Oktober lepas aku sempat sertai #inktober untuk tahun ini.
Kepada yang tidak tahu, #inktober adalah cabaran tahunan kepada para pelukis (amatur mahupun professional) untuk melukis satu lukisan setiap hari sepanjang 31 hari bulan Oktober.
Tiada hadiah. Tujuannya hanyalah semata-mata untuk mengasah kemahiran dan kreativiti.
Untuk ketahui lebih lanjut, boleh baca artikel daripada pengasas Inktober sendiri; Jake Parker. 31 Days, 31 Drawings.
Ini adalah entri tentang Inktober yang aku sertai untuk tahun 2018 ini. Aku akan bercerita tentang kesemua 31 lukisan yang aku hasilkan sepanjang Inktober. Maka, sila jangka bahawa entri ini panjang dan mungkin membosankan. Kalian boleh berhenti baca sekarang, atau berhenti baca selepas hari kesepuluh, atau habiskannya sehingga ke hari ke-31.
Dekat mana pun kalian berhenti baca, aku tetap sayang kalian.
Tapi aku jamin, kepada yang habis baca sehingga ke hari terakhir, mereka ada tempat khas di hati aku dan akan dapat faham sedikit sebanyak apa yang aku alami sepanjang proses penghasilan cabaran ini.
Mengenai Inktober 2018
Konsep dan peraturan rasmi Inktober yang dikenali seluruh dunia adalah mudah:
1) Hasilkan lukisan menggunakan dakwat.
2) Kongsi di atas media sosial atas talian.
3) Gunakan tanda pagar #inktober dan #inktober2018
4) Ulang setiap hari sepanjang bulan Oktober.
Tema tentang apa yang mahu dilukis adalah bebas. Tiada sekatan. Namun, setiap tahun Jake Parker akan mengeluarkan senarai 'prompt' sebagai panduan kepada sesiapa yang mahu mengikutinya. Walaupun tiada tema rasmi, namun senarai ini seringkali dijadikan panduan kepada mereka-mereka yang menyertai Inktober di seluruh dunia.
Ini adalah senarai 'prompt' yang dikeluarkan Jake Parker:
Sumber: Jake Parker (Instagram: @jakeparker)
Aku ambil keputusan untuk mengikuti senarai di atas sebagai panduan, dan diaplikasikan bersama-sama tema pilihan aku sendiri, iaitu HIDUPAN.
Inktober 2018 cEro
Aku buat keputusan untuk sertai Inktober sedikit terlewat. Walaupun Inktober bermula pada 1hb Oktober, namun atas sebab-sebab tertentu, aku hanya bermula hari pertama Inktober pada 11 haribulan.
Pada mulanya berasa sedikit terlewat dan tidak jadi untuk sertai, namun selepas mendapat beberapa pendapat daripada orang lain, aku buat keputusan untuk kejar tarikh berkenaan.
Aku jadikan tema HIDUPAN sebagai pemalar disamping menjadikan senarai 'prompt' Jake Parker sebagai panduan.
Kebetulan aku terjumpa buku kosong yang belum digunakan yang aku dapat daripada satu syarikat. Daripada buku itu tidak digunakan, maka aku buat keputusan untuk 'simpan' Inktober 2018 aku di dalamnya.
Alatan tetap yang aku gunakan adalah sebatang pensel untuk lakaran, pemadam, pen mata gel Pilot Wingel bersaiz 0.7, 0.5 dan 0.38, dan dua pen ilustrasi jenis alkohol jenama Fluently yang aku beli daripada kedai Daiso (dengan varian warna Light Cool Grey dan Medium Cool Grey)
Perkakas sepanjang Inktober.
Juga dengan tambahan beberapa lagi alat tulis yang akan disebut kemudian.
Untuk memberi sedikit cabaran kepada diri, aku akan lukis apa sahaja hidupan pertama yang aku terbayang apabila baca senarai 'prompt' yang ada. Tidak boleh tukar, tidak boleh ubah, tapi boleh jadikan Google Image sebagai panduan.
Disebabkan aku terlambat mula, maka aku juga buat keputusan untuk post hasil karya aku sebanyak DUA lukisan setiap hari (dihantar pada jam 8 malam dan 12 tengahari) sehinggalah aku berjaya kejar tarikhnya.
