Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 31, 2018

Satu Tolehan yang Mengubah Hari Aku.



Salam.

Hari Isnin.
Di saat orang lain perlu berpusu-pusu ke tempat kerja, aku tidak perlu. Hari ini aku cuti. Tapi tidak bermakna aku patut bangun pagi lewat. Cuaca pagi aman nyaman. Udaranya, cahayanya, bunyiannya, semuanya sangat mendamaikan. Ada sesuatu tentang cuaca pagi yang membuatkan perasaan berasa tenang dan aman.

Di saat itu, aku tahu hari ini bakal jadi hari yang baik.



Selesai urusan di rumah di waktu pagi, tengaharinya aku buat keputusan untuk keluar. Niat hati mahu main Pokemon GO di sekitar kejiranan rumah aku ini. Maklumlah, walaupun agak lama sudah aku berpindah ke sini, namun rasanya belum betul-betul tahu selok-belok kawasan sini.

Ini adalah masanya di mana aku sangat bersyukur aku seorang bujang. Maksud aku, aku boleh pergi ke mana sahaja yang aku mahu seorang diri tanpa perlu bawa sesiapa dan tanpa perlu peduli kebenaran sesiapa, satu kebebasan yang pastinya orang sudah berkomitmen rumahtangga faham akan keistimewaannya.

Tengahari, aku makan di kompleks membeli-belah berhampiran. Di restoran tempat aku makan, yang menghidang seorang gadis manis yang murah dengan senyuman. Aku suka bila dilayan dengan senyuman, apatah lagi datang dari seorang yang manis. Siapa tak suka, kan? Makan kenyang, aku ambil keputusan untuk berjalan-jalan sekitar kedai yang berdekatan.

Kesemua kedai yang aku kunjungi, aku dilayan dengan baik. Pekerjanya semua murah dengan senyuman. Ada yang ramah bertegur sapa dengan aku. Kalian kena faham, dengan muka yang aku ada, bila dilayan baik oleh orang lain, aku ada perasaan gembira dan skeptikal bercampur baur. Tapi sebab dari awal pagi sehingga kini lewat tengahari hari aku baik, maka aku hanya berfikiran positif. Hari ini mungkin adalah salah satu hari yang baik untuk aku.

Aku ambil keputusan untuk habiskan masa sehingga ke petang di taman. Taman permainan kanak-kanak. Ada beberapa kanak-kanak sedang bermain, berlari dan menjerit-jerit. Selama ini aku rasa jeritan kanak-kanak sedikit menjengkelkan, tapi hari ini aku tidak merasakan sedemikian. Senyuman terukir di bibir aku melihat mereka berlari-lari dan bermain.

Kebetulan ada dua lelaki lain di situ. Seorang ah ko berbangsa cina dan seorang lagi budak remaja berbangsa india. Kami bertiga berbual sakan seolah-olah kami ini kawan lama. Aku bukanlah seorang yang gemar bersosial dengan orang, tambahan lagi orang yang baru kenal. Tapi dengan mereka berdua, seperti kami sudah lama kenal. Pada saat itu, tidak dapat rasa langsung apa-apa jurang. Seorang melayu, seorang cina dan seorang india, memang seperti definisi kepada masyarakat muhibah. Malah kami bertiga berbeza usia, namun masih lagi dapat bergelak ketawa berbual pelbagai perkara.

Hari ini memang satu hari yang baik untuk aku.

Namun kalian baca, kan, tajuk post ini? Walaupun berkali-kali aku ulang hari ini adalah hari yang baik, kalian sudah tahu bahawa sesuatu akan berlaku seterusnya, kan?

Ceritanya, semasa aku sedang menunggang motosikal di dalam perjalanan hendak pulang ke rumah, aku ternampak sebuah lori simen berhenti di hadapan. Kedudukannya amat tidak sesuai untuk berhenti, namun rasanya berlaku kecemasan, jadi aku anggap itu bukanlah satu kesalahan besar.

Kereta di belakang lori memandu perlahan, sebuah demi sebuah memotong lori yang sedang berhenti itu. Jalannya satu lorong untuk dua hala, jadi mahu memintas lori simen yang sedang berhenti bukanlah mudah. Akhirnya, sampai giliran aku. Jarak ke rumah aku hanya dalam kurang dua kilometer, jadi aku sepatutnya memandu terus tanpa perlu endah akan suasana sekeliling. Namun, tidak. Sewaktu memintas lori simen berkenaan, aku menoleh ke bawah perut lori simen.

Ternampak seorang lelaki dalam lingkungan usia lewat 30-an ke awal 40-an terbaring di bawah perut lori tersebut. Matanya terbuka, namun tapak kakinya berada bersebelahan dengan mukanya. Badannya terlipat dua. Darah mula mengalir dari tubuhnya dan membasahi jalanraya. Walaupun badan keseluruhannya kelihatan masih satu, namun aku pasti isi dalamnya sudah lumat dilenyek tayar milik lori simen berkenaan.

Barulah aku sedar kenapa lori itu berhenti di tempat yang tidak sesuai. Barulah juga aku sedar kenapa kereta yang memintas memperlahankan kenderaan masing-masing. Bila aku ke hadapan, aku nampak seorang lelaki yang pada hemat aku adalah pemandu lori berkenaan, sedang memegang kepalanya sambil melihat hasil bawah perut lorinya tanda kesalan.

Serta-merta, hari baik aku bertukar ngeri.

Sepanjang perjalanan balik aku terbayangkan kejadian tadi. Terbayangkan mata tadi yang terbuka tapi tidak melihat. Terbayangkan badan yang berlipat, bertemu kaki dengan muka. Terbayangkan tumpahnya darah membasahi jalan tar.

Balik rumah aku terbayang. Semasa mandi aku terbayang. Duduk tengok TV aku terbayang. Solat aku hilang fokus kerana terbayang. 3 jam aku berguling atas katil gagal untuk tidur hanya kerana terbayangkan kejadian tadi ketika aku pejamkan mata. Hasilnya, pada hari Selasa, aku bangun dengan kepenatan dek tidur yang tidak berkualiti. Dan sepanjang hari Selasa itu juga, aku terbayang.

Hari aku yang sepatutnya baik, hanya kerana satu tolehan, bertukar menjadi ngeri dan memakan diri selama dua hari.

Ini adalah antara memori yang pada aku, mahu aku lupakan tapi aku rasa aku tak akan berjaya lupakan. Sama macam memori audio aku dengar tulang anak kucing pecah digilis dengan tayar kereta. Sama macam memori semasa menjalani pembedahan mata dengan bius setempat, menyebabkan aku sedar sepanjang pembedahan. Sama macam memori darah terasa menyirap apabila dapat tahu orang yang kita percaya khianati kita.

Dan seperti memori-memori di atas, memori kejadian bawah perut lori ini pun bakal menjadi parut di minda aku. Boleh diabaikan tapi tidak akan hilang. Dan semua ini boleh dielak kalau aku tidak buat satu tolehan itu.


------------------------- ------------


Baiklah.
Aku tidak mahu menamatkan entri ini dengan penamat yang bersifat kemurungan.
Jadi aku mahu minta tolong kalian dengan sesuatu.

Aku baru sahaja menyertai satu peraduan anjuran Fb page Buasir Otak: The Komik.
PERADUAN KOMIK STRIP MEDIA SOSIAL di mana komik yang mendapat paling banyak 'reach' untuk satu tempoh masa akan dikira sebagai pemenang.

Cara kalian boleh tolong aku adalah seperti berikut:

1) Klik link facebook di ini.

2) LIKE (atau REACT) komik ini, kemudian tinggalkan komen di ruangan COMMENT dan seterusnya SHARE komik ini dengan kawan-kawan lain.

Atau kalau kalian sudah linked dengan Facebook, boleh terus buat tiga perkara di atas (LIKE, COMMENT dan SHARE) di ruangan embed di bawah:



Kalau kalian sudah buat, TERIMA KASIH.

Aku macam sudah tahu yang aku tak akan menang, tapi aku berminat nak buktikan yang aku salah.

