Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 7, 2018

10 Perkara yang Aku Tetap Perlu Lakukan Walaupun Aku Tidak Suka Lakukannya.



Salam.

Sebab minggu lepas aku up satu entri yang agak berat,
jadi minggu ini kita lebih santai sikit.

Kali ini aku mahu bercerita tentang 10 perkara yang aku tetap perlu buat walaupun aku tidak suka buat.


Baiklah. Sebelum mula,
setkan dalam kepala kalian bahawa perkara yang aku senaraikan di bawah adalah perkara harian biasa yang aku tidak suka buat TAPI tetap perlu buat. Jadi tak ada istilah macam 'kalau tak suka, tak payahlah buat' sebab sesetengah perkara di bawah memang aku (dan semua manusia lain) tak boleh nak elak.

Mari mulakan...


1. Beratur.

Aku tak suka beratur. Aku sedar aku tak suka beratur sejak dari zaman sekolah rendah hingus meleleh dulu lagi. Aku mengeluh panjang bila kena beratur dua-dua dari dewan perhimpunan berjalan menuju masuk ke kelas. Aku cukup tak suka beratur, aku ambil keputusan semasa di sekolah menengah untuk jadi ahli koperasi sekolah sebab ahli koperasi boleh keluar awal 5 minit sebelum rehat dan masuk 5 minit lambat selepas rehat. Masa 5 minit itulah aku makan di kantin dan yang lagi best, TAK PERLU BERATUR. Tapi bila sudah dewasa ini, nak beli makanan pun kena beratur. Nak tunggu lif pun kena beratur. Nak guna mesin ATM pun kena beratur. Kadang-kadang, nak buang air (besar) pun kena beratur juga. Sudah tak boleh mengelak dah.



2. Sikat rambut.

Sebab utama aku tak suka rambut pendek sebab aku tak suka sikat rambut. Mesti kalian pelik sebab secara logiknya rambut pendeklah senang sikat, kan? Pada aku, bila rambut pendek, aku kena sikat rambut beriya-iya, buat gaya sana sini sebab kalau tak sikat memang nampak serabutnya. Kalau aku rambut panjang, aku hanya perlu tarik sikat sekali dua sahaja sebab dengan bantuan graviti, rambut panjang senang ikut kata sikit. Memang tak boleh lari dari sikat rambut, tapi aku kalau rambut pendek aku kena sikat banyak, rambut panjang aku kena sikat sikit, jadi aku pilih rambut panjang.



3. Potong rambut.

Biar aku beritahu sesuatu, aku tak pernah puas hati bila rambut aku dipotong. Mesti tak kena dengan apa yang aku nak. Mesti menyesal selepas tu. Aku tak suka idea duduk diam membatu dua puluh minit semata-mata untuk dikecewakan selepasnya. Aku juga tak suka bila tengok sebahagian daripada aku (rambut) jatuh ke lantai dan dilayan seperti sampah sarap, disapu dengan penyapu. Jadi, untuk elak perasaan tak suka itu, aku selalunya berambut panjang. Tapi kadang-kadang memang tak boleh elak, kena juga potong rambut.



4. Potong kuku.

Ini antara perkara yang PALING aku tak suka buat. Mungkin sebab kena buat setiap minggu kot. Entah kenapa, kuku aku cepat sangat tumbuh balik. Kuku tangan hanya perlu seminggu untuk tumbuh panjang balik. Kuku kaki mungkin ambil masa dua,tiga minggu. Aku tak suka habiskan masa duduk berminit-minit untuk ketip kuku. Aku rasa tak produktif. Tapi aku tetap kena buat juga. Kadang-kadang, aku saja biar kuku panjang dua, tiga minggu. Tapi jatuh malu juga bila orang lain perasan kuku aku panjang. Kena potong juga. Aku harap, bakal isteri aku kelak tak kisah kalau aku suruh dia ketipkan kuku aku.



5. Ikat tali kasut.

Kasut kasual aku semua tak ada tali. Semua jenis sarung. Kasut bertali yang ada, macam kasut sukan atau kasut jogging, aku ikat siap-siap dan biar longgar supaya senang sarung. Kasut kegunaan formal, macam kasut kulit hitam, mesti aku mengeluh dua tiga hela dulu baru ikat. Entahlah. Bukannya aku tak tahu ikat kasut, aku sangat tahu. Tapi aku sangat tak suka nak kena ikat berkali-kali. Kadang-kadang ikat lawa-lawa pun bila jalan dua tiga langkah tertanggal balik ikatannya. Kena melutut balik ikat balik. Tak sukanya!



6. Tekan suis.

Aku rasa aku mula tak suka tekan suis (lampu, kipas dan lain-lain) bila masa kecil dulu aku pernah kena renjat elektrik masa tekan suis lampu bilik air. Mula-mula memang trauma, sanggup guna batang hanger untuk tekan suis. Tapi lama kelamaan timbul rasa tak suka. Kadang-kadang aku punya tak suka tekan suis, aku selalu duduk dalam bilik gelap. Kes nak cas handphone tapi lupa tekan suis tu, aku memang selalu sangat kena. Nanti kalau aku kaya sikit, aku nak equip rumah dengan suis guna 'voice command'. Aku kata 'BUKA LAMPU', lampu pun terbuka. Aku kata 'BUKA KIPAS', kipas pun berpusing. Kan best?



7. Isi minyak.

Mungkin sebab aku tak suka beratur, jadi sekaligus aku tak suka isi minyak. Nak tunggu dapat pam kena beratur. Nak bayar dekat kaunter kena beratur. Kalau aku kena isi minyak (tak kira motosikal atau kereta) aku mesti mengeluh panjang. Kenapalah kenderaan perlu isi minyak? Kenapa tak ada kenderaan yang tak gunakan bahan bakar fosil untuk bergerak. Eh? Jap. Basikal tak perlu isi minyak. Mungkin aku perlu bertukar guna basikal agaknya.



8. Berinteraksi terus dengan orang yang tidak dikenali.

Mungkin akulah yang orang ramai panggil sebagai anti-sosial. Aku tidak berminat untuk berinteraksi dengan orang yang aku tak kenal. Syukur (atau dari perspektif lain mungkin malang) kerja aku sekarang tak perlukan aku untuk bersosial dengan orang asing. Nak melayan orang yang aku kenal pun sudah pelbagai ragam, aku tak mahu untuk tambah lagi ragam tersebut. Tapi aku sedar, ini kelemahan aku yang besar. Aku susah nak mesra dengan orang baru, tapi ketahuilah, sekali kalian kenal, akulah orang yang setia pernah kalian tahu.



9. Pakai cermin mata.

Aku rasa tak semua tahu, tapi aku ada masalah mata. Aku kena pakai cermin mata, tapi kebanyakan masa aku tak pakai pun. Aku pakai hanya bila perlu. Doktor aku nasihatkan aku sentiasa pakai, tapi aku rasa (jadi doktor sendiri) yang selagi aku tak paksa mata aku, aku okay. Bila aku tak pakai cermin mata, memang pandangan aku kabur, tapi aku tak pernah paksa fokus. Sehingga sekarang, aku rasa aku selesa pandangan mata kabur. Bila pakai cermin mata kadang-kadang terlalu banyak input dan distraction, aku rasa aku tak boleh nak fokus.



10. Mandi.

Mandi ini aku letak akhir sekali sebab aku tahu bakal mengundang pandangan sinis. Ya, aku tak suka mandi, tapi tak bermakna aku tak mandi. Aku selalu pastikan aku akan mandi dua kali sehari paling kurang. Tapi aku rasa mandi adalah aktiviti yang tak produktif. Simbah badan dengan air dengan harapan kotoran badan tertanggal, aku rasa, adalah perkara yang tidak produktif. Aku tahu kebersihan itu dituntut dan perlu, tapi aku tak boleh nak tolak rasa tak suka pada mandi. Never looking forward bila masuk bab mandi. Tapi aku tetap buat juga, walaupun aku tak suka sebab...itulah kehidupan.



------------------------- ------------



Aku rasa,
orang yang baca blog aku ini lebih banyak tahu tentang diri aku daripada orang yang ada di sekeliling aku, termasuklah famili aku sendiri.
Aku tak rasa famili aku tahu yang aku tak suka ikat tali kasut.
Aku pun tak pernah nak bangkitkan isu ini dalam perbualan seharian.

Pada aku, tidak kira berapa lama orang luangkan masa untuk kita
dia tetap tak dapat nak kenal kita 100%.
Pasti ada sesuatu yang kita tidak tonjolkan semasa bersama mereka.
Bukan berahsia, cuma kadang-kadang perkara remeh (seperti tidak suka potong kuku) adalah sesuatu yang tidak perlu diucapkan.

Dengan kata lain,
jangan pernah label kita kenal seseorang 100% hanya kerana kita banyak luangkan masa dengan mereka.
Tapi cuba fahami dia perlahan-lahan.
Kenal mengenal ini satu proses yang berterusan, tak akan pernah tamat.

Macam baca blog ini,
kalian mungkin rasa sudah kenal aku lebih melalui entri ini,
tapi kalau kalian baca blog ini dari awal,
kalian mungkin kenal aku lebih dari orang lain,
mungkin lebih daripada aku kenal diri aku sendiri.

Jadi,
kalian ada perkara yang kalian tidak suka buat tapi tetap kena buat?
Kongsilah sama di ruang komen.
Kakak aku pernah kata dia tak suka lipat kain,
tapi rasanya tiap-tiap hari dia kena lipat kain.





.


14 comments:

  1. Selain hal yang ada kaitan dengan rambut, semua aku tak suka buat sama dengan kau. Ya, sebab utama is sama macam apa yang kau pk, rasa benda2 tuh tak produktif and buang masa tapi kena buat..haha..

    Bab tekan suis tuh, nak2 lampu dah nak rosak.. tak nyala-nyala.. lagi rasa marah.. kena plak tekan dua tiga kali.. =_=

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Lee

      Kan. Kekadang otomatik mengeluh bila kena buat benda yang kita tak suka buat hehehe.

      Ohhh aku cukup tak suka bila tekan suis lepas tu tak nyala-nyala. Boleh menyirap ooo hahaha

      Delete
  2. Aku tak suka berak. Tapi tiap2 hari kena berak juga huhu

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Boss Noob

      Kontra untuk aku, aku rasa berak itu produktif sebab kebanyakan idea (utk komik & blog) datang sama aku termenung tengah berak hahahaha

      Delete
  3. aku tak suka susun barang. sbb nak kena susun betul. tak boleh sambil lewa,.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Mieza S

      Hahaha faham. Kalau nak susun kena susun betul-betul. Kalau tak betul baik tak payah susun dari awal kan? Hehehe

      Delete
  4. Selain drpd 6, 9 dan 10, sume tu pun aku xsuka haha.
    Tapi paling tak suka sekali, bangun setiap hari.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >star

      Bangun pagi pada aku neutral kot. Sebab tak bangun pun tak boleh juga, bangun pun kekadang tak best juga hehehe

      Delete
  5. botak je bro. tak payah sikat rambut lagi

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Anonymous

      Botak best tapi sekejap. Dua hari dah naik dah rambut jadi agak susah laa nak maintain botak :)

      Delete
  6. 1,5,7 kita sama. lagi satu aku tak suka keluar duit dan aku jarang keluar cash. bila terdesak aku ambil cash kawan aku dan aku transfer ke dia. aku pernah travel dari kedah ke perak dengan berbbekalkan rm1 dalam wallet haha.

    tak suka mengerjakan kain. tu bukan tak suka. tu malas. ke sama? haha. tapi memang kena buat sebab sakit mata tengok kain berlonggok hoho

    ReplyDelete
    Replies
    1. >NAD

      Oh, berbeza dengan aku, aku lagi suka handle cash daripada online banking. Sebab tu sampai sekarang aku tak pernah guna online bank yang ada. Kalau perlu, aku akan beratur dekat CDM untuk bank in hahaha.

      Tak suka lain sikit dengan malas...or mungkin sama? Entah. Aku pun tak pasti hahaha

      Delete
  7. 1. sya tak suka drive..bnyk benda kena pikir tambah2 dok ibu negara ni..jammed la parking la..kalau balik kg ada abg, kakak atau adik sya suka sbb dorg yg akn drive..bila dok jauh ni nak taknak kena la drive seniri memandangkan kwn sendiri kebanyakan tak reti drive..bersyukur sngat dkt ibu negara ni mcm2 kenderaan awam ada..tp tu la kdg2 jauh pulak..eh grab dgn uber kan laku kat sini? :)
    2. sapu sampah ni leceh..mak sya slalu tegur sya suruh sapu sampah dgn lemah lembut supaya sampah tu tak terbang..tp sya sapu gaya saya sbb nk cepat habis..leceh betul..kalau tak sapu banyak pulak habuk jd kena sapu jgk..terbanyak pulak kongsi

    ReplyDelete
    Replies
    1. >cik

      1. Hahaha. Faham sangat keadaan tu. Kekadang bila ada kawan or kenalan yang offer nak drive-kan, rasa bersyukur sangat hehehe

      2. Hahaha. Betul laa apa yang mak cik tu cakap. Kena sapu lembut-lembut kalau tak habuk tu terbang nanti tak berbaloi kita sapu sampah. Hehehe.

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License