Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 7, 2018

Pengalaman Berharga 18k.


Salam.

Tajuk sedikit misleading.
18k yang dimaksudkan bukannya RM, tapi RT.
Retweet.




21 Februari,
aku berkesempatan menonton satu program di TV3 jam 12 tengahari.
Wanita Hari Ini.
Tajuk pada hari itu ialah 'Pengangguran'.
Aku yakin topik hari itu adalah satu bentuk promosi kepada program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang bakal berlangsung pada hujung minggu 24-25 Februari. Panel yang dijemput ada 3 orang; seorang orang kuat SL1M, seorang ahli motivasi merangkap duta SL1M, dan seorang anak muda yang merupakan produk daripada SL1M.

Aku menonton sehingga habis perbincangan. Muka aku bertukar kerut sepanjang program. Ada sesuatu yang buatkan aku tidak senang duduk semasa menonton perbincangan itu, jadi aku putuskan untuk lepaskannya melalui dua tweet:


Ya.
Walaupun tajuk topiknya 'Pengangguran', tapi apabila ditanya oleh hos tentang apa punca kepada pengangguran, KETIGA-TIGA panel hanya berbincang tentang sikap para graduan. Tiada pun antara mereka, termasuk hos, mahu petik tentang faktor lain selain daripada sikap graduan.

Salah satu panel sampai ada menyebut dengan yakinnya;
"It's actually a crime not to have a job in Malaysia."
Dengan kata lain, dia secara sinisnya melabel orang yang menganggur SEDANG melakukan satu jenayah. Kenapa aku kata sinis? Sebab percakapannya bernada bongkak, maklumlah, orang kuat kerajaan.

Kita tidak perlu menjadi pakar ekonomi untuk tahu bahawa punca pengangguran TIDAK hanya terletak di bahu para graduan. Banyak lagi faktor lain yang sepatutnya ditekankan dan tidak hanya menyalahkan satu pihak.

Pada mulanya,
tweet-tweet aku tadi tidak mendapat sambutan.
Maklumlah, aku hanya ada 200+ lebih follower di Twitter dan kebanyakannya adalah mereka yang follow aku kerana aku follow mereka balik, jadi adalah dijangka bila tweet itu tidak mendapat sambutan.

Namun,
selepas hampir memasuki 8 jam, secara mendadak tweet itu semakin mendapat RT dan like yang banyak.
Aku syak ada satu dua twitfamous yang RT, jadi tweet itu lebih tersebar luas.
Reply datang berpusu-pusu, dan tweet pertama itu mendapat quote retweet yang banyak.
Rata-rata mereka menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap bagaimana isu pengangguran dibincangkan di TV.

Pada saat aku sedang menaip entri ini,
tweet pertama itu sudahpun mendapat 18.0 ribu RETWEET dan 8 ribu LIKE.



Menjadi Tular.

Ini merupakan kali pertama aku mendapat RT yang mencapai ribuan.
Tweet aku menjadi tular hingga dibincangkan di Instagram dan beberapa page Facebook.
Rata-rata mengecam tindakan syarikat TV yang bersifat berat sebelah.

Aku tidak pernah dapat perhatian seperti ini.
Handphone aku mendapat notification bertubi-tubi tanpa henti disebabkan ramai memberi reaksi terhadap tweet aku itu.

Pada mulanya aku sedikit bangga dan suka,
maklumlah, tak pernah dapat RT yang banyak.
Tapi lama kelamaan aku rasa sedikit menjengkelkan.
Notification masuk tanpa henti, memaksa aku sentiasa kena silent phone.

Ada satu masa aku lupa untuk silent phone.
Semasa sedang buang air besar di tandas awam, handphone yang sedang berada di dalam poket seluar yang sedang tergantung di pintu jamban asyik berbunyi dan bergegar, sehingga ke tahap orang lain yang sedang berurusan di jamban sebelah pun memaki suruh aku silent phone.

Aku tak pandai nak tutup notification, tapi disebabkan ini,
aku terpaksa gigih meneroka bahagian settings yang selama ini aku abaikan.
Mencari pilihan untuk tutup notification.



Manfaat Untuk Siapa?

Aku fikirkan benda ini hanya berlarutan selama sehari,
namun masuk hari kedua tetap sama keadaannya.

Aku mula fikir apa yang boleh aku buat daripada perhatian ini.
Maka, untuk tweet ketiga dalam bebenang (thread) itu,
aku letakkan promosi untuk blog ini.


Selepas separuh hari,
aku dapati walaupun tweet pertama dan kedua mendapat sambutan dan perhatian,
tetapi trafik ke blog ini tetap suram macam selalu.
Naik, tapi tidaklah banyak sehingga meninggalkan kesan.
Idea aku untuk ambil kesempatan mencuri perhatian orang ramai ke arah blog ini (aku anggap) tidak menjadi.

Lalu aku fikir,
kalau perhatian seperti ini tidak bawa manfaat terhadap aku,
mungkin perhatian ini boleh bawa manfaat terhadap orang lain.

Maka,
aku mulakan dengan membaca kesemua reply kepada dua tweet pertama tadi.
Aku dapati, walaupun banyak yang merungut tentang pengangguran,
ada juga yang selitkan iklan jawatan kosong.

Maka,
aku buat keputusan untuk tambah bebenang tweet aku itu dengan iklan-iklan jawatan kosong yang ada.



Bebenang Jawatan Kosong.

Nampaknya iklan jawatan kosong yang aku selitkan pada bebenang tweet itu sangat membantu.
Banyak yang mahu cuba memohon, malah ada yang quote tweet untuk tatapan kenalan lain.

Dalam erti kata lain,
aku jadikan tweet 'viral' aku itu sebagai medan orang menghebahkan iklan jawatan kosong yang ada.





Ada seseorang DM aku dan ucapkan terima kasih kerana dia berjaya dapat peluang temuduga hasil daripada perkongsian iklan jawatan kosong yang ada.
Rupanya dapat ucapan terima kasih daripada orang asing yang langsung kita tidak kenal ni, perasaan dia lain macam sikit.

Aku berjaya tukar perhatian pengguna twitter kepada peluang untuk orang lain.
Entahlah. Rasa sedikit bangga dengan diri sendiri. Sedikit saja.
Ini kerana aku kurang bangga tweet itu menjadi tular dengan asas yang negatif.
Maksud aku,
tweet itu bermula dengan kritikan keras berbaur kutukan tentang rancangan itu.
Dan pada aku, sesuatu perkara yang bermula dengan negatif dan mendapat perhatian seperti ini sangatlah tidak sihat dan tiada yang patut dibanggakan.

Aku sendiri secara peribadi sudahpun menghantar mesej terus (direct message, DM) kepada dua hos rancangan Wanita Hari Ini yang aku mention di dalam tweet kedua, memohon maaf jika tweet itu mendatangkan gangguan terhadap kerja seharian mereka. Aku tak mahu menjadi masalah kepada orang lain.

Namun,
aku lega bila aku berjaya tukar benda negatif ini menjadi sesuatu yang bermanfaat.
Walaupun manfaatnya bukan untuk aku, tapi untuk orang lain.



Timing.

Itu yang pelik tentang tular.
Aku pernah sentuh tentang apakah faktor sepunya segala perkara tular dalam entri '6 Elemen Sepunya Dalam Kebanyakan Video Viral Malaysia' ini, dan seperti yang aku tekankan di dalam entri ini, semua elemen ini tidak bermakna kalau tidak ada sumbangan satu faktor paling penting, iaitu TIMING.

Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet kena dengan musim orang mencari kerja. Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet adalah semasa twitfamous sedang meneroka alam Twitter. Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet, ada ramai juga yang menonton rancangan TV itu dan berfikiran sama dengan aku.

Tapi bak kata Robin Scherbatsky, "Timing's a b*tch."
Tiada siapa tahu bagaimana timing berfungsi. Kita hanya boleh teka, tapi kita dapat tahu keberkesanan timing kita itu hanya selepas ia sudah berlaku.

Sungguh tak sangka tweet yang bermula dengan niat sekadar melepaskan ketidakpuasan hati menjadi tular sebegini. Ini merupakan kali pertama aku dapat RT dan Like mencapai angka ribuan, tapi aku juga harap ini adalah kali terakhir.

Laporan untuk aktiviti tweet pertama itu pada tarikh 28 Februari.
700 000 impressions bukan satu angka yang sedikit, tahu?



Apa Yang Aku Belajar Daripada Pengalaman Ini.


1. Aku belajar tentang diri sendiri.

Aku anggap selama ini dapat RT dan Like banyak di media sosial adalah sesuatu yang menggembirakan. Aku sendiri kadang-kadang rasa iri hati melihat satu tweet yang ringkas dan mudah, mendapat RT dan Like yang banyak. Pada aku, dia boleh tweet sebegitu, aku pun boleh juga, tapi kenapa aku tak dapat jumlah RT dan Like seperti itu?

Tapi, bila aku sendiri dapat merasai 'first hand' perasaan dapat RT dan Like yang beribu-ribu ini, aku baru rasa aku sebenarnya tak sukakannya. Ia melecehkan. Phone cepat habis bateri sebab terlalu kerap dapat notification. Mention dan reply terpaksa aku abaikan kerana terlalu banyak, tak terlarat nak baca. Mention dan reply oleh kawan lain yang tiada kaitan dengan tweet tular itu pun terabai sebab tenggelam dengan notification yang berpusu-pusu masuk.

More importantly, walaupun jumlah follower aku bertambah (+100 lebih) selepas tweet itu tular, tapi kesemua mereka adalah orang yang aku tidak kenal, dan mereka tidak kenal aku. Aku nak tweet benda tak berfaedah pun kena fikir dua tiga kali takut-takut mereka rasa aku tidak mencapai standard yang mereka mahukan. Aku yang selalu tweet tentang Pokemon GO pun terpaksa tahan sekejap kerana takut para follower baru itu tidak dapat terima apa yang aku tweet-kan.

Pengalaman ini sedarkan aku bahawa aku sebenarnya tidak sukakan perhatian seperti ini. Biarlah tweet aku tidak dapat RT dan Like banyak sekalipun, asalkan aku bebas untuk tweet apa yang aku suka.


2. Pengangguran bukan isu kecil.

Aku tweet tentang pengangguran. Tidak kisah sama ada kalian setuju atau tidak dengan isi tweet aku itu, tapi aku dapat lebih 18 ribu RT, belum kira lagi 'quote retweet'. Bermakna, ada lebih kurang 18 ribu individu di sebalik akaun Twitter yang menganggap isu pengangguran adalah satu perkara yang PERLU dibincangkan.

18 ribu bukan angka kecil, tahu?

Daripada tweet aku itu, melalui reply dan mention yang aku sempat baca, memang ramai merasakan kesal dan kecewa dengan situasi sekarang di mana peratusan penganggur mungkin tidak serendah yang media laporkan. Malah setiap daripada mereka ada masalah masing-masing, dan tindakan 'pukul rata' oleh segelintir pihak sangatlah tidak membantu.

Entahlah. Aku sendiri tak pasti apa aku boleh buat untuk bantu mereka yang dalam kelompok menganggur ini.


3. Kuasa media sosial.

Selama ini aku hanya dengar tentang bahaya media sosial jika disalah guna. Sekarang, aku sendiri rasai kuasa media sosial itu. Nasib isu yang aku ketengahkan adalah isu pengangguran, satu isu yang sudah sedia maklum oleh semua orang. Agaknya apa jadi kalau tweet tular itu berkisar tentang berita palsu? Berita yang memburukkan orang lain? Cerita fitnah? Cerita aib dan keburukan manusia lain? Aku rasa, kesan buruknya akan menjadi berlipat kali ganda.

Sebab itu para pakar pemasaran mengatakan menjadi tular adalah satu bentuk publisiti. Kerana ia bermula mudah, dan berakhir dengan impak yang kuat. Benda baik, mahupun benda tidak baik, dapat disebarkan secara meluas, cepat dan berkesan.

Namun, kuasa media sosial juga boleh digunakan untuk tujuan baik. Aku suka jenis tweet yang menyebarkan kebaikan, macam cerita bantu orang buta pesan makanan, atau beri selipar kepada pakcik yang berkaki ayam. Walaupun ada yang berpendapat perkara sebegitu seolah-olah nak riak, nak tunjuk bagus, nak tunjuk baik, tapi secara peribadi aku rasa lebih baik tunjuk perkara baik daripada tular perkara tidak sihat dan tidak bermanfaat.



Kesimpulan.

Pada aku, media sosial berfungsi seperti pisau.

Pada sesetengah orang,
pisau digunakan untuk memotong sayur supaya boleh dimasak dan dimakan.

Pada sesetengah orang lain pula,
pisau boleh digunakan untuk ugut dan bunuh orang lain.

Dengan kata lain,
yang salah bukan kerana wujudnya pisau,
tapi terletak kepada siapa yang sedang memegangnya.

Jadi,
adakah kalian sedang pegang 'pisau' kalian dengan baik?

Follow aku di media sosial, @cerolian








.


12 comments:

  1. Hak alah bosan betullah kau ni itu pun nk gelabah

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Bored-han

      KAANN!
      Bosan gila mamat blog ni benda bagi pengalaman dekat diri dia pun nak kecoh dekat orang lain.
      💩💩💩

      Delete
    2. Komen murni tak reply. Focus komen tak sedap dengar ja. Betullah kau ni hati tisu. Nak dipuji disanjung diretweet ja. Gelabah.

      Delete
    3. >Anonymous

      Hahaha. Baru sekali dua datang blog ni dah kata tak reply dekat komen murni? Hahahaha

      Datang balik dan check. Aku reply dekat SEMUA komen, cuma aku bukannya 100% hidup depan komputer nak kena reply on the spot. Heh

      Delete
  2. pergh hebat r cero!!! daebak!!! isu macam ni memang perlu diambil serius. aku pun da start risau lepas habis belajar nak kerja apa. lolz! hahaha tapi aku lebih suka kerja yang aku buat sekarang, part time pun part time lah. yang penting takde isu mental breakdown.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >sofie adie

      Rasanya semua setuju masalah pengangguran perlu diambil serius, tapi tak ramai yang betul-betul serius membincangkannya. Balik-balik salahkan graduan memilik. Tapi penyelesaian tak ada.

      Part time pun kira kerja juga. Kalau kita percaya rezeki, maka tak ada isu apa jenis kerja pun, kan?

      Delete
  3. tapi saya sangat SETUJU!! mula2 nak perhatian..bila dah dapat menyesal dan terpikir kenapa org kenai aku..sigh!

    ReplyDelete
    Replies
    1. >cik

      Kan. Tak semua orang suka jenis perhatian yang sebegitu. Huhuhu

      Delete
  4. fuh terbaik c. aku tak pernah lagi viral apa2 kat twitter. maklumlah tak reti main twitter huhu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Boss Noob

      Hahaha. Kebetulan timing kena, Boss. Sekali seumur hidup dapat merasa hahaha

      Delete
  5. tak sangka kau tengok wanita hari ini.

    pehhh.. tweet famous seh. untung ah ramai awek rt

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Anonymous

      Tak untung mana pun. Awek RT bukan nak berkenalan pun hahahaha

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License