Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jul 27, 2018

CKOM: Cadangan Penambahbaikan.



Salam.

Berbeza dengan entri lain yang lebih bersifat sentrik-diri, entri kali ini adalah sepenuhnya dedikasi untuk menambahbaik satu komuniti. Maka, cEro akan bahasakan diri sebagai 'saya', bukan 'aku' seperti yang biasa.


Matkomik, Facebook.


CKOM adalah singkatan kepada 'Cabaran Komik Online Malaysia', satu pertandingan melukis komik hasil inisiatif Matkomik yang dianjurkan setiap tahun bermula tahun 2014. CKOM adalah acara tahunan yang ditunggu-tunggu oleh para pelukis komik sama ada amatur mahupun yang professional kerana dengan penganjurannya banyak bakat-bakat baru yang semakin dipandang tinggi oleh orang ramai.

Setiap tahun anjuran, tema yang ditetapkan Matkomik untuk CKOM adalah berbeza; sebagai contoh untuk tahun 2015 dengan tema 'CINTA', tahun 2016 bertemakan 'silent comic - HERO' dan pada tahun lepas 2017 bertemakan 'SUKAN'. Tema yang berbeza inilah menjadi penarik utama untuk para pelukis komik menyertai dan para pembaca untuk terus membaca.

Saya ada sentuh beberapa kali mengenai CKOM di dalam entri di bawah:
- CKOM, Tujuan, dan Kisah Untuk Masa Depan. 
Buku Kompilasi 'Cabaran Komik Online Malaysia (CKOM)' 2017. BERBALOIKAH?

CKOM, tidak dinafikan, adalah jasa dan kejayaan terbesar Matkomik untuk industri komik tempatan.



Pada 10 Julai lalu, Matkomik menerusi satu posting di Facebook sudah mengesahkan bahawa CKOM untuk tahun 2018 ini akan berkunjung tiba.




Namun, di dalam posting berkenaan, Matkomik juga meminta para pembaca untuk memberikan cadangan, pandangan dan penambahbaikan untuk CKOM 2018 ini. Pada saya, itu adalah satu langkah yang baik untuk terus memajukan CKOM yang akan masuk tahun ke-5 pada kali ini. Dengan meminta pandangan para pembaca untuk menambahbaik CKOM, Matkomik akan dilihat sebagai satu entiti yang serius mahu memajukan CKOM dan tidak dilihat hanya syok sendiri sahaja di dalam industri komik tempatan ini.

Dan itulah tujuan entri ini, untuk memberi sedikit cadangan dan buah fikiran terhadap CKOM sebagai sesuatu yang saya amat hargai kewujudannya.

Sebelum apa-apa, biar saya mulakan dahulu dengan berkongsi mengenai OBJEKTIF penganjuran CKOM supaya para pembaca entri ini faham isi seterusnya yang bakal saya sampaikan.



OBJEKTIF CKOM.

Menurut nota Matkomik di dalam hantaran Facebook bertarikh 15 Oktober 2017 (rujuk sini), OBJEKTIF penganjuran CKOM ada TIGA;

1) Untuk mencungkil bakat-bakat baru.
2) Memberi ruang platform pelukis untuk berkarya dan berkongsi cerita dengan pembaca komik Malaysia.
3) Memeriahkan lagi persada komik tempatan.

[Objektif ini adalah merujuk kepada objektif CKOM 2017. Entri ini ditulis dengan anggapan objektif ini tidak berubah dan merupakan objektif untuk keseluruhan penganjuran CKOM tanpa mengira tahun.]


Antara peraturan yang menjadikan CKOM berbeza dengan pertandingan komik yang lain termasuklah;

- Terbuka kepada semua rakyat MALAYSIA. Tidak kira umur, amatur ataupun profesional.
- Komik MESTI dalam Bahasa Melayu.
- Asas cerita, ciri, watak dan latarbelakang komik hendaklah berasaskan unsur keMalaysiaan.
- Karya komik perlu ‘mesra syariah’ daripada segi kandungan cerita dan pemakaian watak.



ISU MENGENAI CKOM dan CADANGAN PENAMBAHBAIKAN.

Di bawah adalah beberapa isu mengenai CKOM yang dapat saya kenal pasti dan disertakan juga dengan cadangan penambahbaikan daripada saya.

Saya, secara peribadi, apabila membaca sesebuah karya komik sama ada berbentuk digital, fizikal, ataupun medium seperti surat khabar, majalah dan media sosial, saya akan baca komik tersebut sebanyak (paling kurang) DUA kali.

Satu kali saya akan baca sebagai seseorang yang juga melukis komik, dan kali kedua saya akan baca sebagai seorang insan biasa yang mahu membaca komik (orang awam).

Setelah 4 tahun penganjuran CKOM, saya dapati ada beberapa isu yang patut dititikberatkan dari kaca mata seorang pelukis komik DAN juga seorang pembaca biasa;


1. SETIAP TAHUN, YANG MENANG KERAP KELUAR NAMA YANG SAMA.

Jika kita lihat senarai pemenang sejak tahun 2014 (boleh rujuk di sini), kita akan dapati terdapat beberapa nama yang berulang setiap tahun. Hal ini juga disedari oleh beberapa kawan pelukis komik saya yang lain.

Ini tidak bermakna pemenang yang sudah menang tidak layak menang. Jika memang terbukti karyanya bagus, maka tidak salah untuk pelukis berkenaan menang seberapa banyak kali yang dia mahukan. Lagipun, salah satu daripada syarat menyertai CKOM ialah 'Terbuka kepada semua rakyat MALAYSIA. Tidak kira umur, amatur ataupun profesional'.

Pendapat saya, syarat itu, walaupun dilihat bersifat mesra dan terbuka untuk semua, tapi sedikit bercanggah dengan salah satu objektif CKOM; '1) Untuk mencungkil bakat-bakat baru'.

Jika pertandingan disertai para professional yang sudah tentu mutu lukisan dan jalan ceritanya berada di tahap yang tinggi, bagaimana para bakat baru mahu bersaing dengan baik, seterusnya mampu dicungkil?

Bayangkan, jika kita merupakan seorang yang baru dan terpaksa kumpul keyakinan untuk hantar penyertaan di dalam CKOM, dan dalam masa sama saingan kita adalah orang professional yang memang ternyata berbeza tahap lukisannya, ini akan membuatkan kita punya self esteem merudum rendah, sekaligus akan muncul pemikiran "buat apa sertai kalau sudah tentu pasti kalah."

Akhirnya, yang professional akan berterusan menikmati ganjaran kemenangan, dan bakat-bakat baru pula akan tenggelam dan lari kerana berasakan hasil usaha mereka tidak mencapai standard dan tidak dihargai.

Jadi, apakah penyelesaiannya?

Terdapat sembang-sembang belakang mengatakan CKOM patut perkenalkan kategori berbeza; Amatur dan Professional. Pendapat saya, walaupun cadangan ini kedengaran bernas, namun ia kurang praktikal.

Pembahagian kategori akan buat kerja menilai semakin bertambah kerana penilaian untuk amatur sudah tentu tidak sama dengan penilaian untuk professioal. Pembahagian kategori juga akan menyebabkan ganjaran kemenanga terpaksa dibahagi malah jumlah pemenang juga akan turut terbahagi dan berkurang. Juga, menentukan seseorang itu sebagai amatur ataupun professional tidak semudah yang dibayangkan. Komik saya pernah diterbitkan penerbit ternama, tapi itu tidak bermakna saya seorang professional, kan?

Lagipun, pembahagian kategori akan mengakibatkan salah satu objektif CKOM tidak boleh tercapai; iaitu '3) Memeriahkan lagi persada komik tempatan'. Bagaimana persada komik tempatan mampu menjadi meriah jika berlakunya polarisasi karya dalam pertandingan?

Jadi, ini cadangan saya untuk menyelesaikan isu 'pemenang berulang' ini.

Letak satu syarat tambahan bahawa pemenang tahun sebelumnya TIDAK AKAN MENJADI PEMENANG PADA TAHUN INI. Ini akan membuatkan tiada pemenang yang berulang menang berturut-turut. Dia akan hanya layak untuk menjadi pemenang selang setahun.

Pendek kata, pemenang pada tahun 2017 TIDAK AKAN DIPILIH SEBAGAI PEMENANG pada tahun 2018.

Ini tidak bermaksud pemenang tahun sebelum ini tidak boleh menyertai CKOM untuk tahun seterusnya. Berpegang kepada objektif 'memeriahkan persada komik tempatan', mereka masih boleh dan bebas sertai CKOM. Cuma tidak kira betapa bagus sekalipun lukisannya, ceritanya, karyanya, dia tidak akan dipilih sebagai pemenang dan karyanya itu tidak akan diterbitkan di mana-mana penerbit untuk tahun itu. Itu adalah sesuatu yang pemenang harus lalui dan setujui tanpa kompromi.

Syarat ini akan menyelesaikan isu 'pemenang berulang' tanpa perlu membahagikan kategori. Semua pelukis, tidak kira amatur mahupun professional, masih boleh bersaing sama-sama tanpa perlu risau ada orang yang 'pasti' akan menang lagi.




2. ISU PENJURIAN.

Salah satu keunikan CKOM adalah juri professional yang bakal menilai karya penyertaan setiap tahun yang berbeza. Meletakkan juri professional menjadikan CKOM dilihat sebagai sebuah pertandingan yang serius dan ada prestij tersendiri.

Namun, juri professional dalam bilangan yang rendah (satu, dua orang) akan mengakibatkan satu isu yang tidak boleh dipertikaikan lagi; ISU BIAS.

Juri professional yang sedikit akan membuatkan penilaian menjadi bias. Juri itu sudah tentu ada 'set' lukisan bagaimana yang menjadi kegemaran peribadi. Kalau dia seorang yang sukakan stroke tebal, maka dia akan menilai karya stroke tebal dengan lebih baik berbanding stroke-stroke yang lain. Kalau juri itu sukakan lukisan gaya Malaysia, maka mungkin juri itu akan menilai lukisan gaya Amerika dan gaya Jepun dengan penilaian yang skeptikal.

Disebabkan juri professional merupakan mereka yang berada lama di dalam industri komik ini, maka sudah pasti perkara pertama yang mereka akan nilai adalah lukisan. Lukisan yang hebat (dan dilihat berpengalaman) akan menjadi pilihan berbanding hasil lukisan mereka yang baru (dan nampak teragak-agak) tidak kira sama ada jalan cerita yang baru itu lebih baik daripada yang berpengalaman.

Ini juga salah satu faktor yang menyumbangkan kepada kemenangan orang yang sama berkali-kali.

Saya yakin para juri professional mampu menjalankan tugas mereka dengan sebaiknya, tapi jangan nafikan kewujudan bias di dalam pemilihan pemenang. Sudah beberapa kali karya yang lukisannya bagus tapi jalan ceritanya biasa dipilih sebagai antara pemenang sedangkan wujud banyak lagi karya yang jalan ceritanya sangat bagus tapi tidak menang disebabkan lukisan yang tidak mencapai tahap yang ditentukan juri professional tersebut.

Kuasa mutlak untuk memilih pemenang, saya anggap terlalu besar untuk ditanggung seorang (dua) juri professional.

Jadi, apakah penyelesaiannya?

Perbanyakkan juri sebagai langkah untuk mengurangkan bias. Wujudkan posisi juri awam rahsia.

Cadangan saya, juri professional hanya perlu memegang 50% daripada markah keseluruhan. Baki kuasa diberikan kepada juri awam. Juri awam ini bersifat rahsia dan hanya diketahui oleh pihak Matkomik. Matkomik akan buka satu peluang kekosongan kepada pembaca untuk mendaftar sebagai juri awam rahsia sebelum pertandingan berlangsung. Matkomik boleh ambil siapa sahaja sebagai juri awam tidak kira apapun latar belakangnya sama ada ada kaitan dengan industri ataupun tidak, dengan syarat mereka perlu komited membaca semua penyertaan yang ditugaskan.

Juri awam rahsia ini akan mengadili sebagai wakil pembaca biasa yang merupakan pembaca majoriti untuk komik tempatan.

Untuk satu karya, lantik 4 orang juri awam rahsia dan diberikan kuasa 10% masing-masing. 4 orang ini mungkin bukan juri yang sama untuk keseluruhan penyertaan. Mungkin satu juri awam hanya menilai 10 karya komik. Matkomik akan berikan mereka borang penilaian dan para juri awam ini hanya perlu isi borang penilaian itu berdasarkan penilaian mereka sendiri.

50% daripada juri professional, 40% daripada juri awam rahsia, dan 10% lagi mungkin melalui undian bintang di laman web Matkomik. Cara ini sekaligus dapat mengurangkan bias di kalangan juri professional, menggalakkan penglibatan pembaca dan sekaligus menarik trafik ke laman web Matkomik. Pemenang yang bakal dipilih juga adalah pemenang yang menang bukan sekadar hanya ada lukisan yang bertaraf tinggi, malah ada cerita yang boleh difahami semua jenis pembaca terutamanya pembaca biasa.




3. ISU TAJUK.

Isu ini lebih kepada saranan peribadi.

CKOM, pada saya, boleh menjadi antara gerakan yang memperkasakan Bahasa Malaysia di negara kita ini. Dengan nama Cabaran Komik Online Malaysia, CKOM seharusnya menjadikan Malaysia sebagai titik identiti utama dalam semua penyertaan.

Dan itulah yang sudah CKOM lakukan dengan meletakkan syarat seperti;
- Komik MESTI dalam Bahasa Melayu.
- Asas cerita, ciri, watak dan latarbelakang komik hendaklah berasaskan unsur keMalaysiaan.

Ini satu syarat yang bagus dan dilihat boleh menggalakkan penggunaan Bahasa Malaysia di tahap optimum.

Namun, daripada pemerhatian saya, kebanyakan penyertaan untuk CKOM sebelum-sebelum ini gemar meletakkan TAJUK dalam Bahasa Inggeris. Mungkin ia tidak dikhususkan di dalam syarat, maka para peserta fikirkan tidak mengapa.

Tidak dinafikan, menggunakan Bahasa Inggeris sebagai tajuk akan membuatkan cerita itu kedengaran lebih gah dan kelihatan hebat. Malah manga Jepun juga kebanyakannya menggunakan tajuk Bahasa Inggeris atas tujuan membuka laluan pintu untuk menembusi pasaran antarabangsa.

Namun, diingatkan, CKOM adalah pertandingan di dalam Malaysia. Tiada keperluan untuk para peserta menggunakan tajuk di dalam Bahasa Inggeris sedangkan cerita di dalamnya adalah dalam Bahasa Malaysia.

Jadi, cadangan saya...

...perkenalkan satu syarat tambahan untuk WAJIB MELETAKKAN TAJUK DI DALAM BAHASA MALAYSIA. Jika perlu menggunakan Bahasa Inggeris, berikan DUA tajuk cerita tersebut; satu dalam Bahasa Inggeris, satu lagi dalam Bahasa Malaysia. Jika tajuknya adalah istilah khusus dalam Bahasa Inggeris, hanya benarkan penggunaannya di dalam bahasa itu selepas dipastikan tiada terjemahan tepat untuknya di dalam Bahasa Malaysia.

Pada saya,
kalau bukan kita sendiri orang Malaysia mahu guna Bahasa Malaysia, siapa lagi? Pelukis komik ada kuasa untuk sebarkan keindahan Bahasa Malaysia, kenapa perlu guna bahasa lain hanya untuk kedengaran lebih gah dan kelihatan hebat?




4. TEMA TAHUNAN.

Ini bukanlah satu isu yang berat, hanya satu cadangan.

Antara perkara yang ditunggu-tunggu para pembaca dan pelukis yang bakal menyertai CKOM adalah tema. Daripada tema BEBAS pada tahun 2014, tema CINTA pada tahun 2015, tema HERO pada tahun 2016, dan tema SUKAN pada tahun 2017, kepelbagaian tema itulah menjadi teras kekuatan CKOM setiap tahun.

Namun, boleh difahami bagaimana tema yang tepat adalah amat penting. Kalau tema itu terlalu susah, penyertaan menjadi berkurangan kerana para peserta mungkin berasakan susah mahu merealisasikan tema tersebut. Namun kalau tema itu terlalu mudah pula akan membuatkan cabaran dan keseronokan melukis pula akan menurun. Mendapatkan tema yang sesuai setiap tahun bukanlah perkara yang mudah.

Jadi, cadangan saya...

...apa kata Matkomik buka satu peluang, mungkin satu posting di laman media sosial (Facebook, Twitter, Instagram) untuk meminta cadangan para pembaca tentang apakah tema yang sepatutnya dipertandingkan pada tahun ini. Para pembaca akan berikan idea masing-masing. Selepas satu tempoh masa, Matkomik akan pilih beberapa cadangan terbaik (mungkin 5 atau 6) dan buat satu 'poll' supaya para pembaca memilih salah satu daripada tema pilihan itu. Tema dengan undian terbanyak akan dipilih sebagai tema tahunan untuk CKOM.

Cara ini, bukan sahaja akan memudahkan kerja Matkomik mencari tema, malah akan membuatkan para pembaca berasa dihargai kerana mereka secara langsung terlibat dalam proses pemilihan tema. Lagipun, cadangan banyak-banyak yang diberikan pembaca boleh disimpan untuk kegunaan tahun seterusnya. Idea daripada para pembaca ni, kadang-kadang, boleh tahan bernas juga.



========================= ============



Begitulah EMPAT isu dan penambahbaikan CKOM yang saya cadangkan. Harap pihak Matkomik dapat meneliti segala isu yang telah saya bentangkan ini dan bertindak mengikut kebaikan semua pihak.

Semua cadangan penambahbaikan ini adalah idea saya dan hanya saya seorang. Jika ada mana-mana pihak tidak puas hati dan merasakan ada keperluan untuk berdebat (dan berbincang secara ilmiah) bolehlah hubungi saya di mana-mana jaringan media sosial yang ada.

Jika pihak Matkomik mahu menggunakan cadangan saya ini, saya persilakan sepenuhnya. Saya tidak akan menuntut apa-apa hak dan penghargaan. Jika Matkomik tidak mahu menggunakannya sekalipun, tidak rugi apa-apa di pihak saya. CKOM akan berlangsung setiap tahun dan saya pasti dari masa ke masa, CKOM akan berevolusi menjadi lebih baik daripada sebelumnya tidak kira dengan atau tanpa cadangan daripada saya.

Akhir kata daripada saya,
majulah industri komik tempatan untuk semua.

Sekian.







.

Jul 25, 2018

Cerita Tiga Positif.



Salam.




Manusia.
Makhluk yang menarik.

Manusia diberi kurniaan akal, berbeza dengan hidupan lain.
Manusia memajukan diri menjadi spesies hidupan yang berada di kedudukan paling tinggi dalam hierarki kehidupan.
Manusia menyebarkan kebaikan, mempunyai belas, dan mampu berkasih sayang; sama ada memberi kasih mahupun menerima sayang.

Namun,
manusia juga menggunakan akal mereka menindas yang lain.
Manusia begitu tamak memajukan diri sehingga memandang enteng hak yang lain untuk berkongsi hidup.
Manusia mampu meluahkan kebencian, ada kelompok yang sampai tahap bersifat zalim dan menzalimi, malah ada mampu menyebarkan kejahatan sehingga sanggup memusnahkan; bukan sahaja terhadap hidupan berlainan spesies, malah sesama manusia sendiri.

Pada aku,
aku membenci manusia dan dalam masa sama menyayangi manusia.
Aku benci dengan sifat negatif mereka, tapi aku sayang dengan sifat positif yang ada.
Dengan kata lain,
manusia mempunyai kedua-duanya; positif dan negatif.

Seperti sekeping syiling; ada kepala dan ada ekornya.
Seperti sebentuk magnet mempunyai dua kutub, utara dan selatan.
Seperti satu hari ada dua bahagian; siang dan malam.
Seperti sebilah pisau; ada bahagian tajam dan ada yang boleh dipegang.

Manusia juga ada dua sifat; positif dan negatifnya.

Kita kena faham,
positif dan negatif tidak berada di dalam spektrum yang sama.
Manusia mampu menjadi positif, dan dalam masa sama, masih bersifat negatif.
Setiap daripada manusia mempunyai kedua-duanya; tiada manusia yang sentiasa positif dan tiada juga yang sentiasa negatif.

Kali ini,
aku mahu kaji bagaimana manusia mampu mengawal kedua-dua sifat itu di dalam diri sedangkan dua sifat ini saling menolak antara satu sama lain.




CERITA SATU.
------------


Suatu hari, atas sebab yang tidak mahu aku terangkan secara lanjut, aku berada di wad kanak-kanak untuk pesakit barah di sebuah hospital terkemuka ibu negara. Wad tersebut dipenuhi dengan kanak-kanak pelbagai usia dan berbilang bangsa, agama, dan bahasa namun mempunyai satu persamaan; semua mereka menghidap penyakit barah (juga dikenali sebagai kanser).

Di sana, aku berkesempatan untuk duduk berbual dengan seorang penghuninya. Seorang budak berumur 8 tahun yang aku panggil 'Abang'. Abang menghidap kanser darah. Di kala kanak-kanak seusianya sedang seronok bersama kawan-kawan sebaya di sekolah, Abang perlu berulang alik ke hospital bagi tujuan rawatan berkala.

Aku duduk di sebelah katil Abang. Abang baru sahaja kembali dari prosedur 'spinal tap'. Spinal Tap adalah satu prosedur mengambil cecair tulang belakang untuk tujuan diagnostik. Doktor akan cucuk jarum besar di belakang badan dan memasuki celah tulang belakang untuk mengambil cecair yang berada di dalam tulang tersebut. Prosedur ini, seperti yang digambarkan, adalah amat menyakitkan tidak kira bagi orang dewasa apatah lagi bagi seorang kanak-kanak.

Berada di atas katil, jelas wajah Abang kepenatan. Namun digagahnya lagi untuk Abang menghadiahkan senyuman kepada aku. Bila aku tanya kenapa Abang senyum padahal jelas dia kehabisan tenaga, ini jawapannya:

"...Abang nak buat benda yang Abang suka. Abang suka senyum. Kalau benda tu Abang kena buat dan Abang tak suka, Abang akan tetap senyum sebab Abang suka senyum..."

Dalam perkara buruk yang menimpanya, Abang masih lagi mahu senyum.



CERITA DUA.
-----------


Gadis yang aku gelar 'N' ini aku kenal melalui media sosial. Dia seorang gadis yang manis, berkerjaya, dan memiliki perniagaan atas usaha sendiri. Jujur aku katakan, dia adalah jenis yang aku suka tapi aku rasa aku hanya ada kurang daripada 8% sahaja peluang untuk kenal rapat dengan dia.

Sebgai seorang gadis yang berkerjaya dan memiliki perniagaan sendiri semestinya memerlukan N untuk bekerja keras. Bekerja hampir 7 hari seminggu, sudah tentu penat bukannya perkara asing bagi N. Namun, N masih lagi mampu menonjolkan senyuman dan keriangan di media sosial tidak langsung pernah timbul rungutan dan keluhan.

Positiviti yang N tunjukkan bukan sahaja mengagumkan, malah kadang kala membuatkan aku risau dan cemburu. Ya, kalian baca betul, RISAU DAN CEMBURU.

Bila aku berkesempatan bertanyakan macam mana N mampu untuk terus kekal positif dalam kehidupannya, N membalas:

'Thank you to every person who ever told me I can't...You're just another reason why I will.'

Ia merupakan satu petikan kata-kata motivasi, a motivational quote. Kata N, dia berpegang kepada prinsip itu dan prinsip itulah yang membuatkan dia terus dapat mampu berada di dalam zon positif walaupun tanpa perlu dia beritahu, cabaran yang datang sudah tentu bukan calang-calang.

Petikan kata-kata motivasi seperti itu memang banyak boleh didapati di merata tempat, tapi aku tak sangka memang wujud orang yang berpegang kepada petikan tersebut. Aku kagum.



CERITA TIGA.
------------


Jadi, bukan rahsia lagi bahawa aku adalah pemain permainan aplikasi Pokémon GO. Semasa dalam satu sesi 'raid' suatu masa dahulu, aku berkenalan dengan seorang pakcik berbangsa Cina bernama Uncle Lim. Uncle Lim seorang pakcik yang (jika diteka) mungkin berada di usia 50-an. Kami hanya berpeluang berbual dan bertukar pendapat jika ada 'raid' di PokéGym sekitar kawasan selalu aku main Pokémon GO.

Aku hanya memanggil Uncle Lim sebagai 'Uncle'.

Pada satu ketika, entah bagaimana, Uncle sempat memberikan aku nasihat yang berbunyi:

"Bila you hidup cukup lama, you akan sedar yang hidup ini tak boleh lari daripada tekanan, masalah dan juga cabaran. Perkara itu pasti akan datang, itu you tak boleh pilih. Apa yang you boleh pilih adalah bagaimana mahu lalui setiap tekanan, masalah dan cabaran yang datang itu. Kalau you marah-marah, maka hasilnya pun tidak elok. Kalau you bertenang, semuanya pun akan okey."

Sebenarnya, Uncle Lim bercerita tentang permainan Pokémon GO yang tidak sudah-sudah dan bagaimana sesetengah pemain akan marah-marah bila tidak dapat apa yang dihajati ketika bermain. Tapi nasihat Uncle itu sangat umum, sesiapa yang mendengarnya boleh kaitan dengan seluruh kehidupan.

Itulah nasihat daripada orang yang berpengalaman.



KESIMPULAN.
-----------


Manusia yang kata hidupnya sentiasa positif ini, sama ada dia belum hidup secukupnya ataupun jelas-jelas dia sedang menipu.

Manusia, tidak kira usia, jantina atau bangsa, akan sentiasa didatangi cabaran, tekanan dan masalah dalam hidup. Ada kala manusia boleh hadapinya dengan sikap positif, namun ada kala mereka tidak boleh elak daripada menjadi negatif. Cabaran sebenarnya ialah apa tindakan kita apabila kita tidak boleh lari daripada bersikap negatif.

Dari cerita di atas, Abang, N dan Uncle ketiga-tiganya kelihatan menghadapi negativiti dengan cara yang berbeza, namun asasnya tetap sama; MANUSIA ADA KEMAMPUAN UNTUK MEMILIH.

Memilih apa? MEMILIH TINDAKAN SELANJUTNYA.

Apabila negativiti datang, dan pastinya negativiti akan datang, maka apa pilihan kita untuk menghadapinya? Sama ada kita hadapinya dengan bersikap negatif juga, atau kita pusingkan negativiti itu kepada sesuatu yang positif dan memanfaatkan.

Dan itulah apa yang aku suka tentang manusia.

Manusia mungkin suka menindas, tamak, memandang enteng hak yang lain, penuh kebencian, bersifat zalim dan menzalimi, dan menyebarkan kejahatan sehingga sanggup memusnahkan. Namun manusia juga menyebarkan kebaikan, mempunyai belas, penuh dengan kasih sayang, bersifat membantu, dan tidak selalunya mementingkan diri sendiri.

Mana satu yang manusia pilih untuk dijadikan pilihan, itu terletak kepada individu manusia itu sendiri. Manusia mampu memilih jalan yang mereka mahu lalui, sama ada terus positif atau terus menjadi negatif.





Dan ini adalah nasihat untuk diri kau sendiri, C,
supaya terus memilih dan menentukan jalan kau sendiri.
Sama ada gelap, ataupun dengan cahaya.


Jadi,
apakah cara kalian untuk terus jadi positif?




.

Jul 18, 2018

Anjing, Manusia dan Kemanusiaan.


Salam.

Hari Jumaat. Hari di mana paginya lebih indah berbanding pagi hari lain. Hari di mana waktu rehat tengaharinya lebih panjang berbanding empat hari sebelumnya. Hari di mana produktiviti para pekerja berada di paras paling bawah disebabkan bakal datangnya hujung minggu Sabtu dan Ahad pada keesokan.

Aku berada di luar. Berada di bawah sinar matahari yang terik sambil menunggang motosikal melalui jalan kawasan perumahan. Tiada angin, tiada awan, panas yang datang tepat sasarnya 150 juta kilometer dari Sol jatuh ke arah aku. Peluh seluruh badan pun tidak dapat dirasai kerana sudah tersejat dek panas yang tidak dapat dielak.

Aku berhenti berteduh seketika di bawah redup bayang pokok di penjuru satu simpang empat kawasan perumahan itu. Aku memeriksa telefon bimbit andai ada sesuatu yang memerlukan perhatian. Silau cahaya membuatkan aku meningkatkan darjah kecerahan. Tiada apa-apa di skrin telefon, hanya notifikasi daripada beberapa aplikasi yang tidak aku dilayani.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pekikan meminta tolong. Bukan daripada manusia, tapi daripada binatang.

Aku hidup cukup lama dengan binatang, terutamanya kucing, untuk kenal jenis bunyi yang dikeluarkan mereka. Tidak syak lagi, ini adalah bunyi meminta tolong daripada seekor haiwan. Haiwan berkaki empat, tapi bukan haiwan yang biasa bagi aku.

Ini bunyi daripada seekor anjing.

Aku memerhati sekeliling. Tiada tanda kewujudan apa-apa hidupan. Namun bunyi meminta tolong itu seperti sangat dekat, sangat dekat seolah-olah memang ia khusus untuk memanggil aku. Aku turun daripada motosikal dan berjalan menuju ke longkang di sekitar rumah tepi simpang. Aku menjenguk ke bawah longkang.

Tidak syak lagi, ada seekor anak anjing sedang memekik meminta tolong di bawah longkang itu.





"Macam mana boleh ada anak anjing dekat bawah longkang tu?" tanya aku kepada diri sendiri.

Anak anjing itu tidak cedera, hanya terperangkap di bawah longkang. Mungkin anak anjing itu terpisah dengan kumpulan keluarga dia dan kemudian terjatuh ke bawah longkang ini. Nasib baik longkang itu tidak terlalu dalam dan agak kering. Namun, memang mustahil bagi anak anjing sekecil itu untuk keluar dari dalam longkang itu tanpa bantuan sesiapa.

"Tak ada orang lain yang boleh bantukah?" sekali lagi aku bermonolog.

Sekarang tengah lewat tengahari. Ini kawasan perumahan. Orang yang berkerja masih belum balik dari tempat kerja. Orang yang tidak bekerja tiada sebab untuk berada di luar rumah pada masa cuaca seterik ini. Memang logik kawasan itu tiada langsung orang yang berkeliaran pada waktu itu.

"Cis, apa patut aku buat?" monolog masih belum habis.

Aku pandang anak anjing itu. Anak anjing itu membalas pandangan. Anak anjing itu sudah tidak memekik meminta tolong, mungkin kerana sedar kewujudan aku di situ. Walaupun bulunya hitam, tapi nampak jelas matanya berkaca. Mungkin ini apa yang dikatakan orang barat dengan istilah 'puppy face'.

Aku tidak tinggal di kawasan perumahan itu. Aku juga tidak kenal akan anjing itu, apatah lagi siapa tuan dia. Malah, aku langsung tiada pengalaman mengendali anjing. Anjing adalah antara haiwan yang menakutkan aku. Masa aku kecil, banyak kali aku dikejar anjing tanpa sebarang sebab munasabah. Pada aku, aku tiada keperluan untuk menyelamatkan anak anjing itu.

Aku kembali ke motosikal aku dan hidupkan enjin. Pakai kembali topi keledar, masuk gear satu dan kemudian terus tinggalkan simpang empat itu. Pada aku, akan ada manusia lain yang akan menyelamatkan anak anjing itu keluar dari longkang. Tapi manusia itu bukan aku.


---------- TAMAT BAHAGIAN SATU ----------


10 minit sudah berlalu.

Di atas motosikal sambil menunggang namun fikiran aku berada di tempat lain. Lebih spesifik, berada di longkang tepi simpang empat tempat anak anjing tadi ditinggalkan sendirian. Di telinga aku patut terdengar bunyi angin yang masuk ikut celah topi keledar melawan arus kelajuan tunggangan, namun apa yang aku dengar hanyalah pekikan anak anjing tadi meminta tolong.

PIN! PIN!

Sekali lagi aku dihon oleh kenderaan di belakang apabila mengelamun tidak sedar lampu isyarat sudah hijau. Ini kali kedua aku dihon atas kesalahan yang sama dalam tempoh 10 minit itu. Aku langsung tidak fokus berada di atas jalan raya.

"Huhhh!"

Aku mengeluh dan berhenti di tepi jalan. Aku buka topi keledar dan sekali lagi menghembus keluhan yang lebih panjang.

"Benda inilah yang akan buat aku tak boleh pejam mata nak tidur malam nanti."

Tidur malam adalah satu sesi yang amat penting bagi aku (dan seluruh manusia) kerana ia menentukan mood aku pada keesokan harinya. Kalau berkualiti tidur malam aku, maka berkualitilah seluruh hari esok aku. Jika tidak, maka rosaklah seharian.

Dan perkara remeh seperti 'meninggalkan anak anjing yang meminta tolong terperangkap di dalam longkang' adalah antara perkara yang bakal membuatkan aku susah mahu pejam mata, menjadikan tidur malam aku tidak berkualiti sekaligus merosakkan hari esok. Hari esok adalah hari aku bersama keluarga. Hari tersebut tidak boleh rosak.

Di tepi jalan, dengan berderu pantas kenderaan melintas, aku buka aplikasi Google di telefon bimbit dan menaip 'samak pegang anjing' di ruangan carian. Aku sedar, topik penyucian ada diajar dahulu di sekolah (tidak silap) pada tingkatan 2 dalam subjek Pendidikan Agama Islam. Tapi, sekarang dan umur aku di tingkatan dua sudah berlalu beberapa abad maka sel-sel otak langsung tidak berhubung kerana ilmu yang diajar itu langsung tidak pernah diamalkan.

Lagi membuatkan aku terasa bodoh adalah, perkataan sebenar yang patut aku cari adalah 'sertu', bukannya 'samak'.

SAMAK adalah perbuatan menyucikan sesuatu seperti kulit binatang menggunakan bahan yang bersifat tajam dan meluntur. Kita samak kulit kambing sebelum dijadikan sebagai bahan dalam pembuatan kompang. SERTU pula adalah menyucikan sesuatu bahan apabila terkena najis berat (najis mughalazah). Aku perlu sertu tangan aku apabila memegang anak anjing yang bakal aku selamatkan nanti.

Nasib baik dalam senarai keputusan carian Google tadi ada menekankan perbezaan dua proses penyucian ini. Kalau ustazah aku tahu aku lupa akan semua ini, tentu dia akan kecewa dengan aku.

Untuk menyertu, aku perlu basuh tempat yang terkena najis (dalam kes aku, tangan) dengan tujuh kali basuhan; satu kali menggunakan air tanah dan 6 kali menggunakan air mutlak.

"Bila balik rumah nanti, aku boleh cari air tanah memandangkan belakang rumah aku ada kebun kecil." Aku merancang.

"Tapi, selepas aku selamatkan anak anjing itu nanti, sudah pasti dengan menggunakan tangan yang sama, aku akan sentuh topi keledar, kunci motosikal, pemegang, pemicu, punat lampu signal, sampai rumah aku kena sentuh tombol pintu, kasut, stokin, nak sediakan air tanah kena sentuh gayung, baldi, pengorek tanah. Itu belum tentu tanah yang mahu aku jadikan air itu bersih atau tidak memandangkan kawasan rumah aku banyak dengan kucing dan haiwan lain."

Aku sedar aku terlampau jauh menganalisa keadaan. Aku overthink.

"Alangkah bagusnya kalau aku boleh selamatkan anak anjing itu tanpa perlu menyentuhnya."

Di tepi jalan itu, mata aku ligat melilau mencari barang yang boleh dijadikan pengganti tangan aku. Jika ada barang yang boleh digunakan untuk memegang anak anjing tadi, aku tidak perlu lalui segala proses susah payah mahu sertu tangan sendiri.

Mata aku tertancap ke arah sesuatu berwarna biru yang berada di atas tanah berdekatan.

"Adakah ia benda yang aku fikir adalah ia?"

Aku menghampiri objek itu. YA. TIDAK SALAH LAGI. Objek biru itu adalah kain bendera sebuah parti politik yang kalah teruk pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas. Jatuh ke tanah dan tidak dipeduli orang ramai, nasib bendera itu sama dengan simbol yang diwakilinya.

Aku pun mengambil kain bendera itu dan melipatnya. Niat aku mahu jadikan kain itu sebagai alas antara tangan aku dan anak anjing nanti. Paling tidak, bendera itu akan berbakti sebelum terus mereput diabaikan, kan?

"Huuuhhhh!"

Panjang aku menghembus nafas, sebelum aku kembali sarungkan topi keledar dan menghidupkan enjin motosikal. Bersama-sama dengan kain biru yang dilipat di dalam bakul, aku berpatah balik ke kawasan perumahan tadi dengan satu misi:
MALAM INI AKU MAHU TIDUR NYENYAK!


---------- TAMAT BAHAGIAN DUA ----------


Dicongak matematik mudah di dalam kepala, sudah hampir 30 minit selepas aku meninggalkan tempat kejadian tadi. Hati kecil aku berharap dalam tempoh masa yang agak lama itu, sudah ada manusia lain yang menyelamatkan si mamalia kecil itu. Kalau itulah yang terjadi, maka aku tidak perlu bersusah payah untuk semua itu lagi.

Tapi tidak.

Sesampainya aku ke longkang itu, masih kedengaran anak anjing tadi memekik meminta tolong. Aku berkali-kali pastikan bahawa input audio itu adalah asli dan bukannya hasil gemaan dalam benak kepala aku sendiri. Ya. Ia asli. Anak anjing itu masih berada di bawah longkang, memekik meminta tolong.

Sekali lagi aku intai ke kiri dan ke kanan berkali-kali jika ada orang yang yang boleh membantu. Tapi tiada. Aku pasrah. Memang Tuhan Yang Maha Besar menjadikan anak anjing terperangkap ini sebagai ujian untuk aku tangani.

Antara perkara yang aku belajar sebagai pelajar biologi di zaman universiti dahulu adalah 'latihan imej'. Latihan Imej (Image Training) adalah satu konsep di mana kita akan melakukan sesuatu menggunakan imej mental (bayangan di dalam kepala) dan dilakukan berkali-kali supaya apabila kita akan melakukannya di dunia nyata, perlakuan itu tidak lagi akan kekok dan terasa baru.

Dengan latihan imej, aku turun ke bawah longkang, menghampiri anak anjing itu, dan selubung dia dengan tenang menggunakan kain bendera tadi dan mengangkatnya ke atas sebelum melepaskannya, dan aku ulang berkali-kali. Aku yakinkan diri aku yang aku boleh buat. Selepas cukup keyakinan, aku pun menghembuskan nafas panjang tanda sudah bersedia.

Aku turun ke dalam longkang. Nampak rendah, tapi kalau salah mendarat, kaki berisiko untuk terpelecok memandangkan longkang tadi tidak rata permukaannya. Tapi aku selamat mendarat. Perlahan-lahan aku menghampiri anak anjing tadi. Anak anjing itu sudah berhenti memekik, tapi dia kini sudah bertukar bunyi.

Anak anjing itu mengetap giginya dan berderam seperti mahu mempertahankan diri.

"Oh, defecation!" Aku menyumpah, mencarut.

Dalam latihan imej aku, aku tidak sertakan sekali kemungkinan anak anjing itu akan menggigit. Aku fikir, sebab dia memekik meminta tolong, maka dia akan terima segala pertolongan yang akan diberikan. Aku lupa, perangai semulajadi seekor anjing adalah bersifat autoriti dan mempertahan. Anak anjing yang tidak kenal siapa bakal penyelamatnya, mungkin akan menyerang dengan gigitan sebagai satu pertahanan diri.

Peribahasa 'melepaskan anjing tersepit' tidak muncul sendiri. Seseorang mesti pernah lalui perkara seperti yang aku sedang fikirkan ini.

Kalau dengan kucing, aku pandai memujuk dengan mengeluarkan bunyi cicak 'chuk, chuk, chuk'. Tapi dengan anjing aku tidak tahu apa bunyi yang patut aku keluarkan. Berkali-kali aku memujuk, memberitahu bahawa aku hanya mahu menolong, tapi anak anjing itu, yang kini sudah aku namakan sebagai Mike, masih lagi berderam dan mengetap gigi dengan kedudukan badan seperti bersedia mahu menyerang.

Buntu. Aku naik semula ke atas.

Sekali lagi aku bertimbang untuk terus berlalu pergi dan tinggalkan Mike sekali lagi. Tapi aku betul-betul mahukan tidur yang lena malam ini, tambahan lagi seluar dan kasut aku sudahpun kotor disebabkan masuk ke dalam longkang tadi.

Nak tak nak aku kena teruskan.


---------- TAMAT BAHAGIAN TIGA ----------


Mike sunyi tanpa pekikan meminta tolong. Aku berdiri tegak di bawah bayang sebatang pokok di situ. Di dalam kepala, aku ligat memikirkan bagaimana cara terbaik boleh aku lakukan untuk menyelamatkan Mike. Kali ini aku masukkan sekali kebarangkalian bahawa Mike tidak memberi kerjasama.

Dengan permukaan longkang yang tidak sekata, dengan sebahagiannya penuh dengan daun kering yang berguguran, serta terdapat bahagian yang bertakung air, maka aku rumuskan adalah mustahil untuk aku lakukan usaha ini seorang diri.

Nak tak nak, aku kena tebalkan muka meminta pertolongan orang lain.

Setelah berjalan beberapa rumah meninjau andai ada sesiapa yang boleh aku minta tolong, aku sampai ke sebuah rumah. Terdapat seorang ibu berbangsa Cina bersama-sama dengan dua orang anak kecil. Dengan hormat, aku mula sapa dan menceritakan segala yang berlaku. Katanya, dia sudah lama dengar bunyi anak anjing (meminta tolong) tapi tidak tahu bunyi itu berasal dari mana. Dia juga, katanya, takut dengan anjing dan daripada bahasa tubuhnya aku dapat jelaskan yang dia memang tidak mahu menolong.

Kebetulan, jiran sebelahnya, seorang pakcik berbangsa India mendengar perbualan kami. Dia bersedia untuk membantu. Selepas bertanya di mana kedudukan anak anjing itu (Mike), dia minta diberi sedikit masa untuk bertukar pakaian.

Aku kembali ke longkang tadi. Mike masih di bawah sana, memandang dengan mata besarnya. Dasar anjing, bila aku nak tolong tadi tidak mahu beri kerjasama, sekarang nak pandang aku dengan pandangan sedemikian.

2 minit kemudian, pakcik tadi (yang aku sudah panggil Uncle) pun datang. Aku menunjukkan Mike kepadanya, dan wajahnya kelihatan berubah.

"Wah, ini anjing baka baik ni. Ini anjing Rottweiler."

Rottweiler. Aku selalu dengar tapi tak tahu nak kenalpastinya bagaimana. Katanya, anjing jenis Rottweiler ini adalah antara yang paling setia, dan jika memerlukan, akan bertindak ganas bergantung kepada ancaman. Patutlah Mike menderam ke arah aku ketika aku menghampirinya. Sudah itu memang 'nature' dia.

Uncle tadi mencadangkan aku untuk berada di satu sudut longkang dan sedikit demi sedikit memaksa Mike untuk bergerak. Uncle itu akan menunggu di arah satu lagi. Jika Mike lari ke arah Uncle, Uncle akan tangkap dan angkat. Jika Mike tidak bergerak, aku pula kena sambar dan angkat Mike ke atas secepat mungkin.

"Anjing jenis ini garang. Be careful," Uncle nasihat.

Uncle kata tangan dia sedikit lemah terutamanya bahagian bahu akibat pernah kemalangan satu tika dahulu, maka agak susah untuk dia turun ke bawah longkang. Aku mempelawa bantuan, tapi Uncle berjaya turun dengan usaha sendiri. Aku juga pelawa kain bendera untuk dipotong sebagai lapik untuk pegang Mike nanti, tapi Uncle menolak. Katanya, aku lebih perlukannya.

Seperti yang dirancang, kami berdua mengepung Mike dari kiri dan kanan. Sedikit demi sedikit kami menghampiri. Mike sedar diri terperangkap dan bakal ditangkap, maka dia mula menyalak (seperti anjing biasa). Jauh sudut hati aku, aku mahu Mike berlari ke arah Uncle kerana aku tidak mahu (dan tidak tahu) pegang anjing.

Dan itulah yang berlaku.

Mike berlari ke arah Uncle. Uncle sambar badan Mike. Mike kemudian meronta dan Uncle terlepas Mike. Mike terbaring dengan perut ke atas dan tangan yang bersedia untuk mencakar. Mike juga menyalak dengan kuat tidak mahu dipegang Uncle. Uncle tidak peduli. Uncle sambar kaki belakang Mike dan hayun ke atas longkang seperti penjual ayam di pasar menghayun daging ayam ke atas meja jualan.

Mike kini berjaya keluar dari longkang, terima kasih kepada usaha Uncle.

Aku hanya berada jauh 3 meter di sebelah sana menyaksikan segala. Aku langsung tidak menyumbang.

Mike kelihatan sedikit buntu, tidak tahu mana mahu pergi. Selepas aku dan Uncle keluar dari longkang, Mike masih lagi terpinga-pinga mencari arah mahu lari.

Tiba-tiba, jauh di belakang deretan rumah di situ ada sekumpulan anjing dewasa (dalam dua tiga ekor) menyalak. Mendengar salakan, Mike terus berlari ke sana. Aku dan Uncle fikir itu mungkin keluarga Mike yang terpisah. Setelah difikirkan, mungkin selama ini sekumpulan anjing dewasa itu memerhati tindak tanduk aku ingin menyelamatkan Mike. Kalau mereka fikir aku mahu buat jahat terhadap Mike, mereka pasti boleh datang menyerang aku. Selama ini, aku diperhatikan oleh sekumpulan anjing dewasa dan itu agak menyeramkan.

Selepas memastikan Mike berada bersama dengan kumpulannya, aku kemudian memastikan bahawa Uncle tidak apa-apa. Tindakannya menyambar Mike mungkin memberikan tekanan ke atas bahu Uncle. Tapi Uncle kata dia tidak apa-apa. Dia sedikit ralat Mike pergi begitu sahaja kerana dia berniat untuk bela Mike jika Mike tidak mempunyai tuan.

"But at least dia selamat..." kata Uncle.

Uncle mahu bergerak pulang. Aku tidak salam Uncle kerana Uncle sudah pegang Mike. Kalau dia tidak pegang Mike, aku memang sangat mahu salam dengan Uncle. Entah kenapa, aku dapat rasakan yang Uncle memahami yang aku ni orang Islam yang tidak boleh pegang anjing. Langsung tiada mimik muka menghukum ketika aku kelihatan teragak-agak untuk mendekati Mike tadi.

Selepas berteima kasih, aku menghantar Uncle sampai ke rumahnya dengan hanya pandangan mata. Selepas seketika, aku pun bergerak ke motosikal dan bersedia untuk berangkat pulang.

"Akhirnya, kain bendera ini langsung tidak berguna," fikir aku sebelum meninggalkan kain itu untuk terus mereput di dalam timbunan daun kering.

Aku pun menunggang pulang ke rumah dengan senyuman. Ini satu pengalaman berharga untuk aku. Hari ini, ada anak anjing yang berjaya diselamatkan. Walaupun bukan oleh aku, tapi oleh manusia lain yang sudah pastinya masih ada sifat kemanusiaan terhadap binatang.


---------- TAMAT BAHAGIAN EMPAT ----------


Beberapa pengajaran dapat aku pelajari untuk pengalaman kali ini:


1. ILMU ITU PENTING.

Kalau tanya semua orang Islam, mesti mereka akan kata tahu bagaimana cara nak menyertu. Apatah lagi ilmu itu memang di ajar di sekolah, malah menjadi tajuk amali di dalam PAFA.

Tapi bila masa perlu melakukannya betul-betul, adakah semua orang Islam boleh melakukannya?

Aku sedikit malu dengan diri sendiri. Sebelum ini aku amat yakin yang aku tahu cara nak menyuci diri jika terpegang anjing. Tapi bila saat aku betul-betul kena lakukannya, aku sedar aku langsung tidak tahu. Adakah air tanah dulu sebelum 6 air mutlak, atau air mutlak dulu dan diakhiri air tanah? Jika benda yang perlu disucikan itu adalah kedua-dua belah tangan, bagaimana aku nak pegang air basuhan untuk menyucikan? Lebih memalukan, aku fikir proses menyucikan itu dipanggil 'samak', tapi sebenarnya adalah 'sertu'.

Aku malu kerana kurang ilmu.



2. MUDAH KATA DARIPADA MELAKUKANNYA.

Ya. Easier said than done. Ingat lagi satu masa dulu ada viral video seorang artis lelaki Islam yang menyelamatkan anak anjing dari longkang menggunakan penyodok. Walaupun ramai netizen memuji, tapi tak kurang juga yang mempertikai kenapa tidak gunakan tangan sahaja. Nanti masih boleh samak (sertu). Malah, kata netizen, air tanah untuk sertu juga ada dijual di kedai dan tidak perlu bersusah payah buat air tanah sendiri.

Sudah tentu, kalau kerja aku adalah pegang anjing setiap hari, maka air tanah komersial yang dijual di kedai memang membantu. Tapi kalau kes sekali macam ini, agaknya praktikal tak nak beli air tanah di kedai? Macam yang aku fikir tadi, banyak perlu kena sentuh bila nak bergerak dengan tangan yang bernajis ini. Atau adakah aku perlu beli dulu air tanah itu sebelum pegang anjing? Adakah air tanah itu senang didapati di kedai-kedai berdekatan? Dan adakah cukup tanah dalam air itu untuk dijadikan air tanah yang menyucikan?

Pendek kata, proses penyucian najis berat ini bukan semudah taip di Twitter sahaja. Banyak perkara yang perlu dititikberatkan. Nak mudah, cuba elakkannya.



3. BUKAN ISLAM JUGA ADA YANG TAKUT ANJING.

Kita orang Islam memang sudah dimomokkan dari kecil bahawa anjing haram dipegang, tapi sebenarnya ada juga orang bukan Islam yang tidak berani berurusan dengan anjing. Selama ini aku anggap disebabkan mereka bukan Islam, maka mereka sepatutnya tidak takut dengan anjing dan boleh menguruskan mana-mana hal mengenai anjing. Tapi seperti wujudnya orang yang takutkan kucing, wujud juga orang yang takutkan anjing walaupun mereka bukan Islam.

Ini membuatkan pandangan aku terhadap manusia sedikit berubah. Takut anjing, takut kucing, itu semua tiada kena mengena dengan agama. Itu semua adalah sifat individu.

Aku sepatutnya melihat manusia sebagai individu, bukannya meletakkan mereka di bawah kategori mengikut pengelasan sendiri, apatah lagi menilai mereka berdasarkan agama.





Sekarang beritahu aku,
jika kalian sendiri berada di tempat aku,
jumpa anak anjing yang terperangkap di dalam longkang meminta bantuan,
jujurnya, apakah yang kalian akan lakukan?

Sanggupkah kalian tinggalkan anjing itu terperangkap dan tidur nyenyak di malamnya?






.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License