Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 29, 2018

Stesen Seterusnya: DUNIA EGOSENTRIK.



Salam.





Internet mungkin salah satu ciptaan manusia paling besar ketika ini. Internet memberikan 1001 kebaikan. Malah, sejak 10 tahun lalu, bersama-sama dengan perkembangan internet, mula wujud pelbagai media sosial. Media sosial menghubungkan yang dulunya jauh dibeza jarak menjadi rapat dan dekat hanya di hujung jari. Media sosial menjadi seperti satu cabang baru kepada dunia sebenar.

Media sosial memang satu bentuk kemajuan. Satu bukti manusia semakin ke hadapan. Namun adakah kemajuan ini benar-benar baik?

Kalau ditanya, mesti semua orang ada pengalaman tidak baik tentang media sosial. Pelbagai isu buruk boleh dikaitkan dengan media sosial seperti tersebarnya berita palsu, maklumat yang salah, fitnah yang berleluasa, hilangnya adab sebagai manusia dan isu keselamatan yang terdedah dengan bahaya.

Tapi pada aku, ada satu isu yang walaupun semua orang sedar dan semua orang tahu, tapi langsung tidak diambil berat; iaitu isu 'egosentrik'.

Kita di media sosial begitu seronok mahu memberitahu tentang hari kita, pendapat kita, apa kita makan, apa kita buat, apa kita sokong, apa kita tidak sokong dan sebagainya. Semuanya tentang diri kita.

Media sosial seperti Twitter adalah contoh terbesar 'confirmation bias' di mana kita hanya akan tweet tentang pendapat sendiri, RT perkara yang kita suka, dan 'follow' mereka yang berada dalam kelompok 'suka' kita.

Di dalam Facebook pula, kita sibuk berkongsi berita dan artikel yang merujuk kepada pendirian kita, kita 'add as friend' mereka yang kita suka, dan 'unfriend' mereka yang tidak sekepala dengan kita. Sesetengah kita langsung tidak 'friend' dengan saudara mara, malah ibu bapa sendiri, hanya kerana mahukan lebih ruang kebebasan menyuarakan pendapat.

Di dalam group chat; Whatsapp dan Telegram contohnya, kita hanya akan baca bualan mereka yang kita mahu. Semua orang pernah skrol ke bawah dan abaikan percakapan seseorang yang, pada pendapat kita, tidak perlu untuk kita baca. Bila kita ada sesuatu untuk diceritakan, kita akan terus suarakan tanpa melihat sama ada perbualan mereka sebelumnya sudah selesai atau tidak. Kita semua ada 'private group chat' sendiri di mana di dalamnya kita akan 'berbincang' mengenai mereka yang tiada di dalam group.

Di media sosial, semuanya adalah tentang kita, dan hanya tentang kita. Walaupun kita tahu bukan, tapi di dalam media sosial, kita anggap seluruh alam atas talian itu berputar mengelilingi kita sebagai pusat. Inilah egosentrik.

Perangai ini bukan sahaja diamalkan di dalam internet, malah dibawa keluar ke dunia luar - dunia sebenar.

Bila kita mulakan perbualan dengan orang lain, kita selalu bercerita tentang diri kita.

A: Semalam aku pergi ke KLCC, jalan-jalan dengan kawan.
B: Wah, KLCC! Lama aku tidak ke sana.

F: Panaslah cuaca sekarang. Berpeluh satu badan aku ni.
G: Yalah! Semalam aku tidur pun habis basah satu katil, berpeluh.

M: Aku tidak suka dengan perangai si L itu.
N: Oh, aku ingat aku seorang sahaja yang fikir begitu.

P: Aku ada masalah. Aku harap masalah ini boleh selesai segera.
Q: Aku faham. Aku pun pernah alami juga masalah ini. Jangan risau.


Contoh perbualan di atas mungkin kelihatan biasa, tapi kalau kita teliti, setiap apa yang individu pertama cakap tentang dirinya akan dibalas dengan cerita tentang individu kedua tentang dirinya pula. Setiap individu berebut-rebut mahu bercerita tentang diri mereka masing-masing.

Lebih menyedihkan, kita anggap perbualan ini adalah perbualan 'biasa'. Ya, BIASA.
Kita tidak nampak masalah di dalam perbualan sedemikian.

Masalahnya, jika semua mahu bercakap tentang diri sendiri, siapa yang betul-betul mahu mendengar?

Semuanya kerana kita sudah terbiasa di dalam media sosial, berperangai egosentrik dan hanya bercakap mengenai diri sendiri sehingga terbawa-bawa perangai itu ke dunia sebenar. Tapi fikirkan, bukankah sepatutnya kita bawa perangai dari dunia sebenar ke dalam media sosial, bukannya perangai di media sosial ke dunia sebenar?

Jika dunia atas talian, dunia media sosial adalah cabang kepada kehidupan sebenar, kenapa seolah-olah media sosial lagi kuat mempengaruhi kehidupan sebenar kita?



Kita manusia sedang berada di dalam sebuah keretapi menuju ke hadapan kemajuan kehidupan.
Stesen seterusnya? DUNIA EGOSENTRIK.
.
.
.
.
.

Dan di bawah adalah aku (cEro) turut bersifat egosentrik dan bercerita tentang apa yang aku rasa sekarang:

Aku rasa penat. Penat sangat. Aku dapat rasa manusia keliling aku, sekitar aku jauh terperangkap di dalam alam internet, media sosial. Bila secara fizikal berada di depan mata, namun kesedaran mereka sedang berada di dalam kotak kecil bergelar telefon bimbit di tangan. Aku dapat rasakan sentuhan manusia keliling aku semakin hilang. Bila ditegur, satu dua waktu nampak perubahan, tapi akan kembali ke masalah yang sama selepas seketika. Kita sibuk mahu tersenyum di dalam gambar bersama supaya cantik dikongsi di media sosial sedangkan realitinya senyuman itu hanya wujud apabila sewaktu lensa kamera mengarah ke arah kita. Di sebaliknya, tiada.

Entahlah. Aku sangat penat. Aku hanya mahu duduk di taman dan berbual dengan orang asing yang baru dikenali mengenai apa sahaja perkara, kecuali tentang diri sendiri.

Aku mahukan sentuhan manusia. Aku PERLUKAN sentuhan manusia.

Aku penat.




.

Aug 27, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Eevee.



Salam.

Tarikh paling ideal untuk entri ini diterbitkan adalah pada Isnin 13 Ogos lalu. Namun disebabkan Hari Komuniti ini berlangsung pada 11 dan 12 Ogos, maka 13 Ogos terlalu cepat untuk aku. Lagipun, blog ini bukannya blog 'berita terkini', tapi lebih kepada blog 'kenangan lalu'.

Lalu buat keputusan untuk naikkan entri ini pada Isnin 20 Ogos, tapi waktu itu aku sangat sibuk menguruskan persiapan majlis perkahwinan, maka aku tiada masa untuk duduk dan menaip di depan komputer.

Maka, selepas 2 minggu, akhirnya muncul entri ini.

Ini adalah entri untuk Hari Komuniti Pokémon GO untuk bulan Ogos.


Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanan ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 7 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO yang mula diperkenalkan dari awal tahun 2018 ini di mana setiap edisi Hari Komuniti akan menampilkan Pokémon istimewa bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Berikut adalah senarai 7 Hari Komuniti yang sudah dilalui aku:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'
Mei - 'Episod Si Naga Hitam.'
Jun - 'Episod Dinosaur Batu.'
Julai - 'Episod Kura-Kura Biru.'


Dan seperti biasa, pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

Untuk bulan Ogos, Pokémon istimewa yang ditampilkan ialah EEVEE.


Sumber: Niantic, Inc. (Instagram: @PokemonGOApp)


Eevee adalah sejenis Pokémon generasi pertama berasaskan haiwan empat kaki dengan kemasukan ke-133 Pokédex. Eevee adalah Pokémon jenis normal tetapi kelebihannya berbanding Pokémon normal lain ialah mampu berevolusi kepada jenis-jenis yang berbeza.

Di dalam Pokédex, Eevee diterangkan sebagai:

Evolution Pokémon:
Eevee has an unstable genetic makeup that suddenly mutates due to the environment in which it lives. Radiation from various stones causes this Pokémon to evolve.

Di dalam Pokémon GO, Eevee mampu berevolusi kepada dengan kos Eevee candy sebanyak 25 kepada Vaporeon (jenis air), Jolteon (jenis elektrik), Flareon (jenis api), Espeon (jenis psikik), dan Umbreon (jenis gelap). Kelak di generasi akan datang, Eevee mampu berevolusi kepada Leafeon (jenis rumput) dan Glaceon (jenis ais) dalam generasi keempat dan kepada Sylveon (jenis pari-pari) dalam generasi keenam.

Penyataan secara rasmi mengenai Eevee sebagai Pokémon penampilan istimewa di Hari Komuniti bulan Ogos telah diumumkan pada 14 Julai 2018 yang lalu.





Dan tidak seperti Hari-Hari Komuniti sebelum ini, Hari Komuniti untuk bulan Ogos ini tidak hanya sehari, tetapi berlangsung DUA hari; pada 11 Ogos dan 12 Ogos (Sabtu dan Ahad). Pada kedua-dua hari, waktu utama di mana Eevee akan muncul secara banyak di keliaran adalah pada 11 pagi hingga 2 petang (waktu Malaysia). Dalam tempoh masa ini, Eevee yang berjaya ditangkap akan mempunyai gerakan serangan jenis normal 'Last Resort' sebagai charged move. Juga, jika Eevee dievolusi kepada peringkat seterusnya, Pokémon tersebut juga akan mempunyai 'Last Resort' sebagai charged move.

Bonus di waktu kedua-dua Hari Komuniti ini termasuklah 3 kali ganda Stardust untuk tangkapan dan 3 jam Lure (Umpan) jika dipasang pada Pokéstop.

Ketika membaca berita tentang Hari Komuniti Eevee ini, aku mendengus panjang, mengeluh sambil garu kepala.




ISU YANG BAKAL MENYUSAHKAN.

Pertama, Hari Komuniti kali ini berlangsung DUA HARI; Sabtu dan Ahad (11 dan 12 Ogos). Yang mana baca entri tentang Hari Komuniti aku yang lalu akan tahu walaupun aku suka dan aktif main Pokémon GO, tapi aku tidak suka main berlebihan. Pada aku, 2 hari berturut-turut menggigihkan diri bermain adalah berlebihan.

Maka aku fikir, sebagai penyelesaian aku mungkin hanya akan fokus pada satu hari sahaja, dan bersifat sambil lewa pada hari yang satu lagi.

Kedua, untuk Pokémon GO setakat ini, Eevee mampu berevolusi kepada 5 jenis berbeza (Vaporeon, Jolteon, Flareon, Espeon, dan Umbreon), bermakna kalau aku mahu kumpulkan shiny untuk evolusi Eevee, aku perlu ada paling kurang 6 shiny (5 untuk evolusi dan satu untuk Eevee).


Sumber: Niantic, Inc. (Instagram: @PokemonGOApp)


Walaupun evolusi untuk Espeon dan Umbreon ada cara untuk menjaminnya, tapi evolusi untuk tiga lagi (Vaporeon, Jolteon, dan Flareon) hanya bergantung kepada nasib sahaja kerana aku sudah gunakan helah memberi nama kepada mereka awal permainan dahulu. Helah begitu hanya boleh dipakai sekali sahaja. Maka, kebarangkalian untuk aku bazirkan shiny untuk evolusi yang berulang adalah tinggi.

Aku fikir, penyelesaian untuk masalah ini mungkin ada dua. Satu, disebabkan feature Trade sudah pun diperkenalkan, maka pemain mampu untuk trade Pokémon berganda mereka dengan orang lain yang mempunyai masalah yang sama. Tapi, aku bukanlah pemain sosial, aku solo player, maka cara ini agak susah dan menyusahkan. Maka, aku hanya bergantung kepada penyelesaian kedua iaitu; khabar angin mengatakan di masa akan datang akan diperkenalkan 'batu evolusi' untuk menjadi item bantuan kepada evolusi. Pada ketika 'batu evolusi' itu diperkenalkan, maka mungkin pemain Pokémon GO ada cara untuk menjamin hasil evolusi kepada Eevee.

Aku berpegang kepada berita kemungkinan 'batu evolusi' itu bakal diperkenalkan. Maka, aku akan cari shiny Eevee sebanyak mungkin dan simpannya sehingga hal itu betul-betul berlaku (jika ia AKAN berlaku).

Masalah ketiga, serangan 'Last Resort' adalah serangan jenis normal dan di dalam permainan Pokémon GO ini, jenis normal tidak begitu menyerlah dan membantu. Malah, selepas berevolusi, Eevee tidak lagi akan memegang jenis normal mereka, maka serangan jenis normal untuk Pokémon yang BUKAN jenis normal agak tidak berbaloi untuk disimpan.

Penyelesaian yang aku fikirkan ialah, aku hanya akan evolusikan satu sahaja evolusi Eevee dan dapatkan serangan 'Last Resort' itu hanya sebagai simpanan. Aku memilih untuk evolusikan Eevee kepada Espeon (yang memiliki serangan Last Resort) kerana Espeon adalah evolusi Eevee yang paling berguna untuk serangan Last Resort (sebagai generalist). Evolusi Eevee yang lain agak tidak berbaloi untuk disimpan serangan Last Resort.




PERSEDIAAN.

Tiada persediaan khusus untuk Hari Komuniti Eevee ini.

Antara persediaan yang aku buat adalah;

1) Simpan Pokécoin sebanyak mungkin dengan mempertahankan Pokégym. Pokécoin itu aku berniat untuk gunakan untuk beri jualan istimewa Ultra Box seperti yang selalu berlangsung pada Hari Komuniti.

2) Disebabkan aku suka bermain Pokémon GO di hujung-hujung angka maksimum ruangan simpanan Pokémon, maka aku terpaksa untuk perbesarkan lagi ruangan itu dengan membelanjakan 200 Pokécoin untuk dapat tambahan 50 ruang lagi. Lagipun aku memang perlu ruang tambahan kalau mahu tangkap sebanyak mungkin Eevee yang aku boleh dapat.



MISI.

Aku tidak letakkan misi yang banyak untuk Hari Komuniti kali ini kerana aku mahu lebih fokus dalam menangkap sebanyak mungkin Eevee yang aku mampu supaya aku dapat sebanyak mungkin shiny Eevee yang aku boleh dapat.

Misi aku kali ini ialah;

1. Tangkap sebanyak mungkin Eevee yang aku mampu.
2. Jalan bersama Eevee sebagai Buddy supaya aku boleh evolusikan Eevee itu kepada Espeon yang mempunyai serangan Last Resort.
3. Dapat sebanyak mungkin shiny Eevee yang aku boleh (minimum 9)

Kenapa sembilan?

Kerana untuk aku berjaya dapatkan sekurang-kurangnya satu shiny evolusi Eevee yang aku mahu, aku perlu tangkap sembilan shiny Eevee. Satu aku simpan sebagai shiny Eevee, 5 lagi dievolusi kepada Vaporeon, Jolteon, Flareon, Espeon, dan Umbreon, dan 3 lagi aku simpan untuk evolusi kepada Leafeon, Glaceon, dan Sylveon di masa akan datang.

Aku juga dapati jumlah XP aku pada sehari sebelum Hari Komuniti hanyalah 108,687 XP sebelum mencapai level 38. Maka, misi tambahan aku untuk kali ini ialah dapatkan sebanyak mungkin XP supaya aku mampu rapatkan jurang ini sebelum capai level 38.

Dan untuk hari pertama Hari Komuniti, Sabtu 11 Ogos, destinasi aku untuk memburu Eevee adalah, sekali lagi, Taman KLCC, Kuala Lumpur.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.




HARI PERTAMA, SABTU 11 OGOS.

Aku ambil keputusan untuk fokus menangkap Eevee dan peroleh sebanyak mungkin shiny Eevee pada hari pertama ini. Kalau aku dapat capai misi dan matlamat, esoknya hari Ahad aku tidak perlu segigih mana untuk bermain. Tapi kalau hari Sabtu ini aku gagal capat misi dan matlamat, hari Ahad masih ada peluang untuk aku cuba sekali lagi.

Jam 10:30 pagi, aku sudah berada di Taman KLCC. Aku hanya duduk dan meneliti pemain Pokémon GO yang semakin lama semakin ramai memenuhi ruang taman.

Oh, aku baru teringat untuk jadikan salah satu Eevee dalam simpanan aku sebagai Buddy. Aku pilih satu Eevee yang mempunyai 98% IV (individual value). Aku hanya perlu jalan 10 km sebelum boleh evolusi Eevee ini kepada Espeon. 10 km kedengaran mudah, tapi percayalah, dengan internet yang tidak stabil dan server Pokémon GO yang semakin padat, 10 km merupakan satu cabaran yang sebenar.

Pukul 11 sudah tiba. Hari Komuniti Ogos (yang pertama) pun bermula.

Aku hanya berpusing di sekitar Taman KLCC berkali-kali. Sekali sekala ada juga Boss Raid di sekitaran yang menarik minat aku tapi melawan Boss Raid bukanlah matlamat utama aku. Matlamat aku ialah tangkap Eevee sebanyak mungkin untuk meningkatkan peluang memiliki shiny Eevee sebanyak yang boleh.

Shiny Eevee pertama aku dapat ditangkap seawal 5 minit selepas bermulanya acara.


Perbandingan antara Eevee normal (kiri) dengan shiny Eevee (kanan).


Sepanjang 3 jam tempoh masa untuk Hari Komuniti itu, aku peroleh 9 shiny Eevee.



Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:05 CP 723, jam 11:21 CP 386, jam 11:30 CP 624


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:47 CP 91, jam 11:53 CP 436, jam 12:14 CP 168



Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:39 CP 88, jam 13:01 CP 732, jam 13:33 CP 553


Apabila jam menunjukkan pukul 2, bermakna Hari Komuniti Eevee untuk hari pertama sudahpun berakhir. Aku hanya mampu dapatkan jarak berjalan bersama Buddy sejauh kurang 4.1 km sahaja. Jauh lagi mahu mencapai 10 km.

Tiada Eevee atau shiny Eevee yang aku evolusikan pada hari Sabtu ini.




RUMUSAN HARI PERTAMA.

Sebelum bermula Hari Komuniti, aku berada di level 37 dengan 2,391,313 XP (experience point). Setelah tamat Hari Komuniti yang pertama, XP aku meningkat kepada angka 2,439,308. Aku berjaya peroleh 47,995 XP pada hari Sabtu itu.

Menurut data simpanan, sebelum mula Hari Komuniti ini, aku sudah menangkap 528 Eevee. Selepas tamat Hari Komuniti untuk hari Sabtu pula jumlahnya menjadi 649. Maka, untuk hari pertama, aku berjaya tangkap 121 Eevee.

Sembilan daripada 121 Eevee yang aku tangkap itu adalah shiny.

Aku sudahpun peroleh nilai minima untuk shiny Eevee. Maka untuk keesokan hari, aku tidaklah perlu terlalu gigih memburu shiny seperti hari Sabtu.




HARI KEDUA, AHAD 12 OGOS.

Hari Ahad dan aku berada di rumah keluarga.
Pada aku, sebenarnya boleh sahaja untuk aku abaikan hari kedua Hari Komuniti ini, tapi setelah difikirkan aku perlu berjalan bersama Eevee untuk dievolusikan kepada Espeon, dan aku hanya peroleh 9 shiny Eevee iaitu angka minimum untuk matlamat aku, aku buat keputusan untuk keluar juga menangkap Eevee pada hari ini.

Tapi aku hanya keluar bergerak di kawasan sekitar perumahan aku itu, menaiki motosikal.

Keluar rumah tepat jam 11 pagi, aku hanya berhenti di kawasan-kawasan yang aku tahu menjadi titik tempat kemunculan Pokémon di keliaran. Niat aku, sambil-sambil bergerak menangkap Eevee, kalau ada rezeki dapat shiny itu sudah dikira beruntung.

Dan aku berjaya tangkap DUA shiny Eevee.



Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:07 CP 161, jam [unknown] CP 88


Ini merupakan kali pertama aku jalani Hari Komuniti hanya di sekitar kawasan perumahan dan kejiranan. Jumlah Pokémon yang muncul, walaupun lebih banyak daripada hari lain (hari normal bukan Hari Komuniti), tapi kemunculannya tidak semeriah jika aku pergi ke kawasan tumpuan seperti Taman KLCC dan Taman Tasik Shah Alam.

Aku juga balik rumah awal, tidak sampai pukul 2 petang waktu tamat Hari Komuniti. Cuaca sangat panas dan aku rasa kurang bermotivasi kerana masih lagi kepenatan dek Hari Komuniti yang semalamnya.




RUMUSAN HARI KEDUA.

XP aku meningkat dari 2,439,308 kepada 2,468,578 menjadikan peningkatan sebanyak 29,270 XP. Aku masih lagi berada di level 37. Untuk meningkat ke level seterusnya, aku perlu capai 2,500,000 XP.

Menurut data simpanan, sehingga semalamnya Sabtu, aku sudah menangkap 649 Eevee. Selepas tamat hari kedua ini pula, jumlahnya menjadi 746. Maka, untuk hari kedua, aku berjaya tangkap 97 Eevee. Boleh tahan untuk separa kegigihan.

Dua daripada 97 Eevee yang aku tangkap itu adalah shiny.

Aku masih gagal untuk capai 10 km jarak berjalan bersama Buddy. Nasib baik Niantic ada umumkan, waktu untuk peroleh serangan Last Resort selepas evolusi dilanjutkan sehingga hari Selasa jam 4 pagi. Maka aku masih ada sepanjang hari esoknya Isnin untuk selesaikan 10 km jarak berjalan itu.




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Eevee yang aku mampu.

Jumlah tangkap untuk hari pertama adalah 121 Eevee dan untuk hari kedua adalah 97 Eevee. Maka jumlah tangkapan Eevee untuk kedua-dua Hari Komuniti ini adalah 218 Eevee.


2. Jalan bersama Eevee sebagai Buddy supaya aku boleh evolusikan Eevee itu kepada Espeon yang mempunyai serangan Last Resort.

Akhirnya aku berjaya capai 10 km jarak berjalan bersama Eevee pada siang hari Isnin untuk membolehkan aku evolusikan Eevee tersebut Espeon. Selepas berbelanjakan 25 Eevee candy, buddy aku berevolusi kepada Espeon yang mempunyai serangan 'Last Resort'. Aku namakan Espeon itu sebagai Last Resort.


3. Dapat sebanyak mungkin shiny Eevee yang aku boleh (minimum 9)

9 shiny Eevee berjaya aku tangkap pada hari pertama dan tambahan lagi 2 pada hari kedua. Tiada shiny Eevee yang aku evolusikan kerana aku akan simpan semuanya selepas ada cara untuk jamin hasil evolusi itu (mungkin guna batu evolusi atau cara-cara lain yang belum diumumkan).


Kesimpulannya,
dua hari berturut-turut untuk satu Hari Komuniti, pada aku, sedikit berlebihan. Tapi hal ini boleh difahami kerana Eevee ada pelbagai evolusi, maka logik untuk diadakah dalam format sebegini. Harapan aku, tiada lagi Hari Komuniti yang seperti ini.

Aku simpan semua shiny Eevee dengan harapan satu masa kelak akan ada cara untuk jamin hasil evolusi. Mungkin aku boleh evolusikan kepada shiny Espeon dan shiny Umbreon memandangkan kedua-dua Pokémon tersebut ada cara untuk menjamin hasilnya (Untuk Espeon, jadikan Eevee sebagai Buddy dan dapatkan jarak berjalan 10 km dan dua Eevee candy sebagai ganjaran sebelum evolusikannya pada waktu siang. Untuk Umbreon, sama seperti Espeon tapi dievolusikan pada waktu malam)

Aku amat berharap 'batu evolusi' akan diperkenalkan pada masa akan datang.

Juga, untuk Hari Komuniti kali ini, aku langsung tak beli Ultra Box daripada jualan masa terhad. Entahlah. Walaupun cukup coin untuk beli Ultra Box itu, tapi aku langsung terasa tidak bernafsu untuk membelinya. Simpanlah coin itu untuk acara di masa akan datang.




HARI KOMUNITI SETERUSNYA, BULAN SEPTEMBER.

Pada 15 Ogos lepas sudahpun diumumkan Pokémon yang akan dijadikan penampilan istimewa untuk Hari Komuniti bulan September nanti.



Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)


CHIKORITA!
Chikorita adalah Pokémon jenis rumput dan salah satu daripada 3 Pokémon pemula untuk generasi kedua. Nampaknya, Niantic masih lagi gunakan pola selang satu bulan untuk Pokémon pemula sebagai penampilan istimewa Hari Komuniti.

Chikorita (dan seluruh evolusinya) pada dasarnya bukanlah satu Pokémon yang hebat tidak kira secara umum atau sesama jenis rumput. Maka, Hari Komuniti Chikorita kali ini memang sepenuhnya akan aku dedikasikan untuk mengumpul shiny sahaja, KECUALI kalau akan datang ada pengumuman tambahan daripada pihak Niantic Inc selaku pembangun permainan Pokémon GO ini. Manalah tahu, kan?

Chikorita merupakan Pokémon pilihan aku jika aku main permainan Game Boy Pokémon Gold and Silver. Aku suka Chikorita berbanding Cyndaquil dan Totodile kerana serangan Razor Leaf dia sangat....comel :)

Lagipun ada sehelai daun besar di atas kepala yang kelihatan seperti rambut, bukankah satu ciri-ciri yang.... comel??

Tarikh Hari Komuniti untuk bulan depan bulan September jatuh pada 22 haribulan, hari Sabtu. Aku tidak pasti sama ada aku akan mampu untuk sertai acara Hari Komuniti pada tarikh itu, tapi aku akan pastikan aku akan dapatkan Pokémon shiny untuk paling tidak setiap satu evolusi Chikorita.



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Kalau umur panjang, episod Chikorita bakal menyusul kemudian.

Buh-bye!
*berlari menuju matahari terbenam sambil mengendong Chikorita di celah ketiak*





.

Aug 24, 2018

Komik SCOOPERS: Misi Fotog Lagenda. BERBALOIKAH?



Salam.

Peringatan!
Entri yang bakal anda baca ini adalah satu entri berbentuk kritikan penulis (cEro) terhadap hasil kerja insan lain. Insan itu mungkin seseorang yang anda kenal, anda kagumi, atau mungkin diri anda sendiri. Anda ada pilihan untuk tidak teruskan membaca, tetapi jika anda teruskan juga, maka anda dianggap sudah bersetuju dan memahami bahawa ini adalah 100% pandangan peribadi penulis tanpa niat jahat. Walaupun jelas niat penulis, namun selaku manusia, penulis mungkin juga ada membuat silap. Maka dengan rasa rendah diri, jika ada salah silap, penulis dengan setulus ikhlas memohon maaf.

Minta maaf.




Untuk segmen 'BERBALOIKAH?' kali ini, perkara yang akan dibincangkan ialah sebuah komik bertajuk 'SCOOPERS: Misi Fotog Lagenda'.

Komik ini merupakan salah satu daripada hanya sebilangan kecil komik yang aku beli di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2018 yang lepas. Komik ini adalah jilid pertama untuk tajuk ini. Jalan ceritanya ditulis oleh penulis siri komik MISI, Nazry Salam dan pelukisnya ialah seorang pelukis komik yang dikenali di kalangan pelukis tempatan, Hyrohiku.

Di pasaran Semenanjung Malaysia, komik SCOOPERS: Misi Fotog Lagenda (mulai sekarang akan aku paling hanya SCOOPERS) dijual pada harga RM 10 dan di Sabah/Sarawak pula berharga RM 12. Dan jika kalian fikir aku beli semasa PBAKL akan membuatkan aku bayar pada harga promosi yang lebih rendah, kalian salah. Komik SCOOPERS ini dijual pada harga asal sepanjang PBAKL 2018.

Komik SCOOPERS ini merupakan terbitan Komik-M di bawah PTS Publishing House Sdn. Bhd.

Sebab kenapa aku beli buku ini, tanpa perlu aku berselindung, ialah lukisannya hanya hitam putih, tidak seperti buku komik terbitan Komik-M yang lain yang majoritinya berwarna. Pendapat aku secara peribadi, ada beberapa buku Komik-M yang sepatutnya bagus namun dirosakkan oleh kaleris yang, entahlah...pada aku, gagal menjalankan tugas dengan baik (mungkin?).





Idea Jalan Cerita & Originaliti.

Untuk info, perkataan 'originaliti' tiada dalam daftar kata Dewan Bahasa dan Pustaka. Originality adalah perkataan Inggeris bermaksud berdaya cipta, bersifat asli.

Idea jalan ceritanya mudah.
Dalam satu alam fantasi, terdapat satu perkerjaan yang diminati ramai. Pekerjaan itu memerlukan untuk menyelesaikan misi mengikut tahap kesukaran yang ditentukan menerusi tahap si pekerja. Ceritanya, di sebuah kampung ini terdapat seorang anak muda yang boleh dilabel gagal dan lemah, bercita-cita untuk berada di puncak pekerjaan tersebut. Tanpa disedarinya, pemuda ini sebenarnya memiliki kebolehan terpendam yang misteri, dan cerita ini adalah perjalanan pemuda itu meneroka kuasanya untuk mencapai cita-cita.

Oh, maaf.
Cerita di atas adalah ringkasan kepada jalan cerita manga NARUTO di mana Naruto yang pada awalnya seorang yang gagal bercita-cita untuk menjadi ninja yang paling dihormati; seorang Hokage. Ninja diberikan misi untuk diselesaikan berdasarkan tahap mereka itu sendiri.

Eh, sekejap.
Tapi dalam komik SCOOPERS ini, watak utamanya Weera yang juga seorang yang gagal, juga mahu menjadi seorang jurufoto pada tahap tertinggi yang digelar Scooper. Para jurufoto perlu selesaikan misi berdasarkan tahap mereka.

Hmm...originaliti.

Mungkin SCOOPERS mahu mengambil formula NARUTO dan ONE PIECE, di mana penamat jalan cerita sudahpun kita tahu. Naruto yang bercita-cita mahu menjadi Hokage akan menjadi Hokage di hujung cerita. Luffy di dalam One Piece yang mahu menjadi Pirate King sudah tentu akan jadi Pirate King di hujung cerita. Cuma, komik SCOOPERS ini adalah jilid pertama untuk pengembaraan Weera. Mungkin seperti Naruto kena tunggu sehingga jilid ke-72 sebelum berjaya menjadi Hokage, Weera juga mungkin akan ada perjalanan yang jauh sebelum berjaya menjadi Scooper.

Ok, untuk ringkasan jalan cerita yang lebih tepat, biar aku salin balik ringkasan yang tertulis di muka belakang komik SCOOPERS ini:


Di sebuah dunia yang kaya dengan pelbagai spesies flora dan fauna yang luar biasa, fotografi menjadi satu bidang yang lumayan. Profesion sebagai jurugambar adalah impian kebanyakan kanak-kanak dan remaja, termasuklah Weera yang bercita-cita menjadi Scoopers, iaitu gelaran bagi jurugambar tahap tertinggi.

Namun, bukan mudah untuk menjadi Scoopers. Pelbagai misi berbahaya perlu dihadapi, hingga ada yang perlu mengorbankan nyawa!


Ringkasnya, SCOOPERS adalah NARUTO versi jurufoto di mana kunai dan shuriken bertukar menjadi kamera.





Lukisan & Pelukis.

Untuk berbincang tentang lukisan di dalam komik SCOOPERS ini, kita perlu berbincang tentang pelukisnya, Hyrohiku. Di kalangan pelukis komik tempatan, terutamanya pelukis amatur, Hyrohiku memang sudah dikenali. Beliau adalah pemenang berkali-kali di dalam Cabaran Komik Online Malaysia anjuran Matkomik yang sudah berkali-kali aku sentuh di dalam blog ini.

Pencapaian Hyrohiku sudah ditulis secara padat di dalam komik SCOOPERS ini. Dengan kata lain, Hyrohiku memang bukan pelukis komik sebarangan.

Lukisannya, sekali pandang sudah tahu berada di tahap yang tinggi. Pada pendapat aku, Hyrohiku memang suka melukis. Buktinya, di setiap panel, Hyrohiku tidak jemu untuk lukis secara terperinci. Bahagian yang kalau pelukis biasa lain hanya akan gunakan 'screentone', untuk Hyrohiku pula akan lukis dan garis satu persatu menggunakan kudratnya. Lukisannya kaya dengan garisan dan stroke, melengkapkan lukisan latar belakang, dan menjadikan setiap panel berisi penuh dan padat.

Namun, kotak panel yang padat ini ibarat pisau dua mata.

Kotak yang padat dengan lukisan (latar belakang) kadang-kala menjadikan subjek utamanya tenggelam. Ada beberapa bahagian di dalam komik SCOOPERS ini jelas kelihatan serabut dek lukisan latar belakang yang terlalu terperinci walaupun sebenarnya tidak perlu pun. Namun, mungkin disebabkan pengalaman yang Hyrohiku ada, tidak semua kelihatan serabut. Malah ada lukisan yang terlalu teliti dan terperinci sehingga menimbulkan rasa kekaguman dengan alam yang dia cipta. Lagipun, cerita SCOOPERS ini berkisar tentang keindahan flora dan fauna yang luar biasa, maka lukisan sebegini (kadang kala) sangat membantu.

Tapi kita tidak perlu perlihatkan setiap daun di sebatang pokok hanya untuk menjadikan pokok itu indah, kan?

Lukisan yang kaya dengan garisan dan stroke mengingatkan aku kepada komik Attack on Titan (Shingeki no Kyojin) karya Isayama Hajime. Pada kali pertama aku baca manga Attack on Titan (ya, aku baca komik itu, bukan sekadar tonton animenya) aku berpendapat bahawa lukisannya terlalu serabut dengan garisan yang banyak berada di merata tempat. Namun, selepas beberapa tika membaca, aku dapati gaya lukisan sedemikian amat bersesuaian dengan nada dan genre yang dibawa manga Attack on Titan yang sangat berat dan sedikit gelap. Aku tidak dapat bayangkan Attack on Titan mampu berjaya jika dilukis dengan gaya lain.

Namun, untuk komik SCOOPERS ini, jalan ceritanya tidaklah seberat Attack on Titan dan juga penuh dengan humor, maka lukisan yang penuh dengan garisan yang sarat (aku rasakan) tidak perlu. Jalan cerita sebegini lebih sesuai dengan gaya lukisan yang lebih bersih, sekali lagi, seperti lukisan Kishimoto Masashi yang melukis manga Naruto.

Jangan salah faham. Aku tidak merendahkan lukisan Hyrohiku. Lukisannya memang tidak dinafikan amat cantik dan bertaraf tinggi. Namun, jalan cerita dan gaya lukisan sedikit tidak seimbang. Ia seperti melihat pelakon air mata seperti Fauziah Nawi melakonkan watak komedi di dalam sketsa Senario. Ia tidak salah, cuma kelihatan tidak berada di tempatnya.





Ulasan.

Daripada 112 muka bercetak (tidak termasuk kulit), 100 daripadanya adalah jalan cerita yang dilukis Hyrohiku.

Untuk industri manga di Jepun, sebelum manga menjadi tankobon (dijilidkan), manga tersebut diterbitkan di dalam majalah mingguan (atau bulanan). Setiap terbitan ada satu bab. Setiap bab mempunyai 15-20 muka surat cerita. Setelah cukup bab diterbitkan (mungkin 8-11 bab), maka akan dijilidkan ke dalam satu buku (yang dipanggil tankobon).

Hal ini menyebabkan di dalam tankobon, kita dapat lihat perbezaan satu persatu antara satu bab. Selalunya antara bab akan diselangi dengan muka surat kosong (yang kadang-kadang diisi juga dengan lukisan ringkas). Aku tidak pasti apa muka surat kosong ini dipanggil secara rasmi, tapi aku sendiri memanggilnya sebagai 'resting period'.

'Resting period' ini adalah tempat untuk pembaca memilih untuk berhenti membaca. Janggal jika pembaca berhenti di tengah bab, kerana jalan cerita sedang berlangsung. Di 'resting period' ini, pembaca boleh memilih untuk berhenti membaca, berhenti seketika, atau teruskan ke bab seterusnya.

Dalam komik SCOOPERS ini, tiada langsung 'resting period'. 100 muka surat yang dilukis Hyrohiku berlangsung secara terus tanpa berhenti, tanpa pembahagian bab yang jelas.

Ini adalah masalah besar untuk 'slow reader' macam aku.

Ketika membaca komik, aku bukan hanya membaca jalan cerita, aku juga akan meneliti setiap lukisan yang ada di dalam muka surat. Ini yang membuatkan aku lambat membaca komik. Satu muka surat kadang-kadang mengambil masa yang lama walaupun hanya terkandung sebilangan kecil kotak panel.

Membaca SCOOPERS membuatkan aku amat penat kerana tiada tempat untuk berhenti rehat. Ada satu ketika, aku mahu berhenti sebentar membaca kerana mata aku penat, tapi aku tidak tahu di mana patut aku berhenti kerana jalan ceritanya berterusan tanpa ada transisi yang jelas. Tambahan lagi lukisan Hyrohiku yang penuh dan padat dan langsung tiada ruang kosong membuatkan otak aku berkerja lebih keras hanya untuk menghabiskan 100 muka surat.

Alangkah baiknya jika komik SCOOPERS ini dibahagikan ke bab yang lebih kecil, bukannya 100 muka berterusan. 100 muka boleh dibahagikan kepada 5 bab. Dengan pembahagian bab juga akan membuatkan pelukis (Hyrohiku) senang untuk melukis kerana lukis 5 bab dengan 20 muka satu bab kedengaran lebih 'mudah' daripada lukis 100 muka.


Jalan ceritanya walaupun boleh diramal, namun masih unik kerana bertemakan alam sekitar, flora dan fauna. Satu tema yang jarang diangkat oleh pengkarya tempatan mahupun luar negara. Plot, susun letak dan isi dialognya berkembang seiring dengan jalan cerita. Penulis tidak perlu letak kotak dialog tambahan untuk menerangkan istilah-istilah khusus untuk komik ini, cukup sekadar isi dialog para watak yang secara 'subtle' menerangkan segalanya seiring dengan perkembangan cerita. Isi dialog memang ternyata dikendali oleh orang yang berpengalaman dalam menulis.

Jenaka di dalam komik SCOOPERS ini tidaklah hambar, namun tidaklah terlalu berkesan. Cukup sekadar menjadi penyeri kepada watak dan jalan cerita. Aku suka dengan plotnya yang dilihat tidak tergesa-gesa. Penulis tidak gelojoh untuk memberitahu semua perkara di awal cerita. Pembaca dibawa perlahan-lahan bersama-sama untuk memahami alam fantasi SCOOPERS ini.

Satu perkara yang aku sangat nak tahu ialah, disebabkan komik ini ditulis oleh Nazry Salam, penulis untuk siri komik MISI, dan sub-tajuk kepada komik ini adalah Misi Fotog Lagenda, adakah SCOOPERS termasuk di dalam alam yang sama dengan siri komik MISI yang lain? Kalau ya, bagaimana alam fantasi di dalam SCOOPERS boleh dibawa masuk ke dalam alam logik siri MISI?

Oh, aku juga dapat tahu seluruh siri MISI dipanggil sebagai 'Misi Comical Universe' ataupun singkatannya MCU. Is it official? Seriously you guys gonna use MCU too?

Hm...originaliti.





BERBALOIKAH?

Masuk soal utama entri ini, BERBALOIKAH?

112 muka surat bercetak dengan 100 muka daripadanya adalah cerita tanpa rehat, pada aku, amat penat untuk dihabiskan. Ada beberapa masa ketika sedang membaca membuatkan aku berfikir, "bilalah nak habis, bilalah nak habis..."

RM 10 untuk komik senipis ini mungkin tidak sesuai untuk pembaca kanak-kanak dan remaja. Kalau ditebalkan sedikit dengan harga yang sama mungkin akan membuatkan pembeli lebih puas. Nak tebalkannya mudah, bukan hanya tambah lukisan, malah tambah juga muka surat 'resting period', juga mungkin profil watak dan ruangan 'di sebalik tabir pembikinan'. Naikkan nilai keberbaloian komik ini dengan perkara-perkara trivial seperti itu.

Namun, belanjakan RM 10 untuk lukisan master Hyrohiku pada aku sangatlah berbaloi. Lukisan beliau ini boleh dijadikan rujukan dan kerajinan beliau untuk melukis latar belakang dengan sangat terperinci patut dijadikan pembakar semangat.

Saiznya serasi dengan komik tempatan yang lain (terutamanya terbitan Komik-M) menjadikan komik ini berbaloi untuk menjadi simpanan di rak buku aku. Design kulit depan juga amat menarik walaupun sedikit pelik kerana wujudnya kamera yang berwarna macam-macam.





Penutup

Walaupun banyak rungutan untuk buku komik ini, tapi aku rasa aku akan beli jilid kedua apabila sudah keluar nanti hanya kerana aku mahu tahu lebih lanjut tentang jalan cerita komik ini. Aku juga mahu melihat perubahan di dalam jilid seterusnya.

Tapi kemungkinan besar jika tiada perubahan di jilid SCOOPERS yang seterusnya, terutamanya berkenaan 100 muka cerita berterusan itu, aku mungkin tidak akan terus membeli jilid yang seterusnya. Membaca komik, pada aku, sepatutnya tidak menyusahkan. Perlu berpenat mata menahan untuk habiskan satu cerita, pada aku, adalah sesuatu yang menyusahkan.

Walaupun banyak kekurangan yang boleh dikenalpasti, namun aku percaya komik ini mempunyai potensi yang tinggi, terutamanya apabila dua nama besar dalam industri bekerjasama untuk satu karya yang unik seperti ini. Namun semuanya bergantung kepada pemilik karya itu sendiri.

Aku pernah sentuh tentang isu pemilik karya komik yang boleh dilihat 'syok sendiri' di dalam industi komik tempatan. Mereka tidak mahu berubah, dan hanya mahu ikut kemahuan diri sendiri. Aku cuma harap dua pengkarya komik SCOOPERS ini tidak tergolong ke dalam golongan 'syok sendiri' ini.


Komik SCOOPERS: MISI FOTOG LAGENDA ini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara pada harga pasaran RM 10.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 12.00 (Sabah/Sarawak).




Baca juga review komik dalam segmen BERBALOIKAH yang lain:

- Buku Kompilasi 'Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM)' 2017.
- Komik 'Krik! Krik! Krik!' oleh Svetlana Chmakova.




.

Aug 22, 2018

Korban.



Salam.




Korban.
Apa itu korban?

Menurut laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), korban bererti (3.) pemberian (kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu) sebagai tanda kebaktian (kasih dan lain-lain).

Jadi bagaimana sesuatu perkara boleh diiktiraf sebagai satu pengorbanan?
Adakah syarat berkorban adalah untuk kebaikan pihak lain selain daripada diri yang mengorban?
Adakah perkara yang dikorbankan perlu sesuatu yang besar?

Adakah orang yang berkorban duit RM 100 untuk diberikan kepada orang lain lebih bagus daripada yang hanya berkorban RM 10?
Adakah orang yang memberikan 10 ekor lembu kepada surau untuk dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha lebih baik daripada orang yang membelanjakan seekor kambing?

Jadi bagaimana jika yang berkorban duit RM 100 itu adalah mereka yang kaya raya, yang di dalam poketnya paling kurang ada RM 1000?
Bagaimana pula jika yang membelanjakan seekor kambing untuk dibuat korban pada Hari Raya Aidiladha adalah hasil tabungan selepas bertahun-tahun membanting tulang menoreh getah manakala yang memberikan 10 ekor lembu pula datang dari keluarga yang berada hasil harta keturunan?

Adakah ibu yang berkorban penat untuk anak lebih tinggi darjatnya daripada orang asing yang berkorban untuk mereka yang langsung tidak dikenalinya?

Adakah lebih baik kita berkorban sesuatu untuk mereka yang tinggi darjatnya berbanding mereka yang lebih hina, sebagai contoh, seorang penagih dadah?

Siapa manusia yang layak tentukan pengorbanan siapa lebih mulia daripada orang lain?



Jawapannya, tiada siapa.
Tiada manusia berhak tentukan satu pengorbanan itu lebih mulia daripada mana-mana pengorbanan lain. Yang layak dan sebenar-benar layak untuk menilai sesuatu pengorbanan hanyalah Yang Maha Besar.



Dalam Islam, korban adalah satu ibadah penyembelihan binatang ternakan (na’am) seperti kambing, lembu atau kerbau yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha atau pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah.

Maka, jika pengorbanan itu membuatkan manusia menjadi bongkak, bangga, dan tinggi diri, sibuk jaja cerita korban di sana-sini dan seantero media sosial, bukankah maksud sebenar korban itu sudahpun jaug lari?



Tanya diri sendiri, bila kali terakhir kita berkorban yang boleh dikira sebenar-benar korban?

Selamat Hari Raya Aidiladha 1439h.



.

Aug 15, 2018

Mesej Tersembunyi #2


Salam.




Bertemu kembali entri kedua untuk 'Mesej Tersembunyi'.

Entri pertama: 'Mesej Tersembunyi'

Aku mohon maaf di mana pada entri pertama, aku langsung tidak terangkan apa yang patut kalian buat untuk dapat mesej yang aku sembunyikan. Jadi untuk kali ini aku akan terangkan secara lebih terperinci.

Untuk siri 'Mesej Tersembunyi' ini, aku akan sorok kata rahsia di satu tempat di dalam entri ini. Bagaimana aku sorok, bagaimana cara nak dapatkannya akan berbeza tiap kali siri. Apa yang kalin perlu buat adalah cari kata rahsia itu dan tinggalkan di ruangan komen.

Siapa paling awal tinggalkan komen 'kata rahsia' dikira pemenang utama. Yang berjaya jumpa kata rahsia dan tinggalkan di ruangan komen juga dikira pemenang walaupun bukan yang pertama.

Buat masa sekarang aku tidak terniat untuk beri hadiah kepada pemenang kerana pada level ini, kata rahsia yang tersorok amat senang untuk ditemui. Namun aku ada perancangan untuk tingkatkan kesusahan di masa akan dan kemungkinan sesiapa yang boleh selesaikannya akan diberi hadiah.

Dan mulai sekarang, kita akan panggil siri ini sebagai 'level'.


Tujuan.

Entri ini tiada tujuan khusus. Aku buat sekadar suka-suka. Aku suka cabaran puzzle macam ni, jenis yang buat gear dalam otak berpusing bekerja. Otak kita ni macam mesin. Kalau lama tidak bekerja, boleh berkarat.

Salah satu sebab aku buat entri ini juga adalah untuk kongsi gambar yang ada dalam galeri telefon bimbit aku. Entahlah, bila aku skrol galeri dalam telefon aku ini, banyak rupanya gambar yang (pada aku) menarik tapi entah kenapa aku langsung tak kongsi di media sosial. Jadi melalui entri ini, paling tidak, gambar-gambar itu akan berguna juga tidaklah terperap di dalam kad memori menunggu untuk hilang disebabkan korup.




Jadi apa lagi yang ditunggu?
Bolehkah kali gali di mana kata rahsia yang aku sorok?

Macam mana nak tahu itu kata rahsia? You'll know it just by looking at it.

Good luck!




.

Aug 8, 2018

Karbon Di Atas Kertas Kajang.



Salam.




Beberapa minggu lepas aku mula kemas bilik aku sedikit demi sedikit. Sampai sekarang, bilik itu masih belum kemas sepenuhnya lagi sebab aku buat secara perlahan. Ikutkan, aku mampu sahaja kemaskan seluruh bilik dalam masa satu hari kalau betul-betul letak tenaga dan tumpuan, tapi aku tidak suka berpenat sebegitu. Aku ambil masa untuk belek satu demi satu benda yang aku kemaskan. It's time-consuming, but it's also satisfying.

Hujung minggu lepas aku kemas satu kotak berisi kertas-kertas, difahamkan kotak itu adalah dari zaman belajar dahulu. Beberapa perkara dapat aku jumpa, contohnya seperti surat cinta daripada bekas kekasih lama. Aku tak buang surat tu. Aku sengaja simpan, supaya setiap kali aku lihat surat itu, aku dapat ingat balik sakitnya bila dibuang seperti sampah satu masa dahulu. I'm a masochist like that. But that's another story to tell.

Salah satu benda yang aku jumpa dalam kotak itu adalah beberapa helai kertas kajang yang dikepilkan dengan klip kertas. (rujuk gambar)

Ia adalah cerpen yang aku tulis. Lebih tepat, 7 keping kertas kajang bersaiz A4 dengan garisan sempit (narrow lined), ditulis dengan pensel pada kedua-dua belah kertas, dan bertajuk 'Merdeka Itu Hati'.

Walaupun aku kata itu cerpen yang aku tulis, tapi aku jujurnya tak ada memori langsung untuk cerpen ini. Tulisan atas kertas itu memang tulisan aku. Malah daripada tekanan tulisan dan warna karbon pensel, aku tahu cerpen itu ditulis menggunakan pensel tekan biru yang menjadi kegemaran aku pada masa itu (dan masih ada pada hari ini).

Namun, yang peliknya, aku tak ingat langsung aku pernah tulis cerpen atas kertas sepanjang ini dengan pensel. It's a rare discovery.

Aku jarang lupa apa yang aku buat, terutamanya perkara seperti menulis cerpen ini sebab aku bukannya selalu tulis cerpen, apatah lagi atas kertas.

Tapi disebabkan aku kenal diri aku, aku tahu, pasti ada sebab kenapa aku tulis cerpen ini dan kenapa aku boleh lupa.

Salah satu tekaan ilmiah aku ialah semasa aku tulis cerpen ini, emosi aku secara amnya mungkin tidak stabil. Mungkin pada waktu itu aku tulis bukan dengan sepenuh hati walaupun akhirnya menulis sampai 7 helai. Mungkin aku masih bersedih sebab putus cinta, atau penat belajar, maklumlah, tiada pelajar universiti yang tidak tertekan. Ketidakstabilan emosi itulah yang membuatkan aku terus lupa dengan kewujudan cerpen ini.

Cerpen ini tidak bertarikh. Pada tahun 2011, aku mula letakkan tarikh ke atas kesemua kerja aku (karya seni, tulisan, gambar, folder dan sebagainya) sebagai satu cara untuk aku jejak balik masa bila kerja itu dilakukan. Maka, untuk cerpen yang tiada tarikh ini bermakna aku tulisnya sebelum tahun 2011.

Tapi apa yang lebih menarik ialah tajuk cerpen ini; MERDEKA ITU HATI. Pasti cerpen ini ditulis sekitar waktu sambutan Hari Merdeka, 31 Ogos. Logiklah, kan? Siapa nak tulis cerpen tentang MERDEKA pada bulan Januari.

Malah, selepas dibelek, di hujung sebelah kiri setiap perenggan ada tercatat bilangan perkataan, dan di bawah muka surat terdapat jumlah patah perkataan untuk muka surat itu. Namun, pengiraan perkataan berhenti pada helaian keempat, menjadikan kerja kira perkataan ini adalah kerja separuh jalan.

Walaupun cerpen ini siap ditulis, namun aku hanya kira perkataannya separuh jalan.

Selalunya, kerja aku akan dihentikan separuh jalan bila aku rasa kerja itu tidak lagi memberi makna seperti apa yang aku harapkan. Bila sesuatu kerja itu sudah tidak bermakna, aku memang tidak akan teruskan. Sebab itulah BANYAK kerja aku yang tidak habis, bukan sebab aku jenis yang suka buat separuh jalan, sebab aku tidak mahu teruskan.

Dan cerpen ini juga mungkin salah satu daripada itu.

Keperluan untuk aku kira patah perkataan membuatkan aku terfikir, adakah aku tulis cerpen ini untuk menyertai mana-mana pertandingan? Logik. Kalau aku mahu tulis atas dasar sekadar suka-suka, maka aku tidak perlu kira patah perkataan yang ada, kan?

Pengiraan perkataan hanya separuh jalan mungkin menunjukkan aku sangat menghampiri tarikh tamat penyertaan pertandingan. Dan apabila aku rasa aku tidak akan sempat, maka aku berhenti mengira dan biarkannya tersimpan begitu sahaja.

Tapi kalau ini untuk pertandingan, kenapa aku tidak taip sahaja di dalam komputer? Kerja lebih mudah, kan?

Hal ini membuatkan aku terfikir, adakah aku tulis cerpen ini pada waktu selepas peristiwa laptop aku kena curi di masjid?

Pada tahun 2009, aku pernah hilang laptop di masjid sebuah universiti. Pada waktu solat, aku letak beg yang berisi laptop di tempat orang lain letak beg beramai-ramai. Selepas selesai solat Zohor berjemaah, aku dapati beg aku sudah tiada. Tiada beg orang lain yang hilang kecuali beg aku. Beg berisi laptop itu BUKAN beg laptop, tapi sekadar beg biasa, membuatkan aku terfikir si pencuri itu tahu beg itu berisi laptop sebelum itu lagi. Aku syak, dia ikut aku dari awal lagi dan akhirnya berpeluang mencuri di masjid ketika aku solat jemaah.

Mencuri di masjid semasa orang lain solat jemaah. Manusia punya kompas moral memang mengagumkan.

Selepas laptop aku hilang, aku ada satu tempoh masa yang agak lama sebelum aku dapat miliki laptop baru. Laptop bukan sepuluh sen dua. Maka, cerpen ini mungkin ditulis semasa tempoh aku tiada laptop.

Dengan itu, aku boleh kecilkan skop masa dan teka bahawa cerpen ini ditulis pada sekitar bulan Ogos tahun 2009. Kebetulan pada ruang masa yang sama, aku sedang bersedih putus cinta.


Jujurnya, aku belum baca lagi cerpen yang aku tulis ini. Aku akan baca, tapi aku perlu ambil satu masa untuk betul-betul baca sepenuhnya cerpen ini. Aku sangat nak tahu tahap pemikiran aku pada masa lebih kurang 9 tahun dahulu. Orang kata, pemikiran manusia boleh ditelah melalui apa yang ditulisnya. Adakah pada waktu itu aku lebih kreatif, atau banyak kelemahan yang dapat aku sekarang perhatikan?

Kemas bilik, walaupun aktiviti biasa yang semua orang pernah lakukan, tapi aku berjaya tukar aktiviti itu kepada satu sesi mengenal diri aku yang dahulu.





Terima kasih kerana sudi baca kisah aku mengenal diri ini.
Aku sentiasa teruja bila dapat kenal diri sendiri sekelumit dua perkara.
Secara teknikalnya, entri ini tidak memberikan apa-apa manfaat pun kepada pembaca. Tapi blog adalah satu-satunya medium untuk aku kisahkan apa yang berlaku dengan diri aku dalam bentuk 'cerita', jadi terima kasih kerana masih lagi membacanya.

Lepas aku baca cerpen yang aku tulis itu,
adakah kalian rasa aku patut kongsikannya di sini?
Jenuh juga rasanya nak taip balik tulisan 7 helai kertas kajang narrow line ni.





.

Aug 6, 2018

PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Kucing Besar Elektrik Lagenda.



Salam.

Wow! It's August already.
Rasa macam baru semalam sambut tahun baru 2018.

Moving on!

Bulan baru bermakna episod baru di dalam siri Penyelidikan Lapangan. Untuk Ogos, watak utama penyelidikan ialah salah satu daripada tiga Pokémon daripada kelompok 'legendary beast', Pokémon Lagenda Binatang Elektrik, Raikou.





Selamat datang ke episod baru Penyelidikan Lapangan.

Jika kalian baru sahaja tahu tentang siri ini, kalian agak lewat.

Sila baca episod sebelum ini:
1 - Episod Burung Api Lagenda.
2 - Episod Burung Elektrik Lagenda.
3 - Episod Burung Ais Lagenda.
4 - Episod Raksasa Tidur.

Dan seperti biasa, pemberitahuan:
Ini adalah entri yang sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.

FIELD RESEARCH (Penyelidikan Lapangan) adalah salah satu feature di dalam Pokémon GO seperti pengembaraan di mana apabila pemain pergi ke satu lokasi dan memusing cakera gambar di PokéStop, pemain akan diberikan tugasan untuk diselesaikan. Setiap tugasan ada ganjarannya sendiri, dan apabila dapat diselesaikan, pemain akan diberi cop tarikh. Cop tarikh hanya diberi satu setiap hari dan apabila berjaya mengumpul 7 cop tarikh, maka ada ganjaran yang lebih besar akan diberi.

Sejak Penyelidikan Lapangan diperkenalkan bermula bulan April, tiga bulan pertama akan memberikan trio Pokémon lagenda burung; Moltres, Zapdos, dan Articuno. Pada bulan lepas bulan Julai, ganjarannya adalah Pokémon Snorlax dengan serangan legasi 'Body Slam'.

Pada 27 Julai lalu, satu pengumuman muncul di slot 'News' (Berita) di dalam Pokémon GO. Pokémon yang akan menjadi ganjaran kepada Penyelidikan Lapangan pada bulan Ogos ini ialah Pokémon Lagenda Binatang Elektrik, RAIKOU.





Raikou adalah Pokémon jenis elektrik lagenda di dalam kelompok 'legendary beast' bersama-sama Entei dan Suicune. Aku tidak pasti apa terjemahan tepat untuk 'beast'. Dalam entri yang lepas, aku ada sebutnya sebagai 'Pokémon Anjing Lagenda' tapi 'anjing' kurang tepat untuk terjemahkan 'beast' kerana 'beast' adalah panggilan untuk haiwan berkaki 4, termasuklah kucing, kuda, haiwan ternakan dan sebagainya yang berkaki empat, bukan semata-mata anjing. Lagipun, kalau dilihat, Raikou lebih menyerupai kucing dan harimau daripada anjing, kan?

Raikou pernah menjadi Pokémon untuk raid level 5 beberapa bulan yang lalu dan tak pernah kembali lagi. Para pemain Pokémon GO sedikit lega apabila Raikou diperkenalkan sebagai ganjaran untuk Field Research kerana kebanyakan pemain tidak banyak peluang untuk memiliki Raikou pada masa dahulu.

Tanpa berlengah masa, pengembaraan aku untuk menangkap Raikou pun BERMULA!


------------------------- ------------


Raikou hanya boleh didapati sebagai ganjaran untuk Research Breakthrough bermula 1 Ogos 2018 jam 1 petang PDT, dan jika ditukar ke waktu Malaysia, bermula 2 Ogos 2018 jam 4 pagi.

Berkat kegigihan, aku masih lagi tidak langsung pernah tertinggal satu pun cop tarikh untuk Field Research setiap hari bermula daripada feature Field Research mula diperkenalkan. Daripada pengiraan, aku akan mula mengumpul cop tarikh untuk Raikou bermula pada tarikh 28 Julai 2018.












Selepas seminggu selesaikan tugasan dengan penuh kegigihan, pada tarikh 3 Ogos, aku berpeluang bertemu semula dengan si Professor yang obses dengan Pokémon ini.





Dan seterusnya memberikan aku kotak terkandung ganjaran daripada hasil kumpul cop setem bertarikh setiap hari.





Selepas kotak itu ditekan, beberapa ganjaran lain juga muncul seperti:
- +2000 Stardust
- +3000 XP
- +3 Rare Candies,

dan seterusnya aku berpeluang untuk menangkap hasil ganjaran untuk bulan ini.







Muncullah Raikou pada level 15 dengan CP 1413. Diberikan Raikou itu dengan Pinap Berry untuk menggandakan candy Raikou dua kali ganda (2x3 = 6) kerana Raikou sebagai ganjaran ini TIDAK AKAN MELARIKAN DIRI. Selepas 3 kali percubaan, Raikou berjaya ditangkap!




Raikou pertama sebagai ganjaran Field Research Breakthrough yang aku tangkap ini selepas dikira berada di pada 87% untuk IV (individual value). 100% IV Raikou pada level 15 mempunyai CP 1435, bermakna semakin hampir CP Raikou yang ditangkap dengan angka, maka IV-nya semakin bagus.

Setelah dikira, kalau aku mampu kekalkan setiap hari satu cop tarikh, aku mampu dapat 5 Raikou (termasuk yang pertama ini) sepanjang bulan Ogos. Aku buka ganjaran untuk Field Research setiap hari Jumaat dan kebetulan 31 haribulan hari terakhir bulan Ogos ini jatuh pada hari Jumaat.



Ulasan.

Raikou adalah antara Pokémon lagenda jenis elektrik yang amat berguna di dalam permainan. Aku tidak mahu sentuh bab serangan, DPS atau sebagainya, cukuplah tahu bahawa jika miliki Raikou dengan IV yang tinggi dan cukup candy, Raikou amatlah berbaloi untuk di-'Power-Up'.

Tapi Raikou pada level 15 memerlukan banyak candy jika mahu ditingkatkan. Penglibatan 'Rare Candy' amatlah diperlukan. Namun adalah baik untuk tunggu selepas selesai dapat kesemua Raikou yang mampu didapati daripada Field Research sebelum Power-Up supaya dapat memilih mana satu yang mempunyai IV paling tinggi di antaranya.

Malangnya, kesemua Pokémon lagenda tidak boleh digunakan sebagai 'pertahanan' di PokéGym. Maka, Pokémon lagenda seperti Raikou ini hanya berguna sebagai 'penyerang' jika mahu menjatuhkan sesebuah PokéGym mahupun menewaskan boss raid.

Kembalinya Raikou sekali lagi di dalam Pokémon GO, walaupun kini sebagai ganjaran kepada Field Research, memberi peluang kepada pemain baru dan juga pemain yang baru kembali untuk memilikinya selepas terlepas peluang semasa Raikou menjadi boss raid level 5 dahulu.

Secara peribadi, aku sukakan design Raikou yang seperti harimau dan berwarna kuning. Kalau aku boleh dapat Raikou dengan IV yang lebih tinggi (90% ke atas) aku mungkin akan bela dia dan Power-Up Raikou tersebut kerana aku kurang Pokémon elektrik yang hebat.

Untuk bulan depan bulan September, kalau perlu diteka, rasanya ganjaran untuk Field Research ialah Pokémon lagenda binatang selepas Raikou iaitu Entei. Namun, Niantic selaku pembangun permainan Pokémon GO mungkin akan guna format seperti Hari Komuniti di mana Pokémon yang datang berangkai (trio pemula) akan berselang seli dengan Pokémon lain.

Apa-apapun, jawapan untuk apakah Pokémon untuk bulan depan hanya akan terjawab pada hujung bulan ini.

Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Lapangan di bulan hadapan.
Selamat menjalankan penyelidikan!




.

Aug 1, 2018

Mesej Tersembunyi.




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License