Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 23, 2014

F untuk Fuwa Fuwa.


Zaman sekolah sudah lama aku tinggalkan.
Apatah lagi zaman sekolah rendah.
Namun, ada kenangan yang aku susah nak lupakan.
Kebanyakan kenangan tersebut memberi kesan kepada aku,
menjadikan aku sebagai aku.



Kali ini,
sekali lagi aku akan ceritakan kisah aku semasa sekolah rendah dulu.
Aku tak pasti kenapa, tapi kebelakangan ni banyak sangat perkara yang membuatkan aku terkenang zaman seluar biru dulu.
Kebanyakan orang sebaya aku sudah hilang memori tentang zaman sekolah rendah.
Tapi pada aku, bukan mudah nak hilangkan memori yang terkesan, kan?

Tiga jenis kawan sekolah rendah yang (pada aku) amat memberi kesan kepada aku ialah:
1. Kawan baik/rapat.
2. Crush (dalam BM apa ek?)
3. Pembuli

Sebut tentang pembuli,
seminggu lepas, aku ditag pada satu gambar dalam Facebook.
Gambar tersebut adalah gambar lama kelas aku sewaktu darjah 6.



...dan dalam gambar tersebut terdapat pembuli setia aku.
Nama dia F.

Aku mula sekelas dengan F pada darjah 5.
F, pada gambaran aku, seorang perempuan yang sporty.
Dia wakil sekolah dalam hoki.
Walaupun bertubuh kecil, tapi dia memang lincah atas padang.
Satu ciri dia paling aku gemar ialah dia sentiasa ceria.
Sentiasa senyum, ketawa (besar) dan aktif.
Tapi pipi dia sedikit tembam, sentiasa merah, fuwa fuwa.

Hubungan aku dengan F sedikit rumit.
Dia selalu bergaduh dengan aku.
Atas sebab tertentu, dia selalu ejek aku 'ikan keli'.
Mula-mula aku marah, tapi lama-lama aku jadi tak kisah.
Malah, nama itu jadi spesel, hanya dia sahaja yang dibenarkan panggil aku dengan nama tersebut.

F suka cari pasal dengan aku.
Bayangkan,
tiba-tiba dia datang meja aku, rampas pemadam,
lepas tu bawa ke meja dia.
Bila aku datang nak ambil balik, dia campak ke belakang.
Bila hilang, dia akan kata 'padan muka' sambil gelak.
Jahat, kan?

Tapi esoknya, bila aku datang ke sekolah,
ada pemadam baru atas meja aku.
Aku tahu F ganti, tapi bila aku tanya dia, dia kata 'bukan' sambil tersengih-sengih.

Pernah satu ketika dia rampas air sirap bungkus aku punya dan buang dalam tong sampah.
Tapi pada waktu balik, dia ajak aku nak belanja aiskrim.

Sebab tu aku tak pernah ambil hati dengan sikap F.
Walaupun kadang-kadang kurang ajar,
seperti contoh suka ketuk kepala aku dengan kertas gulung tanpa sebab,
aku hanya akan marah tengking.
Aku tak akan pernah balas fizikal semula.
Sebab aku tahu, F memang macam tu.

Dari pakaian dia, beg dia, alat tulis dia, kasut dia,
aku tahu F datang dari keluarga berada.
F tinggal di perumahan sebelah taman aku.
Perumahan rumah teras 2 1/2 tingkat, kawasan rumah orang kaya.
Aku hanya duduk rumah kuarters.
Dari situ aku tahu, perangai F mungkin datang dari latar belakang keluarga dia.

Bila kami berdua bergaduh, masing-masing akan bermasam muka.
Tapi selepas beberapa waktu (pembelajaran), kami akan berbaik semula tanpa perlu mengungkit pergaduhan sebelumnya.
Tapi beberapa minit kemudian, kami gaduh balik.
Dan kemudian baik balik.

Dinamika persahabatan antara aku dan F buatkan kami rapat, tapi dalam masa sama selalu bergaduh.



Dijadikan kisah,
awal tahun darjah 6 memang sibuk dengan sukan.
Wakil-wakil sekolah akan berlatih waktu petang selepas persekolahan.
F wakil sekolah dalam hoki.
Aku wakil sekolah dalam olahraga.
Kami berlatih di atas padang yang sama.

Aku selalu duduk tepi padang berehat sambil tengok budak hoki berlatih.
Atas padang F memang serius. Tak senyum langsung.
Tapi dia punya gelecek kayu hoki sangat mantap.
Muka dia yang jadi merah dan berpeluh-peluk sambil bawa bola dengan kayu hoki ikut celah-celah pemain lain, pada aku, memang sangat cool.
Imej dia itu sangat terlekat dekat otak aku.
Aku hanya perlu pejam mata dah boleh bayangkan gerak-geri dia yang nampak macam menari tu.

Satu hari,
selepas latihan olahraga, aku ke kantin nak beli air.
Kantin kosong, hanya makcik-makcik sibuk berkemas sebab sudah petang.

Tiba-tiba, dari jauh aku ternampak satu tubuh duduk seorang diri tertunduk di kerusi paling hujung.
Setelah diamati, yang duduk itu ialah F.
F jarang duduk seorang.
Dia selalu ditemani kawan-kawan lain.
Jadi, merasakan sedikit pelik, aku cuba nak menghampiri dia.
Tapi,
dari jauh aku boleh nampak badan dia turun naik turun naik.
Kadang kala terdengar bunyi teresak-esak.
Waktu tu, aku tahu.
Jadi aku batalkan niat aku untuk menghampiri dia.
Kenapa?
Sebab aku tahu F sedang menangis.

Itu kali pertama aku nampak dia sedih.
Kali pertama dan kali terakhir.
Pada waktu itu aku sedar,
F juga manusia biasa.
Dia juga ada hati dan perasaan.
Dia juga boleh gembira, boleh bersedih.
Dia sama seperti aku. Sama. SAMA.

F seorang yang tinggi ego,
jadi sudah pasti dia tak mahu orang nampak dia menangis,
apatah lagi kalau yang nampak tu 'mangsa buli' dia sendiri, iaitu aku.
Sudah tentu dia tak mahu kelihatan lemah.
Jadi aku buat keputusan untuk tidak menghampiri dia yang sedang menangis.
Aku patah balik dan buat tak tahu walaupun dalam hati aku perasaan ingin tahu sebab apa dia menangis tu sangat tinggi.

Pada waktu itu,
aku fikir itu adalah keputusan TERBAIK yang aku boleh buat.
Keputusan aku ialah dengan tidak menghampirinya.

Esoknya, dia kembali ceria,
seperti sebelumnya, bergelak ketawa, riuh rendah sana sini.
Tapi aku sedar sesuatu,
dia seperti kekurangan sesuatu.
Ketawa dia lain, walaupun masih sama.
Suara dia lain, walaupun tidak ada yang berubah.
Perangai dia lain, walaupun masih seperti sebelum ini.

Ada sesuatu pada dia yang sudah 'hilang'.
Tapi aku tak pasti apa, aku tak tahu apa.
Yang aku tahu, sejak kejadian menangis di kantin itu,
F sudah tidak sama seperti F yang aku kenal.
Dan ianya berlarutan sehinggalah ke hujung tahun...

...dan aku masih berdiam diri tidak bertanyakan dia kenapa....




Seperti pernah aku cerita, selepas UPSR
aku dan kawan-kawan sekolah rendah putus jejak.
Semua sebab aku masuk asrama.
Tempat baru, kawan baru, persekitaran baru, belajar perkara baru.
Semua baru.

Tapi satu perkara yang aku tak dapat cari ganti semasa di sekolah asrama ialah kawan/lawan seperti F.
Seseorang yang aktif, riang, ceria dan suka rampas pemadam aku.
F seolah-olah seperti watak perempuan ganas yang selalu menjadi kawan baik kepada watak utama hero dalam siri anime.
Seperti Arisawa Tatsuki kepada Kurosaki Ichigo.
Seperti Hokuto kepada Tsuchimikado Harutora.

Tiada siapa dapat jadi pengganti F kepada aku.

Setiap kali aku cuti di asrama dan balik rumah,
aku selalu berharap dapat bertembung, bertemu dengan F.
Tapi tak pernah. TAK PERNAH.
Aku tak ada jalan nak berhubung kembali dengan dia.
Jadi, segalanya hilang sedikit demi sedikit...




Selepas ditag pada satu gambar kelas darjah 6 dalam Facebook baru-baru ni,
berpusu-pusu notification masuk, termasuklah beberapa 'friend request'.
Salah satu 'friend request' itu datang dari F.

Like a stalker i am,
aku pun meneliti setiap gambar dalam photo Facebook dia selepas comfirmkan friend request dari F.

Seperti yang aku jangka, semua gambar yang ada adalah gambar ceria.
Senyum, gelak, berperangai keanak-anakan walaupun sudah tak berapa nak muda.
Lebih mengejutkan, dia sudah kahwin.
Dikurniakan seorang anak, sinar ceria F ada pada anaknya.

Pada waktu itu, aku sedar sesuatu.
Rahsia kenapa F berubah, kenapa dia menangis,
nampaknya akan kekal menjadi rahsia yang kemungkinan besar tidak akan pernah akan terbongkar.

Pada waktu itu, aku juga sedar.
Keputusan aku untuk tidak menghampiri F di saat dia sedang teresak-esak di kantin adalah satu keputusan yang bodoh.
Apa salahnya seorang kawan mengambil berat kawannya yang lain.
Apa salahnya seorang manusia menolong manusia yang memerlukan sokongan.
Apa salahnya aku bertanya masalah F pada ketika itu.
Kalaupun dia tak mahu bercerita, paling tidak dia tahu ada yang sudi membantu, atau paling kurang jadi teman mendengar.

Aku bodoh.

Pada waktu itu juga aku sedar,
aku terkenangkan F bukan sebab dia (3.) pembuli, juga bukan sebab dia (1.) kawan baik,
tapi....




terlambat.





.

Feb 16, 2014

tEka-tEki #19 "Choose Wisely"


Bertemu kembali dalam slot tEka-tEki.
Slot yang begitu kejam, kita dapat rasa kita bukanlah sepandai yang kita fikirkan.




Baiklah.
Bila bercakap tentang tEka-tEki,
ada dua jenis audiens.

Pertama, orang yang mahu nampak pandai.
Orang sebegini akan cuba menjawab sebaik mungkin dan menggunakan semua kemahiran yang dia ada (termasuklah google jawapan di internet). Jika jawapan yang diberikan salah, dia akan terus mencuba tanpa menghiraukan sama ada jawapan dia logik atau tak logik.

Kedua, orang yang tidak mahu nampak bodoh.
Orang sebegini akan berdiam diri, memerhati dan fikir dalam hati tanpa mencuba secara agresif. Bila jawapan akhirnya diberikan, dia akan kata, "Alaa, macam tu aku pun ada fikir," dan berlalu seolah-olah tEka-tEki itu langsung tidak bermakna dalam kehidupan dia.

Anda dalam golongan mana?
(Jangan jawab!)


Setelah mendengar rungutan dalam siri tEka-tEki sebelum ini,
ada yang kata susah gila,
ada yang kata senang sangat,
jadi aku akan cuba memenuhi kehendak dua-dua rungutan ini.

Kali ini,
tEka-tEki yang aku sediakan bukan hanya satu,
tapi DUA.

Ya, DUA.

Namun jangan tamak.
Anda hanya boleh pilih salah satu dalam satu masa.

Ini arahannya:

Di bawah ada dua butang.
Satu merah, satu hijau.
Jika anda rasa tEka-tEki aku sediakan sebelum ini sangat mudah,
tekan butang hijau dan anda akan dibawa ke satu muka baru yang mengandungi tEka-tEki susah.
Sebaliknya,
jika anda rasa tEka-tEki aku sediakan sebelum ini agak susah,
tekan butang merah dan anda akan dibawa ke satu muka baru yang mengandungi tEka-tEki mudah.

Ikut arahan dengan tepat, anda akan dibawa ke tempat yang anda tuju.
Sila pilih, tapi pilih dengan bijak.




Marilah mencabar diri ke dalam ilusi dalam membuat pilihan.
Selamat mencuba.

GOOD LUCK!

Lagi tEka-tEki dalam koleksi:






.

Feb 9, 2014

Internet Itu Bahaya!

Internet memang bahaya.

Pada mulanya,
aku berniat nak lukis satu komik pendek bercerita tentang perkara ini.
Tapi selepas lukis beberapa mukasurat,
aku dapat rasakan isinya lebih terkesan kalau aku bercerita.
Just bear with me, nak bare with me pun boleh..
Entri kali ini memang cerita sepenuhnya.
Bacalah sampai habis walaupun panjang.

Jadi inilah ceritanya...




Untuk ketahui bagaimana bahayanya internet yang aku maksudkan,
biar aku mulakan dengan membawa kalian ke waktu semasa aku berumur 9 tahun.

Kalau ditanya kepada aku siapa perempuan yang paling awal membawa kesan terhadap diri aku selain ahli keluarga,
aku hanya akan sebut dua nama,
D dan K.

Kedua-dua mereka pernah aku ceritakan sebelum ini.

Semasa darjah 3,
dua kali peperiksaan, dua kali tu aku dapat tempat ketiga dalam kelas.
Tempat pertama dan kedua ditawan mereka berdua, D dan K.
Peperiksaan penggal pertama K dapat nombor satu.
Peperiksaan penggal kedua D rampas takhta dari K.
Aku hanya mampu berada di takuk nombor 3.
Mereka berdua tiada tandingan.
Mereka berdua tidak dapat aku lawan.

K aktif bersukan, banyak mulut, sedikit celupar.
D lebih pasif, pendiam dan hanya suka tersenyum.
Kami bertiga pengawas.
Disebabkan itu, kami bertiga selalu bertugas bersama.
Ini menjadikan kami bertiga rapat.
Tipu aku cakap kalau aku tak pernah ada hati dengan dua perempuan ni.
Tapi cinta monyet, beb, siapa kisah.
Tapi kalau diberi pilihan, AKU PILIH D.

D misteri. Cukup misteri.
4 tahun aku kenal dia, aku tak pernah tahu dia tinggal mana.
Yang aku tahu hanyalah nama penuh dia
dan dia ada tiga beradik semua perempuan.
D juga sangat pendiam.
Satu-satunya waktu dia paling banyak bersuara adalah semasa mengacarakan perhimpunan sekolah.
Aku tukang jaga PA system.

Aku dapat simpulkan D berasal dari keluarga yang alim.
Dia bertudung, dan aku tak pernah nampak dia tanpa tudung.
Walaupun masa kem motivasi UPSR, aku dan kawan-kawan seperjahatan pergi mengintai budak perempuan ambil wudhuk di belakang surau,
D tetap berjaya tidak memperlihatkan rambutnya.

UPSR selesai, D dapat keputusan 5A.
Seperti yang dijangka daripada seorang pelajar cemerlang.

Habis darjah 6,
aku masuk asrama.
D juga aku pasti dapat asrama.
Cuma aku tak tahu ke mana...
Aku cuba cari maklumat tentang dia, tapi GAGAL.
D hilang jejak.





Berbelas tahun berlalu,
dan dalam tahun-tahun itu, dunia banyak berubah.
Antara yang paling signifikan adalah kemudahan capaian internet.
Internet membuatkan dunia menjadi tiada batasan.
Kawan lama dapat dicari.
Berita jauh dapat didengari.
Ilmu di hujung jari.
Maklumat sentiasa menanti.

Facebook adalah medium terbaik (buat masa ini) untuk bertemu kawan lama yang terputus hubungan.
Aku berjaya jejak beberapa kawan seperjahatan kembali.
Tapi tidak terniat langsung aku nak menjejak si D dan K.

Sehinggalah baru-baru ini....

2014,
selepas beberapa kawan lama sekolah rendah menamatkan zaman bujang masing-masing,
aku tiba-tiba terdetik mahu menjejak dua kawan perempuan lama ini.

Aku mulakan dengan K.
Aku search dalam Facebook nama dia.
Since aku sedar dia mungkin tak guna nama sebenar,
aku masukkan beberapa info tambahan mengenai dia di advance search Facebook.

Boom!
Aku jumpa.

K kini bertudung labuh.
Sudah berkahwin pada tahun 2010 dengan seorang lelaki yang macam aku kenal tapi tak dapat nak recall.
Dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang sangat iras dengan muka dia.
K dan suami juga, melalui Facebook photo, aktif dalam gerakan politik.
Dia (Mereka) penyokong pembangkang.

Syukur alhamdulillah,
K yang dulu celupar, bising dan banyak mulut
sekarang dilihat sudah baik, bahagia dengan keluarga.
Aku tak cari pula abah kepada K yang satu ketika dulu pernah buat aku hampir terkencing dalam seluar.
(Klik sini untuk ketahuinya)


Giliran D untuk dicari.

Aku search dalam Facebook, GAGAL.
Aku advance search dalam Facebook, GAGAL.
Aku selidik friend list K memandangkan kemungkinan mereka berdua berkawan dalam Facebook dan D sengaja jadikan dirinya tak available dalam search result, masih GAGAL.

Tak pelik, semuanya seperti yang aku jangka.
Sedangkan semasa dia darjah 3 pun sudah cukup misteri,
inikan pula sudah besar dewasa seperti sekarang.

Tapi aku tidak putus asa,
aku anggap D tak ada akaun Facebook,
jadi aku beralih kepada satu lagi enjin carian paling hebat alaf ini,
GOOGLE.

Aku masukkan nama D.
Disebabkan nama dia bukanlah sangat jarang ada, jadi google result memasuki fasa mustahil untuk dicari.
Jadi, aku bertukar dengan mencari dengan menggunakan NAMA PENUH dia.
Page pertama tak ada apa yang berkaitan.
Page kedua juga sama.
Masuk page ketiga, aku jumpa satu link.
Keyword yang diboldkan google dalam link tu sangat menunjukkan kesamaan dengan nama yang aku cari,
jadi aku KLIK.

Rupanya, itu adalah dokumen tentang senarai nama kedatangan pelajar untuk annual dinner satu course dari satu universiti ini.
Paling menarik,
dalam senarai itu, terkandung hampir seluruh maklumat yang ada tentang pelajar yang hadir.
Nama penuh, nombor IC, nombor ID pelajar, alamat rumah, tarikh lahir, agama, bangsa, emel, NOMBOR TELEFON dan beberapa entri nombor yang aku tak berapa pasti apakah ia.

...dan semua itu dapat diakses oleh SESIAPA SAHAJA.
Bahayanya maklumat asas senang-senang dapat.
Malah,
salah satu nama dalam dokumen tersebut ialah nama D.

As to confirm yang nama tersebut betul-betul ialah D,
aku lihat alamat yang tercatat.
BETUL.
Alamat tersebut hanya kurang 800 meter dari rumah aku.
Aku boleh pergi rumah dia hanya dengan jalan kaki.

To make sure ianya bukanlah kebetulan ada orang yang bernama lebih kurang sama tinggal dalam kelompok yang sama, aku copy emel dia dan cari melalui Google+.
Surprise surprise, emel tersebut membawa kau ke akaun Google+ D.
Tiada gambar profil dan tak aktif.
Walaupun tak aktif, tapi dari circle dia aku boleh dapat akaun adik dia.
Dan adik D sangat aktif berkongsi gambar melalui picasa.
Dan cuba teka, gambar siapa yang banyak dalam picasa dia?
Sudah tentu gambar ahli keluarga dia.
Dan sudah tentu juga ada gambar kakak dia, D.
Walaupun berbadan seorang dewasa, tapi D tetap seperti D yang aku bayang dalam kepala.
Lembut, baik, sopan, dan bersenyuman manis.

Dari situ aku confirm,
senarai nama tersebut memang mempunyai nama D.
Dan nama itu memang D yang aku cari.


Aku tak tahu.
Mungkin AJK acara annual dinner tersebut hanya mahu simpan atau hantar dokumen itu kepada orang-orang tertentu melalui perkongsian maya, tapi aku dapat rasakan maklumat sebegini tidak sepatutnya dikongsi secara public.
Disebabkan senarai tersebut,
aku kini mempunyai semua maklumat asas mengenai D termasuklah nombor IC dan nombor telefon peribadinya.
Dari seorang gadis misteri, D menjadi seorang yang boleh diakses maklumatnya secara mudah.

Memang salah bukan di tempat D.
Salahnya ialah yang tidak mengprivatekan perkongsian dokumen itu.
Aku yakin ada di luar sana yang cukup pandai mampu manipulasi maklumat asas seperti itu untuk kegunaan lain seperti curi identiti, curi maklumat kewangan dan sebagainya.
Memang ada berlaku.
Memang pernah berlaku.
Cuma aku harap ianya tak berlaku dekat D.

Hanya dengan memikirkan seorang perempuan yang misteri dengan mudah dapat dikesan maklumat mengenainya dengan hanya beberapa klik sudah buatkan aku takut dengan internet.
Belum cerita anak-anak muda zaman sekarang yang tak segan silu berkongsi segala apa yang dia ada hanya atas nama mahu memeriahkan media sosial.
Cuba google nama sendiri dan lihat apa resultnya...

Dan aku pasti, setiap dari kita ada pengalaman buruk sendiri berkaitan internet.
Kan?


Nasihat aku cuma satu,
HATI-HATI BILA BERKONGSI MAKLUMAT PERIBADI.

Persoalannya sekarang,
apa patut aku buat dengan maklumat tentang D yang telah aku dapat?
Should I call her?



Tetiba aku rasa cerita aku tak segempak tajuk....



.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: