Salam.
Hari Isnin.
Di saat orang lain perlu berpusu-pusu ke tempat kerja, aku tidak perlu. Hari ini aku cuti. Tapi tidak bermakna aku patut bangun pagi lewat. Cuaca pagi aman nyaman. Udaranya, cahayanya, bunyiannya, semuanya sangat mendamaikan. Ada sesuatu tentang cuaca pagi yang membuatkan perasaan berasa tenang dan aman.
Di saat itu, aku tahu hari ini bakal jadi hari yang baik.
Selesai urusan di rumah di waktu pagi, tengaharinya aku buat keputusan untuk keluar. Niat hati mahu main Pokemon GO di sekitar kejiranan rumah aku ini. Maklumlah, walaupun agak lama sudah aku berpindah ke sini, namun rasanya belum betul-betul tahu selok-belok kawasan sini.
Ini adalah masanya di mana aku sangat bersyukur aku seorang bujang. Maksud aku, aku boleh pergi ke mana sahaja yang aku mahu seorang diri tanpa perlu bawa sesiapa dan tanpa perlu peduli kebenaran sesiapa, satu kebebasan yang pastinya orang sudah berkomitmen rumahtangga faham akan keistimewaannya.
Tengahari, aku makan di kompleks membeli-belah berhampiran. Di restoran tempat aku makan, yang menghidang seorang gadis manis yang murah dengan senyuman. Aku suka bila dilayan dengan senyuman, apatah lagi datang dari seorang yang manis. Siapa tak suka, kan? Makan kenyang, aku ambil keputusan untuk berjalan-jalan sekitar kedai yang berdekatan.
Kesemua kedai yang aku kunjungi, aku dilayan dengan baik. Pekerjanya semua murah dengan senyuman. Ada yang ramah bertegur sapa dengan aku. Kalian kena faham, dengan muka yang aku ada, bila dilayan baik oleh orang lain, aku ada perasaan gembira dan skeptikal bercampur baur. Tapi sebab dari awal pagi sehingga kini lewat tengahari hari aku baik, maka aku hanya berfikiran positif. Hari ini mungkin adalah salah satu hari yang baik untuk aku.
Aku ambil keputusan untuk habiskan masa sehingga ke petang di taman. Taman permainan kanak-kanak. Ada beberapa kanak-kanak sedang bermain, berlari dan menjerit-jerit. Selama ini aku rasa jeritan kanak-kanak sedikit menjengkelkan, tapi hari ini aku tidak merasakan sedemikian. Senyuman terukir di bibir aku melihat mereka berlari-lari dan bermain.
Kebetulan ada dua lelaki lain di situ. Seorang ah ko berbangsa cina dan seorang lagi budak remaja berbangsa india. Kami bertiga berbual sakan seolah-olah kami ini kawan lama. Aku bukanlah seorang yang gemar bersosial dengan orang, tambahan lagi orang yang baru kenal. Tapi dengan mereka berdua, seperti kami sudah lama kenal. Pada saat itu, tidak dapat rasa langsung apa-apa jurang. Seorang melayu, seorang cina dan seorang india, memang seperti definisi kepada masyarakat muhibah. Malah kami bertiga berbeza usia, namun masih lagi dapat bergelak ketawa berbual pelbagai perkara.
Hari ini memang satu hari yang baik untuk aku.
Namun kalian baca, kan, tajuk post ini? Walaupun berkali-kali aku ulang hari ini adalah hari yang baik, kalian sudah tahu bahawa sesuatu akan berlaku seterusnya, kan?
Ceritanya, semasa aku sedang menunggang motosikal di dalam perjalanan hendak pulang ke rumah, aku ternampak sebuah lori simen berhenti di hadapan. Kedudukannya amat tidak sesuai untuk berhenti, namun rasanya berlaku kecemasan, jadi aku anggap itu bukanlah satu kesalahan besar.
Kereta di belakang lori memandu perlahan, sebuah demi sebuah memotong lori yang sedang berhenti itu. Jalannya satu lorong untuk dua hala, jadi mahu memintas lori simen yang sedang berhenti bukanlah mudah. Akhirnya, sampai giliran aku. Jarak ke rumah aku hanya dalam kurang dua kilometer, jadi aku sepatutnya memandu terus tanpa perlu endah akan suasana sekeliling. Namun, tidak. Sewaktu memintas lori simen berkenaan, aku menoleh ke bawah perut lori simen.
Ternampak seorang lelaki dalam lingkungan usia lewat 30-an ke awal 40-an terbaring di bawah perut lori tersebut. Matanya terbuka, namun tapak kakinya berada bersebelahan dengan mukanya. Badannya terlipat dua. Darah mula mengalir dari tubuhnya dan membasahi jalanraya. Walaupun badan keseluruhannya kelihatan masih satu, namun aku pasti isi dalamnya sudah lumat dilenyek tayar milik lori simen berkenaan.
