Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 6, 2019

Kisah Perlumbaan Teragung.



Salam.

Semasa aku kecil, aku banyak didedahkan dengan kisah dongeng.
Patutlah imaginasi aku kadang-kadang aku sendiri pun susah nak faham.
Rupanya sejak kecil lagi otak aku penuh dengan cerita dongeng.

Aku tidak hanya didedahkan dengan kisah dongeng tempatan seperti Hikayat Sang Kancil, malah aku juga terdedah dengan kisah-kisah mitos dan fantasi dari seluruh pelosok dunia.

Salah satu kisah mitos yang menjadi kegemaran aku sehingga sekarang ialah Kisah Perlumbaan Teragung.

Kalian mesti pernah dengar tentang 'The Great Race' yang menjadi kisah dongeng kewujudan kalendar zodiak Cina, kan?
Inilah kisahnya.

Cuma ini adalah versi daripada memori aku,
jadi mungkin sedikit berbeza (dan lari) daripada kisah sebenar.
Untuk tahu kisah lebih tepat mengenainya,
Encik Google sentiasa sedia membantu.




Kisah bermula apabila seorang Maharaja daripada sebuah Empayar mengumumkan akan mewujudkan satu kalendar baru, dan 12 haiwan akan dipilih menjadi zodiak tahunan kepada kalendar tersebut. Cara pemilihannya mudah; melalui sebuah perlumbaan.

Perlumbaan akan bermula di hujung sempadan empayar dan berakhir di Istana Maharaja. Halangannya termasuklah bentuk muka bumi yang mencabar dan saingan daripada segenap fauna yang ada. 12 haiwan terawal sampai ke garisan penamat akan dilantik menjadi haiwan zodiak kepada kalendar. Semua haiwan dari seluruh jajahan pun begitu teruja untuk menyertainya. Pada mereka, dapat menjadi antara 12 haiwan zodiak adalah satu pernghormatan tertinggi untuk spesies mereka.

Perlumbaan bermula.

Merentas kawasan daratan yang kebanyakannya hutan dan kawasan kampung tempat tinggal manusia bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, mengepalai perlumbaan di hadapan adalah Si Tikus dan Si Kucing. Kedua-dua mereka yang merupakan pakar dalam selok-belok jalan pintas dan lorong kecil kawasan itu, menggunakan kelebihan saiz badan mereka yang kecil untuk jauh mendahului di hadapan.

Namun, langkah mereka terhenti apabila sampai di halangan terakhir sebelum ke Istana Maharaja, dan merupakan halangan paling besar perlumbaan - merentas sungai yang besar dan lebar digelar Sungai Hebat. Arus sungai walaupun tidaklah dalam mana, tetapi arus dan kelebarannya akan memberikan cabaran kepada sesiapa sahaja yang ingin menyeberangi.

Sedang Si Kucing dan Si Tikus memerah otak memikirkan cara untuk menyeberangi, Si Lembu sampai ke gigi sungai. Si Lembu antara yang mendahului perlumbaan kerana kekuatan dan keringatnya merempuh apa sahaja halangan di hadapan. Melihat datangnya Si Lembu, Si Tikus mendapat satu idea.

Si Tikus dan Si Kucing meminta tolong kepada Si Lembu untuk menyeberangi sungai itu. Si Lembu yang terkenal dengan sifat baik hati, mempelawa kedua-dua Si Tikus dan Si Kucing untuk memanjat belakang badannya sementara dirinya menyeberangi sungai. Si Tikus dan Si Kucing tanpa segan silu menerima pelawaan tersebut.

Semasa sedang menyeberangi sungai, Si Tikus yang memang terkenal dengan perangai ciliknya menolak Si Kucing jatuh ke dalam sungai. Si Kucing yang tidak tahu berenang pun terkapai-kapai dan lemas di bawa arus sungai. Sebab itulah kucing tidak menjadi salah satu daripada 12 haiwan zodiak. Dikatakan, inilah detik permulaan kenapa kucing bermusuhan dengan tikus dan sering memburu musuhnya itu.

Selepas menyeberangi sungai, Si Lembu terus memecut menuju ke Istana Maharaja tanpa memikirkan Si Tikus yang masih memaut di belakang badannya. Di saat akhir betul-betul sebelum Si Lembu sampai ke garisan penamat, Si Tikus tadi dengan ciliknya menerpa ke hadapan dan melintasi garisan itu sebelum Si Lembu.

Ini menjadikan Si Tikus yang licik menjadi juara di tempat pertama dan diikuti dengan Si Lembu di tempat kedua. Maharaja yang menyaksikan segalanya tidak berkata apa-apa kerana tiada peraturan khusus menidakkan kelicikan sebagai satu strategi.

Di tempat ketiga adalah Si Harimau. Walaupun memiliki kelajuan, kekuatan, dan ketangkasan, namun perjalanan Si Harimau sedikit terganggu semasa ingin menyeberangi sungai. Dikatakan Si Harimau terbawa arus kuat dek niatnya mahu menyelamatkan Si Kucing (yang merupakan sepupunya) daripada lemas tadi. Namun usahanya tidak berjaya kerana Si Kucing sudahpun jauh dibawa arus.

Tempat keempat milik Si Arnab yang melompat-lompat melintasi garisan penamat. Menurut Si Arnab, dia menyeberangi sungai dengan melompat dari satu batu ke satu batu yang lain. Selepas separuh menyeberang, didapatinya sudah tiada batu yang boleh dipijak melainkan sebatang kayu yang hanyut tersangkut. Apabila Si Arnab melompat ke atas kayu itu, kayu itu pun bergerak dan dibawa arus sungai. Itulah kenapa Si Arnab sedikit lewat.

Melintasi ke garisan penamat di tempat kelima adalah Si Naga. Naga merupakan juara pilihan bagi Maharaja dan seluruh penduduk wilayah yang sedang menonton. Berkebolehan untuk terbang tinggi dan laju menyebabkan tiada halangan daratan yang tidak mampu ditempuhi Si Naga. Melihat Naga jatuh ke tempat kelima menimbulkan tanda tanya.

Apabila ditanya Maharaja, Si Naga menjelaskan bahawa semasa dalam perjalanan ke garisan penamat, dia melalui sebuah kampung yang tandus dan gersang dengan penduduk yang berada dalam keadaan lapar. Si Naga buat keputusan untuk membantu dengan meniupkan awan ke arah kampung tersebut supaya dapat turun hujan di sana. Si Arnab juga menjelaskan bahawa Si Nagalah yang membantunya ketika di sungai dibawa arus hanyut bersama batang kayu. Si Naga meniup batang kayu itu bergerak ke tepi sungai supaya Si Arnab yang sedang berpaut berjaya menyeberanginya.

Dari jauh nampak Si Kuda sedang berlari menuju ke garisan penamat. Sebelum melintasi garisan, rupa-rupanya ada Ular sedang bersembunyi di kaki Si Kuda. Menyedari kelibat Si Ular, Si Kuda terperanjat dan terberhenti, menyebabkan SI Ular tadi terpelanting ke hadapan dan melintasi garisan penamat terlebih dahulu.

Si Ular menduduki tempat keenam, sementara Si Kuda berada di tempat ketujuh.

Di tempat kelapan ialah Si Kambing. Di tempat kesembilan ialah Si Monyet. Di tempat kesepuluh pula Si Ayam.
(Maaf, aku kurang pasti kenapa mereka berada di kedudukan ini. Aku lupa. Aku pasti ada cerita menarik di sebaliknya.)

Di tempat kesebelas adalah Si Anjing. Anjing sepatutnya berada di kalangan mereka yang di hadapan kerana kepantasannya dan kemahiran berenang yang ada, tetapi Si Anjing menjadi lewat disebabkan hilang fokus akibat seronok bermain air ketika menyeberangi sungai.

Di tempat kedua belas adalah Si Babi. Walaupun juga mahu bersaing, tetapi Si Babi memang kurang motivasi. Di pertengahan perlumbaan, dia berasa lapar dan berhenti untuk makan. Akibat kekenyangan, Si Babi buat keputusan untuk berehat sebentar dan kemudian tertidur sepanjang perlumbaan.

Maka,
begitulah kisah di mana 12 haiwan zodiak Cina dapat giliran tahun masing-masing.




Ya, banyak persoalan timbul dari cerita aku ini.
Ini edisi yang ada tertanam di dalam memori aku.
Aku yakin, cerita ini sangat berbeza dengan cerita yang kalian pernah baca, dengar, atau pelajari.
Untuk versi yang lebih tepat dan terperinci, kalian boleh cari di internet.

Tapi kena ingat, ini cerita dongeng.
Hampir kesemua cerita dongeng memang tiada asas kukuh.
Tiada fakta yang boleh dikatakan paling tepat.
Bermakna, tiada versi yang boleh diiktiraf sebagai paling boleh diterima.

Tapi apa yang menjadikan cerita Perlumbaan Teragung ini menjadi antara cerita kegemaran aku ialah kerana ceritanya menjelas banyak perkara. Ceritanya ditulis dengan baik kerana memasukkan sifat haiwan-haiwan tersebut secara spesifik.

Sifat tikus yang licik. Kucing yang bersifat pendendam. Lembu yang baik hati tapi selalu dipergunakan. Harimau yang gagah. Naga yang suka menolong. Arnab yang suka melompat. Kuda yang senang terkejut. Ular yang suka mengambil kesempatan. Anjing yang suka bermain. Babi yang bersifat kebabian.

Walaupun banyak yang boleh dipersoal, tetapi ceritanya begitu menghiburkan dan boleh difahami, bila kita dengar ceritanya kita akan sebut 'ooooh, patutlah!'.



Maka,
aku tamatkan entri ini dengan ucapan
SELAMAT TAHUN BARU CINA
dan SELAMAT BERCUTI.

Kalian lahir dalam tahun apa mengikut zodiak kalendar Cina?




Nota Kaki:
Kisah Perlumbaan Teragung ini aku cerita di hadapan ahli keluarga aku termasuklah Mak dan Abah aku beberapa hari sebelum tibanya Tahun Baru Cina. Entah kenapa semua mereka kata itu kali pertama mereka dengar, sedangkan aku amat yakin aku berkali-kali dengar cerita ini semasa usia kecil dahulu. Maksud aku, siapa lagi yang akan ceritakan kisah dongeng semasa aku kecil kalau bukan ahli keluarga sendiri? Dan kalau ahli keluarga aku kata mereka semua baru pertama kali dengar, dari siapa/mana sebenarnya aku tahu tentang cerita ini? Perkara ini memang mendatangkan lebih banyak persoalan.





.

5 comments:

  1. Hello cEro. It's been awhile since I last commented on your posts :O

    Honestly, tak pernah pun dengar cerita Kisah Perlumbaan Teragung / The Great Race ni. It's quite an interesting story. Lepas ni, akan google the other versions pula :)

    ReplyDelete
  2. Aku tak pernah pun dengar atau baca pasal kisah perlumbaan teragung ni. Maybe tak berapa popular masa zaman aku. Dah tahun baru cina ni la baru aku tahu tahun ni tahun babi.

    So kesimpulannya babi la yg paling match perangai dan namanya. Haha.. anwyay good story.

    ReplyDelete
  3. Masa first baca kisah ni dulu bangga la sebab lahir tahun lembu. Pastu rasa sedih sebab baik sangat pastu kena tiaw ngan orang. Adeh. Hahaha

    ReplyDelete
  4. tergelak aku bila baca "babi yang bersifat kebabian". hahaha...

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License