Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 28, 2018

Mencari Raksasa Bawang. #PokémonGOCommunityDay



Salam.

[Maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan sedikit memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.]


Pokémon GO Community Day adalah satu inisiatif Niantic, Inc. selaku pembangun permainan aplikasi Pokémon GO untuk menjadikan permainan tersebut sentiasa relevan dan tidak ditelan masa. Setiap bulan terdapat satu hari yang dirai dan digelar sebagai Community Day. Terdapat pelbagai bonus dan ganjaran diberikan pada hari tersebut.

Sila baca entri tentang Community Day yang lepas:
Januari - Tangkap Pikachu di Taman.
Februari - Memburu Anak Naga Merah Jambu.

Untuk bulan Mac, Community Day jatuh pada hari Ahad 25 Mac 2018, menampilkan raksasa saku bawang Bulbasaur sebagai Pokémon istimewa. Acara ini berlangsung dari pukul 11 hingga 2 petang waktu Malaysia. Sepanjang tempoh 3 jam itu, akan diberi bonus tiga kali ganda XP jika berjaya tangkap setiap Pokémon dan jika evolve Bulbasaur kepada Ivysaur seterusnya kepada Venusaur dalam tempoh 3 jam itu, Venusaur tersebut akan dapat moveset istimewa Frenzy Plant, antara move jenis Grass yang sangat kuat.





PERSEDIAAN.

Seperti biasa, walaupun tidak diumumkan tapi semua pemain tahu bahawa bakal dilepaskan Shiny Bulbasaur, sejenis Bulbasaur yang mempunyai warna sedikit lain daripada Bulbasaur normal biasa. Rasanya aku tiada persediaan khusus untuk menghadapi Community Day kali ini selain daripada kemaskini ruang simpanan Pokémon supaya ada slot untuk menyimpan Shiny Bulbasaur yang akan ditangkap nanti.

Juga, disebabkan salah satu bonus Community Day kali ini ialah 3x XP untuk tangkapan, maka aku selaraskan hari ketujuh aku supaya jatuh pada hari Community Day supaya bonus yang aku akan dapat menjadi berlipat kali ganda. (Dalam Pokémon GO, jika kita tangkap Pokémon pada setiap hari berturut-turut, bonus tertentu akan diberi sehingga hari ketujuh (dipanggil Catch-of-The-Day Bonus). Semakin tinggi bilangan hari, semakin tinggi bonus diberi. Aku selaraskan permainan aku supaya hari ketujuh jatuh pada Community Day, supaya bonus maksimum yang aku dapat akan berlipat lagi tiga kali ganda)



MISI.

Untuk Community Day kali ini, aku tetapkan beberapa misi:

1. Dapatkan Bonus 7-Day Streak Catch of The Day dalam tempoh bonus.
2. Tangkap sebanyak mungkin Bulbasaur sepanjang tempoh 3 jam Community Day.
3. Tangkap paling kurang TIGA (3) shiny Bulbasaur.
4. Evolve paling kurang SATU Bulbasaur kepada Venusaur supaya mempunyai moveset istimewa Frenzy Plant.

Sekali lagi, aku pergi Community Day ini seorang diri namun destinasi pilihan aku kali ini berbeza; Taman Tasik Shah Alam.


Taman Tasik Shah Alam, tempat kenangan lama.


Shah Alam merupakan 'rumah' kedua aku, tapi aku kurang bercampur dengan komuniti Pokémon GO di sini. Daripada sumber Twitter dan Facebook, aku dapati komuniti Pokémon GO di sini sangat aktif dan besar. Malah mereka selalu berkumpul bersama untuk acara-acara khas seperti Community Day ini. Jadi, aku buat keputusan untuk cuba sertai acara mereka.

Satu keputusan yang rasanya agak susah bagi aku sebab; 1) aku tak pandai nak bersosial, apatah lagi dengan orang yang langsung tidak kenal, dan 2) aku sudah terlalu terbiasa buat perkara seorang diri, maka nak masuk ke dalam komuniti yang sudah well-established sangatlah memberikan aku cabaran.

Namun, aku cabar diri aku sendiri untuk sertai acara mereka ini.
You can do it, C!!


Poster acara Community Day Shah Alam.
Sumber Facebook Pokémon GO [Malaysia], kredit Bemz Banawi (Fb)



HARI KEJADIAN.

Aku sampai di Taman Tasik Shah Alam setengah jam awal. Rupanya susah nak cari kawasan parkir motosikal di sekitar Tasik Shah Alam ini, jadi aku buat keputusan untuk park di kawasan kompleks membeli-belah SACC Mall dan berjalan sedikit ke taman.

Sesudah sampai ke lokasi acara, beberapa orang sedang bersiap-siap tebar lapik kanvas supaya menjadi tempat duduk para peserta. Dapat kenal siapa di dalam komuniti Pokémon GO Shah Alam kerana mereka pakai baju T hitam khusus berlogo Pokémon GO. Aku pun memberanikan diri (yang kecut ini) untuk bertegur sapa dengan salah seorang ahli komuniti ini, dan aku dapati mereka sangat ramah dan welcoming. Perasaan kecut aku sedikit sebanyak makin hilang kerana walaupun aku tidak dikenali, mereka masih ramah dan tidak meminggirkan.


Sebelum acara bermula. Ahli komuniti sedang bersiap-siap.


Aku difahamkan oleh salah seorang ahli bahawa mereka memang selalu buat acara sebegini walaupun sebelum Community Day diperkenalkan. Mereka akan buka satu kawasan di sini dan bersama-sama pasang 'lure' dan tangkap Pokémon sambil beramah mesra. Malah, untuk Community Day ini, mereka ada buat cabaran seperti memberi hadiah kepada peserta yang dapat Shiny Bulbasaur dengan CP istimewa (111, 222, 333, 444,...) dan bermacam-macam lagi.

Port ini dipilih kerana kawasannya berdekatan dengan 4 Pokéstop, senang untuk mereka pasang 'lure' dan tangkap Pokémon yang muncul tanpa bergerak jauh. Malah, kawasan ini juga teduh daripada panas dan berhampiran dengan tandas, surau, kawasan jual makanan, serta mempunyai pemandangan yang indah untuk dinikmati. Ahli-ahli komuniti Pokémon GO Shah Alam memang sudah fikirkan semuanya dan betul-betul serius dalam berkomuniti. Good for them.



COMMUNITY DAY BERMULA.

Jam tertera pukul 11, dan peserta acara sudah mula datang ramai. Bulbasaur mula muncul dengan banyaknya di dalam permainan. Terdengar dari jauh seorang dua sudah jumpa Shiny Bulbasaur, menandakan kesahihan kemunculannya walaupun tidak pernah diumumkan secara rasmi oleh pihak Niantic.

Aku mulakan dengan tangkapan pertama untuk hari itu (7-Day Streak Catch of The Day), berganda-ganda XP yang aku dapat. Sayangnya aku tak pasang Lucky Egg sebab kalau aku pasang, semua XP itu akan digandakan 2 kali lagi.


Lihatlah, sekali tangkap dapat 8130 XP, hampir bersamaan dengan menangkap lebih kurang 50 Pokémon liar pada hari biasa. Nice!!


Dalam 10 minit pertama di tapak acara, aku sudah berjaya tangkap DUA (2) Shiny Bulbasaur. Sengaja aku simpan keterujaan dalam hati sebab aku tak mahu orang lain yang masih belum jumpa Shiny Bulbasaur berasa tidak selesa. Padahal, dalam hati aku nak saja melompat kegembiraan sebab sudah jumpa 2 Shiny Bulbasaur dalam masa yang singkat.


Ini dua Shiny Bulbasaur pertama aku. Susah nak beza dengan Bulbasaur biasa, tapi kalau dibanding sebelah menyebelah, memang nampak beza warnanya.


Bernasib baik, salah seorang ahli komuniti Pokémon GO Shah Alam ini adalah admin yang ditugaskan untuk memberi lencana eksklusif Silph League sempena Community Day bulan ini. Maka, aku berkesempatan untuk buat 'handshake' dengan beliau dan seterusnya lencana eksklusif berwajah Shiny Venusaur pun muncul di kad profil aku. (Baca tentang Silph League di entri Pokémon GO Community Day Februari lepas)


Sebenarnya, aku sudah bersedia untuk tidak dapat lencana ini sebab kali ini mendapatkan lencana bukanlah antara misi utama aku tapi LUCKY!!! Aku dapat juga!!


Apa guna aku datang ke Taman Tasik Shah Alam kalau hanya mahu duduk sahaja, kan? Cuaca baik, permandangan indah, orang pun ramai. Lagipun misi utama permainan Pokémon GO adalah supaya kita dapat keluar dan 'explore' dunia luar, jadi aku buat keputusan untuk pusing satu taman sambil tangkap sebanyak mana Bulbasaur yang aku mampu. Sendirian. Sepanjang perjalanan, aku berjaya tangkap TIGA LAGI (3) Shiny Bulbasaur berserta dengan Bulbasaur biasa yang lain.


Tiga lagi Shiny Bulbasaur. Very nice!!


Dari jauh aku nampak di dalam permainan, salah satu PokéGym di taman ini akan berlangsungnya Boss Raid level 1. Tunggu punya tunggu punya tunggu apakah boss yang akan muncul, akhirnya yang muncul adalah Magikarp. Magikarp adalah Boss level 1 yang paling senang untuk ditewaskan, boleh dilawan solo, tapi memberi ganjaran yang sedikit jika berjaya ditewaskan. Namun disebabkan raid itu berlangsung di sebuah PokéGym yang berada di taman, jadi aku ambil keputusan untuk menewaskannya juga.


Magikarp is a pathetic excuse for a Pokémon that is only capable of flopping and splashing. This behavior prompted scientists to undertake research into it.


Sekali lagi dari kejauhan aku nampak salah satu PokéGym berdekatan akan berlangsungnya Boss Raid. Kali ini level 5, di mana sudah pasti Pokémon yang bakal menetas dari telur hitam itu adalah Pokémon lagenda, Lugia. Walaupun lawan Lugia tidak beri apa-apa kebaikan pada tempoh 3 jam Community Day ini, tapi aku buat keputusan untuk ke sana dan menentangnya semata-mata hanya untuk peluang mendapatkan Shiny Lugia. (Shiny Lugia seperti Lugia biasa cuma warna birunya ditukar kepada warna merah)


Walau dalam peta macam dekat, tapi penat juga nak berjalan dari Taman Tasik Shah Alam ke Dataran Shah Alam. Berotot betis aku!

Malangnya, Lugia yang berjaya aku tentang bukan Shiny Lugia.
Dan bertambah malang, aku tak berjaya tangkap Lugia tersebut.


It's okay. Tak dapat tangkap pun tak apa sebab aku sudah ada DUA Lugia. Aku hanya nak peluang dapat Shiny Lugia sahaja (sedapkan hati...)


Selepas sahaja aku habis kerjakan Lugia tadi, aku perasaan hanya tinggal kurang 15 minit sebelum Community Day tamat. Cepatnya 3 jam masa berlalu. Aku belum sempat lagi evolve Bulbasaur kepada Venusaur untuk dapatkan moveset istimewa Frenzy Plant yang eksklusif di Community Day ini sahaja. Maka, dengan gelabah perutnya aku evolve DUA Bulbasaur kepada Venusaur; satu Bulbasaur biasa, satu lagi Shiny Bulbasaur. Aku juga evolve satu lagi Shiny Bulbasaur kepada Ivysaur kerana aku mahu satu set lengkap keluarga Bulbasaur versi Shiny.


Satu keluarga Shiny Bulbasaur.
Tengoklah pokok kuning belakang Venusaur tu. SO MAJESTIC!!!


Sebelum masa bonus Community Day tamat, aku sempat kembali ke tapak acara komuniti Pokémon GO Shah Alam di taman tasik. Makin ramai daripada tadi. Masing-masing muka puas hati, rasanya semua dapat miliki paling kurang satu Shiny Bulbasaur. Acara yang melibatkan hadiah seperti yang aku ceritakan awal tadi pun sudah diumumkan pemenangnya. Sudah tentu aku tak menang. Mana mungkin aku bernasib baik berkali-kali dalam satu hari, kan?

Maka, dengan itu tamatlah Pokémon GO Community Day bagi sesi bulan Mac 2018. Sebelum semua berkemas dan beredar, para ahli komuniti Pokémon GO Shah Alam dan semua peserta yang hadir ambil peluang untuk bergambar beramai-ramai bersama sebagai kenang-kenangan.


Image Twitter @PokemonGOAppMY



MISI SELESAI.


Sepanjang tempoh acara, aku berjaya;

1. Dapatkan Bonus 7-Day Streak Catch of The Day ganda 3. (+8130 XP)
2. Tangkap 43 Bulbasaur.
3. Tangkap LIMA (5) shiny Bulbasaur.
4. Evolve DUA Bulbasaur kepada Venusaur supaya mempunyai moveset istimewa Frenzy Plant.

Misi tambahan;

5. Dapat lencana eksklusif Silph League sempena Pokémon GO Community Day.
6. Dapat masuk 1/3 akhir XP Level 35 sebelum naik ke Level 36
(dari 966 388 XP kepada 1 030 668 XP, untuk naik ke level 36, aku perlu capai 1 500 000 XP)

Namun, pada aku, pencapaian paling besar untuk hari ini ialah aku dapat cabar diri sendiri untuk sertai acara komuniti Pokémon GO Shah Alam dan dapat berkenalan dengan ramai orang baru yang mempunyai minat yang sama; bermain Pokémon GO.

Jadi, kalau nak diletakkan tekaan, aku rasa bulan depan (April) Pokémon GO Community Day akan dilangsungkan pada 22 April 2018 (Ahad) dengan penampilan Pokémon istimewa, CHARMANDER. Sebab Bulbasaur adalah Pokémon pertama dalam Pokémon pemula (starter) generasi 1 bersama-sama Charmander dan Squirtle, jadi selepas Bulbasaur, sudah tentu logik untuk giliran Charmander pula untuk bulan April dan seterusnya Squirtle untuk bulan Mei.

Charmander (dan seluruh keluarganya) adalah Pokémon kegemaran aku dan kalau dilepaskan, Shiny Charmander dan Shiny Charizard kelihatan sangatlah cool. Aku sangat teruja. WEEEEEEEEEEEEEE!!!!

UPDATED (28 Mac 2018 2115hr):
Niantic mungkin jenis kawan yang suka troll. Di kala seantero masyarakat Pokémon GO (termasuk aku) menjangkakan Charmander akan jadi Pokémon utama Community Day bulan depan (April), Niantic dengan seronoknya mengumumkan Mareep akan jadi Pokémon tumpuan pada acara itu kelak.

Image Twitter @PokemonGOApp

Mareep adalah sejenis Pokémon biri-biri elektrik. Kebanyakan orang tak minat sangat Mareep ni tapi pada aku, aku suka Mareep. Lagipun Mareep antara Pokémon yang susah nak jumpa di keliaran.


Untuk acara Pokémon GO Community Day bulan April depan, aku masih belum buat keputusan untuk ke mana. Taman Tasik Shah Alam macam sangat menarik sebab ada satu komuniti besar dan ramah yang buatkan orang yang tidak suka bersosial macam aku ni rasa selesa. Tapi dalam masa sama, aku kalau boleh tak mahu terlalu selesa dengan satu tempat yang sama. Mungkin kalau ada komuniti lain yang boleh aku sertai di tempat lain, akan aku fikirkan. Tapi kalau aku nak main seorang diri, Taman KLCC pun masih satu idea yang bernas, kan?

Nak join aku? JOM! DM aku di Twiiter (@cerolian) dan kita bincang.

Maka dengan ini,
tamatlah cerita aku mengenai Pokémon GO Community Day bulan Mac.
Terima kasih kepada yang sudi baca sampai habis. Nampak gayanya, entri tentang Community Day ini adalah entri wajib satu setiap bulan. Hehehe

Bye.




.


3 comments:

  1. Antara perkara dlm post pokemon go kau ni adalah tajuk dia. Terhibur aku hahaha

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: