Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 2, 2011

"Akhirnya, Aku (Masih) Seorang Pengecut."

Ini cerita sabtu lalu.

Seawal pagi aku ke rumah agam besar itu.
Disambut seorang gadis dengan senyuman.
Pelawaan dia semalam dengan menjemput aku datang bersarapan bersama, aku jawab dengan satu perkataan ringkas, "OK".

Dan aku berani kata, ini mungkin adalah sarapan terakhir kami bersama.

Terakhir.


Makaroni goreng tak pernah menjadi makanan sarapan aku.
Ini kali pertama.
Sedap. Mungkin bukan disebabkan ramuannya, tapi disebabkan siapa yang memasaknya.
Seorang gadis yang di awal perkenalan kami, dia tak pernah sekalipun masuk dapur,
namun sekarang katanya, memasak adalah hobi terbaru dia.
Aku bersyukur, dia yang dulu merungut tidak mempunyai hobi,
sekarang mampu berbangga dengan hasil masakan sendiri.

Selepas habis sarapan, sewaktu kami berdua duduk di ruang tamu,
dia membuka mulut,

"Cuaca di luar cerah. Kan?"


"Ha'ah. Tapi selalunya cuaca macam ni, petang hujan."
Aku balas.

Dia diam seketika.
Aku pun.

"Teringin nak tengok pelangi sama."

Aku tenung lama wajah dia.
Dia menunduk melihat permaidani rumahnya.

"Jom kita ke laman, ada sesuatu yang saya nak tunjukkan."
Aku berkata.


Di laman,
dia duduk di sebuah kerusi.
Aku berjalan keliling laman mencari sesuatu.

Jumpa.
Paip air yang digunakan Pak Harun untuk menyiram pokok bunga.
Dengan kepala perenjis berbentuk bunga, aku tekan picunya.
Air yang keluar berbentuk semburan.
Aku tersenyum.

Ditariknya paip getah yang panjang bergulung menghampiri dia.
Agak tidak beradab berkelakuan seperti di rumah sendiri,
namun matlamat aku hanya satu.

"Apa awak buat?" dia bertanya.

"Masa darjah 5, cikgu sains saya ada ajar tentang pelangi. Ianya terbentuk dari titisan air di langit yang membias cahaya matahari. Awak tahu kan? Ini sains sekolah rendah."

L tersenyum riang menampakkan giginya.

Aku sembur air di udara.
Sembur. Sembur. Sembur. Sembur. Sembur.
Namun, hanya air yang berterbangan.
Tiada pelangi.

Tidak puas hati, aku sembur dalam kadar yang agak lama.
Sembur sehingga titisan air membasahi baju T aku.
Baju hijau aku menjadi hijau tua dek basahan air.

Namun, masih tiada.

"Awak, sudahlah. Baju awak dah basah tu."

Kelihatan Pak Harun datang dari belakang rumah.

"Kenapa kamu main air ni?
Sudah, simpan paip tu.."

Aku hampa. Bukan kerana dimarahi Pak Harun,
tapi kerana teori yang dipelajari darjah 5 tidak berkesan.

Aku menggulung kembali paip getah untuk disimpan.
Pak Harun kembali ke belakang rumah.
Mulut aku mencebek, tanda kecewa.

"Awak..."
Suara lembut L kedengaran. Mungkin dia mahu memujuk.

"Awak..."
Aku masih belum bersedia menoleh, kerana malu yang diusahakan tidak berhasil.

"Awak....pandang laa sini..."

Dengan perlahan aku menoleh.

Kelihatan L yang sedang duduk menuding jarinya ke pintu luncur kaca rumahnya
dengan senyuman riang.

Aku berpaling ke arah tudingan.




Kerana masih awal pagi, matahari masih rendah.
Hanya titisan air yang rendah dapat membias cahaya.
Maka, titisan air di pokok renek hasil semburan aku tadi,
membias cahaya matahari ke arah pintu kaca
menghasilkan jaluran pelangi yang pendek dan berbalau.

Walaupun tidak jelas, tapi kami berdua nampak kewujudannya.
Ternyata cikgu sains darjah 5 aku tidak berbohong.

Kami bersorak kegembiraan.
Senyuman riang jelas kelihatan di bibir dia.
Aku suka.

"Awak selalu penuhi apa yang saya mahukan.
Apa yang awak mahukan pula???"

Ini soalan sama yang pernah dia aju dulu.

Pada aku, sekarang, aku hanya perlukan satu sahaja.
.
.
.
.
.
1 Mac 2011

Jikalau pada waktu malam begini di minggu lepas
aku duduk di ruang tamu rumah menonton siri Supernatural di TV3,
hari ini aku berada di atas motosikal aku
dipayungi langit gelap malam menatap bintang.

Seketika,
satu bayang lembaga bersayap dengan bunyi yang bising melintas pandangan.
Sebuah kapal terbang.

"Sudah tentu itu bukan kapal terbang dia, sebab dia masih di balai berlepas menunggu kebenaran naik kapal pada ketika ini."

Aku pakai helmet, aku hidupkan enjin motosikal.
Aku berlalu membelah gelap malam,
meninggalkan lapangan terbang itu,
menuju ke destinasi dipanggil rumah.

Sehingga kini, aku belum dapat apa yang aku paling mahukan.
Apa yang aku mahukan hanyalah sekelumit perasaan bernama
KEBERANIAN.
Keberanian untuk meluahkan apa yang terbuku di hati.

"Akhirnya, aku (masih) seorang pengecut."

Selamat menjejaki tanah Charles De Gaulle.



postquam-scriptum:
Tanpa keberanian, mimpi tidak akan jadi kenyataan.








...lebih dalam Si Gadis Kasut Converse




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN: