Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 25, 2020

Silakan Minum Kopi yang Terhidang...


Salam.




Detektif hebat terkemuka pernah memberi pesanan kepada anak muridnya;
"Jika mahu kenal perangai sebenar seseorang, hidangkannya minuman kopi panas."

Saat bibir yang merupakan antara bahagian kulit paling sensitif bersentuhan dengan air kopi panas, perangai sebenar dia akan muncul.

Yang baran akan melenting.
Yang sabar akan bertenang.
Yang merancang akan menjangka.
Yang kabut akan terkejut.
Yang benci akan memaki.
Yang suka akan ketawa.
Yang baik akan mengerti.
Yang jahat akan mencerca.

Tapi waktunya hanya seketika.
Kerana lumrah manusia adalah bertopeng.
Waktu pendek ketika bibir bersentuhan air kopi panas, topeng mereka tercabut dan sejurus mereka sedar wajah mereka terbuka, maka akan segera mereka menutup semula dengan topeng lain pula.

Saat kecil krisis seperti itu mampu menonjolkan perasaan seorang manusia,
apatah lagi saat manusia diserang wabak maut seantero dunia.

Pada waktu krisis inilah kita boleh nampak perangai sebenar manusia.

Tidak perlu aku sebut siapa, kerana sewaktu kalian baca ayat di atas, pasti ada wajah yang tertera dalam benak fikiran kalian, kan? Siapa dia?

Harap dia bukan kita.

Ingat.
Pada waktu krisis seperti ini kita boleh nampak perangai sebenar manusia.
Seperti saat kopi panas menyentuh bibir kita,
dan juga seperti saat dunia diserang wabak durjana.

Jadi,
silakan minum kopi yang terhidang.
Aku di sini cuma mahu memandang.


Sekian.



  




.

Mar 18, 2020

Yang Indah Tidak Bermakna Akan Kekal Selamanya.


Salam.




Ada satu babak di dalam filem Avengers: Age of Ultron:

Setelah tamat segala pertempuran dan Ultron dianggap sudah tewas, kelihatan satu lagi baki Ultron sedang memanjat naik tebing dengan latar belakang kemusnahan yang diakibatkannya. Kemudian Ultron dihampiri satu susuk tubuh yang mendarat dari langit; Vision.

Vision mula berkata,
"Kau sedang takut..."

Ultron membalas,
"...takutkan kau?"

"Takutkan kematian. Kau adalah yang terakhir."

"Kau yang sepatutnya menjadi terakhir."

Suasana sunyi seketika.

Kemudian Ultron sambung bicara.
"Stark mahukan penyelamat sejagat, tapi dapat sekadar seorang hamba."

"Mungkin kedua-dua kita adalah kekecewaan."

Ultron ketawa kecil mendengar jawapan Vision.
"Mungkin itu benar."

"Manusia memang ganjil. Mereka fikir tertib dan huru-hara adalah dua perkara yang berlawanan dan cuba untuk mengawal sesuatu yang tidak boleh dikawal. Namun ada hikmah di sebalik kegagalan. Aku rasa kau terlepas pandang perkara itu."

"Mereka ditakdirkan untuk musnah!" Ultron meninggikan suara.

"Ya...tetapi yang indah tidak bermakna akan kekal selamanya. Berada di kalangan mereka adalah suatu yang istimewa."

"Kau sangat naif."

"Aku kan baru dilahirkan semalam."

Ultron membuat percubaan menyerang Vision secara tiba-tiba namun Vision mengeluarkan suatu sinar daripada batu infiniti di kepala ke arah Ultron.

Dan itulah kali terakhir Ultron dilihat.


-------------------------


Dengan keadaan dunia kini secara umum, dan Malaysia kini secara khusus berikutan isu wabak pandemik COVID-19 ini, aku secara spesifik terkenangkan babak di atas dan seluruh isi perbualannya.

Kita nampak keadaan huru-hara sebagai negatif dan ketertiban sebagai sesuatu yang baik. Namun sebenarnya ada tertib di dalam huru-hara.

Wabak COVID-19 mungkin mengancam manusia, tapi darinya, sungai dan terusan di Venice yang dahulunya tercemar, kini jernih nampak dasar dengan hidupan akuatik hidup riang di dalamnya. Tompok peta kepekatan nitrogen dioksida di dalam udara yang melambangkan pencemaran yang dahulunya begitu besar tompoknya di negara China, kini semakin susut menunjukkan penurunan kadar pencemaran. Jalanraya di kota Kuala Lumpur yang dulu penuh dengan kenderaan kini lengang umpama musim perayaan.

Semuanya kerana manusia mengurangkan aktiviti mereka akibat menularan wabak yang dilabel 'huru-hara' ini.

Kita anggap tertib dan huru-hara adalah perkara yang berlawanan. Kita salah.

Mungkin sebenarnya Bumi yang sedang sakit tenat, dan COVID-19 adalah cara Bumi menyingkirkan 'virus sebenar' di dalamnya, iaitu kita, MANUSIA.


Sekian.



  




.

Mar 11, 2020

Satu Jam Lima Belas Minit.


Salam.




Atas sebab-sebab tertentu, aku tidak boleh tunggang motosikal aku pada kelajuan yang selalu. Maka, perjalanan pulang yang biasanya mengambil masa 40-50 minit, kini memakan masa lebih satu jam 15 minit.

Masa selama itu di atas kenderaan beroda dua yang bergolek laju di atas jalanraya, pada aku, mendatangkan kebosanan. Maka, selaku manusia yang cepat hanyut di dalam kebosanan, aku isi masa tersebut dengan melakukan sesuatu...

...iaitu menyanyi.


Habis satu album Sheila On 7 aku nyanyikan ketika menunggang. Bukan perlahan, malah jika sampai bahagian memerlukan nada suara tinggi, aku lepaskannya tanpa segan silu. Dengan bantuan angin dan kedudukan aku yang sentiasa bergerak, maka aku yakin tiada siapa pun (di dalam kenderaan lain) sedar aku menyanyi atas motosikal.

Merasakan aku mampu menyanyi kesemua lagu itu dengan baik tanpa ada terkincit satu pun bahagian di dalamnya membuatkan aku terfikir; kenapa aku tidak jadi penyanyi?

Suara aku sangat boleh tahan. Itu keadaannya tanpa latihan dan bimbingan. Bayangkan jika aku cukup latihan dan sudah lalui beberapa sesi pembelajaran vokal dengan guru vokal berkebolehan, sudah tentu mutunya lebih baik daripada sedia baik ini, kan?

Sudah tentu, wajah aku tidaklah kacak mana untuk menjadi komersial. Tapi aku tidaklah buruk mana. Banyak lagi penyanyi lain di luar sana yang jauh lebih kurang kacak daripada aku, tetapi akibat dandanan, solekan, dan tatarias, mereka nampak menarik dari segi penampilan.

Mereka boleh, maka aku pun boleh, kan?

Mungkin aku patut mulakan dengan melakukan 'cover' untuk lagu-lagu terkenal dan kongsinya di laman web video dan media sosial. Bukankah kebanyakan penyanyi sekarang datang dari platform seperti itu? Kongsi nyanyian berkali-kali, tarik peminat dan tingkatkan pengikut, kemudian pasti ada recording company nak lamar aku sebagai artis mereka, kan? Bukankah itu laluan kebanyakan penyanyi sekarang?

Ya, mungkin suara aku tidaklah bertaraf tinggi. Tapi semua penyanyi pun bermula dari suara 'biasa-biasa' (mungkin pengecualian untuk Siti Nurhaliza). Tapi selagi aku mampu abaikan kutukan para haters, dan raikan pujian para peminat, maka suara tidak bertaraf tinggi pun akan dilihat sesuatu yang hebat, kan?

Bukankah kebanyakan penyanyi sekarang berkelakuan sedemikian?

Tapi, apabila aku sudah menjadi terkenal nanti, mesti akan ada satu kelompok ini tiba-tiba nak mengaku aku kawan, kan? Sekarang aku tiada apa-apa, mana mereka? Bila aku dikenali, barulah nak kata sudah kenal lama lah, kawan satu sekolah lah, pernah duduk sebilik lah, pernah makan semeja lah.

Tapi kalau aku jadi terkenal, aku tidak akan lupakan kawan-kawan yang ada masa aku tidak terkenal dahulu. Aku akan hargai mereka. Sekali sekala akan bawa mereka keluar makan dan 'bonding time' together sebab merekalah yang tidak lekang menyokong aku dari dahulu hingga sekarang.

Mesti ini juga apa yang difikirkan kebanyakan penyanyi sekarang, kan?

Sebabkan aku sudah digelar penyanyi, mesti kawan-kawan baru pun di kalangan para penyanyi juga. Boleh buat Tik-Tok sama-sama, mungkin share story selfie setiap lima minit sama-sama, berbalas di Twitter dan dapat RT dan Like beribu-ribu oleh peminat kami.

Hmmm, mungkin aku perlu buat satu kontroversi bercinta dengan artis perempuan kot, dan buat satu hashtag yang catchy supaya peminat kami dapat raikan 'kontroversi' kami ini sama-sama. Bila wartawan rancangan hiburan sensasi temubual dan bertanya, jawapan biasa akan aku berikan seperti 'kami sekadar berkawan', 'masih kenal hati budi masing-masing', dan 'doakan kebahagian kami'.

Bukankah kebanyakan penyanyi sekarang buat perkara tersebut?

Aku minat Muna Shahirah. Mungkin bila aku jadi terkenal nanti aku paling tidak boleh rapat dengan dia, atau mungkin boleh dapatkan nombor telefon dia ajak makan aiskrim sama-sama...


...oh, crap! Dah sampai rumah.

Perjalanan satu jam lima belas minit jadi sekejap apabila diisi dengan menyanyi dan berangan setinggi gunung. Aku perlu kembali ke alam realiti dan kembali ke kehidupan aku yang 'shitty' ini.

Dan oleh sebab semua ini aku sudah angan-angankan, maka aku yakin semua ini tidak akan boleh berlaku. Semua angan-angan aku tidak akan menjadi kenyataan.

Terutamanya part Muna Shahirah tu...


Sekian.



  




.

Mar 4, 2020

#KomikcEro Sepanjang Februari 2020.


Salam.

Komik cEro sepanjang Februari 2020.
























Sepanjang Februari, aku dapati komik yang berunsurkan 'cinta' banyak dapat sambutan. Kalau aku berniat nak dapatkan lebih banyak sambutan, mungkin aku boleh terus fokus pada tema 'cinta'. Tapi itulah yang aku tidak akan buat. Alasannya mudah; aku tiada pengalaman luas dengan 'cinta'.

Mengejutkan, komik tentang temuduga juga dapat banyak sambutan sedangkan pada mulanya aku anggap tema itulah yang paling orang tak minat. Ya laa, kebanyakan yang habiskan masa di IG adalah mereka-mereka yang nak lari daripada kehidupan seharian (kerja, sekolah, dan sebagainya) maka komik yang berkaitan dengan 'kerjaya' (pada hemah aku) sepatutnya kurang sambutan. Ternyata aku salah.

Juga,
bermula dengan komik bertajuk [Lupa], aku sudah mula meletakkan nombor episod di tajuknya. Tujuan aku mudah. Disebabkan komik aku banyak dikongsikan di laman IG lain (repost, regram, dan sebagainya), sengaja aku letakkan nombor pada tajuk supaya jika ada orang lain yang baca komik itu di tempat lain selain IG aku, mungkin dia akan tertanya-tanya 'mana episod-episod yang sebelumnya' dan kemudian mencarinya di IG aku yang asal.

Dan, jika kalian perasan,
walaupun komik aku boleh dipanggil 'yonkoma' (komik empat panel) tapi kebanyakkannya wujud sambungan selepasnya (aku panggil 'fifth panel' walaupun pada dasarnya bukan lima sahaja hahaha). Fungsinya, aku mahu buat sesuatu ekstra kepada follower IG aku. Komik aku cukup jika dibaca pada empat panel pertama, tetapi jika dibaca pada 'fifth panel' maka ia akan jadi lebih menyeronokkan.

Fifth panel hanya eksklusif di Instagram. Di Facebook dan di blog ini pun aku tidak akan letakkannya.

Dua perkara di atas (tajuk bernombor dan fifth panel) aku buat semata-mata nak tarik orang baca komik aku di page asal Instagram aku (@planetcero) dan memberi had kepada page-page lain yang repost komik aku. Kebanyakan IG yang repost komik aku hanya akan repost 4 panel pertama sahaja.

Dengan kata lain,
jika seseorang mahu dapatkan ekstra daripada aku, kenalah follow IG KomikcEro yang asli.



Untuk kalian lihat hasil-hasil lukisan aku, singgah ke Instagram aku @cerolian dan untuk komik #KomikcEro seperti ini di @planetcero

Untuk entri #KomikcEro bulan Januari, klik di bawah:

#KomikcEro Sepanjang Januari 2020.


Sekian.



  




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: