Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jul 27, 2018

CKOM: Cadangan Penambahbaikan.



Salam.

Berbeza dengan entri lain yang lebih bersifat sentrik-diri, entri kali ini adalah sepenuhnya dedikasi untuk menambahbaik satu komuniti. Maka, cEro akan bahasakan diri sebagai 'saya', bukan 'aku' seperti yang biasa.


Matkomik, Facebook.


CKOM adalah singkatan kepada 'Cabaran Komik Online Malaysia', satu pertandingan melukis komik hasil inisiatif Matkomik yang dianjurkan setiap tahun bermula tahun 2014. CKOM adalah acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh para pelukis komik sama ada amatur mahupun yang professional kerana dengan penganjurannya banyak bakat-bakat baru yang semakin dipandang tinggi oleh orang ramai.

Setiap tahun anjuran, tema yang ditetapkan Matkomik untuk CKOM adalah berbeza; sebagai contoh untuk tahun 2015 dengan tema 'CINTA', tahun 2016 bertemakan 'silent comic - HERO' dan pada tahun lepas 2017 bertemakan 'SUKAN'. Tema yang berbeza inilah menjadi penarik utama untuk para pelukis komik menyertai dan para pembaca untuk terus membaca.

Saya ada sentuh beberapa kali mengenai CKOM di dalam entri di bawah:
- CKOM, Tujuan, dan Kisah Untuk Masa Depan. 
Buku Kompilasi 'Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM)' 2017. BERBALOIKAH?

CKOM, tidak dinafikan, adalah jasa dan kejayaan terbesar Matkomik untuk industri komik tempatan.



Pada 10 Julai lalu, Matkomik menerusi satu posting di Facebook sudah mengesahkan bahawa CKOM untuk tahun 2018 ini akan berkunjung tiba.




Namun, di dalam posting berkenaan, Matkomik juga meminta para pembaca untuk memberikan cadangan, pandangan dan penambahbaikan untuk CKOM 2018 ini. Pada saya, itu adalah satu langkah yang baik untuk terus memajukan CKOM yang akan masuk tahun ke-5 pada kali ini. Dengan meminta pandangan para pembaca untuk menambahbaik CKOM, Matkomik akan dilihat sebagai satu entiti yang serius mahu memajukan CKOM dan tidak dilihat hanya syok sendiri sahaja di dalam industri komik tempatan ini.

Dan itulah tujuan entri ini, untuk memberi sedikit cadangan dan buah fikiran terhadap CKOM sebagai sesuatu yang saya amat hargai kewujudannya.

Sebelum apa-apa, biar saya mulakan dahulu dengan berkongsi mengenai OBJEKTIF penganjuran CKOM supaya para pembaca entri ini faham isi seterusnya yang bakal saya sampaikan.



OBJEKTIF CKOM.

Menurut nota Matkomik di dalam hantaran Facebook bertarikh 15 Oktober 2017 (rujuk sini), OBJEKTIF penganjuran CKOM ada TIGA;

1) Untuk mencungkil bakat-bakat baru.
2) Memberi ruang platform pelukis untuk berkarya dan berkongsi cerita dengan pembaca komik Malaysia.
3) Memeriahkan lagi persada komik tempatan.

[Objektif ini adalah merujuk kepada objektif CKOM 2017. Entri ini ditulis dengan anggapan objektif ini tidak berubah dan merupakan objektif untuk keseluruhan penganjuran CKOM tanpa mengira tahun.]


Antara peraturan yang menjadikan CKOM berbeza dengan pertandingan komik yang lain termasuklah;

- Terbuka kepada semua rakyat MALAYSIA. Tidak kira umur, amatur ataupun profesional.
- Komik MESTI dalam Bahasa Melayu.
- Asas cerita, ciri, watak dan latarbelakang komik hendaklah berasaskan unsur keMalaysiaan.
- Karya komik perlu ‘mesra syariah’ daripada segi kandungan cerita dan pemakaian watak.



ISU MENGENAI CKOM dan CADANGAN PENAMBAHBAIKAN.

Di bawah adalah beberapa isu mengenai CKOM yang dapat saya kenal pasti dan disertakan juga dengan cadangan penambahbaikan daripada saya.

Saya, secara peribadi, apabila membaca sesebuah karya komik sama ada berbentuk digital, fizikal, ataupun medium seperti surat khabar, majalah dan media sosial, saya akan baca komik tersebut sebanyak (paling kurang) DUA kali.

Satu kali saya akan baca sebagai seseorang yang juga melukis komik, dan kali kedua saya akan baca sebagai seorang insan biasa yang mahu membaca komik (orang awam).

Setelah 4 tahun penganjuran CKOM, saya dapati ada beberapa isu yang patut dititikberatkan dari kaca mata seorang pelukis komik DAN juga seorang pembaca biasa;


1. SETIAP TAHUN, YANG MENANG KERAP KELUAR NAMA YANG SAMA.

Jika kita lihat senarai pemenang sejak tahun 2014 (boleh rujuk di sini), kita akan dapati terdapat beberapa nama yang berulang setiap tahun. Hal ini juga disedari oleh beberapa kawan pelukis komik saya yang lain.

Ini tidak bermakna pemenang yang sudah menang tidak layak menang. Jika memang terbukti karyanya bagus, maka tidak salah untuk pelukis berkenaan menang seberapa banyak kali yang dia mahukan. Lagipun, salah satu daripada syarat menyertai CKOM ialah 'Terbuka kepada semua rakyat MALAYSIA. Tidak kira umur, amatur ataupun profesional'.

Pendapat saya, syarat itu, walaupun dilihat bersifat mesra dan terbuka untuk semua, tapi sedikit bercanggah dengan salah satu objektif CKOM; '1) Untuk mencungkil bakat-bakat baru'.

Jika pertandingan disertai para professional yang sudah tentu mutu lukisan dan jalan ceritanya berada di tahap yang tinggi, bagaimana para bakat baru mahu bersaing dengan baik, seterusnya mampu dicungkil?

Bayangkan, jika kita merupakan seorang yang baru dan terpaksa kumpul keyakinan untuk hantar penyertaan di dalam CKOM, dan dalam masa sama saingan kita adalah orang professional yang memang ternyata berbeza tahap lukisannya, ini akan membuatkan kita punya self esteem merudum rendah, sekaligus akan muncul pemikiran "buat apa sertai kalau sudah tentu pasti kalah."

Akhirnya, yang professional akan berterusan menikmati ganjaran kemenangan, dan bakat-bakat baru pula akan tenggelam dan lari kerana berasakan hasil usaha mereka tidak mencapai standard dan tidak dihargai.

Jadi, apakah penyelesaiannya?

Terdapat sembang-sembang belakang mengatakan CKOM patut perkenalkan kategori berbeza; Amatur dan Professional. Pendapat saya, walaupun cadangan ini kedengaran bernas, namun ia kurang praktikal.

Pembahagian kategori akan buat kerja menilai semakin bertambah kerana penilaian untuk amatur sudah tentu tidak sama dengan penilaian untuk professioal. Pembahagian kategori juga akan menyebabkan ganjaran kemenanga terpaksa dibahagi malah jumlah pemenang juga akan turut terbahagi dan berkurang. Juga, menentukan seseorang itu sebagai amatur ataupun professional tidak semudah yang dibayangkan. Komik saya pernah diterbitkan penerbit ternama, tapi itu tidak bermakna saya seorang professional, kan?

Lagipun, pembahagian kategori akan mengakibatkan salah satu objektif CKOM tidak boleh tercapai; iaitu '3) Memeriahkan lagi persada komik tempatan'. Bagaimana persada komik tempatan mampu menjadi meriah jika berlakunya polarisasi karya dalam pertandingan?

Jadi, ini cadangan saya untuk menyelesaikan isu 'pemenang berulang' ini.

Letak satu syarat tambahan bahawa pemenang tahun sebelumnya TIDAK AKAN MENJADI PEMENANG PADA TAHUN INI. Ini akan membuatkan tiada pemenang yang berulang menang berturut-turut. Dia akan hanya layak untuk menjadi pemenang selang setahun.

Pendek kata, pemenang pada tahun 2017 TIDAK AKAN DIPILIH SEBAGAI PEMENANG pada tahun 2018.

Ini tidak bermaksud pemenang tahun sebelum ini tidak boleh menyertai CKOM untuk tahun seterusnya. Berpegang kepada objektif 'memeriahkan persada komik tempatan', mereka masih boleh dan bebas sertai CKOM. Cuma tidak kira betapa bagus sekalipun lukisannya, ceritanya, karyanya, dia tidak akan dipilih sebagai pemenang dan karyanya itu tidak akan diterbitkan di mana-mana penerbit untuk tahun itu. Itu adalah sesuatu yang pemenang harus lalui dan setujui tanpa kompromi.

Syarat ini akan menyelesaikan isu 'pemenang berulang' tanpa perlu membahagikan kategori. Semua pelukis, tidak kira amatur mahupun professional, masih boleh bersaing sama-sama tanpa perlu risau ada orang yang 'pasti' akan menang lagi.




2. ISU PENJURIAN.

Salah satu keunikan CKOM adalah juri professional yang bakal menilai karya penyertaan setiap tahun yang berbeza. Meletakkan juri professional menjadikan CKOM dilihat sebagai sebuah pertandingan yang serius dan ada prestij tersendiri.

Namun, juri professional dalam bilangan yang rendah (satu, dua orang) akan mengakibatkan satu isu yang tidak boleh dipertikaikan lagi; ISU BIAS.

Juri professional yang sedikit akan membuatkan penilaian menjadi bias. Juri itu sudah tentu ada 'set' lukisan bagaimana yang menjadi kegemaran peribadi. Kalau dia seorang yang sukakan stroke tebal, maka dia akan menilai karya stroke tebal dengan lebih baik berbanding stroke-stroke yang lain. Kalau juri itu sukakan lukisan gaya Malaysia, maka mungkin juri itu akan menilai lukisan gaya Amerika dan gaya Jepun dengan penilaian yang skeptikal.

Disebabkan juri professional merupakan mereka yang berada lama di dalam industri komik ini, maka sudah pasti perkara pertama yang mereka akan nilai adalah lukisan. Lukisan yang hebat (dan dilihat berpengalaman) akan menjadi pilihan berbanding hasil lukisan mereka yang baru (dan nampak teragak-agak) tidak kira sama ada jalan cerita yang baru itu lebih baik daripada yang berpengalaman.

Ini juga salah satu faktor yang menyumbangkan kepada kemenangan orang yang sama berkali-kali.

Saya yakin para juri professional mampu menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya, tapi jangan nafikan kewujudan bias di dalam pemilihan pemenang. Sudah beberapa kali karya yang lukisannya bagus tapi jalan ceritanya biasa dipilih sebagai antara pemenang sedangkan wujud banyak lagi karya yang jalan ceritanya sangat bagus tapi tidak menang disebabkan lukisan yang tidak mencapai tahap yang ditentukan juri professional tersebut.

Kuasa mutlak untuk memilih pemenang, saya anggap terlalu besar untuk ditanggung seorang (dua) juri professional.

Jadi, apakah penyelesaiannya?

Perbanyakkan juri sebagai langkah untuk mengurangkan bias. Wujudkan posisi juri awam rahsia.

Cadangan saya, juri professional hanya perlu memegang 50% daripada markah keseluruhan. Baki kuasa diberikan kepada juri awam. Juri awam ini bersifat rahsia dan hanya diketahui oleh pihak Matkomik. Matkomik akan buka satu peluang kekosongan kepada pembaca untuk mendaftar sebagai juri awam rahsia sebelum pertandingan berlangsung. Matkomik boleh ambil siapa sahaja sebagai juri awam tidak kira apapun latar belakangnya sama ada ada kaitan dengan industri ataupun tidak, dengan syarat mereka perlu komited membaca semua penyertaan yang ditugaskan.

Juri awam rahsia ini akan mengadili sebagai wakil pembaca biasa yang merupakan pembaca majoriti untuk komik tempatan.

Untuk satu karya, lantik 4 orang juri awam rahsia dan diberikan kuasa 10% masing-masing. 4 orang ini mungkin bukan juri yang sama untuk keseluruhan penyertaan. Mungkin satu juri awam hanya menilai 10 karya komik. Matkomik akan berikan mereka borang penilaian dan para juri awam ini hanya perlu isi borang penilaian itu berdasarkan penilaian mereka sendiri.

50% daripada juri professional, 40% daripada juri awam rahsia, dan 10% lagi mungkin melalui undian bintang di laman web Matkomik. Cara ini sekaligus dapat mengurangkan bias di kalangan juri professional, menggalakkan penglibatan pembaca dan sekaligus menarik trafik ke laman web Matkomik. Pemenang yang bakal dipilih juga adalah pemenang yang menang bukan sekadar hanya ada lukisan yang bertaraf tinggi, malah ada cerita yang boleh difahami semua jenis pembaca terutamanya pembaca biasa.




3. ISU TAJUK.

Isu ini lebih kepada saranan peribadi.

CKOM, pada saya, boleh menjadi antara gerakan yang memperkasakan Bahasa Malaysia di negara kita ini. Dengan nama Cabaran Komik Online Malaysia, CKOM seharusnya menjadikan Malaysia sebagai titik identiti utama dalam semua penyertaan.

Dan itulah yang sudah CKOM lakukan dengan meletakkan syarat seperti;
- Komik MESTI dalam Bahasa Melayu.
- Asas cerita, ciri, watak dan latarbelakang komik hendaklah berasaskan unsur keMalaysiaan.

Ini satu syarat yang bagus dan dilihat boleh menggalakkan penggunaan Bahasa Malaysia di tahap optimum.

Namun, daripada pemerhatian saya, kebanyakan penyertaan untuk CKOM sebelum-sebelum ini gemar meletakkan TAJUK dalam Bahasa Inggeris. Mungkin ia tidak dikhususkan di dalam syarat, maka para peserta fikirkan tidak mengapa.

Tidak dinafikan, menggunakan Bahasa Inggeris sebagai tajuk akan membuatkan cerita itu kedengaran lebih gah dan kelihatan hebat. Malah manga Jepun juga kebanyakannya menggunakan tajuk Bahasa Inggeris atas tujuan membuka laluan pintu untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Namun, diingatkan, CKOM adalah pertandingan di dalam Malaysia. Tiada keperluan untuk para peserta menggunakan tajuk di dalam Bahasa Inggeris sedangkan cerita di dalamnya adalah dalam Bahasa Malaysia.

Jadi, cadangan saya...

...perkenalkan satu syarat tambahan untuk WAJIB MELETAKKAN TAJUK DI DALAM BAHASA MALAYSIA. Jika perlu menggunakan Bahasa Inggeris, berikan DUA tajuk cerita tersebut; satu dalam Bahasa Inggeris, satu lagi dalam Bahasa Malaysia. Jika tajuknya adalah istilah khusus dalam Bahasa Inggeris, hanya benarkan penggunaannya di dalam bahasa itu selepas dipastikan tiada terjemahan tepat untuknya di dalam Bahasa Malaysia.

Pada saya,
kalau bukan kita sendiri orang Malaysia mahu guna Bahasa Malaysia, siapa lagi? Pelukis komik ada kuasa untuk sebarkan keindahan Bahasa Malaysia, kenapa perlu guna bahasa lain hanya untuk kedengaran lebih gah dan kelihatan hebat?




4. TEMA TAHUNAN.

Ini bukanlah satu isu yang berat, hanya satu cadangan.

Antara perkara yang ditunggu-tunggu para pembaca dan pelukis yang bakal menyertai CKOM adalah tema. Daripada tema BEBAS pada tahun 2014, tema CINTA pada tahun 2015, tema HERO pada tahun 2016, dan tema SUKAN pada tahun 2017, kepelbagaian tema itulah menjadi teras kekuatan CKOM setiap tahun.

Namun, boleh difahami bagaimana tema yang tepat adalah amat penting. Kalau tema itu terlalu susah, penyertaan menjadi berkurangan kerana para peserta mungkin berasakan susah mahu merealisasikan tema tersebut. Namun kalau tema itu terlalu mudah pula akan membuatkan cabaran dan keseronokan melukis pula akan menurun. Mendapatkan tema yang sesuai setiap tahun bukanlah perkara yang mudah.

Jadi, cadangan saya...

...apa kata Matkomik buka satu peluang, mungkin satu posting di laman media sosial (Facebook, Twitter, Instagram) untuk meminta cadangan para pembaca tentang apakah tema yang sepatutnya dipertandingkan pada tahun ini. Para pembaca akan berikan idea masing-masing. Selepas satu tempoh masa, Matkomik akan pilih beberapa cadangan terbaik (mungkin 5 atau 6) dan buat satu 'poll' supaya para pembaca memilih salah satu daripada tema pilihan itu. Tema dengan undian terbanyak akan dipilih sebagai tema tahunan untuk CKOM.

Cara ini, bukan sahaja akan memudahkan kerja Matkomik mencari tema, malah akan membuatkan para pembaca berasa dihargai kerana mereka secara langsung terlibat dalam proses pemilihan tema. Lagipun, cadangan banyak-banyak yang diberikan pembaca boleh disimpan untuk kegunaan tahun seterusnya. Idea daripada para pembaca ni, kadang-kadang, boleh tahan bernas juga.



========================= ============



Begitulah EMPAT isu dan penambahbaikan CKOM yang saya cadangkan. Harap pihak Matkomik dapat meneliti segala isu yang telah saya bentangkan ini dan bertindak mengikut kebaikan semua pihak.

Semua cadangan penambahbaikan ini adalah idea saya dan hanya saya seorang. Jika ada mana-mana pihak tidak puas hati dan merasakan ada keperluan untuk berdebat (dan berbincang secara ilmiah) bolehlah hubungi saya di mana-mana jaringan media sosial yang ada.

Jika pihak Matkomik mahu menggunakan cadangan saya ini, saya persilakan sepenuhnya. Saya tidak akan menuntut apa-apa hak dan penghargaan. Jika Matkomik tidak mahu menggunakannya sekalipun, tidak rugi apa-apa di pihak saya. CKOM akan berlangsung setiap tahun dan saya pasti dari masa ke masa, CKOM akan berevolusi menjadi lebih baik daripada sebelumnya tidak kira dengan atau tanpa cadangan daripada saya.

Akhir kata daripada saya,
majulah industri komik tempatan untuk semua.

Sekian.







.

Jul 25, 2018

Cerita Tiga Positif.



Salam.




Manusia.
Makhluk yang menarik.

Manusia diberi kurniaan akal, berbeza dengan hidupan lain.
Manusia memajukan diri menjadi spesies hidupan yang berada di kedudukan paling tinggi dalam hierarki kehidupan.
Manusia menyebarkan kebaikan, mempunyai belas, dan mampu berkasih sayang; sama ada memberi kasih mahupun menerima sayang.

Namun,
manusia juga menggunakan akal mereka menindas yang lain.
Manusia begitu tamak memajukan diri sehingga memandang enteng hak yang lain untuk berkongsi hidup.
Manusia mampu meluahkan kebencian, ada kelompok yang sampai tahap bersifat zalim dan menzalimi, malah ada mampu menyebarkan kejahatan sehingga sanggup memusnahkan; bukan sahaja terhadap hidupan berlainan spesies, malah sesama manusia sendiri.

Pada aku,
aku membenci manusia dan dalam masa sama menyayangi manusia.
Aku benci dengan sifat negatif mereka, tapi aku sayang dengan sifat positif yang ada.
Dengan kata lain,
manusia mempunyai kedua-duanya; positif dan negatif.

Seperti sekeping syiling; ada kepala dan ada ekornya.
Seperti sebentuk magnet mempunyai dua kutub, utara dan selatan.
Seperti satu hari ada dua bahagian; siang dan malam.
Seperti sebilah pisau; ada bahagian tajam dan ada yang boleh dipegang.

Manusia juga ada dua sifat; positif dan negatifnya.

Kita kena faham,
positif dan negatif tidak berada di dalam spektrum yang sama.
Manusia mampu menjadi positif, dan dalam masa sama, masih bersifat negatif.
Setiap daripada manusia mempunyai kedua-duanya; tiada manusia yang sentiasa positif dan tiada juga yang sentiasa negatif.

Kali ini,
aku mahu kaji bagaimana manusia mampu mengawal kedua-dua sifat itu di dalam diri sedangkan dua sifat ini saling menolak antara satu sama lain.




CERITA SATU.
------------


Suatu hari, atas sebab yang tidak mahu aku terangkan secara lanjut, aku berada di wad kanak-kanak untuk pesakit barah di sebuah hospital terkemuka ibu negara. Wad tersebut dipenuhi dengan kanak-kanak pelbagai usia dan berbilang bangsa, agama, dan bahasa namun mempunyai satu persamaan; semua mereka menghidap penyakit barah (juga dikenali sebagai kanser).

Di sana, aku berkesempatan untuk duduk berbual dengan seorang penghuninya. Seorang budak berumur 8 tahun yang aku panggil 'Abang'. Abang menghidap kanser darah. Di kala kanak-kanak seusianya sedang seronok bersama kawan-kawan sebaya di sekolah, Abang perlu berulang alik ke hospital bagi tujuan rawatan berkala.

Aku duduk di sebelah katil Abang. Abang baru sahaja kembali dari prosedur 'spinal tap'. Spinal Tap adalah satu prosedur mengambil cecair tulang belakang untuk tujuan diagnostik. Doktor akan cucuk jarum besar di belakang badan dan memasuki celah tulang belakang untuk mengambil cecair yang berada di dalam tulang tersebut. Prosedur ini, seperti yang digambarkan, adalah amat menyakitkan tidak kira bagi orang dewasa apatah lagi bagi seorang kanak-kanak.

Berada di atas katil, jelas wajah Abang kepenatan. Namun digagahnya lagi untuk Abang menghadiahkan senyuman kepada aku. Bila aku tanya kenapa Abang senyum padahal jelas dia kehabisan tenaga, ini jawapannya:

"...Abang nak buat benda yang Abang suka. Abang suka senyum. Kalau benda tu Abang kena buat dan Abang tak suka, Abang akan tetap senyum sebab Abang suka senyum..."

Dalam perkara buruk yang menimpanya, Abang masih lagi mahu senyum.



CERITA DUA.
-----------


Gadis yang aku gelar 'N' ini aku kenal melalui media sosial. Dia seorang gadis yang manis, berkerjaya, dan memiliki perniagaan atas usaha sendiri. Jujur aku katakan, dia adalah jenis yang aku suka tapi aku rasa aku hanya ada kurang daripada 8% sahaja peluang untuk kenal rapat dengan dia.

Sebgai seorang gadis yang berkerjaya dan memiliki perniagaan sendiri semestinya memerlukan N untuk bekerja keras. Bekerja hampir 7 hari seminggu, sudah tentu penat bukannya perkara asing bagi N. Namun, N masih lagi mampu menonjolkan senyuman dan keriangan di media sosial tidak langsung pernah timbul rungutan dan keluhan.

Positiviti yang N tunjukkan bukan sahaja mengagumkan, malah kadang kala membuatkan aku risau dan cemburu. Ya, kalian baca betul, RISAU DAN CEMBURU.

Bila aku berkesempatan bertanyakan macam mana N mampu untuk terus kekal positif dalam kehidupannya, N membalas:

'Thank you to every person who ever told me I can't...You're just another reason why I will.'

Ia merupakan satu petikan kata-kata motivasi, a motivational quote. Kata N, dia berpegang kepada prinsip itu dan prinsip itulah yang membuatkan dia terus dapat mampu berada di dalam zon positif walaupun tanpa perlu dia beritahu, cabaran yang datang sudah tentu bukan calang-calang.

Petikan kata-kata motivasi seperti itu memang banyak boleh didapati di merata tempat, tapi aku tak sangka memang wujud orang yang berpegang kepada petikan tersebut. Aku kagum.



CERITA TIGA.
------------


Jadi, bukan rahsia lagi bahawa aku adalah pemain permainan aplikasi Pokémon GO. Semasa dalam satu sesi 'raid' suatu masa dahulu, aku berkenalan dengan seorang pakcik berbangsa Cina bernama Uncle Lim. Uncle Lim seorang pakcik yang (jika diteka) mungkin berada di usia 50-an. Kami hanya berpeluang berbual dan bertukar pendapat jika ada 'raid' di PokéGym sekitar kawasan selalu aku main Pokémon GO.

Aku hanya memanggil Uncle Lim sebagai 'Uncle'.

Pada satu ketika, entah bagaimana, Uncle sempat memberikan aku nasihat yang berbunyi:

"Bila you hidup cukup lama, you akan sedar yang hidup ini tak boleh lari daripada tekanan, masalah dan juga cabaran. Perkara itu pasti akan datang, itu you tak boleh pilih. Apa yang you boleh pilih adalah bagaimana mahu lalui setiap tekanan, masalah dan cabaran yang datang itu. Kalau you marah-marah, maka hasilnya pun tidak elok. Kalau you bertenang, semuanya pun akan okey."

Sebenarnya, Uncle Lim bercerita tentang permainan Pokémon GO yang tidak sudah-sudah dan bagaimana sesetengah pemain akan marah-marah bila tidak dapat apa yang dihajati ketika bermain. Tapi nasihat Uncle itu sangat umum, sesiapa yang mendengarnya boleh kaitan dengan seluruh kehidupan.

Itulah nasihat daripada orang yang berpengalaman.



KESIMPULAN.
-----------


Manusia yang kata hidupnya sentiasa positif ini, sama ada dia belum hidup secukupnya ataupun jelas-jelas dia sedang menipu.

Manusia, tidak kira usia, jantina atau bangsa, akan sentiasa didatangi cabaran, tekanan dan masalah dalam hidup. Ada kala manusia boleh hadapinya dengan sikap positif, namun ada kala mereka tidak boleh elak daripada menjadi negatif. Cabaran sebenarnya ialah apa tindakan kita apabila kita tidak boleh lari daripada bersikap negatif.

Dari cerita di atas, Abang, N dan Uncle ketiga-tiganya kelihatan menghadapi negativiti dengan cara yang berbeza, namun asasnya tetap sama; MANUSIA ADA KEMAMPUAN UNTUK MEMILIH.

Memilih apa? MEMILIH TINDAKAN SELANJUTNYA.

Apabila negativiti datang, dan pastinya negativiti akan datang, maka apa pilihan kita untuk menghadapinya? Sama ada kita hadapinya dengan bersikap negatif juga, atau kita pusingkan negativiti itu kepada sesuatu yang positif dan memanfaatkan.

Dan itulah apa yang aku suka tentang manusia.

Manusia mungkin suka menindas, tamak, memandang enteng hak yang lain, penuh kebencian, bersifat zalim dan menzalimi, dan menyebarkan kejahatan sehingga sanggup memusnahkan. Namun manusia juga menyebarkan kebaikan, mempunyai belas, penuh dengan kasih sayang, bersifat membantu, dan tidak selalunya mementingkan diri sendiri.

Mana satu yang manusia pilih untuk dijadikan pilihan, itu terletak kepada individu manusia itu sendiri. Manusia mampu memilih jalan yang mereka mahu lalui, sama ada terus positif atau terus menjadi negatif.





Dan ini adalah nasihat untuk diri kau sendiri, C,
supaya terus memilih dan menentukan jalan kau sendiri.
Sama ada gelap, ataupun dengan cahaya.


Jadi,
apakah cara kalian untuk terus jadi positif?




.

Jul 18, 2018

Anjing, Manusia dan Kemanusiaan.


Salam.

Hari Jumaat. Hari di mana paginya lebih indah berbanding pagi hari lain. Hari di mana waktu rehat tengaharinya lebih panjang berbanding empat hari sebelumnya. Hari di mana produktiviti para pekerja berada di paras paling bawah disebabkan bakal datangnya hujung minggu Sabtu dan Ahad pada keesokan.

Aku berada di luar. Berada di bawah sinar matahari yang terik sambil menunggang motosikal melalui jalan kawasan perumahan. Tiada angin, tiada awan, panas yang datang tepat sasarnya 150 juta kilometer dari Sol jatuh ke arah aku. Peluh seluruh badan pun tidak dapat dirasai kerana sudah tersejat dek panas yang tidak dapat dielak.

Aku berhenti berteduh seketika di bawah redup bayang pokok di penjuru satu simpang empat kawasan perumahan itu. Aku memeriksa telefon bimbit andai ada sesuatu yang memerlukan perhatian. Silau cahaya membuatkan aku meningkatkan darjah kecerahan. Tiada apa-apa di skrin telefon, hanya notifikasi daripada beberapa aplikasi yang tidak aku dilayani.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pekikan meminta tolong. Bukan daripada manusia, tapi daripada binatang.

Aku hidup cukup lama dengan binatang, terutamanya kucing, untuk kenal jenis bunyi yang dikeluarkan mereka. Tidak syak lagi, ini adalah bunyi meminta tolong daripada seekor haiwan. Haiwan berkaki empat, tapi bukan haiwan yang biasa bagi aku.

Ini bunyi daripada seekor anjing.

Aku memerhati sekeliling. Tiada tanda kewujudan apa-apa hidupan. Namun bunyi meminta tolong itu seperti sangat dekat, sangat dekat seolah-olah memang ia khusus untuk memanggil aku. Aku turun daripada motosikal dan berjalan menuju ke longkang di sekitar rumah tepi simpang. Aku menjenguk ke bawah longkang.

Tidak syak lagi, ada seekor anak anjing sedang memekik meminta tolong di bawah longkang itu.





"Macam mana boleh ada anak anjing dekat bawah longkang tu?" tanya aku kepada diri sendiri.

Anak anjing itu tidak cedera, hanya terperangkap di bawah longkang. Mungkin anak anjing itu terpisah dengan kumpulan keluarga dia dan kemudian terjatuh ke bawah longkang ini. Nasib baik longkang itu tidak terlalu dalam dan agak kering. Namun, memang mustahil bagi anak anjing sekecil itu untuk keluar dari dalam longkang itu tanpa bantuan sesiapa.

"Tak ada orang lain yang boleh bantukah?" sekali lagi aku bermonolog.

Sekarang tengah lewat tengahari. Ini kawasan perumahan. Orang yang berkerja masih belum balik dari tempat kerja. Orang yang tidak bekerja tiada sebab untuk berada di luar rumah pada masa cuaca seterik ini. Memang logik kawasan itu tiada langsung orang yang berkeliaran pada waktu itu.

"Cis, apa patut aku buat?" monolog masih belum habis.

Aku pandang anak anjing itu. Anak anjing itu membalas pandangan. Anak anjing itu sudah tidak memekik meminta tolong, mungkin kerana sedar kewujudan aku di situ. Walaupun bulunya hitam, tapi nampak jelas matanya berkaca. Mungkin ini apa yang dikatakan orang barat dengan istilah 'puppy face'.

Aku tidak tinggal di kawasan perumahan itu. Aku juga tidak kenal akan anjing itu, apatah lagi siapa tuan dia. Malah, aku langsung tiada pengalaman mengendali anjing. Anjing adalah antara haiwan yang menakutkan aku. Masa aku kecil, banyak kali aku dikejar anjing tanpa sebarang sebab munasabah. Pada aku, aku tiada keperluan untuk menyelamatkan anak anjing itu.

Aku kembali ke motosikal aku dan hidupkan enjin. Pakai kembali topi keledar, masuk gear satu dan kemudian terus tinggalkan simpang empat itu. Pada aku, akan ada manusia lain yang akan menyelamatkan anak anjing itu keluar dari longkang. Tapi manusia itu bukan aku.


---------- TAMAT BAHAGIAN SATU ----------


10 minit sudah berlalu.

Di atas motosikal sambil menunggang namun fikiran aku berada di tempat lain. Lebih spesifik, berada di longkang tepi simpang empat tempat anak anjing tadi ditinggalkan sendirian. Di telinga aku patut terdengar bunyi angin yang masuk ikut celah topi keledar melawan arus kelajuan tunggangan, namun apa yang aku dengar hanyalah pekikan anak anjing tadi meminta tolong.

PIN! PIN!

Sekali lagi aku dihon oleh kenderaan di belakang apabila mengelamun tidak sedar lampu isyarat sudah hijau. Ini kali kedua aku dihon atas kesalahan yang sama dalam tempoh 10 minit itu. Aku langsung tidak fokus berada di atas jalan raya.

"Huhhh!"

Aku mengeluh dan berhenti di tepi jalan. Aku buka topi keledar dan sekali lagi menghembus keluhan yang lebih panjang.

"Benda inilah yang akan buat aku tak boleh pejam mata nak tidur malam nanti."

Tidur malam adalah satu sesi yang amat penting bagi aku (dan seluruh manusia) kerana ia menentukan mood aku pada keesokan harinya. Kalau berkualiti tidur malam aku, maka berkualitilah seluruh hari esok aku. Jika tidak, maka rosaklah seharian.

Dan perkara remeh seperti 'meninggalkan anak anjing yang meminta tolong terperangkap di dalam longkang' adalah antara perkara yang bakal membuatkan aku susah mahu pejam mata, menjadikan tidur malam aku tidak berkualiti sekaligus merosakkan hari esok. Hari esok adalah hari aku bersama keluarga. Hari tersebut tidak boleh rosak.

Di tepi jalan, dengan berderu pantas kenderaan melintas, aku buka aplikasi Google di telefon bimbit dan menaip 'samak pegang anjing' di ruangan carian. Aku sedar, topik penyucian ada diajar dahulu di sekolah (tidak silap) pada tingkatan 2 dalam subjek Pendidikan Agama Islam. Tapi, sekarang dan umur aku di tingkatan dua sudah berlalu beberapa abad maka sel-sel otak langsung tidak berhubung kerana ilmu yang diajar itu langsung tidak pernah diamalkan.

Lagi membuatkan aku terasa bodoh adalah, perkataan sebenar yang patut aku cari adalah 'sertu', bukannya 'samak'.

SAMAK adalah perbuatan menyucikan sesuatu seperti kulit binatang menggunakan bahan yang bersifat tajam dan meluntur. Kita samak kulit kambing sebelum dijadikan sebagai bahan dalam pembuatan kompang. SERTU pula adalah menyucikan sesuatu bahan apabila terkena najis berat (najis mughalazah). Aku perlu sertu tangan aku apabila memegang anak anjing yang bakal aku selamatkan nanti.

Nasib baik dalam senarai keputusan carian Google tadi ada menekankan perbezaan dua proses penyucian ini. Kalau ustazah aku tahu aku lupa akan semua ini, tentu dia akan kecewa dengan aku.

Untuk menyertu, aku perlu basuh tempat yang terkena najis (dalam kes aku, tangan) dengan tujuh kali basuhan; satu kali menggunakan air tanah dan 6 kali menggunakan air mutlak.

"Bila balik rumah nanti, aku boleh cari air tanah memandangkan belakang rumah aku ada kebun kecil." Aku merancang.

"Tapi, selepas aku selamatkan anak anjing itu nanti, sudah pasti dengan menggunakan tangan yang sama, aku akan sentuh topi keledar, kunci motosikal, pemegang, pemicu, punat lampu signal, sampai rumah aku kena sentuh tombol pintu, kasut, stokin, nak sediakan air tanah kena sentuh gayung, baldi, pengorek tanah. Itu belum tentu tanah yang mahu aku jadikan air itu bersih atau tidak memandangkan kawasan rumah aku banyak dengan kucing dan haiwan lain."

Aku sedar aku terlampau jauh menganalisa keadaan. Aku overthink.

"Alangkah bagusnya kalau aku boleh selamatkan anak anjing itu tanpa perlu menyentuhnya."

Di tepi jalan itu, mata aku ligat melilau mencari barang yang boleh dijadikan pengganti tangan aku. Jika ada barang yang boleh digunakan untuk memegang anak anjing tadi, aku tidak perlu lalui segala proses susah payah mahu sertu tangan sendiri.

Mata aku tertancap ke arah sesuatu berwarna biru yang berada di atas tanah berdekatan.

"Adakah ia benda yang aku fikir adalah ia?"

Aku menghampiri objek itu. YA. TIDAK SALAH LAGI. Objek biru itu adalah kain bendera sebuah parti politik yang kalah teruk pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas. Jatuh ke tanah dan tidak dipeduli orang ramai, nasib bendera itu sama dengan simbol yang diwakilinya.

Aku pun mengambil kain bendera itu dan melipatnya. Niat aku mahu jadikan kain itu sebagai alas antara tangan aku dan anak anjing nanti. Paling tidak, bendera itu akan berbakti sebelum terus mereput diabaikan, kan?

"Huuuhhhh!"

Panjang aku menghembus nafas, sebelum aku kembali sarungkan topi keledar dan menghidupkan enjin motosikal. Bersama-sama dengan kain biru yang dilipat di dalam bakul, aku berpatah balik ke kawasan perumahan tadi dengan satu misi:
MALAM INI AKU MAHU TIDUR NYENYAK!


---------- TAMAT BAHAGIAN DUA ----------


Dicongak matematik mudah di dalam kepala, sudah hampir 30 minit selepas aku meninggalkan tempat kejadian tadi. Hati kecil aku berharap dalam tempoh masa yang agak lama itu, sudah ada manusia lain yang menyelamatkan si mamalia kecil itu. Kalau itulah yang terjadi, maka aku tidak perlu bersusah payah untuk semua itu lagi.

Tapi tidak.

Sesampainya aku ke longkang itu, masih kedengaran anak anjing tadi memekik meminta tolong. Aku berkali-kali pastikan bahawa input audio itu adalah asli dan bukannya hasil gemaan dalam benak kepala aku sendiri. Ya. Ia asli. Anak anjing itu masih berada di bawah longkang, memekik meminta tolong.

Sekali lagi aku intai ke kiri dan ke kanan berkali-kali jika ada orang yang yang boleh membantu. Tapi tiada. Aku pasrah. Memang Tuhan Yang Maha Besar menjadikan anak anjing terperangkap ini sebagai ujian untuk aku tangani.

Antara perkara yang aku belajar sebagai pelajar biologi di zaman universiti dahulu adalah 'latihan imej'. Latihan Imej (Image Training) adalah satu konsep di mana kita akan melakukan sesuatu menggunakan imej mental (bayangan di dalam kepala) dan dilakukan berkali-kali supaya apabila kita akan melakukannya di dunia nyata, perlakuan itu tidak lagi akan kekok dan terasa baru.

Dengan latihan imej, aku turun ke bawah longkang, menghampiri anak anjing itu, dan selubung dia dengan tenang menggunakan kain bendera tadi dan mengangkatnya ke atas sebelum melepaskannya, dan aku ulang berkali-kali. Aku yakinkan diri aku yang aku boleh buat. Selepas cukup keyakinan, aku pun menghembuskan nafas panjang tanda sudah bersedia.

Aku turun ke dalam longkang. Nampak rendah, tapi kalau salah mendarat, kaki berisiko untuk terpelecok memandangkan longkang tadi tidak rata permukaannya. Tapi aku selamat mendarat. Perlahan-lahan aku menghampiri anak anjing tadi. Anak anjing itu sudah berhenti memekik, tapi dia kini sudah bertukar bunyi.

Anak anjing itu mengetap giginya dan berderam seperti mahu mempertahankan diri.

"Oh, defecation!" Aku menyumpah, mencarut.

Dalam latihan imej aku, aku tidak sertakan sekali kemungkinan anak anjing itu akan menggigit. Aku fikir, sebab dia memekik meminta tolong, maka dia akan terima segala pertolongan yang akan diberikan. Aku lupa, perangai semulajadi seekor anjing adalah bersifat autoriti dan mempertahan. Anak anjing yang tidak kenal siapa bakal penyelamatnya, mungkin akan menyerang dengan gigitan sebagai satu pertahanan diri.

Peribahasa 'melepaskan anjing tersepit' tidak muncul sendiri. Seseorang mesti pernah lalui perkara seperti yang aku sedang fikirkan ini.

Kalau dengan kucing, aku pandai memujuk dengan mengeluarkan bunyi cicak 'chuk, chuk, chuk'. Tapi dengan anjing aku tidak tahu apa bunyi yang patut aku keluarkan. Berkali-kali aku memujuk, memberitahu bahawa aku hanya mahu menolong, tapi anak anjing itu, yang kini sudah aku namakan sebagai Mike, masih lagi berderam dan mengetap gigi dengan kedudukan badan seperti bersedia mahu menyerang.

Buntu. Aku naik semula ke atas.

Sekali lagi aku bertimbang untuk terus berlalu pergi dan tinggalkan Mike sekali lagi. Tapi aku betul-betul mahukan tidur yang lena malam ini, tambahan lagi seluar dan kasut aku sudahpun kotor disebabkan masuk ke dalam longkang tadi.

Nak tak nak aku kena teruskan.


---------- TAMAT BAHAGIAN TIGA ----------


Mike sunyi tanpa pekikan meminta tolong. Aku berdiri tegak di bawah bayang sebatang pokok di situ. Di dalam kepala, aku ligat memikirkan bagaimana cara terbaik boleh aku lakukan untuk menyelamatkan Mike. Kali ini aku masukkan sekali kebarangkalian bahawa Mike tidak memberi kerjasama.

Dengan permukaan longkang yang tidak sekata, dengan sebahagiannya penuh dengan daun kering yang berguguran, serta terdapat bahagian yang bertakung air, maka aku rumuskan adalah mustahil untuk aku lakukan usaha ini seorang diri.

Nak tak nak, aku kena tebalkan muka meminta pertolongan orang lain.

Setelah berjalan beberapa rumah meninjau andai ada sesiapa yang boleh aku minta tolong, aku sampai ke sebuah rumah. Terdapat seorang ibu berbangsa Cina bersama-sama dengan dua orang anak kecil. Dengan hormat, aku mula sapa dan menceritakan segala yang berlaku. Katanya, dia sudah lama dengar bunyi anak anjing (meminta tolong) tapi tidak tahu bunyi itu berasal dari mana. Dia juga, katanya, takut dengan anjing dan daripada bahasa tubuhnya aku dapat jelaskan yang dia memang tidak mahu menolong.

Kebetulan, jiran sebelahnya, seorang pakcik berbangsa India mendengar perbualan kami. Dia bersedia untuk membantu. Selepas bertanya di mana kedudukan anak anjing itu (Mike), dia minta diberi sedikit masa untuk bertukar pakaian.

Aku kembali ke longkang tadi. Mike masih di bawah sana, memandang dengan mata besarnya. Dasar anjing, bila aku nak tolong tadi tidak mahu beri kerjasama, sekarang nak pandang aku dengan pandangan sedemikian.

2 minit kemudian, pakcik tadi (yang aku sudah panggil Uncle) pun datang. Aku menunjukkan Mike kepadanya, dan wajahnya kelihatan berubah.

"Wah, ini anjing baka baik ni. Ini anjing Rottweiler."

Rottweiler. Aku selalu dengar tapi tak tahu nak kenalpastinya bagaimana. Katanya, anjing jenis Rottweiler ini adalah antara yang paling setia, dan jika memerlukan, akan bertindak ganas bergantung kepada ancaman. Patutlah Mike menderam ke arah aku ketika aku menghampirinya. Sudah itu memang 'nature' dia.

Uncle tadi mencadangkan aku untuk berada di satu sudut longkang dan sedikit demi sedikit memaksa Mike untuk bergerak. Uncle itu akan menunggu di arah satu lagi. Jika Mike lari ke arah Uncle, Uncle akan tangkap dan angkat. Jika Mike tidak bergerak, aku pula kena sambar dan angkat Mike ke atas secepat mungkin.

"Anjing jenis ini garang. Be careful," Uncle nasihat.

Uncle kata tangan dia sedikit lemah terutamanya bahagian bahu akibat pernah kemalangan satu tika dahulu, maka agak susah untuk dia turun ke bawah longkang. Aku mempelawa bantuan, tapi Uncle berjaya turun dengan usaha sendiri. Aku juga pelawa kain bendera untuk dipotong sebagai lapik untuk pegang Mike nanti, tapi Uncle menolak. Katanya, aku lebih perlukannya.

Seperti yang dirancang, kami berdua mengepung Mike dari kiri dan kanan. Sedikit demi sedikit kami menghampiri. Mike sedar diri terperangkap dan bakal ditangkap, maka dia mula menyalak (seperti anjing biasa). Jauh sudut hati aku, aku mahu Mike berlari ke arah Uncle kerana aku tidak mahu (dan tidak tahu) pegang anjing.

Dan itulah yang berlaku.

Mike berlari ke arah Uncle. Uncle sambar badan Mike. Mike kemudian meronta dan Uncle terlepas Mike. Mike terbaring dengan perut ke atas dan tangan yang bersedia untuk mencakar. Mike juga menyalak dengan kuat tidak mahu dipegang Uncle. Uncle tidak peduli. Uncle sambar kaki belakang Mike dan hayun ke atas longkang seperti penjual ayam di pasar menghayun daging ayam ke atas meja jualan.

Mike kini berjaya keluar dari longkang, terima kasih kepada usaha Uncle.

Aku hanya berada jauh 3 meter di sebelah sana menyaksikan segala. Aku langsung tidak menyumbang.

Mike kelihatan sedikit buntu, tidak tahu mana mahu pergi. Selepas aku dan Uncle keluar dari longkang, Mike masih lagi terpinga-pinga mencari arah mahu lari.

Tiba-tiba, jauh di belakang deretan rumah di situ ada sekumpulan anjing dewasa (dalam dua tiga ekor) menyalak. Mendengar salakan, Mike terus berlari ke sana. Aku dan Uncle fikir itu mungkin keluarga Mike yang terpisah. Setelah difikirkan, mungkin selama ini sekumpulan anjing dewasa itu memerhati tindak tanduk aku ingin menyelamatkan Mike. Kalau mereka fikir aku mahu buat jahat terhadap Mike, mereka pasti boleh datang menyerang aku. Selama ini, aku diperhatikan oleh sekumpulan anjing dewasa dan itu agak menyeramkan.

Selepas memastikan Mike berada bersama dengan kumpulannya, aku kemudian memastikan bahawa Uncle tidak apa-apa. Tindakannya menyambar Mike mungkin memberikan tekanan ke atas bahu Uncle. Tapi Uncle kata dia tidak apa-apa. Dia sedikit ralat Mike pergi begitu sahaja kerana dia berniat untuk bela Mike jika Mike tidak mempunyai tuan.

"But at least dia selamat..." kata Uncle.

Uncle mahu bergerak pulang. Aku tidak salam Uncle kerana Uncle sudah pegang Mike. Kalau dia tidak pegang Mike, aku memang sangat mahu salam dengan Uncle. Entah kenapa, aku dapat rasakan yang Uncle memahami yang aku ni orang Islam yang tidak boleh pegang anjing. Langsung tiada mimik muka menghukum ketika aku kelihatan teragak-agak untuk mendekati Mike tadi.

Selepas berteima kasih, aku menghantar Uncle sampai ke rumahnya dengan hanya pandangan mata. Selepas seketika, aku pun bergerak ke motosikal dan bersedia untuk berangkat pulang.

"Akhirnya, kain bendera ini langsung tidak berguna," fikir aku sebelum meninggalkan kain itu untuk terus mereput di dalam timbunan daun kering.

Aku pun menunggang pulang ke rumah dengan senyuman. Ini satu pengalaman berharga untuk aku. Hari ini, ada anak anjing yang berjaya diselamatkan. Walaupun bukan oleh aku, tapi oleh manusia lain yang sudah pastinya masih ada sifat kemanusiaan terhadap binatang.


---------- TAMAT BAHAGIAN EMPAT ----------


Beberapa pengajaran dapat aku pelajari untuk pengalaman kali ini:


1. ILMU ITU PENTING.

Kalau tanya semua orang Islam, mesti mereka akan kata tahu bagaimana cara nak menyertu. Apatah lagi ilmu itu memang di ajar di sekolah, malah menjadi tajuk amali di dalam PAFA.

Tapi bila masa perlu melakukannya betul-betul, adakah semua orang Islam boleh melakukannya?

Aku sedikit malu dengan diri sendiri. Sebelum ini aku amat yakin yang aku tahu cara nak menyuci diri jika terpegang anjing. Tapi bila saat aku betul-betul kena lakukannya, aku sedar aku langsung tidak tahu. Adakah air tanah dulu sebelum 6 air mutlak, atau air mutlak dulu dan diakhiri air tanah? Jika benda yang perlu disucikan itu adalah kedua-dua belah tangan, bagaimana aku nak pegang air basuhan untuk menyucikan? Lebih memalukan, aku fikir proses menyucikan itu dipanggil 'samak', tapi sebenarnya adalah 'sertu'.

Aku malu kerana kurang ilmu.



2. MUDAH KATA DARIPADA MELAKUKANNYA.

Ya. Easier said than done. Ingat lagi satu masa dulu ada viral video seorang artis lelaki Islam yang menyelamatkan anak anjing dari longkang menggunakan penyodok. Walaupun ramai netizen memuji, tapi tak kurang juga yang mempertikai kenapa tidak gunakan tangan sahaja. Nanti masih boleh samak (sertu). Malah, kata netizen, air tanah untuk sertu juga ada dijual di kedai dan tidak perlu bersusah payah buat air tanah sendiri.

Sudah tentu, kalau kerja aku adalah pegang anjing setiap hari, maka air tanah komersial yang dijual di kedai memang membantu. Tapi kalau kes sekali macam ini, agaknya praktikal tak nak beli air tanah di kedai? Macam yang aku fikir tadi, banyak perlu kena sentuh bila nak bergerak dengan tangan yang bernajis ini. Atau adakah aku perlu beli dulu air tanah itu sebelum pegang anjing? Adakah air tanah itu senang didapati di kedai-kedai berdekatan? Dan adakah cukup tanah dalam air itu untuk dijadikan air tanah yang menyucikan?

Pendek kata, proses penyucian najis berat ini bukan semudah taip di Twitter sahaja. Banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Nak mudah, cuba elakkannya.



3. BUKAN ISLAM JUGA ADA YANG TAKUT ANJING.

Kita orang Islam memang sudah dimomokkan dari kecil bahawa anjing haram dipegang, tapi sebenarnya ada juga orang bukan Islam yang tidak berani berurusan dengan anjing. Selama ini aku anggap disebabkan mereka bukan Islam, maka mereka sepatutnya tidak takut dengan anjing dan boleh menguruskan mana-mana hal mengenai anjing. Tapi seperti wujudnya orang yang takutkan kucing, wujud juga orang yang takutkan anjing walaupun mereka bukan Islam.

Ini membuatkan pandangan aku terhadap manusia sedikit berubah. Takut anjing, takut kucing, itu semua tiada kena mengena dengan agama. Itu semua adalah sifat individu.

Aku sepatutnya melihat manusia sebagai individu, bukannya meletakkan mereka di bawah kategori mengikut pengelasan sendiri, apatah lagi menilai mereka berdasarkan agama.





Sekarang beritahu aku,
jika kalian sendiri berada di tempat aku,
jumpa anak anjing yang terperangkap di dalam longkang meminta bantuan,
jujurnya, apakah yang kalian akan lakukan?

Sanggupkah kalian tinggalkan anjing itu terperangkap dan tidur nyenyak di malamnya?






.

Jul 16, 2018

HARI KOMUNITI: Episod Kura-Kura Biru.



Salam.

Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanannya ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 6 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day yang mula diperkenalkan awal tahun 2018 ini adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO di mana setiap edisi Hari Komuniti ada Pokémon istimewa yang ditampilkan bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Berikut adalah senarai 6 Hari Komuniti yang sudah dilalui aku:
Januari - 'Tangkap Pikachu di Taman.'
Februari - 'Memburu Anak Naga Merah Jambu.'
Mac - 'Mencari Raksasa Bawang.'
April - 'Episod Biri-Biri Elektrik Merah Jambu.'
Mei - 'Episod Si Naga Hitam.'
Jun - 'Episod Dinosaur Batu.'


Untuk bulan Julai ini, seperti tekaan semua pemain, Pokémon istimewa yang ditampilkan ialah SQUIRTLE.

Dan seperti biasa, pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO, maka akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.


Sumber: Niantic, Inc.


Squirtle adalah salah satu daripada 3 Pokémon pemula (starter) yang asli bagi keseluruhan francais Pokémon. Merupakan Pokémon jenis air, Squirtle adalah kemasukan ke-7 di dalam keseluruhan Pokédex. Di dalam Pokédex, Squirtle diterangkan sebagai

'Tiny Turtle Pokémon:
Squirtle's shell is not merely used for protection. The shell's rounded shape and the grooves on its surface help minimize resistance in water, enabling this Pokémon to swim at high speeds.'

Di dalam Pokémon GO, Squirtle boleh berevolusi kepada Wartortle dengan kos Squirtle candy sebanyak 25, dan kemudian boleh berevolusi kepada bentuk ketiganya, Blastoise dengan menggunakan 100 Squirtle candy.

Walaupun sudah diumumkan lebih awal, tapi pengumuman lebih terperinci mengenai Hari Komuniti bulan Julai ini mula muncul pada 2 Julai 2018 di dalam slot 'news' di dalam aplikasi Pokémon GO.






Berikut adalah ringkasan kepada pengumuman di atas:
- Hari Komuniti bulan Julai akan berlangsung pada 8 Julai, jam 11 pagi hingga 2 petang (waktu Malaysia).
- Pokémon istimewa untuk Hari Komuniti bulan Julai adalah Squirtle.
- Jika Wartortle dievolusi kepada Blastoise dalam tempoh 3 jam Hari Komuniti berkenaan, Blastoise itu akan mempunyai serangan jenis air istimewa 'Hydro Cannon'.
- Tugasan khas sempena Hari Komuniti akan memberikan ganjaran Squirtle istimewa yang memakai cermin mata hitam, dipanggil Squirtle Squad Squirtle.
- Telur yang diletakkan di dalam incubator pada tempoh 3 jam ini juga akan menetas hanya 1/4 daripada jarak sepatutnya.
- Kotak istimewa sempena Hari Komuniti juga ada di bahagian jualan.


Bermakna, berlainan dengan Hari Komuniti yang lepas,
untuk kali ini, terdapat 4 jenis Pokémon istimewa iaitu:
1. Squirtle biasa.
2. Shiny Squirtle.
3. Squirtle Squad Squirtle (Squirtle dengan cermin mata hitam)
4. Shiny Squirtle Squad Squirtle.




SQUIRTLE SQUAD SQUIRTLE.

Di dalam siri anime Pokémon, terdapat satu kumpulan yang dikenali sebagai Squirtle Squad yang terdiri daripada 5 Squirtle berkaca mata hitam. Pada mulanya, Squirtle Squad ini adalah kumpulan Pokémon yang gemar melakukan perbuatan nakal. Namun kemudian, mereka diiktiraf sebagai hero kerana berjaya membendung malapetaka lebih besar dengan memadamkan kebakaran yang tercetus.


Squirtle Squad.




PERSEDIAAN.

Hari Komuniti bulan Julai kebetulan berada di dalam waktu ganjaran untuk Global Challenge bersempena dengan Pokémon GO Fest yang berlangsung di Dortmund, Jerman pada 30 Jun dan 1 Julai lalu. Untuk Global Challenge, para pemain seluruh dunia akan mendapat beberapa ganjaran iaitu:
- 3x XP untuk setiap tangkapan,
- 2x XP untuk setiap raid,
- 3x XP untuk setiap telur yang menetas, dan
- Lucky Egg akan berkesan selama 1 jam (biasanya hanya 30 minit)

Semua ganjaran ini berlangsung daripada 2 Julai hingga 9 Julai, bermakna Hari Komuniti (8 Julai) berada di dalam tempoh ganjaran ini.

Aku menyimpan Pokécoin lebih awal, sejak sebelum Hari Komuniti bulan Jun lagi kerana mahu beli kotak istimewa Community Day di ruangan jualan. Namun aku berharap kotak istimewa itu mempunyai banyak Premium Raid Pass dan Lucky Egg pada harga yang murah.

Juga, sebagai persediaan, aku berjaya naik ke level 37 pada 30 Jun lalu. Niat aku adalah pada Hari Komuniti ini, dengan segala bonus yang ada, aku mahu kutip sebanyak mungkin XP yang aku mampu.



MISI.

Hari Komuniti kali ini sedikit berlainan kerana berada di dalam tempoh ganjaran bonus dan beberapa tambahan lain seperti kewujudan Squirtle Squad Squirtle. Maka, misi aku kali ini ialah;

1. Tangkap sebanyak mungkin Squritle dalam tempoh 3 jam Hari Komuniti.
2. Tangkap paling kurang TIGA shiny Squirtle supaya salah satunya boleh dievolusi kepada shiny Wartortle dan satu lagi dievolusi kepada shiny Blastoise (dengan serangan Hydro Cannon)
3. Tangkap paling kurang TIGA Squirtle Squad Squirtle supaya salah satunya boleh dievolusi kepada Wartortle dengan cermin mata hitam dan satu lagi dievolusi kepada Blastoise dengan cermin mata hitam.
4. Miliki paling kurang SATU shiny Squirtle Squad Squirtle.
5. Kutip Experience Point (XP) sebanyak mana yang mampu.

Dan juga untuk kali ini, destinasi aku untuk memburu si kura-kura biru ini adalah Taman KLCC, Kuala Lumpur.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.




HARI KEJADIAN.

Ahad, 8 Julai 2018.
Aku sampai di KLCC pada jam 10:30 pagi dengan bantuan si kuda putih aku sebagai mod pengangkutan. Taman KLCC di pagi Ahad sudahpun ramai dengan pengunjung, walaupun aku tahu banyak antara mereka adalah pemain Pokémon GO sendiri. Dengan penuh kesabaran, aku menunggu untuk masuk ke pukul 11 pagi.

Namun, kesabaran aku sangat teruji apabila capaian internet tidak stabil. Itu adalah apa yang pengguna Celcom rasakan sepanjang masa. Celcom memang langsung tidak boleh diharap apabila kita perlukan capaian yang stabil. Capaian yang tidak stabil akan mengakibatkan permainan tersangkut-sangkut, memerlukan aku untuk restart aplikasi berulang kali.

Ugghh! I HATE CELCOM!!

Jam 11 tiba, Squirtle mula muncul di sekitar kawasan Taman KLCC.

Bagi mendapat tahu berapa Squirtle yang berjaya aku tangkap, aku simpan imbasan muka skrin untuk Pokédex Squirtle sebelum aku mulakan permainan.


Seen: 92, Caught: 78


Juga, setelah berjaya mengumpul 1953 Pokécoin, aku nekad membeli Ultra Box dengan harga 1480 Pokécoin.




Ultra Box ini mengandungi:
- 12 Incense (berharga 80 coin setiap satu)
- 12 Super Incubator (berharga 200 coin setiap satu)
- 12 Lucky Egg (berharga 80 coin setiap satu)
- 12 Star Piece (berharga 80 coin setiap satu)

Keseluruhan barangan ini adalah berharga 5280 Pokécoin jika dibeli satu persatu.

Setelah selesai semua urusan remeh, aku mula bergerak keliling Taman KLCC menangkap Squirtle.

Sebagai rujukan,
di bawah adalah perbandingan EMPAT jenis Squirtle yang muncul sepanjang Hari Komuniti ini:


Dari atas, kiri: Squirtle biasa
Atas, kanan: Squirtle Squad Squirtle
Bawah, kiri: shiny Squirtle
Bawah, kanan: shiny Squirtle Squad Squirtle



Perbezaan ketara antara shiny dan Squirtle biasa adalah cangkerang belakang untuk shiny berwarna hijau sedangkan cangkerang Squirtle biasa berwarna perang gelap. Warna badan juga sedikit berbeza walaupun sekali imbas kelihatan sama.

Disebabkan Squirtle Squad Squirtle hanya boleh ditangkap sebagai ganjaran kepada tugasan Field Research yang didapati selepas memusingkan cakera gambar di PokéStop, maka peluang untuk memperolah varian shiny untuk Squirtle Squad Squirtle adalah lebih susah. Namun, dikatakan PokéStop yang memberikan varian shiny adalah sama untuk semua pemain. Jika kita tahu PokéStop mana akan memberikan shiny, maka kita boleh target PokéStop tersebut.

Namun, bagi pemain solo seperti aku, itu agak sukar untuk dilakukan.

Sepanjang 3 jam ini, aku berjaya menangkap 6 shiny Squirtle dengan dua daripadanya adalah shiny Squirtle Squad Squirtle.


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:21 CP 590, jam 11:29 CP 263, jam 11:31 CP 332


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:40 CP 382, jam 1:47 CP 573, tiada data



Menghampiri jam 2 petang, aku seterusnya mengevolusi satu Squirtle biasa (dengan IV yang tinggi) kepada Blastoise untuk mendapatkan serangan Hydro Cannon. Aku juga mengevolusikan satu shiny Squirtle Squad Squirtle kepada shiny Blastoise dengan cermin mata hitam.

Juga, aku mengevolusikan dua shiny Squirtle kepada Wartortle dan juga Blastoise, membuatkan aku berjaya memiliki satu famili shiny Squirtle yang lengkap.


One shiny Squirtle family at home!


Pada jam 2, Hari Komuniti untuk bulan Julai pun melabuhkan tirainya. Shiny Squirtle akan mula boleh didapati di keliaran, namun pada kebarangkalian yang sangat rendah, sama seperti shiny-shiny untuk Pokémon yang lain.




SIDE QUEST.

Salah satu daripada misi aku ialah 'mengutip XP sebanyak mana yang mampu' dan disebabkan Hari Komuniti ini berada di dalam tempoh ganjaran, maka aku memandang serius misi ini kali ini.

Pada hari biasa tanpa bonus, raid level 5 akan memberi ganjaran XP sebanyak 10,000 XP, satu angka yang besar sesuai dengan usaha yang dikeluarkan pemain. Namun, antara ganjaran bonus yang dinikmati pemain sempena Pokémon GO Global Challenge yang lepas, setiap ganjaran untuk raid akan digandakan DUA KALI, menjadikannya meningkat kepada 20,000 XP untuk satu raid level 5.

Dan aku telah pergi selangkah lagi untuk memaksimumkan keuntungan. Aku menghidupkan Lucky Egg, menjadikan setiap XP yang aku dapat digandakan dua kali lagi. Malah, Lucky Egg akan kekal aktif selama 1 jam (biasanya hanya 30 minit) bermakna aku hanya perlu gunakan 3 Lucky Egg sepanjang 3 jam Hari Komuniti ini.

Dan sepanjang 3 jam Hari Komuniti, selain daripada menangkap sebanyak mungkin Squirtle, aku juga menyertai 3 kali raid Level 5 dan 1 kali raid level 2.

Dengan kata lain, untuk raid sahaja, aku mendapat;
3 x [2 (Lucky Egg) x 2 (bonus raid) x 10,000 XP] + 1 x [2 x 2 x 3,500 XP]
= 120,000 XP + 14,000 XP
= 134,000 XP,
satu angka yang sangat besar untuk diperoleh dalam masa 3 jam.

Namun, daripada 3 raid level 5 yang aku sertai, aku hanya berjaya tangkap hanya SATU Regice. Semuanya, sekali lagi, disebabkan telefon bimbit aku yang sangat lag, tersekat-sekat disebabkan oleh capaian internet yang, sekali lagi, amatlah mengecewakan terima kasih kepada pembekal talian internet yang sepatutnya semakin lama semakin bermutu servisnya namun tidak iaitu CELCOM.




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Squritle.


Seen: 204, Caught: 162

Menurut data, sebelum Hari Komuniti aku sudah tangkap 78 Squirtle. Selepas tempoh 3 jam Hari Komuniti ini, data menunjukkan aku sudah tangkap sejumlah 162 Squirtle. Bermakna, aku berjaya menangkap 84 Squirtle.

Pada pandangan aku, aku sepatutnya mampu untuk tangkap lebih banyak Squirtle. Namun semuanya disebabkan capaian internet yang bermasalah sepanjang masa membuatkan aku banyak buang masa restart aplikasi berkali-kali-kali-kali.


2. Tangkap paling kurang TIGA shiny Squirtle.

Aku berjaya tangkap ENAM shiny Squirtle dengan dua daripadanya adalah Squirtle yang memakain cermin mata hitam.


3. Tangkap paling kurang TIGA Squirtle Squad Squirtle.

Aku tidak kira berapa Squirtle Squad Squirtle yang berjaya aku tangkap tapi sudah tentu lebih daripada TIGA. Aku juga sudah evolusikan dua daripadanya kepada Wartortle dan Blastoise, malah masih mampu untuk membuat beberapa 'trade' dengan adik aku yang mahukan Squirtle Squad Squirtle juga.


4. Miliki paling kurang SATU shiny Squirtle Squad Squirtle.

Aku berjaya miliki DUA. Satu daripadanya sudah aku evolusikan kepada Blastoise yang memakai cermin mata hitam.


5. Kutip Experience Point (XP) sebanyak mana yang mampu.

Menurut data simpanan, aku berapa pada level 37 dengan XP 562,732 sebelum Hari Komuniti. Kemudian, selepas tamat Hari Komuniti, aku berapa pada juga level 37 namun dengan XP 880,756. Ini bermakna, sepanjang 3 jam Hari Komuniti itu, aku berjaya mengutip (880,756 - 562,732) XP = 318,024 XP dengan 134,000 daripadanya adalah melalui raid.




Kesimpulannya,
Hari Komuniti kali ini adalah antara Hari Komuniti yang paling produktif jikalau dilihat dari sudut mengumpul XP. Walaupun terpaksa menggunakan DUA Premium Pass Raid dan 3 Lucky Egg, aku langsung tidak rasa ralat kerana semuanya memang berbaloi.

Namun dari sudut menangkap Squirtle pula, aku rasa aku mampu untuk tangkap lebih lagi dan sepatutnya memiliki lebih banyak lagi shiny Squirtle. Entahlah. Aku sangat kecewa dengan capaian internet pada hari itu. Walaupun berada di tengah-tengah bandaraya, literally Kuala Lumpur City CENTRE (KLCC), namun capaiannya seperti berada di dalam hutan.

Sangat kecewa dengan Celcom.


Taman KLCC adalah tempat kegemaran aku untuk Hari Komuniti.




HARI KOMUNITI SETERUSNYA, BULAN OGOS

Disebabkan entri ini sedikit lewat untuk diterbitkan, perincian untuk Hari Komuniti yang seterusnya, iaitu untuk bulan Ogos sudah pun diumumkan pihak Niantic.

Walaupun para pemain dengan yakinnya meneka Pokémon seterusnya yang akan ditampilkan di dalam Hari Komuniti adalah daripada Generasi 3 seperti Ralts, Bagon ataupun Beldum, namun Niantic sambil bergelak ketawa menepis segala tekaan itu dengan mengumumkan bahawa Eevee akan menjadi Pokémon penampilan istimewa untuk hari Komuniti edisi bulan Ogos ini.


Sumber: Twitter @pokemongoapp


Namun, kali ini ada kelainan untuk Hari Komuniti ini. Hari Komuniti akan berlangsung selama DUA HARI iaitu pada 11 Ogos (Sabtu) dan 12 Ogos (Ahad). Walaupun masih mengekalkan konsep hanya 3 jam sahaja, namun dengan adanya hari kedua, para pemain bolehlah merancang berapa banyak Eevee yang perlu ditangkap kerana Eevee mempunyai 5 evolusi yang berbeza setakat ini di dalam permainan Pokémon GO.

Perincian mengenai Hari Komuniti bulan Ogos ini akan diumumkan apabila hampir pada tarikhnya nanti.

Pendapat aku, menjadikan Eevee sebagai watak utama untuk Hari Komuniti adalah langkah yang baik. Walaupun Eevee dan evolusinya bukanlah berada di kalangan yang hebat, namun Eevee adalah antara Pokémon yang istimewa dan Hari Komuniti memang layak diberikan bagi meraikannya.

Tapi rasanya, tujuan utama Niantic menjadikan Eevee sebagai Pokémon istimewa untuk Hari Komuniti bulan Ogos ini adalah ia merupakan sebahagian daripada promosi untuk permainan terbaru siri Pokémon yang akan dimula jual pada hujung tahun nanti, menampilkan Pikachu dan Eevee sebagai teraju utama dan dipanggil Pokémon Let's GO. Ini semua hanyalah promosi.



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Kalau umur panjang, episod Eevee bakal menyusul kemudian.

Buh-bye!
*sambil menunggang shiny Blastoise di parit air*





.

Jul 11, 2018

"Aku suka yang cerah..."





Salam.

Di satu majlis makan-makan,
aku berkesempatan duduk semeja bersama-sama beberapa orang.
Lelaki ada, perempuan ada.
Ada antara mereka bertaraf kawan, ada antara mereka hanya kenalan.
Namun, kami semeja ada satu persamaan; KAMI SEMUA MASIH BUJANG.

Jadi,
bila orang bujang duduk semeja, perkara yang dibualkan tidak seperti perbualan orang sudah berkahwin.

Entah bagaimana, perbualan kami sudah masuk ke topik 'ciri-ciri pilihan'.
Apakah ciri-ciri yang perlu ada pada (bakal) pasangan nanti.

"Aku nak yang kaya. Senang hidup!" Semua orang ketawa.
"Aku suka yang hitam manis," kata seorang ini.
"Aku lebih suka yang pandai memasak. Air tangan itu penting," kata seorang lagi.
"Aku tak suka sangat yang badan sado-sado ni. Geli~~!"

Kalau ikutkan, aku memang ada beberapa ciri yang menjadi pilihan aku.
Tapi bila sampai giliran aku, aku sudah tahu apa aku nak cakap.

Aku kata, "Aku suka yang cerah..."

"HAAH, ITULAH DIA! LELAKI!"
Tiba-tiba kata-kata aku dipotong oleh salah seorang ahli perbualan yang berlainan jantina.

"ASALKAN NAK PASANGAN, MESTI CARI YANG KULIT PUTIH, KULIT CERAH.
DAH KENAPA? JIJIK SANGAT KE YANG KULIT GELAP NI?"

Entah kenapa cik akak ni triggered.
Aku belum sempat habiskan ayat lagi, sudah kena hentam.

"SEBABKAN JENIS LELAKI MACAM NI LAH RAMAI PEREMPUAN LUAR SANA OBSES NAK PUTIHKAN KULIT. BELI SEGALA JENIS PRODUK PEMUTIH YANG ENTAH SELAMAT ENTAH TIDAK. BILA KULIT DAH JADI MAKIN TERUK, NAK MENYESAL PUN TAK GUNA! DAH TERLAMBAT!"

Sengaja aku guna HURUF BESAR untuk dialog dia.
Sebab nada percakapannya memang tinggi.
Walaupun gaya cakap dia seperti tuju ke semua lelaki yang berada di situ,
tapi sebab aku yang petik isu 'cerah' ni maka aku rasakan segalanya ditujukan kepada aku.

"KULIT PUTIH MELEPAK NI BUKANNYA BAIK SANGAT. BILA KULIT PUTIH, MAKNANYA MELANIN DALAM KULIT JADI KURANG. MELANIN BERFUNGSI MENGHALANG KITA DARIPADA KENA KANSER KULIT. NAK PUTIH SANGAT, NANTI DAPAT KANSER BARU PADAN MUKA."

Cik kak ni bersyarah cerita kanser kulit pula.
Dude, aku graduan biologi kot. Aku tahu semua itu.

"JANGAN NAK PANDANG SANGAT DEKAT WARNA KULIT. CANTIK TAK SEMESTINYA HATI BAIK. MUKA CANTIK TUA NANTI BERKEDUT JUGA. HATI BUSUK KALAU LAMA-LAMA JADI SEBATI TAK TENTERAM JIWA. NANTI SI LELAKI NI BARU NAK MENYESAL SANA SINI."

"TERIMALAH PEREMPUAN SEADANYA. JANGAN NAK LETAK SYARAT WARNA KULIT SANGATLAH!"

Kalian rasa jengkel tak aku taip guna huruf besar?
Macam itulah perasaan jengkelnya aku bila dengar dia melatah tak tentu pasal.
Bukan aku sahaja, kawan perempuan yang duduk kiri kanan dia pun sudah bertukar muka, mempersoal kenapa perlu beremosi ekstrem.
Aku kurang kenal si dia yang menyerang ini,
tapi aku dapat rasakan ini lebih kepada isu peribadi.
Aku langsung tidak diberi kesempatan mempertahankan diri.



YA.
Antara ciri-ciri pasangan pilihan aku untuk dijadikan isteri ialah berkulit cerah.
Tapi tidak ada kena mengena dengan isu rasis ke, isu keturunan ke, isu melanin dalam kulit ke, ini semua hanyalah satu pilihan.
It's only a matter of preference.

Ada orang suka yang hitam manis, itu tidak salah.
Maka, yang suka kulit cerah pun bukan satu kesalahan.

Ada orang suka yang pandai masak, itu pilihan dia.
Tiada pula orang lain nak melenting mempertahankan golongan yang tidak pandai masak.

Ada yang tidak suka berbadan sado. Tak mengapa.
Perlukah orang yang berbadan sado jadi beremosi dan hentam setiap individu yang tidak menjadikan mereka sebagai pilihan?

Sama juga seperti aku.
Aku suka yang berkulit cerah dan itu adalah pilihan aku.
Itu hanya satu preference.



Bagi mempertahankan diri,
biar aku ceritakan pengalaman aku suatu masa dahulu.

Semasa di sekolah rendah, aku menjadi salah seorang daripada hanya dua wakil darjah 4 untuk mewakili sekolah dalam acara olahraga peringkat zon (wakil lain semua pelajar darjah 5 dan darjah 6), maka aku terpaksa berlatih lari di padang hampir setiap hari.

Akibatnya,
kulit aku yang sedia ada gelap ini menjadi semakin gelap.
Darjah 4, mana mungkin aku tahu kepentingan pakai krim sunblock apa semua tu.

Disebabkan kulit terbakar dek selar matahari,
orang keliling aku ejek sebagai 'kicap', 'pak tam', 'k*ling' dan macam-macam lagi.
Kena ejek beramai-ramai, bertubi-tubi, berhari-hari.
Darjah 4, umur 10 tahun, dan aku diejek sedemikian rupa.
Rasa-rasa apa perasaan aku ketika itu?

Sudah tentu aku sedih. Aku malu.

Tapi oleh sebab aku sedar aku memang sedia ada berkulit gelap,
dan aku tidak ada kemampuan untuk mengubah fakta itu,
maka aku reda dan bertahan menahan segala kutukan.

Budak sekolah rendah ni, kalau mereka mengejek dan kita buat tak endah,
lama kelamaan mereka akan senyap (atau cari mangsa lain untuk diejek).
Itulah yang aku buat.
Aku diamkan mereka yang mengejek itu dengan kejayaan aku di bidang sukan DAN bidang akademik.

Tapi ejekan yang aku terima pada waktu itu cukup terkesan,
berparut di dalam hati aku.
Sampai ke hari ini.

Maka, aku berjanji pada diri sendiri.
Aku tidak mahu anak aku, zuriat aku,
melalui perkara yang sama dengan apa yang pernah aku alami.

Dan macam aku cakap, aku graduan biologi.
Jadi aku tahu kalau aku mahukan anak yang berkulit cerah,
aku perlu cari bakal ibunya yang juga berkulit cerah.
Sebab aku tahu, kalau ibunya berkulit gelap,
dan aku pun berkulit gelap,
maka anak yang lahir juga akan berkulit gelap
seterusnya menjadi mangsa ejekan anak orang lain apabila dia semakin besar kelak.

Dengan kata lain,
aku mencari pasangan yang berkulit cerah adalah kerana aku tidak mahu anak aku lalui pedihnya diejek berkulit gelap.

Sama macam orang yang suka kulit hitam manis kerana dia ada kenangan manis dengan orang yang berkulit hitam manis. Juga sama macam orang yang memilih yang pandai masak kerana dia tahu air tangan orang yang tersayang adalah yang terbaik. Sama juga dengan orang yang tidak sukakan yang berbadan sasa kerana pada pendapat dia, susuk tubuh sebegitu menggelikan.

It's just a matter of preference. Nothing more.
Semua ada pilihan masing-masing. Tiada isu pun sebenarnya.



Isu warna kulit selalu disensasikan kerana manusia langsung tidak menghormati pilihan orang lain.

Orang yang memperjuangkan kulit gelap disanjung tinggi, manakala yang memilih kulit cerah dikutuk dikatakan menindas. Manusia terlalu terikat dengan sejarah orang kulit hitam yang pernah dijadikan manusia kelas bawahan pada satu waktu dahulu sedangkan isu memilih pasangan hidup langsung tiada kaitan dengan isu perkauman, rasisme dan asal keturunan.

Aku tahu aku mungkin akan dibenci kerana keluarkan kenyataan sebegini,
tapi pada aku, mereka yang senang triggered bila petik isu warna kulit inilah sebenarnya yang ada masalah.
Kalau betul kita menilai manusia melepasi warna kulit,
maka tiada masalahpun kalau sesiapa nak pilih apa jenis warna kulit sekalipun sebagai pilihan, kan?



Berbalik kepada cerita cik akak yang triggered tadi,
oleh sebab aku bukanlah rapat manapun dengan dia,
jadi aku buat keputusan untuk berdiam diri dan langsung tidak pertahankan diri.
Kalau ikutkan, boleh bergaduh jadinya kalau aku bantah balik apa dia kata.
Isu kecil pun nak terasa sampai hentam orang begitu sekali.

Dan sebenarnya, apa yang aku nak kata (yang tidak habis tadi) ialah,
"Aku suka yang cerah, paling tidak dia kena lebih cerah daripada kulit aku."

Dan kepada yang pernah jumpa aku in real life, kalian akan tahu,
nak cari yang lebih cerah daripada kulit aku bukannya susah.
Majoriti perempuan adalah berkulit cerah daripada kulit aku sebab sudah sedia maklum KULIT AKU MEMANG GELAP.

Sekian.






.

Jul 9, 2018

PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Raksasa Tidur.



Salam.

Hi. Aku cEro.
Hujung minggu lepas adalah hujung minggu yang padat bagi pemain Pokémon GO.

Jumaat 6 Julai merupakan ulangtahun kedua aplikasi Pokémon GO dilancarkan. Sebagai meraikannya, Niantic selaku pembangun permainan aplikasi Pokémon GO melepaskan Pokémon istimewa, iaitu Pikachu yang memakai topi musim panas dan bercermin mata hitam.

Sabtu 7 Julai pula merupakan Hari Articuno (Articuno Day), di mana sebagai ganjaran utama kepada pusingan pertama Cabaran Global Professor Willow yang berlangsung pada 30 Jun dan 1 Julai yang lepas. Pada Hari Articuno ini, Pokémon lagenda burung ais Articuno akan menjadi Raid Boss level 5 di setiap PokéGym bermula jam 11 pagi hingga 2 petang, dan pemain akan dapat peluang memperoleh Articuno shiny.

Ahad 8 Julai pula merupakan Hari Komuniti (Pokémon GO Community Day) untuk bulan Julai, menampilkan Pokémon istimewa Squirtle. Shiny Squirtle akan dilepaskan bersama-sama dengan Squirtle yang memakai cermin mata hitam (dipanggil Squirtle Squad Squirtle) yang juga ada varian shiny-nya tersendiri.

Namun,
hari ini aku tidak akan bercerita tentang 3 hari di atas. Kali ini, seperti bulan-bulan lepas, aku akan bercerita tentang Penyelidikan Lapangan yang menampilkan Pokémon istimewa sebagai ganjarannya.






Selamat datang ke episod baru Penyelidikan Lapangan.

Sila baca episod sebelum ini:
1 - Episod Burung Api Lagenda.
2 - Episod Burung Elektrik Lagenda.
3 - Episod Burung Ais Lagenda.

Dan seperti biasa, pemberitahuan:
Ini adalah entri yang sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.

FIELD RESEARCH (Penyelidikan Lapangan) adalah salah satu feature di dalam Pokémon GO di mana pemain perlu menyelesaikan tugasan yang didapati apabila memusing cakera gambar di PokéStop. Setiap tugasan ada ganjarannya sendiri, dan apabila dapat diselesaikan, pemain akan diberi cop tarikh. Cop tarikh hanya diberi satu setiap hari dan apabila berjaya mengumpul 7 cop tarikh, maka ada ganjaran yang lebih besar akan diberi.

Sejak Penyelidikan Lapangan diperkenalkan, ganjaran besar yang diberikan selepas berjaya mengumpul 7 cop tarikh adalah peluang menangkap Pokémon Lagenda. Moltres untuk bulan April lepas, Zapdos untuk bulan Mei dan Articuno untuk bulan Jun. Selepas selesai ketiga-tiga Pokémon Burung Lagenda, maka pemain Pokémon GO mula meneka-neka Pokémon apakah yang bakal dijadikan ganjaran untuk Penyelidikan Lapangan.

Pada 27 Jun yang lalu, jawapan untuk 'teka-teki' itu sudah dijawab Niantic. Satu pengumuman muncul di slot 'News' (Berita) di dalam Pokémon GO. Pokémon yang akan menjadi ganjaran kepada Penyelidikan Lapangan pada bulan Julai ini ialah SNORLAX.






Bagi yang tidak baca pengumuman di atas, Niantic memberitahu untuk bulan Julai, tugasan Penyelidikan Lapangan lebih fokus kepada Pokémon dari wilayah Kanto (Generasi I) dengan ganjaran untuk tugasan itu mungkin akan diberikan peluang menangkap Pokémon daripada Generasi I seperti Pikachu, Ditto dan Eevee.

Juga diumumkan, Snorlax akan menjadi ganjaran besar selepas mengumpul 7 cop setem tarikh. Snorlax ini akan memiliki Body Slam sebagai serangan. Serangan Body Slam pernah dimiliki Snorlax pada awal permainan dahulu, dan kemudian dibuang. Maka, serangan Body Slam diiktiraf sebagai satu serangan legasi (Legacy Move)

Ini menjadikan Snorlax yang diperoleh daripada ganjaran Penyelidikan Lapangan tidak sama dengan Snorlax yang dijumpai di keliaran.

Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pemain berpendapat Snorlax sebagai ganjaran adalah tidak patut. Banyak menjangkakan selepas Pokémon Burung Lagenda, maka akan disusuli dengan Pokémon Anjing Lagenda (Entei, Raikou dan Suicune). Lagipun, kebanyakan pemain sudahpun memiliki Snorlax di dalam simpanan. Pertambahan Snorlax lagi tidak akan memberikan kebaikan apa-apa.

Namun, pada aku, inilah peluang untuk mengumpul Snorlax candy memandangkan ganjaran ini TIDAK AKAN LARI DARI DITANGKAP. Maka, pemain boleh beri makan Pinap Berry dan mendapat dua kali ganda ganjaran candy.

Tanpa berlengah masa, pengembaraan aku untuk menangkap Snorlax pun BERMULA!


------------------------- ------------


Setelah dikira, hari pertama aku untuk mengumpul 7 cop setem bertarikh memasuki bulan Julai adalah pada 30 Jun 2018. Untuk makluman, semenjak Penyelidikan Lapangan diperkenalkan (pada bulan April), aku masih belum pernah terlepas mengumpul cop setem bertarikh.












Selepas menyelesaikan satu tugasan pada hari ketujuh (6 Julai, Jumaat), maka muncullah muka yang akan aku nampak seminggu sekali ini.




Dan seterusnya memberikan aku kotak terkandung ganjaran daripada hasil kumpul cop setem bertarikh setiap hari.




Selepas ditekan, diberikan beberapa ganjaran lain (XP, bola dan berry) sebelum berpindah ke ruang untuk peluang menangkap Pokémon, iaitu Snorlax.





Untuk nota, semua Pokémon yang diperoleh daripada ganjaran tugasan ataupun ganjaran besar berada di level 15. 100% Invidual Value (IV) untuk Snorlax padda level 15 ialah Combat Power (CP) 1438. Bermakna, semakin menghampiri CP 1438, semakin tinggi IV Snorlax yang kita dapat.

Dalam kes Snorlax tangkapan ganjaran pertama aku ini, IV-nya teruk.

Tak apa.
Daripada pengiraan, jika dan hanya jika aku tidak terlepas mengumpul cop setem bertarikh setiap hari tanpa gagal, maka aku ada TIGA lagi peluang untuk mendapatkan Snorlax dengan serangan legasi Body Slam dengan IV yang lebih baik.



Ulasan.

Snorlax mungkin bukanlah mengujakan seperti ganjaran Pokémon Burung Lagenda sebelum ini, namun Snorlax adalah antara Pokémon yang diiktiraf sebagai meta dalam permainan.

Mempunyai HP yang tinggi berbanding Pokémon lain, Snorlax sesuai dijadikan Pokémon pertahanan di PokéGym jika mempunyai CP dan Stat Pertahanan yang tinggi.

Namun, membela Snorlax daripada level 15 ke level (max) 40 memerlukan pemain untuk 'Power-Up' 50 kali. Ini memerlukan jumlah Stardust dan Snorlax candy yang banyak. Sebab itu lebih ramai pemain gemar menggunakan Snorlax yang mereka jumpai di keliaran (atau dapat daripada tetasan telur 10 km pada level 20) daripada membelanya dari level 15.

Tapi itu tidak menjadikan Snorlax sebagai ganjaran adalah merugikan. Kita tidak pernah rugi untuk dapat tambahan satu Snorlax setiap minggu memandangkan Snorlax bukanlah Pokémon yang tidak berguna pun.

Paling tidak, Snorlax BOLEH diletakkan di dalam PokéGym sebagai 'defender' berbanding Pokémon Lagenda yang TIDAK BOLEH diletakkan di dalam PokéGym.

Kedatangan Snorlax sebagai ganjaran untuk Penyelidikan Lapangan menjadikan proses untuk meneka apakah Pokémon yang akan menggantikannya di bulan Ogos nanti. Kini, calon-calonnya terbuka kepada semua termasuklah Pokémon Lagenda dan Pokémon-Pokémon yang bersifat meta di dalam permainan.

Apa-apapun, persoalan hanya dapat terungkai pada waktu menghampiri Ogos nanti, dengan harapan tiada Snorlax yang menghalang jalan.





Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Lapangan di bulan hadapan.
Selamat menjalankan penyelidikan!





.

Jul 6, 2018

Ant-Man and The Wasp. BERBALOIKAH? [Bebas Spoiler]



Salam.

Selamat datang ke segmen 'Berbaloikah?', satu segmen di mana aku mempersoal keberbaloian sesuatu perkara.
Kali ini kita akan meninjau adakah Ant-Man and The Wasp berbaloi ditonton?


Poster Ant-Man and The Wasp
credit Marvel [instagram @marvel]



Ini adalah review tanpa spoilers.
Aku benci spoiler, jadi aku sendiri tidak akan buat benda yang aku benci.
Kalau kalian belum pergi menonton Ant-Man and The Wasp, kalian boleh baca entri ini dengan aman tanpa perlu risau.

Ant-Man and The Wasp adalah filem dalam siri francais filem Marvel Cinematic Universe (MCU) yang ke-20, dan merupakan sekuel kepada filem Ant-Man (2015).
Tona cerita francais Ant-Man berbeza daripada filem di dalam MCU yang lain. Siri filem Ant-Man lebih kepada komedi adiwira yang lebih sesuai ditonton semua lapisan masyarakat termasuk seisi keluarga tanpa mengandungi babak-babak kejam dan menggelikan.



Ant-Man
credit Marvel [instagram @marvel]



Siapa Ant-Man?

Jujur aku kata, aku hanya tahu Ant-Man apabila muncul filem The Avengers (2012). Disebabkan aku mahu tahu lebih lanjut mengenai Avengers, maka aku buat carian di Google dan mendapati di dalam siri komik, Ant-Man adalah antara pengasas awal inisiatif Avengers ini. Namun, disebabkan MCU ada 'alam' mereka sendiri, maka Ant-Man hanya muncul di layar perak selepas Avengers : Age of Ultron (2015) sekaligus menutup Fasa 2 untuk kesinambungan MCU sebelum masuknya Fasa 3.

Para pengikut MCU mula diperkenalkan dengan Ant-Man pada tahun 2015. Daripada nama adiwira itu sendiri dapat kita tahu bahawa Ant-Man mempunyai kuasa yang berkaitan dengan semut. Lebih tepat lagi, Scott Lang, seorang bekas banduan atas kesalahan mencuri diberi kepercayaan memakai suit khas teknologi Pym ciptaan Hank Pym (yang kemudiannya diperkenalkan sebagai Ant-Man yang original) yang membolehkan pemakai suit itu berubah saiz sesuka hati sama ada menjadi besar dan menjadi kecil hanya dengan menekan satu butang. Ketika menjadi kecil, pemakai suit Ant-Man mempunyai kuasa berlipat kali ganda berbanding ketika bersaiz normal, menjadikan kerja menewaskan musuh lebih mudah pada saiz mini. Tambahan lagi, pemakai suit Ant-Man mampu berkomunikasi dengan semut, sekaligus menjadikan serangga kecil itu sebagai bala tentera yang berkhidmat bawah arahannya.

Aku ingat lagi, filem Ant-Man ditayangkan pada masa Hari Raya Aidilfitri, maka seisi keluar 'beraya' ke panggung wayang menontonnya. Jadi tidak salah kalau aku katakan siri filem Ant-Man amat dengan dekat dengan aku. Malah, masa kecil dahulu aku pernah ada satu keinginan untuk ada kuasa jadi kecil, terima kasih kepada filem 'Honey, I Shrunk The Kids' (1989) yang menjadi antara filem kegemaran aku pada ketika itu.

Dengan kenangan yang terikat, dibantu juga oleh tona cerita yang 'fun', ceria dan penuh komedi, filem pertama Ant-Man menjadi antara filem MCU yang aku gemari.



Ant-Man and The Wasp.
credit Marvel [instagram @marvel]



Adakah perlu layan seluruh MCU sebelum pergi tengok Ant-Man and The Wasp?

Pada pendapat aku,
dapat layan keseluruhan jalan cerita filem MCU sebelum menonton Ant-Man and The Wasp adalah paling baik. Namun, sekiranya ia terlalu berat untuk dilakukan (atau sudah terlambat), maka cukup sekadar layan DUA filem ini:

- Ant-Man (2015) kerana Ant-Man and The Wasp adalah sekuel kepada filem ini, dan
- Captain America : Civil War (2016) kerana Ant-Man juga ada peranan di dalam filem ini.

Dua filem ini adalah penting untuk kalian tangkap apa yang mahu disampaikan di dalam Ant-Man and The Wasp. Filem Ant-Man yang pertama wajar ditonton supaya kalian dapat bezakan tona cerita Ant-Man yang (sekali lagi aku tekankan) lebih bersifat komedi ringan keluarga berbanding filem MCU yang lain.

Manakala, filem Captain America: Civil War pula penting untuk ditonton sebelum menonton Ant-Man and The Wasp kerana sekuel kedua Ant-Man ini sangat berat merujuk kepada akibat daripada perbuatan Scott Lang yang menyertai pasukan Captain America di dalam Civil War.

Tapi, pada pandangan aku,
jika kalian langsung tidak layan mana-mana filem MCU (atau paling kurang dua filem yang aku tekankan tadi), Ant-Man and The Wasp masih boleh ditonton, dilayan, dan difahami jalan ceritanya. Cuma, kalian mungkin akan ada banyak persoalan selepas menontonnya nanti.






Sinopsis.

Tindakan Scott Lang menyertai pasukan Captain America di dalam Civil War sebagai Ant-Man menarik pandangan seluruh dunia dengan kewujudan Ant-Man yang selama ini langsung tidak mahu menonjolkan diri. Akibatnya, Scott Lang diperintah menjadi tahanan rumah selama 2 tahun. Tindakan Scott Lang itu juga mengakibatkan Hank Pym dan anaknya Hope Van Dyne menjadi pelarian dan teknologi Pym yang mencipta suit yang mampu menukar saiz pemakai mula diburu ramai pihak termasuklah pihak penjahat.

Namun, berlaku sesuatu yang menyebabkan Scott Lang, Hank Pym dan Hope Van Dyne perlu bersatu dan bekerjasama kembali. Malah, kemunculan musuh yang hebat diberi jolokan 'Ghost' lebih memburukkan keadaan. Bagi menyelesaikan masalah yang timbul, Scott Lang sekali lagi mengambil mantel sebagai Ant-Man, namun kali ini dibantu oleh pasangannya Hope Van Dyne yang mengambil watak sebagai The Wasp.

Bersama-sama, Ant-Man dan The Wasp menyelesaikan satu persatu masalah yang timbul.

Ant-Man and The Wasp memiliki DUA babak selepas kredit dan kedua-duanya adalah sangat penting untuk kesinambungan cerita MCU (bergantung kepada pemahaman kalian terhadap jalan cerita MCU)



The Ghost.



Ghost?

Sesebuah filem adiwira hanya dinilai daripada berapa bagusnya watak antagonisnya. Sudah tentu, watak utama dinilai dengan kekuatannya menumpaskan musuh. Watak yang kuat mampu menumpaskan musuh yang kuat. Jika musuh lemah, tiada guna adanya watak utama yang kuat, kan?

Untuk filem Ant-Man and The Wasp ini, antagonis utamanya ialah Ghost. Ghost memiliki keupayaan untuk menembusi objek legap seperti hantu menembusi dinding rumah.

Filem-filem di MCU dahulunya dilabel sebagai memiliki watak musuh yang lemah atau tidak diberikan plot yang lebih mendebarkan. Namun, pada dua filem sebelum ini, watak Erik Killmonger untuk filem Black Panther dan watak Thanos untuk filem Avengers: Infinity War dibawa dengan sangat hebat dan kuat sehinggakan watak Ghost (Ava Starr) di dalam Ant-Man and The Wasp ini mendapat ekspektasi yang tinggi.

Namun, jika penonton cuba nak bandingkan dengan watak Erik Killmonger dan watak Thanos, sudah tentu watak Ghost akan kalah. Bukan kerana pelakonnya tidak pandai bawa watak, dan juga bukan kerana plot cerita untuk watak itu lemah, namun kerana Ghost sebenarnya BUKAN MUSUH. Ghost hanyalah satu watak yang muncul hanya kerana mahu menyelesaikan masalah sendiri yang dihadapinya.

Pada aku, Ghost adalah satu watak yang sangat hebat. Dengan kemampuan menembusi apa sahaja, maka dengan mudah dia dapat menewaskan kedua-dua Ant-Man dan The Wasp bersama-sama. Masakan tidak, bagaimana Ant-Man mahu tumbuk badan yang tidak dapat dipegang dan bagaimana The Wasp mahu tendang jasad yang telus?

Kuasa Ghost amat hebat. Lakonan pelakonnya, Hannah John-Kamen juga langsung tidak mengecewakan. Suit yang dipakai oleh Ghost, secara peribadi, adalah suit terbaik yang pernah aku nampak di dalam filem adiwira.

Aku cuma harap Ghost akan muncul lagi selepas ini di dalam MCU.



BERBALOIKAH?

Sebagai peminat filem MCU, Ant-Man and The Wasp perlu ditonton. Sebagai peminat siri filem Ant-Man, sekuel ini wajib ditonton.

Tapi adakah ia BERBALOI untuk ditonton di wayang?
Jawapannya, SUDAH TENTU.

Aku dapat tonton filem ini pada hari pertama tayangan di Malaysia (4 Julai 2018) dan aku kena keluarkan RM 17 untuk harga tiket. RM 17 (pada aku) sedikit mahal disebabkan aku mampu dapat harga yang lebih rendah jika tonton di waktu tidak puncak (seperti sebelum tengahari). Tapi aku langsung tidak ralat berbelanja RM 17 untuk tiket itu kerana pada aku, IA BERBALOI.

Sudah tentu filem ini tidak dapat menandingi kehebatan filem sebelumnya, Avengers: Infinity War tapi pada aku kedatangan filem ini yang (sekali lagi) bertona ceria dan komedi selepas kita semua diserang kemurungan selepas menonton Infinity War adalah TEPAT.

Filem ini BUKAN bertujuan mahu menandingi Infinity War, sebaliknya mahu meredakan ketegangan hasil daripada penamat Infinity War yang tidak disangka itu. Ant-Man and The Wasp ini adalah 'penawar' kepada ketidakpuasan hati dan penantian satu tahun lagi sebelum filem Avengers 4.

Berdurasi 118 minit, kurang dua jam, dan dipenuhi dengan komedi, gelak tawa, grafik yang hebat, jalan cerita yang tidak meleret dan babak aksi yang mendebarkan, Ant-Man and The Wasp SANGAT BERBALOI untuk diluangkan masa ditonton.

Adakah filem ini berbaloi untuk bukan peminat MCU?

Filem ini santai dan tidak berat, sesuai ditonton bersama siapa sahaja sama ada kawan, pasangan, keluarga, malah amat sesuai ditonton bersama budak kecil yang dahagakan aksi adiwira. Pada aku, filem ini BERBALOI tidak kira sama ada kalian peminat atau bukan peminat MCU.

Filem ini juga BERBALOI untuk diulang tonton, mungkin bersama dengan teman yang berbeza bagi mendapatkan suasana dan penelitian babak yang berbeza.






Walaupun menjadi tahanan rumah akibat daripada satu keputusan yang tidak pernah disesalinya, Scott Lang tidak serik dan sekali lagi memikul tanggungjawab sebagai adiwira pelbagai saiz Ant-Man. Namun kali ini Ant-Man tidak keseorangan. Dia kini bersama-sama dengan pasangannya The Wasp, mencari jawapan di ruang kuantum antara molekul dan dalam masa sama menahan serangan daripada musuh baru yang langsung tidak lut serangan. Bagaimanakah pasangan ini berusaha untuk maju ke hadapan?

Saksikan Ant-Man and The Wasp yang ditayangkan di seluruh negara bermula 4 Julai 2018.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License