Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 29, 2020

Seribu Setahun.


Salam.




Kalau kalian ada baca entri lama aku bertajuk
[Apa yang (Tidak) Berlaku Pada Tahun 2013]
kalian akan tahu bahawa 3 elemen yang sepatutnya ada pada azam adalah
1) Spesifik,
2) Boleh dihitung, dan
3) Ada tarikh tutup.

Dan jika kalian baca entri pertengahan tahun lepas 2019 ini pula
[Azam, Laptop, dan Kekecewaan]
kalian akan tahu bahawa salah satu azam aku pada tahun itu adalah
'hasilkan 1000 lukisan dalam setahun'.

Pada aku, azam 'hasilkan 1000 lukisan dalam setahun' adalah azam yang baik kerana ada ketiga-tiga elemen yang aku sebutkan awal-awal tadi.

Azam ini kedengaran agak mustahil sebab 1000 setahun bermakna 2-3 sehari dan aku perlu lukis tiap-tiap hari, satu perkara yang mungkin tak mampu tercapai oleh aku. Tapi ia bukanlah 100% mustahil, malah jika ada perancangan yang jitu, tetap masih boleh dicapai. Lagipun tak nama azamlah jika ia mudah dicapai, kan?

Tapi adakah azam itu tercapai pada tahun lepas 2019?



Jawapannya, TIDAK.

Ya, sesuatu besar berlaku bertubi-tubi tahun lepas membuatkan aku terpaksa mengenepikan azam itu untuk fokus kepada perkara yang jauh lebih penting.

Mengikut data yang aku kumpul tahun lepas, berikut adalah pembahagian jumlah lukisan yang aku hasilkan sepanjang tahun 2019 mengikut bulan;

Januari : 37
Februari : 33
Mac : 42
April : 0
Mei : 0
Jun : 7
Julai : 24
Ogos : 20
September : 4
Oktober : 5
November : 2
Disember : 4

Jumlah = 178 lukisan.

Tak sampai pun 20% daripada sasaran.

Jika kalian lihat lebih rapat, bulan April dan Mei tiada langsung lukisan dihasilkan. Ini kerana pada ketika itu aku sedang fokus untuk pembedahan. Namun Julai dan Ogos terdapat peningkatan namun pada ketika itu aku sedar aku tak mampu nak kejar untuk dapatkan 1000 maka jumlahnya menurun pada bulan-bulan seterusnya.

Mana silapnya?
Adakah 1000 setahun TERLALU besar untuk dicapai?

Dari segi matematik, 1000 bahagi 365 hari (366 untuk tahun ini) akan 2.74 (2.73 untuk tahun ini) bermakna jika aku hasilkan 3 lukisan sehari maka aku sudah selamat.

1000 lukisan dalam 52 minggu ialah 19.2, bermakna jika aku hasilkan 20 lukisan seminggu sudah memadai.

1000 lukisan dalam 12 bulan ialah 83.3 sebulan, bermakna kalau aku hasilkan 84 lukisan sebulan, di akhir tahun sasaran akan tercapai.



Aku rasa, silap aku ialah terlalu fokus kepada angka-angka di atas.
Aku gagal untuk meramal. Secara logiknya, ada tempoh masa dalam setahun di mana aku akan lapang, dan ada masa aku akan sibuk. 3 lukisan sehari dalam masa lapang mungkin mudah, tapi pada masa sibuk ia adalah mustahil.

Kalau aku mempu merawal pada waktu bila aku akan lapang, dan pada waktu bila aku akan sibuk, mungkin pembahagian bilangan lukisan boleh dilakukan lebih mudah. Masalahnya, aku tidak mampu meramal.

Maka,
gaya gempur yang patut aku lakukan adalah dengan menghasilkan lukisan sebanyak mungkin pada waktu lapang supaya dapat tampung kekurangkan hasil lukisan pada waktu sibuk kelak.

Tapi 'sebanyak mungkin' itu berapa banyak?
Susah nak cakap. Aku pun tiada jawapan...



Oh,
dan aku juga sudah bawa azam 'hasilkan 1000 lukisan dalam setahun' ini ke tahun 2020 ini. Setakat entri ini ditulis, aku sudah hasilkan 30 lukisan, dan bulan Januari hampir tamat. Maka, aku kena lebih laju lagi kerana 30 sebulan, nampaknya, tidak mencukupi.

Untuk kalian lihat hasil-hasil lukisan aku, singgah ke Instagram aku @cerolian dan untuk komik di @planetcero
Aku mungkin tidak akan kongsi kesemua 1000 lukisan tapi majoritinya ada di sana.



Bila aku beritahu seseorang azam aku untuk hasilkan 1000 lukisan setahun,
dia balas dengan satu persoalan;
"Kau tak jual lukisan kau. Jadi kenapa kau gigih nak lukis banyak-banyak?"

Jawapan aku senang,
"Ramai orang jogging di taman pada waktu petang. Majoriti daripada mereka tiada rancangan pun nak masuk bertanding acara larian. Jadi kenapa jogging?"


Sekian.



  




.

Jan 22, 2020

Sebab Aku Mahu, Bukan Sebab Aku Perlu.


Salam.




Baru-baru ini aku bertanyakan kepada follower aku di Instagram (@cerolian) tentang satu perkara.

Komisyen.

Komisyen (dalam bidang seni) adalah istilah apabila kita melukis atas permintaan satu pihak dan pihak itu akan bayar atas harga yang dipersetujui kedua-dua pihak. Pendek kata, aku lukis untuk kau, dan kau bayar aku.

Bila aku tanya tentang hal komisyen di Instagram (sama ada perlu tak aku buka komisyen dan berapakah bayaran yang patut aku kenakan), rata-rata yang memberi pendapat mengatakan yang aku patut 'just go for it', dan soal bayaran 'lain cerita'.

Ia merupakan perkara tipikal di internet di mana apabila kita tanya pendapat, rata-rata majoriti akan beri pendapat yang positif. Patut ke tidak, jawabnya patut. Cantik ke tidak, jawabnya cantik. Menarik ke tidak, jawabnya menarik. Jadi jawapan kepada soalan aku di Instagram itu sedikit tidak membantu kerana secara asasnya aku tahu apa jawapan yang bakal aku dapat.

Aku boleh melukis. Jika dengan kemahiran melukis aku dapat menjana duit, kenapa aku tidak fikirkan tentang komisyen ini lebih awal, kan?

Aku bukan tidak tahu kewujudannya. Sudah banyak kawan-kawan melukis lain yang sudah lama buka untuk komisyen dan aku pasti sudah lama terfikir untuk melakukannya juga. Tapi kenapa baru sekarang aku menyuarakannya?

Pasti pernah berlaku sesuatu terhadap aku yang membuatkan aku tidak meneruskan niat untuk buka komisyen dari dulu lagi, kan?



Jadi untuk mengetahui jawapan kepada persoalan aku di atas, aku terpaksa duduk sejenak dan menyelami pengalaman lepas dan ini mengujakan aku. Tiada yang lebih mengujakan daripada pengembaraan mengenal diri sendiri.

Setelah beratus-ratus lipatan sulcus dan gyrus aku selak, akhirnya aku teringatkan satu pengalaman yang memungkinkan segala hal ini berlaku.



Satu ketika dahulu, dalam beberapa tahun lepas, ada salah seorang sama ada pembaca blog ini ataupun pengikut di mana-mana laman sosial @cerolian meminta aku untuk melukis diri dia. Katanya, hari itu hari jadi dia jadi kalau dapat hasil lukisan aku seolah-olah satu hadiah terindah yang tidak dapat diungkapkan (katanya!)

Mungkin pada waktu itu aku naif dan tidak mampu nak bercakap 'tidak', atau mungkin ketika itu testosteron memuncak sebab yang meminta itu seorang perempuan, atau mungkin aku sendiri jenis yang seperti jin dalam teko yang suka menunaikan hajat, atau kombinasi kepada ketiga-tiga asbab itu, aku turuti permintaan dia.

Beberapa ketika kemudian, lukisan khas untuk dia siap. Percuma. Diberikan sebagai hadiah.

Ya, aku dapat ucapan terima kasih daripada dia, tapi konteks terima kasih itu sedikit melukakan.

"Walaupun lukisan ini tak nampak sama pun dengan saya, tapi terima kasih."



Bayangkan,
kita ketepikan segala hal lain dan luangkan masa untuk melukis sesuatu atas permintaan dengan niat baik untuk memenuhi kehendak orang yang langsung tidak kita kenali, malah semuanya dilakukan secara percuma, dan apa yang kita dapat adalah...

...itu!

On my defense, sudah tentu lukisan itu tidak sama dengan yang sebenar. Itu lukisan. Hasil interpretasi aku terhadap subjek. Sudah tentu aku akan masukkan elemen diri sendiri ke dalam lukisan itu. Kalau nak ia dilukis 100% sama dengan subjek, bukankah lebih senang untuk tangkap gambar dan jadikan foto dan selesai? 100% sama.

Tapi lama muhasabah diri, aku sedar. Kemahiran aku masih belum ke tahap mampu zahirkan realiti ke atas lukisan.

I'm just not good enough.

Bukan aku tidak boleh dikritik. Tapi apa yang orang selalu lupa, walaupun aku tidak tonjolkan muka dan fizikal di bawah nama cEro, tapi aku masih lagi seorang manusia. Dibelah tapak tangan dengan pisau akan keluar darah juga.

Aku tidak boleh tipu yang aku memang sangat terluka dengan 'terima kasih' itu.



Sebagai mekanisme untuk mengelakkan diri daripada terluka seperti itu lagi, aku buat keputusan untuk tidak akan melukis atas permintaan sesiapa lagi, tidak kira berbayar atau percuma. Aku akan melukis jika dan hanya jika aku mahu, bukan disuruh.

Sebab itu buka komisyen bukanlah pilihan aku dahulu, dan mungkin juga bukan pilihan aku sekarang. Sebab aku tidak mahu mengecewakan, dan dikecewakan.

Aku mahu melukis sebab aku mahu melukis, bukan sebab aku perlu melukis.



Persoalan yang menarik untuk aku renungkan sekarang ialah,
adakah selepas beberapa tahun berlalu, kemahiran aku semakin meningkat dan jika aku buka komisyen, hasilnya akan menjadi lebih baik daripada 'tak nampak sama pun'?



Sekian.



  




.

Jan 15, 2020

Aku Adalah Pemain Solo.


Salam.




Anak muda zaman sekarang dibezakan ke dalam dua kelompok jenis; satu yang suka bermain permainan video/aplikasi di telefon dan berkurung, satu lagi jenis yang suka bermain di luar rumah. Mungkin dua kelompok ni juga dilabel orang ramai sebagai introvert/ekstrovert, atau sosial/anti-sosial, tapi secara peribadi aku rasa kedua-dua klasifikasi ini tidak menepati kelompok yang aku nak perkatakan ini.

Ada ibu bapa risau anaknya terlalu kerap bermain permainan dari telefon bimbit sampaikan tidak keluar bersosial di luar. Kemudian, datang satu permainan aplikasi yang memadam jurang antara dua kelompok ini.

Pokémon GO.



Pokémon GO adalah permainan aplikasi yang mula dikeluarkan pada tahun 2016 dan pernah menjadi fenomena dunia. Ia merupakan satu permainan aplikasi di telefon bimbit, dan dalam masa sama, bersifat geo-lokasi yang memerlukan pemain untuk berada di luar dan bergerak untuk terus bermain. Pokémon GO adalah jambatan penghubung antara dua dunia; permainan telefon bimbit dan bersosial di luar.

Pada awal kemunculan Pokémon GO, ia menjadi satu fenomena besar di mana semua orang bermain permainan ini. Selebriti, anak kecil, pakcik-makcik, semuanya dilihat mahu mencuba fenomena ini. Malah terdapat siaran khas TV yang membincangkan impak Pokémon GO kepada masyarakat, sesuatu yang tidak pernah dilakukan stesen TV untuk mana-mana permainan aplikasi mobil yang pernah wujud.

Tapi lama kelamaan Pokémon GO dilihat semakin suram. Bagi majoriti manusia, Pokémon GO dilihat semakin mati kerana 'fenomena'nya sudah tidak terlihat. Tiada lagi orang yang main Pokémon GO. Untuk orang biasa, Pokémon GO bagai sudah mati dan muncullah ungkapan 'ada lagi ke yang main Pokémon GO?'.

Tapi apa yang mereka tidak tahu adalah yang hilang dan berhenti bermain Pokémon GO adalah mereka yang sertai 'bandwagon' ketika hype Pokémon GO masih panas. Para peminat sebenar Pokémon masih bermain Pokémon GO.

Malah jika dibandingkan permainan ini semasa pada mula kemunculannya 2016 dengan yang kini 2020, jauh beza cara permainannya dan Pokémon GO ini masih berkembang dan tiada tanda-tanda akan mati.

Pokémon GO masih ada dan kuat walaupun tidak sepopular di saat awal kemunculannya. Yang masih main adalah peminat dan yang betul setia meminati.



Jika kalian baca blog aku, kalian tahu betapa sukanya aku bermain Pokémon GO ini dan pernah satu masa aku anggap Pokémon GO adalah penyelamat kepada masalah 'susah mahu bersosial' yang dialami aku.

Paling tidak pada masa itu, aku anggap ia benar.

Ya.
Pada saat awal-awal aku bermain Pokémon GO dahulu, aku rasa Pokémon GO ini 'memaksa' aku (dalam segi yang baik) untuk bersosial dengan orang luar. Aku lakukan raid dengan pemain Pokémon GO yang aku tak kenal. Aku mula berbual dan berkenalan dengan pemain di kawasan sekeliling. Kami sama-sama bertukar maklumat jika ada Pokémon yang jarang ditemui muncul.

Ada satu masa, jelas tersurat dalam post entri aku mengenai Pokémon GO tentang bagaimana permainan ini mengubah cara hidup sosial aku.

Tapi sudah lebih tiga tahun bermain Pokémon GO, aku mula nampak elemen yang paling aku tidak gemari dalam permainan ini.

Elemen manusia.



Sebenarnya, pada mula kemunculannya, semua pemain Pokémon GO mahu menjadi yang terbaik bersama-sama. Kebanyakan feature di dalam permainan ini memerlukan kerjasama pemain (seperti raid dan battle) sebab memang itulah misi asal Pokémon GO, mengikat pemain secara sosial.

Namun lama kelamaan para pemain mula tunjukkan perangai sebenar.

Mereka yang berada di level tinggi mula membuli mereka yang di level rendah. PokéGym hanya dikawal oleh sekelompok pemain. Tiada tolak ansur kepada mereka yang datang dari luar kelompok mereka. Majoriti pemain kini miliki lebih dari satu ID pemain kerana pada mereka, mudah untuk jatuhkan Gym atau Raid jika miliki ID yang banyak.

Aku sendiri miliki 3 group Whatsapp untuk Pokémon GO. Ketiga-tiga group itu adalah dari sekitaran kawasan tempat tinggal aku, kawasan yang sama. Bayangkan satu kawasan, tapi ada tiga group Whatsapp. Itu pun yang aku ada. Yang aku tak ada aku tak pasti berapa. Dari situ sudah kelihatan betapa berkelompoknya pemain Pokémon GO.

Dan aku tahu ini berlaku bukan hanya di kawasan aku, tapi juga di kawasan lain di seluruh dunia.

Pemain mula tamak. Raid yang sepatutnya dilakukan bersama-sama pemain lain, kini mampu dilakukan sendirian kerana masing-masing ada lebih dari satu ID pemain. Malah ada yang ada sehingga 6 ID pemain kerana senang apabila jatuhkan Gym, boleh masukkan keenam-enam ID itu ke dalam Gym itu tanpa pedulikan pemain lain. Monopoli berlaku.

PokéGym yang berada berhampiran kawasan kediaman adalah milik peribadi. Siapa orang luar berani jatuhkan tidak akan dapat bertahan lama, hanya beberapa minit sahaja Gym tersebut akan kembali ke 'pemilik'nya.

PokéGym yang berada di kawasan umum pula akan dijatuhkan sekiranya Gym tersebut tidak penuh enam, tidak kira sama ada Gym tersebut baru diambil alih atau tidak. Aku sendiri, dengan hanya satu ID, jatuhkan Gym dan kemudian ditendang balik keluar hanya kerana tiada orang lain sempat masuk ke dalam Gym yang aku jatuhkan tadi.

Di dalam group Whatsapp pula, pemain akan perlekehkan pemain lain yang tiada di dalam group. Nama ID pemain akan dijadikan bahan gelak. Jika tidak mahu perangai mereka tersebar luas, mereka akan berjenaka di dalam bahasa mereka, bukan BM.

Semasa raid di PokéGym, mereka yang datang dari satu kelompok hanya akan masuk ke dalam raid melalui laluan private group. Maka pemain satu ID seperti aku tidak dapat masuk ke raid tersebut disebabkan private group perlukan akses password. Adalah mustahil untuk satu ID menjatuhkan raid seperti raid tier 4 dan tier 5. Maka mereputlah aku di situ tiada orang mahu main bersama disebabkan mereka hanya bermain sesama mereka sahaja.



Pokémon GO sepatutnya mengikat manusia secara sosial melalui permainan aplikasi. Tapi dengan kehadiran 'manusia' di dalam elemen, permainan yang sepatutnya menjadi pengikat, kini menjadi penyebab kepada pengasingan individu. Yang tamak terus berleluasa. Yang normal akan tersisih, jauh dan semakin jauh.

Aku suka Pokémon GO, dan aku akan terus bermain.

Namun aku sudah buat keputusan sejak daripada dahulu lagi bahawa aku akan jauhkan diri sebaik mungkin daripada 'elemen manusia' ini selagi mampu, walaupun itu bermakna aku akan terlepas sebahagian besar daripada isi permainan itu sendiri seperti raid dan battle.

Di dalam permainan sosial Pokémon GO, aku adalah pemain solo.


Sekian.



  




.

Jan 8, 2020

2019 dan Titik Paling Bawah.


Salam.




2019 bermula dengan aman. Aku sudah tanamkan beberapa azam dan misi untuk sepanjang tahun 2019 ini dan dengan perancangan yang aku rangka, azam dan misi itu bakal tercapai lebih 3/4 daripada keseluruhan apabila menjelang pertengahan tahun.

Namun beberapa kejadian berlaku di suku pertama tahun 2019. Kebanyakannya tidak menjejaskan perjalanan perancangan aku, sehinggalah tarikh 23 Mac 2019 tiba.

Aku ingat lagi, pada tarikh itu, semasa aku sedang menunggang motosikal dan cuaca sedikit hujan renyai, tiba-tiba pandangan mata aku jadi kabur. Aku perlahankan tunggangan dan akhirnya buat keputusan untuk singgah di sebuah masjid untuk berhenti dan mengenal pasti apa yang terjadi.

Pada mulanya aku sangka ada bendasing masuk ke dalam mata, namun selepas bersungguh aku gosok dan cuci mata dengan air, pandangan mata aku masih kabur. Aku buat keputusan untuk balik ke rumah dan biar tidur semalaman untuk lihat apa yang berlaku kemudian. Biasanya selepas tidur, badan akan 'reset' semula dan segalanya akan kembali normal.

Namun itu tidak berlaku.

Esoknya aku bangun tidur dan dapati, walaupun mata aku sudah tidak kabur, tetapi ada sesuatu lain pula berlaku. Pandangan mata aku menghasilkan dua imej. Aku nampak segalanya dalam gandaan dua.

Fenomena ini hanya terhasil dari sebelah mata sahaja, sedangkan jika aku menutup mata itu dan melihat dengan hanya sebelah mata satu lagi, semuanya normal sahaja. Aku syak sesuatu berlaku pada mata aku yang satu itu.

Kemudian, aku ke Hospital Universiti, tempat di mana mata aku pernah dirawat satu ketika dahulu. Di sana, aku disahkan mengalami satu keadaan yang dipanggil subluxated intraocular lens, atau dalam bahasa yang mudah difahami, kanta mata aku jatuh.

Pada tahun 2012 yang lepas, aku terpaksa menjalani satu pembedahan mata untuk membuang kanta mata original dan menggantikan dengan kanta mata buatan. Kini tahun 2019, kanta mata buatan tadi terjatuh lari dari kedudukan asalnya menyebabkan pandangan mata aku menghasil dua imej hasil biasan cahaya yang tidak sekata.

Pembedahan membetulkan semula kanta mata ini hanya boleh dijalankan selepas sebulan dan kos pembedahannya ialah RM 6000.

Jika aku lakukan pembedahan ini di hospital kerajaan, kosnya mungkin jauh lebih murah TAPI aku perlu tunggu lama lagi, mungkin bukan dalam tahun 2019 ini untuk menjalani pembedahan tersebut memandangkan keadaan aku dianggap sebagai 'bukan kritikal'. Jadi, aku buat keputusan untuk terus berurusan dengan hospital universiti ini memandangkan aku sudah ada rekod perubatan lengkap di sini. Kalau aku ke hospital kerajaan, aku perlu lalui semua dari awal segala prosedur yang sudah aku lalui di hospital universiti ini.

Tapi mana aku nak cari RM 6000 dalam masa suntuk ini?

Kebetulan sebelum semua ini berlaku, aku sudah habiskan wang simpanan aku (yang tidak seberapa itu) ke atas satu kecemasan melibatkan keluarga. Dalam masa sama juga, adik aku sedang bersiap sedia untuk dikahwinkan beberapa bulan lagi jadi aku langsung tidak minta bantuan keluarga.

Masa terlalu suntuk untuk satu jumlah wang yang besar.

Melambatkan pembedahan juga bukan satu pilihan. Sepanjang masa menunggu ini, pandangan mata aku menghasilkan dua imej sepanjang masa, menjadikan aku berada di dalam sakit kepala yang berpanjangan. Bayangkan segala yang kita nampak depan mata ada dua. Malah kedua-dua imej itu bukan bayangan. Kedua-duanya adalah realiti. Otak aku terpaksa memproses input dari mata dua kali ganda daripada biasa, dan disebabkan itu aku terpaksa menanggung sakit kepala yang berpanjangan. Waktu paling aman pada aku adalah tidur tetapi itu hanya dapat dicapai jika aku berjaya tidur dengan nyenyak. Sakit kepada membuatkan aku selalu tidak dapat tidur dengan nyenyak.

Bukan sahaja tekanan dari segi fizikal, malah mental juga.

Sudahlah mata aku nampak dua imej, dalam dua imej itu aku ada nampak imej lain pula yang tidak wujud. I'm seeing things. Semuanya hasil daripada tekanan mental yang berpanjangan.

Sebab itu aku mahu buat pembedahan secepat mungkin.

Setelah korek simpanan yang masih berbaki, cari akaun bank lain yang aku fikir masih ada simpanan, keluarkan simpanan Tabung Haji yang tidak seberapa, tetap tidak mencukupi.

Namun jumlah yang berjaya aku kumpul masih belum mencukupi. Aku hilang ikhtiar. Ada satu masa aku nekad untuk terus hidup dengan penglihatan dua imej ini. Aku mahu terbiasa dengan dua imej, dengan sakit kepala berpanjangan, dengan bayangan yang ada tapi tidak wujud. Tapi aku fikir balik, sampai bila?

Disebabkan keadaan aku ini, produktiviti aku menurun. Fizikal aku menurun. Mental aku menurun.

Aku berada di paling bawah pernah aku berada.

Berkali-kali aku menangis di dalam hujan air pancuran bilik mandi. Aku buntu.

Akhirnya aku buat keputusan untuk jual laptop aku yang paling aku sayang. Laptop yang banyak luang masa bersama aku, menghasilkan lukisan di blog ini, Instagram dan Facebook. Laptop yang sudah aku namakan kerana aku tahu aku amat sayangkannya. Aku terpaksa melepaskannya.

Selepas aku jual laptop, walaupun membantu, tetapi masih tidak mencukupi.

Aku ke masjid berhampiran untuk bertanyakan tentang bantuan zakat. Namun segala prosedur yang kena aku lalui amat menyusahkan, juga jika aku lalui semuanya masih tiada jaminan bakal diberikan bantuan. Malah sakit aku dilihat sebagai 'tidak kritikal' dan aku dianggap masih boleh berfungsi dalam masyarakat. Tiada bantuan kewangan yang aku dapat dari masjid. Aku kecewa.

Jujur aku cakap, terdetik beberapa kali dalam kepada aku untuk akhiri segala derita tekanan ini. Cuma aku belum cukup nekad. Hampir, tapi belum cukup nekad.

Aku kemudian dengan penuh rasa tebal muka mula meminta bantuan sesiapa yang aku dapat terfikir. Aku gunakan medium Instagram untuk meraih bantuan. Pada aku, kalau ada beberapa ratus orang masing-masing dermakan RM 10 kepada aku, aku sudah mampu teruskan dengan pembedahan. Namun walaupun follower aku di Instagram menjangkau ribuan, namun hendak mendapatkan ratusan orang menderma RM 10 adalah amat susah.

Walaupun hanya beberapa sahaja yang menderma, namun aku tahu mereka ikhlas menderma. Aku malu. Tidak sangka aku sudah teruk ke tahap meminta pada orang lain yang tidak aku kenali. Walaupun penuh rasa malu dan segan, namun aku terima segala yang didermakan dengan tangan terbuka.

Di dinding bilik aku sekarang terdapat senarai panjang nama mereka-mereka yang menderma kepada aku. Sengaja aku biarkan ia di situ supaya aku dapat ingat siapa yang membantu aku ketika aku susah. Mereka-mereka inilah yang aku berhutang. Hutang duit, juga hutang budi.

Akhirnya, pada 28 Mei, aku berjaya jalani pembedahan mengeluarkan kanta mata yang terjatuh itu dan menggantikannya dengan yang baru dan diikat dengan lebih kuat dan teguh. Peristiwa itu berlaku di hujung bulan Ramadan, dan hanya beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Keluarga hanya diberitahu tentang pembedahan aku ini pada dua hari sebelum tarikh itu.

Aku kemudian memerlukan 6 bulan untuk proses penyembuhan. 28 November lalu, aku akhirnya dibenarkan menjalankan aktiviti-aktiviti normal seperti sebelum pembedahan. Kini aku tidak lagi melihat pandangan dengan dua imej.

Itulah tumpuan utama hidup aku sepanjang 2019 lalu. Boleh dikatakan itulah titik hitam paling bawah dalam hidup aku sepanjang tahun lepas, malah boleh dikatakan paling bawah untuk sepanjang dekad lepas.

Kini 2020 sudah tiba.

Aku mahu mula semula segala perancangan yang aku rangka pada awal 2019 lalu yang terbantut dek peristiwa ini. Aku harap tahun ini lebih lancar berbanding tahun sebelumnya.

Doakan aku.

Terima kasih jika kalian adalah antara yang membantu. Itu jasa yang aku tidak akan lupa sampai bila-bila.


Sekian.



  




.

Jan 1, 2020

2020 dan Permulaan Untuk Sesuatu?


Salam.




SELAMAT TAHUN BARU 2020.
SELAMAT MENYAMBUT DEKAD BARU.

Kita mulakan entri pertama dalam dekad baru dengan komik pertama yang aku lukis selepas berbulan-bulan berehat daripada melukis.





Manusia seusia aku mesti paling tidak sekali memikirkan bahawa betapa 'besar'nya tahun 2020. Ingat lagi Wawasan 2020? Ingat lagi subjek Pendidikan Seni di mana kita diminta untuk membayangkan bagaimana suasana pada tahun 2020? Apa yang kita lukis adalah kereta terbang, robot berada di merata tempat, manusia berpakaian futuristik, warna tema untuk semuanya adalah silver dan neon.

Namun 1 Januari 2020 sudahpun tiba. Tiada beza pun dengan 31 Disember 2019. Malah tiada beza pun dengan 1 Januari 2010. Mungkin lebih berani untuk aku katakan, tiada beza pun dengan 1 Januari tahun 2000.

Okey, ada beza. Bumi makin panas. Paras air laut global makin meningkat. Udara makin teruk kualiti. Banyak haiwan sudah pupus. Jadi memang ada beza.

Tapi mana kereta terbang? Mana robot? Mana pakaian futuristik? Mana tema silver dan neon?
Hahahahahahahaahha.


Minggu depan aku akan bercakap tentang rangkuman apa yang berlaku pada tahun 2019 dan bagaimana 2019 mengubah persepsi aku tentang kehidupan itu sendiri.

Jadi,
ada azam tahun baru?
Atau azam dekad baru?


Aku akan akhiri entri pertama tahun 2020 ini dengan video yang aku buat semata-mata untuk menghapuskan habuk di channel YouTube aku. Kalau kalian mahu, like video ini dan subcribe channel YouTube cErolian untuk lebih video di masa akan datang. Ikut perancangan memang nak aktif YouTube tetapi pelaksanaannya...     ...lain cerita. Hehe.





  




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: