Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Apr 25, 2018

Si Gadis Kedai Kasut.



Salam.

Nikmat.
Menurut definisi, nikmat adalah satu kurniaan, satu anugerah daripada Penguasa mutlak, Pemilik sekalian alam. Kehidupan manusia itu sendiri adalah nikmat. Setiap manusia melalui perjalanan hidup yang berbeza-beza, menjadikan nikmat yang dinikmati setiap daripada kita adalah berlainan dan tidak pernah sama.




Memperkenalkan Green, seorang lelaki bujang dan berkerjaya yang masih mencari cinta.

Pada suatu petang selepas habis waktu kerjanya untuk hari itu, Green membuat keputusan untuk ke kompleks membeli-belah berhampiran rumahnya. Niat Green adalah untuk membeli barangan dapur. Lumrah orang bujang, barangan dapur hanya dibeli mengikut keperluan. Jika pada hari itu datang keinginan untuk memasak, maka pada waktu itu juga barulah bersusah payah membeli segala barang mentah. Sebab itu kabinet dapur di rumah sewa Green sentiasa kosong dan bersih, kadang kala menjadi sarang mengumpul habuk dan sawang.

Barang mentah sudah dibeli, namun jam masih awal lagi. Green mengambil masa yang ada untuk berjalan-jalan sekitar kompleks membeli-belah itu. Tiada apa khusus yang mahu dicarinya, cukup sekadar membunuh waktu sebelum pulang ke rumah. Fikirnya, alang-alang sudah ke sini, sekali sekala untuk dirinya mencuci mata apa salahnya.

Penat berjalan tanpa hala tuju, Green melabuhkan punggung ke atas satu tempat rehat yang disediakan pihak kompleks. Tempat duduk itu diperbuat daripada kayu. Rata dan keras. Kelakar bila memikirkan setiap tempat rehat di kompleks membeli-belah langsung tiada yang selesa. Memang niat pengurusan menjadikan tempat itu tidak selesa kerana jika terlebih selesa, para pelanggan akan duduk dengan lebih lama. Pengurusan tidak mahu para pelanggan datang ke situ hanya untuk duduk. Mereka mahu pelanggan sentiasa bergerak dan menjadi mangsa umpan perangkap kapitalis. Pada mereka, pelanggan yang bergerak lebih menguntungkan daripada pelanggan yang duduk diam.

Green duduk berhadapan dengan satu kedai kasut. Memang menjadi telatah para Homo sapiens untuk sentiasa meneliti perkara di sekeliling, melihat gelagat manusia lain sebagai santapan mata. Begitu juga dengan Green. Mata Green tertarik dengan sesuatu di dalam kedai kasut itu. Bukan sesuatu, tetapi seseorang.

Terdapat seorang pekerja di dalam kedai kasut itu sedang gigih melayan bakal pelanggannya. Gadis pekerja itu, mungkin dalam lingkungan seusia dengan Green, sanggup tunduk dan duduk menyarungkan kasut yang mahu dicuba pakai oleh seorang makcik. Layanan yang begitu baik bertujuan untuk menarik makcik tersebut untuk membeli barangan jualannya, namun itu semua bukan apa yang dinampak oleh Green.

Pada mata Green, dia sedang melihat seorang gadis ayu yang sedang setia melayan seorang wanita pertengahan usia dengan penuh kasih sayang. Serta merta dirasakan seperti masa sedang bergerak perlahan. Segala gerak laku gadis itu dilihat Green cukup indah dan mempersona. Senyuman pada bibir gadis itu tidak pernah lekang melayan kerenah wanita tadi, membuatkan jantung Green berdegup semakin laju. Entah kenapa dapat dirasakannya satu perasaan ingin memiliki. Gadis itu, entah bagaimana, serta merta dapat menyentuh hati Green walaupun jarak antara mereka tidak kurang daripada 10 meter jauhnya.




"Adakah itu yang dipanggil 'cinta pandangan pertama'?"
Tanya Green kepada Yellow selepas menceritakan segala yang berlaku petang tadi. Yellow adalah teman serumah Green, secara tiba-tiba berhenti daripada terus melahap makan malam yang dimasak Green.

"Pada rangsangan tertentu, akan timbul tindakbalas kimia dalam badan yang dikawal sesuatu yang dipanggil hormon dan pada masa yang sama akan berlaku cetusan impuls elektrik di bahagian organ paling kompleks yang dipanggil amygdala. Jika kedua-dua tindakbalas itu berlaku pada masa dan kadar yang tepat, satu kesan rangsangan yang dipanggil emosi akan tercetus," jawab Yellow.

"Huh?" Green kebingungan.

"Untuk soalan kau tadi, jawapan aku MUNGKIN itulah yang dipanggil cinta pandang pertama," balas Yellow memudahkan kata.

Green tersenyum sambil memandang kipas siling yang sedang berputar. Input imej ke matanya adalah kipas, namun fikirannya sedang berada di kedai kasut tadi, dengan seorang gadis sedang tersenyum manis sambil melambai-lambaikan tangan.

Sejak dari waktu itu, Green setiap hari akan singgah ke kompleks membeli-belah berkenaan hanya untuk melihat si gadis penjual kasut tadi. Cukup sekadar duduk di tempat rehat yang tidak selesa itu selama satu atau dua minit demi untuk peluang menatap gerak geri dan tingkah laku si gadis manis itu. Senyuman tidak pernah lekang dari bibir Green. Padanya, satu hari tidak melihat wajah gadis itu seperti tidak sempurna seluruhnya.




"Ada garis jelas antara seorang penghendap dan seorang pencinta. Jangan salah tindakan!"

Kata-kata Yellow itu sedikit sebanyak membuatkan Green terfikir. Sampai bila dia asyik mahu meninjau si gadis itu dari jauh? Sehingga sekarang, walaupun dilihatnya setiap hari, Green masih langsung tidak tahu apa-apa mengenai gadis itu melainkan dia seorang pekerja di kedai kasut. Siapa nama gadis itu, berapa umurnya, tinggal di mana, masih bujangkah, semua itu masih lagi hanya soalan yang tiada jawapan.

"Aku perlu buat sesuatu," tegas Green kepada dirinya.

"Rasanya sudah sampai masa untuk aku bertegur sapa dengan gadis itu dan berkenalan. Paling tidak aku perlu tahu nama dia, kan? Esok aku akan beranikan diri untuk mulakan langkah." Green berkata dengan nada tekad.
"Sampai bila aku nak terus tengok dia dari jauh..."

Yellow mengangguk perlahan tanda setuju.

"Tapi, kalau dia tidak mahu berkenalan dengan aku, macam mana? Malulah aku kalau dia tolak. Tak boleh jadi ni. Tak boleh jadi..." Nada resah dan gelisah mula masuk menyelinap dan menawan otak Green. Green mula risau. Belum pun berlaku, tapi dia sudah risau.

Yellow menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju.

"Apa patut aku buat? Patutkah aku mulakan? Tapi kalau kena tolak, mesti kecewa berkecamuk hati, kan?" tanya Green kepada Yellow.

Manusia ini mudah. Jika ada manusia A bertanyakan pendapat untuk memilih satu di antara dua perkara kepada manusia B, selalunya manusia A itu sama ada dia sedar atau tidak sedar sudahpun membuat pilihannya. Dia cuma bertanya kepada manusia B hanya untuk mendapatkan pengesahan sahaja.

Maka, si 'manusia B' inipun memulakan tugasnya.

"Begini. Bayangkan hidup kau seperti sebatang jalan. Di hadapan ada dua cabang jalan. Satu cabang adalah laluan di mana kau TIDAK MENYAPA gadis itu. Satu cabang lagi adalah laluan di mana kau MENYAPA dengan gadis itu untuk berkenalan. Mana satu jalan yang bakal kau lalui adalah bergantung kepada tindakan kau sekarang."

"Jika kau bertindak untuk TIDAK MENYAPA gadis itu, maka jalan yang akan kau lalui 100% TIDAK DAPAT, 100% kau tidak akan berkenalan dengan dia. Tapi kalau kau bertindak untuk memulakan langkah UNTUK MENYAPA, kau masih ada 50% untuk diterima dan 50% untuk ditolak, di mana kalau kau tanya aku, aku rasa 50% peluang untuk diterima adalah lebih baik daripada 100% tidak dapat, kan?"

"Kalaupun dia menolak sekalipun, kau masih dikira bernasib baik kerana kau telah mencuba dan kau gagal. Lebih baik daripada langsung tidak mencuba, kan?"

Mendengar pendapat Yellow itu, Green mula kelihatan semakin tenang sambil menggosok dagunya.

"Why do single people always give the best love advices?" seloroh Green.

"Because coaches don't play," jawab Yellow.




Esoknya, Green datang lagi ke kompleks membeli-belah itu di sebelah petang. Kali ini dia ada misi yang perlu diselesaikan. Bagi meningkatkan peluang menjayakan misi, dia sempat membeli sekuntum bunga ros merah berbalut plastik jernih sebagai tanda ikhlas mahu berkenalan. KlisΓ©, namun itulah yang dirasakan berkesan oleh Green. Kakinya sedang menuju ke arah kedai kasut itu, namun badannya berasa lemah dek darah gemuruh. Mujur otaknya sudah nekad.

Green berdiri di tempat rehat selalu didudukinya. Matanya sudah memaku ke arah gadis itu yang dilihat sedang menyusun kasut untuk jualan. Tangan kanan Green memegang kuntum bunga, tangan kiri pula diseluk ke dalam saku seluar. Bibirnya mula dirasakan kering, lalu dibasahkan bibir itu dengan menggunakan lidah. Berkali-kali hela nafas dihembus kuat bagi menghilangkan rasa tegang. Sekali sekala mulutnya berkumat kamit kalimah sapaan perkenalan yang sudah dipraktis berulang kali pada malam tadi bersama si Yellow.

Bila tiba waktunya, Green bulat tekad dan mula mengangkat kaki kiri untuk melangkah menuju ke arah gadis itu. Namun belum sempat tapak kaki kiri dijatuhkan ke depan, tiba-tiba sesuatu berlaku membuatkan Green mematikan langkahnya.

Gadis tadi bergerak laju keluar ke depan kedai. Dia dilihat meluru ke arah seseorang yang sedang berdiri menunggu di luar kedai. Seorang lelaki. Mereka berdua kelihatan berbual pendek, kemudian gadis tadi kembali masuk ke dalam kedai. Lelaki tadi masih berdiri di situ. Beberapa puluh saat kemudian, gadis tadi kembali keluar dari kedai. Kali ini dia sudah menyarungkan jaket menutup baju seragam kedai tersebut. Di sampingnya ada disandang sebuah beg. Gadis itu melambai ke arah dalam kedai seperti sapaan selamat tinggal dan kemudian berjalan meninggalkan kedai bersama-sama lelaki tadi. Selepas hampir 20 langkah meninggalkan kedai, gadis itu merangkul tangan lelaki tadi. Kini tangan mereka bertaut. Lelaki itu senyum. Gadis itu juga kelihatan sangat gembira.

Mereka berlalu dan kemudian berselisih dengan Green yang sedang masih berdiri dan melihat segalanya. Terkaku.

"Oh, kudus sungguh hati ini menganggap gadis seayu, semanis, dan secantik dia masih tidak dimiliki orang."

Green tersenyum kecil. Walau luarannya sunyi, namun dalam hatinya meraung menjerit kekecewaan.

"Paling tidak aku tahu jawapannya," fikir Green sambil menghembus dengus pendek dan berlalu pergi, meninggalkan sekuntum bunga di tempat rehat tadi.




Nikmat.
Kehidupan manusia adalah satu nikmat. Setiap manusia melalui perjalanan hidup yang berbeza-beza, menjadikan nikmat yang dinikmati setiap daripada kita adalah berlainan dan tidak pernah sama. Pengalaman menjadikan kita lebih matang dan lebih dewasa tidak kira sama ada apa yang kita lalui itu senang atau menyakitkan.

Nikmatilah kehidupan sepenuhnya.



.


8 comments:

  1. Aku kesian dengan Green.. Nasib ah bukan jodoh dia

    ReplyDelete
    Replies
    1. >Erni Hasmiza

      Jodoh kan bukan berada di tangan manusia :)

      Delete
  2. Gadis tu nama red kan?

    ReplyDelete
  3. sedikit sedih ending dia. T^T
    setuju pasal "nikmatilah kehidupan sepenuhnya" baik atau buruk jalan ceritanya, mesti ada pengajaran bagi yang sedar :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. >BV

      Haha. Kaan.
      Hikmah sentiasa ada. Cuma kita je nak ambil sebagai pengajaran atau tidak 😁

      Delete
  4. adoi dah apsal aku terpikir Green dgn Yellow tu org sama = ="
    tbh aku cemburu dgn Green, sebab masih lagi dpt rasa crush kat org tu hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. >star

      Crush ni kekadang sedih tau. I mean, mengharap sesuatu yang tak pasti. Mestilah sedih πŸ˜…

      Delete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License