Maka, pada 11 haribulan, lukisan pertama aku untuk tajuk yang pertama dikongsi di media sosial dengan keutamaan pada Instagram aku @cerolian.
Day 01: POISONOUS
Tajuk: Arachnids
Bila baca POISONOUS, hidupan pertama yang aku terbayang di benak fikiran adalah labah-labah. Aku peminat Black Widow. Lukisan ini aku gambarkan sebagai sekumpulan labah-labah biasa yang berganding bahu bersama-sama untuk membentuk ilusi labah-labah Balck Widow, sejenis araknid yang berbisa kuat dan boleh membunuh. Dengan kata lain, sekumpulan lemah jika berganding bahu mampu memperlihat diri sebagai sesuatu yang besar dan berbisa.
Kalian boleh nampak 'hesitation' di dalam lukisan aku. Berbulan-bulan sudah aku tidak melukis, jadi memang nampak garisan yang penuh dengan 'ragu-ragu'. Pada saat ini, aku sendiri tak pasti aku patut sertai tak Inktober ini.
Day 02: TRANQUIL
Tajuk: Anisoptera
Kita perlu menjadi tenang dan sebati dengan alam jika mahu seekor pepatung hinggap di hujung jari. Disebabkan itu aku pilih pepatung sebagai subjek lukisan. Sudah tentu 'babak' ini hanya wujud di dalam cerita fiksyen kerana tiada manusia hidup mampu setenang itu untuk melalukan.
Cabaran paling besar dalam lukisan ini adalah melukis sayap. Sayap pepatung bersifat tranparen, satu cabaran untuk aku terjemahkan ke bentuk lukisan 2D.
Day 03: ROASTED
Tajuk: Formica
Perkara pertama yang aku bayangkan apabila baca perkataan 'roasted' adalah Roasted Chicken Popcorn yang dijual di kaunter makanan panggung wayang. Hal itu membuatkan aku teringat satu peristiwa di mana aku pernah melihat seekor semut mengangkap seketul bertih jagung sendirian. Saiz bertih itu berkali ganda lebih besar daripada semut tersebut, namun langsung tiada masalah untuk semut tersebut mengangkatnya.
Hebat, kan? Semut.
Day 04: SPELL
Tajuk: Apiformes
Lukisan ini agak 'tricky' kerana aku dapat rasa orang tidak boleh teka apa sebenarnya hidupan yang aku nak tonjolkan.
Bila kata 'spell', automatik otak aku teringat pertandingan 'spelling bee' dengan orang memakai kostum lebah sebagai maskotnya. Maka hidupan yang aku lukis ini adalah lebih, lebih tepat, lebah madu. Tapi disebabkan lukisan ini tiada warna yang nyata, maka lebah ini boleh disalah anggap sebagai lalat kerana fizikalnya yang 'berbulu'.
Dan lebah itu sedang mengeja. Get it? Spelling bee?
Day 05: CHICKEN
Tajuk: Gallus
Aku harap orang faham lukisan ini.
Bagi yang tidak tahu, ayam dikatakan sebagai cucu cicit paling rapat kepada T-Rex, menjadikan lukisan ini adalah metafora kepada masa silam yang menghantui masa depan.
Melihat ayam yang sedikit menjeling diibarat seperti kita sedar tapi kita tidak pasti. Persekitarannya juga bukan di kampung tetapi seperti di lorong di celah bangunan bandar, menjadikan ayam tersebut seperti sesat di dalam kehidupannya sendiri.
Salah satu daripada lukisan kegemaran aku.
Day 06: DROOLING
Tajuk: Canis
Dua hidupan yang aku terbayang apabila membaca 'drooling'; (1) bayi yang sedang lena, dan (2) anjing yang meleleh air liur. Aku pilih anjing kerana ia lebih mudah untuk dilukis berbanding bayi.
Susah sebenarnya untuk merealisasikan gambaran sedang meleleh air liur itu. Kalau nak lukis kartun memang senang nak buat mimik terliur tapi untuk ilustrasi, susah nak lukis bagaimana bentuk, tekstur, dan pecahan bahagian lelehan air liur itu.
Tapi aku anggap aku berjaya. Mungkin 75% berjaya (kot).
Day 07: EXHAUSTED
Tajuk: Ursa
Kebetulan aku baru sahaja lepas melayan video beruang kutub yang malas dengan hanya bergerak mengelungsur di atas permukaan berais, maka timbullah lukisan ini.
Beruang kutub adalah antara binatang kegemaran aku. Aku anggap beruang kutub sebagai 'spirit animal' aku. Aku juga selalu berangan untuk jadikan beruang kutub sebagai binatang peliharaan, boleh bawa ke mana-mana bersama-sama. Mesti seronok kalau boleh buat begitu.
Day 08: STAR
Tajuk: Asterozoa
Apa lagi hidupan yang boleh dibayangkan apabila sebut 'star' selain daripada tapak sulaiman sendiri?
Namun mahu melukis tapak sulaiman pun bukannya mudah kerana nak membezakan tapak sulaiman dengan sekadar lukisan bintang berbucu lima dalam bentuk 2D adalah mencabar.
Mata pen paling kecil yang aku guna hanyalah 0.38, namun mata pen itu sudah agak lama jadi agak kembang menjadikan mata 0.38 langsung tiada beza dengan mata 0.5. Maka, agak sukar untuk lukis garisan halus bagi membezakan dengan garisan yang lebih tebal (0.5 dan 0.7).
Day 09: PRECIOUS
Tajuk: Bivalvia
Sebenarnya, lukisan ini agak menipu. Mutiara di dalam tiram langsung tidak kelihatan cantik dan tersusun seperti ini.
Kalau kalian rajin, pergi Google mutiara di dalam tiram dan lihat rupa sebenar bagaimana mutiara diperoleh. Yang pasti, gambarannya langsung tidak sama seperti apa yang aku lukiskan ini.
Entah kenapa, 'precious' mengingatkan aku dengan mutiara.
Day 10: FLOWING
Tajuk: Piscis
'Flowing' agak mencabar.
Aku langsung tiada idea untuk memikirkan satu hidupan yang berkaitan dengan 'flowing'. Setelah keras memerah otak, maka aku terbayangkan sekawanan ikan di lautan yang bergerak indah bersama-sama seperti satu orkestra.
Kawanan ikan ini, seperti cerita labah-labah di hari pertama, bersama-sama di dalam satu kumpulan membentuk gambaran bahawa mereka jauh lebih besar daripada yang sebenarnya, sekaligus membuatkan diri terselamat daripada menjadi hidangan para pemangsa.
Lihat bagaimana 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh' diterjemah oleh para ikan.
----------
Kalian sudah sampai ke hari kesepuluh.
Kalian boleh memilih untuk berhenti di sini ataupun terus baca dengan menekan butang di bawah ini.
Day 11: CRUEL
Tajuk: Hominum
Tiada hidupan lain yang boleh aku fikirkan untuk 'cruel' ini selain manusia. Manusia adalah satu-satunya hidupan yang membunuh untuk berseronok. Apa lagi zalim daripada membunuh untuk berseronok, kan?
Ini adalah lukisan pertama Inktober aku yang aku gunakan warna tambahan, warna merah. Kebetulan aku ada satu set pen marker yang jarang aku gunakan. Jadi, ini peluang untuk pen marker itu berbakti kepada aku.
Lukisan ini, saiz antara jari tidak berapa nak sekata sangat dengan realiti. Memang susah lukis terus atas kertas ni. Tiada butang 'undo'. Kalau salah, kita kena redha dan buat yang terbaik untuknya.
Day 12: WHALE
Tajuk: Cetus
Whale is whale. Tidak mungkin aku nak terbayang katak bila sebut 'whale', kan?
Lukisan paus ini, walaupun dilihat minimalis, tapi ada pengertian sendiri di sebaliknya. Ikan paus adalah mamalia yang besar, terlalu besar sehingga tidak muat untuk aku lukiskan di dalam bingkai yang aku sediakan. Cukup sekadar sebelah mata dan sebahagian gigi dan dagu.
Walaupun ringkas, tetapi sekali pandang sudah tahu itu paus, kan?
Day 13: GUARDED
Tajuk: Leo
Kebetulan semasa baca perkataan 'guarded' ini, aku baru sahaja terpandang patung batu singa yang duduk di hadapan tokong. Patung batu itu ada kiri dan kanan dan dilihat seperti 'menjaga' tokong itu, di mana sangat bertepatan dengan sifat singa yang 'territorial'.
Cuba teka, arca batu singa ini menjaga di kiri atau kanan pintu masuk tokong? Klu: kedudukan bola.
Juga, kepada yang perasan, bola itu sebenarnya adalah bola Pokémon. Hahahhaa
Day 14: CLOCK
Tajuk: Strix
Ini juga adalah antara hasil kegemaran aku. Aku cuba untuk tidak guna pen marker untuk dijadikan 'shade' atau bayang. Aku 100% hanya gunakan gel pen.
Apa yang lebih menarik (pada aku) ialah aku selitkan satu teka-teki (riddle) di dalam lukisan ini. Majoriti tahu aku suka teka-teki. Disebabkan prompt-nya adalah 'clock', maka aku jadikan matanya sebagai jam yang menunjukkan masa. Namun jarum jam itu mempunyai rahsia sendiri.
Ada sesiapa yang mampu untuk nyahkod (decode) rahsia itu? Apa yang jarum jam itu cuba untuk sampaikan?
Day 15: WEAK
Tajuk: Imago
Pertama sekali baca perkataan 'weak', aku terus terfikirkan manusia kerana walaupun berada di puncak rantai makanan, namun manusia adalah makhluk yang tidak mampu untuk hidup sendirian dan perlu bergantung kepada hidupan lain untuk terus hidup. Apa lagi lemah daripada tidak mampu hidup sendirian, kan?
Tapi disebabkan aku sudah gunakan manusia sebagai subjek, aku terpaksa fikir subjek lain.
Tiba-tiba ada nyamuk cuba gigit aku, dan aku bunuh nyamuk itu guna hujung jari dengan menekannya sampai mati. Jadi, pada asasnya nyamuk lebih lemah daripada aku, kan?
Tapi nyamuk bukan lemah. Ramai sudah manusia jadi korban penyakit bawaan nyamuk. Jangan pandang rendah pada nyamuk.
Day 16: ANGULAR
Tajuk: Elephas
Kepada yang tidak dapat tangkap kaitan 'angular' dengan gajah, you're not alone. Entah kenapa, bila sebut angular sahaja, hidupan pertama yang aku fikirkan adalah gajah.
Jadi untuk kaitkan gajah dengan 'angular', aku jadikan origami sebagai hubungannya kerana origami adalah seni kertas yang dilipat dan berbucu-bucu, maka bersudut.
Ya. Aku tahu agak tidak masuk akal kaitannya tapi apa boleh buat. Inilah yang dinamakan kebebasan berkarya.
Day 17: SWOLLEN
Tajuk: Sciurus
Aku cuba untuk ulang percubaan melukis tanpa bantuan pen marker seperti yang aku lakukan pada lukisan burung hantu sebelumnya, tapi aku yakin dan berani kata ia adalah percubaan yang gagal.
Aku cuba untuk nampakkan pipi tupai itu membengkak kerana menggumam makanan di dalam mulut, tapi rasanya kalau aku tidak tulis perkataan 'swollen' itu, tiada siapa pun dapat beza pipi bengkak atau tidak, kan?
Maka aku anggap ini sebagai karya yang gagal, namun masih lagi masuk akal dan boleh diterima.
Day 18: BOTTLE
Tajuk: Cucaracha
Sesiapa yang kenal aku cukup lama akan tahu kaitan aku dengan lipas.
Aku benci lipas, dan dalam masa sama aku kagum dengan lipas.
Walaupun prompt-nya adalah 'bottle', namun rasanya semua orang nampak di mana botolnya, kan? Bagaimana keadaan lipas yang mampu untuk menyelinap di mana-mana celah dengan sesuka hati, termasuklah di muncung botol.
Kalau kalian fikir melukis lipas secara 'close-up' sesuatu yang menarik, trust me, aku meremang sepanjang masa melukis lukisan ini.
Day 19: SCORCHED
Tajuk: Gazella
Aku tidak pasti apa gazelle disebut di dalam bahasa. Mungkin rusa gurun? Kambing gurun? Entah.
Tapi aku perlu kaitan gazelle dengan 'scorched' kerana gazelle adalah hidupan pertama yang aku fikir apabila aku baca 'scorched'. Jadi peraturan adalah peraturan. Aku kena turuti.
