Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 30, 2014

Bagaimana Aku Bertemu Ibu Kamu #HIMYM


Papapappa Papapa Paapappa Rarararararararara...



How I Met Your Mother.
Sama ada kalian peminat setia, pernah tengok ceritanya, pernah tahu tentangnya, atau pernah dengar tentangnya, HIMYM memang tidak asing.
Aku? Aku seorang peminat.
Setiap episod aku layan, tanpa jemu.

Siri TV ini tamat pada penghujung musim ke-9
dengan 208 episod.



Sinopsis.

HIMYM adalah siri TV sitcom dari US mengenai Ted Mosby dan rakan-rakannya.
Seluruh ceritanya adalah penceritaan semula dari seorang ayah (Ted) kepada dua anaknya pada tahun 2030.
Menjadikan New York sebagai latar belakang, HIMYM bermain kepada kisah Ted dalam usahanya mencari cinta sejati sehinggalah saat sebenar beliau bertemu dengan ibu kepada anak-anaknya.

Dalam kisah Ted ini, termasuk juga kisah mengenai mereka-mereka di sekelilingnya, terutamanya kawan dari zaman kolej dan pasangannya, Marshall dan Lily, seorang kaki perempuan yang tiba-tiba claim nak jadi kawan baik Ted, Barney, dan perempuan dari Kanada yang menjadi 'love interest' Ted, Robin.

Dan kisah cerita mereka berlarutan ditayangkan di TV selama 9 musim, dari 2005 sehinggalah 2014.






Kenapa Aku Suka HIMYM?

Kalau tanya kenapa, jawapan aku mudah.
RELATABLE.

Kebanyakan situasi yang dilalui oleh Ted dan rakan-rakannya sangat dekat dengan sesiapa sahaja.
Memang itu permainan pengarah dan penerbit cerita ini.
Mereka menonjolkan masalah sosial semasa yang pernah dan akan dilalui sesiapa sahaja,
dari masalah keluarga, masalah hubungan kawan, masalah cinta,
masalah kerjaya, masalah identiti dan masalah setempat, semuanya ada.
Semua itu akan memberikan kesan kepada penonton.
Pemikiran seperti "Ah, aku pernah rasa apa yang dia rasa"
membuatkan kita rasa dekat dengan cerita ini.

Lagi satu,
HIMYM pada aku adalah seperti satu teka-teki yang besar.
Soalan teka-tekinya ialah 'how Ted met his children's mother?'
Dari satu episod ke satu episod,
penonton akan dihidangkan dengan sedikit demi sedikit hint dan petunjuk.
Dari waktu ke waktu,
penonton akan dapat kaitkan hint-hint tersebut dan seterusnya terus meneka siapa yang bakal menjadi The Mother, gelaran kepada bakal pasangan Ted itu.

Tambahan pula,
siapa yang tidak suka akan lawak eksentrik watak-watak dalam cerita ni?
Frasa terkenal macam 'legen...wait for it...dary',
kewujudan Bro Code dan penggunaan sambungan 'bro' macam 'bromance',
'Bros before hos',
dan kritikan sosial yang kadang kala pedas dalam cerita ini membuatkan HIMYM semakin subur dalam hati.
Malah, aku mula tahu perkataan 'awesome'
dan penggunaannya adalah dari cerita ini.

Lagipun,
siapa boleh tahan dari nak tahu cerita sebenar di sebalik payung kuning yang ikonik itu. Kan?



Watak-Watak.

Selama 8 musim, watak-watak utamanya hanya lima orang (Ted, Marshall, Lily, Barney dan Robin), tapi masuk musim terakhir, musim ke-9, watak 'The Mother' mula diperkenalkan sebagai watak utama.



Ted Mosby, watak terpenting cerita ini, adalah karakter kegemaran aku.
Ted dikatakan seorang yang nerd dan tidak pandai bersosial.
Pada aku, kehidupan yang dilalui Ted seperti kecewa berkali-kali dalam percintaan, kerjaya yang kadang kala menggugat keyakinan, soal etika dan semangat setia kawan yang tinggi adalah metafora kepada seluruh kehidupan aku sendiri.
Malah,sesiapa sahaja pernah lalui masalah sebegitu.

Secara peribadi, aku mahu jadi macam Ted.
Pada awal musim, Ted digambarkan seperti seseorang yang percayakan cinta sejati.
Namun, selepas dikecewakan oleh ramai perempuan, kepercayaan Ted tentang cinta sejati seperti semakin hilang, hinggakan satu masa Ted seperti hilang arah tuju dalam kehidupan.
Namun, seperti semua orang, Ted tackle masalah dia.
Apabila kita di bawah, kita hanya ada satu jalan
iaitu ke atas.

Aku pun mahu sebegitu.





Barney watak ketiga kegemaran aku.
Barney adalah kaki perempuan yang berkeyakinan tinggi.
Dia selalu pakai suit dan kadang kala memaksa orang lain pakai suit juga.
Dia kaya, pandai dalam silap mata, suka laser tag, dan selalu gunakan perkataan 'awesome' dan 'legendary' dalam perbualan.
Barney pernah kecewa dengan perempuan. Dia kemudian buat keputusan untuk jadi kaki perempuan.

Aku sedar Barney menjadi watak kegemaran ramai penonton.
Lawak Barney selalu luarbiasa, tak pernah gagal.
Aku pernah baca satu survey yang mengatakan Barney adalah watak paling diminati,
sehinggakan pada beberapa musim pertengahan, kelihatan HIMYM lebih tekankan kisah Barney dan bukan kisah Ted.
Marketing....
Tapi memandangkan kisah mereka berdua memang berkait rapat, terutamanya berkenaan Robin, maka semuanya kembali masuk akal.





Marshall watak kegemaran aku selepas Barney.
Marshall kawan sebilik Ted sewaktu di kolej. Dia berpasangan dengan Lily sejak kolej lagi, dan kemudian berkahwin dengan Lily. Marshall dianggap kawan baik Ted (walaupun Barney kata dialah kawan baik Ted yang sebenar).
Marshall tinggi dan besar. Sepanjang 9 musim memperlihatkan Marshall berkembang dari menjadi pelajar jurusan undang-undang, kepada menjadi peguam dan kemudian bakal menjadi hakim.

Aku melihat Marshall adalah kritikan sosial kepada penonton di mana pasangan yang bercinta dan berkahwin juga boleh rapat dan sentiasa bersama kawan-kawan yang lain (mohon terasa).
Walaupun seorang peguam, tapi Marshall seorang yang sangat baik hati, sentiasa membantu orang yang dalam keperluan.
Aku selalu melihat Marshall dan Lily sebagai satu. Keunikan pasangan inilah yang membuatkan Marshall menarik. Sebagai karakter tunggal, Marshall biasa-biasa je...





Lily watak kedua kegemaran aku.
Dialah yang membuatkan aku beranggapan sesiapa yang bernama 'Lily' mesti seorang yang awesome.
**batuk batuk**
Lily berpasangan dengan Marshall, dan kemudian mengahwini Marshall.
Dia berbadan kecil, sedangkan Marshall tinggi dan besar, membuatkan pasangan ini menarik untuk dilihat.
Lily bermula sebagai cikgu tadika dan kemudian mengejar cita-citanya untuk memasuki bidang seni kerana minatnya dalam melukis.

Kalau aku boleh pilih pasangan, aku nak yang macam Lily.
Cool, awesome dan tidak pura-pura, namun sentiasa menghormati pasangan dan kawan-kawan.
Lily dilihat sebagai tempat Ted, Barney dan Robin untuk mengadu.
Walaupun dilabel sebagai tidak pandai simpan rahsia, Lily sudah pegang banyak rahsia orang lain yang tidak dibongkarkannya.

Lily juga dikatakan sebagai watak kedua paling digemari penonton selepas Barney.
I can see why.





Robin berasal dari Kanada dan pernah jadi bintang pop Kanada satu masa lalu.
Hal itu menjadi bahan kepada kawan-kawannya yang lain untuk digelakkan.
Dia kemudian datang ke New York untuk menjadi wartawan.
Diperlihat sebagai perempuan yang kuat dan cekal, namun Robin juga ada saat-saat lemahnya.

Walaupun Robin cantik dan menarik,
tapi aku kurang minat Robin sebab mengingatkan aku kepada seseorang.

Ted kenal Robin pada episod pertama, menjadikan Robin sebagai 'love interest' Ted yang pertama dalam TV.
Kemudian, mereka pernah berpasangan, putus, berpasangan balik, putus balik dan menjadi rumit.
Hal menjadi semakin rumit bila Robin berpasangan dengan Barney.
Hubungan Ted-Robin-Barney jadi sangat komplikated, namun mereka kekal sebagai kawan.
Ini juga, pada aku, adalah kritikan sosial kepada penonton.

Siapa kata lepas break tak boleh kawan?





Aku agak, episod akhir akan didedahkan nama sebenar The Mother.

Sepanjang cerita, The Mother hanya ditunjukkan visual tidak lengkap,
seperti kaki, dari belakang, dari atas.
Tidak didedahkan wajahnya.
Namun, pada akhir musim ke-8, The Mother mula didedahkan.

The Mother disifatkan seperti Ted versi perempuan.
Dia, pada pendapat aku, adalah perempuan yang kita tidak akan jatuh cinta pada pandangan pertama, tapi selepas kita ambil masa untuk mengenalinya, kita akan jadi semakin suka dengan dia.

Aku boleh cerita lanjut dan gambarkan tentang The Mother ini dengan imej, tapi aku tidak mahu menjadi spoiler kepada mereka-mereka yang belum layan tapi berniat mahu layan HIMYM.
Hehehehe....

Musim terakhir, musim ke-9, The Mother banyak ditunjukkan memainkan peranan besar.
Bagaimana kawan-kawan Ted yang lain mengenalinya.
Bagaimana dia dapat berada di tempat sepatutnya dia berada.
Beberapa persoalan dari hint-hint yang diberikan di musim-musim awal telah dijawab perlahan-lahan melibatkan The Mother.

Dia memang layak jadi The Mother.




HIMYM dan Aku.

Sejarah HIMYM dan aku adalah panjang, bermula awal lagi dari aku layan cerita ini lagi.
Dulu, bekas teman aku ada berikan aku dua DVD musim pertama dan musim kedua HIMYM.
Pada DVD itu dilabel 'HIMYM'. Tapi aku silap baca sebagai 'hymen'.
Dalam kepala aku berkata 'apahal pompuan ni suruh aku tengok DVD hymen?'

Jadi, aku tak tengok langsung DVD dia bagi tu...

Sampailah saat aku putus dengan dia.

Untuk pengetahuan, HIMYM sangat mempengaruhi aku,
sampaikan blog aku ini aku boleh bahagi kepada dua bahagian:
1) Sebelum-HIMYM, dan 2) Semasa-HIMYM

Saat sebelum-HIMYM adalah saat sebelum aku layan HIMYM.
Blog aku kosong dan merapu.
Sekadar luahan rasa orang yang kecewa.
Tapi,
pada sesuatu hari, ada kawan yang komen dalam satu post ini kata dia teringatkan satu episod HIMYM bila baca entri aku itu.
Selepas aku selidik apa itu HIMYM,
aku cari balik DVD HIMYM yang dihadiahkan kepada aku itu
dan aku mula layan...

Maka, masuklah blog ini ke bahagian semasa-HIMYM.

Since aku begitu tertarik dengan idea dan pendekatan HIMYM yang meletakkan hint tentang The Mother dan benda-benda lain, jadi penulisan aku dalam blog ini pun jadi berbeza.
Kebanyakan entri, aku akan masukkan satu dua hint tentang apa sahaja;
mungkin kaitan dengan post lain,
mungkin kaitan dengan page lain,
mungkin juga hint tentang identiti sebenar aku,
juga mungkin kaitan tentang kisah silam aku.

Sejak semasa-HIMYM, entri aku bukan entri biasa lagi.
Segala yang aku tulis, ada sebabnya.
Blog ini menjadi satu tEka-tEki yang besar, yang pada aku, kalau ada yang dapat selesaikan, dia memang hebat.

Mana tahu, mungkin akan ada zaman selepas-HIMYM pula nanti.


Begitulah kesan pengaruh HIMYM kepada aku.

Yang layan HIMYM tahu apa maksud aku.
Yang tak layan, aku harap kalian dapat cuba layan.




Ada kawan kata macam sudah terlambat untuk follow siri ni dari mula.
Jawapan aku, TIDAK.
Siri ini menjadi salah satu antara hanya dua siri TV yang aku sanggup layan balik dari awal selepas House MD.
Ada 208 episod, 22 minit satu episod.
Kalau sehari satu, maka tak sampai tujuh bulan dah boleh selesai.
Tapi aku yakin, sekali layan, tak akan jadi satu hari satu episod.
Paling kurang dua tiga.

Jadi,
tidak pernah terlambat untuk follow siri ini.

Kalau kalian rasa malas nak download, malas nak beli DVD ni di kedai,
tapi mahu cuba layannya dari mula, jangan risau.
Berhubung dengan aku, kita boleh setel.
F dan T.

Yang layan HIMYM, aku sarankan kalian jelajah wikia page dia.
Banyak boleh diketahui.
Hint-hint yang kita tak perasan.



Post ini diterbitkan pada 30 Mac 2014.
Episod akhir HIMYM akan ditayangkan pada 31 Mac 2014.
Episod penamat itu, aku pasti, akan meninggalkan kesan kepada aku.

Memikirkan HIMYM yang aku minati akan berakhir,
membuatkan aku sedikit tertekan.
Adakah lagi siri TV yang menarik sepertinya selepas ini?
Atau hanya kisah picisan yang bakal ditamatkan selepas beberapa musim?

Mungkin nanti aku pun akan bercerita panjang kepada anak-anak aku bagaimana aku bertemu dengan ibu mereka.
Cuma mungkin yang berbeza adalah aku (tak) ada kawan-kawan serapat Marshall, Barney, Lily dan Robin untuk jadi penyeri cerita.

Apapun, terima kasih HIMYM.
Sembilan musim ini adalah sembilan musim kegembiraan.
Kerana kamu, aku adalah aku yang sekarang. (not!)





.




Mar 28, 2014

Vorteks Ekstra - Demi Masa.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58][59][60]




“Adalah lebih baik untuk kita tidak terlibat dengan keluarga Encik Ahmad buat seketika. Terutamanya dengan Intan,” kata Prof. E kepada Prof. Shah yang sedang memerhati keluarga Encik Ahmad dari satu sudut gelap.
“Maksud kau?”
“Aku nak pindah. Aku tak mahu duduk sini lagi. Aku nak mulakan hidup baru.”
Prof. Shah tersenyum mendengar kata-kata kawannya itu. Pada Prof. Shah, baguslah jika Prof. E mahu mulakan hidup baru. Prof. E memang boleh dikategorikan sebagai sesat dalam kehidupannya sebelum ini. Dengan memulakan hidup baru, mungkin segala-galanya akan menjadi semakin baik.
Mereka berdua bersama-sama bergerak semula ke bilik loteng tingkat atas.

“Erman, aku ada dua persoalan,” mula Prof. Shah.
“Pertama, kenapa kau secara tiba-tiba sanggup melepaskan projek yang kau kaji selama berpuluh-puluh tahun ni? Kau tak sayang dengan titik peluh usaha kau sendiri? Bukankah semua yang berlaku ini membuktikan hasil usaha kau selama ini bukan sia-sia? Bukankah semua ini boleh jadi breakthrough dalam karier kau sebagai saintis?”
Prof. E merenung wajah kawannya itu sambil tersenyum.
“Soalan kedua?”
“Oh, kedua. Aku dapat rasa seperti kau sembunyikan sesuatu tentang Johan dan semua kejadian merentas masa ni. Apakah dia? Beritahu aku sepenuhnya.”
Sambil tersenyum, Prof. E menuju ke meja kerjanya. Dia mengambil sesuatu dari timbunan kertas. Sebuah fail. Prof. E kemudian menghulurkan fail itu kepada Prof. Shah.
“Jawapan untuk kedua-dua persoalan kau itu terdapat di dalam fail itu. Fail yang kau simpan selama ini.”
Prof. Shah membelek-belek helaian kertas di dalam fail itu. Itu fail yang sangat tidak asing baginya. Itu Fail J.
“INI FAIL J!”

“Ya, FAIL J.”
“Berkali-kali aku baca fail ini, walaupun isinya sama seperti kajian kau, tapi tiada apa yang baru dan tidak diketahui aku.”
“Cuba kau ceritakan kembali secara ringkas apa yang kau baca dari Fail J itu.”
“Baiklah...” Prof. Shah menarik nafas panjang sebelum memulakan cerita.
“Suatu hari, profesor aku didatangi seorang lelaki awal 20-an claim dirinya datang dari masa depan. Skeptik seperti orang lain, profesor aku itu tidak mahu melayan lelaki tersebut dan menganggap lelaki itu cuma mahu perhatian dengan mereka cerita palsu. Lelaki tersebut kemudian ingin membuktikan kepada profesor aku dengan meramal apa yang bakal berlaku dalam tahun itu. Selepas beberapa bulan, ramalan lelaki itu mengenai keputusan pilihanraya, kemalangan besar dan kematian beberapa orang penting dunia benar-benar berlaku. Profesor aku kembali mencari lelaki itu. Dia kemudian memulakan sesi kajiannya mengenai dakwaan lelaki itu mengenai dirinya datang dari masa depan.”
Prof. E mengangguk.
“Kata lelaki itu, dia datang dari lapan tahun ke depan. Suatu hari, semasa berjalan seorang diri pada waktu malam di dalam sebuah kawasan pembinaan, dia disambar kilat. Selepas dirinya sedar dari pengsan, dia dapati dirinya dalam keadaan berbogel di dalam satu kawasan semak samun. Menyangka dirinya dirompak, dia ke balai polis untuk membuat laporan. Di balai polis, dia dapati suasana menjadi berbeza. Selepas diamati, rupanya tarikh sudah bertukar. Dia sedar dirinya berada pada lapan tahun sebelum. Dia datang dari masa depan.”
Prof. E mengangguk sambil tersenyum.
“Lelaki itu juga dapati kewujudan dirinya satu lagi, lapan tahun lebih muda, membuatkan dirinya berada dalam keadaan penuh masalah. Tiada pengenalan diri, tiada tempat tinggal tetap dan tiada kenalan, dia kemudian mencari profesor aku yang mengkaji fenomena tidak normal alam. Katanya, sebagai tukaran kepada maklumat yang dia ada, dia mahu identiti baru dan tempat tinggal. Dia juga mahu diberikan modal untuk memulakan perniagaan.”
“Jadi, apa profesor kau buat?”
“Dia setuju. Dengan kemampuan meramal lapan tahun ke hadapan, lelaki itu dan profesor aku memulakan satu perniagaan berteraskan business consultation. Dari situ, mereka berjaya memungut keuntungan yang besar. Selepas lapan tahun, lelaki tersebut dan profesor aku buat keputusan untuk bersara dari perniagaan mereka dan masing-masing membawa bersama kemewahan yang besar. Profesor aku buka pusat kajian sendiri manakala lelaki itu berkahwin dan menjalani kehidupan normal tanpa orang ramai mengetahu dia pernah merentas masa.”

“Shah, kau skip bahagian paling penting dalam fail.”
“Oh, tentang kisah cinta lelaki itu? Hm, aku tak rasa cerita itu menarik. Lelaki itu seorang miskin tanpa kelulusan tinggi cuba untuk memikat seorang pelajar universiti, tapi sebelum dia sempat memulakan langkah, ada lelaki lain yang lebih berjaya memikat hati perempuan idamannya. Cheesy. Macam drama sangat.”
Prof. E tersenyum lebar. “Kau rasa perkara itu tidak penting?”
“Ya.”
“Clearly kau tidak baca fail itu betul-betul. Lelaki yang sedang kecewa itu sedang berjalan-jalan pada waktu malam seorang diri semasa disambar kilat dan dibawa ke lapan tahun sebelumnya. Apabila dia sedar dia berada pada lapan tahun sebelumnya, dia tanam tekad mahu berjaya dan sekali lagi cuba memikat perempuan idamannya lapan tahun kemudian.”
“Ya? So?”
“Lelaki yang berjaya memikat gadis idamannya sebelum dia merentas itu ialah diri dia sendiri. Diri dia yang sudah berjaya.”
Prof. Shah membeliakkan matanya. “Ohhh...”

“Satu lagi perkara penting kau skip,” kata Prof. E.
“Apa dia?”
“Siapa nama lelaki itu?” tanya Prof. E.
Prof. Shah membelek kembali fail di tangannya. “Jaafar. Jaafar bin Seman. Hence the file name, J-File.”
For your information, Jaafar bin Seman IS Johan’s grandfather. Dia datuk kepada Johan.”
Prof. Shah terkejut.
“’Was’ actually. Dia meninggal beberapa hari lepas,” sambung Prof. E.
Prof. Shah mengambil fail Johan dan membelek isi di dalamnya.
“Dari awal kajian lagi, aku dapat rasa ada satu variable yang aku tak masukkan dalam pengiraan. Apabila aku dapat Fail J dari kau, aku terus faham. Rupanya variable tersebut ialah genetik.”
“Genetik? Maksud kau?” tanya Prof. Shah.
“Genetik adalah jawapan kenapa hanya Johan yang hilang ditelan kilat sebentar tadi walaupun kita ada di sekeliling. Genetik juga jawapan kenapa yang diambil hanya Johan tapi bukan pakaian dan peluru yang tertanam di dalam badannya.”
Wajah Prof. E bertukar sayu.
“Hanya genetik tertentu sahaja yang membolehkan seseorang layak merentas masa. Sebab itulah kenapa mereka yang mengkaji fenomena merentas masa tidak pernah berjaya merentas masa. Pendek kata, yang mahu merentas masa tidak layak merentas masa, yang layak merentas masa tidak tahu tentangnya.”
Prof. E melabuhkan punggungnya ke atas kerusi.
“Dari awal kajian aku, aku berhasrat mahu merentas masa dan merasai sendiri pengalamannya. Aku berusaha mengkajinya sehinggakan aku hilang keluarga yang aku sayang. Namun, sejak keluarga aku tinggalkan aku, matlamat aku bertukar. Aku mahu merentas masa ke masa sebelum keluarga aku pergi dan mengingatkan diri aku pada waktu itu supaya hentikan semua ini. Aku mahu perbaiki masa silam aku. Aku mahukan keluarga aku kembali.”
Prof. Shah juga mencari kerusi untuk dirinya duduk.
“Tapi, selepas jumpa Johan, aku dapati semuanya tidka penting lagi. Semua ini, semua kajian ini, membuatkan aku hilang perkara yang lebih penting. Keluarga. Aku tidak mungkin dapat ke masa silam untuk perbaiki segalanya. Apa yang aku mampu buat hanyanya maju ke depan dan jadikan masa silam aku sebagai panduan dan pedoman. Aku tiada pilihan untuk merentas masa. Aku tidak TERPILIH untuk merentas masa.”
Prof. Shah memandang wajah pilu Prof. E. “Jadi kau buat keputusan untuk melepaskan semua hasil kajian kau ini? Begitu?”
Prof. E tersenyum. “Ya. Sudah tiada makna jika aku teruskannya.”

Prof. E berdiri dan mengemas fail-fail dan kertas yang berselerak di atas mejanya.
“Tapi jangan bimbing. Semua ini tidak sia-sia. Data-data kajian ini mungkin berguna satu hari nanti.”
“Maksud kau?” tanya Prof. Shah.
“Maksud aku, jika akan datang berlaku sesuatu yang tidak diingini, sesuatu yang tidak menyebelahi manusia, merentas masa mungkin menjadi salah satu alternatif untuk memulihkan keadaan. Dengan syarat, Johan atau sesiapa yang memiliki genetik merentas masa masih ada.”
Prof. Shah tersenyum mendengar kata-kata Prof. E itu.

“Kau bercakap seperti penerbit filem fiksyen.”

“Ya, memang begitu. Jika berlaku sesuatu kepada dunia, Johan mungkin boleh menjadi penyelamat.”



[TAMAT.]



.




Mar 21, 2014

Vorteks #60 - Demi Masa...


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58][59]



Nota penulis:
Episod akhir Vorteks mengandungi dua pengakhiran.
Sila pilih dengan klik mana satu pengakhiran pilihan kalian.


Ya. Seperti apa yang mereka ramalkan, peristiwa itu memang berlaku.
Malam menjelang 23 haribulan, awan tebal mula berkumpula dan membentuk pusaran di langit seolah-olah satu vorteks awan yang besar. Suasana sekitar mula menjadi sejuk secara mendadak. Beberapa saat kemudian, satu sambaran kilat yang besar diikuti dengan petir yang kuat keluar dari pusat pusaran awan tersebut menghentam bumi pada satu lokasi yang spesifik. Lokasi sama seperti yang pernah berlaku lapan tahun lepas. Juga lokasi yang sama seperti yang pernah berlaku 7 hari lepas.

22 Mac 2012, jam 2230.
Kilat Thor sekali lagu menyambar bilik loteng di rumah Prof. Erman.

------

Johan mengeliat, meregangkan badannya. Sambil menguap, dia membuka matanya perlahan-lahan. Mata kuyunya melihat kawasan sekeliling. Hanya selepas sepuluh saat baru Johan sedar dia tidak berada di tempat selalu dia terjaga daripada tidur. Dia bukan berada di atas katil di dalam biliknya di kolej kediaman universiti seperti selalu. Dia juga bukan berada di atas katil di biliknya di rumah ibu bapanya. Dia berada di atas katil di dalam bilik yang kelihatan tidak asing baginya.
Johan berada di dalam bilik di rumah Prof. Erman.

“Selamat pagi, Johan. Selamat kembali.”

Satu suara kedengaran dari satu sudut bilik. Suara itu datang dari seorang lelaki pertengahan umur yang sedang duduk memerhati.





.




Mar 16, 2014

Tanpa Tajuk #9


Aku sedar, dengan apa yang berlaku kepada MH370,
sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk aku publish entri.
Jadi kalau kalian tidak mahu terus membaca,
aku faham dan aku tidak kisah kalau kalian nak close.


Hai, nama aku cEro.
cE berbunyi 'se' seperti dalam 'serotonin',
ro berbunyi 'ro' seperti dalam 'serotonin' juga.
Ini adalah entri tanpa tajuk ke-9.



Entri tanpa tajuk ialah entri ringkas berkisar tentang perkara yang berlaku sekeliling aku.
Perkara-perkara yang penting dan ringkas yang terlalu pendek untuk dijadikan satu entri khas tapi harus juga aku berkongsi dengan semua,
semuanya aku kumpulkan di dalam satu post.
(Sebenarnya Tanpa Tajuk adalah entri yang aku buat bila aku ada banyak nak diperkatakan tapi malas untuk melukisnya. GAH! GAH! GAH!)

Tanpa melengahkan masa,
mari kita mula....



0. MH370

Aku ikut rapat dengan setiap perkembangan MH370.
Kita serahkan segalanya kepada yang pakar dengan keizinan Yang Maha Esa.
Harap tiada yang reka cerita palsu.
Harap tiada yang cuba buat spekulasi.
Jika tidak membantu, adalah baik kita diam.
Tetapi yang terbaik kita boleh buat adalah TERUS BERDOA.

Dan tolong,
jangan share/ retweet/ buat liputan langsung tentang para bomoh attention seeker tu.
Remember, any publicity is good publicity.
Lagi banyak kita share cerita karut dia, lagi terkenal dia jadi.
Jadi, hentikan. Abaikan. Doakan dia kembali dari jalan sesat.

Apa yang penting, TERUSKAN BERDOA.
#PrayForMH370




1. F, C, K, D.

Kalian akan kenal gambar di atas jika kalian baca entri F untuk Fuwa Fuwa.
Entri tersebut menjadi uproar di kalangan kawan-kawan yang kenal aku kerana mereka cuba mencari siapakah gerangan si F.
Ada yang berjaya pinpoint F berdasarkan gambar tersebut sebab aku lukis exactly the same position as gambar sebenar yang ada dalam Facebook.

Isunya adalah apabila F sudah pun berkahwin.

Let me be frank,
satu prinsip aku ada dari kecil sampai sekarang,
aku tidak akan kacau mana-mana perempuan yang sedang 'in-relationship' tidak kira yang sedang kenal hati budi, berpacaran, bertunangan, apatah lagi yang sudah berkahwin dan ada anak.
Banyak lagi benda berfaedah aku boleh buat selain kacau hubungan orang.
Lagipun,
aku tiada apa-apa kelebihan pun nak dijadikan advantage.
Aku tak kaya, aku tak ada Ferrari.

Jadi untuk F, tiada isu di situ.

Aku MUNGKIN ada hati, tapi aku tidak akan jadi wedding breaker.
Dude, dia dah bahagia. Aku dah cukup bersyukur dah.
Jadi, memang tiada isu langsung di situ.
Kau orang ingat aku apa? HS?

Oh, by the way.
Dalam gambar itu juga ada si K dan D.
Kalau kalian baca entri mengenainya, kalian dapat teka mana satu K dan D.

Good luck!


2. E untuk England

Aku dapat poskad dari England.
Datang dari seorang kenalan blogger yang belajar di sana.
Aku punyalah teruja bila korek-korek peti surat dan terjumpa.
Dude,
siapa yang tak teruja kalau dapat poskad?
Zaman sekarang, nak hantar apa-apa pun semua pakai elektronik.
Sekali sekala datang surat siput dari tempat jauh 7000 batu,
apa salahnya teruja, kan?



Kepada yang berkenaaan,
terima kasih.




3. L untuk Lucky

Aku suka pergi ke Kinokuniya KLCC mencuci mata.
Aku ada berkenan dengan satu buku,
buku ini:



Harganya melampau (RM 65.60) untuk sebuah buku yang kecil.
Jadi aku simpan dalam hati,
dengan niat suatu hari nanti aku akan membelinya juga.

Nak dijadikan drama,
pesta jualan buku Serigala Nakal yang Besar (BBW) berlangsung bulan Februari lepas.
Since tempatnya dekat sangat dengan aku,
aku pun pergilah cuci mata.
Lalu, terjumpalah buku ini:



Nampak tak tanda harga dia? RM 10 baq hang...
Tapi disebabkan ada lagi potongan, harga jualannya turun jadi RM 8.

Maka, melompatlah aku kegirangan di tengah-tengah lautan buku.
Dari RM 65.50 jadi RM 8, banganglah aku kalau tak rembat.
Nasib aku baik, kan?
Untung kan aku?
Tuah berpihak kepada aku, kan?

Buku itu sekarang sedang menjadi penangkap habuk di almari.





4. V untuk Vorteks

Semasa entri ini ditaip, Vorteks sudah memasuki episod ke-59.
Aku akan habiskannya dalam episod 60,
bermakna sangat dekat dah nak habis.

Aku tahu,
5 orang sahaja di antara kalian yang baca Vorteks,
tapi aku tetap bersyukur dan berterima kasih.
Terima kasih.

Sedar tak sedar hampir dua tahun dah Vorteks menyemak pada hari jumaat.
Dua minggu lagi, semuanya akan berakhir.
Walaupun sedikit sebak,
tapi aku lagi teruja sebab aku tak perlu lagi menulis.
Yaay!
Menulis cerita fiksyen rupanya sangat susah.
Pandangan aku terhadap penulis di luar sana memang 100% berubah.
You guys are geniuses.

Kepada yang belum cuba baca, cubalah baca.
Kalau boleh, hantarkan aku kritikan yang membina supaya aku boleh perbaiki yang mana patut.
Not that aku berniat nak tulis lagi, cuma untuk rujukan diri.
Hehehe.





5. I untuk Instagram

Ingat lagi dalam entri Tanpa Tajuk sebelum ini aku ada bercerita tentang Instagram?
Sebab utama aku tiada akaun Instagram walaupun majoriti yang lain ada adalah kerana aku tiada sebab untuk ada.

Tapi itu dulu.
Kini aku sudah ada sebab untuk ada akaun Instagram.
Maka,
wujudlah akaun Instagram cEro.

Yaay!

Kalian pergi dan follow di @cerolian.

Tapi disebabkan 'buah cempedak di luar pagar'
akaun itu belum/tidak berapa aktif.

Maafkan aku jika mengecewakan.
Tapi akan datang siapa yang tahu, kan?

Follow tau!





6. A untuk Amaran

Hm...
Macam mana aku nak cakap supaya kedengaran friendly dan tidak seperti mengugut.

Pertama sekali,
cuba bersikap terbuka dengan apa yang bakal kalian baca selepas ini.
Aku sudah beritahu banyak kali dalam entri-entri sebelum ini,
tapi semua pesanan itu sudah tenggelam ditelan jamban masa.
Manusia mudah lupa.
Jadi, aku kena peringatkan dari semasa ke semasa.

Ada antara kalian yang kenal aku.
Mungkin kita pernah satu sekolah,
pernah satu tempat belajar,
pernah jumpa dan duduk minum sama-sama,
pernah berinteraksi di twitter dan facebook peribadi aku,
tahu emel aku,
tahu nombor akaun bank aku,
malah tahu nama sebenar aku.

Tapi bila aku beritahu aku asingkan diri aku yang dalam blog dengan aku yang sebenar,
aku tidak bergurau.
LANGSUNG TIDAK BERGURAU!

Aku hanya cEro di dalam alam maya.
Di luar aku tidak dan tidak akan dikenali sebagai cEro.
Jadi, jangan kaitkan aku dengan cEro di luar blog.

Aku tidak akan ambil peduli dengan sesiapa yang panggil aku 'cEro' luar dari lingkungan yang aku benarkan.

Sebab kenapa kalian boleh kenal 'cEro' di alam realiti
adalah kerana aku yang benarkan.
Kadang-kadang atas dasar ingin berkawan.
Kadang-kadang atas urusan tertentu.
Kadang-kadang hanya kebetulan.

Dengan kata lain, kalau kalian kenal aku, aku juga kenal kalian.

Jadi,
tolong jangan langsung kaitan aku dengan cEro di luar alam maya.

Dan jangan terniat mahu dedahkan identiti aku.
Sebab seperti yang aku kata sebelum ini,
kalau kalian kenal aku, aku juga kenal kalian.
Jangan terkejut kalau tiba-tiba ada bungkusan yang mencurigakan berada di depan pintu rumah kalian bertanda-tangankan 'cEro'.
Kalian hormat kehendak aku, aku hormat hak kalian.
Simple.

See?
Aku cuba untuk tidak kedengaran mengugut.
Tapi gagal.
Sorry not sorry.
Minta maaf. Harap dapat terima dengan terbuka.
Minta maaf sekali lagi.
Maafkan aku.

I'm sorry.

xxxxxx


Baiklah, itu sahaja untuk kali ini.

Kalian boleh berinteraksi terus dengan aku di page Facebook
Empire State of cEro.
Klik like. Aku balas setiap mesej yang ada dalam inbox.
Juga follow di twitter @cerolian.
Dan kalau kalian rasa nak jenguk instagram aku yang kosong itu pun aku terima dengan tangan terbuka.

Sekali lagi aku minta maaf kalau ada yang terasa.
Please forgive me.
Maafkan aku.

I'm watching you!
**dua jari di mata**



.




Mar 14, 2014

Vorteks #59 - Masa Silam, Masa Kini, Masa Depan.


[1][2][3][4][5][6][7][8][9][10][11][12][13][14][15][16][17][18][19][20][21][22][23][24][25][26][27][28][29][30][31][32][33][34][35][36][37][38][39][40][41][42][43][44][45][46][47][48][49][50][51][52][53][54][55][56][57][58]




Natijah daripada cahaya kilat besar yang menyambar loteng rumah Prof. E, bekalan elektrik di seluruh kawasan perumahan itu telah terputus. Walaupun kejadian sebegitu selalu berlaku setiap lapan tahun di kawasan itu, tapi kali ini jumlah cahaya yang memancar dan bunyi dentuman petir amat luarbiasa. Kebanyakan penduduk setempat cuba meninjau apa yang sudah berlaku. Ada yang keluar dari rumah dan melihat sekeliling, ada juga yang hanya meninjau keluar dari beranda rumah.
Intan tidak terkecuali.
Intan berlari ke beranda rumah untuk melihat apa yang sudah berlaku. Sesampainya dia di beranda, perkara pertama yang menarik perhatiannya adalah kereta biru yang berbunyi penggeranya di hadapan rumah Prof. E. Kereta itu dikenali Intan. Itu kereta milik ayahnya.
“Ibu! Ibu!” jerit Intan ke dalam rumah. Puan Nora kemudian datang sambil mendukung Farhan.
“Kenapa?” tanya Puan Nora.
“Itu!” sambil Intan menuding jarinya ke arah kereta biru tadi.

22 Mac 2004, jam 2333. 3 minit selepas Kilat Thor.
“Tipu. Tak mungkin dia boleh hilang begitu sahaja,” Inspektor Bakar mempersoalkan apa yang dia lihat. Encik Ahmad di sebelah masih terkaku diam, juga tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
“Walaupun aku sendiri sudah bersedia untuk semua ini, tapi aku masih juga rasa ragu-ragu,” kata Prof. Shah dari tepi meja. “Erman, adakah semuanya berjalan seperti kau duga?”
“Ya.” Prof. E duduk melihat sesuatu dalam timbunan pakaian yang ditinggalkan Johan di atas kerusi. “Semuanya berjalan seperti yang aku duga, malah lebih baik dari itu.”
Dengan menggunakan penyepit seakan-akan forseps, Prof. E mengambil sesuatu dari timbunan pakaian tersebut.
“Lihat.” Prof. E menunjukkan sesuatu ke arah Prof. Shah, Inspektor Bakar dan Encik Ahmad.
“Itu...Itu serpihan peluru. Adakah...?” Inspektor Bakar tergagap.
“Ya, datang dari Johan. Dia pergi dan berjaya tinggalkan kita serpihan peluru dari badan dia,” jelas Prof. E.
“Kau tahu tentang ini, Erman?” Prof. Shah meminta kepastian.
“Tidak. Tapi aku boleh duga. Semasa hari pertama dia muncul di sini tempoh hari, dia berada dalam keadaan bogel dan lapar. Aku teka, hanya dia sahaya yang ‘dibenarkan’ merentas masa. Bahan lain ‘bukan dia’ seperti baju tidak akan dibawa sekali. Sebab itu serpihan peluru ini dapat ditinggalkan.” Riak muka kagum bercampur tidak percaya jelas kelihatan di muka ketiga-tiga Prof. Shah, Inspektor Bakar, dan Encik Ahmad.
“Untung dia pergi dalam keadaan perut kosong. Kalau tidak, kita kena pasti kena berurusan dengan najis dan bahan makanan yang belum hadam di sini.” Prof. E cuba berjenaka, tapi tiada reaksi daripada yang lain. Masing-masing masih terkejut.

Selepas membiarkan Inspektor Bakar dan Encik Ahmad menenangkan diri, Prof. E datang menghampiri mereka.
“Inspektor. Seperti yang saya janji, saya serah diri saya. Tangkaplah saya atas apa sahaja kesalahan yang ada. Saya akan mengaku kesemuanya.” Prof. E menghulurkan tangannya kepada Inspektor Bakar, tunggu untuk digari. “Yang pasti, Prof. Shah tiada sebarang kaitan dengan semua ini.”
Prof. Shah dan Encik Ahmad terlopong melihat tindakan Prof. E. Inspektor Bakar pula kelihatan sedang berfikir sambil merenung wajah Prof. E.
“Maaflah, Prof Erman. Saya tak boleh nak tahan awak. Tiada kesalahan yang boleh saya sabitkan.” Inspektor Bakar menolak tangan Prof. E.
“Tapi...”
“Macam mana saya nak tahan awak atas pertuduhan menculik pesakit di hospital, sedangkan pesakit itu tidak wujud di dunia ini.”
Logik Inspektor Bakar itu menguntumkan senyuman di wajah Prof. E dan Prof. Shah.
“Banyak yang saya nak tanya awak, Prof Erman, tapi sekarang saya sudah penat. Untuk hari ini, kita tamatkan di sini sahaja. Boleh?”
Prof. E hanya mengangguk. Dia bersyukur akhirnya Inspektor Bakar percayakan dengan apa yang dia perkatakan.
Setelah pistol yang dipegang Prof. Shah dipulangkan kembali kepadanya, Inspektor Bakar melangkah ke arah pintu untuk pulang.
“Inspektor Bakar!” panggil Prof. E. Inspektor Bakar yang sudah berada di muka berpaling.
“Harap semua yang berlaku di sini tadi dapat dirahsiakan. Perkara seperti ini memang tidak patut dihebah-hebahkan,” pinta Prof. E.
“Saya tahu. Lagipun, daripada sibuk mencanang cerita tentang lelaki dari masa depan, lebih baik saya fikirkan apa yang patut saya tulis dalam laporan nanti.” Inspektor Bakar mengeluh panjang sebelum berlalu hilang di sebalik pintu.
“Encik Ahmad?” Prof. E beralih kepada lelaki yang berada di sebelahnya itu.
“Walaupun masih terkejut, tapi saya rasa saya faham apa yang sudah terjadi. Jangan risau. Saya juga tidak mahu dilabel gila dengan membawa berita ada orang datang dari lapan tahun akan datang semata-mata untuk selamatkan anak saya.” Encik Ahmad kelihatan lebih tenang dari tadi.
“Masalahnya sekarang, apa perlu saya beritahu Intan...”

“Cepatlah, ibu. Ayah mesti ada di sana.” Intan menarik tangan ibunya yang sedang mendukung Farhan dan berjalan laju ke arah rumah Prof. E. Belum sempat Intan mahu mengetuk pintu rumah Prof. E, pintu itu sudah terbuka. Lelaki yang membukanya juga terkejut melihat Intan di muka pintu.
“Intan! Nora!” tegur Encik Ahmad merujuk kepada anak dan isterinya.
“Ayah! Apa ayah buat di rumah Prof? Kenapa ayah tak balik ke rumah? Kenapa ayah tak datang ambil kami untuk ke hospital melawat Yusran?” soal Intan bertubi-tubi. Encik Ahmad masih cuba untuk mencari jawapan yang patut dia perkatakan.
“Mari balik ke rumah kita. Ayah akan ceritakan segalanya di rumah,” terang Encik Ahmad.
Di dalam rumah, Prof. E dan Prof. Shah memerhati mereka sekeluarga dari satu sudut gelap.
“Adalah lebih baik untuk kita tidak terlibat dengan keluarga Encik Ahmad buat seketika. Terutamanya dengan Intan,” terang Prof. E.
“Maksud kau?”
“Aku nak pindah. Aku tak mahu duduk sini lagi. Aku nak mulakan hidup baru.”
Prof. Shah tersenyum mendengar kata-kata kawannya itu.

Encik Ahmad melabuhkan punggungnya ke atas sofa. Puan Nora meletakkan Farhan di atas ribanya sambil mengambil tempat. Intan terlebih dahulu duduk, tidak sabar mendengar apa yang bakal diperkatakan oleh ayahnya. Walaupun ruang tamu masih bergelap, namun terdapat sumber cahaya datang dari lampu kecemasan automatik yang terpasang di depan rumah. Cahaya itu tidak terang, namun masih membenarkan setiap dari ahli keluarga Encik Ahmad untuk untuk melihat wajah masing-masing.
“Intan sayang. Ayah baru berjumpa dengan Prof Erman. Yusran terpaksa di rawat lebih lanjut di luar negara. Kita tidak dapat bertemu dengan dia dalam masa terdekat ini. Mungkin lebih lama dari sepatutnya,” jelas Encik Ahmad.
Berita tersebut membuatkan Intan tergamam. “Ke mana dia dihantar, ayah?”
“Ayah tak pasti,” kata Encik Ahmad sambil menggelengkan kepala.
Tidak dapat menahan lagi, Intan menangis teresak-esak. Suasana sayu menyelebungi ruang tamu, namun Encik Ahmad dan Puan Nora hanya berdiam diri dan membiarkan Intan terus menangis.
“Ini semua salah orang. Ini semua salah orang. Kalau orang tak kena culik, Yusran tak akan jadi macam tu.” Intan menekup wajahnya. Tersedu-sedu Intan menangis diselangi dengan raungan kecil. Puan Nora menggosok belakang Intan, cuba menenangkannya.
Encik Ahmad tidak mampu untuk melihat anaknya terus bersedih dan menyalahkan diri.
“Tapi Intan, Yusran ada sedar dari koma sebelum dia dihantar pergi. Dia ada tinggalkan pesan untuk Intan. Dia kata satu hari nanti dia sendiri akan cari Intan. Sementara menunggu hari itu, Intan perlu terus ke depan...”
Serta merta Intan diam, terhenti dari tersedu. Encik Ahmad juga terhenti dari terus berkata-kata.
Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin,” kata Intan tiba-tiba. Encik Ahmad dan Puan Nora tergamam melihat Intan.
“Itulah pesan yang Yusran tinggalkan. Itu prinsip yang dia ajar kepada Intan. Kata dia, dengan prinsip itu, tidak kira apa pun pengalaman, rintangan dan cabaran yang kita hadapi, kita akan dapat hadapi dengan jayanya.”
Kagum mendengar kata-kata anaknya itu, Encik Ahmad mengangguk sambil tersenyum.
“Ya, itulah yang Yusran pesan. Dia mahu Intan terus kuat dan kejar cita-cita Intan.” Walaupun terpaksa menipu, tapi melihat Intan berubah dari berwajah sedihnya sebentar tadi sangat melegakan hati Encik Ahmad. Padanya, buat masa sekarang, biarlah Intan tidak diberitahu lagi tentang kebenaran segalanya.

------

25 Mac 2004, jam 0810, di Sekolah Menengah Bandar Selatan (2). 3 hari selepas Kilat Thor.

“Awak pasti awak okey, Intan?” tanya Aida. Dia dan Intan sedang berjalan bersama-sama memasuki kelas mereka selepas tamat perhimpunan harian sekolah.
“Saya okey. Dah dua hari saya duduk rumah tak buat apa-apa. Ayah pun tidak pergi kerja semata-mata nak temankan saya. Kalau saya cuti lagi, terganggu pula kerja ayah nanti. Lagipun dah banyak pelajaran yang saya terlepas.”
Di sekolah, hangat dengan khabar angin terdapat seorang pelajar diculik, tapi hal sebenar tentang siapakah gerangan yang diculik hanya beberapa guru dan Aida sahaja yang tahu.
“Rajin betul awak. Kalau saya, lagi seronok kalau duduk di rumah.”
Mereka berdua tergelak bersama-sama.
“Oh, ya.” Intan memalingkan kepada ke arah Aida.
“Semalam, tiba-tiba ayah ada tanya apa yang saya teringin nak buat. Awak tahu apa yang saya jawab?”
“Apa?” tanya Aida.
“Saya beritahu dia tentang tawaran abang awak tu. Tentang jadi model majalah Remaja Kini.”
“Jadi, apa yang ayah awak cakap?” Aida berwajah teruja.
“Dia setuju.” Menjerit Aida mendengar kata-kata Intan itu. Dia memeluk Intan kerana terlalu gembira. “Tapi ayah bagi syarat...”
“Apa syaratnya?”
“Pelajaran jangan diabaikan.”
“Ala, awak budak pandai. Saya yakin awak boleh. Biar saya uruskan awak. Nanti saya beritahu abang saya, okey?”
Intan tersenyum lebar. Akhirnya perjalanan dia mengejar impian masa kecilnya akan bermula.

27 Mac 2004, jam 1000, di sebuah kawasan kampung di Bandar Timur. 5 hari selepas Kilat Thor.
Pintu sebuah rumah diketuk. Beberapa saat kemudian, kedengaran tapak kaki menuju ke pintu tersebut. Pintu dibuka. Wanita separuh umur yang membuka pintu itu kelihatan terkejut melihat gerangan yang mengetuk pintu.
“Assalamualaikum. Awak sihat?”
“Er...Erman. Abang.” Wanita tersebut seperti tidak percaya dengan apa yang sedang dilihatnya. Prof. E sedang berdiri tersenyum memegang sejambak bunga.
“Saya tahu awak tak berapa suka bunga. Tapi saya tak ada idea nak bawa apa untuk awak. Boleh saya masuk?”
“Silakan, abang. Silakan.”
Dalam jarak 20 meter dari situ, kelihatan Prof. Shah memerhatikan semuanya dari jauh. Dia tersenyum. Tapi senyumannya sedikit kelat.
“Aku tak tahu apa patut aku rasa. Aku sepatutnya gembira, tapi kenapa dalam masa sama aku berasa sedih?”
Prof. Shah menghidupkan enjin kereta. Dia kemudian menekan butang ‘on’ pada pemain mp3 keretanya. Bergema segenap ruang kereta dengan melodi piano Musim Bunga ‘La Primavera’ hasil ciptaan Antonio Vivaldi. Prof. Shah memejamkan mata menikmati muzik kegemarannya sebelum berlalu pergi meninggalkan kawasan kampung itu.

Sementara itu, sesuatu sedang berlaku di dalam sebuah studio rakaman di Pusat Bandar.
“Aku ada idea baru untuk lagu baru. Aku sudah dapat ilham,” desak seorang lelaki terhadap seorang produser. Produser tersebut hanya menggarukan kepalanya.
“Masa kau sudah lepas, Yus. Kau kena terima hakikat.”
“Tapi, lagu ni bakal hit. Aku jamin.” Lelaki yang dipanggil Yus itu menghulurkan beberapa kertas tertulis not-not muzik dan beberapa baris lirik.
“Kau pinjamkan dulu studio kau. Nanti bila aku sudah kaya, aku bayar balik semuanya TIGA KALI GANDA.”
Frasa ‘TIGA KALI GANDA’ itu menarik perhatian produser tersebut. Dia kemudian membaca not-not muzik dan baris lirik yang diberikan Yus.

Waktu itu, ketika kita sama-sama ketawa
melafaz "kita suka sama suka,"
waktu itu, sekecil mana khilaf kita lupakan sahaja.

“Mana kau dapat idea buat lagu ni?” tanya si produser.
“Aku dapat ilham masa tumpang lori sayur tempoh hari.”
“Tapi ini bukan lagu rock. Ini macam lagu balada,” kata produser itu.
“Memang. Aku nak buat ‘comeback’ dengan lagu balada,” balas Yus. Produser itu masih ragu-ragu.
“Kau cuba dulu. Tak rugi. Percayalah. Aku janji.” Produser itu menarik muka apabila mendengar perkataan ‘janji’ datang dari mulut Yus. Dari pengalaman terdahulu, perkataan ‘janji’ tidak bererti apa-apa kepada Yus. Tapi, susunan muzik dan baris lirik yang ditulis Yus itu tidak boleh dipertikaikan kehebatannya. Selaku produser, dia nampak potensi dalam lagu tersebut.
“Baiklah. Aku cuba. Tapi dengan satu syarat. Aku nak kau comeback sebagai kumpulan FRU, bukan Yusran. Tiada siapa mahu dengar lagu dari ‘Yusran yang bermasalah’. Okey?”
“Okey!”
“Dah buang semua jambang-jambang dekat muka tu. Serabut aku tengok.”
“Okey!”
Persetujuan termeterai.

17 April 2004, jam 2000, di kediaman Encik Ahmad, Bandar Selatan.
Intan berdiri di tingkap dan meninjau suasana di luar. Hujan turun tidak lebat tapi cukup untuk membasahi bumi. Melihat titisan air hujan berlumba-lumba berlinang di kaca tingkap membuatkan Intan teringatkan seseorang. Seseorang yang hilang tanpa jejak.
Lamunan Intan terhenti dan beralih ke arah telefon bimbit di tangannya yang berbunyi. Ada satu pesanan ringkas masuk.
Hani, esok jangan lupa. Pukul 9 pagi saya dan abang datang jemput di rumah.
Pesanan ringkas dari Aida, selaku pengurus peribadi tidak bertauliah. Aida juga yang memberikan nama ‘Hani’ kepadanya. Kata Aida, ‘Hani’ kedengaran lebih komersial. Intan tiada bantahan memandangkan Hani juga sebahagian dari namanya, Intan Farhani. Nama Hani juga mengingatkannya terhadap Yusran di mana di awal pertemuan mereka, Yusran tersilap sapa dia sebagai ‘Hani’. Mulai sekarang dia akan dikenali sebagai Hani, nama yang melambangkan kekuatan dirinya. Mulai sekarang Intan akan menempuh perjalanan dalam usaha merealisasikan impiannya dari kecil, menjadi model seperti ibunya.

Intan hanya tersenyum selepas membalas pesanan ringkas tersebut.
Dia kembali merenung ke luar tingkap.
Sudah hampir sebulan tiada khabar berita dari Yusran. Hampir sebulan juga Intan terkenangkan penyelamatnya itu setiap hari. Kadangkala air mata menemani. Kadangkala senyuman mengisi. Tapi yang pasti Intan tidak pernah menunjukkan riak sedihnya di hadapan sesiapapun. Di hadapan orang, dia perlu kelihatan kuat dan tabah. Cukuplah hanya dia sahaja yang tahu betapa rindunya dia dengan seseorang.
Dari tingkap, dia cuba meninjau rumah Prof. E. Namun, apa yang dia nampak cuma rumah yang tidak berlampu. Benarlah kata ayahnya bahawa Prof. E sudah berpindah keluar dari kejiranan itu. Tiada siapa tahu bila dan bagaimana. Sedar-sedar sahaja rumah Prof. E sudah kosong dan tidak berpenghuni. Hal demikian merumitkan lagi usaha Intan untuk menjejak Yusran. Dia tidak tahu mana lagi titik mula dalam usahanya untuk menjejak Yusran.
Namun Intan tidak akan putus asa.
“Manusia perlu terus ke depan. Masa silam dijadikan pedoman supaya kita pada masa kini tidak mengulangi kesilapan. Hasilnya, masa depan kita akan lebih terjamin.”
Biarpun sebulan, biarpun setahun, biarpun sepuluh tahun, Intan akan tetap berusaha mencari Yusran. Dia juga percaya Yusran akan berpegang kepada janjinya untuk bertemu kembali satu hari nanti. Tidak kira berapa lama, Intan pasti akan tunggu.


Lapan tahun kemudian...



BERSAMBUNG...[60]





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: