Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Sep 30, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Timun Berkaki.



Salam.

Pada 22 September 2018, aku naik pengangkutan awam menuju ke Taman KLCC.

Ini adalah entri untuk Hari Komuniti Pokémon GO untuk bulan September.


Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanan ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 8 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO yang mula diperkenalkan dari awal tahun 2018 ini di mana setiap edisi Hari Komuniti akan menampilkan Pokémon istimewa bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Berikut adalah senarai 8 Hari Komuniti yang sudah dilalui aku:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'
Mei - 'Episod Si Naga Hitam.'
Jun - 'Episod Dinosaur Batu.'
Julai - 'Episod Kura-Kura Biru.'
Ogos - 'Episod Eevee.'


Dan seperti biasa, pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

Untuk bulan September, Pokémon istimewa yang ditampilkan ialah CHIKORITA.

Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)



CHIKORITA.

Chikorita adalah Pokémon daripada generasi kedua, salah satu daripada tiga Pokémon pemula (starter Pokémon) selain daripada Cyndaquil dan Totodile. Chikorita adalah Pokémon daripada jenis rumput (grass type) dan merupakan entri ke-152 di dalam keseluruhan Pokédex dan juga entri pertama untuk Pokédex wilayah Johto.

Pokédex untuk Pokémon GO menerangkan Chikorita sebagai:

'Leaf Pokémon:
In battle, Chikorita waves its leaf around to keep the foe at bay. However, a sweet fragrance also wafts from the leaf, becalming the battling Pokémon and creating a cozy, friendly atmosphere all around.'

Chikorita boleh dievolusi kepada Bayleef dengan menggunakan 25 candy dan seterusnya Bayleef boleh dievolusi kepada bentuk seterusnya Meganium menggunakan 100 candy.

Tidak dinafikan Chikorita sangat comel. Ketika aku bermain gameboy untuk Pokémon Gold dahulu, Chikorita adalah pilihan utama aku berbanding dua lagi Pokémon pemula yang lain hanya kerana Chikorita paling comel walaupun secara teknikalnya Pokémon jenis rumput ini tidaklah kuat mana.



PENGUMUMAN RASMI.

Pengumuman rasmi Chikorita sebagai watak utama Hari Komuniti untuk bulan September dan tarikhnya telah dibuat seawal 15 Ogos 2018 lagi, namun maklumat lanjut mengenai Hari Komuniti itu telah diumumkan Niantic, Inc selaku pembangun aplikasi permainan Pokémon GO pada tarikh 17 September 2018 di dalam bahagian berita di dalam permainan dan di seluruh platform media sosial yang ada.





Di dalam pengumuman tersebut ada disertakan beberapa maklumat mengenai Hari Komuniti bulan September termasuklah:

- Chikorita sebagai watak utama.
- Waktu Hari Komuniti: 12:00 pm hingga 3:00 pm JST
   (11:00 pg hingga 2:00 pm waktu Malaysia)
- Bonus 3 kali ganda XP untuk setiap tangkapan.
- Bayleef yang dievolusi kepada Meganium akan dapat gerakan serangan istimewa, Frenzy Plant.

Walaupun Frenzy Plant adalah satu serangan jenis rumput yang kuat, tapi Meganium dengan Frenzy Plant tidak menjadikan Pokémon ini berada di kedudukan kekuatan yang tinggi di kalangan Pokémon jenis rumput.

Tapi pada aku, dapat simpan satu dua Meganium dengan serangan yang istimewa yang tidak boleh didapati di waktu lain tidaklah merugikan.

Dan sudah tentu, perkara yang ditunggu-tunggu pemain Pokémon GO setiap kali menjelang Hari Komuniti adalah kemunculan Pokémon dalam varian shiny-nya.



PERSEDIAAN DAN ISU.

Tiada persediaan khusus untuk Hari Komuniti Chikorita ini. Namun, aku sudahpun berbelanja Pokécoin yang juga boleh dijadikan sebagai antara persediaan untuk Hari Komuniti ini.

Beberapa hari sebelum berlangsungnya Hari Komuniti, aku sudah beli 50 ruangan simpanan untuk Pokémon dan 50 ruangan tambahan untuk beg. Ruangan untuk Pokémon adalah khusus disediakan untuk Chikorita dan jenis shiny-nya, manakala ruangan tambahan untuk beg pula memang sudah lama aku berniat untuk membeli dek kerana aku sudah lama hanya berada di takat 400 ruang item sahaja.

Namun isu utama yang aku alami tidak hanya berkisar sekitar Pokémon GO.

Baru-baru ini, aku sudah ketiadaan powerbank. Powerbank yang selalu aku gunakan kini sudah rosak walaupun hanya baru digunakan selama setahun lebih sahaja.

Bagi yang tidak tahu, bermain Pokémon GO sangat memerlukan penggunaan tenaga bateri telefon bimbit yang tinggi. Daripada pengalaman Hari Komuniti aku yang sebelum ini, aku sangat memerlukan powerbank di kala hujung-hujung tempoh 3 jam Hari Komuniti.

Maka, Hari Komuniti tanpa powerbank akan menjadi sesuatu yang sangat mencabar.

Setelah beberapa kali menguji kemampuan bateri telefon bimbit aku tanpa powerbank, aku hanya mampu gunakan telefon bimbit itu selama cukup-cukup 3 jam jika mahu bermain Pokémon GO secara berterusan.

Ini bermakna, pada jam 11 pagi waktu bermulanya Hari Komuniti, bateri aku perlu berada di tahap 100% jika mahu bermain Pokémon GO secara optimum.

Juga, antara isu lain yang membelenggu aku ialah musim hujan. Sekarang adalah musim perubahan monsun, menjadikan hujan akan turun tanpa mengenal waktu. Sebagai penunggang motosikal tegar, hujan akan mengganggu perjalanan. Maka, untuk Hari Komuniti kali ini, aku buat keputusan untuk ke lokasi dengan menggunakan pengangkutan awam.



MISI.

Kelancaran melalui Hari Komuniti bergantung kepada apa misi aku pada hari tersebut.
Antara misi yang sudah aku tetapkan termasuklah:

1. Tangkap sebanyak mungkin Pokémon (kerana bonus 3x XP tangkapan.)
2. Tangkap sebanyak mungkin Chikorita.
3. Tangkap paling kurang 3 shiny Chikorita.
4. Dapatkan satu Meganium dengan serangan Frenzy Plant, dan satu shiny Meganium dengan serangan Frenzy Plant.
5. Lawan paling kurang satu level 5 boss raid, Mewtwo.
6. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.

Dalam banyak-banyak misi di atas, misi ke-6 adalah yang aku jangkakan paling sukar.

Level 5 boss radi pada waktu ini adalah Mewtwo. Mewtwo sebelum ini adalah Pokémon lagenda yang hanya boleh didapati melalui jemputan EX-Raid selepas melakukan aktiviti di PokéGym yang mementaskan EX-Raid (dipanggil EX-Raid Gym). Namun, sebagai ganjaran kepada beberapa cabaran yang dianjurkan Pokémon GO sebelum ini, Mewtwo diturunkan menjadi boss untuk raid level 5, dan EX-raid akan digantikan dengan Pokémon lagenda yang lain, iaitu Deoxys.

Untuk dapatkan raid level 5 bukanlah susah kerana aku akan bermain di tempat yang terdapat banyak PokéGym di sekitarnya, tidak lain tidak bukan, lokasi Hari Komuniti kegemaran aku, Taman KLCC, Kuala Lumpur.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.



HARI KOMUNITI.

Aku boleh merungut tentang pengangkutan awam yang aku guna, tapi aku tidak rasa ia akan membantu. Cukuplah hanya aku katakan di sini bahawa kalau kalian nak kejar masa, JANGAN GUNA KTM KOMUTER.

Walaupun perjalanan pergi penuh dengan dugaan, namun alhamdulillah, aku berjaya sampai ke stesen MRT Bukit Bintang sebelum pukul 11. Daripada Bukit Bintang, aku berjalan kaki menuju ke Taman KLCC dan Hari Komuniti bermula ketika aku masih lagi dalam perjalanan ke sana.

Chikorita pertama aku untuk Hari Komuniti adalah pada tepat jam 11 pagi dengan CP 76. Manakala, shiny Chikorita pertama aku pula adalah Chikorita ketiga pada jam 11:06 pagi dengan CP 340.



Perbandingan antara Chikorita biasa dengan Chikorita shiny.


Sepanjang 3 jam Hari Komuniti, aku berjaya tangkap 10 shiny Chikorita.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:06 CP 340, jam 11:20 CP 563, jam 11:26 CP 236


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:55 CP 487, jam 12:06 CP 191, jam 12:26 CP 294


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:31 CP 511, jam 13:03 CP 50, jam 13:06 CP 162


Jam 13:43 CP 34


Perasan tak aku berjaya tangkap shiny pada minit ke-6 setiap jam?
11:06, 12:06 dan 13:06. Mungkin 06 adalah nombor bertuah aku pada hari itu.


Seketika selepas sampai ke Taman KLCC, apabila aku periksa bahagian 'raid' berdekatan, bakal menetas satu raid level 5. Inilah peluang aku untuk dapatkan Mewtwo pertama BUKAN dari EX-raid. Walaupun sedikit jauh daripada Taman KLCC, tapi aku tidak kisah berjalan. Lagipun, memang antara objektif permainan Pokémon GO adalah menggalakkan para pemain untuk keluar bergerak ke luar sana.

Pada jam 12:16, telur level 5 menetas dan 5 minit kemudian aku berjaya untuk masuk menentang Pokémon lagenda itu, Mewtwo.




Menurut data, Mewtwo daripada raid level 5 ini lebih kuat untuk ditentang berbanding Mewtwo daripada EX-raid. Mewtwo untuk EX-raid berada pada CP 49,430, manakala Mewtwo untuk raid level 5 ini berada pada CP 60,540.

Kalian boleh baca entri mengenai Mewtwo dari EX-raid di sini:
RAKSASA SAKU: Episod Jemputan Menentang Fliza.

Aku berjaya tangkap Mewtwo dengan CP 2221, menjadikannya Mewtwo ketiga yang aku ada dan yang pertama diperoleh melalui raid level 5.


Pada jam 13:00, bateri telefon bimbit aku sudah susut kepada 48%, menjadikan aku perlu berada di mood 'segera'. Pada waktu itu, aku sudahpun peroleh 7 shiny Chikorita, bermakna aku sudahpun selesaikan misi aku.

Pada jam 13:09, aku buat keputusan untuk evolusikan satu Bayleef kepada Meganium untuk dapatkan serangan eksklusif Frenzy Plant. Aku juga evolusikan satu shiny Chikorita (CP 563) kepada Bayleef seterusnya kepada Meganium, dan evolusikan satu lagi shiny Chikorita (CP 236) kepada Bayleef.

Ini menjadikan aku sudah lengkap memiliki satu keluarga shiny Chikorita.




Pada jam 13:43, bateri sudah mencapai 30%. Aku buat keputusan untuk berhenti main dan simpan tenaga bateri. Aku tidak boleh terus habiskan kerana takut-takut ada keperluan kecemasan lain, maka Hari Komuniti aku habis awal pada kali ini.

Selepas selesai solat Zohor di masjid, aku pun bergerak pulang ke rumah, juga menggunakan pengangkutan awam (yang sangat mengecewakan)

Bila balik di rumah, aku dapati 30 minit selepas tamat Hari Komuniti ada berlaku sesuatu yang menimbulkan pelbagai soalan di dalam permainan Pokémon GO.

Satu Pokémon yang langsung tidak pernah dilihat sebelum ini (tidak kira dari mana-mana generasi pun) secara tiba-tiba muncul secara banyak. Pokémon tersebut mempunyai badan seperti Ditto tetapi berwarna putih, manakala kepalanya adalah berbentuk seperti nut segi enam dengan mata hitam di tengah. Di dalam skrin bersedia untuk ditangkap, Pokémon tersebut hanya dilabel sebagai '???' dan mempunyai CP '???'. Menurut laporan daripada pemain lain, jika Pokémon itu ditangkap, ia akan bertukar menjadi Ditto ataupun Chikorita. 'Fenomena' ini hanya berlaku selama 30 minit selepas Hari Komuniti.

Aku tidak sempat alami fenomena ini kerana aku sudah tutup permainan lebih awal.

Berhari para pemain tertanya-tanya apakah sebenarnya yang berlaku. Ada antara kami yang membuat spekulasi bahawa Pokémon itu adalah satu bentuk 'bug' di dalam permainan, namun lebih ramai yang percaya itu adalah satu bentuk pemasaran untuk permainan yang bakal dikeluarkan Nintendo pada bulan November nanti iaitu Pokémon Let's GO!.

Namun pada 25 September, pihak Niantic, Nintendo dan Pokémon keluarkan kenyataan rasmi bahawa Pokémon tersebut dipanggil Meltan, sejenis Pokémon Mythical. Dan seperti spekulasi para pemain, fenomena munculnya Meltan di dalam Pokémon GO adalah satu bentuk pemasaran kerana Pokémon tersebut berkait rapat dengan permainan Pokémon Let's GO! dan Pokémon GO.

Walaupun aku sedikit ralat kerana tidak berpeluang melihat Meltan di dalam permainan, tapi dikirakan aku langsung tidak rugi apa. It's marketing!




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Pokémon.

Aku tidak kira jumlah tangkapan, tapi aku kira perubahan XP aku sebelum dan selepas Hari Komuniti. Betul-betul sebelum bermula Hari Komuniti, aku berada di level 38 dengan 1,883,402 XP. Manakala, selepas tamat Hari Komuniti, aku berada di level yang sama dengan 1,996,417 XP. Bermakna aku berjaya peroleh XP sebanyak 113,015, bersamaan dengan menewaskan raid level 5 sebanyak 11 kali.


2. Tangkap sebanyak mungkin Chikorita.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti, aku pernah tangkap 193 Chikorita. Selepas Hari Komuniti pula, data menunjukkan aku sudah tangkap Chikorita pada jumlah 314. Bermakna, sepanjang Hari Komuniti, aku berjaya tangkap 121 Chikorita.


3. Tangkap paling kurang 3 shiny Chikorita.

Daripada 121 Chikorita yang berjaya aku tangkap sepanjang tempoh 3 jam Hari Komuniti ini, 10 daripadanya ada shiny.


4. Dapatkan satu Meganium dengan serangan Frenzy Plant, dan satu shiny Meganium dengan serangan Frenzy Plant.

Aku berjaya evolusikan satu Bayleef kepada Meganium dengan serangan Frenzy Plant, dan juga satu shiny Bayleef kepada shiny Meganium dengan serangan Frenzy Plant.


5. Lawan paling kurang satu level 5 boss raid, Mewtwo.

Aku berjaya menentang satu boss raid level 5, Mewtwo dan berjaya menangkapnya dengan CP 2221.


6. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.

Bateri telefon bimbit aku jatuh ke 50% pada lebih kurang sebelum jam 13:00. Pada waktu itu, aku sudahpun selesai semua misi yang aku tetapkan.



Kesimpulannya,
walaupun kali ini Hari Komuniti aku sedikit lebih mencabar (tiada powerbank dan pergi menggunakan pengangkutan awam), namun aku simpulkannya sebagai berjaya. Aku tiada keperluan untuk memiliki banyak shiny Chikorita, namun aku akan simpan jika ada yang mahu trade dengan aku di waktu akan datang.

Lebih menarik, tujuan aku menggunakan pengangkutan awam adalah kerana aku mahu elak basah hujan, tapi pada hari berkenaan LANGSUNG TIDAK HUJAN. Aku tak pasti aku nak marah dengan siapa...





HARI KOMUNITI SETERUSNYA.

Pada 26 September lepas sudahpun diumumkan Pokémon yang akan dijadikan penampilan istimewa untuk Hari Komuniti bulan Oktober nanti.



Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)


BELDUM!
Beldum adalah Pokémon jenis besi dan psikik dan daripada generasi ketiga. Beldum kelihatan seperti sangat futuristik, dan pertama kali aku nampak Beldum, aku gelar Pokémon ini sebagai Flying CCTV (nampaknya kalian sudah boleh teka tajuk aku untuk entri Hari Komuniti bulan depan).

Beldum boleh berevolusi kepada Metang dengan 25 candy dan seterusnya kepada Metagross dengan 100 candy.

Beldum (dan seluruh evolusinya) adalah antara Pokémon yang relevan secara meta di dalam permainan Pokémon GO. Aku sendiri selalu letakkan Metagross (evolusi Beldum) sebagai Pokémon pertahanan di dalam PokéGym. Maka, Hari Komuniti Beldum kali ini memang dinanti-nantikan oleh para pemain Pokémon GO.

Sebenarnya, imej Beldum sebagai Pokémon istimewa Hari Komuniti sudahpun terbocor dan tertular lebih awal, namun pada waktu itu semua anggap ia hanya satu berita palsu.

Aku sudahpun miliki Beldum pada nilai individu (individual value - IV) 100% yang kini berada di dalam bentuk Metagross. Namun, Beldum (dan seluruh evolusinya) mempunyai varian shiny yang sangat menarik dan menjadi pilihan utama para pemain. Maka, Hari Komuniti Beldum memang sangat dialu-alukan.

Tarikh Hari Komuniti untuk bulan depan bulan Oktober jatuh pada 21 haribulan, hari Ahad. Aku sudahpun rancang ke mana akan aku pergi untuk tangkap Beldum pada hari itu.



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Kalau umur panjang, episod Beldum bakal menyusul kemudian.

Bel-bye!
*berlalu pergi berpaut pada Beldum sambil dibawa terbang*





.

No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: