Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Apr 30, 2018

RAKSASA SAKU: Episod Pertarungan Kedua Menentang Fliza.






Salam.

Pada 13 April 2018, sewaktu pertama kali aku membuka permainan aplikasi Pokémon GO di telefon bimbit untuk hari tersebut, terkeluar satu 'pop-up' message memberitahu sesuatu:




Untuk kedua kali, aku mendapat jemputan untuk menyertai EX Raid menentang antara Pokémon paling susah dimiliki para pemain, Mewtwo.

Oh, sebelum aku lupa, seperti biasa. Ini adalah entri berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO, menjadikan entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.

Untuk makluman, Mewtwo adalah Pokémon dari generasi pertama (Kanto) yang dikatakan paling kuat dan paling susah untuk ditewaskan. Di dalam permainan Pokémon GO, peluang untuk bertemu dan menentang seterusnya peluang untuk menangkap Mewtwo hanya diberikan pihak Niantic Inc. (pembangun aplikasi Pokémon GO) kepada pemain yang memenuhi kriteria mereka.

Aku bercerita panjang lebar tentang pengalaman aku pertama kali menentang 'Fliza' ini di entri ini:
RAKSASA SAKU: Episod Jemputan Menentang Fliza.

Kali ini, tempat jemputan JUGA di Shah Alam, lebih spesifik, Taman Tasik Shah Alam. Aku rasa jemputan ini diberikan kerana pada kali pertama menentang Mewtwo tempoh hari (8 April), selepas tamat perlawanan, aku sempat lagi pergi sertai satu Level 5 Legendary Raid Battle di PokéGym ini, memberikan aku kelayakan untuk menerima sekali lagi jemputan menentang Mewtwo.

Malangnya, jemputan itu bakal berlangsung pada tarikh 23 April 2018. Dan menurut kalendar aku, tarikh itu adalah pada hari Isnin. Semasa dapat tahu tarikh tersebut jatuh pada hari bekerja, iaitu Isnin, dalam hati aku dapat rasakan yang aku terpaksa ambil keputusan untuk tidak menyertainya.

Tapi ini Mewtwo kot. Ramai pemain lain berebut nak memiliki peluang yang aku dapat tapi mereka tak dapat. Tak akan aku senang-senang nak lepaskannya tanpa usaha, kan?

Maka disebabkan acara berlangsung bermula jam 1:30 PM (waktu rehat), maka aku rasa aku terpaksa merancang untuk jauh melencong dari tempat yang aku sepatutnya ada pada hari Isnin itu ke Taman Tasik Shah Alam dalam masa yang singkat.

Pendek kata, aku curi tulang untuk bermain Pokémon GO.



HARI KEJADIAN (ISNIN, 23 APRIL).

Aku tidak boleh beritahu 'nature' kerja aku, tapi aku berjaya sampai ke Shah Alam pada hari itu lebih awal, 12:00 tengahari. Aku sampai terlalu awal kerana aku dapat rasakan cuaca bakal tidak mengizinkan. Kalau-kalau cuaca nak hujan atau apa, biarlah aku sampai dahulu supaya memudahkan segalanya.

Niat hati mahu singgah ke McDonald's merasa burger promosi baharu mereka, tapi disebabkan pada waktu itu adalah waktu rehat para pekerja pejabat, maka tempat makan termasuk McDonald's sudah dipenuhi orang kelaparan. Aku, menjadi diri aku, tidak berminat untuk berebut apatah lagi beratur untuk makanan. Lagipun perut ini masih lagi kekenyangan dek sarapan berat pagi tadi.

Moving on...

Setelah bersusah payah mencari tempat parkir motosikal (c'mon Shah Alam, kata bandaraya tapi kenapa susah sangat nak cari tempat parkir yang elok?) aku buat keputusan untuk rembat satu set Roti Boy dengan air soya daripada kedai Roti Boy untuk dijadikan bekal.

Dengan bekal yang ada, aku menuju ke Taman Tasik Shah Alam (berjalan kaki) untuk terus berada di tempat 'pertarungan' lebih awal. Pada aku, kalau hujan turun pun paling tidak aku sudah sampai.


Tempat pertarungan adalah PokéGym yang ada telur hitam di hujung tasik sana.
Timer menunjukkan 53 minit lagi sebelum telur menetas.
Telur dan timer hanya boleh dilihat pemain yang mempunyai EX Raid Pass.




Oh, kalau kalian perasan, aku sudah tukar avatar dalam Pokémon GO kepada watak perempuan. Why? Just because...just because!

Daripada imej peta di atas (punya atas) kalian akan mendapati untuk aku ke tempat pertemuan itu, aku perlu keliling separuh tasik, di mana kalau ditanya 'tak penat ke?' jawapan aku ialah PENAT LAA OI!

Tapi,
dalam perjalanan aku mengelilingi tasik itu, aku nampak satu bayang di bahagian 'sightings'. Ada Pokémon di PokéStop berdekatan yang masih belum pernah aku temui setakat ini. Pokémon baru (untuk aku).

Kemaskini terbaru aplikasi Pokémon GO (update 0.99.2) memberikan pemain dengan satu kelainan. Pokémon yang ditunjukkan di bahagian 'sightings' akan mengutamakan Pokémon yang masih belum pernah ditemui pemain, memudahkan pemain untuk terus berusaha melengkapkan Pokédex masing-masing.

Aku pun apa lagi, terus ke PokéStop berkenaan. Alaaa, dapat perjalanan ke arah tempat pertarungan juga lokasinya pun.


Itu dia, Lileep, tersorok di sebalik PokéStop.

Lileep dilabel sebagai 'Sea Lily Pokémon', Pokémon dari jenis batu dan rumput. Menurut kisah daripada siri Pokémon, Lileep adalah Pokémon fosil yang pernah pupus dan dibangkitkan semula.


Maka bertambahlah satu lagi entri Pokédex aku. Bagi pemain yang sudah menangkap hampir majoriti daripada Pokémon yang sudah dilepaskan (Kanto, Johto dan Hoenn), dapat buka entri di Pokédex yang baru, walaupun satu, adalah satu nikmat.

Moving on...

Aku sampai di PokéGym yang dituju pada masa kurang 30 minit sebelum telur menetas. Aku cari satu pondok dan aku duduk menikmati Roti Boy yang aku beli tadi. Roti Boy memang sesuatu. Sedap. Aku percaya rotinya dipanggil Mexican Bun tapi kalau aku salah sila betulkan.

Langit mula gelap. Hujan mula turun perlahan membasahi lantai Taman Tasik Shah Alam.

Walaupun aku bersyukur sudah sampai ke tempat yang dituju, tapi hujan yang turun mungkin akan memberikan sedikit masalah. Contohnya, pemain tidak cukup ramai untuk datang berlawan bersama, atau PokéGym tidak dapat dicapai di tempat yang boleh berteduh (pondok yang sedang aku duduki sedikit jauh dari PokéGym itu, maka tidak boleh berinteraksi dengan Gym)


Dari tempat aku berteduh, PokéGym tidak boleh dicapai.



Ya, hujan turun.
Tapi alhamdulillah, hujan turun tidak lebat. Mampu membasahi jalan, tapi tidaklah menyusahkan. Lalu dari pondok tempat berteduh itu, aku berlari anak-anak menuju ke tandas awam, tempat berteduh yang paling hampir dengan PokéGym. Aku menuju ke bahagian belakang tandas awam itu kerana di situ terdapat atap awning, sesuai untuk berteduh. Tidak perlulah sampai aku berkhemah DI DALAM TANDAS, kan? Hehehe. Sampai sahaja di situ, rupanya sudah ramai lagi menunggu berteduh. Mereka semua adalah pemain Pokémon GO yang juga mendapat EX Raid Pass seperti aku.

Syukur walaupun hujan namun masih tidak mematahkan semangat para pemain.

Waktu menetas hampir tiba. Kebetulan aku berada berdekatan dengan pemain yang bertugas untuk mengumpulkan para pemain daripada kumpulan Instinct (kuning) iaitu kumpulan aku. Aku ambil keputusan untuk memohon kebenaran menyertai mereka dan tanpa berfikir panjang, mereka bersetuju.

Siapa tidak setuju kalau ada 'fire power' tambahan, kan?

Sedar tidak sedar, jam sudah masuk 1:30 petang. Telur hitam di PokéGym ini pun menetas. Muncullah Mewtwo dengan Combat Power (CP) 49430. Orang yang bertugas mengumpul orang tadi pun tidak membuang masa lama kerana aku percaya, kebanyakan mereka adalah orang yang curi ambil masa sebelum tamat waktu rehat. Maka lagi cepat selesai lagi baik.

Kami, dengan kekuatan 17 orang pun masuk menentang Mewtwo.


Walaupun hujan, namun dapat kumpulkan 17 orang pemain daripada Instinct yang sama amatlah menguntungkan.




Kami berjaya tewaskan Mewtwo itu dalam masa kurang 80 saat. Aku tidak perlu pun gunakan kumpulan 6-Pokémon kedua kerana hanya perlukan 4 Pokémon dalam kumpulan aku untuk menewaskan Mewtwo ini.

Habis sesi pertarungan (yang mudah), masuklah sesi peluang penangkapan.


Fliza mula mahu menyerang. Aku peroleh 12 Premier Ball untuk peluang menangkap.


Dapat tangkap dalam balingan keempat dengan balingan Excellent.
Gotcha!


Maka tambahlah satu lagi 'Fliza' dalam simpanan Pokémon aku. Dengan CP 2258, Mewtwo kedua ini dikira lebih tinggi 'individual value (IV)'-nya daripada Mewtwo pertama aku tempoh hari. Menurut pengiraan, Mewtwo ini berada di tahap 93% IV dengan poin untuk serangan adalah 15/15. Wow, kan?

Tamat sudah segalanya, aku perlu bergerak balik.

Hujan yang tadi turun perlahan, kini semakin renyai, membuatkan aku tidak mustahil untuk meredahnya. Walaupun sedikit basah, tapi aku tetap mengukir senyuman kerana aku berjaya tangkap 93% IV Mewtwo. Ho ho ho!


Keadaan PokéGym itu selepas selesai menentang Mewtwo. Simbol raksasa hitam itu akan hilang selepas 45 minit mula menetas Mewtwo, iaitu jam 2:15 petang.


Selepas selesai solat Zohor, aku sempat singgah ke McDonald's seksyen 3 Shah Alam untuk melantak burger. Hmmm...mungkin aku akan buat review tentang burger berkenaan di entri yang akan datang. Nantikan!

Aku tidak pasti bilakah pada masa akan datang untuk aku dapat dijemput sekali lagi untuk EX Raid ini. Tapi kalau aku dijemput, aku rasa kemungkinan besar untuk aku tidak sertai adalah tinggi kerana rasanya dapat DUA Mewtwo sudah pun mencukupi. Dapat banyak daripada itu tidak memberikan apa-apa kelebihan kepada aku.

Jumpa lagi dalam episod RAKSASA SAKU yang akan datang. Sekian.







.

Apr 25, 2018

Si Gadis Kedai Kasut.



Salam.

Nikmat.
Menurut definisi, nikmat adalah satu kurniaan, satu anugerah daripada Penguasa mutlak, Pemilik sekalian alam. Kehidupan manusia itu sendiri adalah nikmat. Setiap manusia melalui perjalanan hidup yang berbeza-beza, menjadikan nikmat yang dinikmati setiap daripada kita adalah berlainan dan tidak pernah sama.




Memperkenalkan Green, seorang lelaki bujang dan berkerjaya yang masih mencari cinta.

Pada suatu petang selepas habis waktu kerjanya untuk hari itu, Green membuat keputusan untuk ke kompleks membeli-belah berhampiran rumahnya. Niat Green adalah untuk membeli barangan dapur. Lumrah orang bujang, barangan dapur hanya dibeli mengikut keperluan. Jika pada hari itu datang keinginan untuk memasak, maka pada waktu itu juga barulah bersusah payah membeli segala barang mentah. Sebab itu kabinet dapur di rumah sewa Green sentiasa kosong dan bersih, kadang kala menjadi sarang mengumpul habuk dan sawang.

Barang mentah sudah dibeli, namun jam masih awal lagi. Green mengambil masa yang ada untuk berjalan-jalan sekitar kompleks membeli-belah itu. Tiada apa khusus yang mahu dicarinya, cukup sekadar membunuh waktu sebelum pulang ke rumah. Fikirnya, alang-alang sudah ke sini, sekali sekala untuk dirinya mencuci mata apa salahnya.

Penat berjalan tanpa hala tuju, Green melabuhkan punggung ke atas satu tempat rehat yang disediakan pihak kompleks. Tempat duduk itu diperbuat daripada kayu. Rata dan keras. Kelakar bila memikirkan setiap tempat rehat di kompleks membeli-belah langsung tiada yang selesa. Memang niat pengurusan menjadikan tempat itu tidak selesa kerana jika terlebih selesa, para pelanggan akan duduk dengan lebih lama. Pengurusan tidak mahu para pelanggan datang ke situ hanya untuk duduk. Mereka mahu pelanggan sentiasa bergerak dan menjadi mangsa umpan perangkap kapitalis. Pada mereka, pelanggan yang bergerak lebih menguntungkan daripada pelanggan yang duduk diam.

Green duduk berhadapan dengan satu kedai kasut. Memang menjadi telatah para Homo sapiens untuk sentiasa meneliti perkara di sekeliling, melihat gelagat manusia lain sebagai santapan mata. Begitu juga dengan Green. Mata Green tertarik dengan sesuatu di dalam kedai kasut itu. Bukan sesuatu, tetapi seseorang.

Terdapat seorang pekerja di dalam kedai kasut itu sedang gigih melayan bakal pelanggannya. Gadis pekerja itu, mungkin dalam lingkungan seusia dengan Green, sanggup tunduk dan duduk menyarungkan kasut yang mahu dicuba pakai oleh seorang makcik. Layanan yang begitu baik bertujuan untuk menarik makcik tersebut untuk membeli barangan jualannya, namun itu semua bukan apa yang dinampak oleh Green.

Pada mata Green, dia sedang melihat seorang gadis ayu yang sedang setia melayan seorang wanita pertengahan usia dengan penuh kasih sayang. Serta merta dirasakan seperti masa sedang bergerak perlahan. Segala gerak laku gadis itu dilihat Green cukup indah dan mempersona. Senyuman pada bibir gadis itu tidak pernah lekang melayan kerenah wanita tadi, membuatkan jantung Green berdegup semakin laju. Entah kenapa dapat dirasakannya satu perasaan ingin memiliki. Gadis itu, entah bagaimana, serta merta dapat menyentuh hati Green walaupun jarak antara mereka tidak kurang daripada 10 meter jauhnya.




"Adakah itu yang dipanggil 'cinta pandangan pertama'?"
Tanya Green kepada Yellow selepas menceritakan segala yang berlaku petang tadi. Yellow adalah teman serumah Green, secara tiba-tiba berhenti daripada terus melahap makan malam yang dimasak Green.

"Pada rangsangan tertentu, akan timbul tindakbalas kimia dalam badan yang dikawal sesuatu yang dipanggil hormon dan pada masa yang sama akan berlaku cetusan impuls elektrik di bahagian organ paling kompleks yang dipanggil amygdala. Jika kedua-dua tindakbalas itu berlaku pada masa dan kadar yang tepat, satu kesan rangsangan yang dipanggil emosi akan tercetus," jawab Yellow.

"Huh?" Green kebingungan.

"Untuk soalan kau tadi, jawapan aku MUNGKIN itulah yang dipanggil cinta pandang pertama," balas Yellow memudahkan kata.

Green tersenyum sambil memandang kipas siling yang sedang berputar. Input imej ke matanya adalah kipas, namun fikirannya sedang berada di kedai kasut tadi, dengan seorang gadis sedang tersenyum manis sambil melambai-lambaikan tangan.

Sejak dari waktu itu, Green setiap hari akan singgah ke kompleks membeli-belah berkenaan hanya untuk melihat si gadis penjual kasut tadi. Cukup sekadar duduk di tempat rehat yang tidak selesa itu selama satu atau dua minit demi untuk peluang menatap gerak geri dan tingkah laku si gadis manis itu. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir Green. Padanya, satu hari tidak melihat wajah gadis itu seperti tidak sempurna seluruhnya.




"Ada garis jelas antara seorang penghendap dan seorang pencinta. Jangan salah tindakan!"

Kata-kata Yellow itu sedikit sebanyak membuatkan Green terfikir. Sampai bila dia asyik mahu meninjau si gadis itu dari jauh? Sehingga sekarang, walaupun dilihatnya setiap hari, Green masih langsung tidak tahu apa-apa mengenai gadis itu melainkan dia seorang pekerja di kedai kasut. Siapa nama gadis itu, berapa umurnya, tinggal di mana, masih bujangkah, semua itu masih lagi hanya soalan yang tiada jawapan.

"Aku perlu buat sesuatu," tegas Green kepada dirinya.

"Rasanya sudah sampai masa untuk aku bertegur sapa dengan gadis itu dan berkenalan. Paling tidak aku perlu tahu nama dia, kan? Esok aku akan beranikan diri untuk mulakan langkah." Green berkata dengan nada tekad.
"Sampai bila aku nak terus tengok dia dari jauh..."

Yellow mengangguk perlahan tanda setuju.

"Tapi, kalau dia tidak mahu berkenalan dengan aku, macam mana? Malulah aku kalau dia tolak. Tak boleh jadi ni. Tak boleh jadi..." Nada resah dan gelisah mula masuk menyelinap dan menawan otak Green. Green mula risau. Belum pun berlaku, tapi dia sudah risau.

Yellow menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

"Apa patut aku buat? Patutkah aku mulakan? Tapi kalau kena tolak, mesti kecewa berkecamuk hati, kan?" tanya Green kepada Yellow.

Manusia ini mudah. Jika ada manusia A bertanyakan pendapat untuk memilih satu di antara dua perkara kepada manusia B, selalunya manusia A itu sama ada dia sedar atau tidak sedar sudahpun membuat pilihannya. Dia cuma bertanya kepada manusia B hanya untuk mendapatkan pengesahan sahaja.

Maka, si 'manusia B' inipun memulakan tugasnya.

"Begini. Bayangkan hidup kau seperti sebatang jalan. Di hadapan ada dua cabang jalan. Satu cabang adalah laluan di mana kau TIDAK MENYAPA gadis itu. Satu cabang lagi adalah laluan di mana kau MENYAPA dengan gadis itu untuk berkenalan. Mana satu jalan yang bakal kau lalui adalah bergantung kepada tindakan kau sekarang."

"Jika kau bertindak untuk TIDAK MENYAPA gadis itu, maka jalan yang akan kau lalui 100% TIDAK DAPAT, 100% kau tidak akan berkenalan dengan dia. Tapi kalau kau bertindak untuk memulakan langkah UNTUK MENYAPA, kau masih ada 50% untuk diterima dan 50% untuk ditolak, di mana kalau kau tanya aku, aku rasa 50% peluang untuk diterima adalah lebih baik daripada 100% tidak dapat, kan?"

"Kalaupun dia menolak sekalipun, kau masih dikira bernasib baik kerana kau telah mencuba dan kau gagal. Lebih baik daripada langsung tidak mencuba, kan?"

Mendengar pendapat Yellow itu, Green mula kelihatan semakin tenang sambil menggosok dagunya.

"Why do single people always give the best love advices?" seloroh Green.

"Because coaches don't play," jawab Yellow.




Esoknya, Green datang lagi ke kompleks membeli-belah itu di sebelah petang. Kali ini dia ada misi yang perlu diselesaikan. Bagi meningkatkan peluang menjayakan misi, dia sempat membeli sekuntum bunga ros merah berbalut plastik jernih sebagai tanda ikhlas mahu berkenalan. Klisé, namun itulah yang dirasakan berkesan oleh Green. Kakinya sedang menuju ke arah kedai kasut itu, namun badannya berasa lemah dek darah gemuruh. Mujur otaknya sudah nekad.

Green berdiri di tempat rehat selalu didudukinya. Matanya sudah memaku ke arah gadis itu yang dilihat sedang menyusun kasut untuk jualan. Tangan kanan Green memegang kuntum bunga, tangan kiri pula diseluk ke dalam saku seluar. Bibirnya mula dirasakan kering, lalu dibasahkan bibir itu dengan menggunakan lidah. Berkali-kali hela nafas dihembus kuat bagi menghilangkan rasa tegang. Sekali sekala mulutnya berkumat kamit kalimah sapaan perkenalan yang sudah dipraktis berulang kali pada malam tadi bersama si Yellow.

Bila tiba waktunya, Green bulat tekad dan mula mengangkat kaki kiri untuk melangkah menuju ke arah gadis itu. Namun belum sempat tapak kaki kiri dijatuhkan ke depan, tiba-tiba sesuatu berlaku membuatkan Green mematikan langkahnya.

Gadis tadi bergerak laju keluar ke depan kedai. Dia dilihat meluru ke arah seseorang yang sedang berdiri menunggu di luar kedai. Seorang lelaki. Mereka berdua kelihatan berbual pendek, kemudian gadis tadi kembali masuk ke dalam kedai. Lelaki tadi masih berdiri di situ. Beberapa puluh saat kemudian, gadis tadi kembali keluar dari kedai. Kali ini dia sudah menyarungkan jaket menutup baju seragam kedai tersebut. Di sampingnya ada disandang sebuah beg. Gadis itu melambai ke arah dalam kedai seperti sapaan selamat tinggal dan kemudian berjalan meninggalkan kedai bersama-sama lelaki tadi. Selepas hampir 20 langkah meninggalkan kedai, gadis itu merangkul tangan lelaki tadi. Kini tangan mereka bertaut. Lelaki itu senyum. Gadis itu juga kelihatan sangat gembira.

Mereka berlalu dan kemudian berselisih dengan Green yang sedang masih berdiri dan melihat segalanya. Terkaku.

"Oh, kudus sungguh hati ini menganggap gadis seayu, semanis, dan secantik dia masih tidak dimiliki orang."

Green tersenyum kecil. Walau luarannya sunyi, namun dalam hatinya meraung menjerit kekecewaan.

"Paling tidak aku tahu jawapannya," fikir Green sambil menghembus dengus pendek dan berlalu pergi, meninggalkan sekuntum bunga di tempat rehat tadi.




Nikmat.
Kehidupan manusia adalah satu nikmat. Setiap manusia melalui perjalanan hidup yang berbeza-beza, menjadikan nikmat yang dinikmati setiap daripada kita adalah berlainan dan tidak pernah sama. Pengalaman menjadikan kita lebih matang dan lebih dewasa tidak kira sama ada apa yang kita lalui itu senang atau menyakitkan.

