Salam.
Hari Jumaat. Hari di mana paginya lebih indah berbanding pagi hari lain. Hari di mana waktu rehat tengaharinya lebih panjang berbanding empat hari sebelumnya. Hari di mana produktiviti para pekerja berada di paras paling bawah disebabkan bakal datangnya hujung minggu Sabtu dan Ahad pada keesokan.
Aku berada di luar. Berada di bawah sinar matahari yang terik sambil menunggang motosikal melalui jalan kawasan perumahan. Tiada angin, tiada awan, panas yang datang tepat sasarnya 150 juta kilometer dari Sol jatuh ke arah aku. Peluh seluruh badan pun tidak dapat dirasai kerana sudah tersejat dek panas yang tidak dapat dielak.
Aku berhenti berteduh seketika di bawah redup bayang pokok di penjuru satu simpang empat kawasan perumahan itu. Aku memeriksa telefon bimbit andai ada sesuatu yang memerlukan perhatian. Silau cahaya membuatkan aku meningkatkan darjah kecerahan. Tiada apa-apa di skrin telefon, hanya notifikasi daripada beberapa aplikasi yang tidak aku dilayani.
Tiba-tiba kedengaran bunyi pekikan meminta tolong. Bukan daripada manusia, tapi daripada binatang.
Aku hidup cukup lama dengan binatang, terutamanya kucing, untuk kenal jenis bunyi yang dikeluarkan mereka. Tidak syak lagi, ini adalah bunyi meminta tolong daripada seekor haiwan. Haiwan berkaki empat, tapi bukan haiwan yang biasa bagi aku.
Ini bunyi daripada seekor anjing.
Aku memerhati sekeliling. Tiada tanda kewujudan apa-apa hidupan. Namun bunyi meminta tolong itu seperti sangat dekat, sangat dekat seolah-olah memang ia khusus untuk memanggil aku. Aku turun daripada motosikal dan berjalan menuju ke longkang di sekitar rumah tepi simpang. Aku menjenguk ke bawah longkang.
Tidak syak lagi, ada seekor anak anjing sedang memekik meminta tolong di bawah longkang itu.
"Macam mana boleh ada anak anjing dekat bawah longkang tu?" tanya aku kepada diri sendiri.
Anak anjing itu tidak cedera, hanya terperangkap di bawah longkang. Mungkin anak anjing itu terpisah dengan kumpulan keluarga dia dan kemudian terjatuh ke bawah longkang ini. Nasib baik longkang itu tidak terlalu dalam dan agak kering. Namun, memang mustahil bagi anak anjing sekecil itu untuk keluar dari dalam longkang itu tanpa bantuan sesiapa.
"Tak ada orang lain yang boleh bantukah?" sekali lagi aku bermonolog.
Sekarang tengah lewat tengahari. Ini kawasan perumahan. Orang yang berkerja masih belum balik dari tempat kerja. Orang yang tidak bekerja tiada sebab untuk berada di luar rumah pada masa cuaca seterik ini. Memang logik kawasan itu tiada langsung orang yang berkeliaran pada waktu itu.
"Cis, apa patut aku buat?" monolog masih belum habis.
Aku pandang anak anjing itu. Anak anjing itu membalas pandangan. Anak anjing itu sudah tidak memekik meminta tolong, mungkin kerana sedar kewujudan aku di situ. Walaupun bulunya hitam, tapi nampak jelas matanya berkaca. Mungkin ini apa yang dikatakan orang barat dengan istilah 'puppy face'.
Aku tidak tinggal di kawasan perumahan itu. Aku juga tidak kenal akan anjing itu, apatah lagi siapa tuan dia. Malah, aku langsung tiada pengalaman mengendali anjing. Anjing adalah antara haiwan yang menakutkan aku. Masa aku kecil, banyak kali aku dikejar anjing tanpa sebarang sebab munasabah. Pada aku, aku tiada keperluan untuk menyelamatkan anak anjing itu.
Aku kembali ke motosikal aku dan hidupkan enjin. Pakai kembali topi keledar, masuk gear satu dan kemudian terus tinggalkan simpang empat itu. Pada aku, akan ada manusia lain yang akan menyelamatkan anak anjing itu keluar dari longkang. Tapi manusia itu bukan aku.
10 minit sudah berlalu.
Di atas motosikal sambil menunggang namun fikiran aku berada di tempat lain. Lebih spesifik, berada di longkang tepi simpang empat tempat anak anjing tadi ditinggalkan sendirian. Di telinga aku patut terdengar bunyi angin yang masuk ikut celah topi keledar melawan arus kelajuan tunggangan, namun apa yang aku dengar hanyalah pekikan anak anjing tadi meminta tolong.
PIN! PIN!
Sekali lagi aku dihon oleh kenderaan di belakang apabila mengelamun tidak sedar lampu isyarat sudah hijau. Ini kali kedua aku dihon atas kesalahan yang sama dalam tempoh 10 minit itu. Aku langsung tidak fokus berada di atas jalan raya.
"Huhhh!"
Aku mengeluh dan berhenti di tepi jalan. Aku buka topi keledar dan sekali lagi menghembus keluhan yang lebih panjang.
"Benda inilah yang akan buat aku tak boleh pejam mata nak tidur malam nanti."
Tidur malam adalah satu sesi yang amat penting bagi aku (dan seluruh manusia) kerana ia menentukan mood aku pada keesokan harinya. Kalau berkualiti tidur malam aku, maka berkualitilah seluruh hari esok aku. Jika tidak, maka rosaklah seharian.
Dan perkara remeh seperti 'meninggalkan anak anjing yang meminta tolong terperangkap di dalam longkang' adalah antara perkara yang bakal membuatkan aku susah mahu pejam mata, menjadikan tidur malam aku tidak berkualiti sekaligus merosakkan hari esok. Hari esok adalah hari aku bersama keluarga. Hari tersebut tidak boleh rosak.
Di tepi jalan, dengan berderu pantas kenderaan melintas, aku buka aplikasi Google di telefon bimbit dan menaip 'samak pegang anjing' di ruangan carian. Aku sedar, topik penyucian ada diajar dahulu di sekolah (tidak silap) pada tingkatan 2 dalam subjek Pendidikan Agama Islam. Tapi, sekarang dan umur aku di tingkatan dua sudah berlalu beberapa abad maka sel-sel otak langsung tidak berhubung kerana ilmu yang diajar itu langsung tidak pernah diamalkan.
Lagi membuatkan aku terasa bodoh adalah, perkataan sebenar yang patut aku cari adalah 'sertu', bukannya 'samak'.
SAMAK adalah perbuatan menyucikan sesuatu seperti kulit binatang menggunakan bahan yang bersifat tajam dan meluntur. Kita samak kulit kambing sebelum dijadikan sebagai bahan dalam pembuatan kompang. SERTU pula adalah menyucikan sesuatu bahan apabila terkena najis berat (najis mughalazah). Aku perlu sertu tangan aku apabila memegang anak anjing yang bakal aku selamatkan nanti.
Nasib baik dalam senarai keputusan carian Google tadi ada menekankan perbezaan dua proses penyucian ini. Kalau ustazah aku tahu aku lupa akan semua ini, tentu dia akan kecewa dengan aku.
Untuk menyertu, aku perlu basuh tempat yang terkena najis (dalam kes aku, tangan) dengan tujuh kali basuhan; satu kali menggunakan air tanah dan 6 kali menggunakan air mutlak.
"Bila balik rumah nanti, aku boleh cari air tanah memandangkan belakang rumah aku ada kebun kecil." Aku merancang.
"Tapi, selepas aku selamatkan anak anjing itu nanti, sudah pasti dengan menggunakan tangan yang sama, aku akan sentuh topi keledar, kunci motosikal, pemegang, pemicu, punat lampu signal, sampai rumah aku kena sentuh tombol pintu, kasut, stokin, nak sediakan air tanah kena sentuh gayung, baldi, pengorek tanah. Itu belum tentu tanah yang mahu aku jadikan air itu bersih atau tidak memandangkan kawasan rumah aku banyak dengan kucing dan haiwan lain."
Aku sedar aku terlampau jauh menganalisa keadaan. Aku overthink.
"Alangkah bagusnya kalau aku boleh selamatkan anak anjing itu tanpa perlu menyentuhnya."
Di tepi jalan itu, mata aku ligat melilau mencari barang yang boleh dijadikan pengganti tangan aku. Jika ada barang yang boleh digunakan untuk memegang anak anjing tadi, aku tidak perlu lalui segala proses susah payah mahu sertu tangan sendiri.
Mata aku tertancap ke arah sesuatu berwarna biru yang berada di atas tanah berdekatan.
"Adakah ia benda yang aku fikir adalah ia?"
Aku menghampiri objek itu. YA. TIDAK SALAH LAGI. Objek biru itu adalah kain bendera sebuah parti politik yang kalah teruk pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas. Jatuh ke tanah dan tidak dipeduli orang ramai, nasib bendera itu sama dengan simbol yang diwakilinya.
Aku pun mengambil kain bendera itu dan melipatnya. Niat aku mahu jadikan kain itu sebagai alas antara tangan aku dan anak anjing nanti. Paling tidak, bendera itu akan berbakti sebelum terus mereput diabaikan, kan?
"Huuuhhhh!"
Panjang aku menghembus nafas, sebelum aku kembali sarungkan topi keledar dan menghidupkan enjin motosikal. Bersama-sama dengan kain biru yang dilipat di dalam bakul, aku berpatah balik ke kawasan perumahan tadi dengan satu misi:
MALAM INI AKU MAHU TIDUR NYENYAK!
Dicongak matematik mudah di dalam kepala, sudah hampir 30 minit selepas aku meninggalkan tempat kejadian tadi. Hati kecil aku berharap dalam tempoh masa yang agak lama itu, sudah ada manusia lain yang menyelamatkan si mamalia kecil itu. Kalau itulah yang terjadi, maka aku tidak perlu bersusah payah untuk semua itu lagi.
Tapi tidak.
Sesampainya aku ke longkang itu, masih kedengaran anak anjing tadi memekik meminta tolong. Aku berkali-kali pastikan bahawa input audio itu adalah asli dan bukannya hasil gemaan dalam benak kepala aku sendiri. Ya. Ia asli. Anak anjing itu masih berada di bawah longkang, memekik meminta tolong.
Sekali lagi aku intai ke kiri dan ke kanan berkali-kali jika ada orang yang yang boleh membantu. Tapi tiada. Aku pasrah. Memang Tuhan Yang Maha Besar menjadikan anak anjing terperangkap ini sebagai ujian untuk aku tangani.
Antara perkara yang aku belajar sebagai pelajar biologi di zaman universiti dahulu adalah 'latihan imej'. Latihan Imej (Image Training) adalah satu konsep di mana kita akan melakukan sesuatu menggunakan imej mental (bayangan di dalam kepala) dan dilakukan berkali-kali supaya apabila kita akan melakukannya di dunia nyata, perlakuan itu tidak lagi akan kekok dan terasa baru.
Dengan latihan imej, aku turun ke bawah longkang, menghampiri anak anjing itu, dan selubung dia dengan tenang menggunakan kain bendera tadi dan mengangkatnya ke atas sebelum melepaskannya, dan aku ulang berkali-kali. Aku yakinkan diri aku yang aku boleh buat. Selepas cukup keyakinan, aku pun menghembuskan nafas panjang tanda sudah bersedia.
Aku turun ke dalam longkang. Nampak rendah, tapi kalau salah mendarat, kaki berisiko untuk terpelecok memandangkan longkang tadi tidak rata permukaannya. Tapi aku selamat mendarat. Perlahan-lahan aku menghampiri anak anjing tadi. Anak anjing itu sudah berhenti memekik, tapi dia kini sudah bertukar bunyi.
Anak anjing itu mengetap giginya dan berderam seperti mahu mempertahankan diri.
"Oh, defecation!" Aku menyumpah, mencarut.
Dalam latihan imej aku, aku tidak sertakan sekali kemungkinan anak anjing itu akan menggigit. Aku fikir, sebab dia memekik meminta tolong, maka dia akan terima segala pertolongan yang akan diberikan. Aku lupa, perangai semulajadi seekor anjing adalah bersifat autoriti dan mempertahan. Anak anjing yang tidak kenal siapa bakal penyelamatnya, mungkin akan menyerang dengan gigitan sebagai satu pertahanan diri.
Peribahasa 'melepaskan anjing tersepit' tidak muncul sendiri. Seseorang mesti pernah lalui perkara seperti yang aku sedang fikirkan ini.
Kalau dengan kucing, aku pandai memujuk dengan mengeluarkan bunyi cicak 'chuk, chuk, chuk'. Tapi dengan anjing aku tidak tahu apa bunyi yang patut aku keluarkan. Berkali-kali aku memujuk, memberitahu bahawa aku hanya mahu menolong, tapi anak anjing itu, yang kini sudah aku namakan sebagai Mike, masih lagi berderam dan mengetap gigi dengan kedudukan badan seperti bersedia mahu menyerang.
Buntu. Aku naik semula ke atas.
Sekali lagi aku bertimbang untuk terus berlalu pergi dan tinggalkan Mike sekali lagi. Tapi aku betul-betul mahukan tidur yang lena malam ini, tambahan lagi seluar dan kasut aku sudahpun kotor disebabkan masuk ke dalam longkang tadi.
Nak tak nak aku kena teruskan.
Mike sunyi tanpa pekikan meminta tolong. Aku berdiri tegak di bawah bayang sebatang pokok di situ. Di dalam kepala, aku ligat memikirkan bagaimana cara terbaik boleh aku lakukan untuk menyelamatkan Mike. Kali ini aku masukkan sekali kebarangkalian bahawa Mike tidak memberi kerjasama.
Dengan permukaan longkang yang tidak sekata, dengan sebahagiannya penuh dengan daun kering yang berguguran, serta terdapat bahagian yang bertakung air, maka aku rumuskan adalah mustahil untuk aku lakukan usaha ini seorang diri.
Nak tak nak, aku kena tebalkan muka meminta pertolongan orang lain.
Setelah berjalan beberapa rumah meninjau andai ada sesiapa yang boleh aku minta tolong, aku sampai ke sebuah rumah. Terdapat seorang ibu berbangsa Cina bersama-sama dengan dua orang anak kecil. Dengan hormat, aku mula sapa dan menceritakan segala yang berlaku. Katanya, dia sudah lama dengar bunyi anak anjing (meminta tolong) tapi tidak tahu bunyi itu berasal dari mana. Dia juga, katanya, takut dengan anjing dan daripada bahasa tubuhnya aku dapat jelaskan yang dia memang tidak mahu menolong.
Kebetulan, jiran sebelahnya, seorang pakcik berbangsa India mendengar perbualan kami. Dia bersedia untuk membantu. Selepas bertanya di mana kedudukan anak anjing itu (Mike), dia minta diberi sedikit masa untuk bertukar pakaian.
Aku kembali ke longkang tadi. Mike masih di bawah sana, memandang dengan mata besarnya. Dasar anjing, bila aku nak tolong tadi tidak mahu beri kerjasama, sekarang nak pandang aku dengan pandangan sedemikian.
2 minit kemudian, pakcik tadi (yang aku sudah panggil Uncle) pun datang. Aku menunjukkan Mike kepadanya, dan wajahnya kelihatan berubah.
"Wah, ini anjing baka baik ni. Ini anjing Rottweiler."
Rottweiler. Aku selalu dengar tapi tak tahu nak kenalpastinya bagaimana. Katanya, anjing jenis Rottweiler ini adalah antara yang paling setia, dan jika memerlukan, akan bertindak ganas bergantung kepada ancaman. Patutlah Mike menderam ke arah aku ketika aku menghampirinya. Sudah itu memang 'nature' dia.
Uncle tadi mencadangkan aku untuk berada di satu sudut longkang dan sedikit demi sedikit memaksa Mike untuk bergerak. Uncle itu akan menunggu di arah satu lagi. Jika Mike lari ke arah Uncle, Uncle akan tangkap dan angkat. Jika Mike tidak bergerak, aku pula kena sambar dan angkat Mike ke atas secepat mungkin.
"Anjing jenis ini garang. Be careful," Uncle nasihat.
Uncle kata tangan dia sedikit lemah terutamanya bahagian bahu akibat pernah kemalangan satu tika dahulu, maka agak susah untuk dia turun ke bawah longkang. Aku mempelawa bantuan, tapi Uncle berjaya turun dengan usaha sendiri. Aku juga pelawa kain bendera untuk dipotong sebagai lapik untuk pegang Mike nanti, tapi Uncle menolak. Katanya, aku lebih perlukannya.
Seperti yang dirancang, kami berdua mengepung Mike dari kiri dan kanan. Sedikit demi sedikit kami menghampiri. Mike sedar diri terperangkap dan bakal ditangkap, maka dia mula menyalak (seperti anjing biasa). Jauh sudut hati aku, aku mahu Mike berlari ke arah Uncle kerana aku tidak mahu (dan tidak tahu) pegang anjing.
Dan itulah yang berlaku.
Mike berlari ke arah Uncle. Uncle sambar badan Mike. Mike kemudian meronta dan Uncle terlepas Mike. Mike terbaring dengan perut ke atas dan tangan yang bersedia untuk mencakar. Mike juga menyalak dengan kuat tidak mahu dipegang Uncle. Uncle tidak peduli. Uncle sambar kaki belakang Mike dan hayun ke atas longkang seperti penjual ayam di pasar menghayun daging ayam ke atas meja jualan.
Mike kini berjaya keluar dari longkang, terima kasih kepada usaha Uncle.
Aku hanya berada jauh 3 meter di sebelah sana menyaksikan segala. Aku langsung tidak menyumbang.
Mike kelihatan sedikit buntu, tidak tahu mana mahu pergi. Selepas aku dan Uncle keluar dari longkang, Mike masih lagi terpinga-pinga mencari arah mahu lari.
Tiba-tiba, jauh di belakang deretan rumah di situ ada sekumpulan anjing dewasa (dalam dua tiga ekor) menyalak. Mendengar salakan, Mike terus berlari ke sana. Aku dan Uncle fikir itu mungkin keluarga Mike yang terpisah. Setelah difikirkan, mungkin selama ini sekumpulan anjing dewasa itu memerhati tindak tanduk aku ingin menyelamatkan Mike. Kalau mereka fikir aku mahu buat jahat terhadap Mike, mereka pasti boleh datang menyerang aku. Selama ini, aku diperhatikan oleh sekumpulan anjing dewasa dan itu agak menyeramkan.
Selepas memastikan Mike berada bersama dengan kumpulannya, aku kemudian memastikan bahawa Uncle tidak apa-apa. Tindakannya menyambar Mike mungkin memberikan tekanan ke atas bahu Uncle. Tapi Uncle kata dia tidak apa-apa. Dia sedikit ralat Mike pergi begitu sahaja kerana dia berniat untuk bela Mike jika Mike tidak mempunyai tuan.
"But at least dia selamat..." kata Uncle.
Uncle mahu bergerak pulang. Aku tidak salam Uncle kerana Uncle sudah pegang Mike. Kalau dia tidak pegang Mike, aku memang sangat mahu salam dengan Uncle. Entah kenapa, aku dapat rasakan yang Uncle memahami yang aku ni orang Islam yang tidak boleh pegang anjing. Langsung tiada mimik muka menghukum ketika aku kelihatan teragak-agak untuk mendekati Mike tadi.
Selepas berteima kasih, aku menghantar Uncle sampai ke rumahnya dengan hanya pandangan mata. Selepas seketika, aku pun bergerak ke motosikal dan bersedia untuk berangkat pulang.
"Akhirnya, kain bendera ini langsung tidak berguna," fikir aku sebelum meninggalkan kain itu untuk terus mereput di dalam timbunan daun kering.
Aku pun menunggang pulang ke rumah dengan senyuman. Ini satu pengalaman berharga untuk aku. Hari ini, ada anak anjing yang berjaya diselamatkan. Walaupun bukan oleh aku, tapi oleh manusia lain yang sudah pastinya masih ada sifat kemanusiaan terhadap binatang.
Beberapa pengajaran dapat aku pelajari untuk pengalaman kali ini:
1. ILMU ITU PENTING.
Kalau tanya semua orang Islam, mesti mereka akan kata tahu bagaimana cara nak menyertu. Apatah lagi ilmu itu memang di ajar di sekolah, malah menjadi tajuk amali di dalam PAFA.
Tapi bila masa perlu melakukannya betul-betul, adakah semua orang Islam boleh melakukannya?
Aku sedikit malu dengan diri sendiri. Sebelum ini aku amat yakin yang aku tahu cara nak menyuci diri jika terpegang anjing. Tapi bila saat aku betul-betul kena lakukannya, aku sedar aku langsung tidak tahu. Adakah air tanah dulu sebelum 6 air mutlak, atau air mutlak dulu dan diakhiri air tanah? Jika benda yang perlu disucikan itu adalah kedua-dua belah tangan, bagaimana aku nak pegang air basuhan untuk menyucikan? Lebih memalukan, aku fikir proses menyucikan itu dipanggil 'samak', tapi sebenarnya adalah 'sertu'.
Aku malu kerana kurang ilmu.
2. MUDAH KATA DARIPADA MELAKUKANNYA.
Ya. Easier said than done. Ingat lagi satu masa dulu ada viral video seorang artis lelaki Islam yang menyelamatkan anak anjing dari longkang menggunakan penyodok. Walaupun ramai netizen memuji, tapi tak kurang juga yang mempertikai kenapa tidak gunakan tangan sahaja. Nanti masih boleh samak (sertu). Malah, kata netizen, air tanah untuk sertu juga ada dijual di kedai dan tidak perlu bersusah payah buat air tanah sendiri.
Sudah tentu, kalau kerja aku adalah pegang anjing setiap hari, maka air tanah komersial yang dijual di kedai memang membantu. Tapi kalau kes sekali macam ini, agaknya praktikal tak nak beli air tanah di kedai? Macam yang aku fikir tadi, banyak perlu kena sentuh bila nak bergerak dengan tangan yang bernajis ini. Atau adakah aku perlu beli dulu air tanah itu sebelum pegang anjing? Adakah air tanah itu senang didapati di kedai-kedai berdekatan? Dan adakah cukup tanah dalam air itu untuk dijadikan air tanah yang menyucikan?
Pendek kata, proses penyucian najis berat ini bukan semudah taip di Twitter sahaja. Banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Nak mudah, cuba elakkannya.
3. BUKAN ISLAM JUGA ADA YANG TAKUT ANJING.
Kita orang Islam memang sudah dimomokkan dari kecil bahawa anjing haram dipegang, tapi sebenarnya ada juga orang bukan Islam yang tidak berani berurusan dengan anjing. Selama ini aku anggap disebabkan mereka bukan Islam, maka mereka sepatutnya tidak takut dengan anjing dan boleh menguruskan mana-mana hal mengenai anjing. Tapi seperti wujudnya orang yang takutkan kucing, wujud juga orang yang takutkan anjing walaupun mereka bukan Islam.
Ini membuatkan pandangan aku terhadap manusia sedikit berubah. Takut anjing, takut kucing, itu semua tiada kena mengena dengan agama. Itu semua adalah sifat individu.
Aku sepatutnya melihat manusia sebagai individu, bukannya meletakkan mereka di bawah kategori mengikut pengelasan sendiri, apatah lagi menilai mereka berdasarkan agama.
Sekarang beritahu aku,
jika kalian sendiri berada di tempat aku,
jumpa anak anjing yang terperangkap di dalam longkang meminta bantuan,
jujurnya, apakah yang kalian akan lakukan?
Sanggupkah kalian tinggalkan anjing itu terperangkap dan tidur nyenyak di malamnya?
.
Harap mike jumpa family dia
ReplyDelete>BLee
DeleteAku pula harap Mike tak jatuh longkang lagi. Anjing kecil memang aktif lebih sikit hahaha