Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label SEPULUH. Show all posts
Showing posts with label SEPULUH. Show all posts

Feb 7, 2018

10 Perkara yang Aku Tetap Perlu Lakukan Walaupun Aku Tidak Suka Lakukannya.



Salam.

Sebab minggu lepas aku up satu entri yang agak berat,
jadi minggu ini kita lebih santai sikit.

Kali ini aku mahu bercerita tentang 10 perkara yang aku tetap perlu buat walaupun aku tidak suka buat.


Baiklah. Sebelum mula,
setkan dalam kepala kalian bahawa perkara yang aku senaraikan di bawah adalah perkara harian biasa yang aku tidak suka buat TAPI tetap perlu buat. Jadi tak ada istilah macam 'kalau tak suka, tak payahlah buat' sebab sesetengah perkara di bawah memang aku (dan semua manusia lain) tak boleh nak elak.

Mari mulakan...


1. Beratur.

Aku tak suka beratur. Aku sedar aku tak suka beratur sejak dari zaman sekolah rendah hingus meleleh dulu lagi. Aku mengeluh panjang bila kena beratur dua-dua dari dewan perhimpunan berjalan menuju masuk ke kelas. Aku cukup tak suka beratur, aku ambil keputusan semasa di sekolah menengah untuk jadi ahli koperasi sekolah sebab ahli koperasi boleh keluar awal 5 minit sebelum rehat dan masuk 5 minit lambat selepas rehat. Masa 5 minit itulah aku makan di kantin dan yang lagi best, TAK PERLU BERATUR. Tapi bila sudah dewasa ini, nak beli makanan pun kena beratur. Nak tunggu lif pun kena beratur. Nak guna mesin ATM pun kena beratur. Kadang-kadang, nak buang air (besar) pun kena beratur juga. Sudah tak boleh mengelak dah.



2. Sikat rambut.

Sebab utama aku tak suka rambut pendek sebab aku tak suka sikat rambut. Mesti kalian pelik sebab secara logiknya rambut pendeklah senang sikat, kan? Pada aku, bila rambut pendek, aku kena sikat rambut beriya-iya, buat gaya sana sini sebab kalau tak sikat memang nampak serabutnya. Kalau aku rambut panjang, aku hanya perlu tarik sikat sekali dua sahaja sebab dengan bantuan graviti, rambut panjang senang ikut kata sikit. Memang tak boleh lari dari sikat rambut, tapi aku kalau rambut pendek aku kena sikat banyak, rambut panjang aku kena sikat sikit, jadi aku pilih rambut panjang.



3. Potong rambut.

Biar aku beritahu sesuatu, aku tak pernah puas hati bila rambut aku dipotong. Mesti tak kena dengan apa yang aku nak. Mesti menyesal selepas tu. Aku tak suka idea duduk diam membatu dua puluh minit semata-mata untuk dikecewakan selepasnya. Aku juga tak suka bila tengok sebahagian daripada aku (rambut) jatuh ke lantai dan dilayan seperti sampah sarap, disapu dengan penyapu. Jadi, untuk elak perasaan tak suka itu, aku selalunya berambut panjang. Tapi kadang-kadang memang tak boleh elak, kena juga potong rambut.



4. Potong kuku.

Ini antara perkara yang PALING aku tak suka buat. Mungkin sebab kena buat setiap minggu kot. Entah kenapa, kuku aku cepat sangat tumbuh balik. Kuku tangan hanya perlu seminggu untuk tumbuh panjang balik. Kuku kaki mungkin ambil masa dua,tiga minggu. Aku tak suka habiskan masa duduk berminit-minit untuk ketip kuku. Aku rasa tak produktif. Tapi aku tetap kena buat juga. Kadang-kadang, aku saja biar kuku panjang dua, tiga minggu. Tapi jatuh malu juga bila orang lain perasan kuku aku panjang. Kena potong juga. Aku harap, bakal isteri aku kelak tak kisah kalau aku suruh dia ketipkan kuku aku.



5. Ikat tali kasut.

Kasut kasual aku semua tak ada tali. Semua jenis sarung. Kasut bertali yang ada, macam kasut sukan atau kasut jogging, aku ikat siap-siap dan biar longgar supaya senang sarung. Kasut kegunaan formal, macam kasut kulit hitam, mesti aku mengeluh dua tiga hela dulu baru ikat. Entahlah. Bukannya aku tak tahu ikat kasut, aku sangat tahu. Tapi aku sangat tak suka nak kena ikat berkali-kali. Kadang-kadang ikat lawa-lawa pun bila jalan dua tiga langkah tertanggal balik ikatannya. Kena melutut balik ikat balik. Tak sukanya!



6. Tekan suis.

Aku rasa aku mula tak suka tekan suis (lampu, kipas dan lain-lain) bila masa kecil dulu aku pernah kena renjat elektrik masa tekan suis lampu bilik air. Mula-mula memang trauma, sanggup guna batang hanger untuk tekan suis. Tapi lama kelamaan timbul rasa tak suka. Kadang-kadang aku punya tak suka tekan suis, aku selalu duduk dalam bilik gelap. Kes nak cas handphone tapi lupa tekan suis tu, aku memang selalu sangat kena. Nanti kalau aku kaya sikit, aku nak equip rumah dengan suis guna 'voice command'. Aku kata 'BUKA LAMPU', lampu pun terbuka. Aku kata 'BUKA KIPAS', kipas pun berpusing. Kan best?



7. Isi minyak.

Mungkin sebab aku tak suka beratur, jadi sekaligus aku tak suka isi minyak. Nak tunggu dapat pam kena beratur. Nak bayar dekat kaunter kena beratur. Kalau aku kena isi minyak (tak kira motosikal atau kereta) aku mesti mengeluh panjang. Kenapalah kenderaan perlu isi minyak? Kenapa tak ada kenderaan yang tak gunakan bahan bakar fosil untuk bergerak. Eh? Jap. Basikal tak perlu isi minyak. Mungkin aku perlu bertukar guna basikal agaknya.



8. Berinteraksi terus dengan orang yang tidak dikenali.

Mungkin akulah yang orang ramai panggil sebagai anti-sosial. Aku tidak berminat untuk berinteraksi dengan orang yang aku tak kenal. Syukur (atau dari perspektif lain mungkin malang) kerja aku sekarang tak perlukan aku untuk bersosial dengan orang asing. Nak melayan orang yang aku kenal pun sudah pelbagai ragam, aku tak mahu untuk tambah lagi ragam tersebut. Tapi aku sedar, ini kelemahan aku yang besar. Aku susah nak mesra dengan orang baru, tapi ketahuilah, sekali kalian kenal, akulah orang yang setia pernah kalian tahu.



9. Pakai cermin mata.

Aku rasa tak semua tahu, tapi aku ada masalah mata. Aku kena pakai cermin mata, tapi kebanyakan masa aku tak pakai pun. Aku pakai hanya bila perlu. Doktor aku nasihatkan aku sentiasa pakai, tapi aku rasa (jadi doktor sendiri) yang selagi aku tak paksa mata aku, aku okay. Bila aku tak pakai cermin mata, memang pandangan aku kabur, tapi aku tak pernah paksa fokus. Sehingga sekarang, aku rasa aku selesa pandangan mata kabur. Bila pakai cermin mata kadang-kadang terlalu banyak input dan distraction, aku rasa aku tak boleh nak fokus.



10. Mandi.

Mandi ini aku letak akhir sekali sebab aku tahu bakal mengundang pandangan sinis. Ya, aku tak suka mandi, tapi tak bermakna aku tak mandi. Aku selalu pastikan aku akan mandi dua kali sehari paling kurang. Tapi aku rasa mandi adalah aktiviti yang tak produktif. Simbah badan dengan air dengan harapan kotoran badan tertanggal, aku rasa, adalah perkara yang tidak produktif. Aku tahu kebersihan itu dituntut dan perlu, tapi aku tak boleh nak tolak rasa tak suka pada mandi. Never looking forward bila masuk bab mandi. Tapi aku tetap buat juga, walaupun aku tak suka sebab...itulah kehidupan.



------------------------- ------------



Aku rasa,
orang yang baca blog aku ini lebih banyak tahu tentang diri aku daripada orang yang ada di sekeliling aku, termasuklah famili aku sendiri.
Aku tak rasa famili aku tahu yang aku tak suka ikat tali kasut.
Aku pun tak pernah nak bangkitkan isu ini dalam perbualan seharian.

Pada aku, tidak kira berapa lama orang luangkan masa untuk kita
dia tetap tak dapat nak kenal kita 100%.
Pasti ada sesuatu yang kita tidak tonjolkan semasa bersama mereka.
Bukan berahsia, cuma kadang-kadang perkara remeh (seperti tidak suka potong kuku) adalah sesuatu yang tidak perlu diucapkan.

Dengan kata lain,
jangan pernah label kita kenal seseorang 100% hanya kerana kita banyak luangkan masa dengan mereka.
Tapi cuba fahami dia perlahan-lahan.
Kenal mengenal ini satu proses yang berterusan, tak akan pernah tamat.

Macam baca blog ini,
kalian mungkin rasa sudah kenal aku lebih melalui entri ini,
tapi kalau kalian baca blog ini dari awal,
kalian mungkin kenal aku lebih dari orang lain,
mungkin lebih daripada aku kenal diri aku sendiri.

Jadi,
kalian ada perkara yang kalian tidak suka buat tapi tetap kena buat?
Kongsilah sama di ruang komen.
Kakak aku pernah kata dia tak suka lipat kain,
tapi rasanya tiap-tiap hari dia kena lipat kain.





.

Dec 6, 2017

10 Fakta Kita Mungkin Tidak Tahu dan Tidak Perlu Tahu.



Salam.

Belakangan, aku perasan entri blog ini banyak bersifat berat.
Jadi kali ini aku bawakan satu entri yang sangat ringan.
SANGAT RINGAN sampaikan kalian tidak perlu berfikir,
hanya perlu baca dan nikmatinya.

10 FAKTA YANG KITA MUNGKIN TIDAK TAHU DAN TIDAK PERLU TAHU.



1. Pingu berasal dari Switzerland.

Walaupun set kartun tersebut berlatarbelakangkan benua Antartika (sebab semua penguin berasal dari hemisfera selatan), tapi kartun stop-motion Pingu yang selalu kita tonton masa kecil dulu berasal dari Switzerland, dan kemudian berpindah ke Britain. Adik Pingu bernama Pinga, dan kawan Pingu si anjing laut itu bernama Robby. Pingu selalu keluarkan bunyi trademark-nya "Noot! Noot!" walaupun secara rasminya dieja "Nug! Nug!"




2. Nama penuh Barbie ialah Barbara Millicent Roberts.

Anak patung perempuan kegemaran ramai, Barbie mempunyai nama penuh Barbara Millicent Roberts. Buah hati Barbie yang bernama Ken itu pula bernama Ken Carson. Semasa mula dikeluarkan, Barbie ada dua varian, berambut blonde dan berambut hitam.




3. Tarikh lahir SpongeBob SquarePants ialah 14 Julai 1986.

Ini membuatkan SpongeBob berumur 31 tahun ini (2017) dan sama umur dengan Zul Ariffin dan Kamal Adli. Kalau diletakkan Zul Ariffin, Kamal Adli dan SpongeBob sekali, mana satu pilihan korang?




4. Hello Kitty BUKAN seekor kucing.

Pada tahun 2014, Hello Kitty diisytihar oleh syarikatnya Sanrio sebagai BUKAN seekor kucing, tapi adalah seorang budak perempuan. Nama penuhnya ialah Kitty White, lahir di selatan England pada 1 November 1974. Hello Kitty berdarah A.




5. Mickey Mouse ada kawan baik merupakan seekor anjing, dan mempunyai binatang peliharaan JUGA seekor anjing.

Mickey Mouse adalah sejenis tikus. Mickey ada kawan baik bernama Goofy, yang merupakan sejenis anjing. Dalam masa sama, Mickey ada bela seekor haiwan peliharaan bernama Pluto, yang JUGA merupakan seekor anjing. Goofy boleh bercakap, tapi Pluto tidak.




6. Tom dan Jerry ada nama lain semasa mula diperkenalkan.

Nama penuh Tom ialah Thomas Cat dan nama penuh Jerry ialah Jerry Mouse. Pada masa mula diperkenalkan, Tom dan Jerry dari siri 'Tom and Jerry' ini mempunyai nama lain. Tom bernama Jasper, dan Jerry bernama Jinx.




7. Dora adalah sepupu kepada Diego.

Dora dari siri 'Dora The Explorer' adalah sepupu kepada Diego dari siri 'Go, Diego, Go!'. Walaupun kedua-dua siri bertemakan pembelajaran kanak-kanak, tapi Dora lebih ke arah pengembaraan manakala Diego lebih ke arah alam sekitar dan haiwan. Filem aksi sebenar Dora bakal muncul 2019.




8. Popeye makan bayam dan jadi kuat.

Popeye makan bayam untuk jadi kuat. Itu fakta yang semua orang tahu. Tapi kenapa bayam? Ceritanya, pada satu masa dahulu, seorang ahli kimia tersilap dengan menyatakan sayur bayam mempunyai 35 miligram zat besi dalam setiap 100 gram hidangan, menjadikan mitos 'makan bayam boleh jadi kuat' bertebaran selama hampir 70 tahun (1870-1937). Sebenarnya ahli kimia itu tertinggal titik perpuluhan 35 miligram, sepatutnya hanya 3.5 miligram. Namun, kesilapan ini menyebabkan peratusan kanak-kanak suka makan sayur meningkat mendadak pada era kegemilangan kartun Popeye.




9. Winnie The Pooh tidak dipanggil Winnie.

Winnie the Pooh adalah seekor beruang yang suka makan madu. Walaupun bernama Winnie (nama perempuan), tapi Winnie the Pooh adalah seekor beruang jantan. Tapi dalam siri Winnie the Pooh, beruang watak utama ini selalu dipanggil Pooh Bear, atau sekadar Pooh, bukannya Winnie.




10. Pikachu sepatutnya lebih ke arah arnab berbanding tikus.

Dalam siri Pokemon, Pikachu diperkenalkan sebagai 'Mouse Pokemon' walaupun sebenarnya Pikachu dicipta berdasarkan rupa sejenis haiwan dipanggil Pika, sejenis mamalia berkaki pendek berbadan bulat yang secara taksonominya lebih rapat dengan arnab berbanding tikus. Pikachu yang gemuk semasa mula diperkenalkan dulu lebih menyerupai pika berbanding Pikachu 'slim' sekarang.




Itu dia, fakta ringan untuk entri kali ini.
Walaupun aku kata 10 fakta, tapi kalau kalian baca sampai habis,
kalian sudah dapat lebih kurang 41 fakta yang berbeza.

Dapat beza tak mana 41 fakta tersebut?

Terima kasih kerana membaca.

Pemberitahuan: Semua imej adalah hakmilik penciptanya.





.

Nov 15, 2017

10 Perbuatan Pengguna Jalan Raya yang Kedengaran Seperti Satu Idea yang Bagus Kepada Sang Pelaku tapi Sebenarnya TIDAK.



Salam.




Seorang detektif terkemuka pernah berkata;
"Kalau nak kenali perangai sebenar seseorang,
beri dia minum kopi panas."
Kata dia, orang yang berperangai kurang sabar akan tunjuk perangai sebenar dia di saat air kopi panas tadi menyentuh bibir.

Aku bukan detektif terkemuka,
tapi aku juga ada tips nak kenal perangai sebenar seseorang.
Cara aku;
"Lihat cara dia memandu."

Aku pernah naik teksi yang pemandunya berjanggut lebat dan berkopiah.
Cakapnya lembut dan penuh tawadduk,
mukanya nampak seperti seorang yang sangat tenang dan sabar.
Tapi bila atas jalan raya, mencelah sana sini serupa pelesit.

Aku juga pernah menjadi penumpang kepada seorang pemandu perempuan.
Tapi bila di atas jalan raya yang sesak,
segala jenis kata kesat dari pelbagai level dan bahasa keluar dari mulut dia.
Mulut yang sama cium anak kecil dia setiap pagi.

Setakat ini, tips aku ini amat berkesan.
Nak tahu kenapa?
Sebab di atas jalan raya, kita akan temui dengan pelbagai perkara di luar jangkaan dan tak terduga.
Pada sesetengah pengguna jalan raya,
perkara yang dilakukan mereka mungkin satu idea yang bernas,
tapi pada hakikatnya adalah sebaliknya.
Perbuatan 'luar jangkaan' mereka mungkin membawa bahaya bukan sahaja ke atas diri mereka sendiri malah pengguna jalan raya yang lain.

Maka,
berikut adalah senarai 10 perbuatan pengguna jalan raya yang (pada aku) mungkin kedengaran satu idea yang bagus tapi sebenarnya hanya mengundang makian:


1. Pengguna jalan raya yang tiada pendirian; sekejap ke kiri sekejap ke kanan.

Semasa di dalam kesesakan, mungkin adalah idea yang bagus kalau kita dapat berada di lorong yang bergerak. Tapi bila lorong kanan bergerak, dia nak masuk ke kanan. Bila lorong kiri bergerak pula dia nak masuk ke kiri. Kesesakan itu jadi lebih teruk bila wujudnya manusia yang tiada pendirian ini, asyik nak tukar lorong sahaja.



2. Penunggang yang tidak pakai topi keledar, tapi pakai 'cap'.

Banyak berlaku di sekitar kawasan perumahan. Tidak pakai topi keledar tapi pakai cap. Nak kata jaga rambut takut rosak bila pakai topi keledar, dia pakai cap. Tahu tak bila tunggang motosikal hanya 60km/j sahaja boleh membuatkan topi kesayangan itu melayang ditiup angin? Lagi 'kelakar', topi keledar yang sepatutnya dipakai, diletak di bakul. Bila nampak polis di hadapan, menggelupur nak tukar cap dengan topi keledar.



3. Pemandu yang memecut laju semasa cuaca hujan.

Penat aku perah otak, tapi aku langsung tak dapat nak teka apa tujuan pemandu yang memecut laju semasa cuaca hujan. Bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah kalau berlaku sesuatu, akan melibatkan orang lain. Kalau nak kejar angkat kain jemuran di rumah sekalipun, hujan sudahpun turun. Kain baju yang tersidai semua sudahpun basah. Tak ada keperluan pun memecut.



4. Motosikal ditunggang songsang di jalan dua hala.

Kenderaan menyonsang di jalan sehala selalu kita nampak, dan kebanyakannya penunggang motosikal. Itu kita boleh faham juga sebab kadang kala jenis jalan sehala ini perlu pusing jauh baru boleh ke tempat yang dituju, jadi melawan arus adalah antara pilihan yang 'bernas'. Tapi yang jenis menyongsang jalan dua hala ini apa cerita pula? Bukankah jalan 'halal' ada di sebelah sana? Kenapa nak lawan arus dan mengundang bahaya?



5. Pengguna yang suka bunyikan hon semasa di dalam kesesakan.

Hon adalah antara salah satu cara kita nak berkomunikasi di jalanraya. Secara peribadi, aku berpendapat hon seperti satu makian dan carutan, sebab selalunya kita hon untuk mereka yang perlu dimaki dan dicarut di jalan raya. Tapi jenis yang bunyikan hon semasa jalan raya sedang sesak ini, buat aku garu kepala. Kenapa? Lepas bunyi hon, jalan tiba-tiba jadi lengang ke? Lepas bunyikan hon, semua kenderaan lain akan bagi laluan ke? Orang lain pun nak cepat juga, nak tengok drama TV senja juga. Bukan awak seorang je.



6. Penunggang motosikal yang berborak dengan penunggang motosikal lain semasa sedang bergerak.

Oh maiiii. Ini seperti jadi satu wabak bila masuk kawasan perumahan. Boleh diterima akal lagilah sebab kawasan perumahan ramai kenalan. Tak ditegur nanti bergaduh pula dalam group Whatsapp. Tapi ada juga jenis yang berborak berdua antara dua motosikal di atas jalan besar. Bruh! Kalau nak borak, berhentilah. Kalau nak bergerak, berhentilah borak. Kan senang?



7. Pengguna jalan raya yang dari belakang memotong kanan laju ke depan dan kemudian nak masuk simpang di kiri jalan.

Salah satu budaya yang patut ada pada setiap pengguna jalan raya ialah merancang perjalanan. Kalau rasa simpang atau susur yang perlu diambil sudah semakin hampir, perlahankanlah kenderaan dan rapat ke kiri jalan. Ini tidak, pergi pijak pedal minyak, memotong kenderaan lain sebelah kanan semata-mata nak masuk ke simpang atau susur sebelah kiri itu siapa suruh? Kan dah kena sumpah seranah segala kaum kerabat.



8. Pengguna jalan raya yang memecut laju di dalam kawasan perumahan / kawasan sekolah.

Beza antara manusia dan haiwan adalah manusia mempunyai akal. Akal bertindak sebagai enjin untuk kita menilai kewajaran sesuatu tindakan. Kawasan perumahan dan kawasan sekolah adalah kawasan aktif pejalan kaki. Malah pejalan kaki itu mungkin terdiri daripada anak-anak kecil yang pada lahiriahnya tidak matang lagi menilai bahaya. Jadi, bila ada kenderaan memecut laju di kawasan-kawasan ini, adakah tindakan itu wajar? Di manakah akal mereka pada waktu itu? Atau mungkin monyet yang sedang memandu?



9. Guna telefon bimbit semasa memandu.

Tinjauan statistik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyatakan 80% punca kemalangan jalan raya adalah berpunca daripada kecuaian manusia, dan penyumbang terbesarnya adalah menggunakan telefon bimbit semasa memandu. Rata-rata semua manusia berakal tahu bahaya menggunakan telefon semasa memandu tapi kita semua masih lagi melakukannya tanpa mengira bahaya yang bakal menimpa. Balas Whatsapp, skrol Instagram, panggilan telefon, Bigo LIVE semasa memandu, semua itu kita tahu boleh mengundang bahaya tanpa perlu aku jelaskan bagaimana mekanisme-nya. Tapi masih ramai yang buat, kan? Kalian pun pernah buat, kan? Kan? Kan?



10. Penunggang (dan pembonceng) motosikal yang tidak pakai topi keledar dengan alasan 'dekat je!'

Dulu pernah ada iklan di TV di mana ada seorang ibu minta anak lelakinya ke kedai belikan sos. Anak tadi ke kedai naik motosikal tanpa pakai topi keledar dengan alasan 'dekat je'. Bila sos yang ditunggu tak sampai-sampai, si ibu keluar mencari anaknya dan kemudian menjumpai anaknya menjadi mangsa kemalangan. Sos yang dibeli anak tadi kini bercampur dengan darah yang mengalir dari kepalanya akibat cedera kemalangan.

Iklan di atas sangat memberi kesan kepada aku. Sampai sekarang, walaupun dekat, aku akan pakai topi keledar tanpa perlu disuruh. Orang yang nak membonceng aku pun aku wajibkan pakai topi keledar. Biarlah mereka kata aku skema atau lurus ikut peraturan, yang aku tahu aku tak mahu bertanggungjawab kalau jadi apa-apa ke atas mereka. Pada aku, tak ada baiknya tak pakai topi keledar.



xxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxxx xxxxxxxxxxxx


Demikianlah senarai 10 perbuatan pengguna jalan raya yang (pada aku) mungkin kedengaran satu idea yang bagus tapi sebenarnya tidak. Mungkin ada lagi perbuatan lain tapi tak terfikir pula oleh otak aku semasa sedang menaip ini.

Diingatkan, ini pendapat peribadi aku selaku pengguna jalan raya dan penunggang motosikal. Naik moto ni, perspektif dia lain sikit dengan semasa memandu. Kita nampak lebih daripada pemandu kereta, malah dari sudut pandangan yang lebih tinggi.

Kalau kalian ada tambahan untuk senarai 10 ini,
silalah tambah di ruangan komen.
Aku hargai semuanya.

Ingatlah. Jika kalian menggunakan jalan raya,
pastikan kalian menjadi pengguna yang tidak menyesal.
Jangan tamatkan riwayat gemilang anda di jalan raya.
Pandulah dengan sabar dan berhemah.

Dan jika kalian nak lihat perangan pasangan kalian yang sebenar,
tengoklah cara pemanduan dia.
Atau mungkin boleh belanja dia minum kopi panas.




.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License