Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Feb 6, 2019

Kisah Perlumbaan Teragung.



Salam.

Semasa aku kecil, aku banyak didedahkan dengan kisah dongeng.
Patutlah imaginasi aku kadang-kadang aku sendiri pun susah nak faham.
Rupanya sejak kecil lagi otak aku penuh dengan cerita dongeng.

Aku tidak hanya didedahkan dengan kisah dongeng tempatan seperti Hikayat Sang Kancil, malah aku juga terdedah dengan kisah-kisah mitos dan fantasi dari seluruh pelosok dunia.

Salah satu kisah mitos yang menjadi kegemaran aku sehingga sekarang ialah Kisah Perlumbaan Teragung.

Kalian mesti pernah dengar tentang 'The Great Race' yang menjadi kisah dongeng kewujudan kalendar zodiak Cina, kan?
Inilah kisahnya.

Cuma ini adalah versi daripada memori aku,
jadi mungkin sedikit berbeza (dan lari) daripada kisah sebenar.
Untuk tahu kisah lebih tepat mengenainya,
Encik Google sentiasa sedia membantu.




Kisah bermula apabila seorang Maharaja daripada sebuah Empayar mengumumkan akan mewujudkan satu kalendar baru, dan 12 haiwan akan dipilih menjadi zodiak tahunan kepada kalendar tersebut. Cara pemilihannya mudah; melalui sebuah perlumbaan.

Perlumbaan akan bermula di hujung sempadan empayar dan berakhir di Istana Maharaja. Halangannya termasuklah bentuk muka bumi yang mencabar dan saingan daripada segenap fauna yang ada. 12 haiwan terawal sampai ke garisan penamat akan dilantik menjadi haiwan zodiak kepada kalendar. Semua haiwan dari seluruh jajahan pun begitu teruja untuk menyertainya. Pada mereka, dapat menjadi antara 12 haiwan zodiak adalah satu pernghormatan tertinggi untuk spesies mereka.

Perlumbaan bermula.

Merentas kawasan daratan yang kebanyakannya hutan dan kawasan kampung tempat tinggal manusia bukanlah satu perkara yang mudah. Namun, mengepalai perlumbaan di hadapan adalah Si Tikus dan Si Kucing. Kedua-dua mereka yang merupakan pakar dalam selok-belok jalan pintas dan lorong kecil kawasan itu, menggunakan kelebihan saiz badan mereka yang kecil untuk jauh mendahului di hadapan.

Namun, langkah mereka terhenti apabila sampai di halangan terakhir sebelum ke Istana Maharaja, dan merupakan halangan paling besar perlumbaan - merentas sungai yang besar dan lebar digelar Sungai Hebat. Arus sungai walaupun tidaklah dalam mana, tetapi arus dan kelebarannya akan memberikan cabaran kepada sesiapa sahaja yang ingin menyeberangi.

Sedang Si Kucing dan Si Tikus memerah otak memikirkan cara untuk menyeberangi, Si Lembu sampai ke gigi sungai. Si Lembu antara yang mendahului perlumbaan kerana kekuatan dan keringatnya merempuh apa sahaja halangan di hadapan. Melihat datangnya Si Lembu, Si Tikus mendapat satu idea.

Si Tikus dan Si Kucing meminta tolong kepada Si Lembu untuk menyeberangi sungai itu. Si Lembu yang terkenal dengan sifat baik hati, mempelawa kedua-dua Si Tikus dan Si Kucing untuk memanjat belakang badannya sementara dirinya menyeberangi sungai. Si Tikus dan Si Kucing tanpa segan silu menerima pelawaan tersebut.

Semasa sedang menyeberangi sungai, Si Tikus yang memang terkenal dengan perangai ciliknya menolak Si Kucing jatuh ke dalam sungai. Si Kucing yang tidak tahu berenang pun terkapai-kapai dan lemas di bawa arus sungai. Sebab itulah kucing tidak menjadi salah satu daripada 12 haiwan zodiak. Dikatakan, inilah detik permulaan kenapa kucing bermusuhan dengan tikus dan sering memburu musuhnya itu.

Selepas menyeberangi sungai, Si Lembu terus memecut menuju ke Istana Maharaja tanpa memikirkan Si Tikus yang masih memaut di belakang badannya. Di saat akhir betul-betul sebelum Si Lembu sampai ke garisan penamat, Si Tikus tadi dengan ciliknya menerpa ke hadapan dan melintasi garisan itu sebelum Si Lembu.

Ini menjadikan Si Tikus yang licik menjadi juara di tempat pertama dan diikuti dengan Si Lembu di tempat kedua. Maharaja yang menyaksikan segalanya tidak berkata apa-apa kerana tiada peraturan khusus menidakkan kelicikan sebagai satu strategi.

Di tempat ketiga adalah Si Harimau. Walaupun memiliki kelajuan, kekuatan, dan ketangkasan, namun perjalanan Si Harimau sedikit terganggu semasa ingin menyeberangi sungai. Dikatakan Si Harimau terbawa arus kuat dek niatnya mahu menyelamatkan Si Kucing (yang merupakan sepupunya) daripada lemas tadi. Namun usahanya tidak berjaya kerana Si Kucing sudahpun jauh dibawa arus.

Tempat keempat milik Si Arnab yang melompat-lompat melintasi garisan penamat. Menurut Si Arnab, dia menyeberangi sungai dengan melompat dari satu batu ke satu batu yang lain. Selepas separuh menyeberang, didapatinya sudah tiada batu yang boleh dipijak melainkan sebatang kayu yang hanyut tersangkut. Apabila Si Arnab melompat ke atas kayu itu, kayu itu pun bergerak dan dibawa arus sungai. Itulah kenapa Si Arnab sedikit lewat.

Melintasi ke garisan penamat di tempat kelima adalah Si Naga. Naga merupakan juara pilihan bagi Maharaja dan seluruh penduduk wilayah yang sedang menonton. Berkebolehan untuk terbang tinggi dan laju menyebabkan tiada halangan daratan yang tidak mampu ditempuhi Si Naga. Melihat Naga jatuh ke tempat kelima menimbulkan tanda tanya.

Apabila ditanya Maharaja, Si Naga menjelaskan bahawa semasa dalam perjalanan ke garisan penamat, dia melalui sebuah kampung yang tandus dan gersang dengan penduduk yang berada dalam keadaan lapar. Si Naga buat keputusan untuk membantu dengan meniupkan awan ke arah kampung tersebut supaya dapat turun hujan di sana. Si Arnab juga menjelaskan bahawa Si Nagalah yang membantunya ketika di sungai dibawa arus hanyut bersama batang kayu. Si Naga meniup batang kayu itu bergerak ke tepi sungai supaya Si Arnab yang sedang berpaut berjaya menyeberanginya.

Dari jauh nampak Si Kuda sedang berlari menuju ke garisan penamat. Sebelum melintasi garisan, rupa-rupanya ada Ular sedang bersembunyi di kaki Si Kuda. Menyedari kelibat Si Ular, Si Kuda terperanjat dan terberhenti, menyebabkan SI Ular tadi terpelanting ke hadapan dan melintasi garisan penamat terlebih dahulu.

Si Ular menduduki tempat keenam, sementara Si Kuda berada di tempat ketujuh.

Di tempat kelapan ialah Si Kambing. Di tempat kesembilan ialah Si Monyet. Di tempat kesepuluh pula Si Ayam.
(Maaf, aku kurang pasti kenapa mereka berada di kedudukan ini. Aku lupa. Aku pasti ada cerita menarik di sebaliknya.)

Di tempat kesebelas adalah Si Anjing. Anjing sepatutnya berada di kalangan mereka yang di hadapan kerana kepantasannya dan kemahiran berenang yang ada, tetapi Si Anjing menjadi lewat disebabkan hilang fokus akibat seronok bermain air ketika menyeberangi sungai.

Di tempat kedua belas adalah Si Babi. Walaupun juga mahu bersaing, tetapi Si Babi memang kurang motivasi. Di pertengahan perlumbaan, dia berasa lapar dan berhenti untuk makan. Akibat kekenyangan, Si Babi buat keputusan untuk berehat sebentar dan kemudian tertidur sepanjang perlumbaan.

Maka,
begitulah kisah di mana 12 haiwan zodiak Cina dapat giliran tahun masing-masing.




Ya, banyak persoalan timbul dari cerita aku ini.
Ini edisi yang ada tertanam di dalam memori aku.
Aku yakin, cerita ini sangat berbeza dengan cerita yang kalian pernah baca, dengar, atau pelajari.
Untuk versi yang lebih tepat dan terperinci, kalian boleh cari di internet.

Tapi kena ingat, ini cerita dongeng.
Hampir kesemua cerita dongeng memang tiada asas kukuh.
Tiada fakta yang boleh dikatakan paling tepat.
Bermakna, tiada versi yang boleh diiktiraf sebagai paling boleh diterima.

Tapi apa yang menjadikan cerita Perlumbaan Teragung ini menjadi antara cerita kegemaran aku ialah kerana ceritanya menjelas banyak perkara. Ceritanya ditulis dengan baik kerana memasukkan sifat haiwan-haiwan tersebut secara spesifik.

Sifat tikus yang licik. Kucing yang bersifat pendendam. Lembu yang baik hati tapi selalu dipergunakan. Harimau yang gagah. Naga yang suka menolong. Arnab yang suka melompat. Kuda yang senang terkejut. Ular yang suka mengambil kesempatan. Anjing yang suka bermain. Babi yang bersifat kebabian.

Walaupun banyak yang boleh dipersoal, tetapi ceritanya begitu menghiburkan dan boleh difahami, bila kita dengar ceritanya kita akan sebut 'ooooh, patutlah!'.



Maka,
aku tamatkan entri ini dengan ucapan
SELAMAT TAHUN BARU CINA
dan SELAMAT BERCUTI.

Kalian lahir dalam tahun apa mengikut zodiak kalendar Cina?




Nota Kaki:
Kisah Perlumbaan Teragung ini aku cerita di hadapan ahli keluarga aku termasuklah Mak dan Abah aku beberapa hari sebelum tibanya Tahun Baru Cina. Entah kenapa semua mereka kata itu kali pertama mereka dengar, sedangkan aku amat yakin aku berkali-kali dengar cerita ini semasa usia kecil dahulu. Maksud aku, siapa lagi yang akan ceritakan kisah dongeng semasa aku kecil kalau bukan ahli keluarga sendiri? Dan kalau ahli keluarga aku kata mereka semua baru pertama kali dengar, dari siapa/mana sebenarnya aku tahu tentang cerita ini? Perkara ini memang mendatangkan lebih banyak persoalan.





.

Jan 30, 2019

Aku Benci...!



Salam.

Beberapa tahun lepas, aku ada bergaduh besar dengan abang aku. Bergaduh sangat besar sehinggakan wujud perasaan benci yang mendalam dalam diri aku terhadap diri dia. Walaupun mendengar nama dia disebut sudah buatkan aku rasa meluat.

Tapi disebabkan dia keluarga, maka aku juga sedar bahawa aku tidak mahu apa-apa tidak baik berlaku pada dia dan keluarganya. Jauh dari sudut hati aku, aku tahu aku (walaupun tidak mahu mengakuinya secara lisan) masih lagi sayangkan dia.

Sejak daripada peristiwa itu, aku faham sesuatu.
Walaupun acap kali dikatakan 'sayang' lawannya 'benci',
tapi aku sedar kedua-dua perasaan itu bukanlah sebelah berlawanan untuk satu syiling yang sama,
bukanlah dua kutub yang berbeza di utara dan di selatan.

Sayang dan benci boleh wujud pada masa yang sama.
Aku boleh sayang, dan benci sesuatu itu pada masa yang sama.

Hasil luahan di bawah perlulah dibaca di bawah pemahaman kepada konsep di atas.




Yang kenal aku mungkin sedar aku ini normal.
Aku ketawa. Aku marah. Aku serius. Aku mesra. Semuanya bergantung kepada keadaan.

Namun,
satu perkara yang kalian tidak tahu ialah AKU BENCI MANUSIA.

Kalau kalian baca blog ini dengan setia, banyak kali sudah aku beritahu aku benci dan suka manusia. Aku suka manusia dari segi biologi, sosiologi, behavioral, morfologi, anatomi. Pendek kata, manusia sangat menarik untuk 'dikaji'.

Namun pada masa yang sama,
aku benci manusia.

Setiap manusia yang aku lihat di depan mata, ada sahaja perkara tentang mereka yang aku benci. Baik di kalangan ahli keluarga, kawan-kawan, kenalan, malah orang asing yang langsung tidak dikenali. Aku benci semua mereka sama rata, mungkin ada antara mereka yang aku benci lebih sedikit tetapi masih lagi kebanyakannya aku benci sama rata.

Aku benci semua manusia.
I hate all human equally.

Namun,
ada seorang di antara manusia yang aku benci itu berada di tangga teratas senarai benci. Sejak sekian lama dia berada dan menakluki kedudukan teratas walaupun tangga kedua dan seterusnya sentiasa berubah orang. Aku begitu bencikan dia sehinggakan aku tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan benci itu buat masa sekarang.

Pemilik tangga teratas itu adalah aku.
Ya, DIRI AKU SENDIRI.

AKU BENCI DIRI AKU SENDIRI.



Aku pendam perasaan benci ini terlalu lama sehinggakan aku dapat rasa kesannya memakan diri aku sendiri. Bagaimana orang biasa akan melihat imej mereka di cermin sebagai normal, tapi aku pula cukup benci dengan imej itu sehinggakan kerap kali aku meludah ke arah cermin hanya kerana aku membencinya.

Banyak perkara berlaku pada aku belakangan dua tiga tahun ini yang menjadikan aku semakin benci dengan diri sendiri.

Aku percaya,
segala masalah boleh diselesaikan tanpa aku masuk tangan kerana kalau aku masuk tangan, masalah akan jadi lebih rumit. Sebab itu orang keliling aku anggap aku jenis yang kurang empati, sebab aku tak menolong. Tapi pada aku, aku sebenarnya menolong mereka dengan tidak masuk campur.

Aku bencikan diri aku,
sampaikan bila ada orang tahankan pintu untuk aku lalu pun aku sudah rasakan yang akulah manusia paling tidak berguna dalam dunia. Bayangkan, perlakuan seperti nak tolak pintu pun kena ada orang buatkan. Aku sangat tidak suka orang buat baik kepada aku kerana aku tahu aku tidak layak untuk terima mana-mana kebaikan orang lain (yang aku benci senyap-senyap).

Aku bencikan diri aku,
sampaikan bila ada orang berterima kasih kepada aku untuk apa-apa perkara (kecil atau besar), dalam hati aku sumpah seranah beritahu diri sendiri yang aku tidak layak terima ucapan itu. "You don't know what cruel things I did in life. I don't deserve that gratitude."

Aku tidak pernah berkongsi perasaan benci aku ini kecuali kepada seorang perantis imam di sebuah masjid yang selalu aku kunjungi. Bila luahkan perkara ini (perasaan benci diri sendiri), nampak jelas di muka dia yang dia langsung tidak faham apa yang aku lalui. Ya, nasihat dia bernas. Dia suruh pulang ke asas panduan Islam iaitu Al-Quran dan Hadis, tapi paling tidak pandulah aku ke arah mana patut aku mula. Nak cari jarum di dalam timbunan jerami bukannya mudah.
(Actually you can use magnet, super powerful one, tapi itu hal lain yang tidak patut aku ceritakan di sini)

Aku tidak rasa aku berjaya gambarkan secara tepat apa yang aku lalui.

Mungkin juga ada di kalangan kalian yang juga benci diri sendiri, tapi aku berani jamin ia berbeza dengan aku. Aku SANGAT BENCI DIRI SENDIRI.

Aku juga tidak rasa ini adalah sejenis mental disorder. But I don't know. Is hating yourself a disorder?

Kadang-kadang ada datang terfikir nak terjun depan lori yang bergerak laju, atau tunggang moto laju menuju ke tiang lampu, atau cucuk perut dengan paip besi, tapi itu semua hanya (setakat ini) di dalam fikiran sahaja. Untuk waktu ini, aku sedar kalau aku buat sedemikian, aku bakal susahkan orang lain dan orang lain perlu buat kebaikan ke atas aku dan aku benci orang buat baik dengan aku sebab aku benci orang.

Ahhhhh, susahnya aku nak terangkan perasaan aku.

Sebab kenapa aku luahkan di sini adalah semata-mata kerana aku perlu taip untuk memberitahu. Di sini, aku tidak perlu bercerita depan orang sebenar kerana kalau aku buat sedemikian, nanti aku akan jadi benci orang itu hanya daripada bacaan isyarat tubuh dia terhadap aku (seperti mana yang berlaku kepada perantis imam tadi)

Mungkin trust issue. Ya, aku tak percaya sesiapa pun atas dunia ini, terutamanya diri aku, jadi apa-apa pun janji yang orang lain beritahu aku, aku tidak langsung akan terimanya. Semua itu sekadar angin yang berlalu pergi.

Tapi trust issue akan menjurus kepada hating oneself ke? I don't think so.



Ahhhh!!!! Fissshhh!!
Aku taip panjang-panjang kemudian aku dapati aku langsung tidak berjaya nak luahkan apa yang aku rasa. Loser tahap teruk aku ni. Memang patut pun aku benci diri sendiri.

Sudahlah!

Nampaknya luahkan di blog tidak membantu.
Aku patut cari medium lain, sebelum terlambat.
Clock is ticking near.





.

Jan 23, 2019

Satu Soalan...



Salam.




Aku sebenarnya sudah sediakan satu entri lain untuk hari ini, tapi terpaksa aku tangguhkan kerana hal ini lebih penting.

Aku tidak pasti berapa ramai yang akan baca entri ini,
dan juga aku tidak pasti berapa ramai daripada yang membaca akan tinggalkan komen.
Dan aku juga tidak pasti dalam bilangan komen yang sedikit itu, mana satu yang betul-betul membantu.

Tapi aku ada satu soalan.


Soalan aku;

Bagaimana hendak mengawal perasaan benci di dalam diri?

Aku ada benci seseorang, sangat benci sehinggakan aku sering terbayang perlakuan yang bakal menamatkan rasa benci itu. Aku takut kalau aku tidak mampu kawal perasaan benci ini, aku akhirnya akan realisasikan segala bayangan yang pernah aku fikirkan, di mana, pemandangannya langsung tidak akan indah. IYKWIM.

Bantu aku. Please.
It feels like clock is ticking near.





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License