Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Mar 14, 2018

Tanpa Tajuk #13



Salam.

Bertemu lagi kita di dalam entri Tanpa Tajuk,
satu entri di mana beberapa isu mahu aku kongsikan tapi isunya terlalu pendek untuk diberi satu post khusus, maka aku rangkumkan beberapa isu itu di dalam satu entri.

Kali terakhir aku buat entri Tanpa Tajuk ini
adalah pada Julai 2016. Wow! Lamanya.
Aku patut selalu buat entri sebegini sebab entri ini ringan dan tidak memenatkan.

Tanpa membuang masa,
mari kita terus ke tajuk sebenar yang ingin dibincangkan...




1. Mempelam Luar Rumah

Mempelam, mangga, pauh, kuinin, sampai sekarang aku tak tahu beza.

Sebatang pokok di luar rumah sudah mengeluarkan buah mempelam.
Dua biji seperti di dalam gambar di atas.
Gambar di atas aku sendiri ambil menggunakan kamera telefon bimbit masa waktu pagi.
Entahlah.
Cahaya matahari pagi jatuh ke kulit buah mempelam tu buat hati aku tenang memandang.

Ceritanya,
pokok mempelam itu ditanam oleh jiran sebelah rumah.
Tapi rumahnya kini disewa oleh orang lain.
Maka, kami berdua (rumah aku dengan rumah sebelah) tak pasti siapa yang berhak untuk ambil buah mempelam itu. Sudah tentu aku langsung tidak ada hak ke atas buah itu walaupun buahnya terjuntai masuk kawasan rumah aku.
Ikutkan logik, buah itu milik pemilik rumah sebelah.
Maka aku nasihatkan suruh mereka tanya tuan rumah,
dan kalau dia benarkan, bolehlah diambil buat makan.
Sayanglah kalau buah itu membusuk dan jatuh tanpa dipetik sesiapa, kan?

Itulah keharmonian duduk di kawasan kejiranan aku.
Walaupun kami berjiran tidaklah serapat macam semasa aku duduk kawasan flat dahulu, tapi rasanya masing-masing tahu peranan masing-masing dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Saling bertegur sapa ketika berselisih.
Menjaga harta sendiri dan harta orang lain.

Aku suka dalam satu komuniti saling hormat sesama sendiri tanpa perlu diminta untuk dihormati.
It's like a rule yang tak perlu pun disebut, just exist on default.

Tak sama macam komuniti atas talian.
Semua mahu dihormati, tapi ramai tak pandai nak hormat orang lain.
Malah ada sesetengah antara kita menganggap jadi kasar dan biadab itu adalah satu yang 'in', walaupun dengan orang yang kita tidak kenal.




2. Air Mandian Anjing

Sebut tentang kejiranan,
sebuah rumah di taman sebelah memandikan anjing-anjingnya di laman rumah.
Air mandian tersebut meleleh dan bertakung di jalan.

Aku lalu jalan tersebut, maka air tersebut terkena kepada kasut, seluar dan motosikal aku.
Maka, aku jadi ragu-ragu dengan barang-barang aku yang terkena air itu.
Yang aku tahu, air mandian manusia sendiri pun sudah dikira bukan air mutlak,
apatah lagi air mandian anjing.

Perlukah aku samak? Sertu?

Pada saat itu aku terasa sangat jahil kerana tiada ilmu yang cukup.
Kerana perkara ini perlu penyelesaian segera,
aku ke masjid untuk mencari ustaz yang mampu menjawab.
Namun sebab petang, masjid sudah tidak dihuni orang agama, hanya ada mereka yang singgah solat di hujung waktu.

Maka, jalan paling pantas aku ambil ialah bertanya kepada ustaz di dalam Twitter. Sebab semua sedia maklum, media sosial adalah cara terpantas untuk dapat maklum balas segera. Banyak syarikat korporat sudah gunakan media sosial sebagai satu servis maklum balas yang berkesan.

Twitter kini penuh dengan ustaz yang merasakan mereka mampu berdakwah secara lebih luas di alam maya.
Pada aku, itu satu pendekatan yang bagus sebab Islam itu universal,
tidak terikat pada satu zaman. Kita kena ikut zaman untuk berdakwah.

Jadi, aku pun tweet soalan berkenaan air mandian anjing ini dengan mention para ustaz Twitter.
Satu hari. Dua hari. TIGA hari masih tiada balasan.
Kenapa? Kenapa mereka tidak balas?
Bukan seorang, bukan dua orang, tapi TIGA orang ustaz Twitter aku tanya soalan yang sama, satu pun tidak berbalas.

Nak kata mereka sibuk, ehhh ada je dia membalas soalan orang lain.
Ada je mereka beri pendapat tentang isu lain.
Ya, isu aku tak seberat isu hajah ke Zouk,
tak seberat isu perempuan mahu jadi imam jemaah lelaki.
Tapi kenapa? Isu terkena air mandian anjing ini isu kecil ke yang tak patut dijawab?

Aku buka balik profile para ustaz ini.
Aku skrol satu-satu melihat jenis soalan yang mereka jawab.
Aku selidik siapa mereka yang jawapannya dijawab oleh para ustaz itu.

Oh, rupanya...
Persamaan untuk semua mereka yang jawapannya dijawab oleh para ustaz itu ialah mereka 'follow' ustaz itu.
100% daripada tweet yang para ustaz itu jawab adalah dari follower mereka.
Ustaz hanya menjawab soalan mereka yang 'follow' dia di Twitter.
Aku tidak follow mereka, jadi mereka tidak jawab soalan aku.

"Jadi, kau follow-lah ustaz tu. Bukan susah pun," kata korang.
Masalahnya, aku sudahpun bertanya sebelum follow.
Nanti aku follow, lepas tu nak tanya balik, tak redundant ke?
Entah-entah lepas follow pun mereka tak jawab, berkali ganda rasa kecewa di hati.

Tapi, entahlah...
Sungguh tak sangka ustaz Twitter pun pilih bulu, hanya menjawab soalan para follower.
Tak apalah, bersangka baik sahaja.
Mungkin mereka bertiga terlalu banyak dapat notification sampai mention aku pun tenggelam dalam notification itu.
Kebetulan mention para follower mereka tak tenggelam, jadi bolehlah dijawab.

Hmmmm....
Aku cuma harap dakwah tidak dijadikan alat domestik untuk mengejar pangkat dan kedudukan di media sosial.
Kurang senang duduk bila difikirkan.
Bayangkan ustaz di masjid hanya menjawab soalan daripada mereka-mereka yang dia kenal sahaja.
Yang tak kenal dia bolayan.
Agaknya apa perasaan orang yang bertanya tu?

Seluar, kasut dan motosikal yang terkena air itu pun sudah aku selesaikan,
terima kasih kepada kawan yang tinggi ilmu agamanya memberi jalan.
Kata dia, yang penting keyakinan.
Kalau kita yakin (atau was-was) barangan yang kena air itu sudah tidak suci,
maka eloklah disucikan.




3. Mempelam Luar Rumah [Bahagian 2]

Kesinambungan kepada cerita awal tadi,
beberapa hari lepas aku dapati mempelam itu sudah tiada.
Rantingnya ada kesan potong bersih, menandakan potongan pisau.
Bermakna buah itu bukan jatuh luruh, atau dipetik binatang.

Aku berfikiran jiran rumah sebelah sudah bertanya tuan rumahnya,
dan si tuan benarkan dia untuk potong dan makan.
Baguslah kalau itu keadaannya. Memang itu hak mereka pun.

Malangnya,
bila aku tanya jiran sebelah, mereka menafikan.
Mereka kata bukan mereka yang potong.
Mereka anggap pihak aku yang potong, memandangkan buah itu terjuntai masuk ke kawasan rumah aku.

Kalau bukan mereka, dan bukan aku, jadi siapa?
Siapa yang potong dan ambil buah tersebut?

But then something strikes me.
Walaupun kita (aku) hidup dalam kejiranan yang harmoni,
tapi kita kena ingat bahawa bukan 100% adalah bersifat harmoni.

Dalam mana-mana kelompok masyarakat sekalipun,
tidak kira alam realiti atau alam siber,
sebaik manapun komuniti yang ada,
pasti ada sekelompok kecil minoriti yang menjadi barah.
Mereka tidak akan ikut norma yang ditetapkan.
Mereka akan buat apa yang mereka mahu buat.
Mereka tidak peduli harta siapa.
Asalkan ada peluang, ada ruang, jika menguntungkan mereka bedal.

Dalam kes mempelam ini,
mungkin ada orang lain yang nampak buah tergantung cantik gebu
dan merasakan tak apa untuk mereka ambil.
Yang sedap makan, yang sedap dibuat cicah kicap gula itu mereka.
Asalkan mereka yang dapat rasa sedap.
Mereka peduli apa makanan itu hak orang lain.

Tapi, entahlah...
Sungguh tak sangka wujud orang yang sanggup makan makanan bukan hak mereka.
Tak apalah, bersangka baik sahaja.
Mungkin yang ambil itu ada isteri di rumah sedang sarat mengandung
mengidam mahu makan buah masam milik orang.
Orang mengidam ni kena diikutkan kehendaknya tidak kira apa.


========================= ============


Itu sahaja bebelan minggu ini.
Let just hoping that minggu depan ada entri yang lebih berisi daripada aku.
Amin.





.

Mar 7, 2018

Pengalaman Berharga 18k.


Salam.

Tajuk sedikit misleading.
18k yang dimaksudkan bukannya RM, tapi RT.
Retweet.




21 Februari,
aku berkesempatan menonton satu program di TV3 jam 12 tengahari.
Wanita Hari Ini.
Tajuk pada hari itu ialah 'Pengangguran'.
Aku yakin topik hari itu adalah satu bentuk promosi kepada program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang bakal berlangsung pada hujung minggu 24-25 Februari. Panel yang dijemput ada 3 orang; seorang orang kuat SL1M, seorang ahli motivasi merangkap duta SL1M, dan seorang anak muda yang merupakan produk daripada SL1M.

Aku menonton sehingga habis perbincangan. Muka aku bertukar kerut sepanjang program. Ada sesuatu yang buatkan aku tidak senang duduk semasa menonton perbincangan itu, jadi aku putuskan untuk lepaskannya melalui dua tweet:


Ya.
Walaupun tajuk topiknya 'Pengangguran', tapi apabila ditanya oleh hos tentang apa punca kepada pengangguran, KETIGA-TIGA panel hanya berbincang tentang sikap para graduan. Tiada pun antara mereka, termasuk hos, mahu petik tentang faktor lain selain daripada sikap graduan.

Salah satu panel sampai ada menyebut dengan yakinnya;
"It's actually a crime not to have a job in Malaysia."
Dengan kata lain, dia secara sinisnya melabel orang yang menganggur SEDANG melakukan satu jenayah. Kenapa aku kata sinis? Sebab percakapannya bernada bongkak, maklumlah, orang kuat kerajaan.

Kita tidak perlu menjadi pakar ekonomi untuk tahu bahawa punca pengangguran TIDAK hanya terletak di bahu para graduan. Banyak lagi faktor lain yang sepatutnya ditekankan dan tidak hanya menyalahkan satu pihak.

Pada mulanya,
tweet-tweet aku tadi tidak mendapat sambutan.
Maklumlah, aku hanya ada 200+ lebih follower di Twitter dan kebanyakannya adalah mereka yang follow aku kerana aku follow mereka balik, jadi adalah dijangka bila tweet itu tidak mendapat sambutan.

Namun,
selepas hampir memasuki 8 jam, secara mendadak tweet itu semakin mendapat RT dan like yang banyak.
Aku syak ada satu dua twitfamous yang RT, jadi tweet itu lebih tersebar luas.
Reply datang berpusu-pusu, dan tweet pertama itu mendapat quote retweet yang banyak.
Rata-rata mereka menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap bagaimana isu pengangguran dibincangkan di TV.

Pada saat aku sedang menaip entri ini,
tweet pertama itu sudahpun mendapat 18.0 ribu RETWEET dan 8 ribu LIKE.



Menjadi Tular.

Ini merupakan kali pertama aku mendapat RT yang mencapai ribuan.
Tweet aku menjadi tular hingga dibincangkan di Instagram dan beberapa page Facebook.
Rata-rata mengecam tindakan syarikat TV yang bersifat berat sebelah.

Aku tidak pernah dapat perhatian seperti ini.
Handphone aku mendapat notification bertubi-tubi tanpa henti disebabkan ramai memberi reaksi terhadap tweet aku itu.

Pada mulanya aku sedikit bangga dan suka,
maklumlah, tak pernah dapat RT yang banyak.
Tapi lama kelamaan aku rasa sedikit menjengkelkan.
Notification masuk tanpa henti, memaksa aku sentiasa kena silent phone.

Ada satu masa aku lupa untuk silent phone.
Semasa sedang buang air besar di tandas awam, handphone yang sedang berada di dalam poket seluar yang sedang tergantung di pintu jamban asyik berbunyi dan bergegar, sehingga ke tahap orang lain yang sedang berurusan di jamban sebelah pun memaki suruh aku silent phone.

Aku tak pandai nak tutup notification, tapi disebabkan ini,
aku terpaksa gigih meneroka bahagian settings yang selama ini aku abaikan.
Mencari pilihan untuk tutup notification.



Manfaat Untuk Siapa?

Aku fikirkan benda ini hanya berlarutan selama sehari,
namun masuk hari kedua tetap sama keadaannya.

Aku mula fikir apa yang boleh aku buat daripada perhatian ini.
Maka, untuk tweet ketiga dalam bebenang (thread) itu,
aku letakkan promosi untuk blog ini.


Selepas separuh hari,
aku dapati walaupun tweet pertama dan kedua mendapat sambutan dan perhatian,
tetapi trafik ke blog ini tetap suram macam selalu.
Naik, tapi tidaklah banyak sehingga meninggalkan kesan.
Idea aku untuk ambil kesempatan mencuri perhatian orang ramai ke arah blog ini (aku anggap) tidak menjadi.

Lalu aku fikir,
kalau perhatian seperti ini tidak bawa manfaat terhadap aku,
mungkin perhatian ini boleh bawa manfaat terhadap orang lain.

Maka,
aku mulakan dengan membaca kesemua reply kepada dua tweet pertama tadi.
Aku dapati, walaupun banyak yang merungut tentang pengangguran,
ada juga yang selitkan iklan jawatan kosong.

Maka,
aku buat keputusan untuk tambah bebenang tweet aku itu dengan iklan-iklan jawatan kosong yang ada.



Bebenang Jawatan Kosong.

Nampaknya iklan jawatan kosong yang aku selitkan pada bebenang tweet itu sangat membantu.
Banyak yang mahu cuba memohon, malah ada yang quote tweet untuk tatapan kenalan lain.

Dalam erti kata lain,
aku jadikan tweet 'viral' aku itu sebagai medan orang menghebahkan iklan jawatan kosong yang ada.





Ada seseorang DM aku dan ucapkan terima kasih kerana dia berjaya dapat peluang temuduga hasil daripada perkongsian iklan jawatan kosong yang ada.
Rupanya dapat ucapan terima kasih daripada orang asing yang langsung kita tidak kenal ni, perasaan dia lain macam sikit.

Aku berjaya tukar perhatian pengguna twitter kepada peluang untuk orang lain.
Entahlah. Rasa sedikit bangga dengan diri sendiri. Sedikit saja.
Ini kerana aku kurang bangga tweet itu menjadi tular dengan asas yang negatif.
Maksud aku,
tweet itu bermula dengan kritikan keras berbaur kutukan tentang rancangan itu.
Dan pada aku, sesuatu perkara yang bermula dengan negatif dan mendapat perhatian seperti ini sangatlah tidak sihat dan tiada yang patut dibanggakan.

Aku sendiri secara peribadi sudahpun menghantar mesej terus (direct message, DM) kepada dua hos rancangan Wanita Hari Ini yang aku mention di dalam tweet kedua, memohon maaf jika tweet itu mendatangkan gangguan terhadap kerja seharian mereka. Aku tak mahu menjadi masalah kepada orang lain.

Namun,
aku lega bila aku berjaya tukar benda negatif ini menjadi sesuatu yang bermanfaat.
Walaupun manfaatnya bukan untuk aku, tapi untuk orang lain.



Timing.

Itu yang pelik tentang tular.
Aku pernah sentuh tentang apakah faktor sepunya segala perkara tular dalam entri '6 Elemen Sepunya Dalam Kebanyakan Video Viral Malaysia' ini, dan seperti yang aku tekankan di dalam entri ini, semua elemen ini tidak bermakna kalau tidak ada sumbangan satu faktor paling penting, iaitu TIMING.

Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet kena dengan musim orang mencari kerja. Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet adalah semasa twitfamous sedang meneroka alam Twitter. Mungkin kebetulan timing semasa aku tweet, ada ramai juga yang menonton rancangan TV itu dan berfikiran sama dengan aku.

Tapi bak kata Robin Scherbatsky, "Timing's a b*tch."
Tiada siapa tahu bagaimana timing berfungsi. Kita hanya boleh teka, tapi kita dapat tahu keberkesanan timing kita itu hanya selepas ia sudah berlaku.

Sungguh tak sangka tweet yang bermula dengan niat sekadar melepaskan ketidakpuasan hati menjadi tular sebegini. Ini merupakan kali pertama aku dapat RT dan Like mencapai angka ribuan, tapi aku juga harap ini adalah kali terakhir.

Laporan untuk aktiviti tweet pertama itu pada tarikh 28 Februari.
700 000 impressions bukan satu angka yang sedikit, tahu?



Apa Yang Aku Belajar Daripada Pengalaman Ini.


1. Aku belajar tentang diri sendiri.

Aku anggap selama ini dapat RT dan Like banyak di media sosial adalah sesuatu yang menggembirakan. Aku sendiri kadang-kadang rasa iri hati melihat satu tweet yang ringkas dan mudah, mendapat RT dan Like yang banyak. Pada aku, dia boleh tweet sebegitu, aku pun boleh juga, tapi kenapa aku tak dapat jumlah RT dan Like seperti itu?

Tapi, bila aku sendiri dapat merasai 'first hand' perasaan dapat RT dan Like yang beribu-ribu ini, aku baru rasa aku sebenarnya tak sukakannya. Ia melecehkan. Phone cepat habis bateri sebab terlalu kerap dapat notification. Mention dan reply terpaksa aku abaikan kerana terlalu banyak, tak terlarat nak baca. Mention dan reply oleh kawan lain yang tiada kaitan dengan tweet tular itu pun terabai sebab tenggelam dengan notification yang berpusu-pusu masuk.

More importantly, walaupun jumlah follower aku bertambah (+100 lebih) selepas tweet itu tular, tapi kesemua mereka adalah orang yang aku tidak kenal, dan mereka tidak kenal aku. Aku nak tweet benda tak berfaedah pun kena fikir dua tiga kali takut-takut mereka rasa aku tidak mencapai standard yang mereka mahukan. Aku yang selalu tweet tentang Pokemon GO pun terpaksa tahan sekejap kerana takut para follower baru itu tidak dapat terima apa yang aku tweet-kan.

Pengalaman ini sedarkan aku bahawa aku sebenarnya tidak sukakan perhatian seperti ini. Biarlah tweet aku tidak dapat RT dan Like banyak sekalipun, asalkan aku bebas untuk tweet apa yang aku suka.


2. Pengangguran bukan isu kecil.

Aku tweet tentang pengangguran. Tidak kisah sama ada kalian setuju atau tidak dengan isi tweet aku itu, tapi aku dapat lebih 18 ribu RT, belum kira lagi 'quote retweet'. Bermakna, ada lebih kurang 18 ribu individu di sebalik akaun Twitter yang menganggap isu pengangguran adalah satu perkara yang PERLU dibincangkan.

18 ribu bukan angka kecil, tahu?

Daripada tweet aku itu, melalui reply dan mention yang aku sempat baca, memang ramai merasakan kesal dan kecewa dengan situasi sekarang di mana peratusan penganggur mungkin tidak serendah yang media laporkan. Malah setiap daripada mereka ada masalah masing-masing, dan tindakan 'pukul rata' oleh segelintir pihak sangatlah tidak membantu.

Entahlah. Aku sendiri tak pasti apa aku boleh buat untuk bantu mereka yang dalam kelompok menganggur ini.


3. Kuasa media sosial.

Selama ini aku hanya dengar tentang bahaya media sosial jika disalah guna. Sekarang, aku sendiri rasai kuasa media sosial itu. Nasib isu yang aku ketengahkan adalah isu pengangguran, satu isu yang sudah sedia maklum oleh semua orang. Agaknya apa jadi kalau tweet tular itu berkisar tentang berita palsu? Berita yang memburukkan orang lain? Cerita fitnah? Cerita aib dan keburukan manusia lain? Aku rasa, kesan buruknya akan menjadi berlipat kali ganda.

Sebab itu para pakar pemasaran mengatakan menjadi tular adalah satu bentuk publisiti. Kerana ia bermula mudah, dan berakhir dengan impak yang kuat. Benda baik, mahupun benda tidak baik, dapat disebarkan secara meluas, cepat dan berkesan.

Namun, kuasa media sosial juga boleh digunakan untuk tujuan baik. Aku suka jenis tweet yang menyebarkan kebaikan, macam cerita bantu orang buta pesan makanan, atau beri selipar kepada pakcik yang berkaki ayam. Walaupun ada yang berpendapat perkara sebegitu seolah-olah nak riak, nak tunjuk bagus, nak tunjuk baik, tapi secara peribadi aku rasa lebih baik tunjuk perkara baik daripada tular perkara tidak sihat dan tidak bermanfaat.



Kesimpulan.

Pada aku, media sosial berfungsi seperti pisau.

Pada sesetengah orang,
pisau digunakan untuk memotong sayur supaya boleh dimasak dan dimakan.

Pada sesetengah orang lain pula,
pisau boleh digunakan untuk ugut dan bunuh orang lain.

Dengan kata lain,
yang salah bukan kerana wujudnya pisau,
tapi terletak kepada siapa yang sedang memegangnya.

Jadi,
adakah kalian sedang pegang 'pisau' kalian dengan baik?

Follow aku di media sosial, @cerolian








.

Feb 28, 2018

Memburu Anak Naga Merah Jambu. #PokémonGOCommunityDay


Salam.

[Maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan Pokémon GO yang akan sedikit memberi sedikit cabaran kepada pembaca bukan pemain untuk memahami.]



Pokémon GO Community Day adalah satu inisiatif Niantic, Inc. selaku pembangun permainan aplikasi Pokémon GO untuk menjadikan permainan tersebut sentiasa relevan. Satu hari dalam setiap bulan akan digelar sebagai Community Day, dan pelbagai bonus permainan diberikan semasa hari tersebut.

Sila baca entri 'Tangkap Pikachu di Taman. #PokémonGOCommunityDay' untuk mengetahui pengalaman pertama aku menyertai Community Day.

Untuk bulan Februari, Community Day jatuh pada tarikh 24 Februari 2018, menampilkan Dratini sebagai Pokémon istimewa. Acara ini akan berlangsung dari pukul 11 hingga 2 petang waktu Malaysia. Sepanjang tempoh 3 jam itu, bonus 3x Stardust dan jika evolve Dratini kepada Dragonite, akan dapat moveset istimewa Draco Meteor yang kuat.





PERSEDIAAN.

Untuk Community Day kali ini, Dratini menjadi Pokémon istimewa. Walaupun tidak diumumkan, tapi semua pemain sedia maklum bakal ada shiny Dratini (Dratini yang berwarna lain dari kebiasaan) iaitu berwarna merah jambu. Sebagai persediaan untuk menangkap Dratini, aku terpaksa mengemaskini peti simpanan Pokémon aku supaya ada cukup ruang untuk tangkap sebanyak mana Dratini yang aku mampu.

Disebabkan beberapa hari sebelum hari kejadian aku dapati aku tinggal sedikit sahaja XP (experience point) untuk naik ke level seterusnya iaitu level 35, aku pun gigih mencari XP di luar. Alhamdulillah, sehari sebelum 24 Februari, aku berjaya naik ke level 35.




Juga, sebagai persediaan, aku sertai komuniti Silph League untuk dapatkan lencana eksklusif sempena Community Day bulan Februari.



SILPH LEAGUE.

Ini kad Silph Road aku.
Setiap yang menyertai Silph League akan dapat kad ini.


Di kalangan komuniti pemain Pokémon GO, ada satu komuniti yang tidak terikat dengan Niantic yang begitu gigih menjalankan kajian mengenai Pokémon GO ini. Komuniti itu dikenali sebagai Silph Road. Mereka menjalankan kajian tentang hampir kepada semua perkara, termasuklah taburan Pokémon, peratusan tangkapan hinggalah ke kebarangkalian hasil tetasan telur.

Baru-baru ini, Silph Road melancarkan Silph League, sebuah jaringan sosial yang menghubungkan sesama pemain Pokémon GO. Silph League ini umpama Facebook, tapi untuk pemain Pokémon GO. Ada satu feature yang dipanggil 'Handshake' di mana apabila kita bertemu pemain lain, kita boleh terus berhubung. Handshake ini seperti 'add as friend' dalam Facebook, cuma kita kena buat face-to-face.

Untuk Community Day, jika kita buat 'handshake' dengan orang tertentu, kita akan dapat satu lencana eksklusif sempena Community Day.



MISI.

Untuk Community Day kali ini, aku tetapkan beberapa misi:

1. Sertai satu level 5 legendary boss raid Rayquaza.
2. Tangkap sebanyak mungkin Dratini sepanjang tempoh 3 jam Community Day.
3. Tangkap paling kurang TIGA (3) shiny Dratini.
4. Evolve paling kurang SATU Dratini kepada Dragonite supaya mempunyai moveset istimewa Draco Meteor.

Disebabkan aku pergi Community Day ini seorang diri (aku buka pelawaan untuk sertai aku di entri lepas tapi tiada yang berminat), jadi destinasi pilihan aku, sekali lagi, ialah Taman KLCC.


Air pancut berirama sentiasa memaku pandangan aku.



HARI KEJADIAN.

Aku sampai awal di Taman KLCC, seawal pukul 9 pagi. Suasana pagi di Taman KLCC penuh dengan orang berjogging. Bayangkan orang lain berjogging, aku pula berjalan kaki sambil main telefon. Sedikit janggal, tapi sebab situ ialah Taman KLCC jadi tiada isu sangat.

Berjalan punya jalan punya jalan, empat telur 10km yang aku eram pun menetas.


Atas, dari kiri; Larvitar, Porygon
Bawah, dari kiri; Mareep, Beldum.


Kebetulan ada telur hitam level 5 menanti untuk menetas di PokéGym berhampiran, jadi aku pun pergi ke arah PokéGym itu. Dapatlah aku sertai level 5 legendary boss raid menentang Rayquaza.


Yang seronok tentang battle di tempat seperti Taman KLCC ialah sentiasa ada orang yang akan sertai bersama.


Sudah tentu aku tak dapat tangkap Rayquaza tersebut. Entahlah. Susah bebenor nak tangkap naga hijau ni. Sampai sekarang, berkali-kali aku lawan Rayquaza pun masih belum dapat tangkap lagi satu. Marah betul hati ini dibuatnya.

Kebetulan, salah seorang yang sertai raid Rayquaza itu adalah orang yang aku boleh 'handshake' untuk dapatkan lencana eksklusif Community Day dalam Silph League. Apa lagi, kami pun 'handshake' dan aku pun dapat lencana tersebut.


Tengoklah lencana anak naga merah jambu itu.




COMMUNITY DAY BERMULA.

Jam menunjukkan pukul 11 menandakan Community Day bermula. PokéStop kebanyakannya sudah dilengkapi dengan Lure (Umpan) bertujuan untuk mengumpan Pokémon datang. Taman KLCC penuh dengan Dratini. Misi tangkapan bermula...


Lihatlah kemeriahannya.


...namun malang tidak berbau. Terdapat isu melibatkan pemainan Pokémon GO menyebabkan permainan seringkali mendapat mesej 'error'. Isu ini membuatkan kami para pemain tidak boleh bermain dengan baik. Seringkali kena mula semula (restart) permainan dan kerapkali permainan menjadi kaku (freeze) dan kena tutup secara paksaan (force stop). Isu ini berlarutan selama antara 30-45 minit.

Dek kerana aduan orang ramai, Niantic mengumumkan dalam Twitter bahawa tempoh 3 jam Community Day yang sepatutnya bermula dari pukul 11 hingga pukul 2, akan dipanjangkan sehingga pukul 5. Berita baik kepada pemain lain, tapi bukan aku. Aku hanya mampu main sehingga pukul 2 sahaja kerana selepas itu aku ada hal penting di tempat lain. Lagipun, macam yang aku sebut dalam post Community Day sebelum ini, tempoh 3 jam adalah baik dan memanjangkan tempoh itu tidak akan bawa apa-apa kebaikan pada aku.

Setelah beberapa kali maki hamun dan sumpah seranah, akhirnya aplikasi Pokémon GO kembali menjadi stabil dan bebas dari error. Tidak! Error masih ada tapi tidak sekerap sebelumnya. Tapi aku tetap gigih memburu Dratini.

Taman KLCC penuh dengan pemain Pokémon GO. Macam mana aku kenal? Mereka berjalan sambil pegang telefon bimbit, macam aku. Ada yang berkumpulan, ada yang berpasangan, dan ada yang seperti aku sendirian.

Setelah beberapa kali menangkap Dratini, akhirnya aku jumpa shiny Dratini, Dratini yang berwarna merah jambu (Dratini normal berwarna biru). Bukan satu, bukan dua, tapi aku jumpa TIGA Dratini. Aku boleh nak berusaha untuk dapat lebih tapi tiga adalah misi aku jadi tak perlu untuk aku berusaha lebih.


Lihatlah kemerah-jambuan Dratini-Dratini ini.


Sepanjang 3 jam tempoh bonus itu juga, aku sempat evolve satu Dratini normal kepada Dragonair dan seterusnya ke Dragonite (memerlukan 125 Dratini candy untuk evolve Dratini kepada Dragonite). Dragonite itu mempunyai moveset Draco Meteor. Dan disebabkan aku berjaya kumpul Dratini candy dengan banyak, aku juga evolve satu shiny Dratini menjadi shiny Dragonite, seekor Dragonite yang berwarna hijau (dan hodoh). Aku juga evolve satu shiny Dratini kepada shiny Dragonair, membuatkan aku memiliki lengkap ketiga-tiga Pokémon shiny untuk keluarga Dratini.


One happy family at home.


Tepat pukul 2 aku tamatkan acara memburu Dratini aku ini walaupun secara konsepnya acara masih lagi belum tamat. Aku terpaksa bergerak ke satu acara lain yang tak boleh aku lepaskan. Kalau aku tidak perlu ke acara itu, mungkin aku akan habiskan masa lebih untuk memburu Dratini lagi memandangkan kebanyakan shiny Dratini yang aku dapat mempunya individual value (IV) dan combat power (CP) yang rendah.

Maka tamatlah Pokémon GO Community Day bulan Februari 2018 untuk aku.



MISI SELESAI.

Sepanjang tempoh acara, aku berjaya;

1. Sertai satu raid Rayquaza walaupun tidak berjaya tangkap (+10 000 XP)
2. Tangkap 98 Dratini
3. Tangkap 3 shiny Dratini
4. Evolve 2 (dua) Dratini kepada Dragonite, membolehkan Dragonite itu memiliki moveset istimewa Draco Meteor.

Secara rumusannya aku rasa acara hari itu berjaya walaupun pelindung skrin (screen protector) telefon aku retak kerana beberapa isu. Aku juga berjaya dapatkan lencana istimewa sempena Pokémon GO Community Day yang dikeluarkan Silph League.

Kalau dilihat coraknya, Pokémon GO Community Day akan berlangsung pada Sabtu ketiga setiap bulan atau Sabtu minggu terakhir bulan tersebut, maka kemungkinan besar Community Day untuk bulan Mac jatuh pada 17 Mac ATAU 24 Mac (aku lebih rasa 24 Mac).

(Updated) Niantic umumkan Community Day bulan Mac jatuh pada 25 Mac (hari Ahad) bermakna KAU SALAH TEKA, cEro!

Niantic sudahpun umumkan Pokémon isitmewa untuk Community Day bulan Mac adalah BULBASAUR. Jadi kemungkinan untuk dapatkan shiny Bulbasaur adalah tinggi pada hari tersebut. Secara peribadi, Bulbasaur bukanlah satu Pokémon yang istimewa mana, tapi acara Community Day mungkin terletak kuat pada bonus hari tersebut, menjadikan Bulbasaur sebagai Pokémon tumpuan bukanlah teruk mana.


Image Twitter @PokemonGOApp


Aku rancang untuk pergi ke lokasi SELAIN Taman KLCC. Mungkin Taman Tasik Shah Alam, atau sekitar Menara Kuala Lumpur, atau mungkin Taman Tasik Titiwangsa. Jika ada antara kalian nak sertai aku semasa Pokémon GO Community Day bulan Mac nanti, jangan malu jangan segan untuk hubungi aku di mana-mana media sosial yang ada (@cerolian). Kita akan set lokasi ikut kesesuaian.

Maka dengan ini, tamatlah cerita aku mengenai Pokémon GO Community Day.
Terima kasih kerana baca sampai bawah sebab aku rasa rata-rata akan putus asa baca bila masuk perenggan kedua post ini hehehe.

Bye.



.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License