Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Sep 12, 2018

Cinta dan Logik.



Salam.

Kita selalu dengar orang kata 'cinta itu buta'.
Walaupun ada ketika kata-kata itu masuk akal, tapi pada aku, cinta dan visual sangat berkait rapat. Jarang kita jatuh cinta dengan sesuatu yang kita tidak nampak. Ya, mungkin ada yang jatuh cinta dengan watak dalam novel, atau orang yang menulis surat, atau insan di sebalik persona internet. Walaupun dari segi lahiriahnya mereka ini tiada bentuk fizikal di hadapan kita, namun kita sudah ada imej mental untuk mereka, menjadikan kita jatuh cinta pada imej yang terbentuk di minda kita itu. Hal ini hakikatnya masih suapan visual.

Ahhh, aku merasakan kalian yang baca perenggan di atas mesti tengah garu kepala, tidak faham dengan apa yang cuba aku nak sampaikan. Tidak apa. Teruskan membaca kisah yang bakal aku ceritakan di bawah.




Petang.
Aku, seorang diri, bunuh masa dengan merayau di pusat membeli-belah. Itu kebiasaan kami yang bujang dan tidak berpasangan. Masa kami habis untuk diri sendiri. Ada kala sendirian di rumah. Ada kala sendirian di luar.

Kaki aku melangkah ke tangga bergerak. Eskalator. Tangga itu bergerak turun ke tingkat bawah. Selang 4 anak tangga di hadapan aku ialah sepasang kekasih lelaki dan perempuan. Aku perlu letakkan kata rujuk 'lelaki dan perempuan' kerana zaman sekarang wujud bersepah pasangan kekasih yang bukan lelaki dengan perempuan.

Si lelaki berada di sebelah kanan. Tangan kanannya memegang selusur tangan eskalator. Di sebelah kiri berdiri pasangannya. Si perempuan itu memegang aiskrim yang dibeli mereka daripada kedai berdekatan. Aiskrim yang diisi di dalam mangkuk kertas dan dimakan menggunakan sudu. Mangkuk aiskrim dipegang tangan kiri. Sudu pula dipegang di tangan kanan.

Ya. Permandangan biasa di pusat membeli-belah. Makan aiskrim sambil berjalan.

Selang 5 anak tangga eskalator di hadapan pasangan itu terdapatnya satu lagi pasangan lain, juga lelaki dan perempuan. Tapi pasangan ini lebih berusia, jauh lebih berusia berbanding pasangan di belakang mereka. Si makcik melihat ke arah si pakcik. Si pakcik tersenyum. Si makcik membalas senyuman. Si pakcik menghulurkan sebelah tangan, dan kemudian si makcik menyambut huluran itu. Tangan mereka bertaut.

Manis, bukan?

Paling tidak, itu yang difikirkan si perempuan daripada pasangan di hadapan aku tadi. Dia melihat seluruh kejadian, sedangkan pasangannya si lelaki itu jauh merewang melihat kedai-kedai di sekitar. Si perempuan tadi meletakkan sudunya di dalam mangkuk aiskrim dan seterusnya mencuit bahu si lelaki. Si lelaki memberikan perhatian yang dipinta si perempuan. Si perempuan menghulurkan tangan kanannya dengan harapan akan disambut si lelaki. Si lelaki faham dan terus menyambut huluran itu. Tangan mereka bertaut. Mereka berbalas senyuman.

Kejadian yang berlaku sama untuk kedua-dua pasangan di hadapan aku, cuma satu pasangan adalah pencetus kepada pasangan yang lain.

Aku mengeluh kecil, cukup hanya boleh didengari diri sendiri.

Betul jerit Agnes Monica dalam lagunya satu masa lalu;
"Cinta ini kadang-kadang tak ada logika."

Secara logiknya, kenapa perlu kau minta dipegang tangan jika kau sedang makan aiskrim yang memerlukan kedua-dua belah tangan? Jika tangan kiri pegang mangkuk aiskrim, tangan kanan pula perlu bertaut dengan pasangan, macam mana si perempuan itu mahu makan aiskrim? Adakah apabila mahu makan aiskrim, dia perlu lepaskan tangan dan suap guna sudu, dan lepas itu, pegang kembali tangan pasangannya tadi?

Uggghhhh!
Itu perbuatan yang tidak masuk akal.

Lebih tepat apa yang dilirikkan Malique di dalam lagu Too Phat berjudul Dua Dunia;
"Cinta itu buta, dan juga boleh membutakan."

Cuma kali ini, yang buta bukannya mata tapi cinta mereka membuatkan mereka buta dari sudut logik, sudut persepsi, sudut kognitif, dan juga sudut fungsi.

Sekian.





.

Sep 10, 2018

PENYELIDIKAN LAPANGAN: Episod Singa Api Lagenda.



Salam.

Wow! It's September already.
Rasa macam baru semalam sambut tahun baru 2018.

Moving on!

Bulan baru bermakna episod baru di dalam siri Penyelidikan Lapangan. Untuk September, watak utama penyelidikan ialah salah satu daripada tiga Pokémon daripada kelompok 'legendary beast', Pokémon Lagenda Binatang Api, Entei.


Sumber: Niantic, Inc. (Instagram: @PokemonGOApp)



Selamat datang ke episod baru Penyelidikan Lapangan.

Jika kalian baru sahaja tahu tentang siri ini, kalian agak lewat.

Sila baca episod sebelum ini:
1 - Episod Burung Api Lagenda.
2 - Episod Burung Elektrik Lagenda.
3 - Episod Burung Ais Lagenda.
4 - Episod Raksasa Tidur.
5 - Episod Kucing Besar Elektrik Lagenda.

Dan seperti biasa, pemberitahuan:
Ini adalah entri yang sarat dengan istilah khusus untuk permainan aplikasi Pokémon GO yang akan memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.

FIELD RESEARCH (Penyelidikan Lapangan) adalah salah satu feature di dalam Pokémon GO seperti pengembaraan di mana apabila pemain pergi ke satu lokasi dan memusing cakera gambar di PokéStop, pemain akan diberikan tugasan untuk diselesaikan. Setiap tugasan ada ganjarannya sendiri, dan apabila tugasan pertama untuk hari itu dapat diselesaikan, pemain akan diberi cop tarikh. Cop tarikh hanya diberi satu setiap hari dan apabila berjaya mengumpul 7 cop tarikh, maka ada ganjaran yang lebih besar akan diberi.

Sejak Penyelidikan Lapangan diperkenalkan bermula bulan April, tiga bulan pertama akan memberikan trio Pokémon lagenda burung; Moltres, Zapdos, dan Articuno. Pada bulan lepas bulan Julai, ganjarannya adalah Pokémon Snorlax dengan serangan legasi 'Body Slam'. Bulan Ogos pula menyaksikan permulaan kepada trio 'legendary beast' sebagai ganjaran, dimulakan dengan 'legendary beast' jenis elektrik, Raikou.

Pada 24 Ogos lalu, satu pengumuman muncul di slot 'News' (Berita) di dalam Pokémon GO. Pokémon yang akan menjadi ganjaran kepada Penyelidikan Lapangan pada bulan September ini ialah Pokémon Lagenda Binatang Api, ENTEI.






Entei adalah Pokémon jenis elektrik lagenda di dalam kelompok 'legendary beast' bersama-sama Raikou dan Suicune. Aku tidak pasti apa terjemahan tepat untuk 'beast'. Dalam entri yang lepas, aku ada sebutnya sebagai 'Pokémon Anjing Lagenda' tapi 'anjing' kurang tepat untuk terjemahkan 'beast' kerana 'beast' adalah panggilan untuk haiwan berkaki 4, termasuklah kucing, kuda, haiwan ternakan dan sebagainya yang berkaki empat, bukan semata-mata anjing. Lagipun, kalau dilihat, Entei lebih menyerupai kucing dan singa daripada anjing, kan?

Entei pernah menjadi Pokémon untuk raid level 5 beberapa bulan yang lalu dan tak pernah kembali lagi. Para pemain Pokémon GO sedikit lega apabila Entei diperkenalkan sebagai ganjaran untuk Field Research kerana kebanyakan pemain tidak banyak peluang untuk memiliki Entei pada masa dahulu.

Tanpa berlengah masa, pengembaraan aku untuk menangkap Entei pun BERMULA!


------------------------- ------------


Entei hanya boleh didapati sebagai ganjaran untuk Research Breakthrough bermula 1 September 2018 jam 1 petang PDT, dan jika ditukar ke waktu Malaysia, bermula 2 September 2018 jam 4 pagi.

Berkat kegigihan, aku masih lagi tidak langsung pernah tertinggal satu pun cop tarikh untuk Field Research setiap hari bermula daripada feature Field Research mula diperkenalkan. Daripada pengiraan, aku akan mula mengumpul cop tarikh untuk Entei bermula pada tarikh 1 September 2018.












Selepas seminggu selesaikan tugasan dengan penuh kegigihan, pada tarikh 7 September, aku berpeluang bertemu semula dengan si Professor yang obses dengan Pokémon ini.





Dan seterusnya memberikan aku kotak terkandung ganjaran daripada hasil kumpul cop setem bertarikh setiap hari.





Selepas kotak itu ditekan, beberapa ganjaran lain juga muncul seperti:
- +2000 Stardust
- +3000 XP
- +3 Rare Candies,

dan seterusnya aku berpeluang untuk menangkap hasil ganjaran untuk bulan ini.







Muncullah Entei pada level 15 dengan CP 1429. Diberikan Entei itu dengan Pinap Berry untuk menggandakan candy Entei dua kali ganda (2x3 = 6) kerana Entei sebagai ganjaran ini TIDAK AKAN MELARIKAN DIRI. Selepas hampir 12 kali percubaan, Entei berjaya ditangkap!

Entei pertama sebagai ganjaran Field Research Breakthrough yang aku tangkap ini selepas dikira berada di pada 89% untuk IV (individual value) dengan nilai Serangan penuh 15. 100% IV Entei pada level 15 mempunyai CP 1447, bermakna semakin hampir CP Entei yang ditangkap dengan angka, maka IV-nya semakin bagus.

Setelah dikira, kalau aku mampu kekalkan setiap hari satu cop tarikh, aku mampu dapat 4 Entei (termasuk yang pertama ini) sepanjang bulan September. Aku buka ganjaran untuk Field Research setiap hari Jumaat dengan tarikh Jumaat terakhir bulan ini ialah pada 28 September.



Ulasan.

Entei adalah antara Pokémon lagenda jenis api yang, walaupun kuat tapi tidak begitu relavan di dalam permainan. Aku tidak mahu sentuh bab serangan, DPS atau sebagainya, cukuplah tahu bahawa Entei adalah jenis api dan tidak banyak jenis Pokémon yang lemah dengan jenis ini.

Tapi Entei pada level 15 memerlukan banyak candy jika mahu ditingkatkan. Penglibatan 'Rare Candy' amatlah diperlukan. Namun adalah baik untuk tunggu selepas selesai dapat kesemua Entei yang mampu didapati daripada Field Research sebelum Power-Up supaya dapat memilih mana satu yang mempunyai IV paling tinggi di antaranya.

Malangnya, kesemua Pokémon lagenda tidak boleh digunakan sebagai 'pertahanan' di PokéGym. Maka, Pokémon lagenda seperti Entei ini hanya berguna sebagai 'penyerang' jika mahu menjatuhkan sesebuah PokéGym mahupun menewaskan boss raid.

Kembalinya Entei sekali lagi di dalam Pokémon GO, walaupun kini sebagai ganjaran kepada Field Research, memberi peluang kepada pemain baru dan juga pemain yang baru kembali untuk memilikinya selepas terlepas peluang semasa Entei menjadi boss raid level 5 dahulu.

Secara peribadi, aku sukakan design Entei yang seperti singa dan berbulu di belakang badan. Kalau aku boleh dapat Entei dengan IV yang lebih tinggi (90% ke atas) aku mungkin akan bela dia dan Power-Up Entei tersebut kerana aku kurang Pokémon api yang hebat.

Untuk bulan depan bulan Oktober, kalau perlu diteka, rasanya ganjaran untuk Field Research sudah tentu ialah Pokémon lagenda binatang selepas Entei iaitu Suicune. Aku sangat mahukan lebih banyak Suicune kerana aku hanya ada satu sahaja Suicune di dalam simpanan akibat daripada kurangnya aktiviti raid aku pada masa Suicune menjadi boss raid level 5.

Apa-apapun, sama ada Suicune akan menjadi ganjaran Field Research, semuanya hanya akan terjawab pada hujung bulan ini.

Dan jika kalian baca entri ini dan perasan, aku ambil templat yang sama dengan entri Penyelidikan Lapangan bulan lepas dan hanya ubah ikut kesesuaian Pokémon kali ini. Orang malas sentiasa mencari jalan paling mudah untuk bekerja.

Nantikan episod seterusnya dalam siri Penyelidikan Lapangan di bulan hadapan.
Selamat menjalankan penyelidikan!





.

Sep 5, 2018

Kenapa Baiki Kalau Tidak Rosak?



Salam.




31 Ogos merupakan Hari Kemerdekaan untuk seluruh rakyat Malaysia. Hari tersebut merupakan cuti umum, hari yang sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat.

Entah sejak bila mula, setiap tahun hari cuti 31 Ogos, paginya kami sekeluarga akan menyambutnya di Dataran Merdeka melihat perarakan sempena Hari Merdeka. Bukan kewajiban, tapi kami semua faham ini adalah salah satu daripada aktiviti tahunan keluarga selain daripada Hari Raya dan juga sambutan hari lahir.

Keutamaan diletakkan kepada aktiviti ini. Jika ada ahli keluarga yang perlu bekerja pada hari tersebut, dia akan sedaya upaya memohon cuti. Selalunya tiada masalah kerana pada 31 Ogos memang cuti umum untuk semua orang. Jika ada antara kami yang ada hal lain pada hari berkenaan, maka hal itu perlu tunggu. Keutamaan tinggi jatuh pada sambutan Hari Merdeka bersama-sama keluarga di Dataran Merdeka.

Tiap tahun, walaupun di Dataran bersesak dengan umat manusia, kadang kala berhujan walau selalunya berpanas terik, tapi langsung tiada rungutan di pihak kami. Itulah yang seronoknya. Keramaian itulah yang menjadikannya meriah. Ketidaktentuan cuaca itulah cabarannya. Apapun yang berlaku pada hari berkenaan, kami akan akhiri dengan gelak tawa satu keluarga ketika duduk di kedai mamak ditemani cawanan teh tarik di waktu tengahari sebelum pulang ke rumah.

Entah sejak bila mula, kami tidak pernah tinggal sekalipun aktiviti ini. Pernah sekali Hari Merdeka jatuh dalam bulan puasa. Perarakan tiada, tapi sambutan rasmi dilakukan di Stadium Tertutup Bukit Jalil. Kami masih lagi pergi menyambutnya walaupun penat berdiri dalam keadaan puasa. Langsung tiada rungutan.

Pada orang luar, kami nampak seperti sebuah keluarga yang pergi memeriahkan sambutan Hari Merdeka di Dataran Merdeka. Mereka tidak salah. Memang tepat, kami sekeluarga ke Dataran untuk menyambut Hari Merdeka bersama-sama ribuan lagi rakyat Malaysia dan pelancong asing.

Tapi pada kami, ini adalah satu hari di mana kami sekeluarga berkumpul, bergerak, bersorak, dan berseronok bersama-sama. Ini adalah antara waktu yang sedikit untuk kami sekeluarga bersama-sama. Kadang kala, Hari Raya pun kami tidak mampu berkumpul bersama-sama seperti Hari Merdeka.

Pada kami, Hari Merdeka adalah 'bonding day' keluarga kami.




Pada 31 Ogos 2018 lepas, sambutan Hari Merdeka ditukar dan diadakan di Putrajaya, tidak lagi di Dataran Merdeka. Kata pemimpin nombor satu negara, disebabkan sekarang tampok kerajaan dipegang oleh kuasa baru, maka sambutan Merdeka kali ini lebih bermakna dan perlu diberi pembaharuan. Maka, Hari Merdeka tidak disambut di Dataran Merdeka seperti selalu, tapi di Putrajaya.

Jarak Putrajaya dari Dataran Merdeka bersamaan dengan DUA KALI GANDA jarak Dataran Merdeka dari kediaman keluarga aku di mana terdapatnya dua orang tua aku. Dengan kata lain, kalau kami mahu sertai sambutan dan perarakan di Putrajaya, kami perlu bergerak TIGA KALI GANDA jarak yang sepatutnya kami lalui untuk ke Dataran Merdeka.

Ibu bapa aku bukannya muda lagi. Jarak sebegitu amat memakan tenaga. Malah, acara bermula jam 7 pagi di Putrajaya. Rasanya pada jam berapa pagi perlu kami mula bergerak ke sana? Bagaimana dengan Subuh kami? Bagaimana dengan tidur kami?

Menitikberatkan segala kemungkinan boleh berlaku dengan perubahan jarak tersebut, maka kami sekeluarga dengan rasa kesal dan kecil hati sepakat buat keputusan untuk tidak turun ke tapak acara menyambut Hari Merdeka pada tahun 2018 ini.

Walaupun kami sekeluarga masih lagi menyambutnya di rumah bersama-sama, namun kami hanya mampu menonton perbarisan dan perarakan hanya melalui layar kaca.

Dan aku sangat kesal dan kecil hati dengan perkara ini.




Hanya kerana ada orang berkuasa untuk mengubahnya, maka tradisi untuk menyambut Merdeka di Dataran telahpun terganggu.

Pendapat aku, tiada langsung masalah untuk menyambutnya di Dataran seperti selalu. Kawasannya lapang, strategik, dan boleh dicapai dengan pengangkutan awam dan jalan darat dengan mudah. Lokasinya juga mesra pelancong. Peniaga di sekitarnya juga sudah tahu apa yang patut mereka jangkakan setiap kali ada sambutan Merdeka. Laluan trafik, laluan awam, semuanya sudah dikuasai kerana acara ini sudah dilakukan berkali-kali. Segala kelemahan sudahpun dikenalpasti dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Dataran Merdeka adalah satu lokasi yang ideal, sedangkan Putrajaya, walaupun dikatakan sebagai pusat pentadbiran rasmi kerajaan, namun masih lemah dari sudut pengangkutan awam. Kawasannya walaupun lapang, tapi terlalu lapang sehingga para pengunjung perlu duduk jauh untuk meninjau perbarisan. Seperti ada satu jurang, satu 'gap' pemisah antara rakyat dan mereka yang berarak.

Dahulu, semasa kerajaan sekarang menjadi pembangkang, ketika diberi kebenaran untuk berhimpun dan berkumpul di sebuah stadium untuk acara Bersih mereka, mereka juga memilih untuk tidak menurutinya dan tetap berhimpun dan berkumpul di Dataran Merdeka. Kata mereka (pada waktu itu), Dataran adalah satu tempat simbolik yang sangat rapat dengan 'kemerdekaan', sesuatu yang mereka perjuangkan. Namun kini, Dataran Merdeka bukan lagi simbol bagi mereka.

Kenapa perlu diubah lokasi acara sambutan Hari Merdeka hanya kerana kerajaan bertukar tangan? Tiada salahnya Dataran Merdeka sehingga perlu ditukar.

Why fix if not broken?





.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License