Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Apr 9, 2018

PENYELIDIKAN ISTIMEWA; Episod Kucing Merah Jambu Psikik [Bahagian 2]



Salam.

[Maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.]

Hi. Aku cEro.
Ini adalah sambungan kepada entri
PENYELIDIKAN ISTIMEWA: Kucing Merah Jambu Psikik.

Jika kalian belum baca BAHAGIAN PERTAMA, sila klik link di bawah:
PENYELIDIKAN ISTIMEWA: Episod Kucing Merah Jambu Psikik [Bahagian 1]

Bear with me.




Di bahagian pertama, aku sudah bercerita tentang 4 peringkat pertama Special Research yang bertajuk 'A Mythical Discovery'.
Secara ringkasnya, setiap peringkat akan terdapat TIGA tugasan yang perlu diselesaikan sebelum dapat maju ke peringkat seterusnya, dan tugasan itu semakin tinggi peringkat akan menjadi semakin susah.

Kita akan bersambung ke peringkat kelima.


----------------------------------------


Selepas ganjaran besar untuk peringkat keempat diambil,
panggilan video daripada Professor Willow pun tiba.




Peringkat Kelima

Tiga tugasan untuk peringkat kelima ialah;
1) Tangkap SATU (1) Ditto,
2) Lakukan DUA PULUH (20) balingan 'Great', dan
3) Tangkap SEPULUH (10) Pokémon jenis hantu.

Setiap tugasan yang berjaya diselesaikan akan diberi ganjaran kecil 2500 XP.




Permainan sudah berubah. Walaupun kedengaran agak mudah, namun tugasan kali ini antara yang mencabar.

Ditto adalah sejenis Pokémon yang mana di kala berada di keliaran, Ditto akan menyamar menjadi Pokémon lain. Kita tidak akan nampak Ditto di atas peta. Ditto juga tidak akan muncul di radar 'nearby'. Kita perlu tangkap Pokémon lain secara rambang dan berharap Pokémon itu adalah Ditto yang menyamar. Ini menjadikan tugasan menangkap walau hanya SATU Ditto adalah sesuatu yang sukar.

Di keliaran, Ditto akan menyamar sama ada sebagai Pidgey, Rattata, Zubat, Hoothoot, Sentret, Yanma, Gastly, Zigzagoon, Gulpin, Whismur, atau Taillow. Cara mahu meningkatkan kebarangkalian menangkap Ditto yang menyamar ialah dengan menumpukan tangkapan terhadap Pokémon yang aku senaraikan di atas. Singgah kawasan yang pernah kita dapat Ditto satu masa dahulu. Kemungkinan Ditto berada di situ menyamar sebagai Pokémon lain adalah tinggi.

Namun, aku dapat rasa Niantic selaku pembangun permainan ini sudah meningkatkan kekerapan keberadaan Ditto di keliaran. Sejak kemaskini feature Research ini ada, aku sampai tahap mampu tangkap Ditto TIGA ekor sehari, sedangkan dahulu nak dapat satu dalam sebulan pun susah.

Tugasan lakukan 20 balingan 'Great' pada dasarnya bukanlah susah, namun apa yang penting di tahap ini, kita selaku pemain sudah tahu serba sedikit bagaimana mahu mendapatkan balingan 'Great'.

Yang menjadi isu berat adalah menangkap 10 Pokémon jenis hantu. Pokémon jenis ini kerap keluar pada waktu malam, maka pemain yang bermain pada waktu siang akan mendapat sedikit kesusahan.

Cara aku, ketahui sarang Pokémon hantu yang berhampiran. Banyak laman web pemain Pokémon GO yang ada menyediakan senarai sarang Pokémon. Kebetulan pada waktu aku berada di tahap ini, Taman Tasik Shah Alam adalah sarang bagi Pokémon Duskull (sejenis Pokémon hantu). Aku dapat tahu disebabkan aku berada di sana semasa Pokémon GO Community Day untuk bulan Mac lalu (baca entri ini untuk cerita mengenainya). Maka, disebabkan Shah Alam bukanlah asing bagi aku, aku terus ke sana dan dapat tangkap 10 Duskull hanya dalam masa 15 minit.




Ganjaran besar selepas menyelesaikan tiga tugasan ini ialah:
- 1x Premium Raid Pass
- 1x Lucky Egg
- 15x Revive.

Selepas ganjaran besar diambil,
muncul lagi panggilan video daripada Professor kegemaran ramai ini.




Peringkat Keenam

Tiga tugasan untuk peringkat keenam ialah;
1) Lawan dalam SEPULUH (10) raid,
2) Evolve SATU Magikarp, dan
3) Capai level 25.

Setiap tugasan yang berjaya diselesaikan akan diberi ganjaran kecil 3000 XP.




Oleh kerana aku sudah berada di level yang lebih tinggi, maka tugasan (3) secara automatik dikira selesai.

Tugasan (1), lawan 10 raid kedengaran susah, namun sebenarnya ada cara memudahkannya. Syaratnya kita hanya kena 'lawan', tiada keperluan untuk menang. Maka, apa yang perlu kita buat adalah gunakan hanya satu sahaja pass dan lawan mana-mana raid yang ada (lagi sesuai raid yang mampu diselesaikan solo). Buat lobi 'private' sendiri dan hanya gunakan SATU Pokémon, namun kita tidak akan menyerang. Biarkan timer masa habis dan kita akan dianggap kalah NAMUN sudah dikira satu perlawanan raid. Ulang 9 kali lagi dan selesai.

Macam aku, aku lawan raid level 2 Misdreavus dengan hanya menggunakan SATU Aggron. Namun disebabkan masa menunggu di lobi adalah 120 saat (2 minit) dan timer perlawanan adalah 180 saat (3 minit), maka satu perlawanan memakan masa 5 minit. Satu raid hanya bertempoh 45 minit, maka aku hanya mampu ulang 9 kali sahaja. Lagi satu raid (untuk cukupkan 10 raid) aku terpaksa guna raid pass yang lain melawan raid boss yang lain.

Evolve Magikarp juga satu masalah kepada yang kurang candy Magikarp kerana mahu evolve satu Magikarp kepada Gyarados memerlukan 400 candy. Bagi yang tidak cukup candy, tiada cara lain selain memburu Magikarp atau jika mempunyai Rare Candy yang berlebihan, bolehlah tukarkannya menjadi candy Magikarp.

Aku bernasib baik kerana aku mempunyai cukup candy Magikarp untuk evolve DUA Magikarp kepada Gyarados. Semuanya kerana aku simpan kalau-kalau aku bernasib baik untuk jumpa shiny Magikarp. Aku mahukan shiny Gyarados (Gyarados berwarna merah tidak seperti Gyarados normal yang berwarna biru)






Maka, walaupun tugasan kali ini dikategorikan susah, aku tetap mampu menyelesaikannya terima kasih kepada nasib yang baik.




Ganjaran besar selepas menyelesaikan tiga tugasan ini ialah:
- 3000 Stardust
- 3x Incense
- 5x Rare Candy.

Selepas ganjaran besar diambil,
cuba teka siapa pula yang tetiba buat panggilan video kepada kita?




Perasan tak Professor Willow guna frasa 'final step'?
Sebenarnya, peringkat ketujuh memang boleh dikatakan peringkat terakhir kerana...


Peringkat Ketujuh

Tiga tugasan untuk peringkat ketujuh ialah;
1) Guna 50 Berry untuk membantu menangkap Pokémon,
2) Lakukan SATU (1) balingan lencong 'Excellent', dan
3) Dapatkan medal emas untuk Kanto.

Setiap tugasan yang berjaya diselesaikan akan diberi ganjaran kecil 3500 XP.




Aku sudahpun mendapatkan medal emas untuk Kanto maka tugasan (3) secara automatik selesai. Untuk dapatkan medal emas Kanto, pemain perlu tangkap dan buka entri Pokédex untuk 100 Pokémon daripada generasi pertama. Tiada cara lain memudahkannya kecuali berusaha untuk penuhkan Pokédex kita.

Guna 50 Berry untuk membantu menangkap Pokémon bermaksud memberi Pokémon makan berry sebelum kita baling bola untuk menangkapnya. Tidak perlu berjaya menangkap, kalau selepas beri berry dan baling bola Pokémon itu keluar semula dan lari, masih dikira sebagai satu berry. Yang susahnya adalah 50 kali, bermakna paling kurang memerlukan 50 berry dan berpuluh-puluh Pokémon. Tugasan ini sedikit memakan masa tapi masih mampu dilakukan dengan mudah.

Balingan lencong 'Excellent' adalah jenis balingan yang paling sukar, kerana untuk dapatkan label 'Excellent!' itu memerlukan kita untuk baling tepat ke tengah Pokémon ketika bulatan target menjadi sangat kecil. Namun dengan latihan dan usaha berkali-kali, membuat balingan sedemikian bukanlah sesuatu perkara yang mustahil. Malah, tugasan ini hanya memerlukan kita berjaya lakukannya SEKALI sahaja.




Selepas selesaikan ketiga-tiga tugasan tadi, ganjaran besar yang diberikan ialah:
- KEMUNCULAN Pokémon
- 20x Ultra Ball
- 4000 Stardust.

YA. KEMUNCULAN Pokémon.
Ganjaran untuk peringkat ketujuh ini ialah peluang menangkap Pokémon yang kita tunggu-tunggu, MEW.

Selepas butang ganjaran ditekan, Professor Willow mencelah dengan panggilan videonya.




Tamat panggilan video, muncul skrin yang dinanti-nantikan.


Dan apabila ditekan, Mew pun muncul.




Secara default, telefon pemain akan dipaksa buka AR untuk menangkap Mew. Namun untuk telefon Android lama yang tiada gyroscope, AR tidak dapat berfungsi maka permainan akan ditukar ke mod BUKAN AR kembali.

Mew akan menjadi halimunan dan kita selaku pemain hanya nampak bentuk permukaan yang tidak sekata, menandakan itu adalah Mew. Kuasa halimunan ini menjadi sedikit susah jika dimainkan dalam mod AR, namun tidak bermakna dalam mod BUKAN AR Mew senang ditangkap.

Pokéball yang diberikan bukanlah Pokéball simpanan kita sebaliknya adalah Pokéball yang tidak terhad. Bermakna, tidak kira baling berapa kali pun, Pokéball ini TIDAK AKAN HABIS. Berry juga tidak boleh diakses dan kita hanya boleh membaling Pokéball biasa sahaja, tiada Great Ball, Ultra Ball mahupun Premier Ball.

Untuk Mew aku ini, aku hanya memerlukan TIGA balingan berjaya untuk menangkapnya. Aku juga ada baca di internet bahawa kebanyakan mereka pun berjaya tangkap selepas TIGA kali balingan berjaya. Dengan kata lain, kadar tangkapan untuk Mew ini adalah 100%, semua orang yang menemuinya akan berjaya menangkapnya.




Aku menangkap Mew di waktu tengah malam kerana mahukan bonus 'first catch of the day' daripada Mew ini. Yang aku tak pasti adalah kenapa aku dapat bonus 'first throw' sedangkan sudah jelas Mew aku pernah keluar daripada bola yang aku baling sebanyak dua kali.

Walaupun sudah berjaya menangkap Mew, kita masih belum habis lagi kerana kita masih berada di peringkat ketujuh sedangkan research ini ada 8 peringkat.


Peringkat Terakhir

Tiada tugasan untuk peringkat ini, namun slot untuk tugasan diisi dengan butang 'CLAIM REWARD!' dengan ganjaran 4000 XP setiap slot.




Selepas ditekan kesemua butang ganjaran kecil, kita juga diberikan ganjaran besar untuk peringkat ini:
- 5000 Stardust
- 1x Super Incubator
- 20x candy Mew.

Dengan kata lain, peringkat kelapan (terakhir) ini adalah sekadar peringkat ganjaran kerana secara sahnya kita sudah berjaya tangkap Mew pada hujung peringkat ketujuh tadi.

Maka dengan itu, tamatlah sudah Special Research yang bertajuk 'A Mythical Discovery' ini.
Selepas selesai, slot Special Research juga hanya memberitahu jika ada Special Research lain di masa akan datang akan diberitahu kemudian.




----------------------------------------


Ulasan

Mew berada di bawah kategori Pokémon mitos. Rasanya tindakan Niantic memberi peluang kemunculan Pokémon mitos dalam bentuk 'pengembaraan' adalah sesuatu yang bagus. Malah, Niantic juga memberikan 100% peluang berjaya menangkap Mew supaya semua pemain yang bersusah payah semasa menyelesaikan tugasan di setiap peringkat berasa berbaloi. Namun, setiap pemain hanya berhak dapat SATU sahaja Mew (buat masa ini) dan Mew tersebut tidak boleh dibuang (transfer) jika kita mahu (Dude, siapa yang nak transfer Mew selepas bersusah payah menangkapnya?)

Mungkin niat Niantic adalah menjadikan Special Research sebagai tempat eksklusif untuk Pokémon mitos. Sehingga ke TIGA generasi di dalam Pokémon GO sekarang, terdapat 4 Pokémon mitos iaitu; Mew (Gen 1), Celebi (Gen 2), Jirachi (Gen 3) dan Deoxys (Gen 3). Malah Deoxys juga memilik 4 jenis iaitu bentuk Normal, bentuk Serangan, bentuk Pertahanan, dan bentuk Kepantasan. Dengan kata lain, bila masanya sesuai, Pokémon-Pokémon ini akan datang menjadi Special Research menggantikan Mew.

Satu kekesalan yang aku lakukan semasa menjalankan Special Research ini ialah aku terlalu nak cepat. Maksud aku, aku kurang menikmati permainannya. Aku terlalu fokus untuk mahu selesaikannya sesegera mungkin. Tambah lagi aku sentiasa bernasib baik seperti contoh memiliki cukup candy untuk evolve Magikarp, tahu di mana sarang Pokémon hantu, jumpa Ditto selepas hanya dua tiga kali percubaan dan sudah terbiasa membuat balingan 'Great' dan 'Excellent'. Mungkin kepada mereka yang tidak sebaik nasib aku ini, mereka akan lebih menikmati Special Research ini.

Walaupun ada diberitakan data tentang shiny Mew (Mew berwarna biru muda tidak seperti Mew normal yang berwarna merah jambu) terdapat di dalam trafik permainan ini, namun sehingga sekarang tiada khabar lagi ada pemain yang jumpa shiny Mew. Mungkin data itu cuma ada tapi tidak dilepaskan lagi. Aku cuma harapkan selepas dilepaskan nanti, pemain yang sudah ada Mew berpeluang untuk memiliki shiny Mew pula.

Apa-apapun spekulasi, apa yang boleh aku dan kita semua buat adalah menunggu Special Research yang seterusnya. Adakah shiny Mew akan dilepaskan, ataupun Niantic buat keputusan untuk maju dengan Pokémon mitos yang lain?

Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Istimewa di episod akan datang.
Selamat menjalankan penyelidikan!








.


No comments:

Post a Comment

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: