Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Sep 26, 2018

Kisah Bagaimana KERUSI Mengajar Aku Erti Kehidupan.




Salam.




Bila ditanya aku tinggal di mana, aku akan beritahu bahawa aku sudah berpindah ke tempat baru. Tapi sebenarnya aku sudah tinggal di 'tempat baru' ini lebih 2 tahun, jadi pada dasarnya, tempat ini bukan lagi baru.

Untuk meneruskan cerita, aku terpaksa buka pekung dada sendiri. Walaupun sudah dua tahun lebih aku di tempat aku, aku masih lagi belum habis kemas bilik aku. Masih banyak barang yang masih berada di dalam kotak dan tidak terusik sejak hari pindah masuk lebih dua tahun lalu.

Ya. Bilik aku berselerak.

Kalian boleh kata aku pemalas, tapi aku tahu kedudukan setiap barang yang ada dalam bilik aku secara sistematik, dan aku langsung tidak pernah ada isu dengan bilik sempit, dan kotak yang masih tidak berkemas itu langsung tidak mengganggu, dan sejak berpindah masuk langsung tiada tetamu pernah datang menjenguk ke bilik, jadi pada aku semua ini tidak mendatangkan masalah.

Namun,
sejak pertengahan tahun 2018 ini, aku buat keputusan untuk mula berkemas sedikit demi sedikit, sampailah pada saat ini aku ada cukup ruang untuk tempatkan satu meja untuk dijadikan tempat kerja aku (sebelum ini aku hanya buat kerja di atas katil).

Malangnya,
walaupun ada meja tapi masih tidak boleh dijadikan tempat kerja kerana...





...aku tiada kerusi.

Mencari kerusi pada dasarnya bukanlah susah. Tapi aku nak pastikan aku pilih kerusi yang tepat. Aku tinjau jenis dan harga kerusi yang dijual di sekitar tempat aku tinggal. Rupanya harga kerusi boleh tahan mahal juga. Kerusi plastik yang selalu digunakan di balai raya untuk mesyuarat JKK kampung tu pun berharga hampir RM40 satu.

Alkisah bermula.

Aku (sekali lagi) berjalan-jalan di kompleks membeli-belah yang terletak berhampiran dengan rumah. Aku suka gelar sesi berjalan-jalan ini sebagai sesi 'membunuh masa' sebab memang fungsinya adalah untuk mengisi masa aku yang kadang kala lapang tiada perkara perlu dibuat.

Sewaktu berjalan di dalam sebuah pasar raya, aku tergerak hati untuk meninjau bahagian jualan untuk perkakas rumah. Aku ternampak kerusi. Kerusi boleh lipat yang dibuat daripada besi. Ciri-cirinya kelihatan seperti kerusi lipat yang selalu digunakan di dalam rancangan gusti, cuma bezanya tempat sandar dan tempat melabuh punggung diletakkan lapik lembut.

Lebih menarik, harga kerusi itu lebih murah dengan harga kerusi plastik yang pernah aku tinjau sebelum ini.

Tanpa berfikir panjang, aku terus membelinya. Aku kini merupakan tuan kepada kerusi itu.

Namun, realiti datang mengetuk otak aku yang tak berfikir panjang.



Ada beberapa isu yang aku tidak titik berat semasa buat keputusan membeli kerusi itu.

Pertama,
aku datang dengan motosikal. Orang yang tidak pernah atau tidak selalu tunggang motosikal mungkin tidak nampak ini sebagai masalah. Apa susah, ikatlah kerusi itu di belakang, atau bimbitlah (atau sandanglah) kerusi itu di sebelah tangan sambil menunggang. Tapi kepada penunggang motosikal tegar, mahu pegang barang sambil menunggang bukanlah satu perkara mudah. Aku sendiri fikir aku boleh, tapi selepas mengusung kerusi itu ke tepi motosikal di medan parkir dan melihat perbandingan saiz kedua-dua kerusi dan motosikal aku, aku sedar. Ia hampir mustahil untuk aku bawa balik dengan motosikal.

Kedua,
hujan turun di luar. Berada di dalam kompleks membeli-belah memang satu perangkap. Kita langsung tidak sedar apa yang berlaku di luar. Kompleks membeli-belah memang dicipta begitu supaya dapat memaksimumkan masa pelanggan di dalam. Lagi lama pelanggan di dalam, lagi tinggi peluang mereka untuk berbelanja, sekaligus lagi menguntungkan pengusaha. Bila aku keluar bangunan untuk ke medan parkir baru aku sedar hujan sedang turun dengan meriahnya.

Ketiga,
atas sebab-sebab tertentu yang tidak boleh aku beritahu, aku perlu berada di satu tempat ini pada jam 6:15 petang, dan masa di jam telefon bimbit aku (aku tidak pakai jam di tangan) menunjukkan masa 5:45 petang. Aku tiada masa panjang untuk dibazirkan.

Aku hanya ada kurang setengah jam untuk selesaikan semua masalah ini, dan hujan langsung tidak beri tanda-tanda untuk reda.



Di sini, sekali lagi, realiti datang ketuk aku tepat di korteks prefrontal otak.

Masalah ini tidak akan terjadi jika aku buat perancangan sebelum membuat keputusan. Sebelum aku beli kerusi itu, aku paling tidak perlu fikir bagaimana cara untuk aku bawa balik ke rumah. Jika aku datang dengan motosikal, mungkin aku patut tangguhkan dahulu pembelian itu sehingga aku boleh datang kembali dengan kereta. Datang dengan kereta juga boleh menyelesaikan isu jika hujan turun. Aku patut tahu sekarang musim hujan di waktu petang. Jika aku perlu kejar masa untuk berada di tempat lain, adalah tidak perlu untuk aku beli kerusi pada waktu itu juga. Kerusi itu tidak akan lari. Aku boleh datang balik pada masa yang lain.

Masalah ini berlaku disebabkan aku tidak fikir panjang, disebabkan aku tidak merancang.

Dalam hidup ini, sebab akan mendatangkan akibat. Setiap perbuatan kita akan diikutkan dengan kesan daripada perlaksanaannya. Sebab itu penting untuk semua makhluk hidup merancang sebelum melakukan sesuatu.

Singa yang kelaparan di gurun tidak akan terus menerkam sekumpulan rusa yang sedang berehat. Singa itu akan duduk meninjau dan merancang sebelum difikirkannya benar-benar berbaloi untuk menerkam.

Nyamuk tidak sewenang-wenang datang ke kulit kita, hinggap, dan hisap darah. Nyamuk akan merancang di mana kawasan di kulit kita yang paling sesuai untuk dihinggap dan dihisap supaya hisapan itu efisien.

Sama juga untuk manusia. Adalah penting untuk merancang setiap perbuatan supaya akibat yang terjadi disebabkannya boleh dikawal.



Sehingga kini, aku hanya hidup untuk terus hidup. Aku langsung tiada rancangan untuk masa depan. Hidup, kerjaya, jodoh, semua aku ambil mudah. Setiap kali datang 'akibat buruk' daripada satu tindakan aku, aku akan salahkan takdir sedangkan aku sendiri tahu aku boleh elak akibat buruk itu kalau aku merancang.

Aku sedang bazirkan terlalu banyak masa aku untuk masa sekarang, sehinggakan aku langsung tiada perancangan untuk masa depan.

Aku kena berubah. Aku tidak boleh lagi berperangai seperti ini. Makin lama aku biarkan, makin jauh diri aku dengan kejayaan.



Tidak sangka hanya sebuah kerusi mampu membuatkan aku berfikir sejauh ini. Mungkin ditambah dengan faktor hujan dan bagaimana aku sedang duduk termenung di medan parkir motosikal melihat langit gelap, tapi aku rasa aku perlu berubah.

Aku perlu untuk lebih merancang dengan kehidupan aku.
Aku perlu rancang hidup aku,
aku perlu rancang kerjaya aku,
dan aku perlu rancang jodoh aku.

Dan aku perlu mulakan dengan merancang bagaimana aku boleh bawa pulang kerusi dengan menunggang motosikal di dalam hujan dalam masa yang semakin suntuk ini.



Sekian.




.

2 comments:

  1. excited sangat tu jumpa kerusi smpi lupa bawak motor.. hehe.. so endingnya ko redah je ke bawak naik motor?

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Raz

      Aku redah je. Tapi aku balut kerusi tu supaya tak basah dan kotor. Susah, tapi itu sahaja jalan yang aku ada. :)

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License