Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Aug 14, 2019

Kisah 'Crush' Satu Muka Surat.


Salam.





Ini cerita lama.
Tapi aku tergerak mahu berkongsi di sini sebagai panduan kepada pembaca TERUTAMANYA kepada diri aku sendiri kerana sesekali aku sendiri akan baca tulisan entri aku sendiri sebagai peringatan.

Ah, tidak! Bukan.
Entri ini ditulis kerana beberapa minggu lepas aku ada tulis entri yang lebih kurang bernada yang sama di bawah topik yang lebih kurang sama. Alang-alang sudah sembang perkara yang sama, baik aku ceritakan sahaja kisah yang lebih kurang sama. Ini entrinya.

Kalau kalian baca blog aku daripada dahulu, kalian akan sedar bahawa aku ada satu sifat ini; aku cepat suka dekat orang. Kata kuncinya adalah 'suka', jadi aku tidak perlu panjang lebar ulas mengenainya. Dengan kata lain, aku ada banyak 'crush'.

Alkisah, pada suatu ketika tidak lama dahulu,
aku ada 'crush' dengan seseorang ini yang aku terjumpa melalui aplikasi Instagram. Aku mula follow dia. Tapi tidak seperti orang-orang lain yang juga aku suka, dengan si dia ini aku letak sedikit usaha untuk kenal lebih rapat.

Bermula dengan DM di Instagram, kemudian aku berjaya dapatkan nombor telefon dia (walaupun aku tahu itu nombor telefon kedua dia yang dia gunakan untuk bekerja, bukan nombor peribadi.) Kami semakin kenal mengenali di Whatsapp. Aku selesa dengan dia, dia (mungkin) tidak terganggu dengan aku. Segalanya jadi lancar.

Sehinggalah pada suatu hari.

Aku ada mesej dia sesuatu tetapi dia tidak balas. Jenis aku, selagi dia tidak balas kepada mesej aku, aku tidak akan bertubi-tubi mesej dia banyak kali. Satu sebabnya, aku tidak mahu nampak mendesak. Kedua, aku faham itu nombor bekerja dia, jadi mesej yang tidak berkenaan dengan kerja memang selogiknya akan diabaikan. Ketiga, mungkin dia sedang sibuk dan tiada masa untuk membalas kemudian terus terlupa.

Namun sejak daripada peristiwa mesej tidak dibalas ini, kami seolah-olah terputus hubung. Pada masa yang sama, aku hiatus daripada Instagram, jadi aku tidak buka Instagram dan langsung tidak tahu apa yang berlaku kepada dia.

Beberapa minggu pun berlalu.

Aku ambil keputusan untuk buka Instagram dan lihat perkembangan diri dia.

Salah satu daripada post terbaru dia adalah bercerita tentang pengalaman dia mencari barangan hantaran untuk majlis perkahwinan yang bakal berlangsung dalam masa terdekat. Majlis perkahwinan dia.

Dan itulah jawapan yang aku dapat.


Maka,
mari kita ke sesi soal jawab bersama hati sendiri:


Adakah aku kecewa setelah mendapat berita itu?

Kecewa? YA. Terkejut? TIDAK.
Walaupun dia adalah antara 'crush' yang aku letakkan lebih usaha berbanding mereka-mereka lain yang turut aku suka, tapi ada sebab kenapa dia tetap di dalam kategori 'crush'. Jauh di sudut hati aku, aku tahu, walaupun aku suka dia, tapi aku tidak rasa benda yang sama datang daripada dia.

Tiap kali perbualan di Whatsapp, hanya aku yang akan mulakan dahulu. Mungkin adalah satu kali dia yang bertanya khabar, tapi itupun kerana aku ada tinggalkan Story di Instagram yang berbaur 'putus asa'. Mungkin atas sebab dia ada sedikit 'concern' maka dia bertanyakan khabar aku. Yang lain, yang beratus perbualan lain, semuanya aku yang mulakan.

Dan bila aku fikir balik, setiap balasan kepada perbualan kami di Whatsapp mahupun di Instagram, semuanya pendek-pendek datang dari dia. Bayangkan, aku taip panjang berjala, yang dibalasnya hanyalah 'OK', 'Ooh!', ataupun sekadar smiley dan emoji. Nampak sangat aku sahaja yang syok sendiri.

Sebab itu aku tidak terkejut walaupun berada sedikit kecewa.


Adakah aku berharap perkara buruk berlaku kepada hubungan dia dan bakal pasangan?

YA.
Selepas tahu dia bakal tamatkan status bujangnya, aku gigih menjadi Detektif Conan dan menyiasat latar belakang bakal pasangan dia. Dalam hati aku berharap hubungan mereka akan bermasalah. Sudahlah langsung tidak tampan (aku berkali ganda lagi tampan walaupun muka aku macam muka rempit tersagat jalan), harap pakaian sahaja nampak bergaya. Aku betul-betul berharap mereka berdua tidak jadi kahwin.

Tapi itu hanyalah pada awal masa aku dapat berita itu. Itu semua hanya ego seorang kalah sedang menguasai diri.

Selepas beberapa ketika, rasional diri mula datang perlahan-lahan.

Aku masih ingat lagi pesan cikgu Sains aku semasa sekolah dahulu, Cikgu Latifah. Katanya, "Kalau kita betul-betul sukakan seseorang, kita mesti mahukan dia bahagia walaupun bukan bersama kita."

Lagipun aku terfikir, kalau pun mereka tidak jadi ke jinjang pelamin sekalipun, tidak bermakna si dia akan memilih aku.


Adakah aku mahu terus berkawan dengan dia lepas ini?

YA. Aku akan terus anggap dia sebagai kawan.
Tapi untuk mesej bertubi-tubi seperti satu ketika dahulu, rasanya tidak. Aku ada perangai akan jauhkan diri daripada kawan perempuan yang sudah berpasangan, bukan sebab kerana status perempuan itu sudah berubah, tapi atas dasar hormat kepada pasangan dia. Kalau dia masih lagi mahu anggap aku sebagai kawan, aku ON. Kalau dia ambil keputusan untuk menjadi orang asing bagi aku, pun aku ON.


Adakah dia masih lagi berada di dalam doa aku?

Ini susah. Aku tiada jawapan.
Memang benar sejak semakin rapat dengan dia dahulu, aku sentiasa sebut nama dia di dalam doa aku supaya diberikan kebahagiaan yang berpanjangan kepada dia. Mungkin dalam doa itu aku tidak secara spesifik menyebut bahagia bersama aku, maka dia diberikan kebahagiaan bersama orang lain. Dari satu sudut, doa aku dianggap sudah termakbul, maka keperluan untuk terus berdoa untuk dia sudah tiada. Biarlah (bakal) suami dia pula menggalas tanggungjawab berdoa untuk (bakal) isterinya itu.


Adakah aku akan putus asa mencari selepas ini?

HAHAHAHAHA.
Tidak mungkin aku akan putus asa mencari hanya selepas satu kisah 'crush' ini. Hidup ini umpama sebuah buku. Ada antara orang yang kita bertemu akan menjadi satu bab di dalamnya. Ada yang diulang sebut selalu sepanjang cerita. Ada yang disebut hanya sekali dan sudah. Kisah 'crush' ini hanya 'satu muka surat' daripada satu buku kehidupan aku yang tebal.

Kalau aku putus asa di sini, mana penamatnya nanti?



"The beautiful journey of today can only begin when we learn to let go of yesterday."
- Dr. Steve Maraboli



...and my journey continues...



  




.


4 comments:

  1. Semoga crsuh lepas ni terus jadi isteri
    Aameen

    ReplyDelete
    Replies
    1. Nak tiru lah.

      Semoga crsuh lepas ni terus jadi isteri
      Aameen

      Delete
  2. Hmm poor our cero. Takpe bro teruskan mencari.

    ReplyDelete
  3. Bukan jodoh, bro.. Takpe, bagus2.. Jangan give up.. Adala tuh nanti yang tersangkut menjadikan kau crush dia.. Moga beroleh jodoh yang terbaik, bro..

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License