Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jun 18, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Dinosaur Batu.




Salam.

Bertemu kita sekali lagi dalam segmen Hari Komuniti, segmen di mana aku menulis hanya untuk kepuasan diri sendiri.

Jika kalian baca episod lepas, aku ada mengutarakan kerisauan bahawa Hari Komuniti untuk bulan Jun jatuh pada raya kedua Hari Raya Aidilfitri. Disebabkan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada 15 Jun DAN Pokémon GO Community Day pula dijadualkan pada esoknya, 16 Jun maka aku jadi bimbang aku tak dapat nak menikmati Hari Komuniti itu sepenuhnya. Tambahan pula Pokémon istimewa untuk Hari Komuniti kali ini ialah Larvitar, salah satu Pokémon meta yang kuat di dalam permainan ini.

Tapi, aku dapat rasa Tuhan Yang Maha Besar sayangkan aku.

Beberapa minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri, atas sebab-sebab tertentu, aku dikhabarkan kami sekeluarga hanya dapat balik ke kampung berhari raya pada hari raya ketiga. Untuk raya pertama dan kedua, cukup sekadar beraya di belantara konkrit ini.

Maka, aku bolehlah sertai Pokémon GO Community Day kali ini. Alhamdulillah.

Sebelum apa-apa, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah satu hari dalam setiap bulan anjuran pihak Niantic Inc. selaku pembangun aplikasi Pokémon GO di mana pada hari berkenaan akan menampilkan satu Pokémon tertentu dan dilepaskan secara banyak dalam jangka masa 3 jam. Semasa tempoh 3 jam berkenaan, bonus-bonus tertentu juga akan diberikan kepada para pemain. Hari Komuniti adalah satu acara yang dinantikan oleh para pemain Pokémon GO.

Aku ada bercerita panjang lebar tentang Hari Komuniti yang pernah berlangsung sebelum ini:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'
Mei - 'Episod Si Naga Hitam.'

Dan seperti yang sudah aku ceritakan tadi, untuk bulan Jun, Hari Komuniti berlangsung pada 16 Jun 2018 dari jam 11 pagi hingga 2 petang (waktu Malaysia) dan Pokémon Larvitar akan menjadi Pokémon penampilan istimewa.


#246 LARVITAR
Rock Skin Pokémon
Larvitar is born deep under the ground. To come up to the surface, this Pokémon must eat its way through the soil above. Until it does so, Larvitar cannot see its parents.



Larvitar adalah Pokémon jenis Batu dan jenis Tanah. Evolusi Larvitar, iaitu Tyranitar adalah antara segelintir Pokémon yang mampu memilki nilai CP melebihi 3000.

Pada Hari Komuniti kali ini, bonus yang akan diterima pemain ada 3x Experience Point (XP) bagi setiap Pokémon yang ditangkap di dalam tempoh masa 3 jam itu dan jika Larvitar dievolusikan kepada Tyranitar dalam tempoh masa itu, Tyranitar itu akan dapat move 'Smack Down' sebagai Fast Move istimewa. Smack Down adalah serangan pantas paling kuat bagi jenis batu.



PERSEDIAAN

Tiada persediaan khusus aku lakukan untuk menghadapi Hari Komuniti kali ini. Kebetulan aku sudahpun ada seekor Larvitar dengan CP yang tinggi dan IV mencecah 98% tersedia di dalam simpanan. Aku cuba untuk kumpul 1480 coins supaya aku boleh beli Community Day Special Box, tapi Hari Komuniti kali ini berlaku serentak dengan acara Water Festival maka sepanjang acara ini, sudah tersedia Special Box yang tidak banyak beza dengan Special Box untuk Hari Komuniti.

Aku berhasrat mahu simpan coin untuk Hari Komuniti bulan depan kerana ikut jadual, Hari Komuniti bulan Julai akan berlangsung sedikit awal; 8 Julai (kalau aku tidak silap).



MISI

Disebabkan Hari Komuniti jatuh pada hari raya kedua, maka aku tidak menetapkan misi-misi yang tidak realistik. Aku, kalau boleh, mahu bermain hanya pada tempoh masa 3 jam itu sahaja dan kembali sambung beraya sesegera selepas itu.

Misi aku kali ini:

1. Tangkap sebanyak mungkin Larvitar dalam tempoh 3 jam Hari Komuniti.
2. Tangkap paling kurang TIGA shiny Larvitar supaya salah satunya boleh dievolusi kepada shiny Pupitar dan satu lagi dievolusi kepada shiny Tyranitar (dengan fast move Smack Down)
3. Kutip Experience Point (XP) sebanyak mana yang mampu.

Untuk kali ini, disebabkan faktor jarak dan hari raya, aku jadikan (sekali lagi) Taman KLCC sebagai destinasi aku memburu Larvitar.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.



HARI KEJADIAN

Aku keluar dari rumah seawal 9:30 pagi menuju ke Pusat Bandar Kuala Lumpur. Hari ini hari raya kedua, maka memang boleh agak dan rasa jalan raya menjadi lengang daripada kenderaan. Warga kota tak kira bangsa ambil kesempatan cuti raya untuk pulang ke kampung. Aku pun tidaklah kejar masa sangat, aku menunggang si kuda putih aku secara santai di lebuh raya.

Sampai ke destinasi jam 10:15 pagi. Walaupun aku kata jalan raya lengang, namun sekitar KLCC dipenuhi dengan orang. Lebih tepat lagi, dipenuhi dengan warga asing yang mengambil masa cuti untuk bersiar-siar beramai-ramai bersama kawan. Dapat dilihat juga Taman KLCC dipenuhi dengan pemain Pokémon GO bukan beragama Islam, kerana pemain Melayu kebanyakannya sedang menikmati raya kedua di kampung. Hanya segelintir sahaja orang berbangsa Melayu yang dapat aku kenalpasti (termasuklah diri aku).

Sejurus sahaja menjejakkan kaki di Taman KLCC, ada Level 5 Legendary Raid sedang berlangsung di sebuah PokéGym di tengah Taman KLCC. PokéGym itu dikenali sebagai 'Colorful Playground' dan merupakan gym yang layak memberi jemputan menentang Mewtwo. Maka, tanpa berlengah masa, aku segera ke sana untuk menentang Legendary Boss untuk waktu ini; Kyogre.

Kyogre adalah Pokémon lagenda dari generasi ketiga dan sudah pernah keluar sebagai Legendary Raid Boss pada satu masa lalu. Namun, kini Kyogre kembali dengan peluang untuk dapatkan Kyogre versi shiny (badan birunya bertukar warna merah jambu).

Dan, cuba teka siapa yang berjaya mendapatkannya?


Pink Levitating Whale.


LUCKY!
Untuk makluman, jika lobi raid penuh dengan 20 pemain, maka paling kurang satu pemain akan dapat shiny Kyogre. Juga, shiny Kyogre ini mempunyai kadar tangkapan 100%, bermakna dengan sekali balingan yang mengena sahaja sudah memadai untuk menangkapnya. Sebab itu aku ambil kesempatan dengan memberi shiny Kyogre ini dengan Pinap Berry, supaya Kyogre Candy yang bakal aku terima akan berganda menjadi 6.

Selepas beberapa ketika, jam sudahpun menunjukkan pukul 11 pagi dan Pokémon GO Community Day untuk bulan Jun pun BERMULA!

Sepanjang 3 jam tempoh masa ini, aku berjaya tangkap 9 shiny Larvitar.
Ya, kalian baca betul. SEMBILAN!.


Sebagai perbandingan, yang kiri adalah Larvitar biasa dan yang kanan ialah Larvitar shiny. Warna Larvitar shiny sedikit gelap dan lebih kehijauan berbanding Larvitar biasa.
Shiny Larvitar ini adalah yang pertama ditangkap; pada jam 11:04 dengan CP 483.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:24 CP 86, jam 11:50 CP 62, jam 11:58 CP 388, jam 12:41 CP 61


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:47 CP 273, jam 12:51 CP 298, jam 12:59 CP 481, jam 13:14 CP 99



Pada jam 11:30 pagi, aku mengevolusi Larvitar dengan IV 98% yang sudah berada dalam simpanan kepada Tyranitar yang hebat dengan fast move Smack Down.


Sengaja aku evolusikan awal-awal supaya aku boleh lebih fokus menangkap sebanyak mungkin Larvitar yang lain.



Pada jam lebih kurang 12 tengahari, satu telur hitan Level 5 Legendary Raid Boss menetas di PokéGym berdekatan. Aku ambil kesempatan ini untuk menentang Level 5 Raid Boss Kyogre untuk kali kedua hari ini.

Dan, sekali lagi nasib menyebelahi aku...


Another Pink Levitating Whale.


...buat kali kedua dalam masa kurang 2 jam, aku berjaya dapat satu lagi shiny Kyogre!
LUCKY!!

Pada kemunculan awal Kyogre dahulu, aku hanya mampu tangkap satu sahaja Kyogre biasa untuk disimpan. Tidak sangka untuk kali ini, aku berjaya tangkap DUA shiny dalam masa yang singkat.



ASING DI TANAH SENDIRI.

Seperti yang pernah aku cakap tadi, walaupun hari ini hari raya kedua, namun Taman KLCC dipenuhi dengan orang. Gambar di bawah adalah gampar para pemain Pokémon GO yang sedang khusyuk menatap telefon masing-masing sambil memburu shiny Larvitar.




Perasan tak kebanyakan dalam gambar itu adalah pemain bukan berbangsa Melayu, kan? Sebilangan kecil sahaja pemain Melayu yang sanggup gadaikan hari raya keduanya untuk permainan.

Gambar seterusnya pula adalah gambaran bahawa betapa penuhnya Taman KLCC disinggahi warga asing yang sedang bercuti raya. Aku sampai rasa macam orang asing di tanah air sendiri.




Tapi pada aku, selagi mana mereka tidak buat kacau dan onar, atau mengganggu orang lain, maka aku rasa tiada masalah kalau mereka nak bersiar-siar pun. Mereka juga manusia yang mahu sekali-sekala berseronok, kan?



MASA UNTUK EVOLUSI

Oh, pada penghujung jam 1 menghampiri jam 2, aku pun mengevolusi satu shiny Larvitar kepada shiny Tyranitar (memerlukan 125 Larvitar candy) dan juga satu shiny Larvitar kepada shiny Pupitar (memerlukan 25 Larvitar candy). Kini, aku sudah memiliki satu keluarga shiny Larvitar yang lengkap.


Shiny Larvitar berwarna lebih kehijauan.
Shiny Pupitar berwarna keunguan.
Shiny Tyranitar berwarna perang-perang tanah.



Aku tamatkan Hari Komuniti aku pada jam 2 petang. Sebenarnya, disebabkan ada gangguan teknikal di awal tempoh masa tadi (di mana menyebabkan munculnya pelbagai jenis 'error' yang membuatkan pemain Pokémon GO kegeraman), pihak Niantic memberi tambahan 2 jam (sehingga jam 4) untuk menangkap Larvitar.

Namun, seperti yang sudah aku beritahu, cukup rasanya segala yang aku dapat tangkap. Memanjangkan lagi tempoh aku bermain tidak akan memberikan kebaikan kepada aku.

Tapi sempat lagi aku menyertai Level 5 Legendary Raid sebelum bergerak balik. Walaupun tidak berjaya menangkap Kyogre itu (dan Kyogre itu bukan shiny), tapi aku masih lagi dapat sejumlah XP yang banyak.



ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Larvitar.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti aku sudah tangkap 23 Larvitar di keliaran. Selepas tempoh 3 jam Hari Komuniti ini, data menunjukkan aku sudah tangkap sejumlah 125 Larvitar. Ini menjadikan aku berjaya menangkap 102 Larvitar pada Hari Komuniti ini.


2. Tangkap paling kurang 3 shiny Larvitar.

Aku berjaya tangkap SEMBILAN shiny Larvitar. Hehe!


3. Kutip Experience Point (XP) sebanyak mana yang mampu.

Menurut rekod yang sudah aku simpan lebih awal, XP aku sebelum Hari Komuniti adalah Level 36: 1,587,009 XP. Manakala selepas tamat Hari Komuniti pula adalah Level 36: 1,718,464 XP. Ini menjadikan jumlah XP yang berjaya aku kutip sepanjang tempoh 3 jam Hari Komuniti ini ialah (1,718,464 - 1,587,009) 131,455 XP. Semuanya daripada 3 Legendary Raid dan bonus 3x XP untuk setiap tangkapan.


Kesimpulannya,
Hari Komuniti untuk bulan Jun ini sangat menyeronokkan kerana bukan sahaja aku mampu tangkap 9 shiny Larvitar, malah aku juga berjaya miliki 2 shiny Kyogre.





HARI KOMUNITI SETERUSNYA, BULAN JULAI

Tarikhnya sudahpun dijadualkan pada 8 Julai 2018. Tarikhnya sedikit awal kerana Niantic ada merancang pelbagai acara lain daripada lewat Jun sehingga ke bulan Ogos. Mungkin hanya tarikh itu sahaja yang sesuai dijadikan Hari Komuniti untuk bulan Julai.

Daripada senarai Pokémon penampilan istimewa untuk Hari Komuniti yang terdahulu, kita sebenarnya dapat teka apa Pokémon yang bakal ditampilkan seterusnya di bulan Julai:

Bulan 1 - Pikachu
Bulan 2 - Dratini
Bulan 3 - Bulbasaur
Bulan 4 - Mareep
Bulan 5 - Charmander
Bulan 6 - Larvitar

Semenjak bulan 3, Pokémon starter yang original (Bulbasaur) mengambil kedudukan berselang satu bulan (Bulbasaur pada bulan 3 dan Charmander pada bulan 5). Maka adalah selamat untuk meneka pada bulan Julai, Pokémon Squirtle akan menjadi Pokémon penampilan istimewa Hari Komuniti.

Kali ini aku 100% pasti ketepatannya.

Squirtle, walaupun bukanlah antara keluarga Pokémon jenis air yang kuat, namun masih ada nilainya. Nilainya akan bertambah selepas moveset istimewa untuk Blastoise diumumkan kelak. Aku pasti aku tidak akan ketinggalan untuk menyertai Hari Komuniti pada bulan Julai depan.



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Kalau panjang umur, jumpa lagi pada bulan hadapan.

Buh-bye!
*sambil menunggang shiny Tyranitar ke arah matahari terbenam*




.


No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License