Salam.
Bertemu
sekali lagi dalam Siri Angker.
Salah satu elemen utama cerita seram adalah suasana gelap. Suasana
gelap selalu dikaitkan dengan waktu malam. Sebab itu kebanyakan cerita seram
menjadikan waktu malam sebagai latar belakang kisah. Gelap dan malam selalu
dikhabarkan sebagai menyembunyikan 'sesuatu'. 'Sesuatu' yang tidak diketahui
itulah yang menjadikan para audiens (pembaca) cerita seram tidak senang duduk.
Kali ini, aku ingin berkongsi satu cerita daripada seorang kawan yang
juga menjadikan bilik study (bilik belajar) di waktu malam sebagai latar
belakang cerita.
Umum tahu mengenai Doctor Who, satu siri TV dari Britain mengenai
seorang alien pengembara masa. Salah satu spesis makhluk jahat di dalam siri
tersebut dikenali sebagai Weeping Angel (Bidadari yang Meratap). Weeping Angel
berbentuk seperti patung batu bidadari dengan wajah yang tenang dan bersayap.
Tetapi jangan tertipu dengan wajahnya itu kerana dia akan 'makan' mangsa jika
mangsanya berada dalam lingkungan dan kelip mata. Weeping Angel hanya akan
bergerak dan menghampiri mangsa jika dia tiada di pandangan mangsanya. Untuk
menghalang dari serangan Weeping Angel, mangsa perlu untuk tidak berkelip
sehingga berada di jarak tertentu sebelum melarikan diri.
Satu hari di sebuah asrama, Faizal berniat untuk mengulangkaji
pelajaran pada waktu malam. Walaupun jauh lagi waktu musim peperiksaan, tapi
sebagai pelajar berdisiplin, Faizal mahu bersedia lebih awal supaya tidak kelam
kabut di kemudian hari.
Malam itu, selepas jam sudah melepasi waktu wajib tutup lampu bilik
iaitu pukul 12 tengah malam, Faizal terus bergegas turun ke bilik study.
"Huh!" Faizal mengeluh.
Sangkaan Faizal sangat tepat. Bilik study langsung tidak berpenghuni.
Kesemua rakan sebaya dan pelajar tingkatan lain lebih gemar untuk ulangkaji
pada saat akhir, paling tidak itulah anggapan Faizal. Padanya, lantaklah, tiada
orang lagi bagus. Boleh fokus.
Faizal mengambil tempat di meja hujung sekali membelakangi dinding.
Bilik study bersaiz gabungan tiga bilik dorm memanjang dengan 10 baris meja
sebagai susunan. Dari tempat Faizal melabuh, pandangannya luas dapat melihat
hingga ke hujung bilik.
Tanpa berlengah, Faizal membuka buku Fizik dan cuba memahami segala
yang diajar gurunya siang tadi. Untuk memberi lebih fokus, dia mengeluarkan
pemain mp3 miliknya dan menyumbat telinganya dengan fon telinga sambil memasang
lagu-lagu pilihan. Trek pertama adalah lagu 'Pada Syurga Di Wajahmu' nyanyian
Nash. Klasik, tapi masih menjadi kegemarannya.
Sedar tidak sedar, bilangan lagu silih berganti, jam sudah menunjukkan
waktu pukul 2 pagi.
Faizal masih fokus dengan latihan fiziknya. Sekali sekala dia melihat
keliling bagi menghilangkan penat tumpuan. Bila mata Faizal melihat ke hujung
bilik study, dia ternampak seseorang sedang duduk di baris meja paling hujung.
"Eh, bila pula dia ada situ? Siapa tu?" ujar hati Faizal.
Faizal kemudian melihat jam di tangannya. Dua lima minit pagi.
"Siapa yang baru nak mula study pukul 2 ni?" Faizal cuba
mengecilkan matanya untuk memfokus wajah lelaki tersebut, manalah tahu
kalau-kalau kenal.
"Eh, tak salah tadi dia duduk di meja hujung. Kenapa sekarang dia
di meja tu?"
Kedudukan lelaki tadi sudah berada di meja baris kesembilan. Entah bila
dia bangun dan berpindah meja.
"Kalau dia nak belajar, kenapa tak nampak ada bawa masuk buku?
Duduk tegak je, apa dia nak buat?" Soalan demi soalan berlegar di fikiran
Faizal.
Angin di luar bilik study bertiup menghasilkan bunyi desir di tingkap.
Pandangan Faizal beralih ke langsir tingkap yang melayang-layang secara
tiba-tiba.
"Uh, terkejut aku. Tiba-tiba ada angin, apakah?" Mata Faizal
kembali ke arah lelaki tadi. Lelaki tadi kini berada di meja baris kelapan.
"Bangsat!" Menyedari lelaki itu semakin menghampiri, Faizal
bertekad tidak mahu melepaskan pandangan mata darinya.
"Bila dia bangun dan ubah tempat? Dia saja nak kenakan aku ke?
Adakah itu Sig? Sig saja yang rajin nak kenakan aku macam ni." Faizal
mengecilkan matanya untuk melihat siapakah gerangan lelaki tersebut.
"Sig, kau ke tu?" Sig adalah teman baik Faizal di kelas.
"Sig. Jangan main-main, Sig. Pukul dua pagi ni..."
Lelaki itu diam seribu bahasa tidak menjawab. Dari pandangan mata
Faizal, lelaki itu sedang tepat melihat ke wajahnya, tapi akibat pencahayaan
lampu di atas kepala, Faizal gagal mengenalpasti siapa lelaki tersebut.
Faizal kelip mata kerana terlalu lama melihat jauh. Lelaki itu kini
berada di meja baris ketujuh, selari dengan kedudukan Faizal.
"Celaka. Itu bukan manusia. Manusia takkan mampu bergerak sekelip
mata macam tu."
Tanpa Faizal sedari, dia telah kelip mata sekali lagi luar kawalan.
Lelaki itu berada di meja baris keenam.
"Dia bergerak menghampiri aku bukan sahaja waktu aku beralih
pandangan, malah waktu aku kelip mata. Apa patut aku buat? Apa patut aku
buat?"
Sekali lagi secara luar kawal, Faizal kelip mata. Lelaki itu kini
berada di meja baris kelima.
Baris kelima sudah cukup dekat untuk Faizal meneliti wajah sebenar
lelaki itu. Faizal memfokuskan bola matanya dan apa yang dia nampak ialah wajah
seram seorang lelaki yang tidak dikenali sedang senyum lebar menampakkan gigi
yang runcing diasah tajam.
Faizal terkejut. Dia mahu lari dari situ tapi badannya kaku. Matanya
hanya tertumpu ke muka lembaga berwajah seram itu. Dia tidak mampu langsung
menggerakkan sendi badannya akibat terlalu takut.
Hanya kelopak mata yang boleh bergerak.
"Aku tak boleh kelip mata. Nanti dia akan datang dekat lagi."
Merah mata Faizal menahan pedih tidak berkelip. Lembaga tadi masih
keras tersenyum di meja baris kelima.
"Mata pedih. Kalau aku pejam sekali, dia akan bergerak ke
depan..."
Baru sahaja mahu menyusun strategi, angin dari luar meniup masuk ke
dalam bilik study menjadikan mata Faizal bertambah pedih. Dia terkelip tanpa
disedari.
Lembaga tadi kini di meja baris keempat.
Peluh membasahi dahi dan leher Faizal. Perasaan sejuk datang menjengah
seluruh badannya, mungkin itulah yang dinamakan seram sejuk rasanya. Dia panik,
tapi kaku. Apa patut dia buat, itu yang bermain difikirannya.
"Kelip sahaja mata kau, Faizal. Jangan melawan."
Tiba-tiba ada suara datang entah dari mana membuatkan Faizal tersentak
dari kerusinya dan terkelip beberapa kali.
Selepas itu, hanya jeritan memenuhi bilik study di awal pagi.
Esoknya, bilik dorm Faizal disinggahi Sig.
"Mana Fai? Kenapa dia tidak datang sekolah? Dia demam ke?"
tanya Sig kepada salah seorang ahli dorm Faizal.
"Oh, kau tak tahu ke? Warden jumpa Fai pengsan di bilik study.
Katanya belajar kuat sangat..." jawab salah seorang ahli dorm.
"Eh, pandai je. Kalau belajar kuat pun takkan sampai rambut jadi putih?"
"Orang kata malam tadi dengar jeritan dari bilik study.
Jeritan Faizal kot?"
Sig garu kepala.
"Apa sudah jadi dengan kau, Fai?" ujar kecil Sig.
Selamat mengulangkaji pelajaran semua. Jangan kelip mata banyak sangat,
takut ada yang mendekati.
Lagi di dalam Siri Angker #cerolian:
#1
Misteri Jiran Rumah Atas.
#2
Misteri Peristiwa Di Koridor Sekolah.
#3
Misteri Bilik Basuh Blok B.
#4
Misteri Bilik Study Jam Tiga Pagi.