Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Ulasan GYB



Salam.

Kalian dapat baca post ini hanya jika kalian pernah berada di salah satu daripada tiga cerita pendek yang aku tulis. Aku tak pasti kalian baca atau tidak tiga cerita itu, tapi kalau belum bolehlah baca di sini:

Si Gadis Kedai Kasut.
Si Gadis Juruwang Kedai Serbaneka.
Si Gadis yang Menunduk.


Pendek cerita,
jika kalian baca blog aku cukup lama, jadi kalian tahu aku bukanlah pembaca novel yang setia. Antara sebab kenapa aku tidak minat baca novel dan cerita fiksyen yang panjang berjela adalah soal komitmen.

Walaupun kebanyakan novel sudahpun dibahagikan kepada bab-bab yang lebih kecil supaya senang dibaca, namun setiap bab itu masih terikat antara satu sama lain. Cara aku membaca, aku akan berhenti di satu bab dan abaikan buku itu untuk satu jangka masa yang aku tak tahu berapa lama. Mungkin sehari, mungkin seminggu, mungkin makan bulan. Jadi, jika satu bab dan bab seterusnya adalah terikat, itu akan menjadikan aku susah nak tangkap jalan cerita sebab aku kemungkinan akan lupa cerita apa yang diceritakan di bab sebelumnya (akibat terlalu lama abaikannya). Novel hanya seronok dibaca orang yang rajin membacanya secara berterusan sahaja.

Faham tak penerangan aku tu?

Sebab itulah aku kurang berminat nak membaca novel. Aku lebih memilih untuk baca buku bukan fiksyen sebab dalam buku jenis ini, aku boleh berhenti di mana-mana bab yang aku suka dan tak perlu risau terlupa isi di bab sebelumnya.

Tapi aku tak nafikan kekuatan novel dan cerita fiksyen. Bila kita baca cerita jenis ini, terasa macam ada bahagian dalam otak yang terangsang untuk berimaginasi dan berfantasi, tak seperti buku bukan fiksyen yang lebih kepada fakta berbanding situasi.

Jadi aku bertanya kepada seorang kawan yang suka membaca novel, tak adakah buku novel yang ceritanya satu-satu mengikut bab, tapi masih lagi boleh menjadi satu cerita panjang yang berkaitan? Bayangkan seperti Marvel Cinematic Universe (pengaruh Infinity War masih belum habis), setiap filemnya masih boleh berdiri sendiri tapi jika digabungkan bersama, akan membentuk satu alam dan cerita yang lebih besar.

Menurut kawan aku, setakat buku yang dia baca dan ketahui kini (dijual di dalam Malaysia), tiada yang jenis begitu. Mungkin kalau dicari ada, tapi dia tidak tahu mana mahu mula.

Jadi, dia nasihatkan, kalau malas nak cari, apa kata buat sendiri.

It's not a bad idea. Maka wujudlah TIGA cerita pilot yang aku tulis ini.

Walaupun cerita ini bertajuk 'Si Gadis...' namun watak tumpuan utama untuk ketiga-tiga cerita ini adalah tiga orang lelaki yang tinggal satu rumah. Green, Yellow dan Blue, watak yang tiada lebih utama berbanding yang lain. Ketiga-tiga mereka sama utamanya.

Berkonsepkan 'slice of life' di mana cerita jenis ini lebih dekat dan mudah difahami pembaca. Konflik utama cerita ini adalah hubungan sesama manusia, sudut kehidupan serta pandangan dan prinsip antara watak masing-masing.

Cerita-cerita yang aku tulis ini boleh dibaca satu dan masih boleh diterima akal. Namun jika dibaca sekali ketiga-tiga, ia akan membentuk satu alam lain yang dihuni oleh para watak. Pada aku, kalau semua cerita ini boleh diletakkan di bawah satu buku, ia akan menjadi satu buku yang mampu dibaca oleh manusia seperti aku; jenis yang baca satu bab lepas tu berhenti lama sebelum sambung kembali.

Pada masa aku menulis tiga cerita ini, aku sudah ada 10 lagi cerita yang boleh disusuli.



Jadi,
adakah niat aku untuk menerbitkan buku dan kemudian dijual kepada orang ramai?

Jawapannya, SUDAH TENTU.
Aku selalu pasang impian mahu ada buku tulisan sendiri.

Pada masa aku pergi ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 yang lepas, aku dapati dalam kebanjiran buku-buku yang ada, terdapat juga buku yang isinya (pada aku) sangatlah tidak bermutu. Seolah-olah penerbit dan penulisnya syok sendiri. Tulis, terbit, jual, dapat duit.

Tidaklah aku mahu kata tulisan aku bermutu. Aku pada dasarnya masih lagi belajar. Mungkin ada silap tatabahasa, ejaan, dan pembendaharaan kata di sana sini. Mungkin jalan cerita belum boleh menangkap tumpuan pembaca. Mungkin ada lemah dari sudut plot dan penggunaan bahasa. Tapi aku memang masih belajar itu semua.

Tapi kalau buku-buku tidak bermutu pun boleh dijual di pesta segah PBAKL, tak mustahil dengan sedikit kegigihan dan hasil usaha belajar menulis, buku tulisan aku pun mampu berada di sana satu hari nanti, kan?

Tapi angan-angan untuk ada buku yang terletak di rak jualan dengan nama penulisnya ialah aku, rasanya, bukanlah satu angan-angan yang mustahil.



Isu utama aku mungkin untuk mencari penerbit yang berminat nak terbitkan hasil tulisan aku. Maksud aku, aku tiada nama. Kalau aku cuba untuk menghubungi mana-mana penerbit, satu-satunya benda yang boleh menarik minat mereka adalah hasil penulisan aku. Cerita aku mestilah mantap dan berkesan.

Dan itu bukan boleh aku capai hanya selepas menulis dua tiga cerita.

Dan untuk menjadikan aku lebih baik di masa akan datang, aku harap kalian yang membacanya boleh memberikan komen yang membina supaya aku boleh perbaiki tulisan aku. Komen seperti 'baguslah', 'best laa cerita ini', 'keep up the good write' walaupun seronok dibaca tapi sedikit agak tidak membantu. Untuk maju, aku perlukan komen dan kritikan yang membina. Kata kuncinya: MEMBINA.



Namun kalian hanya akan dihidangkan dengan TIGA cerita ini sahaja. Cerita lain akan aku tulis hanya untuk diterbitkan. Mungkin sebagai permulaan, aku boleh hubungi mana-mana syarikat penerbitan buku dan bertanyakan apa kriteria mereka untuk menerbitkan hasil tulisan aku.

Rasanya apa syarikat penerbitan yang sesuai untuk aku hubungi dan bertanya? Ada cadangan?

Tapi kalau kalian rasa nak beri sumbangan lain terhadap impian aku ini, bolehlah hubungi aku secara peribadi (melalui mana-mana media sosial yang ada). Kita boleh bertukar idea dan mungkin aku akan beri kalian baca hasil kerja aku yang lain bagi tujuan meminta pendapat kedua.

Aku betul-betul serius nak mengejar impian menulis buku ini. Aku tahu bukan mudah, tapi rasanya juga bukan mustahil, kan?

Sila terus sokong aku.



Oh, alang-alang kalian sudah di sini, tinggalkanlah komen di bawah supaya aku tahu siapa yang sudah sampai ke sini. Komen ringkas seperti '[Your name] was here' pun sudah memadai.

Sekian.
Doakan impian aku tercapai. InsyaAllah. Amin.







.


3 comments:

  1. Kau minat tulis cerpen kan.
    Skg ni banyak je local publisher yg publish buku koleksi cerpen. Rajin2 la submit penulisan kau. All the best cero

    ReplyDelete
  2. Aku pernah berniat nak tulis novel macam kau ni cero. Tapi cita-cita aku lagi besar (mungkin mustahil sebab aku pemalas); novel yang ada kaitan antara satu sama lain tapi jalan cerita yang berbeza.

    Tahniah sebab dapat mulakan sesuatu di luar 'comfort zone?' kau.

    Setiap hari Rabu pukul 9, aku akan buka blog kau untuk baca lagi entah apa inspirasi kau boleh bagi. Thanks.

    ReplyDelete
  3. i'm here...
    aku sudi jd beta reader haha

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: