Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 27, 2019

Prinsip Teras Blog #cErolian



Salam.

Ringkas, tepat, dan padat.
Itu sasaran aku untuk entri kali ini.

Harap kalian baca, hadam, dan faham supaya aku tidak perlu ulang beribu kali lagi di kemudian hari.





Prinsip Teras adalah satu istilah yang diguna pakai seluruh umat manusia yang membawa maksud satu prinsip yang diwujudkan dan menjadi teras kepada pembentukan dan hala tuju sesuatu perkara yang ditunjanginya.

Ayat mudah;
Prinsip teras adalah suatu peraturan yang dipatuhi.

Dan,
prinsip teras untuk blog ini adalah

I DON'T TALK ABOUT TOPICS IN MY BLOG OUTSIDE MY BLOG.



AKU (cEro) TIDAK BERBINCANG TOPIK DARI DALAM BLOG DI LUAR BLOG.




Prinsip ini mudah.
Kebanyakan pembaca veteran (yang sudah lama baca blog ini) tahu tentang prinsip ini.
Aku sudahpun sentuh mengenainya beberapa kali,
tapi kali ini aku berkeras mahu adakan satu entri khusus mengenainya
dengan harapan para pembaca bukan veteran dapat memahaminya
(dan juga sebagai rujukan jika aku mahu sentuh semula isu ini di hari kemudian)

Aku (cEro) tidak akan berbincang mengenai apa-apa pun topik yang aku sentuh di dalam blog ini di luar blog.

Terma 'luar blog' bermaksud segala jenis medium yang wujud selain daripada blog ini.
Ia termasuklah seluruh kewujudan media sosial (Twitter, Facebook, Instagram, dan seluruh media sosial lain sama ada yang belum wujud, yang masih wujud, dan juga yang akan wujud di kemudian hari), medium bukan digital (surat, catatan, malah nota di kaki burung merpati), dan juga medium verbal (pertuturan bersemuka, pertuturan tidak bersemuka, perbualan telefon, dan segala jenis medium berasaskan mulut dan suara).

Pendek kata, (sebab aku tahu kalian tak baca perenggan di atas)
selain daripada di dalam blog ini, tiada medium lain yang wujud yang boleh dibawa bincang mengenai topik dari dalam blog ini.

Ia poin berulang,
tapi aku ulang sekali lagi supaya kalian boleh betul-betul faham.

Tempat untuk membincangkan topik yang aku kupas di dalam blog ini HANYALAH di dalam blog ini, bukan di tempat lain.



Dengan itu,
aku minta maaf sangat-sangat apabila ada di antara kalian yang cuba capai aku melalui medium lain untuk berbincang tentang topik dari dalam blog ini. Ada yang hantar mesej di Facebook, ada yang PM di Twitter, ada yang DM di Instagram, ada juga yang sangat gigih sampaikan karang satu emel panjang berjela hanya untuk sentuh isu dari dalam blog ini.

Untuk semua itu, aku minta maaf kerana aku tidak akan layan.

Kalian boleh kata aku sombong. Tapi aku harap, bila kalian baca entri ini, kalian faham bahawa sombong aku itu sombong bertempat. Aku ada kod yang perlu aku patuhi.



"Jadi macam mana kami mahu bincang dengan kau cEro tentang topik yang kau sentuh di dalam blog ini?"

Kalau kalian skrol ke bawah, di bahagian bawah setiap entri akan ada ruangan komen. Di situlah, dan hanya di situlah satu-satunya tempat di mana kita boleh sama-sama berbincang tentang apa sahaja yang aku sentuh di dalam blog ini.



"Tapi kami tiada/ tidak mahu log in guna akaun Google untuk komen."

Di ruangan komen itu, kalian ada pilihan untuk tinggalkan komen menggunakan ID apa.

Di bahagian 'comment as', ada pilihan untuk pilih profil apa untuk digunakan bagi meninggalkan komen. Walaupun aku syorkan guna profil yang menggunakan akaun Google, tetapi kalian masih boleh tinggalkan komen menggunakan dua lagi profil.
Profil [Name/URL] membenarkan kalian untuk tinggalkan nama samaran dan URL.
Profil [Anonymous] pula membenarkan kalian untuk tinggalkan komen sebagai Anonymous, tidak perlu berikan nama.

Jalan sudah ada, hanya perlu rajin atau tidak sahaja.



"Tapi kau baca ke komen-komen tu?"

Aku boleh beri jaminan, aku akan baca SEMUA komen yang ditinggalkan. Aku juga akan reply SEMUA komen yang ada, cuma bukan pada kadar yang segera, kecuali ada komen yang memerlukan aku untuk beri respon dengan segera.



"Tapi komen aku bersifat peribadi dan aku tidak mahu orang lain (selain kau) tahu."

Kalian masih boleh beri apa-apa komen berbentuk peribadi melalui medium lain (media sosial, emel, surat, isyarat asap) dan aku akan bacanya, tetapi seperti mana yang aku tekankan, aku TIDAK AKAN membincangkannya, dan itu termasuklah dengan aku tidak akan membalasnya.



"Tapi kenapa? Bukankah fungsi media sosial adalah untuk berinteraksi sesama manusia?"

Seluruh media sosial di bawah nama 'cerolian' hanyalah sekunder, secondary, hanyalah extension kepada blog ini. Dengan kata lain, blog ini adalah yang pertama, perdana, primary, dan media lain semuanya hanyalah cabangan. Media sosial 'cerolian' masih akan berinteraksi sesama manusia yang ada TETAPI tidak akan menyentuh apa-apa topik dari blog ini yang mahu dibincangkan. Jika masih mahu membincangkannya, bincanglah di blog.