Komik 'CARUT!' itu adalah komik lama yang ada dalam simpanan aku dan belum pernah diterbitkan di mana-mana platform media lagi. Aku buat keputusan untuk sertai peraduan ini bukan untuk menang, tapi sebab aku sudah berazam  (tahun 2018 ini) untuk menyertai DUA pertandingan komik. Jadi, sekarang aku sudah boleh tanda satu daripada dua pertandingan itu.

Walaupun penganjur kata peraduan ini boleh dimenangi dengan usaha si peserta (lagi banyak promote, lagi banyak reach) tapi aku sejujurnya rasa 'timing' mainkan peranan paling penting. Maksud aku, sebanyak mana pun usaha, dan sebaik mana pun lukisan komik itu, atau sebagus manapun isi komiknya, kalau tidak kena pada masanya, tetap tak akan dapat 'reach' yang diharapkan. Dan bila sebut tentang 'timing', timing is a b*tch.

Tapi itu tidak bermakna aku sudah putus asa, kan?
Sebab itu aku minta tolong kalian untuk LIKE, COMMENT, dan SHARE komik aku itu.

Jadi untuk tamatkan entri hari ini, aku mahu berpesan;
JAGALAH DIRI BAIK-BAIK KETIKA BERADA DI JALANRAYA.
ELAKKAN DIRI DARI MENJADI MIMPI NGERI ORANG LAIN.






.

Jan 24, 2018

Tangkap Pikachu di Taman. #PokémonGOCommunityDay



Salam.

[Minta maaf. Entri ini sarat dengan istilah-istilah khusus untuk permainan Pokémon GO yang akan sedikit memberi cabaran kepada pembaca bukan pemain.]



"2018 ada lagi ke orang main Pokémon GO?"

Kalau aku dapat soalan seperti ini beberapa bulan lepas, mesti aku akan 'triggered' dan sentap. Tapi kalau sekarang, aku hanya akan senyum senget ala-ala Zul Ariffin dan bertenang. Sebabnya, aku tahu betapa ramainya pemain Pokémon GO yang masih main.

Pokémon GO ada lebih 65 juta pemain aktif setiap bulan. Untuk perspektif, jika setiap pemain ini membentuk satu negara, populasinya hampir menyamai negara Perancis. Untuk perbandingan, Malaysia hanya ada 31 juta penduduk.





Tapi permainan aplikasi mobil kebanyakannya berjangka hayat pendek. Jadi, untuk terus relevan dimain, Niantic sebagai pembangun aplikasi Pokémon GO pada 12 Januari 2018 memperkenalkan Pokémon GO Community Day. Setiap bulan akan ada satu hari khusus dipanggil Community Day, di mana pada hari itu untuk jangka waktu terhad 3 jam, akan ada bonus istimewa dan pokemon istimewa untuk ditangkap.

Sebagai permulaan, Pokémon GO Community Day pertama dijadualkan pada 20 Januari 2018. Bonus pada hari itu adalah 2x XP, 3 jam lure dan pokemon istimewa PIKACHU dengan moveset Surf (sebelum ini Pikachu tiada Surf dalam senarai movesetnya). Untuk Malaysia, waktu bonus ini hanya berlangsung pada 20 Januari 2018 dari jam 11 pagi hingga ke 2 petang (hanya 3 jam).


Image Twitter @PokemonGOAppMY


Jadi, ini adalah satu sebab kukuh untuk aku selaku introvert untuk keluar dan bermain di luar.

Destinasi yang aku pilih untuk keluar sudah tentu perlu ada banyak Pokéstop dan ada peluang tinggi untuk bertemu dengan legendary raid boss Kyogre di Pokégym sekitarnya. Tempat itu juga perlu senang dicapai dan juga senang berteduh jika hujan turun. Destinasi pilihan aku ialah TAMAN KLCC.




20 Januari aku bergerak ke KLCC.
Aku sampai di Taman KLCC pada 11:15 pagi, terbazir 15 minit waktu bonus.
Misi aku hari ini ialah:

1. Untuk 'evolve' 50++ Pidgey yang aku kumpul dalam julat masa 2x XP dengan tambahan penggunaan Lucky Egg (yang juga meningkatkan XP sebanyak 2 kali ganda) menjadikan XP aku bakal dinaikkan 4 kali ganda.

2. Dapat lawan legendary boss raid Kyogre dalam julat masa 2x XP.

3. Tangkap Pikachu sebanyak yang mungkin.

Kebetulan sewaktu sampai, Pokégym di hadapan Suria KLCC sedang menunggu telur legendary raid untuk menetas. Ada dalam 50+ minit lagi jadi aku buat keputusan untuk evolve Pidgey dahulu.

Aku pilih satu kerusi di taman itu dan duduk selesa. Aku evolve 53 Pidgey dalam masa 30 minit Lucky Egg berfungsi, mendapatkan aku 53 x 500 x 2 x 2 = 106 000 XP (sekali evolve Pidgey ke Pidgeotto = 500 XP).

Baki masa menunggu telur menetas aku isi dengan berjalan menangkap Pikachu.


Ini shiny Pikachu.
Beza shiny Pikachu ialah warna kuningnya sedikit deep berbanding Pikachu biasa.

Aku jumpa shiny Pikachu satu. Ini merupakan pokemon shiny pertama aku jumpa di luar. Satu-satunya pokemon shiny yang aku ada juga adalah Pikachu, tapi aku dapat melalui Pichu yang menetas dari telur.

Walaupun seronok jumpa shiny Pikachu, tapi aku dapat tahu kemudian yang ramai lagi orang lain jumpa shiny Pikachu juga, jadi ini menjadikan shiny Pikachu yang aku jumpa itu tidaklah berapa special sangat pun.
(Ingat lagi entri Dari Gastly ke Manusia Gagal di mana aku sebut tentang TERLALU BANYAK SESUATU MENJADIKAN IA SEMAKIN TIDAK SERONOK?)


Masa untuk legendary raid hampir tiba. Aku hampiri pintu masuk Suria KLCC yang ada tanglung cina besar itu untuk sertai legendary raid.

Tengoklah berapa ramai orang yang sedang tunggu Kyogre menetas.



Peta dalam aplikasi Pokémon GO menunjukkan kebanyakan Pokéstop sudah dipasang lure. Perhatikan telur hitam dengan jangka masa baki 5 minit lagi itu. Selepas 5 minit, Kyogre pun muncul.



Melawan Kyogre bersama-sama 19 orang asing yang tidak dikenali. Entah kenapa Kyogre tak mengadap ke arah aku. Malu agaknya. Selepas selesai lawan, pemain diberi peluang untuk tangkap Kyogre tadi.



Aku gagal tangkap Kyogre. Tak terkejut pun sebab aku tahu aku tak suka tangkap jenis Pokémon yang terapung ni. Pokémon jenis macam ni suka ke kiri ke kanan suka hati, nak baling bola pun asyik miss.

Setelah selesai Kyogre, aku pergi keliling taman untuk tangkap Pikachu. Dalam rekod, aku dapat tangkap 35 Pikachu dalam tempoh masa 3 jam itu. Tapi rasanya aku boleh tangkap banyak lagi sebab aku juga tangkap pokemon lain selain Pikachu. Kalau aku betul-betul tumpu hanya Pikachu, mesti angka tangkapan akan jadi lebih tinggi.

Berjalan-jalan sekeliling, cuaca dalam game bertukar menjadi hujan. Lalu aku nampak satu lagi raid boss kegemaran aku sedang berlangsung di Pokégym berdekatan. Itu adalah raid boss Wailmer. Aku pun pergi untuk peluang tangkap Wailmer itu.


Battle dengan Wailmer sedang berlangsung. Aku guna Shiny Pikachu untuk lawan. Look at that massive Wailmer size. Tapi Pikachu aku pun bukanlah lemah mana, mudah je selesaikan Wailmer ni.



Wailmer berjaya ditangkap. Aku suka tangkap Wailmer sebab nak evolve Wailmer ke Wailord memerlukan 400 candy. 400 tu angka yang besar jadi setiap kali jumpa Wailmer, aku perlu tangkap.
(Tangkap satu Wailmer = 3 candy, atau 6 candy kalau guna Pinap berry)

Aku juga jumpa Wailmer liar, jadi apa lagi. Tangkap laa. Weather-boosted pula tu.

Wailmer akan banyak keluar waktu hujan, tapi bergantung kepada bentuk muka bumi dan sarang juga.



Inilah keadaan dalam game yang penuh dengan Pikachu semasa tempoh masa bonus dan selepas waktu bonus di mana Pikachu yang bersepah tadi semua dah hilang dan digantikan dengan pokemon biasa.


Jangka waktu 3 jam bonus sangat singkat, tapi rasanya cukup kot. Aku tak rasa panjangkan lagi masa akan beri apa-apa kebaikan.

Maka dengan itu tamatlah Pokémon GO Community Day yang pertama pada 20 Januari lalu.

Dalam senarai misi aku, rasanya semuanya dapat dipenuhi.
Aku dapat evolve 53 Pidgey dan dapat 106 000 XP.
Aku dapat lawan Kyogre (walaupun tak berjaya tangkap) dan dapat 20 000 XP.
Aku dapat tangkap 35 Pikachu dan salah satunya adalah shiny.

Aku pun tersenyum puas ketika tamatnya Pokémon GO Community Day hari itu.
Tapi semasa mahu pulang, hujan turun dengan riangnya menyebabkan aku terkandas di KLCC untuk beberapa ketika. Aku ambil peluang itu untuk berjalan-jalan cuci mata.


Mungkin tak jelas, tapi ini sebenarnya tengah hujan lebat ni



========================= ============


Aku rasa sangat bagus Niantic buat acara bulanan seperti ini. Paling tidak game Pokémon GO akan terus diberi nafas dan rasa baru untuk mengelakan pemain rasa bosan.

Dalam twitter aku dapat tahu ada beberapa kumpulan setempat buat meetup, berkumpul sesama pemain Pokémon GO dan buat aktiviti sama-sama. Itulah niat sebenar Niantic, mahu pemain ambil kesempatan untuk berkenal-kenalan sesama pemain setempat dan bersosial. Patutpun Pokémon GO menang aplikasi terbaik untuk bersosial pada tahun lepas 2017.

Aku?
Aku tak masukkan diri dalam mana-mana kumpulan tempatan yang ada. Ya, aku ada sertai satu group whatsapp Pokémon GO di kawasan kejiranan aku, tapi aku tak aktif bersuara dan hanya sertai mana-mana legendary raid yang kena pada masa dan tempat sahaja. Aku lebih kepada solo player yang bermain hanya untuk berseronok. Aku tak mahu bermain Pokémon GO terlalu serius sehingga menjadi stress.

Tapi idea untuk buat meetup sempena Pokémon GO Community Day adalah idea yang baik.




Jadi, untuk bulan depan bulan Februari, Niantic sudah umumkan tarikh Pokémon GO Community Day yang seterusnya iaitu pada 24 Februari 2018. Pada tarikh berkenaan, Pokémon istimewanya ialah Dratini dengan moveset yang masih belum diumumkan lagi. Tapi dengar kata, bakal dilepaskan shiny Dratini, jadi memang aku tak akan lepaskan peluang kali ini.

Aku merancang untuk (juga) pergi ke satu lokasi dan tangkap Pokémon sebanyak yang mungkin pada Pokémon GO Community Day yang kedua ini.

Untuk itu, aku buka pelawaan kepada sesiapa yang berminat nak sertai aku.
Kalau kalian nak sertai aku, kita ke lokasi dan main Pokémon GO selama 3 jam dan rancangan seterusnya terpulang kepada kalian. Mungkin selepas itu kita boleh duduk minum-minum ke, bersosial macam manusia biasa.

Aku buka pelawaan ini kepada semua orang tidak kira siapa. Ini mungkin satu-satunya peluang untuk kalian jumpa aku in-person, dengan syarat tiada gambar muka aku boleh diupload di mana-mana media. Kalau ada yang rasa nak sertai aku, contact aku di twitter @cerolian. Mention, atau DM, atau reply dan kita akan set mana lokasi yang sesuai untuk bertemu. The more the merrier, jadi ajaklah kawan-kawan lain kalau malu pergi seorang diri.

Ini seperti meetup, cuma maybe most of the time kita akan tatap skrin handphone masing-masing sambil tangkap pokemon. Pelawaan ini terbuka sampai hari kejadian. Tak apa, kalau last minute tiba-tiba tinggal aku seorang pun tak apa sebab aku okay. Aku hanya nak main Pokémon GO, jadi sama ada ada teman main sekali atau main seorang diri, I'm always okay.

Sebab itulah seronoknya Pokémon GO ini,
walaupun game ini satu game aplikasi sosial, tapi kita bebas nak main bersama rakan, atau main bersama orang asing, atau sekadar nak main seorang diri pun tak ada masalah. Macam aku, I'm more a solo player but I'm okay kalau ada small number of companions pun.

Tapi kalau kalian ada niat nak sertai aku, jangan malu-malu.
Sebab aku rasa aku sendiri pun malu juga hahahahahahahaha.
But nevertheless, come join me.

Bye.




.

Jan 17, 2018

TINDER dan Bagaimana Aplikasi Ini Mengubah Nilai Diri Seseorang.



Salam.



"Kau tahu Tinder?"
Alif (bukan nama sebenar) memecah atmosfera sunyi. Aku kenal Alif bukanlah rapat, tapi cukup untuk aku gelar dia sebagai seorang kawan. Makan bersama pada waktu rehat selalunya diisi dengan perbualan ringan dan tidak menyentuh emosi, tapi kali ini aku dapat rasa Alif perlukan satu kekuatan kuat hanya untuk membuka perbualan. Isu yang bakal dia ceritakan merupakan satu isu berat, paling kurang, untuk dirinya.

Aku tahu Tinder. Malah aku pernah buat kajian santai mengenainya tentang bagaimana Tinder berfungsi dan algoritma yang diguna pakai. Ringkasnya, Tinder adalah satu aplikasi mobil yang dilabel sebagai 'dating apps'. Semua pengguna harus meletakkan gambar yang kemudian akan digunakan sebagai rujukan kepada pengguna lain. Jika kita suka akan pengguna itu, kita akan calit (swipe) ke kanan, dan jika tidak, akan calit ke kiri. Jika pemilik gambar yang kita calit ke kanan itu juga calit ke kanan gambar kita, ini dipanggil 'match' dan kedua-dua pengguna boleh mula berinteraksi di bahagian mesej. Tinder adalah satu aplikasi mencari jodoh, walaupun pada asasnya 'jodoh' yang kita maksudkan itu adalah penampilan dalam gambar (dengan bantuan kapsyen diri di bahagian profil).

Ya. Tinder seperti satu katalog, cuma itemnya adalah mereka yang berpotensi menjadi jodoh.

"Aku tahu Tinder, tapi tak tahu sangatlah. Kenapa?"
Sengaja aku jawab sebegitu supaya memberi peluang Alif untuk lebih banyak bercerita.

"Begini. Aku sertai Tinder dengan harapan dapat cari jodoh."
Alif batuk buat-buat, aku tersenyum.

"Walaupun aku tahu banyak orang kata Tinder dipenuhi dengan orang yang hanya mahu mencari keseronokan, tapi aku rasa tak salah mencuba, kan?"
Ya. Aku setuju. Tinder sama seperti aplikasi lain seperti Facebook, Twitter dan Instagram. Tujuan utamanya adalah menjadi wadah permulaan kepada pertemuan, tapi para pengguna yang selalu salah guna. Banyak yang sertai Tinder dengan niat mahu memuaskan nafsu, sehinggakan ada orang yang malu untuk mengaku mereka sertai Tinder.

"Minggu pertama aku guna Tinder, aku dapat satu 'match'. Aku begitu teruja. Macam tiba-tiba muncul bayangan masa depan yang cerah di mana aku akan berumahtangga, berkeluarga dan bahagia. Perasaan dapat tahu at least ada seseorang yang 'swipe right' aku punya gambar walaupun muka aku macam ni, rasanya seronok sekali."

'...walaupun muka aku macam ni' sedikit mengganggu aku. Alif ni kacak kot. Kalau dia kata macam tu, aku ni kategori apa pula?

"Jadi nak nampak gentleman, aku mulakan perbualan."
Alif kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya dan buka aplikasi Tinder. Dia ke bahagian mesej dan skrol ke atas mencari perbualan dia dengan 'match' pertamanya itu bernama Ba (juga bukan nama sebenar).

"Aku mulakan dengan beritahu aku tak pandai Tinder, jadi aku minta maaf kalau mesej pertama itu bukan seperti yang dia jangka. Aku rasa, aku patut jadi lebih 'cool' dan 'funny'." Alif bercerita sambil tunjukkan mesej pertamanya.

"Lepas tu dia balas. Aku jadi sangat teruja. Excited. Dapat bermesej dengan orang baru yang langsung kita tak kenal tapi anggap kita layak untuk di'swipe' ke kanan, bukankah itu satu yang mengujakan?"
Aku faham maksud Alif. Itu namanya 'increasing self-worthy'.

"Lama-lama, aku perasan sesuatu." Alif tunjukkan mesej Ba yang seterusnya.
"Setiap soalan aku, dia hanya akan jawab pendek dan selamat. Contohnya ini; aku tanya apa hobi dia, dia hanya balas 'saya tak ada apa-apa hobi'. Kemudian ada aku tanya apa makanan kegemaran dia, dia hanya balas 'saya makan apa-apa saja'. Ada satu soalan ni, aku punyalah cerita panjang tentang hujung minggu aku, lepas tu dia hanya balas 'oh, ye ke?' macam tu saja."

"Aku dapat rasakan yang dia bukan sahaja tak berminat nak tahu tentang aku, malah dia juga tak berminat nak ceritakan tentang diri dia sendiri. What's the point of having a conversation kalau hanya sebelah pihak sahaja yang memberi?"

Ya. Alif betul. Aku baca mesej-mesej balas si Ba tu pun dapat rasa yang dia tak berminat. Apa sebenarnya yang si Ba ni mahu pun kita tak dapat nak tangkap.

"Kemudian beberapa hari kemudian datang 'match' yang kedua..." sambung Alif sambil menunjukkan perbualannya dengan seorang lagi 'match' yang bernama Ta (masih bukan nama sebenar).

"Dari profil Ta, dia tunjukkan hanya separuh muka dia dalam satu-satunya gambar yang dia letak. Dia jenis yang aku suka. Putih dan gebu. Jadi bila dapat 'match' dengan dia, aku rasa seronok sangat."
Dalam benak kepala aku berkata, 'Dude! Itu baru separuh muka je...'

"Macam biasa, aku yang mulakan perbualan. Ia macam satu 'unspoken code' pula dalam Tinder yang mesti lelaki yang harus mulakan perbualan padahal dua-dua pihak swipe ke kanan."

"Ta best sikit. Dia banyak bercerita tentang diri dia. Dia nak tahu apa cerita aku. Nampaklah dia memang nak berkawan. Pada masa itu, memang dah tergambar dah dalam kepala aku yang kami bakal bersolat jemaah bersama-sama di rumah kelamin kami nanti."

Dude. Too fast dude.

"Tapi yang indah hanya sementara. Topik perbualan kami hanya berkisar tentang perkara yang sama; buat apa hari ini, sihat tak, makan apa dan sebagainya. Kami makin lambat membalas mesej masing-masing dan at one point, kedua-dua kami diam. Aku tunggu balasan dari dia sebab aku yang paling akhir meninggalkan mesej, tapi sampai sudah dia tidak balas. Jadi, aku rasa, Ta pun sudah tak berminat. Jujurnya, aku sendiri pun sudah makin tawar sebab 'hubungan' dan perbualan kami terlalu stagnant dan tak berkembang."

"Jadi, ada yang ketiga?" Aku tanya.

"That's the main problem. Tak ada. Hanya dua sahaja."

"Sudah beberapa minggu sudah berlalu, beratus gambar sudah aku 'swipe right', tapi masih tak ada yang match. Ada beberapa user yang pada aku sangat menepati citarasa (penampilan) aku dan aku swipe ke kanan dengan harapan tinggi akan mengena, tapi tetap tak ada." Muka Alif mula bertukar suram.

"Sedikit demi sedikit, aku dapat rasakan self-esteem aku menurun. Nilai aku rendah. Bayangkan dalam ramai-ramai yang aku sudah swipe ke kanan, tak ada satu pun yang membalas. Aku cuba turunkan jangkaan (expectation) aku dengan swipe ke kanan gambar perempuan yang tidak jatuh ke dalam 'type' pilihan aku, tapi masih tak ada siapa pun yang jadi match."


========================= ============


Ini masalah utama dan berterusan dalam manusia, termasuk diri aku.
Kita secara berterusan akan menilai diri kita sendiri. Self-worthy.
Hampir setiap masa, sama ada sedar atau luar sedar, kita menilai diri kita sendiri.
Pada satu tahap, kita menilai diri atas penilaian orang lain.

Kita rasa seronok bila gambar kita dalam instagram dapat 'like' banyak.
Dan bila 'like' yang kita dapat tak sebanyak yang kita anggap, kita jadi sedih.
Kita rasa seronok bila status atau gambar kita di Facebook mengundang reaksi yang banyak,
tapi bila satu masa reaksinya sedikit, kita rasa jatuh.
Kita rasa bangga bila tweet kita mendapat RT yang banyak, fav yang banyak,
tapi bila masa kita langsung tidak dapat sebarang RT atau fav, kita keluh.

Macam aku juga.
Aku menilai 'bagusnya' satu entri dalam blog ini dengan jumlah bilangan komen.
Banyak komen, banyaklah yang datang komen, maka post itu bagus.
Sedangkan aku sendiri tahu, banyak lagi entri lain yang isinya jauh lebih bagus
tapi sebab tak dapat komen sebanyak yang sepatutnya, aku pandang enteng tentang kebagusannya.

Sedar tak sedar kita banyak menilai diri kita berdasarkan penilaian orang lain,
padahal orang lain itu langsung tak mengenali kita seadanya.
Macam mana kita boleh beri kuasa menilai kepada orang yang tak kenal kita?

Ya.
Kita hidup dalam masyarakat sosial yang berkomuniti.
Malah beruk di hutan pun ada komuniti mereka sendiri.
Memang tak salah menilai diri dari sudut pandangan orang lain,
Tapi,
jangan jadikan penilaian itu sebagai tunjang penilaian diri.
Berapa nilai diri kita, kita sendiri tahu.
Apa yang orang lain nilai, sama ada ambil sebagai iktibar, atau tinggalkan sahaja.


========================= ============


"Nampaknya perkara ni macam makan diri kau," tanya aku kepada Alif.
"Aku rasa. Kalau hal Tinder ini membuatkan kau rasa nilai diri kau rendah, apa kata tinggalkannya. Kau boleh tinggalkan terus atau sekadar berehat dan cari alternatif lain yang boleh naikkan balik self-esteem kau tu."

"Macam apa?"

"Macam duduk berborak dengan orang sebenar, buat melalui aplikasi. Duduk di taman menikmati permandangan dan bila ada orang berselisih, sapa dengan senyuman. Mana tahu ada yang punya sama tujuan, dapat duduk bersama berbual hal-hal yang kalian suka."
Lol, I'm so good at giving advices, I don't even follow my own words. SEMBANG!

"Betul juga tu. Aku patut tinggalkan Tinder sekejap. Tak sangka benda macam ni pun boleh makan diri, kan?" Alif kembali tersenyum. Aku sedikit lega walaupun rasanya tidak membantu banyak mana pun.

Tinder merupakan satu tempat yang menarik untuk melihat perangai manusia.
Bak kata Oscar Wilde;
"Man is least himself when he talks in his own person.
Give him a mask, and he will tell you the truth."

Mungkin Tinder (seperti rangkaian media sosial yang lain) juga adalah 'topeng' kepada manusia.




.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License