Barulah aku sedar kenapa lori itu berhenti di tempat yang tidak sesuai. Barulah juga aku sedar kenapa kereta yang memintas memperlahankan kenderaan masing-masing. Bila aku ke hadapan, aku nampak seorang lelaki yang pada hemat aku adalah pemandu lori berkenaan, sedang memegang kepalanya sambil melihat hasil bawah perut lorinya tanda kesalan.
Serta-merta, hari baik aku bertukar ngeri.
Sepanjang perjalanan balik aku terbayangkan kejadian tadi. Terbayangkan mata tadi yang terbuka tapi tidak melihat. Terbayangkan badan yang berlipat, bertemu kaki dengan muka. Terbayangkan tumpahnya darah membasahi jalan tar.
Balik rumah aku terbayang. Semasa mandi aku terbayang. Duduk tengok TV aku terbayang. Solat aku hilang fokus kerana terbayang. 3 jam aku berguling atas katil gagal untuk tidur hanya kerana terbayangkan kejadian tadi ketika aku pejamkan mata. Hasilnya, pada hari Selasa, aku bangun dengan kepenatan dek tidur yang tidak berkualiti. Dan sepanjang hari Selasa itu juga, aku terbayang.
Hari aku yang sepatutnya baik, hanya kerana satu tolehan, bertukar menjadi ngeri dan memakan diri selama dua hari.
Ini adalah antara memori yang pada aku, mahu aku lupakan tapi aku rasa aku tak akan berjaya lupakan. Sama macam memori audio aku dengar tulang anak kucing pecah digilis dengan tayar kereta. Sama macam memori semasa menjalani pembedahan mata dengan bius setempat, menyebabkan aku sedar sepanjang pembedahan. Sama macam memori darah terasa menyirap apabila dapat tahu orang yang kita percaya khianati kita.
Dan seperti memori-memori di atas, memori kejadian bawah perut lori ini pun bakal menjadi parut di minda aku. Boleh diabaikan tapi tidak akan hilang. Dan semua ini boleh dielak kalau aku tidak buat satu tolehan itu.
Baiklah.
Aku tidak mahu menamatkan entri ini dengan penamat yang bersifat kemurungan.
Jadi aku mahu minta tolong kalian dengan sesuatu.
Aku baru sahaja menyertai satu peraduan anjuran Fb page Buasir Otak: The Komik.
PERADUAN KOMIK STRIP MEDIA SOSIAL di mana komik yang mendapat paling banyak 'reach' untuk satu tempoh masa akan dikira sebagai pemenang.
Cara kalian boleh tolong aku adalah seperti berikut:
1) Klik link facebook di ini.
2) LIKE (atau REACT) komik ini, kemudian tinggalkan komen di ruangan COMMENT dan seterusnya SHARE komik ini dengan kawan-kawan lain.
Atau kalau kalian sudah linked dengan Facebook, boleh terus buat tiga perkara di atas (LIKE, COMMENT dan SHARE) di ruangan embed di bawah:
Kalau kalian sudah buat, TERIMA KASIH.
Aku macam sudah tahu yang aku tak akan menang, tapi aku berminat nak buktikan yang aku salah.
Komik 'CARUT!' itu adalah komik lama yang ada dalam simpanan aku dan belum pernah diterbitkan di mana-mana platform media lagi. Aku buat keputusan untuk sertai peraduan ini bukan untuk menang, tapi sebab aku sudah berazam (tahun 2018 ini) untuk menyertai DUA pertandingan komik. Jadi, sekarang aku sudah boleh tanda satu daripada dua pertandingan itu.
Walaupun penganjur kata peraduan ini boleh dimenangi dengan usaha si peserta (lagi banyak promote, lagi banyak reach) tapi aku sejujurnya rasa 'timing' mainkan peranan paling penting. Maksud aku, sebanyak mana pun usaha, dan sebaik mana pun lukisan komik itu, atau sebagus manapun isi komiknya, kalau tidak kena pada masanya, tetap tak akan dapat 'reach' yang diharapkan. Dan bila sebut tentang 'timing', timing is a b*tch.
Tapi itu tidak bermakna aku sudah putus asa, kan?
Sebab itu aku minta tolong kalian untuk LIKE, COMMENT, dan SHARE komik aku itu.
Jadi untuk tamatkan entri hari ini, aku mahu berpesan;
JAGALAH DIRI BAIK-BAIK KETIKA BERADA DI JALANRAYA.
ELAKKAN DIRI DARI MENJADI MIMPI NGERI ORANG LAIN.
.
����
ReplyDelete>Anonymous
DeleteIni emoji ke?
Aku buka mobile, aku buka dekat PC, semua tunjukkan simbol diamond berisi tanda soal.
Boleh aku tahu ini emoji apa?
ngerinye.. aku kalau nampak lori mmg kalau boleh nak jauh2.. tapi klu kt kl cam x leh nak elak jer
ReplyDelete>Raz
DeleteMemang tak boleh elak. Masalah dengan lori ini, pemandu selalu terlepas pandang benda kecil macam pejalan kaki dan penunggang motosikal dek kerana saiz lori yang besar, jadi kita memang kena sentiasa berjaga-jaga dan berhati-hati.
Hati-hati tau Raz :)