"Tapi..."

Tak susah, kan?
Aku bukannya suruh kalian buat sesuatu. Aku suruh kalian JANGAN buat sesuatu. Aku cuma suruh kalian JANGAN cuba nak bincangkan mengenai topik dari dalam blog ini di luar blog bersama-sama dengan aku. Kalau kalian nak bincangkannya bersama-sama dengan orang lain, dipersilakan. Tapi bukan aku. Aku tidak akan layan mana-mana orang yang cuba nak berbincang tentang topik dari dalam blog ini dengan aku.

Aku minta tolong sangat. Jangan DM aku di media sosial untuk sembang tentang blog. Aku baca, tapi aku takkan respon walaupun kekadang kalian seperti nak provoke aku. Tolong hormati prinsip aku ini. Kalian nak sembang tentang blog aku, dengan aku, di media sosial aku, tapi tak tahu nak hormat aku. Aku tidak suruh pun kalian panggil aku dengan nama besar Tuan Saudara Encik Datuk Tan Sri segala bagai untuk tunjuk hormat pada aku. Cukup sekadar fahami apa yang aku pinta.

Aku ini cermin pada kalian semua. Kalian baik dengan aku, aku baik dengan kalian. Kalian berkasar dengan aku, aku kasar dengan kalian. Kalian pandang rendah aku, aku balas pandangan yang sama. Kalian buat tahi dengan aku, maka akupun jadilah tahi untuk kalian. Mudah, kan?



Aku amat harap ini kali terakhir aku tekankan hal ini.
Biarlah aku berblog selama mana aku mampu teruskan. Aku harap kalian sentiasa bersama aku dalam blog ini, tapi tiada paksaan.

Nak jadi kawan, aku buka dengan tangan yang terbuka. Tapi tanya diri sendiri dulu sebelum nak berkawan dengan aku; kalian nak kawan dengan cEro ke, atau nak kawan dengan orang di belakang cEro?

Kalau nak berkawan dengan cEro, blog ini, media sosial yang ada semuanya adalah jalannya.
Tapi kalau nak berkawan dengan orang di belakang cEro, maafkan aku. Sini bukan mediumnya.


Sekian.



Ikuti cEro di media sosial:

  




.

Feb 20, 2019

Ajaran #25 - Perbuatan Gelojoh Tidak Memberikan Kebaikan kepada Mana-Mana Pihak.



Salam.

Jadi aku sebenarnya hendak mengelak daripada bercerita tentang hal peribadi di blog ini walaupun konsep blog ini adalah blog peribadi.

Tapi untuk kali ini, aku mahu cerita tentang satu kisah peribadi aku di sini. Tujuannya hanya satu; spesies manusia yang bakal aku sentuh di sini semakin hari semakin banyak, maka aku harap kalau ada antara kalian juga merupakan salah seorang daripadanya, BERUBAHLAH.




Beberapa minggu lalu aku dikenalkan kepada seorang perempuan melalui seorang 'kawan'. Aku tidak pernah tahu muka perempuan itu, tetapi perempuan itu tahu muka aku. Kami hanya berinteraksi melalui aplikasi mesej.

Mari kita berikan nama kepada perempuan itu; Ella (bukan nama sebenar, kot).

Jujur aku kata, aku bukannya jenis yang suka melayan mesej, bukan jenis yang membalas bertubi-tubi. Jadi, untuk memudahkan diri dia, aku sudah beritahu awal-awal bahawa aku ada habit untuk 'tidak balas mesej serta merta'. Dia kata dia faham. Jadi, aku okey.

Kami saling berbalas mesej. Saling kenal mengenali. Dia ceritakan hal dia. Aku ceritakan hal aku. Dia tanya soalan, aku jawab. Aku tanya soalan, walaupun banyak mengelak, tapi ada juga dia jawab.

Tidak tahu wajah dia membuatkan perbualan kami (di dalam mesej) menjadi menarik untuk aku. Setiap kali ada informasi mengenai dia, aku akan kemas kini imej mental wajah dia di dalam kepala aku. Contohnya, bila dia kata dia ada tahi lalat di bawah kiri bibir, imej mental wajah dia di dalam otak aku akan tambah tahi lalat di bawah kiri bibir. Pada aku, wajah dia adalah misteri yang akan aku rungkai perlahan-lahan melalui informasi di dalam perbualan kami.

Kemisterian inilah yang membuatkan semakin hari semakin berminat untuk terus mengenali dia.

Sedar tidak sedar, dia juga semakin terbuka bercerita tentang diri dia. Keterbukaan dia itu juga membuatkan aku pun terbuka. Pada satu tahap, kami saling berkongi rahsia. Aku tahu beberapa rahsia dia, dia tahu beberapa rahsia aku. Kebanyakan rahsia yang kami kongsi adalah mengenai sejarah hubungan masa lalu.

Ada seseorang yang boleh kita kongsi kisah silam tanpa perlu ada prejudis sangatlah menyeronokkan.

Daripada perbualan kami, walaupun dia tidak pernah beritahu, tapi aku dapat agak dia kerja apa hanya melalui cara dia berbalas mesej. Ini satu kemahiran yang aku bina dari dulu lagi.

Sebenarnya, daripada tulisan mesej pun kita dapat agak peribadi seseorang. Bagaimana dia membalas. Apa bahasa yang digunakan; sama ada cenderung ke arah BI mahupun BM. Apa 'short form' yang digunakan. Apa soalan yang diajukan. Bila waktu dia mula menghantar mesej. Berapa kekerapan mesej yang dihantar. Malah, melalui penggunaan emoji juga kita dapat agak keperibadian orang yang menulis.

Dengan kata lain, dalam beberapa minggu kami salng berbalas mesej ini, aku dapat rasakan bahawa Ella ini semakin 'mekar' di dalam hati aku, walaupun aku masih belum tahu muka dia bagaimana.

Tiada apa yang perlu dikisahkan pun tentang muka. Aku sendiri sedar muka aku pun tidak boleh pergi jauh, jadi tiada keperluan untuk aku 'demand' lebih.

Jadi, cerita makin bosan, kan? Aku tahu, sebahagian daripada pembaca sudah skip bahagian ini dan terus ke bawah sambil baca dengan kadar segera.

Maka masuklah bahagian menarik.


Satu hari, dia mulakan dengan bertanyakan aku satu soalan.

Ella:
So, C.
We are like a confidante to each other?


Aku tidak tahu apa maksud 'confidante', jadi aku tanya dia. Dia suruh aku Google.

Confidante bermaksud 'a person with whom one shares a secret or private matter, trusting them not to repeat it to others'. Jadi, daripada maksud itu, aku jawab soalan dia.

C:
Of coz we are.
Only and only if you trust me.


Jenis aku mudah. Orang beritahu aku rahsia, aku simpan. Tak ada sebab aku nak cerita rahsia orang lain kepada orang lain. Rahsia ini satu amanah. Beritahu orang lain rahsia orang lain adalah satu perbuatan pecah amanah.

Dan kurang seminit daripada jawapan aku itu, Ella membalas.

Ella:
What am I to you, C?

Sh!t. Soalan itu bunyi lain macam. Aku tidak suka ke mana arah perbualan ini sedang tuju.

C:
A confidante. Itu menjawab, kan?

Ella:
Can't tiru my answer! Find your own.

C:
I don't know. Are we friends?
We are friends, kan?


Ella:
You asking me?
I asked you first.


Soalan dia lain, kenapa Ella ni nak claim semua soalan aku itu dia punya soalan.
Dari sini aku dapat rasakan, dia macam ada 'expectation', ada jangkaan untuk jawapan yang bakal keluar dari mulut aku. Dia sudah ada satu jawapan yang dia mahu dengar. Dan aku seperti tahu apa jawapan itu.

Lalu, aku beri jawapan aku.

C:
Then, we are friends.

Ella:
Did we just friendzoned each other?
Hehe.


Nope. Bukan each other. Aku yang friendzone kau, Ella.
Sebab aku tidak mahu sebut jawapan yang kau nak dengar.

C:
I think we're not in any zone so becoming friends is one step up, right?

Ella:
So, just friends then.
Sorry my bad.


C:
Did I say something wrong?

Mula dari sini, setiap balasan daripada dia semuanya berbaur negatif. Aku dapat rasa emosi dia kurang stabil bila dia guna 'U' instead of kebiasaannya guna 'you'. Taip pun banyak typo. Sesetengah bahagian tertekan space dua kali, ada tempat pula tiada titik noktah. Dia juga guna perkataan yang bersifat gelap yang sebelum ini kurang dia gunakan seperti 'tired', 'trying too hard' dan 'toxic'. Semua ini berlaku hanya dalam masa 10 minit.

Dan selepas 10 minit, Ella balas dengan satu mesej yang pelik.

Ella:
If we stopped texting each other
It wouldn't be ghosting
It just two people who stop contacting each other.


C:
Then don't stop.

Ella:
I don't think I like to text u anymore.
I'm sorry, C.




Dan segalanya tamat di situ.

Nampak tak apa jenis spesies manusia yang sedang aku nak tunjukkan di sini?

Ini jenis manusia yang bila dia tidak dapat yang dia mahukan, dia pergi. Jenis manusia yang gelojoh. Jenis manusia yang mahukan sesuatu daripada seseorang, dan dia mahukan sekarang, dan bila dia tidak dapat apa yang dia mahukan, dia tinggalkan orang itu.

Kalau kalian perasan, jenis manusia gelojoh ini menjadi tema ulangan yang sering kali aku sentuh di dalam blog ini sejak tiga empat tahun lalu. Bukan kerana aku tidak boleh move on dengan sesiapa, tapi sebab manusia ini ada banyak dalam masyarakat, dan malangnya aku sering kali bersua dengan manusia jenis ini.

Kau gelojoh-gelojoh ini nak pergi mana?



Dalam kes Ella ini,
aku tahu apa yang dia mahukan dari aku. Aku tahu apa yang patut aku jawab untuk buatkan hal seperti di atas tidak berlaku. Tapi aku buat keputusan untuk tidak berikan apa yang dia mahu.

Perkara yang dibuat secara gelojoh tidak akan memberikan kebaikan. Rumah yang mahu dibina tidak akan siap dalam masa sehari. Kalau siap sekalipun, tidak akan bertahan lama. Apatah lagi kalau yang mahu dibina itu adalah masa depan.


Aku rasa, inilah masalah utama kepada aku dalam perhubungan. Konsep hubungan untuk aku sangat berbeza dengan mana-mana orang yang aku jumpa. Pada aku, hendak bertaut hubungan bukan perlukan jawapan kepada satu soalan, tetapi perlukan pemahaman kepada seluruh konsep kehidupan.

Ia bukan semudah 'aku suka kau, kau suka aku, kita bersama'. Ia lebih kepada 'kalau aku suka kau, dan kau suka aku, kita kena bersama-sama pastikan apa yang bakal kita bina di masa akan datang ada asas yang kukuh dan tidak akan mudah roboh'.

Entahlah. Aku nak terangkan pun tidak mudah. Tapi apa yang aku pasti, aku tidak akan beri jawapan kepada mereka yang gelojoh, kerana perkara yang dibuat secara gelojoh tidak akan memberikan apa-apa kebaikan kepada mana-mana pihak.

Beri aku satu contoh gelojoh yang memberikan kebaikan. Tiada, kan?

Kepada yang gelojoh di luar sana, bertenanglah.



Sekian.



Lebih lagi mengenai Siri Ajaran di #Ajaran.





.

Feb 18, 2019

HARI KOMUNITI: Episod Gajah Khinzir.



Salam.

Selamat datang ke episod baru Hari Komuniti Pokémon GO.

Ringkasan episod terdahulu:
Dalam perjalanan ingin menjadi yang terbaik berbanding yang lain, aku (cEro) sudah melalui 13 kali Hari Komuniti. 'Hari Komuniti', atau nama sebenarnya Pokémon GO Community Day adalah acara bulanan bagi pemain Pokémon GO yang mula diperkenalkan pada awal tahun 2018 di mana setiap edisi Hari Komuniti akan menampilkan Pokémon istimewa bersama-sama dengan pelbagai lagi bonus dan ganjaran untuk pemain.

Untuk ketahui lebih lanjut mengenai episod Hari Komuniti yang terdahulu,
sila klik link ini: Hari Komuniti

Dan sebagai pengingatan, ini adalah entri berkaitan Pokémon GO. Maka, di dalam entri ini akan terdapat banyak istilah dan frasa berkaitan permainan aplikasi Pokémon GO yang mungkin akan memberikan cabaran kepada para pembaca bukan pemain untuk memahami.

Untuk bulan Februari, Pokémon istimewa yang ditampilkan adalah menepati ramalan aku di episod sebelum ini; SWINUB.

Sumber: Niantic, Inc. (Twitter: @PokemonGOApp)



SWINUB.

Swinub adalah Pokémon daripada generasi kedua dan mempunyai dwijenis; iaitu jenis Ais dan jenis Tanah. Daripada bentuk badannya, Swinub kelihatan seperti seekor khinzir dengan bulu lebat, sesuai dengan habitatnya iaitu kawasan bersuhu rendah dan sejuk.

Pokédex untuk Pokémon GO menerangkan Swinub sebagai:

'Pig Pokémon:
Swinub roots for food by rubbing its snout against the ground. Its favorite food is a mushroom that grows under the cover of dead grass. This Pokémon occasionally roots out hot springs.
'



Dalam Generasi Kedua, Swinub boleh berevolusi kepada Piloswine. Setelah generasi keempat diperkenalkan, Swinub mempunyai satu lagi evolusi selepas Piloswine, iaitu Mamoswine.

Evolusi kepada Piloswine, iaitu Mamoswine, merupakan Pokémon daripada jenis Ais yang terkuat setakat ini.

Pemilihan Swinub sebagai Pokémon istimewa Hari Komuniti mengejutkan ramai pihak, tetapi bukan aku. Aku sudahpun meneka Swinub bakal menjadi Pokémon istimewa untuk Hari Komuniti bulan Februari ini di dalam entri Totodile yang lepas.

Antara sebab aku meneka Swinub adalah (1) Swinub merupakan Pokémon jenis Ais, dan musim salju masih lagi berlangsung di hemisfera utara, (2) Mamoswine, evolusi kepada Piloswine masih lagi belum diperkenalkan di dalam permainan, dan (3) baru sahaja lepas kemasukan Tahun Baru Lunar yang merupakan tahun Khinzir, dan Swinub adalah Pokémon Khinzir.

Dan tekaan aku mengena. Seminggu aku bangga dengan diri sendiri.



PENGUMUMAN RASMI.

Pengumuman rasmi pertama Swinub sebagai watak utama Hari Komuniti untuk bulan Februari keluar pada 22 Januari 2019 lalu, namun maklumat lanjut mengenai Hari Komuniti itu telah diumumkan Niantic, Inc selaku pembangun aplikasi permainan Pokémon GO pada tarikh 12 Februari 2019 di dalam bahagian berita di dalam permainan dan di seluruh platform media sosial yang ada.





Ringkasnya, untuk Hari Komuniti bulan Februari 2019:

- Swinub sebagai watak utama.
- Tarikh Hari Komuniti untuk bahagian Asia-Pasifik adalah pada 17 Februari 2019 (Ahad).
- Waktu: 12:00 pm hingga 3:00 pm JST (11:00 pg hingga 2:00 pm waktu Malaysia)
- Bonus 3x Stardust untuk setiap tangkapan sepanjang tempoh Hari Komuniti.
- Modul Umpan akan berpanjangan selama 3 jam Hari Komuniti.
- Sehingga 10 Batu Sinnoh (Sinnoh Stone) mampu dimiliki daripada 5 'battle' bersama pemain lain dan 5 daripada latihan bersama Ketua Kumpulan - sepanjang satu hari Hari Komuniti.
- Piloswine yang dievolusikan akan menjadi Mamoswine (kali pertama diperkenalkan di dalam permainan Pokémon GO) dan akan dapat gerakan serangan istimewa, Ancient Power.

Ancient Power adalah serangan daripada jenis Batu. Walaupun kedengaran kurang relevan untuk Mamoswine (yang merupakan jenis Ais dan Tanah), namun serangan Ancient Power sangat berkait rapat dengan Mamoswine di dalam siri permainan Pokémon utama.

Juga beruntung, Hari Komuniti Februari jatuh di dalam tempoh masa sambutan Hari Valentine di dalam permainan. Maka bonus 2x candy daripada setiap tangkapan juga dibawa ke dalam Hari Komuniti.

Dan sudah tentu, walaupun tidak diumumkan, perkara yang ditunggu-tunggu pemain Pokémon GO setiap kali menjelang Hari Komuniti adalah kemunculan Pokémon dalam varian shiny-nya. Dan itulah yang aku tunggu hampir setiap kali Hari Komuniti.



PERSEDIAAN AWAL.

Mengevolusi Piloswine kepada Mamoswine memerlukan Batu Sinnoh.




Dalam Pokémon GO, Batu Sinnoh adalah barangan (item) yang bukan mudah untuk diperoleh. Dua saluran yang memberikan Batu Sinnoh adalah ganjaran daripada 'Breakthrough' Penyelidikan Lapangan dan ganjaran daripada 'battle' bersama pemain lain ataupun bersama Ketua Kumpulan.

Namun kedua-dua saluran itu tidak menjamin boleh dapat Batu Sinnoh.

Maka, sejak Mamoswine diumumkan akan dilepaskan pada Hari Komuniti Februari, aku sedikit demi sedikit kumpul Batu Sinnoh. Aku terpaksa tahan daripada mengevolusi beberapa Pokémon lain yang juga memerlukan Batu Sinnoh dan beri keutamaan kepada Mamoswine.

Sebelum hari Hari Komuniti, aku berjaya kumpul 5 Batu Sinnoh. Perancangan aku, kalau ada cukup Batu Sinnoh, aku tidak perlu berkerja keras untuk dapatkan ganjaran Batu Sinnoh semasa Hari Komuniti nanti.



MISI.

Selain daripada menyediakan beberapa Batu Sinnoh, aku tiada persediaan awal lain yang khusus.
Antara misi yang sudah aku tetapkan termasuklah:

1. Tangkap sebanyak mungkin Swinub.
2. Tangkap paling kurang 3 shiny Swinub.
3. Dapatkan satu Mamoswine dengan serangan batu Ancient Power, dan satu shiny Mamoswine dengan serangan batu Ancient Power.
4. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.


Ya. Misi di atas adalah olahan sama daripada misi untuk Hari Komuniti Beldum dan Totodile sebelum ini. Tapi hakikatnya aku hanya menyertai Hari Komuniti kerana peluang untuk dapatkan varian shiny lebih tinggi berbanding hari-hari biasa yang lain.

Aku, pada hari kejadian, sekali lagi dengan menaiki pengangkutan awam menuju ke destinasi yang dilabel sebagai 'titik muncul Pokémon paling aktif di seluruh Malaysia' iaitu Taman KLCC, Kuala Lumpur.


Taman KLCC, Kuala Lumpur.



HARI KEJADIAN, HARI KOMUNITI.

Aku sampai ke Taman KLCC pada jam 10:53 selepas berjalan 17 minit daripada stesen MRT Bukit Bintang.

Seperti biasa, aku menunggu jam 11 di tepi Convention Center. Tepat jam 11 pagi, baru aku buka data dan masuk ke dalam permainan. Semua ini adalah berfungsi untuk mengoptimumkan penggunaan bateri memandangkan aku (masih) tiada powerbank sebagai bekalan tenaga.


Screenshot di dalam permainan pada pukul 11:01 menunjukkan Taman KLCC sudah dipenuhi dengan Umpan yang dipasang pemain lain.



Pengembaraan memburu si gajah khinzir berbulu pun BERMULA.

Namun,
selepas hampir 30 minit aku tangkap Swinub, aku hanya dapat jumpa Swinub yang biasa sahaja. Biasanya dalam 10 minit pertama akan jumpa paling tidak SATU Pokémon shiny. Hal ini membuatkan aku resah dan gelisah.

'Adakah varian shiny tidak dilepaskan?' itu yang aku fikirkan. Namun malangnya aku terdengar ada pemain lain yang bersorak gembira kerana sudah berjaya tangkap Swinub shiny keempatnya.

Dengan kata lain, aku seorang yang masih malang tiada Swinub shiny.

Namun, Swinub shiny pertama aku muncul di skrin pada jam 11:31 pagi (selepas 30 minit risau). Pada masa itu, aku dapat rasa aku mungkin tidak bertuah pada hari ini. Bilangan shiny yang mampu aku tangkap mungkin tidak sebanyak sebelum ini.


Beza antara Swinub biasa dengan varian shiny.
Yang biasa berwarna perang, yang shiny berwarna kehijauan.


Swinub shiny kedua berjaya aku tangkap hanya 30 minit selepas shiny yang pertama. Hal ini membuatkan aku risau.

Dalam hati, aku tekadkan diri supaya paling kurang perlu dapat 3 shiny. Tapi setiap Swinub yang aku tekan, semuanya tidak shiny. Aku jadi semakin gelisah. Adakah hari ini aku hanya berjaya miliki 2 Swinub shiny?

Masa sudah memasuki jam terakhir Hari Komuniti. Pukul 1 petang. Aku masih lagi hanya berjaya tangkap DUA Swinub shiny.

Pada saat ini, aku seperti sudah pasrah. Setiap Swinub yang aku tekan hanyalah Swinub biasa, dan ini sudahpun tidak mengejutkan aku. Aku pasrah. Dengan hanya 2 Swinub shiny, aku merancang akan hanya evolusikan satu kepada Mamoswine dan satu lagi disimpan sebagai Swinub. Tiada Piloswine shiny.

Namun segalanya berubah pada jam 1:22 petang.

Aku berjaya dapat Swinub shiny ketiga, diikuti berturut-turut yang keempat pada minit seterusnya, dan tiga lagi dalam tempoh yang singkat.

Jumlah Swinub shiny yang berjaya aku tangkap adalah TUJUH kesemuanya!


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 11:31 CP 411, jam 12:01 CP 459, jam 13:22 CP 367


Mengikut turutan tangkap dari kiri:
Jam 13:23 CP 511, jam 13:36 CP 493, jam 13:40 CP 262


Jam 13:45 CP 400


Perasan tak, shiny ketiga dan keempat hanya beza satu minit. Ini kerana kedua-duanya adalah berturut-turut di tempat yang sama.

Aku evolusikan Swinub shiny kedua aku (dengan CP 459) kepada Piloswine shiny dan seterusnya menggunakan Batu Sinnoh kepada Mamoswine shiny. Mamoswine ini adalah Mamoswine yang didaftarkan ke dalam Pokédex.


Mamoswine REGISTERED!


Aku juga sempat evolusikan satu Piloswine biasa yang aku simpan dari tahun 2018 kepada Mamoswine (biasa) dengan serangan Ancient Power.

Swinub shiny keenam (dengan CP 262) telah aku evolusikan kepada Piloswine shiny untuk simpanan.

Setelah aku rasa dapat selesaikan sebahagian misi, aku pun tutup permainan lebih awal daripada waktu tamat Hari Komuniti. Aku tutup permainan pada jam 13:53 petang dan bergegas menunaikan solat Zohor di surau.

Maka,
pada jam 2 petang, Hari Komuniti Swinub, TAMAT.




ULASAN

Adakah misi aku untuk Hari Komuniti kali ini selesai?

1. Tangkap sebanyak mungkin Swinub.

Menurut data, sebelum Hari Komuniti, aku pernah tangkap 97 Swinub. Selepas Hari Komuniti pula, data menunjukkan aku sudah tangkap Swinub sejumlah 186. Ini bermakna, sepanjang Hari Komuniti, aku berjaya tangkap [186-97=] 89 Swinub.
Aku mungkin boleh tangkap lebih banyak, tapi aku tidak dapat fokus kerana resah lambat dapat tangkap Swinub shiny.


2. Tangkap paling kurang 3 shiny Swinub.

Daripada 89 Swinub yang aku tangkap sepanjang tempoh Hari Komuniti ini, 7 daripadanya adalah shiny.


3. Dapatkan satu Mamoswine dengan serangan batu Ancient Power, dan satu shiny Mamoswine dengan serangan batu Ancient Power.

Aku berjaya evolusikan satu Piloswine kepada Mamoswine dengan serangan batu Ancient Power, dan juga satu shiny Mamoswine dengan serangan batu Ancient Power.


One happy shiny Swinub family at home!



4. Selesaikan semua misi di atas sebelum bateri jatuh 50%.

Menurut data, pada Swinub shiny ketiga aku, bateri menunjukkan berada pada tahap 39%.
Untuk misi ini, aku gagal.


Kesimpulannya,
Hari Komuniti ini boleh dikira berjaya walaupun sedikit mendebarkan kerana lambat dapat shiny. Highlight utama hari ini adalah shiny Mamoswine sebagai entri terbaru ke dalam Pokédex.

Aku juga langsung tidak menggunakan Star Piece atau Lucky Egg, sebab aku tidak memikirkannya.

Sepanjang tempoh Hari Komuniti ini juga, aku berjaya tingkatkan XP aku daripada 4,207,973 XP (level 39) kepada 4,243,568 XP pada level yang sama. Peningkatan 35,595 XP sebenarnya dibantu oleh 3 kali raid yang aku sertai sepanjang 3 jam Hari Komuniti.

Level 39 memerlukan aku capai 5,000,000 sebelum boleh naik ke level terakhir, level 40. Aku dapat rasakan, pada Hari Komuniti yang akan datang, aku sudah berada di level 40.

Sedikit sahaja lagi perjalanan.





HARI KOMUNITI SETERUSNYA.

Untuk Hari Komuniti akan datang, Pokémon yang bakal menjadi watak utama hari tersebut tidak lain tidak bukan Treecko, Pokémon pemula jenis Rumput daripada Generasi Ketiga.

Ini kerana Niantic mengikut susunan selang satu bulan untuk setiap Pokémon pemula yang ada, dan Pokémon pemula terakhir sebelum ini adalah Totodile daripada Generasi Kedua.

Bulan Mac sudah memasuki musim bunga. Maka Treecko sebagai Pokémon istimewa pada hari itu amatlah bertepatan dengan tema.

Evolusi terakhir Treecko, iaitu Sceptile, jarang aku gunakan di dalam permainan. Harapannya akan ada gerakan serangan yang membolehkan Sceptile menjadi salah satu Pokémon yang berguna untuk digunakan.

Bila tarikhnya, kalau nak diteka, mungkin akan jatuh pada 23/24 haribulan kerana pada waktu itu sudah masuk musim bunga.

Apa-apapun, yang pasti, jawapan hanya akan diketahui pada hujung bulan Februari nanti..



Sekian sahaja episod Hari Komuniti kali ini.
Bertemu lagi di episod bulan Mac yang bakal menyusul kemudian.

Buh-bye!
*berlalu pergi sambil berjalan berpimpin tangan dengan Sceptile*





.

Feb 13, 2019

Mesej Tersembunyi [LEVEL 6]



Salam.

Selamat datang ke entri Mesej Tersembunyi LEVEL 6.




Gambar ini bertarikh 23 Oktober 2013, di ambil pada jam 6:43 petang, saat ke-12, di luar rumah keluarga aku. Pada waktu itu sepatutnya langit masih cerah tetapi entah kenapa langit menjadi kelam dan gelap. Bukan mahu hujan, bukan juga gelap bayang. Aku sendiri tidak dapat kenalpasti punca kegleapan itu. Cahaya matahari dari ufuk barat yang menyinar rendah, bercampur dengan kegelapan yang ada mencetuskan cahaya langit yang keunguan dengan calitan warna perang sebagai penyeri. Suram, kelam, tetapi masih lagi indah. Inilah lukisan alam.
Siapa pelukisnya? Yang Maha Bijaksana.


Lebih lanjut mengenai siri Mesej Tersembunyi di sini.

Good luck!




.

Feb 6, 2019

Kisah Perlumbaan Teragung.



Salam.

Semasa aku kecil, aku banyak didedahkan dengan kisah dongeng.
Patutlah imaginasi aku kadang-kadang aku sendiri pun susah nak faham.
Rupanya sejak kecil lagi otak aku penuh dengan cerita dongeng.

Aku tidak hanya didedahkan dengan kisah dongeng tempatan seperti Hikayat Sang Kancil, malah aku juga terdedah dengan kisah-kisah mitos dan fantasi dari seluruh pelosok dunia.

Salah satu kisah mitos yang menjadi kegemaran aku sehingga sekarang ialah Kisah Perlumbaan Teragung.

Kalian mesti pernah dengar tentang 'The Great Race' yang menjadi kisah dongeng kewujudan kalendar zodiak Cina, kan?
Inilah kisahnya.

Cuma ini adalah versi daripada memori aku,
jadi mungkin sedikit berbeza (dan lari) daripada kisah sebenar.
Untuk tahu kisah lebih tepat mengenainya,
Encik Google sentiasa sedia membantu.




Kisah bermula apabila seorang Maharaja daripada sebuah Empayar mengumumkan akan mewujudkan satu kalendar baru, dan 12 haiwan akan dipilih menjadi zodiak tahunan kepada kalendar tersebut. Cara pemilihannya mudah; melalui sebuah perlumbaan.

Perlumbaan akan bermula di hujung sempadan empayar dan berakhir di Istana Maharaja. Halangannya termasuklah bentuk muka bumi yang mencabar dan saingan daripada segenap fauna yang ada. 12 haiwan terawal sampai ke garisan penamat akan dilantik menjadi haiwan zodiak kepada kalendar. Semua haiwan dari seluruh jajahan pun begitu teruja untuk menyertainya. Pada mereka, dapat menjadi antara 12 haiwan zodiak adalah satu pernghormatan tertinggi untuk spesies mereka.

Perlumbaan bermula.

Merentas kawasan daratan yang kebanyakannya hutan dan kawasan kampung tempat tinggal manusia bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, mengepalai perlumbaan di hadapan adalah Si Tikus dan Si Kucing. Kedua-dua mereka yang merupakan pakar dalam selok-belok jalan pintas dan lorong kecil kawasan itu, menggunakan kelebihan saiz badan mereka yang kecil untuk jauh mendahului di hadapan.

Namun, langkah mereka terhenti apabila sampai di halangan terakhir sebelum ke Istana Maharaja, dan merupakan halangan paling besar perlumbaan - merentas sungai yang besar dan lebar digelar Sungai Hebat. Arus sungai walaupun tidaklah dalam mana, tetapi arus dan kelebarannya akan memberikan cabaran kepada sesiapa sahaja yang ingin menyeberangi.

Sedang Si Kucing dan Si Tikus memerah otak memikirkan cara untuk menyeberangi, Si Lembu sampai ke gigi sungai. Si Lembu antara yang mendahului perlumbaan kerana kekuatan dan keringatnya merempuh apa sahaja halangan di hadapan. Melihat datangnya Si Lembu, Si Tikus mendapat satu idea.

Si Tikus dan Si Kucing meminta tolong kepada Si Lembu untuk menyeberangi sungai itu. Si Lembu yang terkenal dengan sifat baik hati, mempelawa kedua-dua Si Tikus dan Si Kucing untuk memanjat belakang badannya sementara dirinya menyeberangi sungai. Si Tikus dan Si Kucing tanpa segan silu menerima pelawaan tersebut.

Semasa sedang menyeberangi sungai, Si Tikus yang memang terkenal dengan perangai ciliknya menolak Si Kucing jatuh ke dalam sungai. Si Kucing yang tidak tahu berenang pun terkapai-kapai dan lemas di bawa arus sungai. Sebab itulah kucing tidak menjadi salah satu daripada 12 haiwan zodiak. Dikatakan, inilah detik permulaan kenapa kucing bermusuhan dengan tikus dan sering memburu musuhnya itu.

Selepas menyeberangi sungai, Si Lembu terus memecut menuju ke Istana Maharaja tanpa memikirkan Si Tikus yang masih memaut di belakang badannya. Di saat akhir betul-betul sebelum Si Lembu sampai ke garisan penamat, Si Tikus tadi dengan ciliknya menerpa ke hadapan dan melintasi garisan itu sebelum Si Lembu.

Ini menjadikan Si Tikus yang licik menjadi juara di tempat pertama dan diikuti dengan Si Lembu di tempat kedua. Maharaja yang menyaksikan segalanya tidak berkata apa-apa kerana tiada peraturan khusus menidakkan kelicikan sebagai satu strategi.

Di tempat ketiga adalah Si Harimau. Walaupun memiliki kelajuan, kekuatan, dan ketangkasan, namun perjalanan Si Harimau sedikit terganggu semasa ingin menyeberangi sungai. Dikatakan Si Harimau terbawa arus kuat dek niatnya mahu menyelamatkan Si Kucing (yang merupakan sepupunya) daripada lemas tadi. Namun usahanya tidak berjaya kerana Si Kucing sudahpun jauh dibawa arus.

Tempat keempat milik Si Arnab yang melompat-lompat melintasi garisan penamat. Menurut Si Arnab, dia menyeberangi sungai dengan melompat dari satu batu ke satu batu yang lain. Selepas separuh menyeberang, didapatinya sudah tiada batu yang boleh dipijak melainkan sebatang kayu yang hanyut tersangkut. Apabila Si Arnab melompat ke atas kayu itu, kayu itu pun bergerak dan dibawa arus sungai. Itulah kenapa Si Arnab sedikit lewat.

Melintasi ke garisan penamat di tempat kelima adalah Si Naga. Naga merupakan juara pilihan bagi Maharaja dan seluruh penduduk wilayah yang sedang menonton. Berkebolehan untuk terbang tinggi dan laju menyebabkan tiada halangan daratan yang tidak mampu ditempuhi Si Naga. Melihat Naga jatuh ke tempat kelima menimbulkan tanda tanya.

Apabila ditanya Maharaja, Si Naga menjelaskan bahawa semasa dalam perjalanan ke garisan penamat, dia melalui sebuah kampung yang tandus dan gersang dengan penduduk yang berada dalam keadaan lapar. Si Naga buat keputusan untuk membantu dengan meniupkan awan ke arah kampung tersebut supaya dapat turun hujan di sana. Si Arnab juga menjelaskan bahawa Si Nagalah yang membantunya ketika di sungai dibawa arus hanyut bersama batang kayu. Si Naga meniup batang kayu itu bergerak ke tepi sungai supaya Si Arnab yang sedang berpaut berjaya menyeberanginya.

Dari jauh nampak Si Kuda sedang berlari menuju ke garisan penamat. Sebelum melintasi garisan, rupa-rupanya ada Ular sedang bersembunyi di kaki Si Kuda. Menyedari kelibat Si Ular, Si Kuda terperanjat dan terberhenti, menyebabkan SI Ular tadi terpelanting ke hadapan dan melintasi garisan penamat terlebih dahulu.

Si Ular menduduki tempat keenam, sementara Si Kuda berada di tempat ketujuh.

Di tempat kelapan ialah Si Kambing. Di tempat kesembilan ialah Si Monyet. Di tempat kesepuluh pula Si Ayam.
(Maaf, aku kurang pasti kenapa mereka berada di kedudukan ini. Aku lupa. Aku pasti ada cerita menarik di sebaliknya.)

Di tempat kesebelas adalah Si Anjing. Anjing sepatutnya berada di kalangan mereka yang di hadapan kerana kepantasannya dan kemahiran berenang yang ada, tetapi Si Anjing menjadi lewat disebabkan hilang fokus akibat seronok bermain air ketika menyeberangi sungai.

Di tempat kedua belas adalah Si Babi. Walaupun juga mahu bersaing, tetapi Si Babi memang kurang motivasi. Di pertengahan perlumbaan, dia berasa lapar dan berhenti untuk makan. Akibat kekenyangan, Si Babi buat keputusan untuk berehat sebentar dan kemudian tertidur sepanjang perlumbaan.

Maka,
begitulah kisah di mana 12 haiwan zodiak Cina dapat giliran tahun masing-masing.




Ya, banyak persoalan timbul dari cerita aku ini.
Ini edisi yang ada tertanam di dalam memori aku.
Aku yakin, cerita ini sangat berbeza dengan cerita yang kalian pernah baca, dengar, atau pelajari.
Untuk versi yang lebih tepat dan terperinci, kalian boleh cari di internet.

Tapi kena ingat, ini cerita dongeng.
Hampir kesemua cerita dongeng memang tiada asas kukuh.
Tiada fakta yang boleh dikatakan paling tepat.
Bermakna, tiada versi yang boleh diiktiraf sebagai paling boleh diterima.

Tapi apa yang menjadikan cerita Perlumbaan Teragung ini menjadi antara cerita kegemaran aku ialah kerana ceritanya menjelas banyak perkara. Ceritanya ditulis dengan baik kerana memasukkan sifat haiwan-haiwan tersebut secara spesifik.

Sifat tikus yang licik. Kucing yang bersifat pendendam. Lembu yang baik hati tapi selalu dipergunakan. Harimau yang gagah. Naga yang suka menolong. Arnab yang suka melompat. Kuda yang senang terkejut. Ular yang suka mengambil kesempatan. Anjing yang suka bermain. Babi yang bersifat kebabian.

Walaupun banyak yang boleh dipersoal, tetapi ceritanya begitu menghiburkan dan boleh difahami, bila kita dengar ceritanya kita akan sebut 'ooooh, patutlah!'.



Maka,
aku tamatkan entri ini dengan ucapan
SELAMAT TAHUN BARU CINA
dan SELAMAT BERCUTI.

Kalian lahir dalam tahun apa mengikut zodiak kalendar Cina?




Nota Kaki:
Kisah Perlumbaan Teragung ini aku cerita di hadapan ahli keluarga aku termasuklah Mak dan Abah aku beberapa hari sebelum tibanya Tahun Baru Cina. Entah kenapa semua mereka kata itu kali pertama mereka dengar, sedangkan aku amat yakin aku berkali-kali dengar cerita ini semasa usia kecil dahulu. Maksud aku, siapa lagi yang akan ceritakan kisah dongeng semasa aku kecil kalau bukan ahli keluarga sendiri? Dan kalau ahli keluarga aku kata mereka semua baru pertama kali dengar, dari siapa/mana sebenarnya aku tahu tentang cerita ini? Perkara ini memang mendatangkan lebih banyak persoalan.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License