Dear cErolian,

......

TERIMA KASIH!

Terima kasih kerana terus menyokong!

=======================

Jan 16, 2019

Kisah Bagaimana SAKIT GIGI Mengajar Aku Tentang Diri Sendiri.



Salam.

Suatu hari, aku sedar salah satu daripada gigi geraham aku berlubang. Kemudian di klinik gigi, aku disarankan untuk menampal lubang tersebut. Aku bersetuju.

Beberapa tahun kemudian,
aku perasan simen tampalan gigi geraham itu tercabut semasa aku sedang mengunyah makanan. Nasib baik aku tidak terus telan simen tersebut. Tapi, aku tidak buat rawatan susulan. Sepatutnya aku tampal semula lubang tersebut. Namun pada aku, asalkan aku rajin membersihkan kawasan berlubang itu secara berkala, maka tiada masalah yang akan timbul.

Hakikatnya,
aku sedikit gentar untuk ke klinik gigi. Bunyi berdesing gerudi gigi dan bau serbuk kalsium hasil daripada gigi yang digerudi sentiasa terbayang tiap kali aku sebut perkataan 'klinik gigi'.

Walaupun aku sentiasa membersihkan kawasan berlubang itu, namun lama-kelamaan lubang itu semakin mendalam. Aku sedar lubangnya makin dalam, kadang-kadang menyakitkan, tetapi penafian aku begitu tebal memberitahu bahawa semuanya tidak ada apa-apa.

Ya. Penafian.





Alkisah pada hujung tahun lepas,
lebih tepat pada 23 Disember, semasa aku sedang menikmati bijirin sarapan Honey Star bersama susu, aku perasan aku tergigit sesuatu yang keras. Aku sangkakan ada salah satu daripada bijirin Honey Star yang 'cacat' dan tidak melembut selepas direndam air susu panas.

Tapi aku silap.

Ketika aku keluarkan benda keras itu dari dalam mulut, aku dapati ia bukan bijirin tetapi serpihan kepada gigi. Bila aku belek di dalam mulut, aku dapati gigi geraham yang berlubang itu sudah pecah. Kini gigi itu hanya tinggal tunggul.

Ini akibat tidak ke klinik gigi lebih awal.

Tapi masih di dalam penafian, pada aku jika sekiranya ia tidak mendatangkan masalah, maka tunggul pun tunggullah.

Aku silap sekali lagi.

Pada 29 Disember, selepas berhari-hari hidup dalam keadaan tidak selesa, akhirnya rasa sakit mula menyerang. Selepas beberapa jam, gusi di atas gigi tunggul itu mula membengkak. Bermula dengan bengkak sikit, namun dapat dirasakan bengkaknya semakin membesar.

Pada saat itu aku sedar, aku sedang alami sakit kedua paling sakit selepas sakit melahirkan; iaitu sakit gigi.



Hujung tahun, maka cuti panjang.
Selalunya kami sekeluarga akan bercuti di rumah ibu bapa kami beramai-ramai. Rumah mak abah memang penuh dengan anak-anak (serta cucu-cucu) yang datang.

Mengambil kesempatan keramaian ini, Emak buat keputusan untuk masak nasi ayam resipinya yang memang menjadi kegemaran setiap daripada kami adik-beradik (termasuk, dan terutamanya AKU). Nasi ayam Emak adalah yang terbaik, tiada tandingan berbanding mana-mana nasi ayam yang pernah aku rasa.

Nasi ayam Emak mencetus kegembiraan semua adik-beradik, kecuali AKU. Sebabnya, aku sedang sakit gigi. Mana mungkin aku boleh menikmati nasi ayam dengan sepenuhnya dalam keadaan aku sakit sebegini. Aku hanya mampu kunyah dan telan makanan lembut seperti bubur dan Nestum likat. Makanan seperti nasi langsung tidak mampu aku kunyah, apalagi mahu menikmati.

Maka,
di kala setiap insan di dalam rumah itu menikmati makanan kegemaran aku, nasi ayam Emak, aku hanya mampu melihat.

Bila difikirkan,
kalau perkara sebegini berlaku kepada aku pada 10 tahun yang lepas, aku akan naik marah dan merajuk dengan semua orang. Maklumlah, sakit gigi ini membuatkan emosi tidak stabil. Benda kecil sahaja akan buat kita naik marah.

Namun kali ini tidak. Aku rasa ralat, rugi, tapi langsung tiada marah. Aku sendiri tidak pasti kenapa, tapi rasanya semuanya bertitik-tolak daripada faktor usia.

Aku bukan lagi aku pada 10 tahun lalu yang akan naik marah apabila sakit gigi. Aku sudah ada kawalan emosi aku sendiri.



Aku disarankan untuk ke klinik gigi kerana muka aku sudah senget sebelah akibat daripada bengkak yang membesar. Namun, 29-30-31-01 haribulan adalah cuti hujung minggu panjang sempena kedatangan tahun baru. Maka, tiada klinik gigi kerajaan yang buka. Malah, tiada juga klinik gigi swasta yang buka. Akibatnya, sepanjang hujung minggu itu aku kena bertahan dengan hanya makan ubat tahan sakit yang aku beli dari kaunter farmasi di pusat beli-belah berdekatan.

Tahu tak kenapa sakit gigi dikatakan sakit kedua paling menyakitkan selepas sakit melahirkan?

Jawapannya, sakit gigi ini sakit yang berpanjangan. Memang jika diletakkan perbandingan, jika jari terpotong pisau sampai putus juga amat menyakitkan, namun kejadian itu hanya sekejap. Hormon adrenalin akan berfungsi meredakan sakit pada awal kejadian dan proses penyembuhan akan mula berlaku. Sakitnya memang sakit, tapi hanya sementara.

Sedangkan,
untuk sakit gigi, sakitnya berpanjangan. Tiada bantuan hormon meredakan rasa sakit. Bayangkan diri kita ditusuk pisau di atas kulit perut, namun pisau itu perlahan-lahan masuk untuk jangka masa tiga hari. Sakit yang panjang itulah yang membuatkan sakit gigi ini dilabel sebagai sakit kedua paling menyakitkan selepas sakit melahirkan.



Sambung cerita.
Pada 1 haribulan tahun baru, Abah bawa balik buah ciku untuk dimakan ramai-ramai. Buah ciku merupakan antara buah paling aku gemari walaupun bijinya sedikit memberikan trauma.

Jadi, cuba teka siapa yang tidak dapat makan buah ciku dan hanya mampu melihat ahli keluarganya makan buah kegemarannya itu?

Sekali lagi,
bila difikirkan jikalau kejadian ini berlaku kepada aku 10 tahun lalu, sakit gigi pada saat ada dihidangkan buah kegemaran, maka aku pada waktu itu akan naik marah dan salahkan semua orang. Kenapa beli pada waktu aku sakit gigi? Kenapa makan pada waktu aku sakit gigi? Kenapa makan depan aku yang sakit gigi ini?

Tapi entah kenapa,
aku langsung tidak marah pada waktu ini. Nak kata buah ciku bukan lagi antara buah kegemaran aku, tidak pula. Aku masih sukakan ciku. Ya, ada rasa rugi sebab tidak dapat makan buah itu, tapi langsung tiada rasa marah.

Diam-diam dalam diri aku rasa kagum dengan diri sendiri. Aku bukan lagi aku pada 10 tahun yang lalu. Aku lebih...rasional.

Mungkin kita membesar bersama usia. Lagi dewasa, lagi matang pemikiran kita. Tapi dapat melihat perubahan pada diri sendiri dalam tempoh masa itu, rasanya, sedikit mengharukan diri ini.

It's like watching someone grow up in front of us, but that someone is me myself.



Sambung cerita.
Pada 2 haribulan, aku ke klinik gigi kerajaan di mukim tempat aku tinggal. Dengan pipi senget sebelah akibat bengkak, aku tunggang kuda putih aku ke sana. Klinik penuh dengan orang, rasanya mereka-mereka yang senasib dengan aku; kena serangan sakit gigi pada cuti hujung minggu panjang.

Aku perlu menunggu sangat lama walaupun aku dikira datang agak awal. Namun setelah aku dipanggil untuk diperiksa, doktor gigi yang memeriksa hanya membelek gigi aku kurang 60 saat dan kemudian segalanya selesai. Aku menunggu lama hanya untuk diperiksa kurang seminit.

Sekali lagi,
kalau kejadian ini berlaku pada aku 10 tahun lalu, sedang kita menanggung sakit di muka dan perlu menunggu berjam-jam, kemudian akhirnya hanya diperiksa kurang satu minit, aku akan naik berang dan melenting. Mungkin bukan secara terus ke pihak klinik, namun aku akan merungut di media sosial dan mungkin ada satu dua tong sampah yang bakal disepak aku akibat daripada ketidakpuasan hati.

Namun itu tidak berlaku sekarang. Aku faham, ketika gusi sedang bengkak, doktor gigi tidak akan buat apa-apa prosedur. Mereka akan suruh kita tunggu bengkak surut, dan dalam kes aku, kena tunggu 5 hari lagi sebelum boleh datang semula. Aku juga diberikan ubat tahan sakit dan antibiotik untuk dihabiskan.

Walaupun kena menunggu lama dan kemudian hanya diperiksa kurang satu minit, namun aku langsung tiada rasa marah kepada sesiapa. Aku keluar dari klinik dengan perasaan biasa, malah sedikit lega kerana akhirnya aku berjaya lawan rasa takut untuk ke klinik gigi.

Aku bukan lagi aku pada 10 tahun yang lalu.



Pada 10 Januari,
aku datang semula ke klinik gigi itu. Kali ini bengkak sudah tiada, namun ada sesuatu yang perlu aku selesaikan.

Gigi geraham tunggul aku terpaksa dicabut kerana doktor gigi perempuan yang cun itu kata, kalau tidak cabut nanti boleh jadi bengkak balik macam hari itu.

Maka terkorbanlah sebatang gigi geraham yang sepatutnya dapat diselamatkan jikalau aku tidak hidup di dalam penafian.

Dan petang itu, sedang mulut aku masih lagi berasa bius dari prosedur mencabut tadi, kawan aku ajak makan burger gerai kegemaran aku. Katanya, dia nak belanja kerana aku pernah tolong dia satu ketika dulu. Tawaran itu hanya sekali sahaja, tidak boleh dibawa kedepan, katanya.

Kalau berlaku pada aku 10 tahun lalu, mungkin si kawan itu akan aku maki hamun sumpah seranah sebanyak mungkin. Hari lain aku hidup normal tak mahu pula belanja burger kegemaran, tapi pada hari aku cabut gigi geraham inilah dipilihnya untuk buat 'one time offer'.

Tapi itu tidak berlaku.
Aku masih aku, tapi aku bukan lagi aku pada 10 tahun yang lalu.



Manusia berubah.
Sama ada kita mahu perasan akan perubahan itu atau tidak, terpulang.

Terima kasih kerana baca kisah ini sampai habis walaupun panjang.

Sekian.



Baca juga:
Kisah Bagaimana KERUSI Mengajar Aku Erti Kehidupan.



.

5 comments:

  1. Hadoii..banyak pulak dugaan melanda..lama tak makan ciku..hmmm..nasik ayam sedap jugak..burger pulak hari2..

    ReplyDelete
  2. Benda tampalan pada gigi berlubang itu bukannya simen, tapi amalgam. Google it.

    ReplyDelete
  3. wslm.
    i like the new u.

    ReplyDelete
  4. dear bro,

    tolong lah pergi ke klinik swasta.
    sebab amalgam klinik kerajaan memang tidak 'umphh'.

    bukan tidak sokong kemurahan harga, tetapi saya suggest for keberkesanan.

    wish you go out from plateau mood. i don't like your new u because you lack of passionate (in your blog) la. aku bukan kenal ko pun secara zahiriahnya, kenal penulisan ja.

    kbai.

    ReplyDelete
  5. Tahniah sebab makin matang. Oh ye, sakit gigi adalah sakit yang teramat sakit adalah kerana banyak saraf gigi bersambung terus dgn otak. Sebab tu sakit gigi datang bawak sekali sakit kepala ala migrain yang super hebat

    ReplyDelete

"It's not what you've got, it's what you do with it." - cEro, 2026

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Namaku cEro.... Kacak, tinggi, putih gebu, badan tegap, macho.. Kalau korang nampak orang yang memenuhi kriteria di atas, dia BUKAN AKU..
PENERBITAN:


Protected by Copyscape Online Plagiarism Check
Creative Commons License