Salam.
Tahniah. Anda menang cabutan bertuah!
Tetapi,
cabutan bertuah ini tidak seperti cabutan bertuah yang lain: anda perlu berkongsi hadiahnya yang bernilai RM 10 dengan seorang lagi peserta, dan peserta tersebut akan menentukan bagaimana untuk membahagi nilai hadiah tersebut.
Anda hanya perlu untuk memilih sama ada akan menerima cadangan pembahagian itu, ATAU menolak cadangan tersebut. Jika anda menerima, nilai RM 10 akan dibahagikan mengikut cadangan. Jika anda menolak, kedua-dua anda dan peserta satu lagi itu TIDAK akan dapat apa-apa. Peserta satu lagi hanya boleh buat satu sahaja cadangan, dan anda perlu untuk menerimanya ATAU menolaknya. Tiada tawar-menawar, tiada cadangan kedua.
Pilihannya mudah, TERIMA atau TOLAK!
Untuk setiap cadangan berikut, adakah anda terima ataupun tolak?
(a) RM 8 untuk anda, RM 2 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(b) RM 5.10 untuk anda, RM 4.90 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(c) RM 5 sama rata. [Terima/Tolak]
(d) RM 4.90 untuk anda, RM 5.10 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(e) RM 3 untuk anda, RM 7 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(f) RM 2 untuk anda, RM 8 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
(g) RM 1 untuk anda, RM 9 untuk pemenang satu lagi. [Terima/Tolak]
Ini adalah satu tugasan situasi khayalan yang diberikan oleh buku yang sedang aku baca sekarang. Buku itu adalah sejenis buku bukan fiksyen dengan genre psikologi yang menyingkap perangai manusia dalam kehidupan seharian.
Mari kita tengok dulu apa keputusan yang aku sendiri buat.
Kalau aku merupakan pemenang itu, aku akan terima cadangan untuk (a), (b), dan (c). Mungkin juga aku akan terima (d) selepas ambil masa untuk berfikir.
Manakala selebihnya untuk (e), (f) dan sudah tentu (g), aku sudah tentu akan tolak.
Kalian pula bagaimana?
Aku yakin tidak jauh beza pun dengan keputusan aku, kan?
Menurut penulis buku berkenaan, hampir semua orang akan menolak cadangan untuk (g). Kita sebagai pembaca pun faham kenapa keadaan itu terjadi.
Namun, jika difikirkan untuk cadangan (g), jika diterima, kita masih lagi akan dapat RM 1. Tapi jika ditolak, kita sudah tentu tidak dapat apa-apa langsung (RM 0). Maka logiknya, cadangan (g) masih lagi menguntungkan jika kita terima berbanding jika kita menolaknya.
Tapi majoriti daripada kita masih lagi menolak cadangan (g), kan?
Kita (manusia) sanggup untuk menolak keuntungan RM 1 demi untuk menghukum peserta lain yang datang dengan cadangan itu (kerana bersikap tidak adil - manakan tidak, dia dapat RM 9, kita hanya dapat RM 1 sedangkan yang menang itu, kita!)
Dalam kes aku (dan keputusan yang aku buat),
aku masih akan menolak untuk (e) walaupun pada dasarnya nilai kemenangan masih lagi ada, iaitu RM 3. Tapi aku mula untuk bertolak ansur (walaupun tidak ikhlas) untuk cadangan (d), kerana beza kemenangan hanya 20 sen.
Keputusan mungkin akan berbeza mengikut individu, tapi majoritinya akan berkisar pada keputusan yang lebih kurang sama.
Kita (manusia) sanggup mengorbankan keuntungan yang sedikit demi untuk menghukum mereka yang dianggap sedang buat kesalahan kepada kita.
Membaca bahagian ini membuatkan aku terkenang peristiwa yang pernah aku saksikan, dan aku rasa majoriti daripada kita pernah tahu, dengar, atau rasai sendiri.
Si A dan si B berbeza jantina dan berkawan baik. Namun pada satu tahap, si A mula merasakan perasaannya terhadap si B adalah lebih daripada kawan. Lantas, si A meluahkan perasaannya terhadap si B dan menginginkan mereka berdua maju ke tahap yang seterusnya (lebih daripada sekadar kawan).
Si B tidak menolak, tapi juga tidak menerima. Kata si B, dirinya dan si A akan menjadi lebih baik jika mereka kekal sebagai kawan. Tegasnya, dinamik sebagai satu pasangan dan sebagai sepasang kawan amat berbeza. Si B tidak mahu dinamik yang ada sekarang berubah selepas bertukar status. Pada si B, dia dan si A lebih baik jika hanya bergelar kawan.
Si A tidak dapat terima keputusan si B. Merasakan dirinya dimalukan, si A membuat keputusan memutuskan hubungan persahabatan antara dirinya dengan si B. Malah, lebih teruk, dia mula memburukkan si B di kalangan kawan-kawan yang lain.
"Ala, macamlah dia tu hebat sangat."
"Aku pun sebenarnya tak ingin, lah!"
"Muka macam tu aku boleh dapat berlambak!"
Ia sebuah kisah klasik di mana luahan perasaan tidak menuju ke arah yang dikehendaki.
Semua pernah tahu. Ramai yang pernah dengar. Ada segelintir yang pernah rasa.
Bila difikir logik, untuk kekal sebagai kawan lebih menguntungkan daripada terus terputus hubungan. Namun si A sanggup untuk korbankan 'keuntungan' itu demi menghukum, yang pada fikirannya, si B sudah berbuat salah terhadap dirinya.
Situasi khayalan yang kita bincangkan sebelum ini pada asasnya ingin menekankan sifat keadilan dan kesamarataan di dalam diri manusia berbanding haiwan (Ya, dalam kajian yang diterangkan di dalam buku itu, haiwan yang miliki 96% gen menyerupai manusia, iaitu cimpanzi (B.I: chimpanzee) bersifat lebih adil dan sama rata mengikut masa) tapi aku lagi suka ingin melihat situasi ini dari sudut lain yang berbeza.
Dari sudut pandangan aku, kita dapat lihat daripada kedua-dua cerita (situasi khayalan dan kisah si A dan si B) apabila manusia berada di bawah pengaruh emosi, manusia sanggup mengorbankan sesuatu yang lebih baik demi untuk menghukum manusia lain.
Aku sanggup rugi nilai hadiah dan pulang dengan tangan kosong hanya kerana marahkan peserta satu lagi yang dapat lebih daripada yang aku dapat. Si A pula sanggup hilang kawan baiknya hanya kerana luahan perasaannya terhadap si B tidak diterima.
Manusia makhluk berperasaan. Memang susah kadang-kadang itu mahu berfikir waras ketika kepala penuh dengan emosi.
Satu cara untuk mengelakkan kita daripada membuat keputusan yang 'rugi' ketika perasaan penuh emosi adalah tidak membuat keputusan. YA. Dengar macam entah apa-apa entah, tapi itulah caranya. Jika kita sedar kita sedang berada di dalam keadaan beremosi (tidak kira emosi baik atau buruk, gembira atau marah), elakkan daripada membuat apa-apa keputusan.
Namun,
jika keputusan perlu juga dibuat, dan masa tidak mengizinkan, salah satu cara yang berkesan adalah dengan mengubah kedudukan diri.
Perasan tak apabila kira gembira secara tiba-tiba (dapat tahu kita menang cabutan bertuah, contohnya), badan kita terasa mahu melonjak. Jika kita gembira waktu duduk, kita terasa mahu berdiri dan meraikan. Jika kita gembira waktu berdiri, kita terasa mahu melompat keriangan untuk melepaskan kegembiraan.
Cara yang sama juga boleh digunakan jika kita sedang mengalami emosi buruk (seperti marah). Jika kita marah waktu duduk, ubah kedudukan dengan berdiri. Jika marah itu datang semasa berdiri, duduklah ataupun pergi berjalan. Perubahan fizikal dan kedudukan ini akan mengawal emosi dalam diri, seterusnya otak boleh kembali berfungsi secara normal dan boleh dipercayai untuk membuat apa-apa keputusan.
Dalam Islam juga digalakkan ketika berasa marah, pergi ambil wuduk. Ustaz kata marah itu api, wuduk itu air, jadi neutral. Tapi ahli sains kata proses untuk mengambil wuduk itu (apabila marah) bukan sahaja memakan masa malah mengubah kedudukan badan; daripada duduk kita bangun dan bergerak ke paip air untuk berwuduk. Air wuduk yang terkena di muka juga dapat menurunkan suhu badan menjadikan badan lebih rileks (jangan pula guna air panas untuk berwuduk). Malah, selepas berwuduk jika dapat terus solat sunat dua rakaat pun tidak merugikan, malah menenangkan.
Pendek kata, jangan buat keputusan penting ketika sedang beremosi.
Aku ada beberapa keputusan yang aku pernah buat yang merugikan, semuanya disebabkan emosi. Sampai sekarang aku kesalinya.
Kalian ada?
Nota kaki:
Di dalam situasi khayalan yang dicetuskan oleh buku yang aku baca itu, jika situasi ini bertukar tangan; kita berada di tempat peserta yang memberi cadangan, dan orang lain pula yang menjadi pemenang, keputusannya akan berubah.
Majoriti daripada kita akan beri cadangan seperti (c) (dan mungkin (b) dan (d)). Ini kerana kita mahu mengimbangkan antara keuntungan dan pandangan pemenang itu terhadap kita. Kalau beri cadangan (a), kita akan rugi banyak, manakala jika beri cadangan (e), (f), dan (g) pula kita akan dilihat sebagai seorang yang tidak adil dan tamak.
Buku yang aku sedang baca itu bertajuk 'Psy-Q: Test yourself with more than 80 quizzes, puzzles, and experiments for everyday life' yang aku beli di jualan Big Bad Wolf beberapa tahun lepas.
.
banyak dah keputusan melulu buat masa marah.. melukakan hati org lain pon ye.. so dah tua2 ni klu marah sgt nangis jelah hahaha
ReplyDelete