Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================
Showing posts with label #Ajaran. Show all posts
Showing posts with label #Ajaran. Show all posts

Feb 20, 2019

Ajaran #25 - Perbuatan Gelojoh Tidak Memberikan Kebaikan kepada Mana-Mana Pihak.



Salam.

Jadi aku sebenarnya hendak mengelak daripada bercerita tentang hal peribadi di blog ini walaupun konsep blog ini adalah blog peribadi.

Tapi untuk kali ini, aku mahu cerita tentang satu kisah peribadi aku di sini. Tujuannya hanya satu; spesies manusia yang bakal aku sentuh di sini semakin hari semakin banyak, maka aku harap kalau ada antara kalian juga merupakan salah seorang daripadanya, BERUBAHLAH.




Beberapa minggu lalu aku dikenalkan kepada seorang perempuan melalui seorang 'kawan'. Aku tidak pernah tahu muka perempuan itu, tetapi perempuan itu tahu muka aku. Kami hanya berinteraksi melalui aplikasi mesej.

Mari kita berikan nama kepada perempuan itu; Ella (bukan nama sebenar, kot).

Jujur aku kata, aku bukannya jenis yang suka melayan mesej, bukan jenis yang membalas bertubi-tubi. Jadi, untuk memudahkan diri dia, aku sudah beritahu awal-awal bahawa aku ada habit untuk 'tidak balas mesej serta merta'. Dia kata dia faham. Jadi, aku okey.

Kami saling berbalas mesej. Saling kenal mengenali. Dia ceritakan hal dia. Aku ceritakan hal aku. Dia tanya soalan, aku jawab. Aku tanya soalan, walaupun banyak mengelak, tapi ada juga dia jawab.

Tidak tahu wajah dia membuatkan perbualan kami (di dalam mesej) menjadi menarik untuk aku. Setiap kali ada informasi mengenai dia, aku akan kemas kini imej mental wajah dia di dalam kepala aku. Contohnya, bila dia kata dia ada tahi lalat di bawah kiri bibir, imej mental wajah dia di dalam otak aku akan tambah tahi lalat di bawah kiri bibir. Pada aku, wajah dia adalah misteri yang akan aku rungkai perlahan-lahan melalui informasi di dalam perbualan kami.

Kemisterian inilah yang membuatkan semakin hari semakin berminat untuk terus mengenali dia.

Sedar tidak sedar, dia juga semakin terbuka bercerita tentang diri dia. Keterbukaan dia itu juga membuatkan aku pun terbuka. Pada satu tahap, kami saling berkongi rahsia. Aku tahu beberapa rahsia dia, dia tahu beberapa rahsia aku. Kebanyakan rahsia yang kami kongsi adalah mengenai sejarah hubungan masa lalu.

Ada seseorang yang boleh kita kongsi kisah silam tanpa perlu ada prejudis sangatlah menyeronokkan.

Daripada perbualan kami, walaupun dia tidak pernah beritahu, tapi aku dapat agak dia kerja apa hanya melalui cara dia berbalas mesej. Ini satu kemahiran yang aku bina dari dulu lagi.

Sebenarnya, daripada tulisan mesej pun kita dapat agak peribadi seseorang. Bagaimana dia membalas. Apa bahasa yang digunakan; sama ada cenderung ke arah BI mahupun BM. Apa 'short form' yang digunakan. Apa soalan yang diajukan. Bila waktu dia mula menghantar mesej. Berapa kekerapan mesej yang dihantar. Malah, melalui penggunaan emoji juga kita dapat agak keperibadian orang yang menulis.

Dengan kata lain, dalam beberapa minggu kami salng berbalas mesej ini, aku dapat rasakan bahawa Ella ini semakin 'mekar' di dalam hati aku, walaupun aku masih belum tahu muka dia bagaimana.

Tiada apa yang perlu dikisahkan pun tentang muka. Aku sendiri sedar muka aku pun tidak boleh pergi jauh, jadi tiada keperluan untuk aku 'demand' lebih.

Jadi, cerita makin bosan, kan? Aku tahu, sebahagian daripada pembaca sudah skip bahagian ini dan terus ke bawah sambil baca dengan kadar segera.

Maka masuklah bahagian menarik.


Satu hari, dia mulakan dengan bertanyakan aku satu soalan.

Ella:
So, C.
We are like a confidante to each other?


Aku tidak tahu apa maksud 'confidante', jadi aku tanya dia. Dia suruh aku Google.

Confidante bermaksud 'a person with whom one shares a secret or private matter, trusting them not to repeat it to others'. Jadi, daripada maksud itu, aku jawab soalan dia.

C:
Of coz we are.
Only and only if you trust me.


Jenis aku mudah. Orang beritahu aku rahsia, aku simpan. Tak ada sebab aku nak cerita rahsia orang lain kepada orang lain. Rahsia ini satu amanah. Beritahu orang lain rahsia orang lain adalah satu perbuatan pecah amanah.

Dan kurang seminit daripada jawapan aku itu, Ella membalas.

Ella:
What am I to you, C?

Sh!t. Soalan itu bunyi lain macam. Aku tidak suka ke mana arah perbualan ini sedang tuju.

C:
A confidante. Itu menjawab, kan?

Ella:
Can't tiru my answer! Find your own.

C:
I don't know. Are we friends?
We are friends, kan?


Ella:
You asking me?
I asked you first.


Soalan dia lain, kenapa Ella ni nak claim semua soalan aku itu dia punya soalan.
Dari sini aku dapat rasakan, dia macam ada 'expectation', ada jangkaan untuk jawapan yang bakal keluar dari mulut aku. Dia sudah ada satu jawapan yang dia mahu dengar. Dan aku seperti tahu apa jawapan itu.

Lalu, aku beri jawapan aku.

C:
Then, we are friends.

Ella:
Did we just friendzoned each other?
Hehe.


Nope. Bukan each other. Aku yang friendzone kau, Ella.
Sebab aku tidak mahu sebut jawapan yang kau nak dengar.

C:
I think we're not in any zone so becoming friends is one step up, right?

Ella:
So, just friends then.
Sorry my bad.


C:
Did I say something wrong?

Mula dari sini, setiap balasan daripada dia semuanya berbaur negatif. Aku dapat rasa emosi dia kurang stabil bila dia guna 'U' instead of kebiasaannya guna 'you'. Taip pun banyak typo. Sesetengah bahagian tertekan space dua kali, ada tempat pula tiada titik noktah. Dia juga guna perkataan yang bersifat gelap yang sebelum ini kurang dia gunakan seperti 'tired', 'trying too hard' dan 'toxic'. Semua ini berlaku hanya dalam masa 10 minit.

Dan selepas 10 minit, Ella balas dengan satu mesej yang pelik.

Ella:
If we stopped texting each other
It wouldn't be ghosting
It just two people who stop contacting each other.


C:
Then don't stop.

Ella:
I don't think I like to text u anymore.
I'm sorry, C.




Dan segalanya tamat di situ.

Nampak tak apa jenis spesies manusia yang sedang aku nak tunjukkan di sini?

Ini jenis manusia yang bila dia tidak dapat yang dia mahukan, dia pergi. Jenis manusia yang gelojoh. Jenis manusia yang mahukan sesuatu daripada seseorang, dan dia mahukan sekarang, dan bila dia tidak dapat apa yang dia mahukan, dia tinggalkan orang itu.

Kalau kalian perasan, jenis manusia gelojoh ini menjadi tema ulangan yang sering kali aku sentuh di dalam blog ini sejak tiga empat tahun lalu. Bukan kerana aku tidak boleh move on dengan sesiapa, tapi sebab manusia ini ada banyak dalam masyarakat, dan malangnya aku sering kali bersua dengan manusia jenis ini.

Kau gelojoh-gelojoh ini nak pergi mana?



Dalam kes Ella ini,
aku tahu apa yang dia mahukan dari aku. Aku tahu apa yang patut aku jawab untuk buatkan hal seperti di atas tidak berlaku. Tapi aku buat keputusan untuk tidak berikan apa yang dia mahu.

Perkara yang dibuat secara gelojoh tidak akan memberikan kebaikan. Rumah yang mahu dibina tidak akan siap dalam masa sehari. Kalau siap sekalipun, tidak akan bertahan lama. Apatah lagi kalau yang mahu dibina itu adalah masa depan.


Aku rasa, inilah masalah utama kepada aku dalam perhubungan. Konsep hubungan untuk aku sangat berbeza dengan mana-mana orang yang aku jumpa. Pada aku, hendak bertaut hubungan bukan perlukan jawapan kepada satu soalan, tetapi perlukan pemahaman kepada seluruh konsep kehidupan.

Ia bukan semudah 'aku suka kau, kau suka aku, kita bersama'. Ia lebih kepada 'kalau aku suka kau, dan kau suka aku, kita kena bersama-sama pastikan apa yang bakal kita bina di masa akan datang ada asas yang kukuh dan tidak akan mudah roboh'.

Entahlah. Aku nak terangkan pun tidak mudah. Tapi apa yang aku pasti, aku tidak akan beri jawapan kepada mereka yang gelojoh, kerana perkara yang dibuat secara gelojoh tidak akan memberikan apa-apa kebaikan kepada mana-mana pihak.

Beri aku satu contoh gelojoh yang memberikan kebaikan. Tiada, kan?

Kepada yang gelojoh di luar sana, bertenanglah.



Sekian.



Lebih lagi mengenai Siri Ajaran di #Ajaran.





.

Nov 24, 2013

Ajaran #24 - Malang Sentiasa Menimpa Untuk Setiap Kentut yang Dipaksa.


