Salam.
Suatu hari, aku berkesempatan untuk duduk berbual dengan seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun. Kerana umurnya sebaya dengan umur anak buah aku, maka aku tiada masalah untuk melayaninya.
Soalan biasa yang ditanya orang dewasa kepada budak sekolah, juga ditanya oleh aku;
Bagaimana sekolah?
Apa mata pelajaran kegemaran?
Apa cita-cita bila besar nanti?
Ada awek tak di sekolah?
Dan kesemua jawapan yang diberikan kanak-kanak tersebut (mulai sekarang aku gelar dia sebagai Alif - bukan nama sebenar) adalah jawapan yang aku boleh agak. Jawapan yang biasa akan diberi oleh seorang murid darjah dua. Jawapan untuk soalan keempat agak mengejutkan, namun aku simpan ceritanya di kemudian hari.
Kemudian aku bertanya lagi,
"Siapa hero kegemaran Alif?"
"Nabi Muhammad SAW." jawabnya.
Jawapannya ini membawa aku mengimbas memori ke zaman sekolah rendah aku, berpuluh-puluh tahun dahulu...
Dalam sesi pengenalan di awal tahun, mungkin ketika aku di darjah dua, cikgu kelas bertanyakan soalan yang sama;
"Siapa hero kegemaran kamu?"
Sudah tentu, pada zaman itu mana ada lagi era filem superhero yang begitu sarat di pawagam seperti di ketika ini, maka langsung tiada jawapan seperti 'Superman', 'Batman', 'Iron Man', dan segala jenis -man yang ada. Malah, kebanyakan kami langsung tiada jawapan untuk soalan itu. Budak darjah dua, mana mungkin berfikiran jauh sejauh untuk menjadikan satu entiti sebagai simbol hero kegemaran.
Namun ada juga yang mampu memberikan jawapan.
Seorang murid perempuan, yang juga merupakan penolong ketua kelas yang dilantik, menjawab;
"Hero kegemaran saya ialah bapa saya."
"Kenapa bapa awak merupakan hero kegemaran awak?" tanya cikgu. Aku tidak pasti, tapi rasanya nada soalan cikgu itu bercampur baur dengan perasaan terkejut. Mungkin dia sangka muridnya akan beri nama adiwira sebagai hero kegemaran, bukannya manusia biasa.
"Sebab bila hujung minggu, jika kami tidak keluar bersiar-siar sekeluarga, bapa saya akan bawa pulang ayam KFC untuk dimakan bersama-sama."
Walaupun satu kelas menyambut jawapan itu dengan gelak ketawa, tapi itu adalah satu jawapan yang boleh diterima. Budak berumur lapan tahun sudah tentu akan menganggap seseorang yang mampu bawa pulang makanan kegemarannya setiap hujung minggu adalah seorang hero yang patut dikaguminya.
"Hero kegemaran saya ialah pegawai bank," jawab seorang lain murid apabila ditanya.
Mungkin dia salah sangka antara frasa 'hero kegemaran' dengan frasa 'cita-cita', namun sudah menjadi tanggungjawab si cikgu untuk melayan semua jawapan anak muridnya dan kemudian si cikgu bertanyakan kenapa.
"Sebab pegawai bank ada banyak duit. Saya suka bila ada banyak duit."
Kapitalis dalam buatan.
Tidak kira apa pun jawapan para murid untuk soalan itu, semuanya pasti ada sebab kenapa mereka label seseorang sebagai 'hero kegemaran' mereka.
Kembali kita ke Alif dan hero kegemarannya, Rasulullah SAW.
Jawapan Alif menjadikan Rasulullah SAW sebagai hero kegemarannya amat mengejutkan aku. Aku (seperti cikgu aku ketika di darjah dua dahulu) menyangka nama yang akan keluar mungkin 'Captain America', 'Black Panther', atau 'Wonder Woman', namun sebaliknya terkeluar nama pemimpin paling agung untuk seluruh masyarakat Islam, Nabi Muhammad SAW.
Dan juga seperti cikgu aku ketika di darjah dua dahulu, aku bertanya;
"Kenapa pilih Nabi Muhammad SAW sebagai hero kegemaran?"
Alif terdiam.
Aku sangka dia tidak jelas dengan soalan aku, jadi aku olah ayat soalan;
"Apa yang Nabi Muhammad SAW buat yang membuatkan Alif mengaguminya?"
Alif masih terdiam.
Aku jadi keliru. Ada apa-apa yang sudah aku tersalah cakapkah?
"Nabi Muhammad SAW itu siapa, Alif?" tanya aku, lagi.
Alif pun mula membuka mulutnya, namun masih kelihatan ragu-ragu.
"Nabi Muhammad SAW itu Nabi kita."
"Jadi, apa yang buatkan Alif kata Nabi Muhammad SAW itu hero kegemaran Alif?" Suara aku kedengaran mendesak. Maaf. Aku tidak tahu macam mana nak tangani budak kecil dalam situasi sebegini.
"Daddy kata, semua orang Islam kena jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola dan hero. Tak baik kalau jadikan orang lain sebagai hero."
Daripada jawapan Alif, aku sedar satu perkara. Aku mungkin salah, tapi aku juga yakin inilah situasinya.
Daddy kepada si Alif ini mengajar anaknya supaya menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan, hero, dan idola. Tapi aku rasa si Daddy ini langsung tidak pernah ceritakan kenapa patut Alif jadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan, hero, dan idola.
Memang kita akan rasa terkejut dan terharu bila kita tanya budak kecil siapa hero mereka dan mereka jawab "Nabi Muhammad SAW". Mungkin itulah yang nak ditunjukkan oleh si Daddy ketika mengajar Alif tentang Nabi Muhammad SAW.
Namun,
seperti penolong ketua kelas aku yang menjadikan bapanya sebagai hero kerana bawa pulang ayam goreng kegemaran, dan juga seperti kawan sekelas aku yang menjadikan pegawai bank sebagai hero kerana punyai banyak duit, si Daddy juga perlu jelaskan kenapa Alif perlu menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai heronya.
Alif perlukan sebab kenapa Nabi Muhammad SAW harus dilihatnya sebagai hero.
Supaya bila ditanya orang seperti aku tentang kenapa menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai hero, Alif mampu bercerita tentang sebabnya.
Dan si Daddy Alif tadi perlu menceritakan riwayat Rasulullah SAW kepada Alif supaya dia boleh tahu kenapa Nabi Muhammad SAW patut dijadikannya sebagai hero kegemaran.
Dengan hanya menyuruh anaknya menyebut nama Rasulullah SAW sebagai hero tanpa menceritakan sebab kenapa dengan jelas dan nyata, mungkin akan tidak memberikan kesan baik kepada si anak. Lagi teruk, akan mendatangkan kesan lebih buruk kerana pada satu waktu di mana si anak terjumpa 'hero' yang lain dan bersamanya dia tahu sebab 'hero' itu perlu diangkat, dan ;hero' itu bukan Nabi Muhammad SAW, maka segala pemahamannya mengenai Nabi Muhammad SAW akan bertukar dan berubah.
Aku bukan ustaz, juga bukan seorang pendidik, apatah lagi seorang bapa, tapi aku rasa jalan terbaik supaya generasi muda (anak-anak) menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan mereka adalah dengan bercerita tentang riwayatnya, bukan sekadar menyuruh anak-anak menyebutnya.
Malah aku rasa, jika ditanya kebanyakan orang dewasa tentang 'role model' mereka, pasti ramai yang akan jawab Rasulullah SAW.
Tapi seberapa banyak daripada mereka benar-benar memaksudkannya?
Pengajaran juga untuk aku sendiri,
aku rasa, jika ada anak kecil yang bertanya kepada aku tentang Rasulullah SAW tentang kenapa baginda diangkat sebagai pemimpin nombor satu umat Islam, aku pun tidak mampu memberi jawapan yang jitu.
Aku sedar aku pernah belajar mengenai Rasulullah SAW dan seluruh riwayat hidupnya. Berkali-kali sudah aku dengar tazkirah, ceramah kisah sirah, dan bacaan buku-buku riwayat Nabi SAW, namun tiada yang benar-benar tersemat di otak untuk dikenang dan sentiasa diingati.
Aku jadi malu dengan diri sendiri. Konon gelar Nabi Muhammad SAW sebagai idola contoh teladan, namun hanya manis di mulut dan tidak dimaksudkan.
Apa kata mulai sekarang, kita (aku, si Daddy, dan seluruh umat Islam yang sedang membaca) penuhi diri kita dengan ilmu melalui cerita riwayat Nabi SAW. Belajar balik segala ilmu yang pernah masuk tapi sudah tercicir itu. Betul-betul fahami keperibadian Nabi Muhammad SAW supaya baginda betul-betul menjadi idola kita, contoh teladan kita, hero kegemaran kita.
Supaya apabila ada si kecil yang bertanya tentang junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kita boleh menceritakan dengan penuh rasa kasih dan sekaligus menyemai benih kasih sayang terhadap Nabi SAW di dalam sanubari si anak kecil tadi.
Allahumma solli aala saidina muhammad waala alihi wasohbihi wasalim.
Salam Maulidur Rasul 1440h.
Twitter @Dayunk
Instagram @dayangdeno
.
No comments:
Post a Comment
"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026