Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label Cerita Sangat Pendek. Show all posts
Showing posts with label Cerita Sangat Pendek. Show all posts

Aug 28, 2019

"Semuanya okey. Tapi..."


Salam.






Jadi,
aku berkesempatan untuk duduk berbual dengan seorang kenalan perempuan yang bakal melangsungkan majlis perkahwinannya dalam masa terdekat ini.
Aku kemudian mengambil peluang bertanyakan soalan mudah dan klisé;

"Bagaimana dengan persiapan majlis? Semuanya okey?"

Tiada jawapan pantas daripadanya walaupun dia dikenali sebagai seseorang yang gemar menjawab secara spontan. Otot wajahnya jelas bergerak menguncup ke bahagian tengah muka sehinggakan kelihatan kerutan kulit muka di ruang antara dua keningnya. Ternyata soalan aku sedikit sebanyak mencetus kegusaran di hatinya.

"Semuanya okey. Tapi..."

Ayat pertama itu adalah jawapan yang aku mahu dengar, tetapi perkataan tergantung seterusnya itu membuatkan aku meneka bahawa perbualan ini tidak akan tamat begitu sahaja selepas terpaculnya perkataan 'okey' tadi.

"Tapi?"

"Semua perkara seperti urusan dengan pejabat agama, dengan wedding planner, dengan katering, semuanya okey dan berjalan lancar. Cuma satu perkara yang agak merisaukan."

"Apakah?"

"Pengapit. Sampai ke hari ini, yang majlisnya bakal berlangsung dalam kiraan jari ini, masih lagi tiada siapa yang pasti untuk menjadi pengapit."

Dalam 99 perkara yang aku fikir berpotensi untuk menjadi masalah ketika mengurusakan majlis walimah, pengapit bukanlah salah satunya, terutamanya untuk si dia ini. Dia memang dikenali sebagai seorang yang ada ramai kawan perempuan yang rapat dan satu kepala. Ketiadaan calon pengapit adalah sesuatu yang janggal untuk orang seperti dia.

"Eh, yang ramai-ramai (merujuk kepada kawan-kawan dia) tu takkan tak ada seorang pun yang nak jadi pengapit?"

Mendengus panjang dia selepas mendengar soalan itu.

"Itulah. Kawan rapat memang ramai. Tapi seorang pun tiada yang sudi jadi pengapit."

"Serius ahh?"

"Ya. Semua kata nak datang sebagai tetamu. Nak jadi 'dayang-dayang' tolong bawakan dulang hantaran. Tiada seorang pun, apabila diminta, bersetuju untuk jadi pengapit."

Dia menunduk sambil mengeluh.

"Yang lebih menyedihkan, majoriti mereka sudahpun lalui pengalaman berwalimatul urus. Malah ada antara mereka, diri inilah (sambil menepuk diri sendiri) yang menjadi pengapit untuk mereka. Tapi bila tiba giliran sendiri, seorang pun tiada yang sudi menjadi pengapit."

"Tapi mereka kan kawan rapat?"

"Sebabkan mereka kawan rapatlah tidak mahu memaksa apabila mereka tidak bersetuju. Kesudahannya, tiada siapa sudi menjadi pengapit. Mungkin bersanding nanti langsung tiada pengapit, kot. Berdua sahaja di atas pelamin nanti."

Bersanding tanpa pengapit bukanlah sesuatu yang janggal. Itu mungkin satu idea yang bernas. Namun aku hanya berani menyuarakan pendapat aku ini sendiri, perlahan di dalam hati.

Aku percaya 'tiada pengapit' bukanlah satu isu besar sehingga dia menjadi runsing dan susah hati. Namun aku juga percaya, isu sebenar untuk dia adalah tiada seorang pun daripada ramai-ramai kawan 'rapat' dia yang sudi menghulurkan bantuan ketika dia memerlukan.



Teringat aku akan satu petikan daripada buku yang pernah aku baca satu ketika dahulu;

Ada TIGA kategori kawan. Pertama dipanggil kenalan. Kita kenal dia berdasarkan muka, namun ada kemungkinan kita langsung tidak tahu nama dia. Yang kedua dipanggil kawan. Kita hanya berkawan disebabkan ada kepentingan sesama kita. Ingat lagi kawan-kawan yang kita kenal semasa di zaman sekolah, dan kini langsung kita tidak tahu ke mana mereka berada? Yang ketiga digelar sahabat. Mereka ini, walaupun bilangannya sedikit, langsung tidak berkira untuk bersusah demi kita walaupun mereka tahu tiada keuntungan untuk mereka.



Kawan 'rapat' yang dahulunya kita pernah bersusah untuk mereka, namun kini apabila kita perlukan bantuan mereka langsung tiada yang sudi, agaknya, berada di kawan kategori yang mana?



...and the journey continues...



  




.

Aug 21, 2019

Peraturan Dicipta Untuk Dilanggar.


Salam.

Aku berdiri di tengah bilik bujangku, melihat sekeliling. Bilik ini, walaupun berselerak dipenuhi barangan peribadi, tetapi aku gelar keadaan ini sebagai 'selerak yang sistematik' kerana aku tahu apa dan di mana sesuatu barangan itu berada. Dan aku tidak mahu keadaan ini berubah.

Di satu sudut bilik dihuni oleh timbunan tinggi buku, komik, dan majalah. Setelah dibelek, majoritinya adalah bahan bacaan yang masih belum aku baca.

Ya, aku ada satu sindrom yang juga dihidapi ramai lagi para 'pembaca' di luar sana, iaitu; sindrom beli buku tapi tidak baca.




Tidak. Bukan aku langsung tidak akan baca. Aku akan baca juga kesemuanya. Namun, walaupun setiap insan punyai sama 24 jam setiap hari, akan tetapi 24 jam aku seolah-olah hanya 24 minit (okey, mungkin tidaklah 24 minit. Macam melampau sangat), aku tiada cukup masa untuk lakukan semuanya dalam masa yang sesempit itu.

Memikirkan perangai 'beli tapi tidak dibaca' bakal memberikan aku bencana di mana aku ada kemungkinan akan mati ditimbus timbunan buku yang semakin meninggi, aku dengan ligat memikirkan penyelesaian.

Penyelesaian aku yang satu ini mudah. Aku cipta satu peraturan untuk diri sendiri.

Peraturannya;
Aku hanya dibenarkan beli satu bahan bacaan selepas aku berjaya habiskan membaca satu bahan bacaan yang ada.

Jika aku mahu beli komik baru, aku perlu habiskan (paling kurang) satu komik yang belum dibaca.
Jika aku mahu beli majalah baru, aku perlu habiskan (paling kurang) satu majalah yang masih menimbun.
Dan jika aku mahu beli buku (fiksyen atau bukan fiksyen) yang baru, aku perlu habiskan (paling kurang) satu buku yang masih berbau baru di bilik itu.

Mesti ada antara kalian yang terfikir,
jika habis satu ditambah satu, maka kesannya timbunan buku di bilik tidak akan berkurang, tetapi semakin bertambah.

Yang fikir begitu tidak salah, cuma misi aku bukanlah mahu merendahkan timbunan, tetapi mahu mengawal kemasukan. Maka dengan menyekat buku baru masuk sekiranya tiada yang sudah dihabiskan akan membuatkan kemasukan buku ke 'gudang' timbunan di bilik itu lebih terkawal (walaupun secara aklinya, tiada masalah yang diselesaikan. Aku tetap akan berpeluang mati ditimbus timbunan buku yang semakin membukit.

Dan peraturan ini aku ikut dengan baiknya selama tiga bulan pertama. Ternyata kawalan kemasukannya berkesan. Timbunan buku itu lambat untuk meninggi. Malah ada kesan sampingan lain seperti aku dapat mengawal dan mengurangkan pembelanjaan aku ke arah membeli buku, dan melebihkan pembelanjaan ke arah membeli aiskrim (yang juga merupakan salah satu daripada 99 masalah yang sedang aku hadapi kini).

Walaupun aku berjaya ikut selama 3 bulan, tetapi selaku pembaca setia blog aku ini (terima kasih) kalian pasti tahu akan penamat cerita ini, kan?


Ya.
Baru-baru ini aku ke kedai buku dan 'terserempak' dengan satu buku yang aku cari selama ini. Tidak perlulah aku bongkar buku apakah itu tetapi cukuplah aku beritahu bahawa buku ini memainkan peranan penting dalam pembentukan minda aku semasa aku kecil dahulu.

Mengikut peraturan, aku perlu habis baca satu buku untuk beli satu buku baru. Malangnya, pada ketika itu aku belum habiskan buku yang sedang aku baca. Maka secara logiknya aku tidak boleh beli buku itu.

Tapi di rak di kedai, buku itu hanya ada dua naskhah sahaja, membuatkan aku terfikir pada waktu itu adalah satu-satunya peluang yang ada untuk aku miliki buku itu. Jika aku tangguhkannya, aku mungkin akan hilang peluang tersebut.


Maka, dengan hati yang berat, aku terpaksa melanggar peraturan yang aku cipta sendiri dengan membeli buku tersebut.

Dan buku tersebut, kini, sedang berada di bahagian atas timbunan buku-buku yang sudah dan belum dibaca aku, di satu sudut bilik aku.


Aku berdiri di tengah bilik bujangku, melihat sekeliling. Bilik ini, walaupun berselerak dipenuhi barangan peribadi, tetapi di satu sudut dihuni oleh timbunan tinggi buku, komik, dan majalah yang majoritinya masih belum aku baca.

Bila difikirkan,
aku ada kemungkinan akan mati ditimbus timbunan buku yang semakin menggunung.






...and the journey continues...



  




.

Aug 7, 2019

Jauh Daripada Normal.


Salam.



Berkerut dahi Dr. Amirah membaca fail. Dialihnya pandangan ke arah aku tanpa menghilangkan kerutan tadi.

"Walaupun sudah dua bulan pembedahan, tekanan bola mata awak masih tinggi. Sebulan lepas kami periksa pada bacaan 30. Hari ini, 24."

Sudah tentu. Sebut angka tanpa perbandingan sebenarnya langsung tidak membantu penerangan. Nasib baik aku ada satu dua 'helai' ilmu berkenaan fisiologi mata.

Tekanan bola mata dianggap normal jika berada dalam julat bacaan 10 hingga 20 (unitnya aku kurang pasti. Yang pasti, bukan unit atm) dengan bacaan purata 15 sebagai paling ideal. Dengan mengatakan bola mata aku berada pada bacaan 24 bermakna tekanan di dalamnya adalah tinggi.

"Tekanan tinggi sangat berbahaya. Takut kena glaukoma. Tekanan tinggi akan tekan saraf optik mata. Lama-lama kena tekan nanti saraf itu rosak. Saraf rosak boleh ganggu penglihatan dan ada potensi untuk menjadi buta."

Seorang doktor mata sedang menerangkan kepada pesakitnya bahawa dia ada risiko untuk mengalami kebutaan. Orang normal, kalau berada di tempat pesakit itu, akan berasa terkejut, takut, dan panik. Nafas akan berubah menjadi semakin laju dek kerana darah deras dihantar ke seluruh tubuh akibat daripada degupan jantung yang meningkat tambah.

Itu normal.

Malangnya (atau bertuahnya, bergantung kepada persepsi), aku sangat jauh daripada normal. Berita 'kebutaan' langsung tidak memberi apa-apa kesan ke atas aku.

Dr. Amirah bermain-main dengan jari manis bercincinnya, menunggu untuk aku berkata sesuatu. Aku sepatutnya beri tindak balas terhadap berita tersebut. Aku sendiri dapat rasa saraf otak aku ligat memancarkan impuls ke sana ke sini, memikirkan apa yang patut aku buat sebagai tindak balas.

"Jadi doktor, apa yang patut KITA buat seterusnya?"

Sengaja aku tekankan perkataan 'kita' sebagai tanda usaha seterusnya adalah usaha inklusif, usaha bersama.

Dr. Amirah tersenyum.





  




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License