"[Perkara] tak boleh dipaksa."

Kita acap kali mendengar frasa di atas diungkapkan oleh orang sekeliling,
tidak kira apa [perkara] yang disebut.
Tapi berapa ramai dari kita betul-betul tahu intipati di sebalik ungkapan tersebut?



Intipatinya mudah.
Sesetengah perkara BOLEH dipaksa.
Paksa belajar, contohnya.
Paksa bangun pagi solat Subuh.
Paksa baca buku untuk peperiksaan yang sudah dekat.

Namun,
banyak juga perkara yang perlu dibiarkan berlaku tanpa paksaan.
Antaranya:



Memang,
kebanyakan perkara tidak boleh dipaksa.
Malang akan menimpa untuk setiap kentut yang dipaksa.
Walaupun tidak boleh difikir dalam keadaan apa yang memaksa kita untuk kentut.
Silap hari bulan, kita terpaksa tukar seluar dalam hanya disebabkan kelakuan kita yang memaksa kentut.

Apa yang aku nak tekankan ialah
sesetengah perkara perlu dibiarkan berlaku secara semulajadi.
Jika dipaksa juga, hasilnya kadang-kadang tidak dijangka
dan lebih buruk lagi
boleh membawa malang.

Makan yang dipaksa berakhir dengan muntah.
Tidur yang dipaksa tidak akan lena.
Berak yang dipaksa mengundang buasir.

Cinta yang dipaksa tidak akan pernah menjadi.


Moralnya,
kenalpasti perkara yang ingin anda lakukan.
Sama ada ianya boleh dipaksa atau sebaliknya.
Jika boleh, tak apa. Paksalah.
Tapi, ingat
malang sentiasa menimpa untuk setiap kentut yang dipaksa.
Biarkan ia berlaku semulajadi.
Barulah bererti.

Dapat?



Lagi #Ajaran cEro dalam koleksi:




.

Sep 11, 2013

Ajaran #23 - Ketagihan adalah Perkara yang Kita Asyik Ulang Walaupun Sedar Keburukannya.



Tahu tak apa itu ketagihan?
Ketagihan adalah perkara buruk yang diulang walaupun diketahui keburukannya oleh si pelaku.




Sering kali kita dengar manusia merungut,
"Nama smartphone, tapi battery tak smart pon. Kena cas setiap malam."
"Bangang punya phone, time urgent camni battery low plak."
"Dude! Bateri sel cucuk duit satu sen dekat lemon pun lagi kuat dari bateri phone ni."
Antara yang kuat merungut pasal hayat bateri untuk phone yang dilabel 'smart' ni adalah AKU.

Tapi,
aku selidik kembali.
Apsal bateri aku selalu cepat habis?
Bila muhasabah diri semasa bertonggeng dalam jamban, aku dapat jawapan.
Ianya sebab banyak sangat game apps yang aku main tiap-tiap hari.

Phone Nokla dulu, aku selalu tibai game lastik burung dan ninja potong buah.
Phone Samseng kali ni pula, aku asyik main game lari atas landasan dan gesek gula-gula hilang.
Kekerapan?
Bila diingat balik, bila aku tak ada kerja (merangkap masa lapang),
aku mesti tekan icon game tu dan main.

Dalam sehari, dekat 50 kali aku rasa aku ulang game lari-lari atas landasan tu.
Sampai tahap sekarang, aku dah pecah record sendiri dengan kedudukan #1, hampir 10 kali ganda beza mata dengan player di tempat #2.
Nasib baik game gesek gula-gula tu ada limit nyawa 5 je, kalau tak sure aku tak berhenti nak main.
Pastu, baru-baru ni aku install plak game makhluk kuning kutip pisang sambil buat huru-hara.
Nampak gayanya, kalau phone aku boleh bercakap, dah lama kena maki dengan dia.
"Get a life you shiftless-nimrod!"

Aku rasa...aku rasa...
aku dah tahap ketagih.
Pantang phone ada dekat tangan, mesti nak tap icon game tu.
Walaupun niat sebenar nak call bomba sebab ada kebakaran jamban depan mata sekalipun,
jari mesti dengan sendirinya TERtekan icon tu.
Habis hangus jamban, baru aku sedar aku tak call bomba dan terlalu asyik dengan game je.
Contoh.

Korang tahu kan tabiat orang zaman sekarang yang suka main handset masa berada di meja makan?
Sampai tahap masa berbual sesama famili pun tak ada. Anti-sosial.
Ada yang sibuk tweet, facebook.
Ada yang sibuk whatapps, wechat, line.
Ada yang berpusing-pusing amik gambar makanan untuk share ala-ala vintage polaroid.
Aku?
Aku sibuk melompat-lompat atas gerabak keretapi kutip syiling.
Memaki hamun bila terlanggar palang atau tertangkap dek si polis berperut buncit.
Akulah tu. Anti-sosial macam bangang.

Sebelum tidur,
patutnya baca doa tidur,
aku pula sibuk letup-letupkan gula-gula sama kaler.
Sibuk nak naik level, kejar member lain.
Bila tak dapat naik level, menjerit macam pondan kena raba.
Akulah tu.

Aku rasa...aku rasa...
aku memang dah tahap ketagih.
Game-game dalam phone ni buat aku jadi tak bercampur.
Jauh dari orang. Jauh dari kawan.
Jauh dari hidupan. Jauh dari kehidupan.
Anti-sosial. Super-skewed-introvert-MOFO.

Aku benci diri aku yang ini.
Aku betul-betul perlukan bantuan dari ketagihan.
Tapi, wujudkan hospital rehabilitasi untuk ketagihan seperti ini?





Yes, please help to kill me.



.

Mar 6, 2013

Ajaran #22 - Jika Akhirnya Tidak Dibaca, Jangan Beli Buku Tidak Kira Betapa Murahpun Harganya.



Tahu tak apa yang baru berlalu?
Jualan buku pada harga murah yang terkenal tu..alaaa, yang buat dekat dengan rumah aku tu.


Bertentangan dengan kepercayaan sesetengah orang,
memiliki buku yang banyak tak bermakna kita ulat buku.

Aku masih ingat jelas pesan cikgu aku masa sekolah menengah dulu
dan sudah tentu ayat di bawah bukan sebijik seketul dengan apa yang cikgu aku cakap tapi poinnya tetap sama. Gila aku boleh ingat sebiji seketul ayat dia.

"Sebelum beli buku, fikirkan adakah kita akan baca buku tersebut, atau sekadar menjadi perhiasan di rak buku. Jika hanya hiasan, jangan beli. Tak kira sama ada buku itu murah, susah nak dapat, mahupun percuma. Kalau sekadar memiliki tapi tidak dibaca, ianya satu pembaziran. Lebih baik kalau dibiarkan orang lain yang sudah tentu akan membacanya membeli buku tersebut."

Kita tidak tahu betapa ramai orang yang ketandusan ilmu hanya kerana wujudnya orang yang tamak, mahu memiliki segala jenis buku yang ada di pasaran.

Sebagai contoh, Ali mahu belajar mengenai NLP (Neuro-Linguistic Progamming), tapi oleh sebab buku sesuai untuknya sudah dibeli orang lain, maka niat Ali mahu belajar NLP terhalang. Kesian Ali.

Dan adalah digalakkan, sesiapa yang dah habis baca sesebuah buku,
sila berkongsi dengan orang lain yang berminat.
Ilmu untuk dikongsi, bukan dihias di atas almari.

Walaupun kalian akan kata,
"Alaa cEro ni, dia pun tak baca buku, kecoh nak tegur orang lain."
It's OK. I know...
Just anggap ini adalah nasihat dari orang lain, bukan aku.

Bye!





postquam-scriptum:
Segala cerita, nama, pautan (link), gambar, tweethandle, ID pengguna dan design dalam lukisan aku di atas tiada kena mengena dengan yang hidup atau yang mati.
Kalau ada, itu hanya kebetulan yang kadang-kadang mungkin aku sengajakan sebab aku nak bagi korang terasa.

Mar 3, 2013

Ajaran #21 - Ketakutan adalah Dicetus, Bukannya Semulajadi.



Tahu tak apa yang menakutkan?
KETAKUTAN itu sendiri.



Seorang ahli psikologi bernama John Watson (wiki) telah menjalankan satu eksperimen pada 1920 mengenai ketakutan.

Pada awal eksperimen, dia bersama pembantunya, Rosalie Rayner telah meletakkan seorang bayi yang dipanggil Albert, berusia 11 bulan, di dalam sebuah bilik di dalam hospital dan didedahkan buat kali pertama dengan barang-barang seperti arnab putih, tikus makmal putih, monyet, anjing, topeng putih yang berbulu dan yang tidak berbulu, gumpalan kapas putih, surat khabar yang sudah terbakar dan macam-macam lagi. Albert dilihat tidak takut dengan mana-mana barang di situ.

Kemudian, Albert diletakkan di tengah bilik dan berhampiran, diletakkan seekor tikus putih makmal. Albert dibenarkan untuk menyentuh dan bermain dengan tikus itu. Tiada tanda takut dikesan.

Dalam sesi seterusnya, apabila Albert dilihat menyentuh tikus putih itu, Watson dan Rayner melagakan rod-rod besi dan menghasilkan bunyi yang kuat. Bunyi kuat itu mengejutkan Albert. Dia takut dan menangis. Eksperimen diulang dengan setiap kali Albert menyentuh tikus itu, rod besi dilagakan.

Apabila setiap kali Albert diletakkan berdekatan dengan tikus putih, dia akan menangis ketakutan dan bergerak menjauhi tikus. Kemudian, Albert juga didedahkan dengan benda putih dan berbulu yang lain seperti arnab putih, topeng berbulu, juga topeng santa Claus dengan janggut putih yang dperbuat dari kapas. Albert dilihat akan menjadi takut apabila melihat benda putih dan berbulu. Dia mengaitkan benda putih dan berbulu (seperti tikus makmal) adalah menakutkan.

Eksperimen menunjukkan ketakutan adalah dicetus, bukannya semulajadi.

Malangnya, Albert dikeluarkan dari hospital tempat eksperimen dijalankan sebelum sempat dipulihkan sepenuhnya. Dia dan keluarganya kemudian hilang tak dapat dikesan.



Pada pendapat aku, ketakutan adalah dari pengalaman, bukannya semulajadi.
Pengalaman sama ada sendiri, atau suapan visual atau auditori dari sumber lain.

Kita dari kecil didedahkan dengan perkara yang perlu kita takut.
Kita takutkan rotan kerana sakit.
Setiap kali ustaz tempat mengaji mengangkat rotan, kita diajar supaya patuh.
Kita takut dengan guru besar yang garang dan bermisai lebat.
Sehingga kini, jika kita lihat bakal bapa mertua dengan misai lebat, ataupun polis trafik dengan misai melenting, kita jadi waspada, takut dan berhati-hati dari membuat kesilapan.

Pada dasarnya, kita tak takut dengan perkara yang kita kata kita takut.
Kita takutkan perkara yang terjadi/ produk kepada perkara yang kita kata kita takut.

Albert tak takutkan tikus putih dan barangan putih berbulu,
dia takutkan bunyi bising yang mungkin berlaku selepas dia sentuh barangan tersebut.

Kita juga sama.
Kita kata kita takut gelap.
Sebenarnya, kita takut perkara yang boleh berlaku dalam gelap.
Kita disuap dengan cerita hantu (yang gelap), dan kes culik rogol (di kawasan gelap), serta kejadian samun bunuh (di lorong gelap).
Kita sudah kaitkan kegelapan dengan perkara buruk.

Kita kata kita takut jarum suntikan.
Sebenarnya, kita bukan takut jarum suntikan.
Kita takut, apabila disuntik, kita rasa sakit yang teramat sangat.
Kita disuap dengan paparan cerita dan drama di mana apabila ditikam bertalu-talu, darah termercik dan mangsa menjerit kesakitan sebelum mati.
Kita sudah kaitkan jarum suntikan dengan kesakitan melampau.

Sama, aku takut lipas.
Ianya sebab pengalaman aku alami di mana semasa tidur nyenyak, ada lipas masuk merayap dalam baju aku.
Perasaan kaki lipas yang tajam-tajam, melata atas kulit dalam baju itu tidak mahu aku ulangi.
Jadi, aku benci lipas.



Nasihat aku,
jika korang takutkan sesuatu, sila ambil masa sejenak.
Fikirkan apa yang korang takut.
Tackle punca sebenar ketakutan korang.

Korang takut nak luahkan perasaan cinta kepada seseorang?
Sebenarnya, korang takut ditolak.
Cuba ambil perasaan ditolak itu sebagai satu pengalaman yang mungkin takkan pernah korang rasa.
Dengan itu, kalian masih ada keyakinan untuk berdepan.
Sebab kalau luahan perasaan itu diterima, korang bertuah.
Kalau luahan perasaan itu ditolak, korang masih positif.

Jangan takut. Lawan ketakutan.
Sebab ketakutan hanyalah satu rangsangan luaran yang masuk ke dalam fikiran.

Kerana takut yang sebenar adalah takut dengan kemurkaan Allah SWT.

Beritahu aku,
apa yang kalian takutkan dan bagaimana kalian mengatasinya.





postquam-scriptum:
Satu usaha mengesan bayi Albert yang hilang itu dijalankan pada tahun 2009, mendapati bahawa Albert mati pada usia 6 tahun akibat dari penyakit Hydrocephalus (kepala membesar dipenuhi air).
Ya, penyakit itu tiada kaitan dengan kegagalan memulihkan Albert kepada asal, tapi eksperimen (Little Albert) ini menjadi kontroversi dan dikatakan antara eksperimen psikologi manusia paling tak beretika dalam sejarah.

.

Dec 2, 2012

Ajaran #20 - Kreativiti adalah Kemampuan Menzahirkan Idea Keluar Dari Benak Fikiran.


Tahu tak apa yang membuatkan sesuatu idea itu kreatif?
Kemampuan menzahirkan idea yang berada di dalam kepala.






Dalam mesyuarat ataupun sesebuah perbincangan,
aku selalu tekankan sesuatu perkara;
"Menjana idea adalah perkara termudah."

Ya.
Ramai kurang setuju.
Ramai lagi yang membantah keras bahawasanya (kata mereka) idea yang bagus bakal menjamin hasil yang bagus.
Itu silapnya.

Biar aku beri contoh mudah.
Semasa di tingkatan 5, bersempena dengan sebuah pertandingan rekacipta,
aku ada fikirkan satu idea mencipta sebuah alat penapis udara yang dipasang di muncung ekzos setiap kenderaan.
Alat itu mampu mengurangkan kadar pengeluaran karbon monoksida dan sebahagian karbon dioksida lepas ke udara.
Aku dah siapkan skematik, berserta dengan kertas kerja yang terkandung segala perancangan hebat hasil janaan idea aku dan dua lagi kawan.

Pada kami,
idea itu, jika dilaksanakan dan dikembangkan, seterusnya dikomersialkan, bakal merevolusi industri pemotoran dunia sejajar dengan konsep sayangkan alam sekitar.

Tapi, itu idea.
Apabila dibentangkan, kami sedar, banyak faktor lain perlu kami atasi.
Apa yang kami cadangkan hanyalah, bak kata cikgu aku,
"Persamaan kimia mudah yang kamu korek dari buku teks."

Ya. Idea kami bagus.
Tapi, idea sahaja tak cukup.
Sesuatu yang kreatif dan inovasif adalah sesuatu yang mampu berfungsi dalam kehidupan seharian.
Sekaadar idea, itu boleh dijana oleh sesiapa sahaja yang berotak.
Tapi mahu menjadikannya wujud di dunia nyata, bukan tugas yang mudah.

Para comic bloggers akan faham situasi ini.
Bahkan, aku juga tahu semua blogger faham.
Kadang-kadang, kita ada idea yang sangat bagus untuk di-update-kan dalam blog.
Tapi, bila di hadapan laptop, kita gagal nak keluarkan 100% apa yang kita bayangkan dalam fikiran.

Seperti aku...
Aku dapat merasakan kegagalan dalam setiap entri aku dari dulu hingga sekarang.
Tapi aku harap aku dapat berkembang dari satu entri ke satu entri.
Aku harap, setiap post aku, paling kurang ada satu perkara yang kalian pembaca dapat serap dan amalkan dalam kehidupan, walupun perkara itu sekecil zarah mahupun seremeh butir pasir.

Aku harap, satu hari nanti aku jadi insan yang kreatif.
Seorang insan yang dapat sampaikan 100% apa yang difikirkan dalam benak fikiran.

I love you.




.

Jun 20, 2012

Ajaran #19 - Orang Yang Berjaya Selalunya Orang Yang Mempunyai Cita-Cita.




Tahukah kalian,
antara kesilapan besar aku dalam kehidupan ialah tidak mempunyai cita-cita semasa kecil.

Selalu sewaktu kecil,
kita akan ditanya apakah cita-cita kita sewaktu dewasa.
Dan setiap kali ditanya,
aku tak pernah berikan jawapan yang sama.
Setiap kali ditanya, jawapannya berubah.
Doktor.
Polis.
Pelukis.
Arkitek.
Pegawai Bank.
..dan banyak lagi.

Pada satu ketika pada usia 15 tahun aku pernah terfikir,
"Cita-cita adalah untuk orang yang tak mahu berusaha.
Asalkan kita berusaha bersungguh-sungguh meningkatkan diri, kita boleh jadi apa sahaja yang kita mahu."

Malangnya,
AKU SILAP.

Hidup tanpa cita-cita seolah-olah satu perjalanan panjang tanpa destinasi.

Bayangkan kita naik bas tanpa hala tuju.
Penat.
Tiada arah.
Tiada tujuan.
Tiada noktah.

Aku kagum dengan beberapa kawan aku.
Ada seorang ni begitu nekad nak jadi doktor gigi dari kecil lagi.
Alhamdulillah, dia bergelar doktor gigi kini walaupun banyak dugaan telah ditempuhi.
Ada seorang ni, kini seorang pilot sedangkan sewaktu dulu,
cita-cita untuk menjadi seorang pilot diketawakan rakan satu dorm.

Aku.
Hanya sehari dua belakangan ini baru aku tergerak mempunyai cita-cita.

Persoalannya,
adakah aku sudah terlambat untuk mempunyai cita-cita dan mengejarnya.
Ataupun aku perlu teruskan dengan apa yang ada
dan menjadi manusia yang ditelan tuntutan dunia tanpa cita-cita?

Kadang-kadang,
aku berharap aku boleh melompat masa ke zaman kanak-kanak dan menanam kepentingan cita-cita dalam diri yang yang kecil.


.

Apr 13, 2012

Ajaran #18 - Kesabaran Semua Orang Memang Ada Hadnya




Kalian nak tahu?

Aku menganggap
kesabaran seperti sebuah sinki.
Air yang keluar dari paipnya adalah dugaan kehidupan.

Besarnya kapasiti sinki bergantung kepada individu.
Ada yang seluas tasik,
ada yang setadah tapak tangan.

Bila ada dugaan, sinki berisi air.
Terpulang pada kita mahu keluarkan melalui saluran keluar air,
atau tampungnya seumur hidup.

Namun,
seperti kesabaran,
sinki juga ada hadnya.

Jika kadar yang masuk melebihi yang keluar,
lama-kelamaan sinki akan penuh dan melimpah.
Melimpahnya dugaan bererti kesabaran tak dapat lagi menampung.

Itulah had kesabaran.


Maka,
setiap kali aku berasa marah,
aku akan keluarkannya dengan saluran yang relevan.
Twitter banyak membantu.
Paling kurang aku lega, walaupun tiada siapa yang peduli.

Dan setiap kali aku mahu bersabar,
aku hanya perlu bayangkan sinki air.

Akan aku buka paipnya laju-laju.
Akan aku lepaskan segala lesu.
Lalu aku bayangkan sinki aku membesar.
Membesar sebesar yang aku mahu.
Kerana tiada siapa kata sinki aku tak boleh berubah kapasiti.
Tiada siapa kata ianya hanya tiga kali.
Kerana kesabaran semua orang memang ada hadnya.
Namun hadnya kita yang tentukan sendiri.


Postquam-scriptum:
Peringatan kepada diri sendiri (terutamanya) dan orang lain.


.

Mar 13, 2012

Ajaran #17 - Kerja Kena Ada Minat. Tanpa Minat, Kerja Tiada Makna.





Kita selalu dengar orang berkata,
"Kerja perlukan minat."
Aku adalah orang kuat yang menentang penyataan itu.
Manakan tidak, kalau kau buat kerja yang kau tak minat tapi gaji kau dapat membeliakkan mata setiap orang yang bertanya, dah tentu best, kan?

TIDAK!
Aku salah.

Kerja memang perlukan minat.

Bagi yang tak tahu, aku sekarang sudah bekerja.
Sebab tu entri pun sekali sekala je ada (alasan!)

Dari kecil, aku impikan kehidupan yang simple.
Pergi kerja awal pagi.
Balik petang.
Malam layan TV.
Tidur seawal mungkin.
Dah esoknya hari kembali berulang.
Basically,
apa yang aku impikan sudah tercapai.
Itulah pusingan kerja aku sekarang.

Impian tercapai.
Sepatutnya aku gembira.
Tapi, aku tidak.
Kerana ada sesuatu yang kurang.
Sesuatu yang tertinggal.

MINAT.

Aku cukup tak minat dengan apa aku buat sekarang.
Aku cukup menyampah dengan kerja aku.
Tambah pula dengan bos yang (sudah tentu) bersikap bossy,
meminta sesuatu yang di luar jangkauan
bukan jangkauan aku, tapi kemampuan organisasi itu sendiri.

Bayangkan,
Permaisuri Semut menitahkan semut tenteranya supaya sediakan mahligai tempat beradu sebesar apa yang dimiliki Singa, si Raja Belantara.
Mungkin tiada cermin di dalam sarang semut itu untuk si Permaisuri menilai diri,
tapi pejabat aku ada cermin. áƒš(ಠ益ಠლ


Biarlah susah manapun kerja itu,
murah manapun gajinya,
asalkan kita buat perkara yang kita suka,
segalanya akan jadi lancar.

Jadi,
ajaran hari ini,
jika kalian masih belajar,
kenalpasti minat kalian dulu sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Jika kalian sudah bekerja,
jadikan kerja itu sebagai minat.

Jika kalian yang terlambat untuk minat kerja,
dah sampai tahap benci (macam aku)
bertahanlah selagi daya.
Kalau boleh, tukarlah ke kerja yang diminati.
Tapi, aku ada kontrak.
Sebelum habis kontrak, aku kena bertahan.
Senyuman aku tak pernah ikhlas di pejabat.

Charles M. Schwab pernah berkata,
"Dia yang bekerja bukan kerana suka kerjanya tapi hanya kerana harta,
maka tidaklah dia peroleh harta dan suka kedua-duanya."
["The man who does not work for the love of work but only for money
is not likely to neither make money nor find much fun in life."]

postquam-scriptum:
Sila kongsikan bersama aku cara menangani perasaan benci di tempat kerja.
Aku sangat buntu.
.

Dec 7, 2011

Ajaran #16 - Tak Salah Kalau Sekali Sekala Jadi Melankolik


mel·an·chol·y [mel-uhn-kol-ee]
adjective
4. affected with, characterized by, or showing melancholy; mournful; depressed: a melancholy mood.
5. causing melancholy or sadness; saddening: a melancholy occasion.
6. soberly thoughtful; pensive.









Bila ada orang kata dia tak pernah bersedih,
berduka tentang sesuatu yang dialaminya,
fahamilah bahawa dia sedang menipu.
Namun, menipu bukan bererti dia penipu.

Setiap orang ada episod sedih dalam diri.
Tapi tak semua orang bersedia berkongsi cerita mengenainya.
Apa yang mampu kita buat adalah
memberikan mereka sedikit ruang dan masa.

Kerana percayalah,
masa sentiasa dapat merawat luka.

postquam-scriptum:
Jadi, bagaimana cara kalian menghadapi episod sedih diri?
Menangis, berkurung, atau letak ke tepi dan lupakan sahaja?




.

Nov 14, 2011

Ajaran #15 - Selepas 20 Tahun, Kita Akan Lebih Menyesali Perkara Yang Kita Tak Buat Dari Perkara Yang Kita Pernah Buat.





Sedang seorang lelaki tua sibuk slide skrin tablet PC di tangannya untuk membaca berita dari laman sesawang, datang seorang kanak-kanak baya 5-6 tahun meluru ke ribanya.

"Atuk, atuk!"
Pekat pelat si kecil masih jelas. Namun itu yang dikatakan sesetengah kita 'tomey'.

"Kenapa cucu atuk ni? What's up pal?"
Atuk pun meletakkan tablet PC ke tepi, mengabaikan apa sahaja berita yang dicanang media, dan merangkul kedua belah ketiak cucunya, angkat, dan meletakkan cucunya selesa di atas riba.

"Semalam cikgu kat tadika bagi assignment."

"Pergh!!"
Bentak hati kecil Si Atuk.
"Budak-budak zaman sekarang ni, kecik-kecik dah guna perkataan 'assignment'. Aku dulu masuk U baru faham assignment tu hape."

"Apa assignmentnye Cu oi?"

"Gini.. Cikgu cakap suruh ceritakan pengalaman berharga zaman muda ahli keluarga. Ada kawan cakap datuk dia dulu ahli politik. Ada nenek sorang ni pula, dulu pernah jadi artis terkenal siap kawen dengan lelaki ada Lamborghini lagi."

Kerut kedut di dahi si Atuk dah bertambah. Kepelikan.

"Atuk pulak? Muda-muda dulu apa perkara membanggakan pernah Atuk buat?"

.....

....

...

..

Lama si Atuk merenung muka berharap cucunya untuk mendengar pengalaman muda dia. Itu bukan masalah.

Masalahnya,
perkara paling membanggakan si Atuk pernah buat semasa zaman muda adalah menjadi Anonymous Blogger dengan setiap post blog mendapat 8-12 komen sahaja.

Sudah pasti, itu bukanlah sesuatu yang besar dan boleh dibanggakan.

Tapi, apa patut si Atuk beritahu cucunya?

Si Atuk sudah berpeluh, sementara cucunya masih menatap wajah si Atuk dengan penuh sinar harapan di matanya.





-------------------


Aku terjaga.
Deng!!

Rupanya mimpi.
Tu laa, sapa suruh tidur lepas Asar nak ke Maghrib?
Kan dah mimpi merapu.



Tapi,
aku ada satu prinsip tentang mimpi.

Jika kita mimpi,
dan bila terbangun kita masih lagi ingat mimpi itu dengan jelas,
maka mimpi itu adalah satu petunjuk kepada kita tentang sesuatu.
Mimpi itu ada maksud tersirat yang perlu kita ungkai.
Adalah menjadi tanggungjawab kita merungkai maksud sebenar mimpi tersebut.

Dan untuk mimpi di atas,
ianya mudah.

"You need to get off the computer, get out and enjoy life!"



postquam-scriptum:
Dan dengan itu, aku bersungguh-sungguh mahu menghabiskan azam tahun 2011 aku.




.

Nov 4, 2011

Ajaran #14 - Ujian Diturunkan Tuhan Bukan Untuk Kita Jadi Makin Bodoh.












Seorang makcik pernah berkata dalam pertemuan kami baru-baru ini,
"Ujian diturunkan Tuhan bukan untuk kita jadi makin bodoh."

Semua dari kita ada 'chapter' masing-masing dalam buku kehidupan.
Kadang kala ianya gembira,
kadang kala ianya sedih,
namun ianya bukan alasan untuk berhenti mencuba.

Sep 9, 2011

Ajaran #13 - Teknologi Sepatutnya Memudahkan Kehidupan, Bukan Menyusahkan.

Musim perayaan begini,
sangat seronok jika bergambar.
Dua jenis gambar yang aku suka ialah gambar berkumpulan
dan gambar kandid.
Tapi, selalunya, si jurugambar yang menjadi mangsa tiada dalam gambar.
Thanks to the invention of self-timer,
kini semua boleh berada dalam gambar, termasuk jurugambar.















Yup!
Kadang-kadang, teknologi juga menyusahkan.
Namun, apalah gunanya teknologi tanpa kehidupan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License