Nikmatilah kehidupan sepenuhnya.



.

Apr 23, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.


Salam.

Bertemu sekali lagi kita dalam segmen HARI KOMUNITI,
segmen di mana aku bercerita tentang perjalanan kehidupan aku semasa menyertai Community Day anjuran Pokémon GO.

Ya, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan ada banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah satu hari dalam setiap bulan anjuran pihak Niantic Inc. selaku pembangun aplikasi Pokémon GO di mana pada hari berkenaan akan menampilkan satu Pokémon tertentu dan dilepaskan secara banyak dalam jangka waktu 3 jam. Semasa jangka tempoh 3 jam berkenaan, bonus-bonus tertentu juga akan diberikan kepada para pemain. Hari Komuniti adalah satu acara yang dinantikan oleh para pemain Pokémon GO.

Aku ada bercerita panjang lebar tentang Hari Komuniti yang pernah berlangsung sebelum ini:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'

Dan untuk bulan April ini, Hari Komuniti berlangsung pada 15 April 2018 dari jam 11 pagi hingga 2 petang dan Pokémon Mareep akan menjadi Pokémon penampilan istimewa.


#179 MAREEP
Wool Pokémon
Mareep's fluffy coat of wool rubs together and builds a static charge. The more static electricity is charged, the more brightly the lightbulb at the tip of its tail glows.



Mareep adalah sejenis Pokémon elektrik berbentuk seperti kambing biri-biri. Di keliaran, Mareep jarang dijumpai. Mareep boleh berevolusi kepada Flaaffy dengan 25 Mareep candy dan seterusnya kepada Ampharos dengan 100 Mareep candy. Walaupun Ampharos bukanlah antara Pokémon jenis elektrik yang kuat, tapi Ampharos tetap merupakan salah satu Pokémon kegemaran aku, terutamanya disebabkan warnanya.

Untuk Hari Komuniti kali ini, bonus yang diberikan adalah 3 jam Lure (Lure hanya 30 minit pada hari biasa), jarak berjalan kaki untuk semua incubator akan dikurangkan menjadi 1/4 dan jika Ampharos dievolusi dalam tempoh 3 jam acara ini, Pokémon berkenaan akan mendapat 'Dragon Pulse' sebagai charged move istimewa. Juga, disebabkan Hari Komuniti ini berlangsung semasa acara 'Kanto Celebration', maka setiap Pokémon yang ditangkap (semua termasuk Mareep) akan mendapat 2x candy (6 candy jika berjaya ditangkap, 12 candy jika menggunakan Pinap Berry). Juga, bukan rahsia lagi bahawa nanti akan dilepaskan shiny Mareep, Mareep dengan bulu warna merah jambu.



PERSEDIAAN.

Disebabkan Hari Komuniti kali ini berlangsung awal, 15 April, bukannya seperti selalu berlangsung pada minggu hujung bulan, maka jujurnya aku tidak bersedia apa pun untuk acara ini. Namun, pada 12 April sebelumnya, aku berjaya naik ke level seterusnya LEVEL 36.

Aku juga simpan satu super incubator kerana pada hari kejadian, akan ada bonus jarak berjalan untuk incubator menjadi 1/4. Ini bermakna telur 10 km hanya memerlukan perjalanan sebanyak 2.5 km sahaja jika menggunakan incubator biasa. Untuk super incubator, telur 10 km akan menjadi 1.67 km sahaja.



MISI.

Disebabkan tiada persediaan khusus untuk Hari Komuniti ini, aku tiada misi khusus.
Namun, aku berharap dapat:

1. Tangkap sebanyak mungkin Mareep sepanjang tempoh 3 jam itu.
2. Tangkap paling kurang TIGA (3) shiny Mareep.

Kali ini, sekali lagi, aku jadikan Taman Tasik Shah Alam sebagai destinasi menangkap Pokémon.


Poster acara Community Day Shah Alam.
Sumber Facebook Pokémon GO [Malaysia], kredit Bemz Banawi (Fb)


Taman Tasik Shah Alam dipilih sekali lagi kerana aku ada hal di Shah Alam pada tarikh itu. Alang-alang.



HARI KEJADIAN.

Sepanjang perjalanan ke Shah Alam, aku akan bertemu dengan lebih 10 lampu isyarat. Namun dari rumah sampailah sudah masuk Shah Alam, semua lampu isyarat yang aku lalui akan berlampu hijau, membuatkan aku tidak perlu berhenti. Bagi sesetengah orang, ini dipanggil tuah. Namun aku takut kejadian begini. Aku sangat tidak bertuah, jadi tiba-tiba datang 'tuah' sebegini buatkan aku tak sedap hati.

Mujur di persimpangan lampu isyarat terakhir sebelum masuk ke dalam satu bulatan di Shah Alam aku kena berhenti lampu merah. Lega sikit hati.

Sebab banyak sangat lampu hijau, aku sampai awal.
Sengaja aku park motosikal jauh sikit (di SACC Mall) supaya aku boleh berjalan menembusi Kompleks PKNS dan bertemu dengan McDonald's. Aku singgah beli McFlurry. Nyum!

Jam ada lagi kurang 40 minit sebelum pukul 11 pagi, namun aku sudah berada di tapak berkumpul. Nampak beberapa ahli kumpulan Pokémon GO Shah Alam semakin lama semakin ramai dan mula bersedia membuka tapak. Aku, macam anti sosial yang lain, hanya tengok dari jauh walaupun hati ada niat nak menolong. Entahlah. Aku tak pandai nak bersosial.


Seorang anti sosial ambil gambar curi-curi orang lain sedang bersosial.



JAM 11.

Jam di telefon sudah masuk jam 11.
Sebelum ini, bila tepat jam 11 pagi akan muncul dengan banyak Pokémon penampilan istimewa. Tapi kali ini entah kenapa, walaupun sudah pukul 11, namun tiada satu pun Mareep yang dijumpai. Mungkin server lambat sebab ramai main, jadi agak lewat. Tapi 10 minit sudah berlalu, masih tiada Mareep. Kalau bulan lepas, 5 minit pertama aku sudah tangkap 2 shiny Bulbasaur. Kali ini, sudah 10 minit masih tiada satu pun Mareep, apatah lagi yang shiny.

Mungkin aku perlu restart aplikasi. Aku buat. Tapi masih tiada Mareep.

Di radar 'nearby' ada Mareep, tapi perlu berjalan sedikit. Mungkin Hari Komuniti kali ini menggalakkan pemain untuk berjalan, sebab itu salah satu bonus adalah jarak berjalan untuk telur menetas dipendekkan menjadi 1/4. Maka, aku pun buat keputusan untuk berjalan meninggalkan tapak perjumpaan itu.


Gambar kiri; selepas 13 minit pukul 11, masih tiada satu pun Mareep.
Gambar kanan; pada minit ke-23 selepas mula berjalan, baru jumpa satu Mareep.


Agaknya betullah. Sebab aku berjalan, Mareep semakin banyak dapat dijumpai. Banyak sudah ditangkap, namun tiada satu pun Mareep berbulu merah jambu. Entah kenapa kali ini punya Hari Komuniti sangat susah untuk berjumpa dengan Pokémon shiny.


Pada minit ke-32 selepas jam 11, aku dapat medal emas untuk pencapaian 'Berjalan 1000 km' bermakna aku sudah berjalan sambil main Pokémon GO sejauh 1000 km. JAUH TU!



Setelah berjalan hampir satu jam, dan selepas menangkap banyak Mareep normal yang lain, AKHIRNYA aku bertemu juga dengan si bulu merah jambu ini.


Pada minit ke-58 selepas jam 11, AKHIRNYA muncul juga si kambing biri-biri berbulu merah jambu.



Sudah masuk jam kedua Hari Komuniti (pukul 12 tengahari) namun masih tiada shiny Mareep lain yang aku jumpa. Banyak pusingan sudah aku keliling Taman Tasik Shah Alam ini, masih tiada satu pun tuah yang aku dapat.

You see?
Inilah yang berlaku bila awal tadi aku sudah guna tuah aku untuk lalu lampu hijau di setiap lampu isyarat yang ada. Sekarang tuah aku sudah habis sampaikan aku tidak mampu nak bertemu dengan shiny Mareep lagi.

Aku cuba tukar laluan aku dengan berjalan sedikit jauh, ke taman rekreasi depan Masjid Shah Alam, namun masih tiada shiny yang dijumpai. Kaki sudah lenguh. Bateri telefon hampir habis, tapi masih tiada hasil. *Mengeluh panjang...*

Fast forward ke depan, jam sudah menunjukkan 10 minit lagi sebelum pukul 2 menandakan Hari Komuniti hampir tamat. Dengan sedihnya, aku buat keputusan untuk mengevolusi shiny Mareep aku kepada shiny Flaaffy dan seterusnya kepada shiny Ampharos supaya Ampharos itu akan ada 'Dragon Pulse' sebagai charged move-nya. Kalau aku berlengah lagi, aku mungkin akan kehilangan peluang untuk dapatkan 'Dragon Pulse' itu sebab masa sudah suntuk.


Evolusi ini berlaku pada 7 minit sebelum jam 2.
Kesemua Pokémon di atas adalah Pokémon yang sama, berasal daripada satu-satunya shiny Mareep yang aku jumpa.



Agak sedih sebenarnya.
Aku ingat nak paling kurang ada 3 shiny Mareep supaya satu boleh aku evolusikan kepada Flaaffy dan satu lagi kepada Ampharos sebagai simpanan satu keluarga shiny Mareep. Tapi apa boleh buat. Inilah keputusan yang terbaik boleh aku ambil berdasarkan keadaan aku sekarang. *Mengeluh panjang lagi*

Dengan langkah longlai dan kecewa, aku balik ke tapak pertemuan geng Pokémon GO Shah Alam tadi.
.
.
.
.
.
.
.
.
.
"Community Day extend lagi satu jam, sampai pukul 3."

Salah seorang krew geng Pokémon GO Shah Alam buat pengumuman. Katanya, awal tadi yang Mareep lambat keluar tu adalah sebab ada isu dekat pihak Niantic, maka sebagai memohon maaf Niantic extend masa lagi satu jam.

Ingat lagi cerita lampu isyarat hijau sepanjang jalan tadi? Bila akhirnya aku jumpa satu lampu isyarat merah, aku rasa lega. Perasaan lega yang sama juga aku alami bila aku dengar pengumuman tadi.

This is it. Dalam satu jam ini, aku gigih bergerak laju untuk tangkap seberapa banyak Mareep yang ada bagi meningkatkan peluang aku jumpa shiny Mareep. Dan hasil kegigihan aku tidak sia-sia. Dalam masa satu jam tambahan itu, aku dapat jumpa DUA lagi shiny Mareep. YAAY!!


Gambar kiri; shiny Mareep kedua aku pada minit ke-21 masa tambahan.
Gambar kanan; shiny Mareep ketiga aku pada minit ke-34.


Selepas dapat shiny Mareep ketiga, aku perlahankan langkah aku sebab kaki aku sudah lenguh. Aku berjalan keliling taman dan tempat sekelilingnya hampir 4 jam tanpa henti. Memang patut pun kaki aku lenguh. Tapi, walaupun lenguh. Aku puas.

Shiny Mareep dengan CP 191 aku evolusi menjadi shiny Flaaffy. Sekarang, aku sudah ada lengkap satu famili shiny Mareep. One shiny Mareep family at home.

Jam sudah pukul 3, tapi aku masih belum Zohor. Berdosanya aku lambatkan solat demi permainan ini.

Setelah masuk jam 3, para peserta terus ke sesi bergambar. Selepas bergambar, aku tidak lagi menunggu di tapak pertemuan geng Pokémon GO Shah Alam tadi, membuatkan aku terlepas untuk 'shakehand' (check-in) The Silph League untuk dapatkan lencana eksklusif Hari Komuniti kali ini. Tak apalah. Anggap sahaja aku tiada rezeki.

Selesai solat Zohor, aku pun bergegas pergi melakukan perkara yang patut aku lakukan di Shah Alam ini. Selepas itu aku balik.


Image Twitter @PokemonGOAppMY



MISI SELESAI?

Sepanjang tempoh 4 jam itu, aku berjaya;

1. Tangkap 94 Mareep.
2. Dapat 3 shiny Mareep.
3. Evolusikan DUA Mareep kepada Ampharos untuk mendapatkan 'Dragon Pulse' sebagai charged move (satu Mareep biasa, satu Mareep shiny)

Not bad untuk orang yang tak bersedia, kan?

Namun aku kurang puas hati dengan pencapaian aku hari ini kerana aku sendiri kurang bersosial dengan orang lain. Susah sebenarnya nak buka mulut dan berbual dengan orang yang kita tidak kenal. Aku sangat kagum dengan orang yang mampu buat perkara itu dengan mudahnya. Jadi introvert ini kadang-kadang sangat merugikan dan memenatkan, namun aku tak ada niat untuk ubah sikap aku ini. Biarlah aku hanya bercakap dengan orang yang aku selesa sahaja.



HARI KOMUNITI BULAN MEI.

Disebabkan aku lambat update cerita ini, maka sudah diumumkan oleh pihak Niantic bahawa untuk bulan Mei, Pokémon GO Community Day akan berlangsung pada hari Sabtu 19 Mei 2018 dengan menampilkan Charmander sebagai Pokémon utamanya. Antara bonus pada hari berkenaan adalah 3x Stardust untuk setiap tangkapan, 3 jam Lure, dan move khusus yang belum diumumkan untuk setiap Charizard yang dievolusi dalam tempoh masa 3 jam itu.


Image Twitter @PokemonGOApp


Shiny Charmander sudah tentu akan dilepaskan walaupun Niantic tidak pernah umumkan apa-apa berkaitan shiny. Tapi yang lebih menjadi topik hangat adalah shiny Charizard, di mana warna Charizard itu adalah hitam, memperlihatkan sisi Charizard yang lebih garang.

Tak sabar tunggu bulan depan punya Hari Komuniti.
JOM!




.

Apr 18, 2018

Buku Kompilasi 'Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM)' 2017. BERBALOIKAH?



Salam.

Aku sebenarnya sudah lama merancang nak buat segmen ini,
tapi aku takut tak mendapat sambutan jadi aku simpan dulu.
Namun rasanya, tak buat segmen ini pun blog aku tak mendapat sambutan
maka kalau aku buat pun aku tidak rugi jadi...

..here we are!

Segmen yang aku maksudkan ialah segmen REVIEW!




Mukadimah

Begini.
Memang aku pernah beberapa kali buat review seperti review buku Hotel K dan beberapa lagi. Lagipun di luar sana seperti di blog lain dan media sosial (Facebook dan Instagram) pun sudah penuh dengan review, jadi apa bezanya dengan segmen review aku ini?

Jawapannya,
review aku lebih bersifat santai dan peribadi. Aku tidak akan sugar-coat dengan pujian yang tak diperlukan. Perkara yang aku review juga tidak terikat pada satu jenis. Apa sahaja yang aku mahu review, dan boleh review, aku review.

Juga paling penting, aku akan lebih fokus kepada aspek 'berbaloikah'. Adakah ia berbaloi dibeli, berbaloi dimiliki, atau berbaloi dibaca, berbaloi dimakan, berbaloi dikunjungi dan berbaloikah kita luangkan masa untuknya.

Jadi tanpa membuang masa, mari kita belek mangsa pertama:


KOMIK CKOM SUKAN
terbitan KOMIK-M & MATKOMIK



Perihal

Sekali pandang, komik ini seperti diberi nama 'KOMIK MALAYSIA' kerana perkataan itu yang ditulis besar di muka depan. Namun, nama panjang komik ini ialah 'CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA SUKAN', dan di tulang buku (tepi buku) ditulis sebagai 'CKOM SUKAN - CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA'. Mana satu nama sebenar buku ini pun aku tak pasti.

Komik ini adalah terbitan PTS Publishing House Sdn. Bhd di bawah Komik-M dan kerjasama bersama MatKomik.

Secara umumnya, komik ini adalah kompilasi 10 komik pemenang pertandingan Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM) pada tahun 2017. Bagi yang tidak tahu, CKOM adalah satu pertandingan yang dikelola laman sesawang MatKomik setiap tahun. Pada tahun lepas 2017, CKOM dianjurkan atas tema SUKAN dan pemenang yang dipilih juri dan para editor akan mendapat peluang untuk diterbitkan komiknya secara kompilasi.

Maka wujudlah komik CKOM SUKAN ini.

Buku ini mengandungi 10 komik yang terdiri daripada pemenang pertandingan dan pilihan editor. Ada 10 komik lain yang turut dikompilasikan di bawah satu buku lain iaitu komik CUN #3, juga merupakan pemenang dan komik pilihan juri dan editor.

10 komik yang diisi di dalam buku ini ialah:

1. Bakar (penulis, pelukis: Hyrohiku)
2. Hikayat Topeng Kilat (penulis, pelukis: Kha.Zi.Mi)
3. Garis Merah (penulis, pelukis: Musashi)
4. Matahari (penulis, pelukis: Hiroshikee)
5. Gunmen (penulis, pelukis: Faye)
6. The Ugly Truth (penulis, pelukis: Aniff Zazali)
7. Alpha (penulis: Irfan Kartunis, pelukis: Pogota)
8. Boccia (penulis: Nor Farahanim, pelukis: Abraqib94)
9. Panah (penulis: Atiqah Safian, pelukis: Khai Akhiar) ,dan
10. Revival (penulis: Nurel, pelukis: Toadfrogs)

(Nota: Aku mungkin salah tulis siapa penulis siapa pelukis. Lain kali pihak Komik-M mungkin boleh cuba tekankan siapa penulis pelukis supaya aku tak salah lagi. Hargai kerja setiap individu yang terlibat, jangan letak semua orang dalam satu kelompok)

Komik 'Bakar' mendapat tempat kedua dalam CKOM 2017 dan komik 'Hikayat Topeng Kilat' mendapat tempat ketiga.




Ulasan

Semasa CKOM berlangsung tahun lepas, aku sedang berada di dalam krisis kehidupan, maka tiada satu pun penyertaan yang aku baca secara online. Ya, daripada 161 komik yang bertanding, tiada satu pun yang aku baca termasuklah hasil kerja kawan-kawan yang dikenali. Dengan terbitnya buku ini, aku tidak perlu bersusah payah untuk buka laman sesawang di atas talian dan tatap skrin LCD/LED lama-lama untuk baca karya pemenang.

Aku diberitahu sebelum ini bahawa kompilasi komik pemenang CKOM ini akan dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur, PBAKL 2018 yang akan berlangsung pada 27 April sehingga 6 Mei di PWTC. Akan tetapi, aku dapat beli buku ini lebih awal di Pesta Buku Selangor yang berlangsung beberapa minggu lepas di Shah Alam. Keputusan pihak pemasaran rasanya.

Memang para pemenang dan komik pilihan editor bukan calang-calang hebatnya. Jalan cerita, perkembangan watak dan lukisan, semua berada di taraf yang tinggi. Mereka seperti di atas bangunan tingkat 138, aku pula baru berada di tingkat 8. Dapat lihat hasil kerja sebegini dicetak dan dijual di atas kertas memang sudah dikira satu kejayaan. Tiba-tiba aku rasa tidak ralat langsung tidak sempat sertai CKOM tahun lepas.

Namun,
walaupun para juri bertukar setiap tahun, tema juga berubah setiap pertandingan, para pemenang dan pilihan editor seperti sudah dapat diagak. Bertahun-tahun aku ikuti CKOM ini, aku dapat nampak satu 'pattern' tertentu untuk dipilih dan diangkat sebagai pemenang.

Walaupun jalan cerita amat penting, namun aku nampak apa yang lagi dipandang adalah lukisan. Juri kata lukisan lawa tak bermakna boleh menang jika jalan cerita teruk, namun kalau sebaliknya lukisan tidak lawa dan jalan cerita hebat, tetap tidak akan menang. Dengan kata lain, lukisan adalah keutamaan. Namun mesti kena ada keseimbangan dalam jalan cerita dan lukisan, WALAUPUN lebih berat ke arah lukisan.

Dengan pattern tersebut, pemenangnya setiap tahun dapat dilihat terdiri daripada orang yang berulang. Sama.

Aku tidak menafikan bakat dan cerita mereka yang menang, TAPI aku takut satu masa nanti CKOM akan dilabel sebagai 'lubuk untuk sesetengah individu tertentu mendapat pendapatan pasif' kerana kalau setiap tahun orang yang sama sahaja menang, bukankah sudah melemahkan fungsi sebenar CKOM itu dianjurkan; mengetengahkan bakat-bakat baru?

Bagaimana bakat baru boleh diketengah kalau yang menang adalah orang yang sama?

Apatah lagi hadiahnya walaupun bukan tahap lumayan, namun masih lagi besar dan melibatkan wang ringgit. Kalau setiap tahun muka dan nama yang sama sahaja menang, apa perasaan mereka yang masih berusaha untuk maju ke depan? Untuk apa mereka masuk bertanding lagi kalau orang yang sama juga akan menang?

Mungkin pihak MatKomik sudah mula perlu fikirkan penyelesaian seperti memperkenalkan kategori atau beberapa syarat yang menyekat orang yang sama untuk menang berulang kali. Walaupun CKOM dibuka sama rata untuk semua, namun rasanya itulah 'loophole' terbesar CKOM, kerana orang yang berada di tingkat 210 boleh menang berulang kali tanpa rasa bersalah.

Ok, kembali ke review komik.

Kesepuluh-sepuluh komik di dalam buku ini semuanya hebat belaka. Bab isi, lukisan dan jalan cerita, semuanya layak dicetak dan diterbitkan. Ada beberapa komik yang membuatkan aku rasa tidak puas dan ingin baca lebih lagi. Ada juga komik yang rasanya cukup tamat setakat itu dan tidak perlu ada sambungan kerana 'cliffhanger' itulah yang membuatkan ceritanya hebat.

Walaupun CKOM 2017 datang dengan tema SUKAN, namun pembaca tidak dihidangkan dengan komik kesukanan tipikal, jenis yang berpeluh-peluh mencapai kemenangan seperti komik sukan lain. Komik sukan kali ini seperti membuka satu lebaran baru untuk definisi 'sukan', kerana kebanyakan isi komik ini adalah mengenai 'sukan' yang boleh didebatkan taraf kesukanannya. Malah ada yang reka sukan sendiri. Keluasan definisi sukan sebagai tema memang membuka kreativiti para penulis dan pelukis komik untuk berkarya. Syabas, MatKomik.

Setiap komik hanya 10 mukasurat menjadikan buku ini boleh dibaca santai dan tiada tekanan untuk cepat dihabiskan.

Namun,
satu teguran yang aku rasa perlu diambil berat ialah penggunaan bahasa inggeris sebagai tajuk. Hampir separuh menjadikan bahasa inggeris sebagai tajuk komik, sesuatu yang aku kurang faham relevannya. Mereka bertanding untuk pertandingan Cabaran Komik Online MALAYSIA, maka aku tidak rasa keperluan menjadikan bahasa inggeris sebagai tajuk. Mungkin satu masa nanti mahu bertanding di peringkat antarabangsa, bolehlah digunakan tajuk seperti itu. Nampak hype, dengar hebat, tapi fikirkan. Rasanya kalau Melayu-kan tajuk itu pun tidak akan mengubah isi mahupun mengurangkan apa-apa, kan? Lebih memartabatkan bahasa ibunda sendiri adalah.

Mungkin, sekali lagi, pihak MatKomik perlu ubah sedikit syarat dan peraturan.




Berbaloikah?

Masuk soal utama entri ini, BERBALOIKAH?

Mengandungi lebih kurang 144 muka surat bercetak dan bersaiz A5, komik ini berbaloi dihabiskan masa membacanya. Aku (seorang yang slow-reader) hanya perlu habiskan kurang dua hari untuk habis baca dan komik ini langsung tidak membebankan.

Saiz buku yang nipis dan bersaiz A5, sepadan dan sama saiz dengan buku komik keluaran Komik-M yang lain menjadikan buku ini berbaloi untuk dijadikan simpanan di almari komik aku.

Dijual dengan harga pasaran RM 9.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 10.00 (Sabah/Sarawak). Pada aku harganya berbaloi memandangkan aku LANGSUNG TIDAK BACA ONLINE. Kalau aku pernah (sudah) baca, aku rasa aku tidak akan keluarkan duit untuk beli di kedai. Jika kalian sudah baca kesemuanya secara online dan tidak kisah mengeluarkan duit untuk mendapatkan versi fizikal, boleh dapatkan buku ini.

Namun, memandangkan Komik-M mensasarkan pembaca kanak-kanak dan remaja muda, RM 9 untuk satu buku sedikit membebankan memandangkan majoriti golongan ini masih tiada sumber pendapatan tetap.

Jika RM 9.00 dirasakan membebankan, aku nasihatkan beli pada waktu promosi seperti semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kerana selalunya akan ada diskaun untuk semua barangan. Aku beli buku ini di Pesta Buku Selangor dan dapat diskaun 15% menjadikan harganya cuma RM 7.65. Di PBAKL juga mungkin akan diberi diskaun 15%, atau mungkin lebih lagi. Jika kalian terlepas PBAKL, boleh dapatkan buku ini ketika cuti sekolah kerana selalunya pada waktu itu harga buku di toko-toko buku terkemuka akan diturunkan kerana promosi.

Mahukan aku (cEro) menjadi 'personal shopper' kalian dan belikan buku ini semasa PBAKL? Boleh DM aku di @cerolian di kesemua laman sosial utama yang ada. Bayaran upah boleh dibawa bincang.




Penutup

Semasa kecil, aku ada pandangan bahawa semua komik yang dijadikan buku dan dijual adalah berbaloi untuk dibaca. Ini kerana semua komik yang pernah aku baca (pada ketika itu) tidak mengecewakan.

Namun zaman sudah berubah. Walaupun industri komik semakin perlahan, tapi variasi komik di Malaysia semakin berkembang. Kita ada banyak syarikat penerbitan yang berminat untuk menjual buku komik, menjadikan sasaran komik pada era ini adalah lebih kepada keuntungan semata-mata. Langsung (kadang-kadang) tidak endahkan kualiti.

Banyak sudah buku komik yang dilukis orang tempatan yang aku beli mendatangkan kekecewaan dari segi kualiti. Namun, buku komik CKOM 2017 ini bukanlah salah satu daripadanya.

Dua tiga kali juga aku fikir patutkah aku review buku ini kerana kebanyakan pelukis dan penulis di dalam buku ini aku kenal di alam maya. Takut salah review, jauh pula hati mereka dengan aku nanti memandangkan naluri orang seni ni cepat sensitif bila dikritik. Malah semasa menaip entri ini pun aku taip dengan berhati-hati agar isi yang aku nak sampaikan tidak disalah tafsir.

Walaupun mereka adalah kenalan, tapi pendapat aku, aku tidak patut sokong mereka hanya kerana mereka kenalan. Frasa seperti 'support member' sedikit tidak tepat dan tidak bersesuaian kerana jika hasil karya yang diketengahkan itu tidak mencapai standard, adakah kita sebagai kenalan masih patut sokong mereka dengan membeli produk mereka?

Pada aku, kalau barang bagus, aku beli. Tidak kira kawan atau siapa.
Kalau barang tak bagus, adakah aku masih patut beli hanya kerana perlu sokong kenalan?

Aku tidak mahu industri komik Malaysia dipenuhi dengan pelukis dan penulis yang 'syok sendiri' kerana pada pandangan mereka, tidak kira apapun taraf kualiti produk yang mereka keluarkan, mereka masih dan sentiasa ada 'member yang support'. Sedikit sebanyak ini akan membanyakkan produk 'asal boleh', menurunkan kualiti dan mencacatkan industri komik Malaysia sekaligus akan menyebabkan industri terus terkebelakang berbanding negara lain.

Namun dengan komik CKOM 2017 ini, kualitinya masih terjaga walaupun sebenarnya ada dua tiga perkara kecil yang masih boleh diperbaiki.

Pendek kata, aku tidak menyesal beli buku ini.



Komik CABARAN KOMIK ONLINE MALAYSIA SUKAN ini boleh didapati di kedai-kedai buku di seluruh negara, mungkin akan mula diedarkan selepas PBAKL 2018 nanti pada harga pasaran RM 9.00 (Semenanjung Malaysia) dan RM 10.00 (Sabah/Sarawak).




Jadi macam mana dengan entri 'BERBALOIKAH?' yang pertama ini?
Adakah kalian berminat nak beli buku komik yang aku review?
Kalian ada cadangan tentang benda apa yang patut aku review?
Tinggalkan komen untuk memberitahu.




.

Apr 11, 2018

80 000 km bersama Elisa.


Salam.

Jadi 4 hari berturut-turut, huh?
New record untuk pemalas macam cEro ni.


Gambar sekadar hiasan, walaupun sebenarnya ini gambar satu jalur cahaya matahari menyinar dari celah awan dan jatuh tepat ke atas rumah aku. Divine sangat!


Ceritanya,
pada ahad lepas ada sesuatu yang memerlukan aku untuk ke Shah Alam.
(Kalau kalian baca entri ini, kalian tahu kenapa)

Perjalanan ke Shah Alam sejauh 35 km dan mengambil masa hampir satu jam. Aku ke sana bersama si kuda putih, motosikal kesayangan aku sebagai mod pengangkutan yang paling aku gemari. Macam yang banyak kali aku kongsikan, tunggang motosikal ini lain perasaan dia berbanding memandu kenderaan lain. Perasaan angin laju bergesel di pipi (walaupun akibatnya muka jadi berhabuk) tak akan sama dengan perasaan angin masuk ikut tingkap kereta yang terbuka. Penunggang motosikal juga boleh menoleh kiri kanan atas bawah tanpa perlu dihalang pandangannya seperti pemandu kereta yang terasa seperti duduk dalam kotak.

Kalau kalian penunggang motosikal yang juga memandu kereta, kalian akan faham perasaan perbezaan ini. Lain.

Sambung cerita...

Dalam perjalanan menuju ke Shah Alam, aku sentiasa memastikan kelajuan dan kandungan petrol supaya boleh merancang. Maklumlah, motosikal ini berusia lebih 10 tahun, maka kuasa enjin dan penggunaan minyak tak se-efisen semasa baru dahulu.

Bila aku jenguk ke bahagian dashboard, meter menunjukkan angka hampir mencapai 80,000 km. Angka lebih tepat dalam 79,9XX maka aku ambil keputusan untuk memerhati meter itu. Satu pencapaian kot bila semua nombor dalam meter itu akan bertukar serentak. Ini satu saat yang aku tak boleh nak lepaskan.

Bila meter hampir ke petunjuk 79,999.9, aku berhenti di tepi lebuhraya. Aku cari kawasan yang dilihat selamat untuk berhenti. Mujur pada waktu itu kenderaan tidak banyak dan yang ada pun tidak memecut laju.


Maaf, kamera kualiti rendah. Tapi siapa peduli :)


Meter motosikal aku menunjukkan 79,999.9, menandakan aku hanya perlu bergerak 100 meter sahaja untuk menyaksikan kesemua penunjuk nombor bertukar serentak menunjukkan 80,000.0. Bagi sesetengah orang, hal sebegini mungkin biasa dan tiada apa yang perlu diterujakan pun. Namun bagi aku, sesuatu yang 'remeh' seperti inilah yang jarang kita lihat dan perlu berasa teruja. Atau mungkin aku yang jenis cepat teruja. Hahaha.

Gigih aku bergerak perlahan-lahan bagi mendapatkan that exact moment. Lalu,...




Taraaaa!!!
Petunjuk nombor meter bertukar serentak, menunjukkan angka tepat 80,000.0. Ini bermakna si kuda putih aku ini sudahpun bergerak 80,000 km sejak daripada awal kelahiran dia. It's a milestone moment!

Masa untuk FAKTA NERDA!:
Ukur lilit bagi Bumi kita adalah lebih kurang 40,000 km, ini bermakna jika dibuat perbandingan, si kuda putih aku ini sudah mengembara seperti DUA kali mengelilingi Bumi. Wow!

Tiba-tiba aku jadi sebak dan dramatik. Walaupun secara empiriknya 80,000 km untuk 10 tahun bukanlah satu pencapaian yang membanggakan, tapi majoriti penuh jarak dan masa itu adalah perjalanan motosikal aku ini bersama aku. Ya, aku yang menunggang 80,000 km itu bersama-sama.



Elisa

Pada lebih 10 tahun lalu sewaktu pertama kali aku bertemu dengan si kuda putih ini, aku namakan dia Elisa. Kenapa Elisa? Sebenarnya dahulu aku berangan mahu menjadikan kereta Lotus Elise sebagai kenderaan pertama aku.


Lotus Elise putih idaman kalbu.
Image DigitalTrends.com


Hey, apa salahnya berangan tinggi-tinggi, kan?

Namun akhirnya aku settle dengan motosikal putih sebagai kenderaan pertama atas nama aku sendiri. Jadi, bagi mengenang angan-angan Lotus Elise yang tidak kesampaian, aku namakan motosikal aku ini sebagai Elisa.

Walaupun Elisa nama perempuan, namun aku anggap motosikal ini tiada jantina (genderless) sebab bukankah akan kedengaran awkward jika aku kata 'aku tunggang Elisa setiap hari bila ada masa lapang'.

Namun tiap kali aku bercerita tentang motosikal aku kepada orang dan sebut nama Elisa, mereka akan jadi banyak tanya. It's really hard to explain kegemaran aku untuk letak nama ke atas barang-barang aku. Banyak barang aku yang bertaraf harta akan aku beri nama seperti Juno untuk telefon aku sekarang, Rhea untuk laptop yang sedang aku gunakan ini dan Caroline untuk nama wifi yang sedang aku pakai.

Disebabkan sesetengah orang tak dapat terima perangai aku yang suka namakan barang, maka aku selalu gunakan 'Si Kuda Putih' untuk gambaran kepada Elisa. Kalau yang dengar itu tak faham juga, rasanya dia memang ada masalah memproses perkataan.


Bersama dengan Elisa lebih sepuluh tahun bermakna kenangan kami bersama bukan sedikit. Elisa boleh dikatakan sentiasa ada bersama aku ketika susah senang. Elisa adalah teman paling lama aku pernah ada. Even handphone pun bertukar berkali-kali namun Elisa tetap masih bersama aku.

Ketika aku sedang menuntut ilmu di universiti, Elisalah peneman aku.
Ketika aku asyik bercinta, Elisa juga ada bersama.
Ketika aku berseronok bersama kawan-kawan, Elisa juga ada bersama.
Ketika aku putus cinta dan dibuang seperti sampah, Elisa masih bersama aku.
Aku ingat lagi sakitnya putus cinta, aku tunggang Elisa pada waktu malam (pagi, 2 pagi) dengan laju di lebuh raya dan menangis sepuas-puas hati. Tiada satu pun manusia tahu aku menangis pada waktu itu, tapi Elisa ada bersama aku.

Ketika hujan, ketika panas, ketika ribut, ketika banjir kilat, Elisa juga ada bersama.
Ketika aku kemalangan jatuh dan akibatnya hilang dexterity tangan kanan, Elisa juga jatuh bersama.
Ketika aku alami kemurungan akibat sesuatu yang berada di luar kawalan aku, Elisa masih juga ada.

Ketika aku ingin kembali mengenal erti cinta tapi akhirnya terlepas sesuatu yang istimewa, Elisa juga ada bersama.
Elisa juga saksi bahawa betapa sukarnya aku nak melawan kehendak hati, menentang sesuatu yang datang tapi tidak diiktiraf jiwa.

Ketika aku kena ulang alik ke hospital menerima rawatan mata yang pada dasarnya keluarga aku pun tidak tahu tentang sakit aku itu, Elisalah menjadi teman aku.
Ketika aku berusaha untuk menapakkan diri di tempat aku sekarang, Elisa juga berusaha bersama aku.
Kami jatuh bersama, kami bangun bersama.
Kadang-kadang aku yang angkat Elisa bangun, kadang-kadang Elisa yang menjadi punca aku bangun.

Pada aku, Elisa adalah teman yang kita semua mahukan, tapi tiada siapa pernah ada.
Dia tidak memilih kawan, dia juga tidak menolak kawan.
Dia tidak banyak songeh namun kadang-kadang mahu juga belaian.

Jujur aku cakap, aku dengan Elisa (sebuah motosikal yang pada dasarnya tidak bernyawa) bercakap seperti kawan. Kadang kala bila aku rasa marah, aku cakap dengan Elisa. Tahu sahajalah perangai manusia lain bila atas jalan raya. Yang alim pun dah serupa Sus scrofa domesticus. Elisa pasti tahu betapa banyaknya sumpah serana cemuh maki hamun yang pernah aku lontarkan bila bertemu dengan perangai manusia atas jalan raya, namun dia tetap bersama aku.

Jika tiba-tiba datang Emma Stone, atau sesiapa yang cantik di luar sana buat ultimatum suruh pilih antara dia dengan Elisa, undoubtedly aku akan pilih mereka sebab Elisa bukan pilihan. Elisa sudah jadi sebahagian daripada aku. Seperti kaki, seperti tangan, seperti kepala. Mana boleh kita nak asingkan kaki, tangan dan kepala dan ditukarkan kepada orang lain, kan?



Perjalanan ke Shah Alam sepatutnya mengambil masa kurang sejam tapi terasa seperti berjam-jam lamanya. Aku terimbas kembali hampir kesemua kenangan aku bersama Elisa sepanjang 10 tahun dan 80,000 km ini. Yang baik, yang buruk, yang beremosi, yang mengundang kemarahan, semuanya terimbas. It's an emotional ride.

Tapi hakikatnya 10 tahun bukan satu jangka masa yang singkat. Kalau ada anak, sudah masuk darjah 4. Jangka masa itu lama, apatah lagi jika dipandang dari sudut jangka hayat kenderaan. Elisa sendiri keadaannya bukan tip-top seperti satu masa dahulu. Namun aku janji kepada Elisa dan diri aku sendiri, selagi boleh, selagi mampu dan selagi ada aku tetap akan baiki Elisa tidak kira berapa usianya dan bagaimana keadaannya.

Elisa, you'll always be my number one!
Sekian.


Ini adalah pemandangan senja yang sempat aku snap ketika santai melepak tepi lebuh raya bersama Elisa. Ini adalah salah satu daripada pemandangan lanskap paling cantik yang pernah aku tengok seumur hidup aku, dan aku lakukannya bersama dengan Elisa.





.

Apr 10, 2018

RAKSASA SAKU: Episod Jemputan Menentang Fliza.



Salam.

[Maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.]

Hi. Bertemu lagi kita. cEro di sini.
Tiga hari berturut-turut nampaknya cEro update blog bercerita tentang Pokémon GO.
Ini mesti sama ada dia ada banyak masa ataupun dia terlalu teruja sampai tak sabar-sabar nak berkongsi dengan entah siapa yang nak baca.

Jika ada sesiapa terlepas dan masih berminat untuk membaca pengembaraan aku bermain Pokémon GO, sila baca di pautan di bawah:
PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Burung Api Lagenda.
PENYELIDIKAN ISTIMEWA: Episod Kucing Merah Jambu Psikik.
PENYELIDIKAN ISTIMEWA; Episod Kucing Merah Jambu Psikik [Bahagian 2].

Tapi aku faham kalau kalian tak nak teruskan baca, sebab aku sedar post yang berkaitan dengan Pokémon GO di blog ini sangat tak mendapat sambutan. Worry not, post hari Rabu nanti adalah post normal daripada seorang cEro.

So, bear with me.




----------------------------------------


Pengenalan

Dalam 151 Pokémon dalam generasi pertama (Kanto), satu Pokémon yang boleh dianggap paling kuat adalah Pokémon #150 bernama Mewtwo.

Mewtwo adalah Pokémon lagenda dari jenis psikik, bipedal (berdiri dengan dua kaki) dan mempunyai ciri-ciri kelihatan seperti kucing. Menurut cerita daripada siri anime dan manga Pokémon, Mewtwo adalah hasil ciptaan sains yang cuba mengkaji genetik kepada Pokémon mitos Mew. Disebabkan genetiknya ada hasil manipulasi saintis berdasarkan Pokémon mitos Mew, maka sudah tentu Mewtwo adalah antara Pokémon yang susah untuk dijumpai apatah lagi untuk ditangkap (di dalam game)

Aku dengan perangai aku suka namakan Pokémon dengan nama yang 'in', menamakan Mewtwo sebagai Fliza kerana persamaan antara Pokémon itu dengan watak Fliza (dikenali juga sebagai Frieza, フリーザ) dari siri Dragon Ball.


Nampak tak persamaannya?


Di dalam permainan aplikasi mobil Pokémon GO, Mewtwo hanya boleh dijumpai, ditentang dan ditangkap melalui satu cara iaitu Level 5 Legendary Raid Battle. Malah, tidak seperti Legendary Raid Battle yang lain, peluang menentang Mewtwo hanya diberi melalui jemputan (invitation) daripada Niantic dengan memberi EX Raid Pass dan hanya boleh digunakan pada hari dan waktu yang sudah dicatatkan pada jemputan itu.

Ini menjadikan peluang mendapat jemputan untuk EX Raid dan seterusnya memiliki Mewtwo adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu semua pemain Pokémon GO yang mahu melengkapkan Pokédex mereka.

----------------------------------------



Perjalanan


Niantic selaku pembangun permainan aplikasi Pokémon GO tidak pernah beritahu secara terperinci bagaimana mereka memilih pemain mana yang akan mendapat jemputan EX Raid, NAMUN mereka ada meletakkan beberapa kriteria umum untuk terpilih, antaranya;
- Pemain memiliki Lencana Gym (Gym Badge) berlevel tinggi (Gold, Silver atau Bronze) untuk PokéGym yang terpilih menjadi hos EX raid.
- Pemain banyak menyelesaikan Raid Battle sebelum ini.

Ya. Kriterianya terlalu umum. Namun para pemain Pokémon GO yang berdedikasi banyak menganalisis data dan pola agihan EX Raid Pass kepada pemain sehingga dapat meletakkan ramalan dan sasaran PokéGym mana yang bakal menjadi hos kepada EX Raid nanti.

Kalau kita imbas ke belakang beberapa minggu lepas, aku ada sertai Pokémon GO Community Day bulan Mac di Taman Tasik Shah Alam (baca entri ini). Salah satu daripada aktiviti aku pada hari ini ialah menentang Pokémon lagenda Lugia di Dataran Shah Alam.


Imej diambil daripada entri Pokémon GO Community Day bulan Mac
'Mencari Raksasa Bawang'


Dalam perlawanan itu, aku tidak berjaya tangkap Lugia.

Namun beberapa hari selepas hari kejadian, pada 30 Mac, semasa pertama kali untuk hari itu aku membuka aplikasi Pokémon GO, tertera skrin ini:




YA.
Aku dapat EX Raid Pass sebagai jemputan menentang Mewtwo di dalam EX Raid Battle!

Tapi, walaupun aku selalu singgah PokéGym Dataran Shah Alam itu (mungkin sekadar pusing cakera foto untuk item), namun aku tidak rasa lencana Gym aku bertaraf tinggi. Lencana aku tiada taraf (bukan Bronze, apatah lagi Silver ataupun Gold) dan hanya lencana normal TAPI masih dijemput untuk EX Raid.

LUCKY!!!

Sudah tentu aku teruja nak melompat-lompat. Tapi seperti biasa, aku tiada medium untuk jadi teruja, jadi aku simpan dalam hati sahaja diam-diam.

Aku mahu beritahu kawan-kawan aku, tapi mereka tidak bermain Pokémon GO jadi reaksi mereka tentu sekali seperti 'Eh, itu je? Apa yang seronoknya?' atau 'Macam tu pun best ke?'
Aku mahu beritahu adik aku yang juga bermain Pokémon GO tapi dia masih berada di level yang rendah dan tidak bermain aktif. Dia sendiri pun tidak tahu siapa Mewtwo dan apa nilainya dapat EX Raid Pass tu jadi aku rasa menunjukkan reaksi teruja kepada dia juga tidak akan mengubah apa-apa.
Aku juga mahu hebohkan di Twitter @cerolian tapi aku masih tak pasti sama ada aku boleh hadir atau tidak pada tarikh dan masa yang ditetapkan itu maka aku simpan sampai ke detik aku betul-betul dapat Mewtwo itu dalam Pokédex.

That's being me, having so many things to get excited about BUT have no channel to express them.
Moving on...

Tarikh 8 April jam 6 petang, rasanya pada masa itu aku tiada rancangan lain, namun tiada sebab untuk ke Shah Alam. Maka aku nekad dan bulat fikiran untuk book tarikh dan waktu itu, bermakna kalau ada sesuatu pun pada tarikh itu, aku perlu katakan tidak dan tetap pergi menuntut Mewtwo aku.



Fast forward ke 8 April, aku menuju ke Shah Alam dari tempat aku pada jam 2 petang. Jaraknya dalam 35 km dan mengambil masa hampir satu jam (sebab aku berhenti sana dan sini). Jam menunjukkan waktu hampir 3 petang. Niat aku nak habiskan masa sebelum waktu Raid, maka aku ke SACC Convec untuk berkunjung ke Pesta Buku Selangor 2018.

Dapat jumpa satu dua artis, dapat ilmu CPR daripada seorang doktor dan dapat rembat TIGA buah buku komik tempatan terbitan PTS Komik-M. Oh, juga, dapat rasa Rotiboy yang amat sedap dan dapat makan Corn-in-Cup yang sangat wangi dan menyelerakan.

A good way to kill time before a 'big' fight.

Selesai semuanya, 5:30 petang aku sudah berada di Dataran Shah Alam.




Telur hitam di dalam gambar di atas hanya ada di skrin permainan para pemain yang ada EX Raid Pass sahaja. Kepada pemain yang tiada pass itu, gym itu kelihatan seperti PokéGym biasa (cuma tidak boleh dimasuki). Aku jangka petang itu akan turun hujan, tapi nampaknya cuaca hanya mendung dan nyaman. LUCKY!

Waktu aku sampai, hanya ada satu dua orang sahaja rasanya pemain Pokémon GO (kita sentiasa boleh kenal pemain Pokémon GO daripada cara dia pegang telefon bimbit masing-masing) namun semakin masa menghampiri jam 6, semakin ramai pemain yang muncul. Walaupun majoriti mereka juga dapat EX Raid Pass macam aku, namun ramai juga yang datang semata-mata nak beri sokongan kepada kawan mereka yang bakal berlawan. Aku sahaja si #SepiSelamanya di tengah kelompok manusia yang ramai.

Seperti yang pernah aku ceritakan, komuniti Pokémon GO Shah Alam ini besar dan rapat. Disebabkan kebanyakan mereka saling mengenali, maka mereka sudah ada group mereka sendiri yang dibahagikan mengikut warna kumpulan. Team Mystic (biru), Team Valor (merah) dan Team Instinct (kuning). Tujuan kumpul ikut warna kumpulan adalah untuk mendapat Premier Ball ekstra (lagi ramai pemain sama warna menentang, lagi banyak bola Premier Ball yang diberi sebagai bonus).

Jam 6, telur pun menetas.




Aku begitu teruja melihat Mewtwo. Pertama kali weyhhhh....
Aku pun masuk dan dapati hanya ada 3 orang sahaja pemain lain sedang menunggu di lobi. Ehhhh, mana pemain lain?

Disebabkan pemain lain semua ada kumpulan dan kelompok masing-masing, maka mereka akan bermain dalam lobi persendirian (private). Lobi persendirian ini memerlukan para ahli tahu password sebelum dibenarkan masuk.

Aku yang datang seorang diri, tiada kenalan, tiada kawan, #SepiSelamanya ini terpinga-pinga kenapa tiada yang nak masuk ke lobi awam? Kalau setakat 3 orang, memang tak mampu nak ditewaskan sekaligus tiada peluang untuk dapat tangkap Mewtwo. Aku sudah mula gelabah.

Baik, bawa bertenang. Apa yang boleh aku buat adalah menjadi tebal muka dan mencari sesiapa untuk ditanya. Aku berniat mahu dengan tidak malunya sertai kelompok team Instinct (sebab aku kumpulan kuning, of cos). Aku beranikan diri untuk tanya salah seorang yang sedang berkumpul di Dataran Shah Alam itu. Dia dengan baik hatinya tunjukkan kepada aku kelompok team Instinct.

Aku dengan tebal mukanya menuju ke kelompok Team Instinct dan minta kebenaran untuk sertai mereka. Mujurlah mereka semua baik hati dan terbuka, sentiasa mengalu-alukan kedatangan orang luar. LUCKY! Apa yang perlu aku selaku orang luar lakukan ialah beranikan diri untuk mulakan bicara dan meminta bantuan.

Tapi bagi orang anti-sosial macam aku, mulakan bicara dan meminta kebenaran untuk menyertai satu kumpulan besar adalah SANGAT SUSAH, TAHU TAK? AKU NYARIS-NYARIS NAK PUTUS ASA DAN BALIK TANPA MEWTWO.

Pendekkan cerita, selepas sesi ramah mesra, kami pun terus ke tujuan utama; MENUMPASKAN MEWTWO DAN SETERUSNYA MENYUMBAT MEWTWO ITU KE DALAM BOLA!






Akhirnya aku berjaya tangkap Mewtwo dengan hanya satu balingan bola pertama. LUCKY!
I'm now a proud owner of a Mewtwo. Aku akan namakan dia sebagai Fliza.

Berdebar-debar ooo masa nak baling bola ke Mewtwo tu. Macam nak kena interview dengan bakal mak mertua rasa berdebarnya (elehhh, macam laa ada pengalaman!). Tapi tak sangka hanya dapat pada balingan pertama. Aku sangkakan si Fliza ni macam nak memberontak sikit memandangkan Fliza yang sebenar bukanlah jenis yang suka menurut kata.




Gambar di atas adalah keadaan PokéGym tempat aku raid tadi selepas berjaya menamatkan misi menangkap Fliza. Ikon hitam berimej raksasa itu hanya eksklusif untuk raid Mewtwo sahaja. Nampak kool kan?

Selepas selesai, aku terdengar cakap-cakap daripada ahli kumpulan tadi yang satu legendary raid sedang berlangsung di Tasik Shah Alam, satu PokéGym yang juga menjad target para pemain untuk mendapatkan EX Raid Pass. Aku apa lagi, pergi naik si kuda putih aku dan terus ke destinasi untuk menyertai raid itu. Aku berjaya tangkap Latias, boss lagenda untuk raid tersebut, dan kalau ada rezeki lagi mungkin akan dapat EX Raid Pass lagi daripada PokéGym itu.

Namun aku rasa LUCK aku sudah tamat di situ.
Aku sudah LUCKY sebab dapat EX Raid Pass daripada Gym yang aku tidak selalu singgah. Aku sudah LUCKY cuaca hari itu mengizinkan. Aku sudah LUCKY diterima baik oleh kumpulan pemain Pokémon GO Shah Alam. Aku sudah LUCKY dapat tangkap Mewtwo dengan sekali balingan sahaja. Aku tak rasa aku akan LUCKY dapat jemputan EX Raid untuk kali kedua dalam masa yang singkat.

Namun walau bagaimanapun hari aku hari itu, aku tetap pulang balik ke rumah aku 35 km jauhnya dengan senyuman.

----------------------------------------



Ulasan

Jumaat lepas aku dapat tangkap Moltres sebagai ganjaran pertama Field Research. Sabtu pula aku berjaya tangkap Mew sebagai ganjaran Special Research, juga pada hari yang sama aku berjaya tangkap Pokémon lagenda Latias aku yang pertama. Ahad pula hari untuk si Fliza ini. Hujung minggu aku ini memang LUCKY, produktif dan sibuk sangat, penuh dengan aktiviti Pokémon GO. HAHAHA

Bermain Pokémon GO pada mulanya sekadar untuk isi masa lapang dan suka-suka. Namun lama kelamaan, permainan ini banyak memberi aku pengajaran, bagaimana aku perlu berani untuk maju ke depan, bagaimana kalau tanpa usaha kita tak akan ke mana, bagaimana pepatah ada mengatakan bahawa kalau mahu pergi LAJU geraklah sendirian, tapi kalau mahu pergi JAUH geraklah berkumpulan.

Yang pasti, walaupun Mewtwo ini adalah yang pertama, tapi pastinya bukan Mewtwo aku yang terakhir. Akan datang aku mahu lebih gigih untuk target mana-mana Gym yang bakal menjadi hos kepada EX Raid.

Wish me luck, fellas! Bye!






.

Apr 9, 2018

PENYELIDIKAN ISTIMEWA; Episod Kucing Merah Jambu Psikik [Bahagian 2]



Salam.

[Maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.]

Hi. Aku cEro.
Ini adalah sambungan kepada entri
PENYELIDIKAN ISTIMEWA: Kucing Merah Jambu Psikik.

Jika kalian belum baca BAHAGIAN PERTAMA, sila klik link di bawah:
PENYELIDIKAN ISTIMEWA: Episod Kucing Merah Jambu Psikik [Bahagian 1]

Bear with me.




Di bahagian pertama, aku sudah bercerita tentang 4 peringkat pertama Special Research yang bertajuk 'A Mythical Discovery'.
Secara ringkasnya, setiap peringkat akan terdapat TIGA tugasan yang perlu diselesaikan sebelum dapat maju ke peringkat seterusnya, dan tugasan itu semakin tinggi peringkat akan menjadi semakin susah.

Kita akan bersambung ke peringkat kelima.


----------------------------------------


Selepas ganjaran besar untuk peringkat keempat diambil,
panggilan video daripada Professor Willow pun tiba.




Peringkat Kelima

Tiga tugasan untuk peringkat kelima ialah;
1) Tangkap SATU (1) Ditto,
2) Lakukan DUA PULUH (20) balingan 'Great', dan
3) Tangkap SEPULUH (10) Pokémon jenis hantu.

Setiap tugasan yang berjaya diselesaikan akan diberi ganjaran kecil 2500 XP.




Permainan sudah berubah. Walaupun kedengaran agak mudah, namun tugasan kali ini antara yang mencabar.

Ditto adalah sejenis Pokémon yang mana di kala berada di keliaran, Ditto akan menyamar menjadi Pokémon lain. Kita tidak akan nampak Ditto di atas peta. Ditto juga tidak akan muncul di radar 'nearby'. Kita perlu tangkap Pokémon lain secara rambang dan berharap Pokémon itu adalah Ditto yang menyamar. Ini menjadikan tugasan menangkap walau hanya SATU Ditto adalah sesuatu yang sukar.

Di keliaran, Ditto akan menyamar sama ada sebagai Pidgey, Rattata, Zubat, Hoothoot, Sentret, Yanma, Gastly, Zigzagoon, Gulpin, Whismur, atau Taillow. Cara mahu meningkatkan kebarangkalian menangkap Ditto yang menyamar ialah dengan menumpukan tangkapan terhadap Pokémon yang aku senaraikan di atas. Singgah kawasan yang pernah kita dapat Ditto satu masa dahulu. Kemungkinan Ditto berada di situ menyamar sebagai Pokémon lain adalah tinggi.

Namun, aku dapat rasa Niantic selaku pembangun permainan ini sudah meningkatkan kekerapan keberadaan Ditto di keliaran. Sejak kemaskini feature Research ini ada, aku sampai tahap mampu tangkap Ditto TIGA ekor sehari, sedangkan dahulu nak dapat satu dalam sebulan pun susah.

Tugasan lakukan 20 balingan 'Great' pada dasarnya bukanlah susah, namun apa yang penting di tahap ini, kita selaku pemain sudah tahu serba sedikit bagaimana mahu mendapatkan balingan 'Great'.

Yang menjadi isu berat adalah menangkap 10 Pokémon jenis hantu. Pokémon jenis ini kerap keluar pada waktu malam, maka pemain yang bermain pada waktu siang akan mendapat sedikit kesusahan.

Cara aku, ketahui sarang Pokémon hantu yang berhampiran. Banyak laman web pemain Pokémon GO yang ada menyediakan senarai sarang Pokémon. Kebetulan pada waktu aku berada di tahap ini, Taman Tasik Shah Alam adalah sarang bagi Pokémon Duskull (sejenis Pokémon hantu). Aku dapat tahu disebabkan aku berada di sana semasa Pokémon GO Community Day untuk bulan Mac lalu (baca entri ini untuk cerita mengenainya). Maka, disebabkan Shah Alam bukanlah asing bagi aku, aku terus ke sana dan dapat tangkap 10 Duskull hanya dalam masa 15 minit.




Ganjaran besar selepas menyelesaikan tiga tugasan ini ialah:
- 1x Premium Raid Pass
- 1x Lucky Egg
- 15x Revive.

Selepas ganjaran besar diambil,
muncul lagi panggilan video daripada Professor kegemaran ramai ini.




Peringkat Keenam

Tiga tugasan untuk peringkat keenam ialah;
1) Lawan dalam SEPULUH (10) raid,
2) Evolve SATU Magikarp, dan
3) Capai level 25.

Setiap tugasan yang berjaya diselesaikan akan diberi ganjaran kecil 3000 XP.




Oleh kerana aku sudah berada di level yang lebih tinggi, maka tugasan (3) secara automatik dikira selesai.

Tugasan (1), lawan 10 raid kedengaran susah, namun sebenarnya ada cara memudahkannya. Syaratnya kita hanya kena 'lawan', tiada keperluan untuk menang. Maka, apa yang perlu kita buat adalah gunakan hanya satu sahaja pass dan lawan mana-mana raid yang ada (lagi sesuai raid yang mampu diselesaikan solo). Buat lobi 'private' sendiri dan hanya gunakan SATU Pokémon, namun kita tidak akan menyerang. Biarkan timer masa habis dan kita akan dianggap kalah NAMUN sudah dikira satu perlawanan raid. Ulang 9 kali lagi dan selesai.

Macam aku, aku lawan raid level 2 Misdreavus dengan hanya menggunakan SATU Aggron. Namun disebabkan masa menunggu di lobi adalah 120 saat (2 minit) dan timer perlawanan adalah 180 saat (3 minit), maka satu perlawanan memakan masa 5 minit. Satu raid hanya bertempoh 45 minit, maka aku hanya mampu ulang 9 kali sahaja. Lagi satu raid (untuk cukupkan 10 raid) aku terpaksa guna raid pass yang lain melawan raid boss yang lain.

Evolve Magikarp juga satu masalah kepada yang kurang candy Magikarp kerana mahu evolve satu Magikarp kepada Gyarados memerlukan 400 candy. Bagi yang tidak cukup candy, tiada cara lain selain memburu Magikarp atau jika mempunyai Rare Candy yang berlebihan, bolehlah tukarkannya menjadi candy Magikarp.

Aku bernasib baik kerana aku mempunyai cukup candy Magikarp untuk evolve DUA Magikarp kepada Gyarados. Semuanya kerana aku simpan kalau-kalau aku bernasib baik untuk jumpa shiny Magikarp. Aku mahukan shiny Gyarados (Gyarados berwarna merah tidak seperti Gyarados normal yang berwarna biru)






Maka, walaupun tugasan kali ini dikategorikan susah, aku tetap mampu menyelesaikannya terima kasih kepada nasib yang baik.




Ganjaran besar selepas menyelesaikan tiga tugasan ini ialah:
- 3000 Stardust
- 3x Incense
- 5x Rare Candy.

Selepas ganjaran besar diambil,
cuba teka siapa pula yang tetiba buat panggilan video kepada kita?




Perasan tak Professor Willow guna frasa 'final step'?
Sebenarnya, peringkat ketujuh memang boleh dikatakan peringkat terakhir kerana...


Peringkat Ketujuh

Tiga tugasan untuk peringkat ketujuh ialah;
1) Guna 50 Berry untuk membantu menangkap Pokémon,
2) Lakukan SATU (1) balingan lencong 'Excellent', dan
3) Dapatkan medal emas untuk Kanto.

Setiap tugasan yang berjaya diselesaikan akan diberi ganjaran kecil 3500 XP.




Aku sudahpun mendapatkan medal emas untuk Kanto maka tugasan (3) secara automatik selesai. Untuk dapatkan medal emas Kanto, pemain perlu tangkap dan buka entri Pokédex untuk 100 Pokémon daripada generasi pertama. Tiada cara lain memudahkannya kecuali berusaha untuk penuhkan Pokédex kita.

Guna 50 Berry untuk membantu menangkap Pokémon bermaksud memberi Pokémon makan berry sebelum kita baling bola untuk menangkapnya. Tidak perlu berjaya menangkap, kalau selepas beri berry dan baling bola Pokémon itu keluar semula dan lari, masih dikira sebagai satu berry. Yang susahnya adalah 50 kali, bermakna paling kurang memerlukan 50 berry dan berpuluh-puluh Pokémon. Tugasan ini sedikit memakan masa tapi masih mampu dilakukan dengan mudah.

Balingan lencong 'Excellent' adalah jenis balingan yang paling sukar, kerana untuk dapatkan label 'Excellent!' itu memerlukan kita untuk baling tepat ke tengah Pokémon ketika bulatan target menjadi sangat kecil. Namun dengan latihan dan usaha berkali-kali, membuat balingan sedemikian bukanlah sesuatu perkara yang mustahil. Malah, tugasan ini hanya memerlukan kita berjaya lakukannya SEKALI sahaja.




Selepas selesaikan ketiga-tiga tugasan tadi, ganjaran besar yang diberikan ialah:
- KEMUNCULAN Pokémon
- 20x Ultra Ball
- 4000 Stardust.

YA. KEMUNCULAN Pokémon.
Ganjaran untuk peringkat ketujuh ini ialah peluang menangkap Pokémon yang kita tunggu-tunggu, MEW.

Selepas butang ganjaran ditekan, Professor Willow mencelah dengan panggilan videonya.




Tamat panggilan video, muncul skrin yang dinanti-nantikan.


Dan apabila ditekan, Mew pun muncul.




Secara default, telefon pemain akan dipaksa buka AR untuk menangkap Mew. Namun untuk telefon Android lama yang tiada gyroscope, AR tidak dapat berfungsi maka permainan akan ditukar ke mod BUKAN AR kembali.

Mew akan menjadi halimunan dan kita selaku pemain hanya nampak bentuk permukaan yang tidak sekata, menandakan itu adalah Mew. Kuasa halimunan ini menjadi sedikit susah jika dimainkan dalam mod AR, namun tidak bermakna dalam mod BUKAN AR Mew senang ditangkap.

Pokéball yang diberikan bukanlah Pokéball simpanan kita sebaliknya adalah Pokéball yang tidak terhad. Bermakna, tidak kira baling berapa kali pun, Pokéball ini TIDAK AKAN HABIS. Berry juga tidak boleh diakses dan kita hanya boleh membaling Pokéball biasa sahaja, tiada Great Ball, Ultra Ball mahupun Premier Ball.

Untuk Mew aku ini, aku hanya memerlukan TIGA balingan berjaya untuk menangkapnya. Aku juga ada baca di internet bahawa kebanyakan mereka pun berjaya tangkap selepas TIGA kali balingan berjaya. Dengan kata lain, kadar tangkapan untuk Mew ini adalah 100%, semua orang yang menemuinya akan berjaya menangkapnya.




Aku menangkap Mew di waktu tengah malam kerana mahukan bonus 'first catch of the day' daripada Mew ini. Yang aku tak pasti adalah kenapa aku dapat bonus 'first throw' sedangkan sudah jelas Mew aku pernah keluar daripada bola yang aku baling sebanyak dua kali.

Walaupun sudah berjaya menangkap Mew, kita masih belum habis lagi kerana kita masih berada di peringkat ketujuh sedangkan research ini ada 8 peringkat.


Peringkat Terakhir

Tiada tugasan untuk peringkat ini, namun slot untuk tugasan diisi dengan butang 'CLAIM REWARD!' dengan ganjaran 4000 XP setiap slot.




Selepas ditekan kesemua butang ganjaran kecil, kita juga diberikan ganjaran besar untuk peringkat ini:
- 5000 Stardust
- 1x Super Incubator
- 20x candy Mew.

Dengan kata lain, peringkat kelapan (terakhir) ini adalah sekadar peringkat ganjaran kerana secara sahnya kita sudah berjaya tangkap Mew pada hujung peringkat ketujuh tadi.

Maka dengan itu, tamatlah sudah Special Research yang bertajuk 'A Mythical Discovery' ini.
Selepas selesai, slot Special Research juga hanya memberitahu jika ada Special Research lain di masa akan datang akan diberitahu kemudian.




----------------------------------------


Ulasan

Mew berada di bawah kategori Pokémon mitos. Rasanya tindakan Niantic memberi peluang kemunculan Pokémon mitos dalam bentuk 'pengembaraan' adalah sesuatu yang bagus. Malah, Niantic juga memberikan 100% peluang berjaya menangkap Mew supaya semua pemain yang bersusah payah semasa menyelesaikan tugasan di setiap peringkat berasa berbaloi. Namun, setiap pemain hanya berhak dapat SATU sahaja Mew (buat masa ini) dan Mew tersebut tidak boleh dibuang (transfer) jika kita mahu (Dude, siapa yang nak transfer Mew selepas bersusah payah menangkapnya?)

Mungkin niat Niantic adalah menjadikan Special Research sebagai tempat eksklusif untuk Pokémon mitos. Sehingga ke TIGA generasi di dalam Pokémon GO sekarang, terdapat 4 Pokémon mitos iaitu; Mew (Gen 1), Celebi (Gen 2), Jirachi (Gen 3) dan Deoxys (Gen 3). Malah Deoxys juga memilik 4 jenis iaitu bentuk Normal, bentuk Serangan, bentuk Pertahanan, dan bentuk Kepantasan. Dengan kata lain, bila masanya sesuai, Pokémon-Pokémon ini akan datang menjadi Special Research menggantikan Mew.

Satu kekesalan yang aku lakukan semasa menjalankan Special Research ini ialah aku terlalu nak cepat. Maksud aku, aku kurang menikmati permainannya. Aku terlalu fokus untuk mahu selesaikannya sesegera mungkin. Tambah lagi aku sentiasa bernasib baik seperti contoh memiliki cukup candy untuk evolve Magikarp, tahu di mana sarang Pokémon hantu, jumpa Ditto selepas hanya dua tiga kali percubaan dan sudah terbiasa membuat balingan 'Great' dan 'Excellent'. Mungkin kepada mereka yang tidak sebaik nasib aku ini, mereka akan lebih menikmati Special Research ini.

Walaupun ada diberitakan data tentang shiny Mew (Mew berwarna biru muda tidak seperti Mew normal yang berwarna merah jambu) terdapat di dalam trafik permainan ini, namun sehingga sekarang tiada khabar lagi ada pemain yang jumpa shiny Mew. Mungkin data itu cuma ada tapi tidak dilepaskan lagi. Aku cuma harapkan selepas dilepaskan nanti, pemain yang sudah ada Mew berpeluang untuk memiliki shiny Mew pula.

Apa-apapun spekulasi, apa yang boleh aku dan kita semua buat adalah menunggu Special Research yang seterusnya. Adakah shiny Mew akan dilepaskan, ataupun Niantic buat keputusan untuk maju dengan Pokémon mitos yang lain?

Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Istimewa di episod akan datang.
Selamat menjalankan penyelidikan!








.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License