Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 30, 2019

Aku Benci...!



Salam.

Beberapa tahun lepas, aku ada bergaduh besar dengan abang aku. Bergaduh sangat besar sehinggakan wujud perasaan benci yang mendalam dalam diri aku terhadap diri dia. Walaupun mendengar nama dia disebut sudah buatkan aku rasa meluat.

Tapi disebabkan dia keluarga, maka aku juga sedar bahawa aku tidak mahu apa-apa tidak baik berlaku pada dia dan keluarganya. Jauh dari sudut hati aku, aku tahu aku (walaupun tidak mahu mengakuinya secara lisan) masih lagi sayangkan dia.

Sejak daripada peristiwa itu, aku faham sesuatu.
Walaupun acap kali dikatakan 'sayang' lawannya 'benci',
tapi aku sedar kedua-dua perasaan itu bukanlah sebelah berlawanan untuk satu syiling yang sama,
bukanlah dua kutub yang berbeza di utara dan di selatan.

Sayang dan benci boleh wujud pada masa yang sama.
Aku boleh sayang, dan benci sesuatu itu pada masa yang sama.

Hasil luahan di bawah perlulah dibaca di bawah pemahaman kepada konsep di atas.




Yang kenal aku mungkin sedar aku ini normal.
Aku ketawa. Aku marah. Aku serius. Aku mesra. Semuanya bergantung kepada keadaan.

Namun,
satu perkara yang kalian tidak tahu ialah AKU BENCI MANUSIA.

Kalau kalian baca blog ini dengan setia, banyak kali sudah aku beritahu aku benci dan suka manusia. Aku suka manusia dari segi biologi, sosiologi, behavioral, morfologi, anatomi. Pendek kata, manusia sangat menarik untuk 'dikaji'.

Namun pada masa yang sama,
aku benci manusia.

Setiap manusia yang aku lihat di depan mata, ada sahaja perkara tentang mereka yang aku benci. Baik di kalangan ahli keluarga, kawan-kawan, kenalan, malah orang asing yang langsung tidak dikenali. Aku benci semua mereka sama rata, mungkin ada antara mereka yang aku benci lebih sedikit tetapi masih lagi kebanyakannya aku benci sama rata.

Aku benci semua manusia.
I hate all human equally.

Namun,
ada seorang di antara manusia yang aku benci itu berada di tangga teratas senarai benci. Sejak sekian lama dia berada dan menakluki kedudukan teratas walaupun tangga kedua dan seterusnya sentiasa berubah orang. Aku begitu bencikan dia sehinggakan aku tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan benci itu buat masa sekarang.

Pemilik tangga teratas itu adalah aku.
Ya, DIRI AKU SENDIRI.

AKU BENCI DIRI AKU SENDIRI.



Aku pendam perasaan benci ini terlalu lama sehinggakan aku dapat rasa kesannya memakan diri aku sendiri. Bagaimana orang biasa akan melihat imej mereka di cermin sebagai normal, tapi aku pula cukup benci dengan imej itu sehinggakan kerap kali aku meludah ke arah cermin hanya kerana aku membencinya.

Banyak perkara berlaku pada aku belakangan dua tiga tahun ini yang menjadikan aku semakin benci dengan diri sendiri.

Aku percaya,
segala masalah boleh diselesaikan tanpa aku masuk tangan kerana kalau aku masuk tangan, masalah akan jadi lebih rumit. Sebab itu orang keliling aku anggap aku jenis yang kurang empati, sebab aku tak menolong. Tapi pada aku, aku sebenarnya menolong mereka dengan tidak masuk campur.

Aku bencikan diri aku,
sampaikan bila ada orang tahankan pintu untuk aku lalu pun aku sudah rasakan yang akulah manusia paling tidak berguna dalam dunia. Bayangkan, perlakuan seperti nak tolak pintu pun kena ada orang buatkan. Aku sangat tidak suka orang buat baik kepada aku kerana aku tahu aku tidak layak untuk terima mana-mana kebaikan orang lain (yang aku benci senyap-senyap).

Aku bencikan diri aku,
sampaikan bila ada orang berterima kasih kepada aku untuk apa-apa perkara (kecil atau besar), dalam hati aku sumpah seranah beritahu diri sendiri yang aku tidak layak terima ucapan itu. "You don't know what cruel things I did in life. I don't deserve that gratitude."

Aku tidak pernah berkongsi perasaan benci aku ini kecuali kepada seorang perantis imam di sebuah masjid yang selalu aku kunjungi. Bila luahkan perkara ini (perasaan benci diri sendiri), nampak jelas di muka dia yang dia langsung tidak faham apa yang aku lalui. Ya, nasihat dia bernas. Dia suruh pulang ke asas panduan Islam iaitu Al-Quran dan Hadis, tapi paling tidak pandulah aku ke arah mana patut aku mula. Nak cari jarum di dalam timbunan jerami bukannya mudah.
(Actually you can use magnet, super powerful one, tapi itu hal lain yang tidak patut aku ceritakan di sini)

Aku tidak rasa aku berjaya gambarkan secara tepat apa yang aku lalui.

Mungkin juga ada di kalangan kalian yang juga benci diri sendiri, tapi aku berani jamin ia berbeza dengan aku. Aku SANGAT BENCI DIRI SENDIRI.

Aku juga tidak rasa ini adalah sejenis mental disorder. But I don't know. Is hating yourself a disorder?

Kadang-kadang ada datang terfikir nak terjun depan lori yang bergerak laju, atau tunggang moto laju menuju ke tiang lampu, atau cucuk perut dengan paip besi, tapi itu semua hanya (setakat ini) di dalam fikiran sahaja. Untuk waktu ini, aku sedar kalau aku buat sedemikian, aku bakal susahkan orang lain dan orang lain perlu buat kebaikan ke atas aku dan aku benci orang buat baik dengan aku sebab aku benci orang.

Ahhhhh, susahnya aku nak terangkan perasaan aku.

Sebab kenapa aku luahkan di sini adalah semata-mata kerana aku perlu taip untuk memberitahu. Di sini, aku tidak perlu bercerita depan orang sebenar kerana kalau aku buat sedemikian, nanti aku akan jadi benci orang itu hanya daripada bacaan isyarat tubuh dia terhadap aku (seperti mana yang berlaku kepada perantis imam tadi)

Mungkin trust issue. Ya, aku tak percaya sesiapa pun atas dunia ini, terutamanya diri aku, jadi apa-apa pun janji yang orang lain beritahu aku, aku tidak langsung akan terimanya. Semua itu sekadar angin yang berlalu pergi.

Tapi trust issue akan menjurus kepada hating oneself ke? I don't think so.



Ahhhh!!!! Fissshhh!!
Aku taip panjang-panjang kemudian aku dapati aku langsung tidak berjaya nak luahkan apa yang aku rasa. Loser tahap teruk aku ni. Memang patut pun aku benci diri sendiri.

Sudahlah!

Nampaknya luahkan di blog tidak membantu.
Aku patut cari medium lain, sebelum terlambat.
Clock is ticking near.





.

Jan 23, 2019

Satu Soalan...



Salam.




Aku sebenarnya sudah sediakan satu entri lain untuk hari ini, tapi terpaksa aku tangguhkan kerana hal ini lebih penting.

Aku tidak pasti berapa ramai yang akan baca entri ini,
dan juga aku tidak pasti berapa ramai daripada yang membaca akan tinggalkan komen.
Dan aku juga tidak pasti dalam bilangan komen yang sedikit itu, mana satu yang betul-betul membantu.

Tapi aku ada satu soalan.


Soalan aku;

Bagaimana hendak mengawal perasaan benci di dalam diri?

Aku ada benci seseorang, sangat benci sehinggakan aku sering terbayang perlakuan yang bakal menamatkan rasa benci itu. Aku takut kalau aku tidak mampu kawal perasaan benci ini, aku akhirnya akan realisasikan segala bayangan yang pernah aku fikirkan, di mana, pemandangannya langsung tidak akan indah. IYKWIM.

Bantu aku. Please.
It feels like clock is ticking near.





.

Jan 16, 2019

Kisah Bagaimana SAKIT GIGI Mengajar Aku Tentang Diri Sendiri.



Salam.

Suatu hari, aku sedar salah satu daripada gigi geraham aku berlubang. Kemudian di klinik gigi, aku disarankan untuk menampal lubang tersebut. Aku bersetuju.

Beberapa tahun kemudian,
aku perasan simen tampalan gigi geraham itu tercabut semasa aku sedang mengunyah makanan. Nasib baik aku tidak terus telan simen tersebut. Tapi, aku tidak buat rawatan susulan. Sepatutnya aku tampal semula lubang tersebut. Namun pada aku, asalkan aku rajin membersihkan kawasan berlubang itu secara berkala, maka tiada masalah yang akan timbul.

Hakikatnya,
aku sedikit gentar untuk ke klinik gigi. Bunyi berdesing gerudi gigi dan bau serbuk kalsium hasil daripada gigi yang digerudi sentiasa terbayang tiap kali aku sebut perkataan 'klinik gigi'.

Walaupun aku sentiasa membersihkan kawasan berlubang itu, namun lama-kelamaan lubang itu semakin mendalam. Aku sedar lubangnya makin dalam, kadang-kadang menyakitkan, tetapi penafian aku begitu tebal memberitahu bahawa semuanya tidak ada apa-apa.

Ya. Penafian.





Alkisah pada hujung tahun lepas,
lebih tepat pada 23 Disember, semasa aku sedang menikmati bijirin sarapan Honey Star bersama susu, aku perasan aku tergigit sesuatu yang keras. Aku sangkakan ada salah satu daripada bijirin Honey Star yang 'cacat' dan tidak melembut selepas direndam air susu panas.

Tapi aku silap.

Ketika aku keluarkan benda keras itu dari dalam mulut, aku dapati ia bukan bijirin tetapi serpihan kepada gigi. Bila aku belek di dalam mulut, aku dapati gigi geraham yang berlubang itu sudah pecah. Kini gigi itu hanya tinggal tunggul.

Ini akibat tidak ke klinik gigi lebih awal.

Tapi masih di dalam penafian, pada aku jika sekiranya ia tidak mendatangkan masalah, maka tunggul pun tunggullah.

Aku silap sekali lagi.

Pada 29 Disember, selepas berhari-hari hidup dalam keadaan tidak selesa, akhirnya rasa sakit mula menyerang. Selepas beberapa jam, gusi di atas gigi tunggul itu mula membengkak. Bermula dengan bengkak sikit, namun dapat dirasakan bengkaknya semakin membesar.

Pada saat itu aku sedar, aku sedang alami sakit kedua paling sakit selepas sakit melahirkan; iaitu sakit gigi.



Hujung tahun, maka cuti panjang.
Selalunya kami sekeluarga akan bercuti di rumah ibu bapa kami beramai-ramai. Rumah mak abah memang penuh dengan anak-anak (serta cucu-cucu) yang datang.

Mengambil kesempatan keramaian ini, Emak buat keputusan untuk masak nasi ayam resipinya yang memang menjadi kegemaran setiap daripada kami adik-beradik (termasuk, dan terutamanya AKU). Nasi ayam Emak adalah yang terbaik, tiada tandingan berbanding mana-mana nasi ayam yang pernah aku rasa.

Nasi ayam Emak mencetus kegembiraan semua adik-beradik, kecuali AKU. Sebabnya, aku sedang sakit gigi. Mana mungkin aku boleh menikmati nasi ayam dengan sepenuhnya dalam keadaan aku sakit sebegini. Aku hanya mampu kunyah dan telan makanan lembut seperti bubur dan Nestum likat. Makanan seperti nasi langsung tidak mampu aku kunyah, apalagi mahu menikmati.

Maka,
di kala setiap insan di dalam rumah itu menikmati makanan kegemaran aku, nasi ayam Emak, aku hanya mampu melihat.

Bila difikirkan,
kalau perkara sebegini berlaku kepada aku pada 10 tahun yang lepas, aku akan naik marah dan merajuk dengan semua orang. Maklumlah, sakit gigi ini membuatkan emosi tidak stabil. Benda kecil sahaja akan buat kita naik marah.

Namun kali ini tidak. Aku rasa ralat, rugi, tapi langsung tiada marah. Aku sendiri tidak pasti kenapa, tapi rasanya semuanya bertitik-tolak daripada faktor usia.

Aku bukan lagi aku pada 10 tahun lalu yang akan naik marah apabila sakit gigi. Aku sudah ada kawalan emosi aku sendiri.



Aku disarankan untuk ke klinik gigi kerana muka aku sudah senget sebelah akibat daripada bengkak yang membesar. Namun, 29-30-31-01 haribulan adalah cuti hujung minggu panjang sempena kedatangan tahun baru. Maka, tiada klinik gigi kerajaan yang buka. Malah, tiada juga klinik gigi swasta yang buka. Akibatnya, sepanjang hujung minggu itu aku kena bertahan dengan hanya makan ubat tahan sakit yang aku beli dari kaunter farmasi di pusat beli-belah berdekatan.

Tahu tak kenapa sakit gigi dikatakan sakit kedua paling menyakitkan selepas sakit melahirkan?

Jawapannya, sakit gigi ini sakit yang berpanjangan. Memang jika diletakkan perbandingan, jika jari terpotong pisau sampai putus juga amat menyakitkan, namun kejadian itu hanya sekejap. Hormon adrenalin akan berfungsi meredakan sakit pada awal kejadian dan proses penyembuhan akan mula berlaku. Sakitnya memang sakit, tapi hanya sementara.

Sedangkan,
untuk sakit gigi, sakitnya berpanjangan. Tiada bantuan hormon meredakan rasa sakit. Bayangkan diri kita ditusuk pisau di atas kulit perut, namun pisau itu perlahan-lahan masuk untuk jangka masa tiga hari. Sakit yang panjang itulah yang membuatkan sakit gigi ini dilabel sebagai sakit kedua paling menyakitkan selepas sakit melahirkan.



Sambung cerita.
Pada 1 haribulan tahun baru, Abah bawa balik buah ciku untuk dimakan ramai-ramai. Buah ciku merupakan antara buah paling aku gemari walaupun bijinya sedikit memberikan trauma.

Jadi, cuba teka siapa yang tidak dapat makan buah ciku dan hanya mampu melihat ahli keluarganya makan buah kegemarannya itu?

Sekali lagi,
bila difikirkan jikalau kejadian ini berlaku kepada aku 10 tahun lalu, sakit gigi pada saat ada dihidangkan buah kegemaran, maka aku pada waktu itu akan naik marah dan salahkan semua orang. Kenapa beli pada waktu aku sakit gigi? Kenapa makan pada waktu aku sakit gigi? Kenapa makan depan aku yang sakit gigi ini?

Tapi entah kenapa,
aku langsung tidak marah pada waktu ini. Nak kata buah ciku bukan lagi antara buah kegemaran aku, tidak pula. Aku masih sukakan ciku. Ya, ada rasa rugi sebab tidak dapat makan buah itu, tapi langsung tiada rasa marah.

Diam-diam dalam diri aku rasa kagum dengan diri sendiri. Aku bukan lagi aku pada 10 tahun yang lalu. Aku lebih...rasional.

Mungkin kita membesar bersama usia. Lagi dewasa, lagi matang pemikiran kita. Tapi dapat melihat perubahan pada diri sendiri dalam tempoh masa itu, rasanya, sedikit mengharukan diri ini.

It's like watching someone grow up in front of us, but that someone is me myself.



Sambung cerita.
Pada 2 haribulan, aku ke klinik gigi kerajaan di mukim tempat aku tinggal. Dengan pipi senget sebelah akibat bengkak, aku tunggang kuda putih aku ke sana. Klinik penuh dengan orang, rasanya mereka-mereka yang senasib dengan aku; kena serangan sakit gigi pada cuti hujung minggu panjang.

Aku perlu menunggu sangat lama walaupun aku dikira datang agak awal. Namun setelah aku dipanggil untuk diperiksa, doktor gigi yang memeriksa hanya membelek gigi aku kurang 60 saat dan kemudian segalanya selesai. Aku menunggu lama hanya untuk diperiksa kurang seminit.

Sekali lagi,
kalau kejadian ini berlaku pada aku 10 tahun lalu, sedang kita menanggung sakit di muka dan perlu menunggu berjam-jam, kemudian akhirnya hanya diperiksa kurang satu minit, aku akan naik berang dan melenting. Mungkin bukan secara terus ke pihak klinik, namun aku akan merungut di media sosial dan mungkin ada satu dua tong sampah yang bakal disepak aku akibat daripada ketidakpuasan hati.

Namun itu tidak berlaku sekarang. Aku faham, ketika gusi sedang bengkak, doktor gigi tidak akan buat apa-apa prosedur. Mereka akan suruh kita tunggu bengkak surut, dan dalam kes aku, kena tunggu 5 hari lagi sebelum boleh datang semula. Aku juga diberikan ubat tahan sakit dan antibiotik untuk dihabiskan.

Walaupun kena menunggu lama dan kemudian hanya diperiksa kurang satu minit, namun aku langsung tiada rasa marah kepada sesiapa. Aku keluar dari klinik dengan perasaan biasa, malah sedikit lega kerana akhirnya aku berjaya lawan rasa takut untuk ke klinik gigi.

Aku bukan lagi aku pada 10 tahun yang lalu.



Pada 10 Januari,
aku datang semula ke klinik gigi itu. Kali ini bengkak sudah tiada, namun ada sesuatu yang perlu aku selesaikan.

Gigi geraham tunggul aku terpaksa dicabut kerana doktor gigi perempuan yang cun itu kata, kalau tidak cabut nanti boleh jadi bengkak balik macam hari itu.

Maka terkorbanlah sebatang gigi geraham yang sepatutnya dapat diselamatkan jikalau aku tidak hidup di dalam penafian.

Dan petang itu, sedang mulut aku masih lagi berasa bius dari prosedur mencabut tadi, kawan aku ajak makan burger gerai kegemaran aku. Katanya, dia nak belanja kerana aku pernah tolong dia satu ketika dulu. Tawaran itu hanya sekali sahaja, tidak boleh dibawa kedepan, katanya.

Kalau berlaku pada aku 10 tahun lalu, mungkin si kawan itu akan aku maki hamun sumpah seranah sebanyak mungkin. Hari lain aku hidup normal tak mahu pula belanja burger kegemaran, tapi pada hari aku cabut gigi geraham inilah dipilihnya untuk buat 'one time offer'.

Tapi itu tidak berlaku.
Aku masih aku, tapi aku bukan lagi aku pada 10 tahun yang lalu.



Manusia berubah.
Sama ada kita mahu perasan akan perubahan itu atau tidak, terpulang.

Terima kasih kerana baca kisah ini sampai habis walaupun panjang.

Sekian.



Baca juga:
Kisah Bagaimana KERUSI Mengajar Aku Erti Kehidupan.



.

Jan 14, 2019

HARI KOMUNITI: Episod Buaya Biru Buaya Hijau.



Salam.

Selamat datang ke entri Hari Komuniti Pokémon GO pertama bagi tahun 2019.

Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanan ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 12 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO yang mula diperkenalkan pada awal tahun 2018 di mana setiap edisi Hari Komuniti akan menampilkan Pokémon istimewa bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Untuk ketahui lebih lanjut mengenai siri Hari Komuniti untuk tahun lepas tahun 2018,
sila klik link ini: Hari Komuniti

Dan sebagai pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO. Maka, di dalam entri ini akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.


Untuk pembukaan tahun 2019, bulan Januari, Pokémon istimewa yang ditampilkan ialah TOTODILE.


Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)



TOTODILE.

Totodile adalah salah satu daripada tiga Pokémon pemula untuk generasi kedua, iaitu dari Wilayah Johto bersama-sama dengan Chikorita dan Cyndaquil. Totodile merupakan Pokémon pemula daripada jenis air. Bentuk badan Totodile kelihatan seperti buaya yang mempunyai badan berwarna biru dengan pacak tajam di belakang yang berwarna merah.

Pokédex untuk Pokémon GO menerangkan Totodile sebagai:

'Big Jaw Pokémon:
Despite the smallness of its body, Totodile's jaws are very powerful. While the Pokémon may think it is just playfully nipping, its bite has enough power to cause serious injury.
'

Totodile boleh berevolusi kepada Croconaw dengan menggunakan 25 candy dan seterusnya Croconaw boleh berevolusi kepada bentuk seterusnya Feraligatr menggunakan 100 candy.

Totodile (dan evolusinya) walaupun merupakan Pokémon pemula tetapi bukanlah antara Pokémon meta yang relevan di dalam Pokémon GO. Feraligatr, walaupun merupakan Pokémon jenis air tulen (jenis tunggal) masih lagi lemah berbanding Blastoise.



PENGUMUMAN RASMI.

Pengumuman rasmi pertama Totodile sebagai watak utama Hari Komuniti untuk bulan Januari keluar pada 19 Disember 2018 lalu, namun maklumat lanjut mengenai Hari Komuniti itu telah diumumkan Niantic, Inc selaku pembangun aplikasi permainan Pokémon GO pada tarikh 9 Januari 2019 di dalam bahagian berita di dalam permainan dan di seluruh platform media sosial yang ada.





Ringkasnya, untuk Hari Komuniti bulan Januari:

- Totodile sebagai watak utama.
- Tarikh Hari Komuniti untuk bahagian Asia-Pasifik adalah pada 13 Januari 2019 (Ahad).
- Waktu: 12:00 pm hingga 3:00 pm JST (11:00 pg hingga 2:00 pm waktu Malaysia)
- Bonus 4x keberkesanan pengeram telur (egg incubator) sepanjang tempoh Hari Komuniti.
- Croconaw yang dievolusikan kepada Feraligatr akan dapat gerakan serangan istimewa, Hydro Cannon.

Hydro Cannon adalah serangan jenis air yang kuat. Feraligatr dengan serangan Hydro Cannon menjadikan Pokémon tersebut akan menjadi lebih kuat daripada Feraligatr biasa sebelum ini.

Dan sudah tentu, walaupun tidak diumumkan, perkara yang ditunggu-tunggu pemain Pokémon GO setiap kali menjelang Hari Komuniti adalah kemunculan Pokémon dalam varian shiny-nya. Dan itulah yang aku tunggu hampir setiap kali Hari Komuniti.



PERSEDIAAN AWAL.

Tiada persediaan awal.

Sebenarnya banyak perkara berlaku sejak awal tahun. Aku baru sahaja sembuh sakit gigi maka aku langsung tiada mood untuk bergerak jauh. Malah sekarang 'si kuda putih' aku seperti sedang meragam, menjadikan pergerakan aku beroda dua sedikit terbatas. Malah, cuaca yang tidak menentu sedikit sebanyak mengganggu perancangan. Juga, ketiadaan powerbank seperti Hari-Hari Komuniti sebelum ini membuatkan telefon aku hanya optimum untuk tempoh tiga jam Hari Komuniti sahaja.

Namun, memandangkan Hari Komuniti adalah satu-satunya hari yang ada 'jaminan' untuk peroleh varian shiny, memandangkan aku bukannya jenis yang bertuah untuk berjumpa shiny pada hari-hari biasa, maka aku gagahkan juga diri menyertainya.



MISI.

Disebabkan tiada persediaan awal yang khusus, maka misi yang aku tetapkan tidaklah banyak seperti sebelum ini.
Antara misi yang sudah aku tetapkan termasuklah:

1. Tangkap sebanyak mungkin Totodile.
2. Tangkap paling kurang 3 shiny Totodile.
3. Dapatkan satu Feraligatr dengan serangan air Hydro Cannon, dan satu shiny Feraligatr dengan serangan air Hydro Cannon.
4. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.


Misi di atas adalah olahan sama daripada misi untuk Hari Komuniti Beldum sebelum ini. Tapi hakikatnya aku hanya menyertai Hari Komuniti kerana peluang untuk dapatkan varian shiny lebih tinggi berbanding hari-hari biasa yang lain.

Aku, pada hari kejadian, dengan menaiki pengangkutan awam menuju ke destinasi yang dilabel sebagai 'titik muncul Pokémon paling aktif di seluruh Malaysia' iaitu Taman KLCC, Kuala Lumpur.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.



HARI KEJADIAN, HARI KOMUNITI.

Berkat kegigihan, aku sampai ke Taman KLCC pada jam 10:47 pagi. Berjalan dari MRT Bukit Bintang ke Taman KLCC bukanlah dekat, lebih memeritkan kasut yang aku pakai adalah kasut baru. Kasut baru yang masih keras dan tidak 'mesra' membuatkan kaki aku sangat tidak selesa dan perjalanan kaki yang sepatutnya 'normal' menjadi derita.

Aku tunggu sambil duduk di tepi KL Convention Center sehingga jam 11. Pada waktu itu barulah aku buka data dan buka aplikasi Pokémon GO.


Screenshot di dalam permainan pada pukul 11 menunjukkan Taman KLCC sudah dipenuhi dengan 'lure' yang dipasang pemain lain.



Pengembaraan memburu si buaya biru (dan hijau) pun BERMULA.


Beza antara Totodile biasa dengan varian shiny.
Yang biasa berwarna biru, yang shiny berwarna hijau.
Perhatian perbezaan warna badannya.


Totodile shiny pertama aku tangkap pada jam 11:07 pagi, merupakan hanya Totodile kedua yang aku tekan pada hari itu. Talk about lucky!


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:07 CP 267, jam 11:57 CP 742, jam 12:06 CP 522


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 12:21 CP 443, jam 12:27 CP 428, jam 12:31 CP 254


Jam 12:41 CP 230


Aku berjaya tangkap 7 shiny Totodile sepanjang tempoh 3 jam Hari Komuniti.

Aku evolusikan Totodile shiny dengan CP 742 kepada Feraligatr shiny (dengan serangan Hydro Cannon) dan kemudian evolusikan Totodile shiny dengan CP 522 kepada Croconaw shiny.

Aku juga sempat evolusikan satu Croconaw biasa dari dalam simpanan kepada Feraligatr (biasa) dengan serangan Hydro Cannon.

Dan rasanya, disebabkan aku tidak bersedia secara mental dan fizikal untuk Hari Komuniti ini, maka gaya permainan aku kali ini lebih santai dan tidak mendesak.

Aku juga tidak ambil kisah sangat tentang bonus 4x keberkesanan mesin pengeram telur yang menjadikan jarak telur dipendekkan kepada hanya 1/4 daripada biasa. Namun, aku berjaya peroleh Riolu pertama aku selepas menetas dari telur 7km.


Maka,
pada jam 2 petang, Hari Komuniti Totodile, TAMAT.




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Totodile.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti, aku pernah tangkap 166 Totodile. Selepas Hari Komuniti pula, data menunjukkan aku sudah tangkap Totodile sejumlah 253. Ini bermakna, sepanjang Hari Komuniti, aku berjaya tangkap [253-166=] 87 Totodile.
Untuk permainan gaya santai, angka ini sebenarnya agak baik.


2. Tangkap paling kurang 3 shiny Totodile.

Daripada 87 Totodile yang aku tangkap sepanjang tempoh Hari Komuniti ini, 7 daripadanya adalah shiny.


3. Dapatkan satu Feraligatr dengan serangan air Hydro Cannon, dan satu shiny Feraligatr dengan serangan air Hydro Cannon.

Aku berjaya evolusikan satu Croconaw kepada Feraligatr dengan serangan air Hydro Cannon, dan juga satu shiny Feraligatr dengan serangan air Hydro Cannon.


One happy shiny Totodile family at home!



4. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.

Menurut data, pada Totodile shiny ketiga aku, bateri menunjukkan berada pada tahap 72%.


Kesimpulannya,
Hari Komuniti ini boleh dikira berjaya walaupun dimainkan secara santai. Highlight utama hari ini adalah shiny Totodile (dan seluruh evolusinya).

Aku juga langsung tidak menggunakan Star Piece atau Lucky Egg.

Sepanjang tempoh Hari Komuniti ini juga, aku berjaya tingkatkan XP aku daripada 3,087,527 XP (level 39) kepada 3,140,314 XP pada level yang sama. Peningkatan 52,787 XP sebenarnya agak banyak jika difikirkan aku hanya bermain santai. Level 39 memerlukan aku capai 5,000,000 sebelum boleh naik ke level terakhir, level 40.

Sedikit sahaja lagi perjalanan.





HARI KOMUNITI SETERUSNYA.

Terlalu awal untuk pengumuman rasmi Hari Komuniti bulan Februari nanti.

Tekaan aku, Pokémon yang akan dipilih sebagai watak utama untuk Hari Komuniti itu mestilah mempunyai 2 evolusi, masih tidak dilepaskan varian shiny-nya, dan berbaloi untuk para pemain menangkapnya.

Tekaan aku, Swinub!

Hari Komuniti bulan Februari masih lagi berada di dalam musim sejuk. Swinub adalah Pokémon yang mempunyai dual-jenis iaitu Jenis Ais dan Jenis Tanah. Jenis Ais sesuai untuk tema musim sejuk. Malah, evolusi terakhir Swinub (selepas Piloswine) adalah Mamoswine, Pokémon daripada generasi keempat yang belum lagi diperkenalkan di dalam permainan. Menjadikan Hari Komuniti sebagai tempat memperkenalkan Pokémon baru mungkin dapat menarik minat para pemain untuk keluar dan menyertai.

Apa-apapun, yang pasti, jawapan hanya akan diketahui pada hujung bulan Januari nanti..



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Bertemu lagi di episod bulan Februari yang bakal menyusul kemudian.

Buh-bye!
*berlalu pergi sambil menunggang belakang Mamoswine*





.

Jan 9, 2019

Mesej Tersembunyi [LEVEL 5]


Salam.

Selamat datang ke entri Mesej Tersembunyi LEVEL 5.




Mesej Tersembunyi:
Level 1: 'Mesej Tersembunyi'
Level 2: 'Mesej Tersembunyi #2'
Level 3: 'Mesej Tersembunyi LEVEL 3'
Level 4: 'Mesej Tersembunyi LEVEL 4'


Untuk siri 'Mesej Tersembunyi' ini,
aku ada sorokkan kata rahsia di satu tempat di dalam entri ini. Di mana aku sorok, bagaimana cara nak dapatkannya akan berbeza bagi setiap level. Apa yang kalian perlu buat adalah cari kata rahsia itu dan tinggalkan di ruangan komen.

Siapa paling awal tinggalkan komen 'kata rahsia' dikira pemenang utama. Yang berjaya jumpa kata rahsia dan tinggalkan di ruangan komen juga dikira pemenang walaupun bukan yang pertama.

Buat masa sekarang aku tidak terniat untuk beri hadiah kepada pemenang kerana pada level ini, kata rahsia yang tersorok amat senang untuk ditemui. Namun aku ada perancangan untuk tingkatkan kesusahan di masa akan datang dan kemungkinan sesiapa yang boleh selesaikannya akan diberi hadiah.

Dan cabaran entri Mesej Tersembunyi ini akan meningkat mengikut level. Kepada yang rasa tidak tahu mana nak mula, boleh cuba dahulu cari mesej yang aku sembunyikan di level-level sebelum ini.

Ini baru level kelima, jadi jangan risau. Kalau kalian berjaya selesaikan level-level sebelum ini, maka kalian sudah tahu mana hendak cari untuk level ini.


Tujuan.

Entri ini tiada tujuan khusus. Aku buat sekadar suka-suka. Aku suka cabaran puzzle macam ni, jenis yang buat gear dalam otak berpusing bekerja. Otak kita ni macam mesin. Kalau lama tidak bekerja, boleh berkarat.

Salah satu sebab aku buat entri ini juga adalah untuk kongsi gambar yang ada dalam galeri telefon bimbit aku. Entahlah, bila aku skrol galeri dalam telefon aku ini, banyak rupanya gambar yang (pada aku) menarik tapi atas sebab-sebab tertentu aku langsung tak kongsi di media sosial. Jadi melalui entri ini, paling tidak, gambar-gambar itu akan berguna juga tidaklah terperap di dalam kad memori menunggu untuk hilang disebabkan korup.


Tambahan.

Memandangkan ini sudah masuk level kelima, maka aku rasa sudah cukup 'tutorial' sebagai persedian untuk level-level seterusnya.

YA. Akan ada level-level seterusnya.
Pada aku, selagi ada yang berjaya cari kata rahsia yang aku sorokkan, maka akan ada level seterusnya yang lebih mencabar. Anggap sahaja pada satu hari nanti kalau tiada sesiapa yang berjaya cari (atau tiada sesiapa yang datang ke blog ini lagi *sedih*), maka aku sendiri akan dilabel sebagai pemenang kerana tiada siapa dapat kalahkan aku (lagi).

Mulai level seterusnya, tiada lagi penerangan panjang lebar seperti di atas.

Juga, insyaAllah jika level cukup tinggi, aku akan sediakan hadiah untuk pemenang utama. Hal itu aku akan beritahu kemudian. Mudah kata, pada masa akan datang, cabarannya dapat diselesaikan tidak hanya bergantung kepada kepantasan, malah kegigihan mencari jawapan. You'll see.




Jadi apa lagi yang ditunggu?
Bolehkah kalian cari di mana kata rahsia yang aku sorokkan?

Macam mana nak tahu itu kata rahsia?
You'll know it just by looking at it.

Pastikan kalian jangan tersalah beza antara 'klu' dengan 'kata rahsia'.
Kata rahsia adalah jawapan yang terang-terangan dilabel sebagai kata rahsia.
Klu pula adalah panduan di mana terletaknya kata rahsia, bukan jawapannya.

Good luck!




.

Jan 2, 2019

Deklarasi.



Salam.

It's really hard to type this
sebab ada sesuatu yang sedang berlaku membuatkan aku senang hilang fokus.
Apa yang sedang berlaku itu?
Aku sekarang sedang berpeluh menahan sakit gigi yang menyerang sejak hujung tahun lepas.

Oh,
Selamat Tahun Baru 2019.


2019


Nak atau tak, tahun baru bermaksud umur baru.
Kita yang sekarang adalah hasil daripada semua pengalaman yang pernah kita alami,
dengan kata lain, pengalamanlah yang mengajar kita dan menjadikan kita diri kita yang sekarang.

Pengalaman adalah satu proses.
Dan produknya adalah kita.

Dengan itu,
di sini aku ingin umumkan deklarasi tentang apa yang mahu aku capai pada tahun 2019 ini.
Supaya ia menjadi tahun yang penuh dengan pengalaman yang mengajar.

Jangan salah sangka.
Ini bukan azam.
Berkali-kali sudah aku bercerita tentang azam setiap kali masuk tahun baru.
Kali ini aku mahu sesuatu yang berbeza.

Seperti yang pernah aku sembang di dalam entri ini
azam adalah sesuatu yang;
- Spesifik,
- Boleh dihitung,
- Ada tarikh tamat.

Deklarasi, pada aku, lebih umum dan tidak menjurus kepada tiga ciri azam seperti di atas.
Tapi daripada deklarasi, kita boleh jadikannya lebih spesifik dan menjadi azam.

Maka,
berikut ada TIGA deklarasi aku untuk tahun 2019:



Instagram @cerolian


1. Aktif Semula di Media Sosial.

Yang mana perasan,
pada tahun 2018 aku kurang aktif di media sosial seperti Instagram, Facebook, dan Twitter.
Ini kerana pada tahun lepas, aku sedang alami sesuatu yang membuatkan aku mempersoal tentang jatidiri sendiri.
Walaupun aku sayang dengan 'jenama cerolian', tapi aku terpaksa abaikannya pada tahun lepas kerana perlu fokus kepada proses 'mengutip diri sendiri'.

Maka pada tahun ini tahun 2019 aku rasa aku perlu beri lebih perhatian terhadap media sosial.
Zaman sekarang, pengaruh banyak datang secara besar di media sosial, sama ada kita mahu akuinya atau tidak.

Niat aku bukannya mahu ribuan follower semata-mata.
Aku lebih kepada mahu dikenali tetapi tidak terkenal.
Bila disebut 'cerolian', aku mahu orang yang mendengarnya tahu walaupun pada dasarnya mereka mungkin langsung tidak follow aku di media sosial.

Kalau aku mahu follower ramai, senang saja.
Banyak perkhidmatan beli followers yang ditawarkan di luar sana.
Dan kalau kedekut, boleh sahaja aku lukis komik yang bersifat provokatif supaya cetus bualan ramai seperti yang ramai orang pernah/sedang lakukan.

Aku mahu imej yang bersih,
bukannya imej yang dikenali daripada kelantangan menyokong pihak tertentu,
ataupun imej hasil daripada komik yang bersifat negatif dan mencemuh.
Itu semua murahan.

Untuk itu,
silalah follow aku di kesemua media sosial di bawah ID cerolian.
Bertegur sapalah dengan aku di sana.
InsyaAllah,
kalau kalian tiada rekod buruk dengan aku, aku akan layan kalian macam kawan baik yang tak pernah kalian dapat sebelum ini.



YouTube cerolian


2. Wujudkan channel YouTube yang aktif.

Pada dasarnya,
aku sudahpun ada channel YouTube (kini dengan hanya 3 video).
Tapi tahun ini aku mahu aktifkannya dengan isi yang lebih bermanfaat.

Sebenarnya,
aku ada follow satu channel ini di YouTube.
Channelnya dikendalikan hanya seorang tetapi isinya begitu bermutu seperti dikendalikan satu kumpulan media yang besar. Isi videonya bukan sahaja menghiburkan, tetapi bersifat ilmiah, tidak seperti channel yang berlambak yang lebih mengfokuskan ke arah hiburan semata-mata.

Sudah lama aku berhasrat mahu jadi seperti channel YouTube itu.
Tetapi aku masih lagi terkapai-kapai mencari titik mula.

Aku harap tahun ini menjadi satu permulaan untuk aku menjadi sepertinya.

Sekian lama aku cuba mahu cari satu jalan untuk menghasilkan video untuk YouTube tanpa perlu tunjukkan wajah, akhirnya boleh dikatakan aku sudah dapat satu formula dan cara untuk menghasilkannya.

Kekangan utama aku mungkin dari segi mesin dan gajet kerana kamera dan komputer yang aku mahu gunakan tidaklah optimum untuk digunakan bagi menghasilkan satu video.

Tapi sebagai permulaan, aku rasa tiada apa yang perlu dirisaukan.
Sudah pasti aku akan cuba membaiki mutu video dan isi yang dihasilkan dari semasa ke semasa.

Isi yang bakal aku kongsikan mungkin bersifat boring dan membosankan,
tapi aku tidak kisah.

Tujuan aku mahu menghidupkan channel YouTube sendiri bukannya mahu jadi popular dan kejar bayaran, tetapi lebih kepada mahu berkongsi ilmu dan cerita menarik yang berlaku di sekitar aku.

Kalian boleh subscribe channel YouTube aku, juga di ID cerolian.
Doakan aku berjaya.



Dari Inktober 2018, Day 31


3. Aktif Melukis Semula.

Yang perasan akan perasan aku kurang melukis untuk tahun 2018 lepas.

Ceritanya, aku kemalangan dan tangan aku cedera,
jadi motivasi nak melukis itu hilang terus.

Namun berkat Inktober 2018, aku berjaya kumpul balik motivasi itu.
Aku sebelum ini macam terlupa nikmatnya melukis,
dan teringat balik selepas berjaya selesaikan Inktober.

Jujur aku cakap,
semasa aktif kongsi lukisan di Instagram (@cerolian) dahulu,
aku terlalu fokus kepada jumlah like yang aku dapat.
Apabila jumlah like itu makin hari makin berkurangan,
malah melihat kawan-kawan lain dapat lebih banyak daripada apa yang aku dapat,
motivasi aku semakin menurun...dan lama kelamaan hilang.

Itu adalah antara penyumbang kepada sebab aku kurang berkongsi lukisan di media sosial untuk tahun 2018 lepas.

Namun kali ini aku tidak akan lagi sedemikian.

Aku mahu melukis hanya untuk kepuasan diri.
Kali ini, jumlah like, jumlah komen, jumlah followers hanyalah secondary.
Fokus utama adalah progres untuk maju ke hadapan.

Dan daripada deklarasi ini juga aku muncul dengan satu azam tambahan (kepada azam-azam lain yang tidak aku ceritakan di sini) iaitu MELUKIS 1000 LUKISAN UNTUK TAHUN 2019.

1000 kedengaran banyak,
tapi aku masih ada 364 hari lagi untuk selesaikannya.
Sila sokong aku, ok?
*high five untuk semua*


------------------------- ------------


OK.
Rasanya cukup kot 3 deklarasi.

Sebenarnya,
ketiga-tiga deklarasi ini menjurus kepada hanya satu tujuan utama;
mengukuhkan 'online presence' aku di alam internet.

Rasanya semua sudah sedia maklum keperluan internet.
Maka, aku sendiri tidak mahu ketinggalan dalam dunia serba laju ini.

Apa-apapun, doakan semuanya berjalan lancar.
Dan doakan juga sakit gigi aku ini sembuh dengan segera.
Terseksa oi taip entri sambil tahan sakit pipi kanan membengkak.

Apa azam baru kalian di tahun 2019 ini?

Jumpa lagi di entri akan datang.

Sekian.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License