Selamat menyambut bulan Ramadhan 1435h.
Sempena Ramadhan ini,
aku ingin menceritakan satu kisah di bulan Ramadhan tahun lalu yang terjadi kepada aku. Setahun aku tunggu semata-mata nak ceritakan kisah ini. Alhamdulillah, nyawa masih ada dan peluang sekali lagi diberikan-Nya untuk aku lalui Ramadhan.
Kisah ini bermula pada awal bulan Ramadhan tahun lalu.
Aku singgah di bazar ramadhan di pekan tempat aku tinggal.
Pelbagai juadah ada. Lauk-pauk banyak jenis, kuih-muih pelbagai rupa, air minuman bermacam warna.
Semuanya suasana biasa sesebuah bazar ramadhan...
...kecuali satu.
Seorang gadis di gerai jual murtabak.
Perhatian aku tertarik ke arah gadis gerai murtabak ini.
Bukan semata-mata sebab dia cantik...hm...macam mana nak kata ek?
Memang tak dinafikan dia memang menarik perhatian, tapi bukan kecantikan dia yang menarik perhatian aku, tapi keadaan dia.
Dia, pada aku, kelihatan sangat tak suka dengan kerja yang dia buat, iaitu jual murtabak.
Nampak sangat muka dia tak ikhlas.
Senyum apatah pula, tak pernah ada langsung.
Dari segi pakaian pula, aku boleh kata yang dia memang berpakaian bukan untuk menjaga gerai murtabak.
Disebalik apron yang dipakai, aku tahu pakaian dia sangat tak sesuai.
Gerai murtabak itu dijaga tiga orang selalunya.
Si gadis tu selalu jadi bahagian pembungkusan dan duit (front face),
manakala dua lagi (lelaki dan perempuan, mungkin emak dan abah dia) berada di belakang masak murtabak ikut keperluan.
Aku dapat jangka bahawa dia bekerja di gerai itu atas paksaan,
mungkin paksaan kedua-dua ibubapanya.
Sebab itu jelas di wajah dia yang dia tak ikhlas.
Disebabkan berminat, aku beli murtabak di gerai itu.
Maknanya, aku berurusan jual beli dengan gadis itu.
Aku order, dia bungkus, aku bagi duit, dia pulang duit baki, selesai.
Dia langsung tak pandang muka aku, apatah lagi senyum.
Muka dia masam sepanjang masa.
"Harap muka je cantik, tapi tak mesra langsung..."
Mungkin itulah rungutan para pelanggan lain, tapi bukan aku.
Pada aku, memandangkan hobi aku ialah melihat gelagat manusia,
maka dia sangat menarik untuk aku perhatikan.
Dijadikan cerita,
setiap selang dua-tiga hari, aku akan beli murtabak dari gerai dia.
Setiap kali aku beli, aku akan berurusan dengan dia.
Setiap kali aku berurusan dengan dia, aku akan ucap terima kasih.
Dan setiap kali berurusan, aku dapat rasakan gadis itu semakin berubah.
Sehinggalah di satu hari pertengahan bulan Ramadhan,
selepas selesai urusan membeli, ketika aku berterima kasih kepada dia,
dia menjawab kembali,
"Terima kasih."
Itu kali pertama aku dengar suara dia.
Not bad.
Untuk hari-hari pembelian seterusnya,
sebelum sempat aku sebut terima kasih, dia sudah ucapkan akad
"Saya jual."
Dengan senyuman, aku jawab, "Saya beli."
Di pertengahan 10 hari terakhir Ramadhan,
aku dapat rasa ini mungkin kali terakhir aku membeli di bazar.
Sebabnya pada waktu itu gerai di bazar semakin kurang
dan disebabkan adik-adik aku balik ke rumah, maka makanan kebanyakan dimasak mereka, jadi aku tak perlu beli di bazar lagi.
Untuk kali terakhir, aku datang ke gerai murtabak itu.
Si gadis itu berdiri seolah-olah menunggu kedatangan aku.
Dia mula sapa, "Nak beli murtabak, bang?"
"Niatnya begitulah," balas aku.
"Hari ni kami last, bang. Esok dah tak buka gerai."
"Oh, jadi hari ni spesial-lah ye?"
"Spesial untuk abang, saya letak extra satu."
Perbualan kami berlarutan beberapa minit,
topiknya berkisar kepada kampung tempat bakal beraya.
Dari perbualan akhir yang singkat itu,
aku rasa dia sudah banyak berubah.
Dia semakin ikhlas berniaga walaupun pada mulanya jelas seperti terpaksa.
Dia juga semakin murah senyuman walaupun awalnya muka masam mencuka.
Kalau dulu langsung tak pandang muka, namun akhirnya aku mampu pertahankan perbualan selama beberapa minit.
Dan yang paling menarik pada kau ialah
aku mampu melihat dia senyum.
Dan seperti wajah dia, senyuman ikhlas dia sangat cantik.
Senyuman yang tidak boleh disifatkan dengan kata-kata.
Untuk itu, aku bertuah.
Pengajaran bagi cerita ini
bukannya aku nak suruh kalian bahawa stalk gadis jual murtabak, BUKAN!
Pengajaran yang aku nak kongsikan ialah setiap manusia ada potensi untuk jadi lebih baik, apatah lagi di bulan Ramadhan ini.
Maka rugilah mereka-mereka yang tidak memanfaatkan Ramadhan ke arah kebaikan.
Aku juga harap Ramadhan kali ini aku boleh berubah jadi lebih baik dari sebelumnya.
Bukannya tunggu Ramadhan baru nak jadi baik, BUKAN,
tapi gunakan Ramadhan sebagai pemangkin diri untuk jadi lebih baik.
Jadi,
kalau ada kawan-kawan yang berubah baik di bulan Ramadhan,
janganlah kita perlekehkan dia dengan berkata,
"Hek eleh, bulan puasa jadi baik. Bulan lain macam kacang hantu."
Bagilah sokongan dan dorongan kepada mereka untuk berubah
seperti kita perlukan sokongan dan dorongan untuk berubah.

Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat berpuasa.
.