Salam.
Korban.
Apa itu korban?
Menurut laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), korban bererti (3.) pemberian (kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu) sebagai tanda kebaktian (kasih dan lain-lain).
Jadi bagaimana sesuatu perkara boleh diiktiraf sebagai satu pengorbanan?
Adakah syarat berkorban adalah untuk kebaikan pihak lain selain daripada diri yang mengorban?
Adakah perkara yang dikorbankan perlu sesuatu yang besar?
Adakah orang yang berkorban duit RM 100 untuk diberikan kepada orang lain lebih bagus daripada yang hanya berkorban RM 10?
Adakah orang yang memberikan 10 ekor lembu kepada surau untuk dikorbankan pada Hari Raya Aidiladha lebih baik daripada orang yang membelanjakan seekor kambing?
Jadi bagaimana jika yang berkorban duit RM 100 itu adalah mereka yang kaya raya, yang di dalam poketnya paling kurang ada RM 1000?
Bagaimana pula jika yang membelanjakan seekor kambing untuk dibuat korban pada Hari Raya Aidiladha adalah hasil tabungan selepas bertahun-tahun membanting tulang menoreh getah manakala yang memberikan 10 ekor lembu pula datang dari keluarga yang berada hasil harta keturunan?
Adakah ibu yang berkorban penat untuk anak lebih tinggi darjatnya daripada orang asing yang berkorban untuk mereka yang langsung tidak dikenalinya?
Adakah lebih baik kita berkorban sesuatu untuk mereka yang tinggi darjatnya berbanding mereka yang lebih hina, sebagai contoh, seorang penagih dadah?
Siapa manusia yang layak tentukan pengorbanan siapa lebih mulia daripada orang lain?
Jawapannya, tiada siapa.
Tiada manusia berhak tentukan satu pengorbanan itu lebih mulia daripada mana-mana pengorbanan lain. Yang layak dan sebenar-benar layak untuk menilai sesuatu pengorbanan hanyalah Yang Maha Besar.
Dalam Islam, korban adalah satu ibadah penyembelihan binatang ternakan (na’am) seperti kambing, lembu atau kerbau yang dilakukan pada Hari Raya Aidiladha atau pada hari-hari Tasyrik (11,12 dan 13 Zulhijjah) dengan niat untuk menghampirkan diri kepada Allah.
Maka, jika pengorbanan itu membuatkan manusia menjadi bongkak, bangga, dan tinggi diri, sibuk jaja cerita korban di sana-sini dan seantero media sosial, bukankah maksud sebenar korban itu sudahpun jaug lari?
Tanya diri sendiri, bila kali terakhir kita berkorban yang boleh dikira sebenar-benar korban?
Selamat Hari Raya Aidiladha 1439h.
.
"Maka, jika pengorbanan itu membuatkan manusia menjadi bongkak, bangga, dan tinggi diri, sibuk jaja cerita korban di sana-sini dan seantero media sosial, bukankah maksud sebenar korban itu sudahpun jaug lari?
ReplyDeleteTanya diri sendiri, bila kali terakhir kita berkorban yang boleh dikira sebenar-benar korban?"
Deep Cero, deep.. 😢😢😢
Selamat Hari Raya AidilAdha :)
ReplyDelete