Untuk melihatkan 'scorched', aku lukis tanah yang kelihatan gersang dan gazelle yang sudah menjadi rangka. Aku peringatan keras tentang betapa berkuasanya cuaca dan Maha Berkuasanya Pencipta cuaca tersebut.
Day 20: BREAKABLE
Tajuk: Lepus
Apa lagi 'breakable' selain daripada kaca, kan? Dan kaca mengingatkan aku pada patung kaca kristal arnab yang pernah aku milki dahulu yang juga rapuh dan menjadi mangsa rakusnya tangan manusia seterusnya hancur.
Hendak melihatkan lukisan ini seperti patung kaca berbentuk arnab bukannya mudah. Penggunaan beberapa tona warna pen marker kelabu amatlah diperlukan (walaupun aku rasa aku tidak berjaya sampaikannya dengan berkesan).
Lukisan untuk 'Breakable' ini adalah lukisan pertama yang melangkaui separuh jumlah muka surat buku. Kalau sebelum ini, jika aku ada buat silap, aku boleh koyak muka surat silap itu dan lukis di muka yang baru. Namun selepas ini, koyak muka surat bukan lagi pilihan memandangkan jika aku koyak, karya sebelum ini juga akan terkesan.
Maka, mulai muka ini, aku kena elak daripada buat silap.
Day 21: DRAIN
Tajuk: Vermis
Jenuh juga mahu perah otak untuk memilih subjek 'drain' ini. Apa yang boleh difikirkan hanyalah cacing selalu ada di lubang air; sama ada di bilik air mahupun di longkang.
Namun mahu melukis cacing dan mahu menzahirkan badan cacing yang seperti jeli itu bukanlah mudah. Badannya yang bersegmen dan basah juga merupakan satu cabaran.
Akhirnya, inilah hasilnya.
Day 22: EXPENSIVE
Tajuk: Panda
Mungkin isu lama, tapi rasanya semua sedia maklum betapa 'mahal'nya panda untuk dibawa ke negara kita semata-mata untuk dibela di Zoo Negara. Tapi kalau kita tahu bilangan panda, dan bagaimana satu masa dahulu haiwan ini pernah berada di takat kritikal menuju kepupusan, rasanya tak apa jika 'mahal' sekalipun.
Untuk lukisan ini, aku mula guna sebatang pen marker bermata berus (brush pen) berwarna hitam. Walaupun prosesnya seronok (hanya lorek-lorek) tetapi setiap lorekan perlulah tepat dan berhati-hati kerana pada takat ini, aku tidak boleh buat walaupun satu kesilapan pun.
Day 23: MUDDY
Tajuk: Rhino
'Muddy' sangat kena dengan warna pen marker yang aku ada (kelabu), maka aku gunakan peluang ini untuk aplikasikan beberapa warna kelabu dalam tona yang berbeza dalam satu lukisan.
Aku suka di mana daripada lukisan pun sudah nampak badak sumbu ini bergelumang dengan lumpur. Pada aku, secara peribadi, hendak melumpurkan lukisan bukanlah mudah.
Cuma sedikit bahagian yang aku kurang senang ialah di bahagian mulut. Aku tidak pasti bagaimana mulut badak, dan gambar Google pun langsung tidak membantu.
Day 24: CHOP
Tajuk: XXXX
Di dalam Instagram, aku suruh kawan-kawan yang follow aku teka apa yang aku lukis dan kaitannya dengan 'prompt' untuk hari itu.
Rata-rata yang menjawab semua dapat tangkap apa yang aku mahu sampaikan.
Ini sebenarnya lukisan kambing biri-biri (lamb). Aku lukis kambing biri-biri untuk 'chop' adalah kerana ketika baca 'chop' itu aku sedang lapar. Serta merta aku terkenangkan 'lamb chop' bila baca 'chop'.
Untuk mengenali haiwan herbivor, kebanyakan mereka mempunyai iris mata melintang.
Nota selit:
Hari ke-24 adalah hari di mana aku berjaya kejar hari lukisan walaupun bermula lewat 1 hari. Aku berjaya kongsi lukisan untuk Day 24 pada 24 haribulan. Bermakna, selepas ini, tiap hari hanya perlu lukisa satu sahaja lukisan sehingga tamat. Ini merupakan satu milestone, satu pencapaian.
Day 25: PRICKLY
Tajuk: Erina
Sekali lagi percubaan menggunakan pen marker mata berus (seperti Day 22: EXPENSIVE). Namun kali ini dengan bantuan pen marker kelabu sebagai bayang.
Pada asalnya aku mahu lukis landak ini sedang membulat di atas tangan manusia. Tapi sekali lagi, takkan aku mahu lukis manusia lagi lagipun dua hidupan dalam satu lukisan agak 'crowded' maka wujudlah lukisan si comel ini berseorangan.
Alasan sahaja itu. Sebenarnya aku tidak pandai lukis tangan.
Day 26: STRETCH
Tajuk: Felis
Sebut 'stretch' terus mengingatkan aku kepada si bulus di rumah yang kuat tidur itu. Asalkan aku jumpa mereka, mesti mereka sedang tidur. Bila kacau sikit, gosok-gosok sikit, terus mengeliat memanjangkan diri.
Kucing adalah antara haiwan paling disukai di seluruh dunia. Aku percaya, kucing sudah berevolusi selari bersama manusia kerana menurut rekod, kucing menjadi haiwan peliharaan manusia sejak dari awal dahulu lagi.
Day 27: THUNDER
Tajuk: Electro
Susah hendak kaitkan hidupan dengan 'thunder', maka apa yang aku boleh buat adalah ini. Belut elektrik melepaskan casnya.
Aku sudah tekankan di Instagram, tapi aku berminat untuk ulanginya di sini. 'Thunder', walaupun selalu dikaitkan dengan kilat, sebenarnya bukanlah berkaitan dengan cahaya tapi berkaitan dengan bunyi. 'Thuner' itu guruh. Guruh adalah bunyi yang dihasilkan (selalunya) sekali dengan pancaran kilat.
Untuk lukisan ini, hendak lukis cahaya kilat yang keluar dengan maraknya daripada seekor belut adalah mencabar. Aku rasa aku masih boleh buat lebih baik lagi daripada ini.
Day 28: GIFT
Tajuk: Tortuca
Aku ada perangai suka beri hadiah lambat kepada orang yang patut diberi hadiah. Pernah satu ketika ada yang perli, "hadiah kau sampai guna pos kura-kura, kah?"
Daripada itu tercetusnya kura-kura yang membawa hadiah.
Untuk lukisan kura-kura ini, masalah yang timbul adalah mata pen. Mata pen 0.38 aku sudah kembang mengalahkan 0.5, menjadikannya tidak lagi menjalankan fungsinya. Kalau kalian perasan, detail di kaki kura-kura itu nampak tebal daripada garisan badan kura-kura sendiri.
Nampak gaya, aku kena cari pen 0.38 yang baru.
Day 29: DOUBLE
Tajuk: Protozoa
Lukisan paramesium ini memang aku tinggalkan khusus untuk 'double'.
Ya, paramesium ini juga merupakan hidupan. Mereka memenuhi setiap ciri-ciri pengkelasan benda hidup.
Lukisan ini adalah lukisan dua paramesium yang sepatutnya aku lukis sedang menjalani proses pertukaran bahan genetik ataupun dipanggil konjugasi. Pada asasnya, konjugasi ini adalah sama seperti manusia sedang bersenggama, menjadikan lukisan ini sebagai satu bahan lucah untuk golongan paramesium.
Yes, you're now watching a porn. Protozoan porn.
Day 30: JOLT
Tajuk: Tigra
Nak dijadikan cerita, aku tidak tahu makna 'Jolt'. Bila sebut 'Jolt', aku terbayangkan Jolteon, satu evolusi untuk Eevee di dalam permainan Pokémon.
Namun setelah dapat tahu apa makna 'Jolt', maka pak belanglah yang paling sesuai untuk aku lukiskan. Lagipun sudah lama aku teringin untuk melukis harimau secara close-up.
Harimau memang haiwan yang majestik. Melukisnya sahaja dapat meningkatkan moral dan self-esteem.
Nota selit:
Kalian akan sudah sampai di sini dan hanya tinggal satu hari sahaja untuk habiskan. Itu satu usaha membaca yang patut dipuji. Oleh itu, jika kalian baca ini, sila ke Instagram @cerolian dan DM aku dengan perkataan 'SUDAH BACA HABIS' dan aku dengan senang hatinya akan follow kalian tanpa soal sebagai tanda terima kasih.
Day 31: SLICE
Tajuk: Sapiens
Mati kutu otak aku untuk lukis 'Slice', namun aku ambil keputusan untuk tamatkan Inktober dengan manusia walaupun manusia sudahpun aku gunakan sebelumnya.
Manusia mungkin adalah hidupan yang paling menarik minat aku dari segala segi; morfologi, anatomi, biologi, psikologi, sosiologi, perangai, dan segalanya. Manusia selalu menarik minat aku.
Lukisan 'Slice' ini aku lukis secara abstrak untuk orang tafsirkan. Aku tidak akan beri apa-apa pengertian kerana aku yakin tiap daripada kalian yang melihat lukisan ini pasti akan ada tafsiran masing-masing.
----Tamat Inktober 2018----
Begitulah hasil lukisan aku untuk Inktober tahun 2018 ini.
Sejujurnya,
aku berasa bangga kerana dapat beri komitmen dan habiskan Inktober ini dengan jayanya. Lukisan yang aku hasilkan mungkin bukanlah yang terbaik orang lain pernah nampak, dan bukanlah yang terbaik pernah aku hasilkan, namun secara peribadi aku rasa setiap daripada lukisan ini ada makna dan cerita yang tersendiri.
Biar aku beritahu sesuatu,
lukisan-lukisan ini aku lukis atas kertas di dalam buku. Lalu aku snap guna kamera telefon bimbit dan edit untuk dikongsi di media sosial. Kualiti kamera telefon bimbit aku agak rendah, jadi hasil tangkapan langsung tidak memuaskan. Lukisan sebenarnya jauh lebih menarik untuk dilihat di dalam buku asal, walaupun banyak cacat cela yang tidak boleh diedit keluar.
Kalau hendak ditanya mana satu menjadi kegemaran, mungkin jawapannya adalah lukisan hari terakhir. Di saat aku selesaikan titik terakhir lukisan itu, aku dapat rasakan satu kepuasan yang tidak terhingga kerana aku akhirnya berjaya selesaikan sesuatu.
Inktober mungkin bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan, namun kerana aku berjaya selesaikannya, itu merupakan satu pencapaian peribadi yang sangat membanggakan bagi aku.
Sepanjang Oktober ini, aku sangat dapat banyak belajar pelbagai perkara. Aku sendiri dapat rasakan di akhir Oktober, aku menjadi seorang insan yang lebih baik daripada sewaktu di awal Oktober.
InsyaAllah, kalau tiada aral dan nyawa masih ada, aku akan sertai Inktober untuk tahun-tahun yang mendatang.
Lukisan Inktober di Instagram akan dibuang dari semasa ke semasa,
jadi jika kalian mahu baca kapsyen tepat bagi setiap lukisan,
bolehlah ke Facebook Page Empire State of cEro.
Di sana ada satu album khusus dedikasi untuk Inktober 2018 ini.
Ini linknya: Inktober 2018
Jadi,
mana satu lukisan kegemaran kalian?
Dan kenapa?
Tinggalkan jawapan kalian di ruang komen di bawah.
Dah baca habis. Tiada ig,tak perlu follow..teruskan karya anda..
ReplyDelete>Naim Mikhail
DeleteThanks sebab baca habis. Rare ni. Terima kasih kerana menyokong 😊
X sngka cero animal lover..
ReplyDeleteCruel..human represent the best creature.. No animal can beat human..
Slice. Wish u luck n well in ur life.. Fighting!!
Nice drawing n suits the topic..will come again to read ur description
>Anonymous
DeleteTak laa tahap lover tapi I don't hate animal (kecuali lipas) hahaha
Thank you sebab sudi baca entri panjang ini. Jumpa lagi :)
Power gila kau lukis. Semua lawa2 pulak tu. Aku suka gambar first spider tu. Tak tahu la kenapa haha. Maybe sebab lukisan tu nampak penuh kot...
ReplyDelete>Bro Ley
DeleteHahaha tak sangka pula kau suka yang Spider tu. Itu first lukisan tu, aku baru nak cari hala tuju untuk Inktober ni.
Thanks sebab sudi baca entri panjang lebar ni :)
Nice drawings C... *2 thumbs up* :D
ReplyDelete>P
DeleteThanks P :)
*4 thumbs up*