yang ikut blog aku mungkin tahu antara azam aku tahun ini ialah mahu memenuhkan tabung, di mana aku masih lagi struggle untuk merealisasikannya. Masalah sekarang adalah bank. Seperti yang aku terangkan di atas, aku ada masalah sikit ank percaya bank-bank komersial sekarang ni. Semua sibuk memikir untung nak korek dari pengguna. Aku tak tahu pun kad ATM yang aku pakai sekian lama tu rupanya ada yuran setahun paling kurang RM10. Kalaulah aku tak menyimpan, maka duit dalam bank aku bukannya semakin bertambah disebabkan faedah, tapi semakin berkurang disebabkan kena potong sana-sini. Aku kecewa. Tapi yang lebih menyecewakan aku adalah Wawa Zainal yang sudah berkahwin lebih setahun dengan Aeril Zafriel tu. Walaupun apa yang orang lain katakan, aku percaya mereka ada sebab mereka sendiri kenapa perlu sembunyikan perkara baik begitu lama. Aku nak sangat tengok muka David Teoh. Tapi aku rasa David Teoh tak salah. Dia hanya perkenalkan larangan bercinta bagi artis bawahan dia. Kalau aku jadi dia pun aku akan buat perkara yang sama, sebabnya, semua orang tahu yang bila bercinta, fokus akan jadi lari. David Teoh nakkan pekerjanya fokus. Tapi kalau sudah gatal sangat nak bercinta, aku rasa boleh bawa berbincang. Tambahan bercinta sesama artis, boleh buat publisiti ooo. Bak kata orang, 'there's no such thing as bad publicity' kecuali Miley Cyrus twerking .

Oct 9, 2013

Buih Buih Buih Blub Blub Blub.


Pendek cerita.
Jadi,
aku berminat nak menyertai 'Contest GA #1: Isi buih kata komik!!!' anjuran Plain83.

Bukannya apa,
sebab semalam masa aku jogging, aku kalah dengan nenek tua yang dapat pusing tasik 3 round sedangkan aku separuh tasik pun dah cramp perut berguling-guling sampai hilang macho depan awek cun.
Aku nak buktikan kepada nenek tua itu yang aku pun boleh menang juga.
Ingat dia sorang je hebat? Heh? Heh?
*tumbuk tanah*
Ok, abaikan.

Klik banner di bawah untuk menyertai dan ketahui lebih lanjut.




Dan, ini dia hasil usaha aku.



Ok. Sekian.
Harap menang.


I surely will get back to you, Nenek Tua!
*genggam tangan erat*






Oct 6, 2013

"Sudikah Awak Jadi Mangsa Rogol Saya?"

The Misadventure of cEro.

Jadi kalian bertanya "what's up"?
This is up.



Ceritanya bermula pada suatu pagi.
Walaupun selalunya aku akan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain dengan menggunakan si kuda putih (dibaca: motosikal), namun kadang kala, menginginkan perasaan berkomuniti, aku akan menggunakan pengangkutan awam sekali sekala.
Kali ini, aku naik KTM Komuter.

Dipendekkan cerita,
pergi selamat, selesai urusan, aku pun terus pulang.
Normalnya, aku akan singgah mana-mana shopping complex hanya bertujuan memburu komik-komik baru terbit.
Tapi kali ini, aku di luar normal. Aku terus mahu balik.

Bermula di stesen KL Sentral, semasa mahu menuruni eskalator,
aku dilanggar di bahu oleh seorang gadis.
Penampilan tipikal seorang pelajar IPT, walaupun aku yang dilanggarnya, tapi tiada kata maaf bergema.
Tak kisahlah, maaf bukan boleh ubah dunia.
Tapi satu jelingan yang aku terima. Untuk apa, aku tak pasti.
Jadi, aku biarkan.

Kemudian, aku menunggu di platform 6.
Tidak komuterlah kalau tidak lewat, maka platform semakin dipenuhi manusia.
Separuh lebih suka berdiri, yang lain mencari kerusi.
Aku hanya bersandar di tepi.

Dalam hati aku mencaci maki sistem yang tidak pernah berubah.
Masih berbangga dengan koc merah jambu mereka, aku masih beranggapan itu semua tiada makna apa-apa apabila yang sepatutnya merah jambu pun datang menunggu di bahagian bukan merah jambu.
Kemudahan disediakan, tapi tidak digunakan.

Salah seorang yang sedang menunggu bersama ialah si gadis pelanggar bahu aku tadi.
Dari jauh aku lihat, muka kelat.
Sama ada baru lepas bertikam lidah dengan kekasih, atau sedang dalam 5 hari awal daripada 28 hari kitaran.
Aku hanya tersenyum senget sambil menghembus nafas deras.



Janji komuter. Katanya lagi 5 minit, 15 minit baru tiba.
Tapi tak apa, alhamdulillah.
Asalkan ianya tiba.
Tren baru dengan 6 gerabak muncul.
Koc merah jambu dua di tengah, menjadikan koc untuk si teruna berada di dua hujung depan dan belakang tren.
Kenalah menapak hanya untuk mengelak koc tengah.
Asalkan dapat masuk ke dalam gerabak, aku tidak kisah berapa ribu langkah perlu menapak.

Dalam gerabak komuter yang separa penuh dengan orang,
aku meninjau penghuni yang memenuhinya.
Jauh di sudut sana, tak lain tak bukan, si gadis muka kelat tadi.
Dengan telefon bimbit di tangan tergantungnya strap beruang panda, dipicit-picitnya berkali-kali.
Trick biasa manusia dalam pengangkutan awam, membelek-belek telefon bimbit tanpa tujuan.
Mungkin janggal untuk menatap wajah orang asing yang berdepanan.
Tak kisahlah, bukannya penyakit pun kalau asyik ditatapnya skrin kecil di tangan.

20 minit dalam gerabak, akhirnya sampai ke destinasi.
Pintu berbunyi dan terbuka.
Aku melangkah keluar bersama beberapa manusia yang lain.
Masing-masing berpusu-pusu menuju ke pintu keluar umpama sanalah garisan penamat kemenangan.
Siapa cepat dia menang.
Yang belakang sila bertenang.

Beri kad kepada staf sedangkan mesin keluar tidak beroperasi.
Berkali-kali aku mencemuh sistem yang tidak efesien ini.
Mungkin mahu menjauhkan kebergantungan kepada mesin barangkali?
Mungkin mahu meningkatkan jumlah tenaga kerja manusia bagi membanyakkan peluang pekerjaan barangkali?
Tapi sampai bila sistem sebegini perlu dikekalkan?
Apakah penyelesaian? Apakah tindakan?
Ahhh! Aku tak peduli semua itu.

Menapak menuju ke rumah, aku bukan berseorangan.
Ada tiga empat orang di depan dan di belakang aku menuju ke arah yang sama.
Namun, bilangannya berkurangan berkadar songsang dengan jarak yang dilalui.
Sehingga ke kawasan yang agak terpencil, kini hanya berdua.
Aku dan seorang lagi di hadapan.

Gelap? Tidak. Suram? Ya.
Takut? Mungkin.
Aku lebih takutkan ancaman jasad berfizikal daripada jasad tiada bentuk.
Lagipun siang. Tipikal, mana nak ada ancaman supernatural waktu sebegini.

Tiba-tiba, teman tidak seperjuangan aku di hadapan menghentikan langkah.
Jarak kami 10 meter, dalam masa kurang 10 saat, aku akan melepasinya.
Siapa dia? Cuba teka.
Tak lain tak bukan, si gadis penatap setia skrin telefon bimbit.

Pada jarak kami hanyalah lingkup julat hidu,
si gadis itu berpaling memandang aku, tajam.
Langkah aku pun terhenti.



"Awak ikut saya?"
Soalan apakah itu? Kening aku terjongket sebelah mendengarnya.

"Dari KL Sentral awak ikut saya, kan?"
Muka si gadis itu - 'contempt'
Terlebih tonton Lie To Me, muka macam ni memang selalu aku nampak pada orang sekitar aku.

"Kalau awak cuba nak lakukan sesuatu tak baik pada saya, baik awak lupakan.
Saya ada karate. Saya boleh jatuhkan awak satu saat selepas awak melangkah ke depan."
Minah ni terlebih defensif. Paling tidak, bagilah aku peluang keluarkan suara.

"Jangan dekat. Jangan dekat."
Dia mengangkat kedua-dua belah penumbuknya, kononnya bersedia untuk menyerang.
Aku? As much as aku enjoy tengok kelakuan gelabah dia, aku pun kena lakukan sesuatu memberitahu keadaan sebenar.

Setelah dia diam dan bersedia,
aku menghembuskan nafas panjang sambil tersenyum.

"Maafkan saya,
tapi kalau memang betul saya ada niat nak buat tak baik dekat awak,
saya rasa awak sepatutnya dah tak berpakaian dah sekarang.
The fact that awak masih berpakaian menunjukkan saya tidak berminat.
Lagipun, memang dah lama sangat saya tak merogol orang.
Tapi, kalau awak nak, saya tak kisah.
Sudikah awak jadi mangsa rogol saya?"

Mata terbeliak, kali ni muka dia 'surprise',
typical one of the six primary emotions classified by Paul Ekman.

Tanpa berkata apa-apa, dia berpusing dan memulakan langkah pergi.
Langkahnya kelihatan makin laju, dan akhirnya setaraf berlari anak.
Aku biarkan sahaja. Biarlah jarak selamat dia dari aku melebihi 100 meter.
Lagipun, aku mahu ke arah yang sama.
Tak pasal-pasal nanti kena serang dengan batang kayu pula.

Selepas seketika, aku memulakan langkah semula.
Selepas satu dua langkah, aku perasan sesuatu di atas lantai tanah.
Handphone strap dengan keychain panda.
Aku yakin itu gadis tadi punya. Tercicir semasa sibuk memperkemas tumbukan barangkali.

Aku kutip. Aku fikir.
"Mungkinkah ini permulaan kepada sebuah cerita?"





Tidak.
Aku campak strap itu ke tanah.
Aku pasti, tiada cerita.




Oct 2, 2013

Titisan Air yang Berlumba-Lumba di Cermin Tingkap Semasa Hujan.


Tahu tak kenapa bila kita bersin, mata mesti tertutup?
Sebab tekanan dari bersin yang berkelajuan hampir 180km/j mampu membuatkan biji mata tersembul kalau mata terbuka.



By the way,
entri kali ni tak ada kena mengena dengan bersin.
Yeah, i am just one trivia freak!





Jamban.
Tempat manusia memikirkan persoalan besar kehidupan.
Tempat otak memproses idea dengan jayanya.






Sejak dari kecil lagi,
bila aku mencangkung untuk membuang tinja (dibaca: berak)
pasti idea datang mencurah-curah dalam otak.
Aku rasa bukan aku saja.
Kalian pun mesti pernah merasa pengalaman sedemikian, kan?

Dulu aku ingatkan semuanya disebabkan aktiviti berak itu sendiri.
Tapi rupanya bukan.
Aku juga dapat idea dan inspirasi semasa mandi, basuh baju, basuh moto, dan beberapa aktiviti kehidupan yang lain.
Ada nampak tak persamaan antara aktiviti yang aku senaraikan tu?
Apakah dia?
Apakah persamaannya?

Jawapannya....
AIR.

Aku pernah baca satu artikel dulu-dulu yang mengatakan bahawa air (dihidrogen oksida) merupakan agen penyimpan memori.
Air akan menyimpan memori yang berlaku disekitarnya dan akan memancarnya dengan kadar tertentu.
Sebab tu bila kita berada berdekatan dengan tempat berair
(cth: jamban, bilik air, longkang, sungai)
kita akan terangsang dengan memori yang tersimpan di dalam air dan menjadilebih berinspirasi dan penuh dengan idea.
Sebenarnya, ianya bukan idea,
mungkin lebih kepada otak yang aktif mentafsir maklumat yang diterima.

But they say water memory is a hoax.

Aku tak pasti kebenarannya. I'm no scientist.
Aku lupa aku baca mana. Dah lama sangat dah rasanya.
Dari zaman sekolah lagi aku baca. Tak simpan pun sumber.
Bila aku try google balik pun tak jumpa artikel yang sebenar.
Jadi kalian boleh kata ianya cuma sekadar hipotesis yang belum pembuktian.
Masih tak layak digelar teori.

Dan jikalau kalian pernah baca hal yang sama,
boleh kongsi dengan aku?
Aku sangat nak tahu lebih lanjut tentang assumption ini.

Tapi aku rasa ada benarnya andaian di atas.
Perasan tak kita akan jadi lebih sentimental bila melihat hujan?
Atau semasa duduk di dalam bas di tepi tingkap melihat titisan air hujan yang berlumba-lumba di cermin tingkap?
Atau ketika duduk di atas batu di jeram bertemankan bunyi air yang mengalir?
Atau suasana di tepi pantai dengan permandangan ufuk berhias laut?
Atau semasa tangan menyapu muka yang dihujani air pancur dalam bilik mandi?

Beritahu aku,
sewaktu bila otak kalian paling aktif mendapat idea?
Adakah terdapat air berdekatan?





cue-card:
Kalian mungkin mendapati tajuk, komik dan isi yang aku nak sampaikan agak kurang serasi antara satu sama lain. Actually, aku pun perasan. Sebenarnya, jauh di lubuk hati aku aku merasakan yang kebolehan aku untuk menulis satu entri blog yang menarik dah hilang. Berkali-kali aku beritahu diri sendiri supaya mencari 'kick' yang sudah tiada itu, tapi aku tak jumpa. Lebih kepada tak tahu bentuk sebenar 'kick' itu. Jauh di sudut hati aku, aku rasa saat untuk aku meninggalkan dunia blog semakin hampir. Faktor usia, mungkin. Tapi aku sedang sedaya upaya bergelut dengan diri sendiri memandangkan ini merupakan satu-satunya cara berkesan kepada aku untuk meluahkan apa yang aku rasa. Semuanya disebabkan oleh kewujudan manusia di sekeliling aku yang suka melabel, menghukum dan menilai sesuka hati. Hitam kulit disinar matahari, hitam hati dibakar benci. Kalau ada peluang kalian bertemu aku face-to-face, katakan pada aku kata-kata semangat seperti "You can do it?", "Don't give up.", "Emma Stone loves you."
.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: